Archive | Spice Girls RSS feed for this section

Victoria Ditawar Berlakon

12 May


VICTORIA dan suaminya, Beckham.

LOS ANGELES – Aktor Hollywood, Tom Cruise mengundang isteri bintang bola sepak David Beckham, Victoria untuk memegang peranan kecil dalam filem The Hardy Men, lapor sebuah akhbar semalam.

Victoria yang merupakan bekas anggota kumpulan Spice Girls ditawarkan peranan itu setelah dia diupah oleh aktor Tom Cruise untuk mereka kostum pelakon The Hardy Men. Ketika majlis ulang tahun ke-34 Victoria yang diadakan baru-baru ini, penyanyi itu kelu selepas Cruise membuat tawaran supaya dia mencipta kostum pelakon filem tersebut.

Menurut akhbar The Daily Express, Cruise turut mengundang Victoria untuk melakukan satu penampilan istimewa dalam filem itu. – Agensi

Kosmo

Merebut Gelaran My Lovely Mum

9 May

Oleh ADHAM SHADAN

Berjalan beriringan secara berpasangan, ibu-ibu itu yang beraksi bagai model fesyen di pentas peragaan, memukau pandangan audiens.


NG BEE PENG (tengah) diapit Chriz (kiri) dan Vinly.

LAGU Mama dendangan Spice Girls berkumandang dan 12 orang ibu berdiri penuh bergaya di atas pentas. Tampil memperagakan pakaian kasual, kehadiran mereka bukan sahaja mencuri perhatian para penonton di bawah pentas bahkan segenap pengunjung yang membeli-belah di pusat membeli-belah Mines Shopping Fair, Seri Kembangan, Selangor, dua minggu lalu.

Mereka bergilir-gilir berjalan ke hadapan pentas sambil memperkenalkan diri masing-masing dalam persaingan merebut gelaran ratu My Lovely Mum 08. Juara pertandingan itu akan bertanding di peringkat akhir antarabangsa di Shenzen, China pada 10 Mei ini.

Pertandingan berkonsepkan ratu cantik itu merupakan anjuran rangkaian pusat membeli-belah CapitaLand Retail. Ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada ibu-ibu. Hadiah yang ditawarkan cukup lumayan iaitu bernilai lebih RM50,000 dan semua perbelanjaan pergi balik Shenzen ditanggung pihak penganjur telah berjaya menarik perhatian sehingga hampir 100 penyertaan. Kini, 12 peserta akhir dihimpunkan untuk perhitungan terakhir.

Selepas memperagakan pakaian kasual, ibu-ibu itu meninggalkan pentas sebelum kembali tampil anggun memperagakan kejelitaan mereka dalam sepersalinan pakaian malam.

Berjalan beriringan secara berpasangan, ibu-ibu yang beraksi bagai model fesyen di pentas peragaan, memukau pandangan audiens.

Berusia semuda 23 tahun hingga 56 tahun, ibu-ibu itu berusaha untuk memikat hati juri yang menilai mereka daripada pelbagai aspek kecantikan. Juri-juri turut memilih pemenang bagi kategori elegan, kulit tercantik dan rambut tercantik.

Seusai pusingan pakaian gaun malam, ibu-ibu itu pula diduga kebijaksanaan mereka memberikan pandangan dan kefasihan tutur kata dengan soalan-soalan tertentu berhubung ibu.

NG BEE PENG bergaya dalam persalinan pakaian malam.

Antara soalannya ialah adakah memasak satu tugasan wajib bagi para ibu? Adakah tugasan ibu seperti pembantu rumah? Apakah yang akan anda lakukan jika anak anda mahu berkahwin dengan mereka yang lebih berusia daripada anda? dan sebagainya.

Setelah kira-kira dua jam pertandingan berlangsung, juri-juri yang terdiri daripada pengurus pusat Mines Shopping Fair, Fern Tan, selebriti, Azizah Ariffin, pengarah jualan dan pemasaran HerbaLine, Simon Oii, pengasas Derrick & Team, Derrick Ho dan pengurus pembangunan bisnes Hong Kong Sas, Shea Li akhirnya sebulat suara memilih seorang surirumah Ng Bee Peng, 31 untuk menjuarai pertandingan tersebut.

Tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh Vinly Yim Hui Ching, 35 manakala tempat ketiga dimenangi oleh seorang perunding kecantikan, Chriz Chen Soo Woon,24.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini walaupun saya tidak menyangkanya,” kata Bee Peng yang memberitahu suami dan anaknya yang berusia 16 bulan tidak dapat bersama meraikan kejayaannya kerana anaknya tidak sihat.

“Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa kelak,” katanya yang juga memenangi gelaran ibu paling elegan.

Vinly yang merupakan eksekutif pentadbiran pula berkata, dia memang gemar memasuki pertandingan seperti ini dan sudah beberapa kali menyertainya.

PESERTA OKU Yosie Noor Raisus tidak ketinggalan mengambil bahagian.

“Saya amat teruja untuk menyertai pertandingan seperti ini,” katanya yang menerima ciuman daripada anak-anaknya.

Pertandingan My Lovely Mum ini bukan sahaja telah menarik minat golongan ibu berkerjaya profesional bahkan ada antara 12 peserta akhir merupakan seorang kurang upaya (OKU).

Ketidakupayaan Yosie Noor Raisus yang mengalami masalah pendengaran dan percakapan mula dikenalpasti para penonton sebaik sahaja anak perempuannya yang bertindak ‘mengambil alih’ bagi memperkenalkan dirinya sejak awal pertandingan.

Dengan semangat yang kuat dan keyakinan yang tinggi, Yosie telah menyentuh hati orang ramai dengan menunjukkan keberaniannya beraksi di atas pentas.

Walaupun pertandingan My Lovely Mum merupakan aktiviti tahunan CapitaLand Retail, namun ia baru buat pertama kalinya diadakan di Malaysia. Pemenang pertandingan ini bakal bersaing dengan peserta-peserta dari Beijing, Moaming, Nanhai, Quanzhou, Shenzen dan Zhenjiang, China serta Singapura dan Tokyo, Jepun.

VINLY menerima ciuman daripada anak-anak dan anak saudaranya.

My Lovely Mum 08 telah mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak, termasuk Gemini, The Shoe Connection, Derrick & Team Hairdresser, SQE Jewellery, Sasa, HerbaLine, TV3, B&H, SenQ dan Hock Hua Tonic.

Kosmo