Archive | Cyberita RSS feed for this section

‘Kakak Pernah Lakukan Seks?’

17 Apr

Soalan yang gamamkan mentor

APABILA Cik Nur Maria Samatha Ismail menjadi mentor bagi Program Memperkasa Remaja Perempuan (EPG) kendalian Yayasan Mendaki, beliau sudah bersedia menjawab pertanyaan mengenai kerjayanya sebagai Konsultan Kewangan.

Bagaimanapun, beliau tersentak apabila soalan yang dikemukakan para remaja yang menyertai program itu lebih bersifat peribadi.

‘Kakak ada teman lelaki?’, ‘Kakak pernah lakukan seks?’. Demikian antara soalan yang perlu ditangani Cik Maria, 26 tahun, yang belum berumah tangga.

‘Pada mulanya, saya terkejut dan gamam. Tapi lama-kelamaan saya lebih selesa berbual dengan mereka mengenai perkara-perkara ini.

‘Hakikatnya, isu-isu sedemikian menjadi keprihatinan remaja sekarang,’ ujarnya.

Cik Maria, yang menyertai EPG tahun lalu, berkata peluang menyumbang semula kepada masyarakat, terutama kepada remaja perempuan, adalah tarikan utama bagi beliau menyumbang tenaga kepada EPG.

Selain menghabiskan masa mendekati remaja perempuan yang menyertai program itu menerusi sesi-sesi dialog, bekas instruktor Pusat Bina Semangat Singapura (OBS) itu juga memimpin kumpulan kecil Sukan dan Kembara di bawah program tersebut.

Menurutnya, sejak melibatkan diri dalam program itu, beliau telah dapat melihat perubahan dalam diri sesetengah pesertanya.

Menjelaskan, Cik Maria berkata, beliau dapat melihat kayakinan diri remaja-remaja itu berkembang dan mereka lebih yakin dengan keupayaan diri sendiri.

‘Alhamdulillah, kerana inilah matlamat kami. Untuk meningkatkan keyakinan diri remaja-remaja ini supaya mereka sedar mereka mampu berjaya dengan usaha sendiri,’ katanya.

Bagaimanapun, manfaat program EPG itu bukan hanya berlaku sehala.

Cik Maria berkata, selain menyumbang kepada pembangunan remaja-remaja itu, pengalaman melibatkan diri dalam EPG turut meninggalkan kesan dalam dirinya.

‘Masa zaman kanak-kanak, kehidupan saya begitu terlindung, jadi proses ini telah membuat saya lebih menghargai keluarga saya.

‘Saya juga sedar bahawa saya mampu meninggalkan kesan kepada remaja-remaja ini hanya dengan mendampingi mereka. Banyak yang saya pelajari daripada mereka. Jadi prosesnya bukan hanya sehala,’ tambah beliau tersenyum panjang.

Cyberita

Psoriasis – Tompok Merah Di Seluruh Tubuh

15 Apr

PSORIASIS (sebut: so-rai-sis) ialah penyakit kulit yang menyebabkan tompok-tompok merah di bahagian badan termasuk kulit kepala, tangan dan kaki.

Penyakit ini juga boleh membuat kulit mengupas dan mereka yang menghidapi penyakit ini boleh meninggalkan kulit-kulit kering dan mati di mana sahaja mereka pergi.

Mereka yang menghidapi penyakit ini selalunya kurang keyakinan diri dan cuba sedaya upaya tidak menghadiri perhimpunan-perhimpunan sosial kerana malu dengan keadaan kulit mereka.

Menurut Konsultan Ahli Dermatologi di Pusat Kulit Kebangsaan, Dr Colin Theng, psoriasis merupakan sejenis penyakit turun temurun.

‘Psoriasis bukan sejenis penyakit yang boleh berjangkit. Selalunya sekitar 30 peratus pesakit mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapi penyakit tersebut. Namun keadaan persekitaran juga boleh menyumbang kepada seseorang mengalami psoriasis,’ katanya.

Selalunya mereka yang menghidapi penyakit ini berusia antara 20 dengan 30-an tahun.

Namun kanak-kanak juga boleh dijangkiti psoriasis tetapi ia jarang berlaku.

Bagi psoriasis ringan, ia boleh diubati dengan menggunakan krim seperti topical steroid, coal tar dan vitamin analogues.

Namun bagi mereka yang mengalami psoriasis yang lebih serius, rawatan phototherapy yang menggunakan cahaya ultralembayung (UV light), merupakan satu pilihan rawatan yang baik.

‘Kini ada satu lagi rawatan baru yang lebih berkesan. Ia merupakan ubat biologi yang dihasilkan ekoran kemajuan dalam kejuruteraan bio. Ia dapat menyekat laluan dalam sistem ketahanan diri melawan penyakit (immune system) yang menyebabkan psoriasis.

‘Dalam ujian yang dilakukan sebelum ini, kami dapati sekitar 70 peratus pesakit dapat mengurangkan sehingga 75 peratus psoriasis dari tubuh mereka.

‘Rawatannya juga mudah kerana para pesakit hanya akan disuntik tiga kali dalam masa sebulan,’ jelas Dr Then lagi, yang juga merupakan Presiden Persatuan Psoriasis Singapura.

Cyberita

Bilik Pengantin Idaman

13 Apr

Fabrik langsir sepadan dengan hiasan katil boleh tambahkan seri

Oleh
Amilia Gani

ANTARA soalan yang pernah saya terima sebagai pereka hias profesional ialah daripada seorang bakal pengantin.

Beliau memberitahu bahawa teman-temannya ingin menghiaskan bilik pengantin pada hari majlis perkawinannya kelak.

Walaupun teman-temannya tidak berpengalaman menghias, beliau bersetuju untuk menerima saranan mereka kerana dengan cara demikian beliau mungkin juga dapat berjimat.

Lantas, beliau meminta nasihat saya tentang bagaimana menghias bilik pengantin.

Bilik pengantin adalah ruangan yang paling popular pada hari majlis perkawinan.

Hadirin yang datang, terutama tamu perempuan akan menjengah ke bilik pengantin dan melihat-lihat pengantin serta perhiasan yang ada di dalam bilik tersebut.

Memilih bilik pengantin adalah langkah pertama sebelum menentukan apakah pengantin memerlukan seorang penata hias ataupun hanya memerlukan teman untuk menghias bilik pengantin tersebut.

BILIK PENGANTIN DI RUMAH PENGANTIN SENDIRI

Sekiranya bilik pengantin adalah di rumah pengantin sendiri dan di bilik tidur utama, maka pengantin mungkin memerlukan hiasan dalaman serta aksesori yang lebih kekal.

Maka itu, seorang penata hias amat sesuai diberi tugas untuk menghias bilik itu supaya ia tidak sahaja sesuai dengan majlis, bahkan akan membuatnya lebih berfungsi selepas majlis perkahwinan.

Seperti juga mengubah suai sebuah rumah, penata hias akan berbincang dengan pengantin tentang konsep keseluruhan majlis pengantinnya.

Adakah majlis itu berkonsep tradisional, moden atau kontemporari dan apakah warna yang akan digunakan untuk pelamin?

Contohnya, dinding bilik tersebut berwarna biru dan penghuni telah memilih konsep putih merah.

Penata hias mungkin dapat mengubah suai perabot-perabot di bilik itu serta memilih jenis bahan, warna, reka bentuk dan ruang yang ada untuk menimbulkan suasana yang di idamkan oleh pengantin.

Pentas pelamin, baju, bunga, tempat majlis makan dan sebagainya semuanya harus berhubungan.

BILIK PENGANTIN DI RUMAH IBU BAPA

Ada kala bilik pengantin terletak di rumah ibu bapa dan bilik itu hanya digunakan untuk sementara sahaja. Tentu sekali peruntukan bagi menghias bilik pengantin itu tidak perlu keterlaluan.

Menghias bilik pengantin tidak sahaja melibatkan pembelian aksesori yang baru, menukar kain langsir serta membersihkan bilik. Dekorasi sebegini hanya mencantikkan bilik, tetapi tidak semestinya menyerikan suasana majlis perkahwinan itu.

Dalam mendapatkan teman-teman untuk membantu menghiaskan bilik atau menggunakan khidmat penata hias, ada beberapa perkara yang perlu yang diberikan perhatian:

Ruang bilik serta susunan perabot-perabot perlu diteliti. Tentukan bagaimana bilik itu akan memenuhi kegiatan majlis akad nikah dan sebagainya. Contohnya, tentukan tempat duduk pengantin, arah kiblat, berapa kerusi diperlukan dan bagaimana bilik akan didinginkan.

Warna dinding juga amat penting dan bagaimana ia boleh memberikan suasana yang lega dan lapang, lebih-lebih lagi bilik itu akan penuh sesak.

Bentuk katil serta warna cadar dan bantal harus sesuai dengan konsep yang dipilih. Warna dan fabrik langsir yang sepadan dengan hiasan katil juga boleh tambahkan seri.

Meja konsol dan meja mekap juga perlu dihiaskan dan pemilihan warna juga amat penting. Ia boleh di hiaskan dengan pasu bunga, lilin wangi atau aksesori yang menunjukkan karakter pengantin. Penggunaan cermin penuh yang tinggi juga amat berkesan.

Jangan hadkan tempat gambar berbingkai di dinding di atas kepala katil sahaja. Anda boleh kreatif dalam menentukan pilihan gambar dan tempat untuk meletakkan gambar berbingkai itu.

Pencahayaan bilik bukan semata-mata untuk menerangi ruangan. Penggunaan lampu siling, lampu meja, lampu tumpu atau lilin boleh membekalkan kesan dan fokus yang diperlukan.

Bilik pengantin akan kelihatan lebih indah dengan hamparan permaidani atau karpet. Banyak karpet yang mempunyai keunggulan tersendiri. Karpet dapat mengubah suasana ruangan menjadi romantis dalam sekelip mata.

Karpet juga dapat menutup jubin atau lantai yang sudah retak tanpa kita harus bersusah payah membongkar lantai.

Penggunaan kipas atau alat pendingin udara serta aroma harum juga boleh membawa keselesaan serta kesan yang tenang kepada semua yang berada di dalam bilik pengantin.

Membeli barang-barang untuk menghiasi bilik pengantin seperti bunga, cadar dan kain langsir, memakan masa dan perbelanjaan boleh mencapai $500 hingga $800.

Ada kala pengantin lebih selesa menggunakan khidmat penata hias dan harga khidmat mereka juga berpatutan.

Khidmat yang ringkas sekitar $400 hingga $900 dan khidmat penuh iaitu termasuk membina perabot dan katil boleh mencapai ribuan dolar.

Nota: Penulis ialah konsultan tata hias dari Facelift Design & Interiors Laman web beliau ialah http://www.faceliftdesign.biz

Cyberita

Lumba Basikal Dalam Darahnya

20 Mar

Bermula dengan aksi lasak basikal,
kini pelajar politeknik Republic
cenderung berbasikal laju

Oleh
Ervina Mohd Jamil

KALAU dahulu beliau suka mencuba pelbagai aksi lasak (stunt) basikal, kini Encik Ridhwan Shahjohan, 19 tahun, membawa minatnya kepada basikal ke medan perlumbaan pula.

Menurutnya, yang sangat berminat dengan aksi-aksi lasak basikal seperti ‘wheelie’ dan ‘bunny hop’ semasa di sekolah menengah dahulu, beliau kini lebih cenderung menyertai acara lumba basikal kerana pecutan adrenalin yang dapat dirasakannya tatkala berbasikal dengan laju.

‘Dulu, saya dan teman-teman sering bertemu di ‘hard court’ (gelanggang bukan rumput) dekat rumah kami selepas sekolah untuk mencuba aksi-aksi lasak dengan basikal kami.

‘Tapi semakin usia saya meningkat, saya semakin tidak minat dengan aksi-aksi lasak basikal lagi. Malahan pula, saya mendapatkan ‘kick’ daripada berbasikal dengan laju pula,’ jelas Encik Ridhwan.

Baru-baru ini, pelajar tahun kedua Politeknik Republic (RP) dalam jurusan penerbangan awam (civil aviation) itu menjuarai kategori usia 19 hingga 24 tahun acara lumba basikal 40km OCBC Cycle Singapore 2010.

Encik Ridhwan, yang menyertai lima acara lumba basikal sebelum ini, memulakan persiapan acara lumba itu sejak enam bulan lalu.

‘Kawan-kawan saya yang ‘kaki basikal’ turut berlatih sama dan mereka banyak memberi perangsang dan tunjuk ajar kepada saya,’ ujarnya.

Beliau aku persiapannya itu tidak tanpa sebarang cabaran. Cuaca yang panas dan kesuntukan masa adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapinya.

‘Acara lumba basikal itu berlangsung tiga minggu selepas cuti sekolah bermula dan dalam masa tiga minggu itu, saya harus menjalani latihan intensif sementara memastikan yang basikal saya dalam keadaan yang sempurna di hari perlumbaan.

‘Saya juga harus pastikan yang saya mendapat tidur secukupnya, makan makanan yang berkhasiat dan minum banyak air,’ jelas Encik Ridhwan, yang juga merupakan kapten Kelab Basikal RP.

Anak bongsu tiga beradik itu memberitahu Ritma Kampus bahawa ibu bapanya memahami minatnya dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepada beliau.

Malah, mereka juga yang membiayai kos untuk beliau terus bergiat dalam sukan itu.

‘Mereka membayar yuran untuk saya sertai acara-acara lumba dan membelikan snek-snek berkhasiat seperti muesli dan minuman isotonik untuk saya.

‘Saya berasa bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh mereka selama ini,’ kata Encik Ridhwan, yang berhenti bekerja sambilan sebagai penolong logistik tahun lepas agar beliau dapat meluangkan lebih masa untuk berbasikal.

Basikal yang bernilai lebih $1,500 yang digunakannya sekarang ini juga dibeli oleh ibu bapanya yang kedua-duanya bekerja sebagai pegawai teknikal (technical support officer), tambahnya lagi.

Meskipun jadualnya yang ketat kerana harus berlatih empat hingga lima kali seminggu, beliau tetap meluangkan masa untuk keluarga tersayang.

Pada hujung minggu, mereka sekeluarga keluar makan bersama, berkunjung ke rumah sanak-saudara ataupun bermain layang-layang berdekatan rumahnya di Woodlands, jelas Encik Ridhwan.

Menurutnya lagi, beliau juga harus pandai mengatur masa agar tidak mengabaikan pelajaran semata-mata kerana ingin bergiat dalam sukan yang sangat diminatinya itu.

Ditanya pula jika beliau ingin berkecimpung dalam sukan berbasikal ini secara profesional dalam masa yang akan datang atau menganggapnya sebagai suatu hobi sahaja, beliau berkata bahawa ia terlalu awal untuk diperkatakan.

‘Saya juga ingin menyertai pasukan basikal yang boleh memberi saya peluang mengikuti acaraacara lumba yang lebih besar lagi,’ ujar Encik Ridhwan yang bercita-cita menyertai acara-acara lumba di luar negera selepas ini.

Cyberita

Biar Rumah Kelihatan Luas

20 Mar

Idea hias rumah besar yang sesuai untuk flat

Oleh
Amilia Gani

SIAPALAH yang tidak mengidam tinggal di rumah besar?

Mendiami sebuah banglo tiga tingkat atau apartmen mewah memberikan semacam keselesaan dan membolehkan kita menghias rumah dengan pelbagai corak dan warna.

Namun, beberapa reka bentuk untuk rumah besar sebenarnya sesuai juga untuk penghuni yang tinggal di flat empat atau tiga bilik.

Menurut Encik Abdul Razak Jaffar, 38 tahun, pengarah urusan di firma Cartel Design Pte Ltd, beliau banyak menggunakan idea menghias rumah besar bagi pelanggannya yang mendiami rumah kondominium dan flat.

Encik Razak pernah menghias sebuah rumah besar yang didiami oleh akauntan, Cik Aishah Jaffar, dan suaminya, Encik Syed Alkhaird.

Setelah membeli sekeping tanah di Stone Avenue, mereka membina sebuah rumah besar yang dapat menampung keluarga mereka dan berpindah pada awal 2009.

Rumah Cik Aishah dan suaminya itu adalah jenis sebandung dua setengah tingkat dengan enam bilik tidur, satu ruang tamu, satu ruang keluarga, empat bilik mandi di dalam dan luar bilik dan dapur.

Rumah ini mempunyai reka bentuk luaran yang seakan-akan moden tropika, manakala bahagian dalaman mengutamakan gaya peranginan moden. Rumah besar ini kelihatan bersih, menarik dan menepati ciri-ciri rumah Bali.

Menurut Encik Razak, amat penting membina rumah yang kelihatan lapang, selamat dan ada halaman. Contohnya, ruang tamu rumah Cik Aishah bukan saja penuh bergaya, malah mewujudkan kesan luas dan lapang.

LANTAI

Dengan menggunakan lantai kayu yang tersusur dari pintu masuk atau menggunakan lantai jubin marmar putih berpetak besar (marble tiles) seperti 60 sentimeter kali 60 sentimeter yang berwarna cerah, ruang tamu mudah kelihatan besar.

Untuk flat HDB, kesan serupa boleh turut ditampilkan. Menyediakan dan memasang jubin besar untuk ruang tamu flat HDB sebenarnya tidaklah begitu mahal. Untuk ruang tamu dengan keluasan kira-kira 30 atau 40 meter persegi harganya sekitar $2,500.

PINTU DAN JENDELA

Rumah privet biasanya memasang pintu dan jendela kaca yang lebar di tempat seperti ruang tamu, bilik tidur, bahkan bilik mandi dan dapur.

Jendela kaca tidak hanya ditempatkan pada bahagian yang membatasi ruang dengan bahagian luar rumah, malah pada tembok yang menjadi sekatan antara ruang.

Dengan demikian, apabila jendela disingkap, ruang seolah-olah menembus dan kemudian menyatu dengan ruang di balik jendela. Penyatuan ruang inilah yang seolah-olah memberikan kesan luas dan lega.

Di rumah flat pula, ukuran pintu dan jendela yang tersedia biasanya tidak boleh ditukar. Maka itu untuk memberikan kesan luas dan lega, warna pintu, jendela dan dinding yang senada dengan warna bangunan yang sesuai boleh membuat ruang lebih nyaman dipandang.

DINDING

Di rumah Cik Aishah, ciri dinding di ruang tamu dan makan direka untuk mencipta tatacara santai dengan dinding batu pasir (sand stone).

Pewarnaan tembok rumah dengan warna-warna terang yang redup seperti putih dengan pelbagai nuansanya (broken white, ash white), putih sedikit kebiruan, putih sedikit bernuansa gading, putih sedikit bernuansa merah jambu atau hijau, akan memberikan pemandangan yang lebih melegakan dan membuat ruang terasa lebih luas.

PERABOT SIAP PASANG

Rumah Cik Aishah juga menggunakan perabot-perabot siap pasang untuk menjimatkan ruang. Keistimewaan kabinet siap pasang ialah ia sesuai diletakkan di mana-mana ruang, sama ada di bilik luas atau ruang sempit.

Ia menampilkan suasana lebih praktikal, kemas dan menyerikan penataan ruang. Ia juga membuat suasana penataan bilik tidur lebih tersusun dan kemas.

Kabinet siap pasang lebih praktikal, namun penghuni perlu teliti memilih jenis bahan, warna, reka bentuk dan ruang untuk dipasang kabinet itu.

DAPUR

Ruang dapur yang luas memberikan keselesaan sambil menampilkan suasana yang bersih dan teratur jika dilengkapi kabinet siap pasang berwarna cerah. Untuk menjadikan ruang dapur kecil yang lebih nyaman dan selesa, disarankan membina kabinet yang tinggi untuk menyediakan ruang penyimpanan secukupnya.

Kabinet yang dipilih sebaik-baiknya berpintu kaca lut sinar bagi menimbulkan kesan lapang. Jika permukaan pintu kabinet daripada kayu, maka tambahkan kemasan cermin. Selain tampil lebih menarik, langkah ini turut mewujudkan kesan luas secara ilusi.

Dapur di rumah besar juga mempunyai ruang untuk pelbagai fungsi seperti tempat memasak, ruang ketuhar, menyiapkan makanan, rak menyimpan buku-buku masak, perkakas untuk buat kopi, ruang hiasan dan sebagainya.

Fungsi-fungsi yang disebutkan ini juga boleh dibina untuk dapur di flat HDB yang tersedia kecil. Tetapi, kedudukan dan pemilihan perabot mesti betul.

BILIK MANDI

Bilik mandi di rumah privet biasanya lebih luas dan kadangkala mempunyai kolam mandi serta ruang mandi atau shower.

Yang lebih penting dalam mengubahsuai bilik mandi adalah memilih kelengkapan dan aksesori yang fungsinya sesuai dengan keperluan dan cara hidup kita. Sebagai contoh, sekiranya kita tidak memerlukan kolam mandi kerana lebih suka shower, maka kolam mandi tidak perlu ada.

Menghiasi bilik mandi dengan peralatan asas juga penting seperti mangkuk tandas, sinki, cermin dan pancuran air. Pemilihan warna yang bersesuaian turut boleh memberikan kesan luas pada bilik mandi dan gunakan cermin yang mencecah siling, pintu kaca gelungsur atau tabir mandi (shower screen).

Sebenarnya banyak peralatan dekor yang boleh disuaipadankan bagi mendapatkan suasana bilik mandi yang ceria lagi menenangkan.

Cyberita

Keberkesanan Skrin Sentuh

10 Mar

Teknologi Apple mendahului walaupun mutu jenama lain semakin meningkat

ADA pengguna telefon bijak Apple iPhone yang mungkin selalu bersikap berat sebelah dan terlalu memuji kelebihan telefon skrin sentuh itu.

Mereka sering mendabik dada dan memuji jumlah aplikasi yang ada (sekitar 160,000 aplikasi aktif) atau membanggakan faktor ‘cool’ yang mengiringi setiap produk bingkai putih daripada Apple.

Meluat bukan?

Namun satu ciri iPhone yang memang benar-benar mengatasi ciri-ciri yang dimuatkan oleh telefon bimbit yang lain adalah keupayaan skrin sentuhnya, menurut laman berita teknologi maklumat, Wired.

Skrin sentuh iPhone jauh lebih responsif daripada skrin sentuh BlackBerry Storm, Motorola Droid, Nexus One dan banyak lagi telefon bimbit bijak yang lain.

Perbezaan ini menghairankan kerana kesemua telefon bimbit bijak ini menerapkan perkakasan skrin sentuh yang sama – penghasil telefon bimbit biasanya membeli skrin sentuh sebagai komponen asing daripada sekumpulan pengedar yang sama.

Namun perkakasan semata-mata tidak dapat menentukan mutu respons sesebuah skrin sentuh.

Sebaliknya, keberkesanan fungsi skrin sentuh bergantung kepada gabungan faktor sofwe, kejuruteraan dan penentukuran (calibration).

Dan hanya segelintir penghasil telefon bijak yang berjaya mengimbangi faktor-faktor ini untuk menghasilkan skrin sentuh yang memenuhi jangkaan ramai, menurut pakar teknologi maklumat (IT).

‘Memang ada perbezaan mutu antara skrin sentuh iPhone dan skrin sentuh telefon bijak yang lain,’ kata naib presiden Moto Development Group (MDG), Encik Chris Verplaetse. Syarikat tersebut menghasil dan mengembangkan rekaan produk.

‘Bukankah anda merasai perbezaannya apabila anda menutup pintu kereta Mercedes dan menutup kereta Hyundai walaupun mereka dibina menggunakan keluli yang sama?’ tambahnya lagi.

Antara faktor yang boleh menjejas penentukur (calibration) sensor sentuh adalah butir-butir kejuruteraan, mutu sofwe dan tahap kesepaduan antara pengalaman sentuh dan ruang antara muka pengguna (user interface).

Ini tidak termasuk faktor lain yang sukar dihitung, seperti komitmen sesebuah syarikat untuk menghasilkan pengalaman skrin sentuh yang terbaik untuk pengguna.

Dan Apple nampaknya adalah syarikat yang paling berjaya mengimbangi kesemua faktor ini untuk menghasilkan produk yang amat berkesan, menurut Moto Labs, cabang kajian MDG.

Menguji kebolehan seseorang melakar garisan lurus di telefon bimbit mereka, ia mendapati skrin sentuh iPhone memberikan respons yang terbaik dalam kajian yang dilakukan Januari lalu.

Ia diikuti dengan HTC Droid dan Nexus One, walaupun skrin sentuh Motorola Droid muncul terakhir dalam ujian tersebut.

Evolusi skrin sentuh

Perkembangan dari segi penggunaan telefon bimbit – trend pengguna yang semakin bergantung kepada telefon bimbit mereka untuk melungsur Internet dan memeriksa e-mel – dalam beberapa tahun yang lalu mendorong penghasil telefon bimbit menerapkan keupayaan skrin sentuh kepada produk mereka.

Skrin sentuh awal merupakan skrin sentuh kerintangan (resistive).

Skrin sentuh seperti ini memuatkan dua jaluran logam tipis yang dipisahkan ruang kecil.

Apabila ditekan, jaluran atas akan menyentuh jaluran di bawah dan menghasilkan arahan elektronik yang kemudian diproses oleh cip pemprosesan telefon bimbit itu.

Malangnya, skrin sentuh ini tidak begitu responsif – anda perlu menekan sehendak hati atau menggunakan kuku atau penuding plastik (stylus) untuk merangsang respons daripada telefon bimbit anda.

Sebab itulah, kemunculan skrin sentuh kapasitans (capacitance) Apple dialu-alukan pengguna.

Ia tidak bergantung kepada tekanan di skrin sentuh untuk berfungsi.

Sebaliknya, ia bergantung kepada ciri-ciri elektrik yang wujud di kulit jejari anda.

Oleh itu, sentuhan paling lembut sekali sudah memadai untuk merangsang arahan elektronik dan mengawal fungsi telefon bimbit.

Teknologi kapasitans (capacitance) ini menjanjikan keselesaan pengguna, mengikut teori, namun ia tetap bergantung kepada beberapa faktor berasingan, ujar Encik Andrew Hsu, seorang pakar strategi teknologi di Synaptics, antara penghasil skrin sentuh terbesar di dunia.

‘Teknologi ini memerlukan kerja pembangunan yang banyak dan kepakaran kejuruteraan untuk melahirkan mutu ‘ajaib’,’ ujar Encik Hsu.

Bukan kerana perkakasan semata-mata

Sebab itulah, pengguna tidak mempunyai cara seratus peratus tepat untuk mengukur keberkesanan sistem kapasitans (capacitance) telefon bimbit mereka, menurut Encik Hsu.

Sesebuah skrin sentuh mungkin tepat dan pantas namun keberkesanannya bergantung kepada keupayaan visual telefon bimbit.

Telefon bimbit itu akan kelihatan lembap dan kurang responsif jika keupayaan visual telefon bimbit anda tidak sejajar dengan mutu skrin sentuh.

Keupayaan visual bergantung kepada keupayaan sofwe atau firmware, yang membolehkan pengguna menggunakan ciri-ciri sesebuah telefon bimbit.

‘Tidak menghairankan,’ kata Encik Hsu.

‘Lain sistem, lain kemampuannya,’ tambahnya.

Bersaing dengan Apple

Oleh kerana inilah, penghasil telefon bimbit bijak lain kini sedang bergegas cuba menyaingi mutu iPhone.

Baru-baru ini, penghasil Blackberry, Research In Motion, berjaya menyelesaikan masalah sofwe yang membuat setiap gambar tergendala sebelum dapat dilihat di skrin telefon bimbitnya.

Apabila sofwe tersebut diperbaiki, masa respons skrin sentuhnya dengan sendiri meningkat dan sekali gus memperbaiki pengalaman pengguna.

Satu lagi masalah yang membelenggu penghasil telefon bimbit bijak adalah memisahkan kuasa elektronik jari daripada gangguan arahan elektrik daripada sumber luar. Sesebuah skrin sentuh tidak akan memerlukan sebarang tekanan untuk mengesan arahan elektronik di jari seseorang sekiranya gangguan elektrik luar ini tiada.

Gangguan seperti ini sukar dielakkan kerana ia lahir daripada komponen telefon bimbit itu sendiri atau barangan di sekelilingnya.

Mengapa Apple lebih berkesan

Kejayaannya mengasingkan gangguan elektronik dengan lebih berkesan adalah satu kelebihan yang dimiliki Apple.

Ia menggunakan litar aplikasi khusus bersepadu (ASIC) buatan sendiri yang boleh melantangkan arahan elektronik dan sekali gus menenggelamkan gangguan elektronik luar.

Syarikat lain hanya membeli ASIC daripada pembuat cip pihak ketiga.

Satu lagi sebab mengapa skrin sentuh Apple lebih responsif adalah kerana ia menggunakan sumber kuasa elektrik 12 volt.

Penghasil telefon bimbit yang lain hanya menggunakan sumber kuasa elektrik 3-5 volt sahaja.

Walaupun voltan lebih tinggi ini bermakna hayat bateri akan terjejas, ia merangsang respons skrin kepada sentuhan, menurut satu kajian MDG.

Namun faktor paling ketara yang melontarkan Apple ke persada pasaran telefon bimbit skrin sentuh adalah kewujudan ketua pegawai eksekutif (CEO), Encik Steve Jobs.

Beliau terkenal dengan cara pekerjaan yang suka mencuba sendiri sesuatu produk yang dihasilkan syarikatnya.

Dan beliau tidak akan melancarkan sesuatu yang tidak memenuhi jangkaannya, menurut Encik Verplaetse.

‘Beliau besar kemungkinan selalu bertanya:

‘Adakah ini apa yang saya inginkan?’

Nota: Sumber daripada http://www.wired.com

Cyberita

‘Syair Melayu’ Art Fazil Hangat Di Jepun

27 Feb

KETIKA Art Fazil merakam album Syair Melayu yang melestarikan himpunan lagu kanak-kanak, beliau tidak tahu sejauh mana ia akan berjaya di pasaran kerana kurangnya nilai komersial terhadap keseluruhan konsep album tersebut.

Siapa sangka, album Art baru-baru ini telah menarik perhatian sebuah stesen radio di kota Osaka, Jepun, yang tidak saja kerap memutarkan lagu-lagu Melayu daripada album itu menerusi stesen fmosaka, bahkan wakilnya sanggup turun ke Singapura beberapa kali untuk membeli CDnya untuk di jual di negara matahari terbut itu.

Deejay fmosaka, Encik Maruhashi Motoi, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan lagu Art di Jepun, ketika ditemui wartawan menjelaskan, beliau pertama kali dikenalkan kepada CD Syair Melayu ketika mengunjungi toko muzik Muzika di Joo Chiat Complex pada akhir tahun lalu.

Selain bertugas sebagai deejay radio yang mengendalikan rancangan berkonsep muzik dunia, beliau juga mempunyai toko muzik menjual CD yang didapatkan daripada seluruh dunia.

‘Sebulan sekali, saya akan menjelajahi negara-negara tertentu di pelbagai pelosok dunia, untuk dapatkan muzik terbaru dan unik untuk rancangan siaran saya. Ketika berada di Muzika, saya minta disarankan album Melayu Singapura yang baik dan mereka mengesyorkan saya membeli Syair Melayu.

‘Pertama kali saya mendengarnya, saya cukup tertarik kerana irama Melayunya tersangat unik dan asli. Ia kedengaran mudah, tetapi mendalam,’ kata Encik Motoi, dalam bahasa Inggeris yang cukup asas.

Apabila pulang ke Osaka, album Art menjadi pilihannya untuk rancangan dedikasi World Music, diputarkan setiap hari selama seminggu. Stesen itu juga boleh diikuti menerusi Internet, menerusi laman fmosaka.com.

‘Berdasarkan maklumat yang saya dapatkan daripada syarikat pengedar album Life Record, saya menjelaskan kepada pendengar tentang latar belakang album itu dan bercakap tentang Art Fazil.

‘Nampaknya siaran selama seminggu itu mendapat sambutan, sebab di toko muzik saya, terdapat permintaan untuk membeli album Syair Melayu,’ tambah beliau.

Sehingga kini lagu-lagu Art masih diputarkan di stesen tersebut dan sudah mula diintai stesen-stesen Jepun yang lain.

Justeru, apabila beliau mengunjungi Singapura lagi, beliau membeli secara langsung sehingga 200 unit Syair Melayu sekali gus. Beliau juga merancang menjalinkan kerjasama dengan pihak Life Record untuk mengirimkan bekalan daripada katalog yang lebih luas untuk pasaran Jepun.

Apabila ditanya tentang trend muzik di Jepun ketika ini, Encik Motoi berkata J-Pop masih menguasai pasaran, tetapi trend penjualan CD dikatakan cukup lembap kerana Jepun juga dilanda fenomena muzik muat turun menerusi Internet.

‘Mereka akan hanya membeli CD yang susah untuk didapatkan di Internet. Penggemar muzik dunia juga lebih suka beli CD. Justeru, muzik dunia seperti Syair Melayu masih berpotensi dijual di sana,’ ujarnya.

Art, yang turut diinterviu Encik Motoi untuk rancangan radionya, mengakui beliau tidak menjangka albumnya dapat menarik perhatian pendengar bukan Melayu. Di Singapura, kira-kira 1,000 album tersebut telah terjual.

Selain Jepun, Art berkata, label di Indonesia, Bravo Music, juga bakal memasarkan album itu di sana. Pengubahsuaian pada kulit album juga dibuat untuk kedua-dua pasaran Indonesia dan Jepun.

Di Malaysia, Art telah mendapat penghormatan untuk muncul dalam kesemua 13 episod rancangan kanak-kanak, Shana Nina, terbitan TV1. Rakaman rancancan itu sudah pun selesai dijalankan dan episod pertamanya dijangka ke udara pada 17 Mac.

Dalam rancangan itu, Art menyanyikan lagu-lagu yang terdapat dalam Syair Melayu seperti Air Pasang Pagi, Bangau Oh Bangau, Ikan Kekek, Lagu Tiga Kupang, Nenek Si Bongkok Tiga dan sebagainya.

‘Walaupun album ini mengumpulkan lagu kanak-kanak, namun pendekatannya dibuat secara dewasa. Kita menghormati penyusunan muziknya dengan teliti, menggunakan instrumen- instrumen tradisional yang betul, bukan setakat diiringi keyboard biasa.

Saya kira, sebab itulah ia dapat dihargai masyarakat luar yang tahu kualiti muzik.

‘Saya tak berani meletak harapan terlalu tinggi tetapi berdasarkan maklum balas, saya rasa album ini akan berada lama di pasaran,’ ujar Art.

‘Syair Melayu’

Art Fazil

Cyberita