Archive | Man Kidal RSS feed for this section

Konsert Tanpa Vokalis

21 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BAKAL beraksi tanpa kemunculan keenam-enam bekas vokalisnya, langkah dan tari kumpulan rock berpengaruh tanah air, Lefthanded pasti kelihatan sumbang.

Itu hakikat yang harus diterima oleh ahli kumpulan tersebut yang bakal mengadakan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.

Menjadikan Stadium Negara, Kuala Lumpur sebagai saksi keunggulan kumpulan mereka, Lefthanded bagaimanapun nekad untuk meneruskan persembahan yang berlangsung pada 30 Mei depan.

Man Kidal, yang merupakan gitaris Lefthanded melahirkan perasaan terkilan apabila keenam-enam vokalis yang pernah berkhidmat untuk kumpulannya itu yang termasuklah Nash, Arab, Ramli Sarip dan Rahim Maarof dan Roy (Rauzan Alwi) tidak dapat melibatkan diri dalam konsert itu.

Man Kidal menegaskan, Nash dan Ramli Sarip sejak awal-awal lagi sudah menyatakan alasan tersendiri, tidak dapat terbabit dalam konsert yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy).

“Mereka mengatakan ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Nash sudah menerima undangan nyanyian lain, manakala Ramli pula membuat persembahan di Singapura.

“Pada awalnya, sudah pasti saya bersedih kerana mereka tidak dapat membuat kemunculan untuk persembahan Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.


HATTAN (dua dari kiri) dan Joe Wings (dua dari kanan) tampil memberikan sokongan moral buat Lefthanded.

“Rasa ralat pula persembahan di pentas, tetapi tidak disertai oleh vokalis-vokalis ini yang banyak berjasa kepada kumpulan kami.

“Memanglah saya mahu semua berkumpul apatah lagi konsert ini diumpamakan memberi penghargaan kepada Lefthanded. Nampaknya angan-angan untuk kami bersatu belum lagi terlaksana.

“Dengan salah seorang anggota kami, Samad meninggal dunia pada Oktober tahun lalu, ia membuatkan saya terkilan,” luahnya sugul ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Borneo Baruk Club di ibu negara Rabu lalu.

Turut hadir ialah anggota kumpulan Lefthanded lain iaitu Yan, 45, atau nama sebenarnya Amran Marsiman dan Man Dayak, 47, (Abdul Rahman Othman).

Andai sebelum ini dia tidak perlu berbicara untuk meluahkan ekspresi kerana cukuplah hanya gitar yang bersuara mewakili isi hatinya, namun kali ini Man Kidal melontarkan kesedihannya dengan kata-kata.

Kecewa, itu yang dirasai kutai rock yang cukup dikenali dengan gaya rambut panjangnya.

Sambung Man Kidal, peluang untuk melakukan konsert secara besar-besaran itu tidak hanya datang sekali, lantaran itu dia teringin untuk melihat semua vokalis Lefthanded berkumpul.


KONSERT Rock Lefthanded & Kawan-Kawan bakal mengembalikan nostalgia era kegemilangan Lefthanded.

“Peluang mengadakan konsert dilihat ada signifikan tersendiri dalam menunjukkan perjalanan seni kami selama tiga dekad bergelumang dalam dunia seni,” jawabnya yang mengalu-alukan kemunculan Nash jika dia mengubah fikiran di saat-saat akhir dan ingin terlibat sama dalam konsert itu.

Kekecewaan Man Kidal dan ahli kumpulan Lefthanded bagaimanapun terubat apabila konsert itu turut diserikan dengan kemunculan rakan lain seperti Amy (Search), Awie dan Joe (Wings), Mus (May), Hattan, Shima dan Aisunam.

“Lihat sahajalah senarai nama-nama yang terlibat. Masing-masing mempunyai kredibiliti dan reputasi yang hebat dalam bidang nyanyian.

“Mereka yang terbabit akan mendendangkan lagu-lagu popular Lefthanded. Saya percaya, konsert ini juga akan menjadi menarik dengan kehadiran mereka.

“Walaupun tanpa kemunculan vokalis-vokalis Lefthanded, namun saya yakin ia tidak sesekali menjejaskan kehadiran peminat kelak,” jelasnya yang menerima ‘lamaran’ untuk mengadakan konsert itu pada November 2008.

Kali terakhir Lefthanded membuat konsert berskala besar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 2007 bersama Rusty Blade.

Tema Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan diketengahkan bersesuaian dengan konsep kumpulan itu yang tidak mempunyai penyanyi tetap sejak dari awal penglibatan dalam dunia seni hingga sekarang.


TETAP beraksi biarpun tanpa kemunculan vokalis, tiga anggota Lefthanded, (dari kiri), Yan, Man Kidal dan Man Dayak.

Nadi Lefthanded bagaimanapun tetap terserlah menerusi kekuatan lagu, muzik dan liriknya hingga ia mampu bertahan untuk jangka masa yang panjang.

Penghargaan kepada Samad

Bercerita lebih lanjut tentang konsert itu, Man Kidal atau nama sebenarnya Rahman Mahmood, 45, memberitahu, konsert diadakan dalam dua sesi bermula petang hingga larut malam.

“Kumpulan indie seperti Bunkface, Pop Shuvit, Kid & Xera, The Times, The Pilgrims, Couple dan banyak lagi akan mengadakan persembahan pada waktu petang untuk menarik golongan remaja.

“Manakala pada waktu malam pula, barulah Lefthanded dan kawan-kawan akan mengambil alih pentas dan membuat persembahan untuk menghiburkan peminat.

“Walaupun konsert yang berlangsung selama dua jam itu nanti bukanlah acara pertama kumpulan kami, namun saya lihat konsert ini bakal melakar sejarahnya sendiri.

“Konsert yang berlangsung atas dasar kebajikan dan bertujuan memperlihatkan apresiasi kepada Samad amat besar ertinya kepada Lefthanded.

“Walaupun Samad sudah meninggal dunia, namun semangat muzik Samad terus hidup bersama-sama Lefthanded.

“Selain itu, konsert ini juga menjadi saluran terbaik untuk kami menyumbang ke arah kebaikan melalui anugerah dalam bermuzik yang dikurniakan Tuhan,” ujarnya yang berjanji.

Penonton pada malam itu bakal dihiburkan dengan alunan lagu-lagu Lefthanded antaranya adalah Seruan, keadilan, Alam Dan Pencipta, Qabul dan Hidup Adalah Perjuangan.

Bagai abang dan adik

Dalam pada itu, Hattan tidak mampu menyembunyikan perasaan keterujaan apabila ditawarkan peluang mengadakan konsert untuk meluahkan apresiasi kepada Lefthanded.

“Tarikan utama untuk saya sertai Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan kerana hendak memeriahkan pentas pada malam itu.

“Lagipun saya dan Lefthanded adalah kawan rapat terutama dengan Man Kidal dan Yan.

“Ini bukan pengalaman pertama saya beraksi bersama-sama mereka, sebaliknya sudah banyak kali.

“Kalau sebelum ini Nash tidak dapat memberi komitmen dengan Lefthanded, saya yang akan menggantikan sementara tempatnya sebagai vokalis.

“Saya tidak pernah memikirkan soal duit apabila melibatkan diri dalam konsert ini, sebaliknya saya anggap ia tidak ubah seperti penyatuan semula dengan rakan-rakan lama.

“Saya tidak sabar untuk menjayakan konsert ini. Ia pasti akan menjadi hebat dan meriah,” ucapnya yang akan menyanyikan sebanyak empat buah lagu.

Bagi Joe pula, Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan bakal menjadi sebuah konsert yang tidak dapat dilupakan dalam ingatan peminat.

“Saya tidak akan buat persembahan dengan Awie, sebaliknya kami akan muncul secara individual.

“Soal untuk mencipta keserasian bukan perkara yang sukar kerana Lefthanded dan kami sudah macam adik dan abang.

“Hubungan kami cukup akrab sejak berbelas tahun lalu. Peluang ini memang cukup saya nantikan. Harap-harap ia sukses,” akhirinya sambil tersenyum.

Sesiapa yang berminat boleh membeli tiket Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan yang berharga RM48, RM68 dan RM88 secara online di http://www.axcess.com atau hubungi 03-77115000.

Kosmo

Advertisements

Kelincahan Jemari Steve Thornton

12 Mar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Artis-artis tersohor negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan antara yang pernah mendapatkan khidmat anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

APABILA menyebut tentang perkusi, nama Steve Thornton pasti akan disebut sebagai salah seorang pemain terhebat bertaraf antarabangsa.

Kelincahan beliau memainkan pelbagai jenis alat muzik membuatkan setiap penonton yang menyaksikan persembahannya terpegun dengan irama yang terhasil daripada sentuhan jejari lelaki berbakat itu.

Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan merupakan antara nama-nama besar yang pernah mendapatkan khidmat dan sentuhan daripada anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

Itu di Malaysia. Untuk peringkat antarabangsa, Steve juga pernah dijemput mengiringi siri persembahan atau jelajah artis terkemuka seperti Kris Dayanti, Harry Belafonte, Jackie Cheung, Mongo Santamaria, Sadao Watanabe dan ramai lagi.

Apa yang pasti, kebolehan Steve bermain apa sahaja alat perkusi menjadikan dirinya dikenali dan mempunyai ‘jenama’ tersendiri.

Ibarat irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitu jugalah Steve atau nama sebenarnya Hanson Lee Steve Thornton dengan alat perkusi. Pantang memegang atau menyentuh sebarang alat, tangannya pasti ligat memainkan aneka bunyi-bunyian yang menceriakan suasana.

Alat muzik perkusi bermaksud sesuatu alat yang boleh menghasilkan bunyi atau suara apabila dipukul, ditepuk, ditabuh, digoyang, digosok atau apa saja tindakan lain yang boleh membuatkan objek bergetar.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan suatu alat, tongkat mahupun sekadar tangan kosong.

Perkusi berasal daripada istilah Latin iaitu percussio yang bermaksud memukul dan percussus (pukulan). Antara alat muzik yang termasuk dalam kategori perkusi ialah gamelan, drum marimba, tamborin dan lain-lain.

“Saya memang begini. Pantang memegang sebarang peralatan tanpa memainkannya. Ia seolah-olah sudah sebati dengan jiwa saya,” kata Steve kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


KELUARGA bahagia yang menjadikan muzik untuk menyatukan mereka.

Steve atau nama Islamnya, Hassan Ali menceritakan bahawa dia mula meminati alatan dram ketika berusia tujuh tahun. Waktu itu, dia amat teruja mendengar paluan kongga Mongo Santamaria menerusi lagu Watermelon Man nyanyian Herbie Hancock yang sering dipasang abangnya.

Pada tahun 1968, Steve menubuhkan grup pertamanya, The Young Explosives, sebuah kumpulan berkonsepkan Latin-Jazz yang terdiri daripada empat orang. Mereka mengadakan persembahan di stesen televisyen tempatan di Channel 5 Inside Bedford-Stuvyesant dan di Apollo Theatre.

Setahun kemudian, Steve bertemu Mongo Santamaria di Kelab Beacon, 111 Street dan Lennox Avenue. Apabila dia memberitahu Mongo betapa dirinya begitu meminati pemuzik tersebut, Mongo kemudian meminta Steve bermain kongga bersama kumpulannya.

“Mendengarkan paluan tiga kongga yang saya mainkan, Mongo amat seronok lantas duduk bermain di sebelah saya. Kami bermain untuk beberapa ketika sebelum akhirnya Mongo memuji kehebatan saya bermain.

“Itulah pengalaman paling manis yang saya lalui sepanjang hidup ini. Ia boleh diibaratkan seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” kata Steve yang kemudian sering mengadakan persembahan bersama kumpulannya dan merakamkan irama salsa dengan kumpulan tempatan lain.

Ketika bermain di kelab, Steve akan memanggil gurunya datang menonton persembahannya.

“Tujuannya supaya mereka tahu saya ponteng kelas kerana bermain muzik. Namun, apa yang menggembirakan saya ialah guru-guru banyak memberi dorongan agar saya meneruskan minat dalam bidang ini,” jelas Steve yang menjadikan Mongo Santamaria sebagai idolanya meskipun pemuzik unggul itu sudah meninggal dunia pada tahun 2003.


AKSI Steve bersama Datuk Ahmad Nawab (kanan) dan Man Kidal.

Steve, anak ke-13 daripada 14 beradik itu kemudiannya mula bermain secara profesional pada tahun 1972 sewaktu mengiringi persembahan Jon Lucien dalam jelajah di negaranya, AS.

Sejak itu dia sering diundang mengiringi penyanyi-penyanyi terkemuka termasuk Harry Belafonte. Malah Steve juga menjadi pemuzik undangan untuk album rakaman Dizzy Gillespie, Grover Washington Jr., Herbie Hancock dan Sadao Watanabe.

Pada tahun 1989, buat kali pertamanya Steve berkunjung ke Malaysia kerana mengiringi persembahan Sadao Watanabe, pemuzik Jazz terkemuka dari Jepun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Di situlah, dia mula mengenali Faridah Sanusi yang kemudian disunting menjadi suri hatinya. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan suami isteri itu dikurniakan empat orang cahaya mata, tiga perempuan seorang lelaki.

Anak-anak mereka iaitu Suraya; 15, Hakeem; 13, Sabrina; 9 dan Sadia; 7 masing-masing mewarisi bakat yang dimiliki Steve dalam bermain alat muzik.


ANTARA koleksi hadiah yang diberi oleh anak-anak Steve.

Menurut Faridah, kesemua anaknya menunjukkan minat dalam bidang muzik. Malah, mereka juga pandai bermain beberapa jenis alat muzik seperti piano, gitar selain puluhan alat perkusi milik bapanya.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak pernah menghalang mereka menceburi bidang yang digemari sebaliknya terus memberi sokongan kepada mereka. Tetapi, kami juga tidak pernah memaksa mereka mengikut jejak langkah ayahnya. Itu semua datang daripada minat mereka sendiri.

“Sabrina contohnya, mempunyai suara yang sedap dan boleh menyanyi dengan baik. Malah, dia bercita-cita untuk menjadi seorang superstar satu hari nanti,” ujar Faridah sambil mengakui dirinya meminati muzik tetapi tidak pandai bermain peralatan perkusi.

Bagi Suraya, dia bangga dilahirkan sebagai anak kepada Steve Thornton. Pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah antarabangsa itu mengagumi bakat ayahnya.

“Ayah seorang pemuzik yang hebat. Sukar untuk dinafikan kehebatannya bermain alat perkusi. Dia juga banyak mendorong kami adik-beradik untuk sentiasa yakin dalam setiap bidang yang mahu diceburi.

“Kalau boleh, saya juga mahu menjadi seorang yang hebat seperti ayah tetapi mungkin sukar. Namun, saya tidak akan berputus asa. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk kita memperoleh impian yang telah dibina,” ungkap Suraya.


SABRINA (kanan) dan Sadia juga pandai bermain piano.

Steve peluk Islam kerana azan

PADA tahun 1992, Steve Thornton sering berulang-alik dari AS ke Malaysia sebagai pemuzik undangan untuk persembahan artis-artis tempatan.

Satu hari, sewaktu menjalani rakaman sebuah klip video, laungan azan pada waktu tersebut turut terakam.

Apabila mendengar semula rakaman tersebut, hatinya menjadi sayu kerana pada pendengarannya azan tersebut begitu merdu.

“Pada saya laungan azan adalah satu irama yang merdu berbanding irama lain. Sewaktu sering berulang alik ke Malaysia, saya selalu menyewa bilik di Hotel Micasa, Jalan Ampang.

“Setiap pagi apabila bangun tidur, saya buka tingkap. Saya dapat dengar empat laungan azan yang berbeza dari masjid berhampiran. Laungan itulah yang telah membuka hati saya untuk memeluk Islam,” katanya yang memilih nama Hassan Ali kerana ia seolah-olah hampir dengan nama asalnya Hanson Lee.


STEVE sentiasa memberi kebebasan pada anak-anaknya dalam bidang yang diminati.

Sementara itu, Steve memberitahu, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam bidang ini, dia telah memainkan ratusan atau mungkin ribuan peralatan perkusi.

Ini kerana, menurut Steve peralatan perkusi tidak terhad pada sesuatu barang sahaja. Sebaliknya, apa sahaja benda yang boleh mendatangkan bunyi adalah alat perkusi.

Antara peralatan perkusi yang ada dalam simpanannya ialah bonggo, kongga, cowbell, rattler, pandero, wood blocks, guiro, tamborine, shaker dan banyak lagi.

Kosmo

Yasin Bebas Krisis Identiti

12 Jan

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK siapa pun tahu, penyanyi dan komposer terkenal Yasin Sulaiman pernah bergelut dengan krisis identiti selama lima tahun, satu ketika dulu. Kata Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yassin Sulaiman, 33, otaknya bukan saja berkecamuk dulu, malah dia bagaikan hilang arah dalam hidupnya.

“Ia berlaku ketika saya baru keluar dari kumpulan nasyid Brothers sebelum menyertai aliran muzik arus perdana sejak 2001 hingga 2005 iaitu sejak album Mimpi Laila lagi.

“Dalam istilah perubatan, penyakit yang saya alami itu dikenali sebagai ‘early adopthood’ apabila 80 peratus penduduk dunia mengalaminya. Ramai juga artis tempatan yang mengalami krisis ini tapi mereka malu mengakuinya.

“Selain krisis identiti dan keliru, saya juga mengalami serangan panik, resah dan kemurungan. Sebenarnya, penyakit ini wujud sejak zaman Nabi Adam lagi cuma masyarakat kita baru sedar kewujudannya,” katanya.

Yasin berkata, peritnya ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.

“Saya berusaha menyembunyikan penderitaan saya itu daripada pengetahuan orang lain.

“Saya berusaha mendekatkan diri dengan Tuhan. Malah, saya juga meraung di hadapan Kaabah untuk meminta pertolongan daripada-Nya ketika menunaikan fardu haji di Tanah Suci Makkah pada 2005,” katanya.

Yasin berkata, dia berusaha mengatasi ‘penyakit’ itu dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Saya cuma memahami apakah sebenarnya ‘penyakit’ yang dialami itu kerana jika kita memendamnya ia boleh makan diri.

“Saya juga berjumpa pakar psikologi untuk membantu saya berhadapan dengan semua ini. Saya juga berkongsi cerita ini kerana ingin orang melihat penyakit itu normal dan ramai orang mengalaminya.

“Saya juga mendapat banyak inspirasi selepas membaca buku yang dicadangkan Oprah Winfrey, The Power Of Now. Kita perlu disiplinkan otak untuk mengelakkannya dari pada merapu kerana otak adalah instrumen yang sangat berkuasa,” katanya.

Sepanjang berhadapan saat getir itu, Yasin berkata, isteri tercinta, Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain (Eena) dan anak mereka,Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan, banyak memberi kekuatan kepadanya.

“Saya juga tetap mencipta lagu seperti biasa kerana saya cari makan dalam bidang muzik. Apatah lagi, mencipta lagu adalah saat paling tenang buat saya.

“Selain itu, mempunyai anak boleh mengelakkan fokus kepada diri sendiri dan bersama keluarga adalah terapi terbaik.

Kini, saya sudah tiga tahun pulih daripada ‘penyakit’ itu. Saya juga sentiasa mengingatkan diri supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita. Berbanding dulu, kami kini mempunyai studio rakaman sendiri dan hidup juga semakin selesa.

Pada masa sama, kami mempunyai simpanan yang cukup menampung kehidupan untuk tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Dalam pertemuan Rap dengan Yasin ketika menjayakan sesi fotografi di Balai Berita, baru-baru ini, komposer yang sinonim dengan irama world music ini ditemani isteri dan anak keduanya, Malaika. Dia juga hadir bersama bingkisan album barunya berjudul Arus Qudus yang menjengah pasaran penghujung Disember lalu.

Lebih bermakna, album yang bermaksud meniti jalan Tuhan itu menceritakan detik bagaimana Yasin bangkit daripada krisis itu dan apa yang berlaku di sekelilingnya. Proses pembikinan album ini membabitkan tempoh setahun dan dimulakan sejak 1 Januari 2007.

“Saya buat album ini ikhlas dan ia adalah Yasin yang mengalami evolusi dalam hidup ini.

“Saya juga mengambil masa enam tahun untuk buat album baru kerana keadaan saya ketika itu yang tidak mengizinkan. Saya bukan saja tiada perasaan malah tiada idea dan tiada semangat untuk buat album baru ketika itu,” katanya. Yasin berkata, penerbitan album itu amat memuaskan kerana kebanyakan lagu terkandung di dalamnya adalah hasil ilhamnya sendiri mengikut cita rasa dan inspirasi peribadinya.

“Arus Qudus adalah untuk kepuasan dan santapan jiwa. Saya tampil dengan album seperti ini yang pada pandangan saya artis memainkan peranan yang lebih besar iaitu dari segi perjuangan budaya.

“Saya juga akan buat satu lagi album penuh untuk pasaran komersial nanti.

“Peminat boleh mendengar lagu daripada album Arus Qudus dengan melayari laman web http://www.imeem.com/yasinsulaiman.

Mereka boleh melayari laman ini untuk mendengar dan menyaksikan klip video serta cara membeli album ini.

Saya harap orang akan dengar lagu ini untuk makanan dan inspirasi jiwa serta menemui makna yang tersirat,” katanya.

Yasin berkata, Arus Qudus adalah album solo ke tiganya dan tampil dengan konsep world global music yang meliputi beberapa genre muzik lain seperti rock, balada, urban dan etnik.

“Tema utama yang diserap melalui lagu baru ini adalah berunsur inspirasi melalui lirik yang kebanyakannya nukilan sendiri

Single Arus Qudus dan Bismillah mengetengahkan gitaris Man Kidal yang dibawa dalam genre rock.

“Single Kuala Lumpur pula membawa genre muzik urban yang diterbitkan bersama produser dari Dubai. Lagu ini diselitkan hawa Nusantara dengan tiupan seruling Mohar (Mohram).

“Saya juga mengetengahkan lagu balada seperti Kau Yang Mengetahui (penampilan Man Kidal), Hampir Padamu (penampilan Arnieza Amir) dan Hidup Memang Payah. Penampilan penyanyi Arnieza dalam album ini kerana menggantikan Awie yang menghidap sakik tekak selama setahun,” katanya.

Lagu lain dalam album ini adalah Nari Narien (penampilan Arnieza), Kuala Lumpur (penampilan Mohram dan Sal), Mimpi Kedamaian (Yasin bergabung dengan Sal) dan Salam (penampilan Joe Flizzow dan Sal).

Album ini menampilkan pemuzik ternama tanah air seperti Zahid Ahmad (dram), Ramli Rebana (perkusi), Nan (gitar), Kelly (bass), Rudi (keyboards) Rosdi (perkusi), Charmaine (violin), Salleh (Brothers), Arnieza, Aliah (Phlowtron), Sham (penyanyi dari Dubai), Akbar dan Joe Flizzow.

>Profil

NAMA PENUH : Muhammad Yasin Sulaiman

ASAL: Kajang, Selangor

TARIKH LAHIR: 30 Oktober 1975

KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan komposer

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain

ANAK: Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan

ALBUM: Teman Sejati, Satu Perjuangan (Brothers), Mimpi Laila, Salsabila dan Arus Qudus.

FILEM: Syukur 21, No Problem, Mendam Berahi

Harian Metro

Isteri Izin Kahwin Lain – Cinta Sang Gitaris Rock

16 May


PERNAH dilanda musibah tetapi kekuatan cinta mereka telah mempertahankan ikatan suci sebagai suami isteri.

DENGAN hanya satu petikan, pesona sang gitaris ini mudah sahaja menambat hati ramai. Dia tidak perlu berkata-kata untuk meluahkan ekspresi, cukuplah sekadar gitarnya sahaja yang bersuara mewakili kata hatinya.

Ini sekadar imaginasi sesiapa sahaja yang melihat kehidupan anak seni ini dari kejauhan. Mendekatinya sebagai pengisi ruangan Intuisi Cinta minggu ini, saya semakin kenal siapa figura yang sering membikin pentas jadi gempak dek petikan gitar berhantunya.

“Saya memang macam ini, betullah kalau ada orang cakap saya jenis yang kurang bercakap. Nampak macam ganas tapi sebenarnya ‘slow’. Jiwa lembut, mungkin benar,” ujar lelaki berusia 44 tahun ini tertib sekali.

Melihat keluarganya dipenuhi bunga-bunga keceriaan yang kembang di semua sudut terataknya di Ampang ini, hati siapa yang tidak cemburu. Ketika kerjaya yang masih tidak tercabar dek lawan, ketika dipuja dan jadi idola setiap anak muda yang baru hendak kenal nota muzik, gitaris unggul bernama Man Kidal ini sudah melengkapkan putaran hidupnya.

Walaupun tidak memiliki segunung emas tetapi kasih-sayang yang membiak dalam hidupnya sudah dikongsi bersama tiga generasi yang sebumbung dengannya. Bukannya jeritan atau wang ringgit yang diraih sejak lebih 25 tahun menghambakan diri dengan muzik tetapi inilah harta sebenar milik Man Kidal.

MUZIK adalah mata pencarian bahkan muzik juga pengikat kasih dalam keluarga Man Kidal.

Man Kidal sudah tersangat bahagia dengan kesetiaan isteri tercinta, Norlaila Yusof, 44, anak, menantu serta cucu-cucu yang sedang menyinari harinya.

Pinta Man Kidal, jangan ada lagi anasir yang cuba meragut cinta yang sedang dimiliki, kerana apa yang telah dilalui beberapa tahun lalu, sudah cukup sebagai ujian paling besar yang menduga hidupnya.

Apabila si isteri, Norlaila membuka halaman yang terlipat kemas, barulah jelas segala-galanya. Ternyata bunga-bunga bahagia yang terpancar saat ini adalah percikan dari petir yang menyambar ikatan kasih mereka berdua, tiga tahun lepas.

“Abang (Man Kidal) pernah minta nak kahwin lagi. Bagi seorang wanita yang bergelar isteri, tiada kepahitan lain yang lebih pahit daripada ungkapan itu. Ungkapan yang keluar dari bibir lelaki yang paling kita sayang, lelaki yang peluk kita selama ini. Masa itu, dunia saya gelap.

“Tetapi kerana terlalu sayangkan dia, saya tanya dia. Saya izinkan kalau dia betul-betul sudah kenal dan nak kahwin lagi,’ luah Norlaila yang mesra membahasakan dirinya Kak Nor tanpa berselindung.

CUCU-CUCU yang menceriakan hidup Man Kidal, (dari kiri) Siti Nur Elysha, Danish Haikal dan Danial Aiman.

Sambil matanya berkaca, nafasnya dihela dalam-dalam. Tambah Norlaila lagi: “Tiada apa lagi yang boleh saya harapkan kalau suami sudah ada perempuan lain. Saya fikir masak-masak, saya sendiri yang nak pergi ambil borang kebenaran berkahwin dan ajak suami jumpa keluarga perempuan berkenaan. Dalam hati saya, saya bagi tempoh seminggu untuk dia fikir, kalau benarlah mereka jadi kahwin, saya akan minta cerai.”

Tuhan Maha Kaya, Maha Pengasih dan Maha Mengetahui, kusut yang membelenggu tiba-tiba terlerai dan seperti matanya dicelikkan dari lena, Man Kidal sendiri yang membatalkan rancangan berkahwin lagi.

Dia kembali kepada Norlaila dan berjanji, noda hitam yang tercalit di hati masing-masing akan dibasuh sebersih mungkin.

Sengaja saya tanyakan, apakah itu satu kesilapan paling besar yang pernah Man Kidal lalui dalam hidupnya.

Jawab pemuzik ini ringkas tapi berisi. “Saya tidak anggap itu kesilapan kerana semua orang buat silap. Lebih tepat lagi itu ujian Tuhan. Ya, ujian yang sangat besar. Ujian begitu akan datang kalau kita selalu berjauhan dengan keluarga.”

SETELAH lebih 25 tahun hidup bersama , Man Kidal dan Norlaila sudah masak dengan karenah hidup.

Onar datang daripada diri sendiri. Dia seorang yang pentingkan muzik dan Man Kidal sedar jika rancangan itu terlaksana, hidupnya akan kucar-kacir dan satu-satunya pilihan yang ada dia harus berhenti dan meleraikan masalah itu dengan baik.

“Saya harus bertanggungjawab dengan apa yang telah saya lakukan. Itulah cabarannya,” kata Man Kidal tersenyum.

Itulah yang namanya kehidupan. Nampak tenang, tetapi siapa sangka di sebalik tembok yang memisahkan mereka dengan pandangan ramai, pasangan ini pernah mengharungi arus yang panas.

Tersenyum terkenangkan kerenah suaminya, kata Norlaila: “Jadi isteri Man Kidal kena sabar. Dia bukan artis tapi digilai melebihi artis khususnya peminat perempuan. Ada yang minta nak bergambar, nak peluk dia, nak duduk atas riba. Saya faham, jadi saya sabar. Sebab saya sekarang jadi pengurus dia, kadang-kadang, saya tak nak tunggu sampai dia habis show sebab saya tak nak tengok benda-benda macam itu.”

HARTA sebenar milik Man Kidal. Dari kiri: Siti Nurhaliza (menantu), Siti Nur Elysha (cucu), Norlaila dan Kamaruzzaman (menantu). Duduk di depan: Norshahera, Aiman dan Farah.

“Ada juga yang datang cari sampai ke rumah. Mereka telefon marah-marah, macam-macamlah. Tapi saya jenis yang sabar, sabar dah jadi makanan saya selama ini. Sebab sabarlah dah bertahan lebih 25 tahun macam sekarang. Walaupun macam-macam hal yang berlaku saya tetap sayang dia, sebab saya tahu, dia lelaki yang berhati mulia, murah hati, ‘murah hati kepada semua.”

Di sebelah Norlaila, Man Kidal terbatuk kecil mendengarkan cerita isterinya. Dalam pandangan saya, pasangan ini sudah cukup mengenal asam-garam. Justeru, hari-hari mendatang adalah bonus yang cukup bermakna untuk mereka nikmati manisnya bersama-sama.

Ditanya, apa ertinya antara isteri dan gitar, Man Kidal tersenyum, jawabnya: “Itu dua perkara yang tak boleh dibandingkan. Dua-dua itu nyawa hidup saya.”

Sampuk Norlaila pula “Antara banyak-banyak gitar yang dimiliki, gitar kuning yang dipetiknya ini adalah gitar kesayangan. Pantang diusik atau dipinjamkan kepada sesiapa.”

AYAH dan anak berkongsi cinta dan cita-cita yang sama.

Mengalih topik perbualan pasangan ini terhadap wajah-wajah ceria yang memenuhi kediamannya. Man Kidal tersenyum lagi. Apa lagi yang diinginkan seorang ayah apabila darah-dagingnya sendiri sudah mengikuti jejak langkahnya.

“Saya kidal, dia kanan. Tapi saya tak perlu risau lagi, saya dah ada pewaris. Bukan harta tetapi ilmu yang saya miliki. Kalau dah tiada nanti, sekurang-kurangnya anak saya, Elley (Mohd. Shefflee) boleh meneruskan apa yang saya lalui hari ini.”

Sebagai anak, Elley, gitaris kumpulan The Big Bang ini berbangga kerana berayahkan Man Kidal. Tetapi sebagai pemuzik (gitaris), pintanya jangan dibandingkan seorang Man Kidal dengan Elley.

“Saya macam biasa sahaja, jadi anak Man Kidal tidak pernah memberi tekanan pada saya. Kalau nak dibandingkan saya dengan dia, mana boleh saya jadi Man Kidal. Saya cuma darah-dagingnya, tapi jangan orang mengata bapa saya sudah,” jawab Elley menjelaskan situasinya sebagai pemuzik yang membawa gelaran anak Man Kidal.

Powered by Kosmo

Konsert Amal Kasih Cetuskan Pelbagai Perasaan

14 Apr

Oleh ABD. AZIZ ITAR aziz.itar@utusan.com.my

SANDARKAN Pada Kenangan menyatukan Misha Omar dan Jamal di atas pentas persembahan hingga mencetuskan gosip mengatakan mereka sedang bercinta.

KONSERT Amal Kasih yang berlangsung di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11, 12 dan 13 April lalu menimbulkan pelbagai perasaan sama ada di kalangan para penonton mahupun artis-artis yang menjayakan konsert tersebut.

Para penonton bukan sahaja dibawa mengimbau nostalgia lagu-lagu malar segar yang dinyanyikan oleh Jamal Abdillah dan Saleem pada konsert selama hampir dua jam anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) itu.

Malah, Jamal yang menjadi tonggak utama konsert itu misalnya, turut mencetuskan gosip terbarunya apabila dia dikatakan dalam diam menaruh hati terhadap Misha Omar yang juga menjayakan konsert tersebut.

Menurut sumber, Jamal bukan sahaja menaruh minat terhadap Misha tetapi penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak itu juga dilihat begitu intim ketika sesi-sesi latihan sebelum konsert itu diadakan.

“Saya perhatikan Jamal memang hendak ‘rapat’ dengan Misha. Daripada segi perwatakannya ketika bersama Misha, saya yakin dia ada hati, cuma dia (Jamal) segan hendak berterus-terang,” kata sumber itu ketika ditemui dua hari sebelum konsert tersebut berlangsung.

Gosip itu diperkuatkan lagi apabila sewaktu persembahan malam pertama konsert bagi mengisi tabung Pengasih itu, Jamal secara tidak langsung telah ‘meluahkan perasaannya’ kepada penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta itu.

“Saya memang teringin sangat mahu berduet dengan Misha. Beliau bukan sahaja seorang penyanyi yang bagus, tetapi apa yang lebih penting dia masih single (bujang).

“Dengan penuh rasa kasih sayang, saya ingin menjemput beliau ke pentas,” ujarnya sebelum berduet dengan Misha menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Misha yang menyedari tentang gosip itu tidak menafikan bahawa beliau agak gementar ketika berdepan dengan Jamal di mana beliau menganggapnya sebagai seorang penyanyi yang amat dikaguminya.

Saya tidak nafikan perkara itu. Bagi saya, Abang Jamal memang hebat. Kalau saya tengok Mawi pun tidak macam ini,” ujarnya yang turut menerima sekuntum bunga mawar merah daripada Jamal di pentas persembahan mereka pada malam itu.

Meskipun banyak berceloteh dan bergurau senda dengan Misha pada persembahannya, tetapi Jamal berjaya menyampaikan kesemua lagunya dengan baik tanpa terlupa lirik.

Sebagai penyanyi yang pernah melalui banyak pengalaman pahit seperti menagih dadah dan gagal dalam tiga perkahwinannya, Jamal juga akur dengan kelemahannya itu serta meminta agar para peminat melupakannya.

“Betul seperti kata Tun (Dr. Mahathir) sebelum ini bahawa Melayu mudah lupa, termasuklah saya yang kadang-kala terlupa lirik,” katanya sambil disahut gelak ketawa para penonton.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang merupakan tetamu kehormat pada konsert kendalian oleh Box-Office Malaysia itu turut ketawa dengan celoteh Jamal itu.

Selain Jamal, Saleem yang menjayakan konsert itu seakan-akan turut cuba meluahkan perasaannya kepada isterinya, Julia yang menyaksikan konsert tersebut menerusi lagu Juita yang kemudiannya bertukar menjadi ‘Julia’.

“Saya tujukan lagu ini (Juita) khas untuk isteri tersayang saya, Julia yang tabah menemani saya sejak dari dulu sampailah sekarang,” ujarnya lantas menerima tepukan gemuruh penonton.

Sememangnya Konsert Amal kasih telah mencetuskan pelbagai perasaan terutamanya penampilan lagu-lagu malar segar yang disampaikan oleh para artis pada malam itu.

Datuk Ahmad Nawab membuka tirai persembahan dengan tiupan saksofonnya menerusi lagu instrumental berjudul Kasih pada pukul 9.10 malam.

Saleem memulakan nostalgia lagu-lagu popularnya ketika bersama kumpulan Iklim apabila beliau muncul mendendangkan lagu-lagu seperti Hakikat Sebuah Cinta, Suatu Kesan Abadi, Merisik Khabar yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Kamelia (Sweet Charity).

Tidak perlu

Sayangnya, selepas persembahan Saleem itu muncul persembahan instrumental Pak Ngah dan S. Atan sambil bermain akordian yang dilihat tidak perlu serta seolah-olah hanya untuk mengisi ‘masa rehat’ Saleem dan Jamal di belakang pentas sahaja.

Ini kerana, persembahan itu seakan-akan melenyapkan sedikit keghairahan para penonton yang ketika itu sedang hangat dibuai suara gemersik lemak merdu Saleem yang dianggap sebagai Raja Balada Malaysia.

Bagaimanapun, para penonton teruja semula apabila Jamal muncul di pentas dengan menyampaikan lagu Gerhana Cinta Luka yang pernah dipopularkan oleh Saleem dan Iklim pada tahun 1990-an.

Selain itu, Jamal yang digelar Raja Pop tempatan turut menyampaikan lagu-lagu seperti Madah Seloka, Malam Minggu Yang Mesra dan Kekasih Awal Dan Akhir.

Dalam pada itu, Saleem turut tidak ketinggalan menyampaikan lagu Mati Hidup Semula yang pernah dipo- pularkan oleh Jamal suatu ketika dulu.

Kehangatan semakin terasa ketika Saleem tampil dengan ‘lagu berhantunya’ berjudul Suci Dalam Debu apabila para penonton menyanyikannya bersama-sama.

Konsert yang mengenakan harga tiket dari RM90 hingga RM350 itu turut menjadi gemuruh dengan kemunculan kumpulan Blues Gang yang sudah lama tidak mengadakan persembahan pentas.

Blues Gang tampil dengan anggota-anggota asalnya termasuklah Karim (pemain dram) meskipun dua jari kakinya telah dipotong baru-baru ini kerana penyakit kencing manis.

Ito selaku vokalis sempat menyampaikan dua buah lagu berjudul Ibu dan Apo Nak Di Kato sambil diiringi persembahannya oleh empat lagi anggota Blues Gang iaitu Ghani (piano), Karim (dram), Julian (gitar) dan Jim (bass).

Ahmad Nawab kemudiannya muncul bersama pemain gendang, Steve Thontorn dan gitaris, Man Kidal dalam sebuah lagu instrumental dan sebuah lagu berjudul Calipso Samba.

Paling menarik perhatian ialah melalui lagu Seniman Menangis di mana Jamal berjaya menyanyikan lagu yang bernada tinggi itu dengan diiringi tiupan saksofon komposer veteran tersebut.

Kemuncak konsert yang hanya memenuhi separuh daripada Dewan Pleno itu apabila semua artis tampil di hadapan pentas sambil menyanyikan lagu berjudul Kasih ciptaan Ahmad Nawab secara beramai-ramai.

Powered by Utusan Malaysia

Yazid, Adibah Berduet

22 Mar

LAGU Mungkinkah ciptaan M.Sani yang pernah yang dicanangkan sebagai lagu kontroversial tahun ini menjadi lebih hangat apabila versi duet Yazid Abu Bakar dan Adibah Noor akhirnya ‘dilancarkan’ dalam majlis hi-tea di Orchid Inn Country Club, baru-baru ini.

Ternyata, versi Yazid/Adibah lebih mirip kepada nyanyian asal penyanyi Emilia Contessa – yang cukup syahdu dan tinggi alunan nadanya.

Versi penyanyi Azyza, yang pertama kali mempersembahkan lagu itu di depan awam dalam majlis pertemuan Persatuan Pemuzik Melayu Singapura (Perkamus), di The Arts House, pula mendapat gubahan baru Moliano dengan muzik ada ciri teknonya.

Persembahan Yazid dan Adibah, dengan iringan petikan gitar Man Kidal dan permainan piano Syawal Kassim, sejauh ini belum dirakamkan secara rasmi di studio.

Ketika ditemui, Adibah berkata beliau menerima pelawaan Yazid untuk berduet biarpun sebelum ini beliau tidak begitu mengenali vokalis daripada kumpulan Lovehunters itu.

‘Saya tak tahu Yazid popular ke tidak. Saya percaya saja kemampuannya. Ternyata dia memang bagus dan ramai peminat di sini,’ kata Adibah.

Powered by Cyberita