Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
SELEBRITI dengan pelbagai bentuk badan menggayakan jeans Curves daripada Levi’s.
SELUAR jeans atau denim bukan lagi milik si kaki panjang bertubuh lampai. Tidak kiralah sama ada anda berkaki pendek atau besar pada bahagian pinggul dan paha, ia bukan lagi alasan kurang berkeyakinan untuk tampil bergaya dengan seluar jeans.
Teknologi rekaan hari ini membolehkan sesiapa saja tanpa mengira bentuk badan untuk tampil bergaya dengan seluar jeans.
Hakikatnya, anda yang berpinggang kecil dan besar pada pinggul perlu berbangga kerana dikatakan mempunyai bentuk tubuh umpama ‘gitar’ atau curve. Justeru, tidak perlu was-was menggayakan seluar jeans bagi menyerlahkan kelebihan yang anda miliki ini. Bagaimanapun anda seharusnya tahu, mengapa anda membeli jeans? Adakan anda membelinya kerana mengikut aliran gaya, mengikut musim, agar tubuh lebih langsing atau untuk keselesaan?
Pengguna perlu ambil kira bentuk badan sebelum membeli denim bersesuaian
BERDASARKAN kaji selidik di Sepanyol, industri fesyen mulai sedar sudah sampai masanya untuk mengeluarkan pakaian yang mengikut bentuk badan atau terpaksa berdepan kehilangan pasaran yang luas. Ini disebabkan 40 peratus wanita mengadu tidak dapat mencari pakaian yang sesuai dengan tubuh mereka. Menyedari hakikat ini, Levi’s menghasilkan rekaan Curves iaitu seluar jeans yang mengikut bentuk tubuh untuk wanita dan memberi peluang bergaya dengan jeans secara lebih meyakinkan.
Perunding gaya, Cho Wee Chee, berkata untuk mencari jeans sesuai, anda perlu memahami bentuk tubuh dan memilih gaya yang bersesuaian.
Katanya, secara umum ada sembilan bentuk tubuh iaitu gitar atau hour glass, epal, pin boling, pasu, pir, batu-bata, lollipops, Column dan segi tiga terbalik.
“Memilih seluar dengan potongan pinggang tinggi atau rendah juga bergantung kepada bentuk badan anda. Masalah dengan pinggang potongan rendah, ia akan menyebabkan perut anda menggeleber keluar kalau mempunyai lebihan lemak pada bahagian ini bagaikan mufin.
“Memakai pinggang potongan rendah boleh menjadi kesilapan besar kalau anda bukan seorang model. Malah menonjolkan sebahagian punggung atau seluar dalam bukan lagi satu gaya masa kini! Lagipun, seluar dalam bukan untuk ditonjolkan, sebaliknya dipakai pada tempatnya,” katanya.
Pinggang tinggi pula memotong dua tubuh anda. Jika anda rendah, Wee Chee menasihatkan anda memilih seluar dengan pinggang tidak terlalu tinggi. Seluar jeans anda sepatutnya terletak pada pinggang agar anda kelihatan tinggi.
Katanya, jika anda bertubuh gitar, pilih seluar dengan pinggang yang terletak pada bawah pinggang agar garis pinggang anda yang kecil itu tidak terlalu menonjol.
“Walau apa pun gaya yang anda beli, aliran gaya untuk musim ini adalah kaki seluar yang mencecah lantai untuk memberikan ilusi kaki panjang. Bagaimanapun, ini juga bermakna kelim hujung seluar yang kotor dan kurang menarik. Bagi yang mempunyai rangka tubuh kecil perlu memakai seluar labuh dengan kelim tergantung sedikit saja daripada lantai,” katanya.
Keseluruhannya ada lima bentuk seluar jeans iaitu potongan but, lurus, runcing dan ketat, seluar berkaki kembang dan boy friends iaitu berpotongan maskulin.
Seluar potongan but adalah gaya sepanjang masa. Bahagian betis yang kembang menjauhkan tumpuan pada pinggang, pinggul dan paha. Ia juga mengecilkan paha dan menjadikan kaki lebih runcing. Gaya klasik ini sesuai untuk bentuk tubuh berisi seperti pir atau hour glass. Potongan lurus pula sesuai untuk semua bentuk badan termasuk epal. Secara semula jadi, pinggang terletak pada tempatnya dengan potongan ramping pada paha dan betis. Semua orang perlu ada seluar potongan ini kerana ia boleh digayakan dengan apa saja.
“Seluar runcing dan ketat sesuai untuk mereka yang berkaki panjang dengan bentuk badan seperti lelaki. Bagi menampakkan paha lebih menarik, pilih seluar dengan ilusi warna seperti kesan pudar pada bahagian berkenaan. Elakkan bergaya keterlaluan. Jika anda rendah dan kecil, potongan lurus pada kaki lebih menarik berbanding potongan lebar. Mereka yang bertubuh epal iaitu memiliki pinggul dan perut yang besar perlu elakkan seluar ini atau bentuk sigar (skinny),” katanya.
Seluar berkaki kembang kembali dengan gaya lebih menarik. Ia amat sesuai untuk mereka yang bertubuh pir kerana ia membuatkan anda lebih ramping dan seksi. Seluar ini juga selesa dan versatail kerana mengimbangkan pinggul dan paha yang besar.
Pinggang potongan tinggi, kaki kembang menjadikan anda lebih tinggi dan ramping, malah kelihatan menarik digayakan dengan top mengikut bentuk tubuh dan baju panas paras pinggang.
Pemakaian kasut baji pula mengimbangkan bentuk kembang pada kaki seluar.
“Jeans boyfriend sempurna sekali untuk mereka yang berbentuk badan batu-bata. Ia pernah popular sekitar 1980-an. Tanpa pinggang dan bentuk badan lelaki dengan poket besar, ia mengecilkan saiz terutama pinggul. Kurangkan kesan maskulin dengan top anggun atau jaket. Ia juga menarik digayakan dengan kasut bertumit rata,” katanya.
Koleksi baru Levi’s
Memahami keperluan wanita hari ini, baru-baru ini Levi’s memperkenalkan seluar jeans Curves daripada koleksi Red Tab untuk wanita saja.
Pengurus Produk untuk Wanita Levi’s, Carolyn Soong, berkata koleksi berkenaan sesuai dan selesa terutama pada bahagian pinggul dan pinggang.
“Sama ada potongannya ramping, lurus atau potongan but, Curves akan mengikut bentuk tubuh dan menampilkan gaya seksi kepada pemakai di samping memberikan keselesaan. Ia boleh didapati dalam versi memberi dan tidak memberi mengikut kegemaran pelanggan. Boleh didapati dalam warna hampir gelap dan pudar yang melahirkan kemasan vintaj. Ia juga dilengkapi dengan jahitan berwarna jingga dan kuning yang melahirkan butiran bertentangan dengan warna gelap mahupun pudar,” katanya.
Pada majlis berkenaan, 12 selebriti terkenal tampil menawan dengan seluar Curves. Bermula dengan selebriti bertubuh kecil molek seperti Atilia dan Sazy Falak sehingga yang tinggi lampai dengan bentuk badan seksi seperti Dayang Nur Faizah dan Aishah Sinclair yang kelihatan tetap menawan dengan jeans.
Info
Panduan memilih jeans:
Membentuk pinggul lebih menarik seakan Jessica Alba.
Menjadikan kaki lebih panjang dan runcing.
Pinggangnya tidak terlebih tetapi terletak sempurna pada pinggul.
Berwarna gelap indigo
Jeans memberi
Panduan menggayakan jeans:
Jangan memandang rendah lima poket yang bergaya klasik.
Jangan melipat bahagian bawah seluar jika ketinggian anda di bawah 5’5”. Ia membuatkan kaki anda lebih pendek.
Potongan kapri juga membuatkan kaki anda lebih pendek.
Pastikan bahagian bawah seluar menutupi sebahagian kasut anda.
Kasut hitam yang panjang membantu kaki tampak lebih panjang.
Kedudukan dan saiz poket memberikan kesan kepada gaya. Elakkan poket kecil dan jauh jarak antara satu sama lain kerana ia membuatkan pinggul anda kelihatan besar.
Poket yang terletak agak ke bawah menampakkan pinggul anda lebih tinggi. Berhati-hati dengan butiran hiasan mahupun warna pudar pada kawasan ini.
Apapun bentuk anda, wanita memerlukan jenis jeans iaitu untuk digunakan dengan kasut rata dan satu lagi untuk tumit tinggi.
Mereka yang bertubuh rendah, gulung seluar dan gayakan dengan kasut tumit tinggi.
Jika berpinggul leper, tambahkan hiasan pada bahagian belakang.
Jeans bukan hanya untuk orang muda, tetapi juga kanak-kanak dan orang tua.
Lebih gelap warnanya, lebih memberikan ilusi ramping. Pilih warna kelabu, hitam dan biru gelap.
Kesan pudar boleh memberikan ilusi ramping, tetapi pastikan pada tempat betul.
Baju putih lebih bergaya dengan jeans indigo.
Berita Harian