Archive | Nur Shahila RSS feed for this section

Shila Rasa Bersalah

22 Aug

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

JIKA bukan Ayu yang bergelar juara One In A Million musim kedua (OIAM 2), gelaran tersebut sudah pasti menjadi miliknya. Naib juara OIAM 2, pemilik nama Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah ini dilihat begitu gagah mengharungi perjalanan seni dengan tenang.

Kalah kepada Ayu atau nama penuhnya, Norayu Damit dalam program berkenaan bukannya satu penghalang untuknya terus mara. Namun anehnya, sebaik sahaja program tersebut tamat, kelibatnya semakin dirasai khalayak peminat berbanding Ayu.

Justeru, apabila ada banyak pihak yang mengatakan populariti Shila telah mengatasi sang juara yang juga merupakan sahabat baiknya itu, ia telah menimbulkan sedikit kegusaran di hati anak dara N.D Lala ini.

“Secara jujur, kedang-kala terbit juga rasa serba salah dalam diri sebab saya bukannya juara tetapi orang masih mahu mengambil saya untuk menjadi penyanyi.

“Macam mana pun, saya anggap itu rezeki masing-masing, Ayu dapat rezeki awal dengan jadi juara OIAM dan rezeki saya selepas keluar OIAM. Kalau saya asyik menyalahkan diri, sampai bila saya hendak maju dalam industri seni ini.” jelasnya.

Sungguhpun Shila bukan bergelar seorang pelakon, dia sering muncul sebagai penyanyi lagu tema dalam drama-drama terbitan 8TV, malah dia kini dilihat umpama duta stesen berkenaan pula bukannya Ayu.

“Saya memang berkawan baik dengan Ayu sejak dalam OIAM lagi, sebab masa OIAM bila ada cuti dan dia tidak dapat balik ke Sabah, dia akan tinggal bersama keluarga saya sebab itu keluarga saya pun rapat dengannya.

“Dan tentang saya umpama duta 8TV itu, saya rasa mereka memilih saya untuk menyanyi lagu tema drama-drama kerana saya menepati kriteria yang mereka cari,” ujarnya.

Tambah Shila lagi, menurut Ketua Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar, mereka menilai saya daripada segi kesesuaian bukannya kerana pilih kasih atau pun apa.

“Jika ada lagu yang berentak perlahan pasti akan diberi kepada Ayu bukannya saya, oleh itu tidak timbul siapa lebih bagus atau popular. Pilihan dibuat kerana kesesuaian,” ujarnya.

Apabila timbul isu siapa lebih popular dan menyerlah, pastinya hal ini sedikit sebanyak turut menganggu hubungan persahabatan dua gadis ini.


SAHABAT baik. Ayu turut memeriahkan hari jadi Shila.

Namun, Shila menegaskan, hal itu hanya isu remeh-temeh yang tidak akan menganggu hubungan baik antara mereka berdua.

“Kami langsung tidak pernah ada apa-apa masalah dan kami sebenarnya menyanyikan lagu dari genre yang berbeza sebab itu saya kata perjalanan kami berbeza dan tidak mungkin kami akan bermusuhan.

“Kami berdua sedang cari tapak untuk berdiri, cuma mungkin cara kami sedikit berbeza. Memang kami bersahabat tetapi dalam masa yang sama Ayu juga merupakan saingan terdekat saya. Saya cuma ingin tampilkan yang terbaik, begitu juga dengan Ayu,” tuturnya jujur.

Katanya lagi, mungkin kelebihannya berbanding Ayu adalah dia sudah mula menyanyi sejak berumur 8 tahun lagi dan dengan pengalaman yang dimilikinya itu memudahkan lagi gerak langkahnya sebagai penyanyi.

Meskipun begitu, ia langsung bukan alasan untuknya meninggi diri kerana dia merasakan terlalu banyak perkara yang dia masih perlu pelajari.

“Saya menghormati Ayu sebagai sahabat, dan juga melihat dia sebagai seorang penyanyi yang bagus. Malah, kini kami berdua sedang dalam proses merakam album masing-masing secara serentak.

“Apa pun, album Ayu tetap akan muncul di pasaran terlebih dulu daripada saya kerana dia juara dan saya hanya berada di tempat kedua. Mana boleh saya melangkaui Ayu dalam hal ini,” katanya lagi.


MERAIKAN hari jadi ke-18 bersama keluarga tersayang.

Rancang label pakaian

Sementara itu, dia yang ditemui ketika majlis sambutan hari lahirnya yang ke-18 baru-baru ini dilihat sungguh fokus dengan apa yang dijalani kini.

Selain membina kerjaya dalam bidang nyanyian, dia juga bergelar seorang pelajar di sebuah kolej swasta dalam jurusan pengurusan perniagaan.

“Saya daftar masuk ke kolej pada 7 Julai lalu, dan syukur kerana yuran saya ditaja oleh kolej serta 8TV. Jadi ia telah memudahkan saya daripada segi kewangan.

“Oleh kerana itu saya berazam untuk memberi yang terbaik sepanjang belajar di kolej ini. Dan berharap agar saya dapat membahagikan masa sebaik mungkin,” terangnya.

Cerita Shila lagi, pengalamannya bergelar seorang pelajar kolej sungguh mengujakan kerana suasananya sungguh berbeza daripada alam persekolahannya.

“Perbezaan sejak saya masuk kolej, suasananya memang berbeza dan saya seronok sebab ia dunia yang baru buat saya. jurusan yang saya ambil sungguh bertepatan dengan kehendak saya sebab saya bercita-cita mahu membuka syarikat sendiri.

“Mana tahu rezeki, sebab saya merancang untuk buka satu label yang menjual pakaian mengikut fesyen saya sendiri dengan harga yang berpatutan kepada peminat,” tuturnya penuh yakin.

Luahnya lagi, walaupun sudah belajar di kolej tetapi dia tetap tinggal dengan keluarga, malah ibunya yang sering menghantarnya ke kolej jika ada kuliah.

“Saya bukannya manja tetapi saya lebih selesa tinggal dengan mereka, lagipun ia lebih memudahkan saya yang membuat dua pekerjaan sekali gus ini,” jelasnya.


SHILA tidak menafikan Ayu merupakan saingan terdekatnya dalam dunia seni.

Enggan cinta sesama artis

Beralih kepada soal cinta, gadis yang lahir pada tanggal 13 Ogos 1990 ini mulanya tersipu malu, tetapi menegaskan kini bukanlah masa yang sesuai untuk dirinya bercinta.

Sementelah, dia juga terlalu sibuk dengan pelajaran dan kerjaya, b agi Shila biarlah perhatian di fokuskan pada perkara yang lebih penting dahulu.

“Buat masa sekarang ini saya masih terlalu muda dan mentah untuk memikirkan soal cinta. Kalau saya mahu bercinta sekarang, ibu bapa saya akan perli, sudah mahu kahwin ke? (ketawa).

“Mungkin hati saya akan terbuka dan benar-benar serius dalam percintaan apabila umur saya sudah mencapai angka 21 dan ke atas,” ujarnya.

Bicara Shila lagi, jika dia sudah bersedia untuk bercinta, seeloknya dia tidak mahu bercinta sesama artis. Tidak tahu apa alasannya. Malah, dia juga mengatakan mahu seorang lelaki yang lebih tinggi daripadanya dan mempunyai kulit yang cerah. “Itu hanya idaman saja, andai jodoh, terima saja (ketawa),” ucapnya.

Hadiah hari lahir

Bercakap mengenai hari jadi, pastinya tidak lengkap jika tidak menyentuh tentang hadiah yang diterima.

Bagaimanapun menurut Shila, dia bukanlah jenis yang suka memaksa ibu bapanya untuk memberi hadiah setiap kali tiba hari lahirnya.

“Saya terima saja apa yang mereka mahu beri, pada saya perhatian dan kasih sayang yang mereka berikan sebenarnya hadiah yang tidak ternilai pernah saya dapat.

“Apa pun saya berterima kasih kerana mereka sudah bersusah payah untuk saya selama ini. Saya mahu membalas jasa mereka satu hari nanti kerana menjadi ibu bapa yang paling baik untuk saya,” kata Shila mengakhiri bicara.

Kosmo

Advertisements