Archive | Asmawi Ani RSS feed for this section

Konsep Jawa Pilihan Mawi

30 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Helikopter dan kereta mewah memeriahkan lagi persandingan di pihak pengantin lelaki

PENUH adat istiadat, majlis menyambut menantu di kampung halaman, Bintang Paling Popular Berita Harian tiga tahun berturut-turut, Mawi, 27, dengan isterinya, Ekin, 29, di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, berjalan lancar dengan bertemakan sentuhan Jawa kontemporari.

Ia adalah permintaan dan impian Mawi sendiri yang ingin mengalami rasa bergelar raja sehari dengan persalinan Jawa.

Berkat keinginan jurusolek selebriti popular, Zulfazli Suhadi yang menawarkan khidmat sebagai perancang perkahwinan dan tajaan majlis persandingan kepada Mawi, semuanya sudah membuatkan Mawi tersenyum puas.

Gandingan kreatif Zulfazli dengan butik Dzuldeclassique, Arma Abdul Rahman dan Adli Bridal Johor Bahru menghasilkan apa yang diharapkan oleh Mawi. Melengkapkan lagi, tetamu yang datang turut disajikan dengan hidangan Jawa Sunda tajaan LC Catering seperti ayam penyek, sup soto dan ulam-ulaman.

Sehari sebelum majlis persandingan ini, timbul tanda tanya di kalangan pihak media apabila ada kain rentang yang menyebut bahawa majlis itu adalah anjuran Maestro dan penduduk kampung Felda Taik Andak, sama sekali tidak terbabit.

Ini kerana ada ura-ura mengatakan persembahan khas meraikan perkahwinannya dikatakan tidak disenangi penduduk kampung kelahiran Mawi.

Menyangkakan majlis persandingan ini akan tercemar dek peristiwa yang tidak diingini seperti yang pernah digembar-gemburkan pada 20 Disember lalu (sewaktu majlis pernikahan mereka), semuanya mengikut atur cara seperti yang dirancang pihak Maestro dan Astro.

Bagaimanapun, hujan lebat sekitar jam 4 petang yang kemudiannya bertukar menjadi renyai memberikan kesejukan kepada 300 orang tetamu yang agak kepanasan sewaktu berada di Dewan Serbaguna Felda Taib Andak.

Menariknya, Mawi mengaku agak pening sejurus tiba di sebuah dewan untuk sesi bersama media. Jurusolek, Tona turut mengurut kepala Mawi yang pening itu.

“Saya tak mengulas lanjut mengenai isu ini kerana hakikatnya pihak saya dan Maestro mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung dan hanya segelintir daripada mereka saja yang mungkin tidak mahu bekerjasama.

“Isu kain rentang itu hanyalah hal kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Paling penting saya bersyukur majlis kali ini berjalan lancar dan perkara itu (kain rentang) sudah tidak timbul lagi. Penduduk kampung dan Ketua Kampung, Felda Taib Andak, Haji Hanafiah Haji Hussin sudah menjelaskan perkara ini dan mereka memberikan kerjasama yang jitu,” katanya.

Persandingan Mawi dan Ekin kali ini turut mencipta sejarah tersendiri di dalam kalendar dunia artis apabila mereka menaiki helikopter yang dipandu Kapten Halim Abdul Rahman dan dibantu Kapten Zuraidi Muhamad (selaku Pengurus Operasi Penerbangan Redland) pada sebelah tengah hari dari Hotel Sofitel, Senai, Johor.

Helikopter berkenaan mendarat di padang Sekolah Rendah Sinar Bahagia, Felda Taib Anda jam 1.30 tengah hari. Seterusnya mempelai diarak menaiki kereta Mercedes CLK 350 yang dipandu Ekin sendiri menuju ke Padang Awam Felda Taib Andak dan tiba kira-kira jam 2 petang.

Kereta mewah itu turut diiringi motosikal berkuasa tinggi dan kereta antik.

Mereka kemudiannya, bersanding di pelamin terbuka di atas pentas lokasi yang sama di depan lebih 20,000 orang tetamu sebagaimana jumlah yang dimaklumkan pihak Maestro. Hadiah menaiki helikopter dan menaiki kereta mewah itu adalah tajaan rakan baik Mawi sendiri iaitu Mohd Salleh Mohamed atau Pak Leh.

Itu adalah kali keempat Mawi menaiki helikopter, lalu kegusaran dan gementarnya sudah mula berkurangan. Manakala, Ekin pula baru dua kali menaiki helikopter, cuma kali ini ia sedikit berbeza apabila Ekin naik kenderaan udara itu dengan busana perkahwinan.

“Lainnya kali ini Ekin kena menaiki helikopter dengan busana pengantin hinggakan Mawi terpaksa memegang gaun Ekin yang labuh ini. Apa-apapun Ekin sangat teruja dan gembira apabila dapat bersanding dengan gaya lain yang tak pernah Ekin impikan.

“Kami sudah tidak sabar untuk berjumpa tetamu lagi pada majlis resepsi berkonsepkan Arab di Palace Of The Golden Horses 11 Januari depan. Insya-Allah selepas itu, kami besar kemungkinan akan berbulan madu di Korea menerusi tajaan Pelancongan Korea ,” kata Ekin.

Melihat kepada kehidupan Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, ternyata dia sedang melalui fasa bahagia yang amat indah. Raut wajah Mawi kini sudah dapat membayangkan betapa bahagia dirinya setelah bergelar isteri kepada Ekin.

Biarpun sudah seminggu bernikah, seolah-olah ada perubahan dalam diri Mawi. Penyanyi itu sempat diusik mengenai perutnya yang kelihatan agak buncit. Sambil diperhatikan Ekin, Mawi menjawab dengan selamba dengan menyalahkan bajunya yang besar.

“Lega semuanya sudah berakhir dan harapnya tiada lagi fitnah yang mengaitkan saya dengan Ekin. Doakan rumah tangga kami akan berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat. Semoga laluan kami lepas ini akan lebih indah dan sempurna hendaknya,” kata Mawi.

INFO: Persandingan Mawi dan Ekin

Majlis persandingan berkonsepkan Jawa kontemporari atau moden yang diuruskan jurusolek artis tersohor, Zulfazli Suhadi menerusi syarikatnya Dewa Dewi Beauty House. Membabitkan 20 orang yang dipecahkan kepada tiga kumpulan. Zulfazli juga menyolek Ekin, manakala Mawi disolek Tona.

Kostum Jawa termasuk aksesori untuk mempelai mencecah RM50,000. Bagi pelamin dan dekorasi pula dianggarkan sekitar RM200,000.

Konsep pelamin adalah inspirasi istana lama Jawa yang mana perabot di Dewan Serbaguna ditaja Grandteak Puchong, Selangor.

Kos bunga yang digunakan hamper RM 10,000.

Hiasan dalaman dan dekorasi dewan, pelamin di rumah Mawi (Teratak Bonda), kamar pengantin dan pelamin Padang Awam ditaja Adli Bridal Johor Bahru.

Untuk dewan persandingan utama, lebih 30 meja ditempatkan untuk tetamu.

Dijangka lebih 15,000 orang membanjiri Padang Awam Felda Taib Andak untuk acara persandingan terbuka, namun pada hari persandingan itu 20,000 tetamu yang hadir untuk menyaksikan Mawi dan Ekin secara dekat. Mereka turut bersalaman dengan pasangan mempelai ini.

Menurut Zulfazli, dia yang menawarkan diri kepada Mawi untuk membuat persiapan pelamin dan busana kahwin kerana selalu berjumpa Mawi di pertunjukan Gempak Selebriti Astro. Katanya, Mawi sendiri yang mengimpikan konsep Jawa sedari awal lagi.

Pemilihan Bob KU2 dan Yasin sebagai pengacara majlis persandingan di Dewan Serbaguna juga dilihat tidak bersesuaian dengan upacara majlis itu yang dianggap berprestij. Mungkin jika dipilih pengacara yang lebih serius dan bijak mengawal keadaan, majlis Mawi tempoh hari mungkin lebih sempurna.

Hak penyiaran perkahwinan Mawi dan Ekin adalah hak sepenuhnya bagi Astro, tetapi pada masa yang sama Astro turut bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Stesen itu memberi peluang kepada bukan pelanggan Astro untuk sama-sama meraikan kemeriahan majlis perkahwinan Mawi dan Ekin.

Malah, Astro memberi kelonggaran kepada TV3 menerusi program Nona dan Buletin Utama untuk membuat liputan majlis yang sama namun pada durasi yang terhad.

Pengarah Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar turut hadir biarpun syarikat fabrik terkenal ini tidak menaja majlis persandingan Mawi dan Ekin di Felda Taib Andak. Jakel hanya menaja kain persalinan mereka sewaktu bernikah dan resepsi 11 Januari nanti bekerjasama dengan Rizalman termasuk pelamin.

Berita Harian

20,000 Tetamu Hadir Persandingan Mawi-Ekin

29 Dec

Oleh AZIMI MUSTAPHA
azimi.mustapha@kosmo.com.my


ORANG ramai tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Mawi dan isterinya, Ekin pada majlis persandingan mereka
di Padang Awam Felda Taib Andak, Kulai semalam.

MACAM ANAK RAJA JAWA… Mawi dan Ekin begitu angun dengan pakaian pengantin ala Jawa.

KULAI – Majlis persandingan pengantin popular Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi dengan Ekin yang diadakan di Felda Taib Andak di sini semalam mendapat perhatian ramai dengan dihadiri kira-kira 20,000 tetamu.

Orang ramai yang datang dari jauh dan dekat berpusu-pusu ke Padang Awam Felda Taib Andak di sini untuk melihat dengan lebih dekat persandingan artis pujaan mereka.

Pasangan pengantin tiba dengan menaiki helikopter yang mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Sri Bahagia di Felda tersebut kira-kira pukul 1.30 petang.

Mereka kemudian diiringi dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dan beberapa kereta antik ke padang awam tersebut.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Prima itu dikendalikan oleh pengacara Zizan dan Johan.

Mawi dan Ekin kelihatan anggun dengan memakai baju pengantin berwarna kelabu berkonsepkan ala Jawa.

Kosmo

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

Banglo Mawi-Ekin Masih Terbiar

23 Dec


BANGLO Mawi di Bangi.

MEWAH. Inilah banglo yang bakal diduduki penyanyi Asmawi Ani, 27, atau Mawi bersama isterinya, Noor A’sikin Rahmat, 29, atau Ekin yang selamat diijabkabulkan Sabtu lalu.

Banglo mewah yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta ini dikatakan masih belum diduduki Mawi.

Khabarnya sebelum ini ia dihuni seorang lelaki bernama Steven.Persekitaran banglo yang terletak di Kelab Golf Bangi itu bukan sahaja tenang malah udaranya segar kerana terdapat banyak tanaman hijau selain bertentangan dengan padang golf.

Tinjauan Kosmo! di banglo berkenaan semalam mendapati rumah itu seolah-olah masih belum bersedia menerima pasangan pengantin baru tersebut ekoran keadaan persekitaran kediaman itu yang tidak terurus.

Kosmo

Ekin Dapat Kembar Baru

22 Dec


RESTU ibu. Biarpun bahagia dengan perkahwinan anaknya, Ramlah Sarlan mengambil keputusan untuk tidak tinggal bersama anak dan menantunya di banglo mewah mereka di Lembah Klang.

TERIKAT sudah ikatan cinta mereka. Tanpa restu keluarga, barangkali cita-cita mereka untuk hidup bersama tidak akan terlaksana. Itu juga yang diluahkan kebanyakan ahli keluarga Mawi dan Ekin sewaktu ditemui media.

Perkahwinan Asmawi Ani dengan Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin sebenarnya masing-masing perkahwinan kedua dalam keluarga mereka yang telah menamatkan kemarau tanpa ‘ahli baru’ selama lebih enam tahun.

Maka apabila Mawi dan Ekin yang sebelum ini dicemuh dan pernah dikatakan tidak direstui keluarga selamat bernikah, semua bagai berpesta gembira.

“Ekin senang dibawa berbincang. Dia juga selesa dengan keluarga kami,” beritahu kakak Mawi, Rashidah Ani mengenai menantu baru dalam keluarga mereka.

Ibu Mawi, Ramlah Sarlan juga merestui cinta mereka dan berasa Ekin adalah wanita terbaik untuk menjadi suri hidup anak bujangnya yang cukup terkenal sebagai penyanyi sensasi negara.


KUNING menjadi warna tema utama pakaian yang dikenakan pihak keluarga pengantin lelaki.

Ramlah saat ditanya apakah harapan sempena hari bahagia Mawi, dengan jujur wanita berusia 63 tahun itu menjawab: “Mak cik harap Ekin dapat jaga Mawi baik-baik. Jaga rumah tangga.”

Berbeza dengan emosi keluarga Mawi yang rata-rata gembira menyambut Ekin sebagai ahli baru, keluarga Ekin, terutama ibunya Fatimah Saad sebaliknya begitu sebak melepaskan Ekin.

Namun itu bukan tanda dia tidak merestui hubungan kasih Ekin yang mempunyai saudara kembar bernama Nurul Ain atau Aean.

Sebaliknya, itu pernyataan emosi seorang ibu yang amat rapat dengan anak yang telah bersamanya selama 29 tahun itu.

“Saya tak sangka perjalanan hidup Ekin berakhir begini. Saya tahu dia tidak pernah berencana untuk berkahwin dengan artis apa lagi Mawi. Tapi inilah takdir dan jodoh dia,” luahnya.

Bicara Fatimah lagi sambil menahan sebak: “Ekin adalah anak yang paling rapat dengan saya. Selepas lebih 10 tahun, barulah keluarga kami menerima ahli baru dan perasaan itu sangat berdebar. Lagi pula dia orang terkenal dan kami harus mempersiapkan diri.

“Buat Ekin pula saya doakan dia akan terus tabah dan berjaya mengharungi cabaran rumah tangga.”

Sebagai seorang bapa yang begitu tenang melepaskan anak perempuannya kepada seorang lelaki lain, bapa Ekin, Rahmat Mohamad menyatakan dia menerima Mawi sebagai menantu kerana keikhlasan yang ditunjukkan penyanyi itu terhadap anaknya.

Sewaktu mereka pada fasa perkenalan dan Mawi ada datang menziarahnya, Rahmat pernah berkata kepada Mawi jika hubungan mereka serius, maka peliharanya dengan baik.


PUTIH bersulam kehitaman pula menjadi warna tema pilihan busana yang digayakan keluarga pengantin perempuan.

“Pada waktu itu saya kata, ‘jika serius, bawalah keluarga bertemu’. Itu yang ada majlis merisik dan kini alhamdulillah mereka sudah bersatu sebagai suami isteri.

“Pesanan saya agar mereka berdua melayari bahtera rumah tangga dengan sabar dan baik. Semoga kehidupan rumah tangga mereka aman,” ujar Rahmat yang sentiasa tersenyum.

Bagi kembar Ekin, Aean yang selama ini berkongsi kasih dan duka serta suka bersama, dia juga terharu, namun dalam masa yang sama gembira kerana akhirnya Ekin berjaya membuktikan cinta sucinya kepada Mawi selepas bergelumang dengan segala fitnah.

“Sedih, tapi saya gembira untuk dia,” luah Aean sebelum menyambung: “Saya tetap mendoakan yang terbaik untuk dia walaupun selepas ini kami sudah tidak sering bersama kerana dia sudah mempunyai kembar baru, Mawi.”

Kini kehidupan mereka bergantung kepada perlaksanaan bersama. Seperti kata Mawi: “Perkahwinan ini adalah satu permulaan dan titik kehidupan baru buat kami berdua. Insya-Allah saya berusaha untuk membuktikan bahawa saya layak memikul tanggungjawab sebagai seorang lelaki yang bergelar suami, ketua keluarga, teman dan juga seorang artis.” – MALIAH SURIP

Kosmo

Cinta Mawi & Ekin Diuji

27 Jul

Oleh NIEZAM ABDULLAH
Lokasi REBAK ISLAND RESORT, LANGKAWI (Terima kasih Warren Fernandez)


Salah satu adegan di mana Ekin merajuk selepas mengetahui kecurangan Mawi.

Selama ini tatkala ditanya mengenai kisah cintanya, Mawi cuba mengelak untuk menghuraikan dengan lebih lanjut. Jawapan selamat yang selalunya diberikan Mawi, cukuplah peminat di luar sana mengetahui dia dan Ikin merupakan pasangan kekasih dan sedang merancang untuk membina gerbang bahagia bernama perkahwinan.

Bagaimanapun ketika mengikuti penggambaran klip videonya di Rebak Island Resort, Langkawi, Kedah pada 20 Julai lalu, kisah itu tidak lagi menjadi rahsia.

“Entahlah, malam ni saya terbuka untuk menceritakan segala-galanya,” kata Mawi kepada saya dan seorang lagi teman wartawan, Farihad ketika kami berborak panjang di coffee house resort itu.

Berbicara sehingga mencecah pukul 2 pagi, banyak perkara yang diluahkan Juara Akademi Fantasia musim ke-3 ini mengenai susah payahnya bergelar seorang artis yang dikenali.

Sambil ditemani hembusan bayu laut dan renyai hujan, kata Mawi sekarang semangatnya sudah kuat untuk menempuh segala macam dugaan.

Tak seperti ketika mula-mula menjadi artis, dia pernah menangis saban malam kerana tidak dapat menerima pelbagai ujian hidup yang dihadapinya ketika itu. Lebih dahsyat lagi apabila putusnya hubungan dia dengan Ina Naim, ia merupakan kemuncak kepada segala ujian hidupnya.

Tetapi hari ini selepas segala macam susah payah yang dilalui itu, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 27, sudah boleh tersenyum tatkala mengimbas semula bagaimana susah hidupnya dahulu.

“Susah atau senang, perkahwinan saya dengan Ekin nanti mesti jadi juga. Tak sanggup lagi jadi isu macam dulu,” kata Mawi mengimbas kisah cinta lamanya.

Saat ditanya detik pertemuannya dengan gadis bernama Nora’asikin Rahmat, 29, perkenalan mereka bermula di restoran Bora Ombak, Ampang dalam satu majlis anjuran syarikat rakaman Maestro Records tidak lama dulu.

Ketika itu Ekin hadir bersama seorang teman artis yang juga meminati Mawi. Ketika itulah mereka bertukar nombor telefon dan saling mengenali dengan lebih mendalam.

Daripada seorang sahabat, akhirnya hubungan itu menjadi semakin erat sehinggalah pada Mac lalu Mawi tidak lagi menafikan gosip percintaan mereka. Tetapi selama menjalinkan hubungan yang erat, bohonglah dalam sesebuah hubungan itu tidak ada pasang surutnya.

Begitu juga kisah cinta Mawi dengan Ekin apabila terlalu ramai orang di luar sana yang dengki dan cemburukan hubungan mereka itu.

Jelas Mawi kadang kala fikiran dia terganggu dengan macam-macam cakap orang mengenai Ekin. Malah Mawi juga turut mendengar pelbagai cerita buruk Ekin yang dilemparkan.

Kononnya Ekin itu dan ini. Hendak mempercayai atau tidak ia sama banyak. Dan Ekin pun turut mengalami peristiwa yang sama apabila ada orang yang kerjanya ‘mencucuk’ dengan melemparkan cerita palsu mengenai keburukan Mawi semata-mata untuk melihat hubungan mereka putus.

Ia kadang-kala memberi tekanan yang amat sangat tetapi Mawi percaya kesabaran adalah perkara penting dalam sesebuah hubungan itu.

Hal-hal itu tidak banyak tetapi sedikit turut membuatkan mereka bertelagah sehingga kadang-kala bagaikan sukar untuk meneruskan percintaan yang dimeterai dengan perasaan sayang itu.

“Fikiran saya memang kusut apabila orang jumpa saya dan cerita fasal buruk Ekin. Begitu juga apabila orang jumpa Ekin cerita pasal buruk saya.

“Saya tahu bukan mudah untuk kami menjalinkan hubungan kerana ada orang dengki melihat kami bahagia. Saya juga tahu ramai orang di luar sana yang nak tengok saya dan Ekin putus dan tak jadi kahwin tapi saya sabar dengan cakap-cakap orang dan tak cepat melatah.

“Saya paling bimbang seandainya percintaan kami separuh jalan. Sebab itulah segala masalah yang ditimbulkan oleh orang yang tak senang dengan hubungan kami, cuba kami selesaikan dengan baik. Alhamdulillah, segalanya dapat diatasi. Itulah pengorbanan besar percintaan saya ini,” katanya.

Bukan sekadar cakap dan kata nista orang, lebih daripada itu Ekin dituduh kononnya sudah menyihir atau membomohkan Mawi semata-mata untuk mendapatkan penyanyi itu. Malah keluarga Mawi juga turut dihujani dengan panggilan telefon bercerita perkara yang sama.

Mawi berkata dia menyedari dan kecewa dengan semua cakap-cakap itu tetapi hanya satu permintaan Mawi agar peminat menerima keputusannya untuk mendirikan rumah tangga dengan Ekin.

Malah Mawi percaya dalam hubungannya dengan Ekin, tidak ada siapa yang membomohkan sesiapa sebaliknya perasaan sayang itu hadir kerana masing-masing ikhlas terhadap sesuatu perhubungan.

Dan hati Mawi lebih terbuka apabila pada suatu malam Ekin menghubunginya lalu menyuarakan hasrat untuk memakai tudung selepas mendapat petunjuk melalui mimpi.

“Pada malam dia bermimpi itu, Ekin menangis lalu dia menghubungi saya meminta pandangan untuk memakai tudung.

“Dah benda yang baik, saya kata pada dia, teruskanlah dengan niat itu,” tambah Mawi yang akan mempertahankan apa juga dugaan hubungan mereka.

Tidak menafikan segala gosip selama ini, ujar Mawi memang dalam perancangan dia dan Ekin akan diijabkabulkan pada bulan Disember nanti.

Biarpun sebelum ini ada pihak yang mengandaikan kononnya pada 21 Disember akan datang tetapi seperti yang dijanji, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti satu pengumuman rasmi akan dibuat supaya ia adil kepada semua pihak.

Janji Mawi, dia tidak akan menipu atau mahu menyembunyikan sesuatu yang baik seandainya apa yang dirancang itu sudah tiba masanya.

“Insya-Allah, jika semua yang dirancang berjalan lancar, lepas raya nanti saya akan buat pengumuman rasmi,” ujarnya.

Tidak romantik

Mungkin ramai yang nak tahu bagaimanakah Mawi dan Ekin menyusuri perasaan cinta masing-masing? Percaya atau tidak selama saling kenal mengenali, tidak ada saat makan malam berdua-duaan ataupun candle light dinner bersama.

Tidak ada nostalgia manis yang boleh dijadikan kenangan sebaliknya setiap kali bertemu, mereka hanya berjumpa di kedai mamak. Itulah ‘romantiknya’ hubungan Ekin dan Mawi. Jauh sekali di hotel atau restoran mewah.

Malah akui Mawi dia percaya sebagai perempuan mungkin Ekin mahukan lebih daripada itu tetapi apakan daya, dia bukan jenis yang romantik.

Dan cuma ada satu rahsia yang membuatkan Ekin menitiskan air mata apabila menerima sesuatu kejutan daripada Mawi. Bagaimanapun Mawi mahu merahsiakan perkara itu. Malu katanya.

“Ekin selalu juga komen saya tak romantik. Nak buat macam mana dah saya macam ni. Tapi yang penting dia mengetahui yang saya memang sayang pada dia,” ujar Mawi.

Pada hari ini raut wajah Mawi kelihatan begitu ceria kerana melalui bahagia detik percintaannya. Ini kerana Mawi benar-benar bertemu dengan wanita yang mempunyai ciri-ciri wanita yang diidamkan selama ini.

“Saya memilih Ekin sebagai bakal isteri kerana dia mengambil berat, ikhlas dan juga ‘satu kepala’ dengan saya,” katanya yang membayangkan majlis kahwinnya nanti mungkin akan diadakan di sebuah padang.

Ekin dalam klip video Mawi

Jauh nun di Langkawi, tiba-tiba dua pegawai perhubungan awam Maestro Records iaitu Wan dan Man memberi pandangan mengenai wanita yang sesuai untuk diambil sebagai model klip video lagu Mawi itu.

Kisah dalam klip video untuk lagu Satu Dalam Seribu dan Tercipta Untukku itu mengenai percintaan seorang lelaki yang menduakan kekasihnya.

Dek kerana jodoh, lelaki tersebut akhirnya memilih untuk kembali kepada wanita yang ditinggalkan selama ini. Ketika persoalan itu diaju, jawapan yang mudah ialah memanggil Ekin sebagai modelnya.

Bersetuju dengan pandangan itu, pengarah klip video berkenaan Saifulizzam Mohd. Lizah turut menyambut baik cadangan yang dikemukakan.

Bimbang disalah tafsir tetapi apa yang penting adegan dalam klip video tersebut tidak menuntut mereka untuk membuat aksi lebih dari berpegangan tangan.

Mawi pula tentunya bimbang penyertaan Ekin memberi tafsiran negatif tetapi dia percaya peminat hari ini tidak akan membuat andaian yang salah.

“Saya rasa tak salah dengan penglibatan Ekin kerana dia juga tidak ada aktiviti lain ketika ini. Lebih baik kita panggil dia daripada bayar orang lain untuk menjadi model,” kata Mawi.

Atas persetujuan itu, akhirnya Ekin yang kebetulan berada di Johor Bahru diminta datang ke Langkawi pada saat-saat akhir bagi menjayakan klip video berkenaan.

Kata Mawi, ketika dia menghubungi kekasihnya untuk menceritakan hasrat tersebut, Ekin agak terkejut untuk menyertai projek terbaru Maestro Records itu.

Tetapi atas dasar sayang serta professional, Ekin menerima pelawaan tersebut dan berjaya melakonkan watak seperti yang diinginkan pengarah dengan sebaik mungkin.

Bagaimanapun Mawi menolak dengan penglibatan Ekin wanita itu akan dikata cuba menumpang popularitinya.

“Kalau nak kira masa saya berduet dengan Jamal Abdilah dan M. Nasir, ada juga yang bercakap soal nak tumpang populariti.

“Tapi dalam hal ini, saya tak rasa siapa perlu tumpang siapa. Yang penting saya lakukan apa yang pengarah mahukan,” kata Mawi.

Tentu sahaja peminat Mawi tidak sabar untuk menyaksikan klip-klip video tersebut kerana ia menggambarkan seolah-olah ada kena mengena dengan percintaan Mawi.

Malah kata Saifulizzam, dia cuba membawa tema sedih dan gembira apabila menimbulkan mood perpisahan menerusi klip video Satu Dalam Seribu manakala untuk lagu Tercipta Untukku menyaksikan kedua pasangan tersebut menjalinkan semula ikatan cinta.

“Saya cuba mengenengahkan elemen emosi serta membawa watak-watak drama dalam klip video ini yang akan dapat memperlihatkan raut wajah sedih dan suka antara Mawi dan Ekin,” katanya.

Utusan Malaysia

Kek Lapis Gerak Ekonomi Wanita Bumi Kenyalang

6 Jun

Oleh Norma Mullie



MENARIK: Kek lapis juga digunakan untuk pelbagai majlis dan perayaan.

Produk tersohor Sarawak dijadikan daya tarikan baru pelancongan, bantu tambah pendapatan

DULU pembuatan kek lapis hanyalah hobi biasa di kalangan wanita di Sarawak khasnya wanita Melayu yang bertungkus lumus menyediakan juadah terutama menjelang Aidilfitri. Namun pada dekad 1990-an, kek lapis mula sinonim dengan Sarawak kerana hampir setiap pelancong yang berkunjung ke Bumi Kenyalang pasti membeli kek itu sebagai ‘ole-ole’ untuk dibawa pulang.

Kelebihan utama kek lapis Sarawak ialah pakej motif dan coraknya yang unik serta digabungkan dengan keenakan rasa, di samping teksturnya yang lembap namun pejal.

Tidak dinafikan ia juga versatil dan boleh dihidangkan untuk pelbagai majlis, bukan saja untuk perayaan utama seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Deepavali dan sebagainya, malah untuk hantaran pertunangan, perkahwinan, hadiah dan ‘ole-ole’.

Keunikan kek ini dapat dilihat misalnya ketika demam Asmawi Ani atau Mawi sebagai juara Akademi Fantasia tiga tahun lalu, apabila seorang pengusaha tempatan berjaya menghasilkan kek lapis yang menunjukkan ejaan nama MAWI pada keknya.

Hakikatnya, hanya mereka yang mempunyai kesabaran dan daya kreativiti yang tinggi mampu menghasilkan corak kek lapis yang unik serta indah.


Selain rasanya yang enak, kek lapis juga mempunyai ciri komersial kerana tahan sehingga enam bulan jika diadun serta dibungkus dengan sempurna.

Menyingkap sejarah kek lapis, dipercayai berasal dari Indonesia namun juadah itu mula diperkenal serta mendapat tempat di kalangan penduduk Sarawak sekitar tahun 1980-an.

Sejak itu, kek lapis kian sinonim dengan Sarawak, malah kek lapis Sarawak yang dihasilkan jauh lebih sedap daripada kek lapis negara jiran itu, kerana bahan yang digunakan lebih pelbagai dan mutunya juga lebih baik.

Setelah 30 tahun berlalu, kek lapis Sarawak semakin popular bukan saja di kalangan penduduk tempatan, malah menerima banyak tempahan dari Semenanjung, Sabah, Brunei dan Singapura.

Sejajar dengan populariti juadah itu, kerajaan Sarawak baru-baru ini mengiktiraf juadah itu sebagai produk rasmi Sarawak atau produk tersohor (signature product) bagi Bumi Kenyalang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Bahagian Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan), Datin Fatimah Abdullah, berkata kek lapis Sarawak diiktiraf sebagai produk rasmi negeri Sarawak bagi membolehkan potensinya dibangunkan secara teratur.

Katanya, kerajaan mengenalpasti kek lapis sebagai produk pelancongan dan kotej negeri ini yang mampu meningkatkan pendapatan wanita termasuk di kawasan luar bandar.

“Kek lapis Sarawak mempunyai potensi besar kerana kerajaan memang memberi sokongan kepada industri pembuatan makanan. Lagipun pelancongan satu daripada aktiviti teras ekonomi Sarawak termasuk di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kek Lapis Sarawak Sebagai Produk Tersohor Negeri Sarawak, bertempat di Tebingan Sungai Sarawak di Kuching, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, Kerajaan negeri melancarkan satu laman web khas bagi memantau industri kotej Sarawak dalam usaha mewujudkan pangkalan data mengenai industri pembuatan kek lapis tempatan.

Berdasarkan reaksi kepada laman web itu, kerajaan mengenalpasti 113 pengusaha juadah itu yang kebanyakannya beroperasi di kediaman masing-masing di sekitar bandar raya Kuching.

Mereka didapati mampu memperoleh pendapatan sehingga ratusan ribu sebulan khasnya ketika perayaan seperti Aidilfitri.

Bagi Cynthea Lim, beliau tidak menafikan pembuatan kek lapis mampu meningkatkan sumber kewangan keluarga. Beliau yang sudah mengusahakan pembuatan kek itu secara kecil-kecilan sejak 1970 menafikan industri pembuatan kek itu dimonopoli wanita Melayu saja.

“Kek lapis memang digemari ramai dan semua wanita yang mempunyai minat patut menceburinya,” katanya.

Seorang pengusaha kek lapis yang dikenali ramai di Sarawak, Rabiah Amit, berkata kek lapis Sarawak memang unik dan menjadi kegemaran ramai.

Sehubungan itu katanya, pengusaha mesti lebih kreatif dan inovatif untuk memperbaiki mutu juadah masing-masing, sejajar dengan perkembangan dalam bidang bakeri.

Katanya, beliau sedang berusaha menggunakan ramuan tempatan termasuk terung asam dan keladi dalam kek lapis yang beliau hasilkan.

“Saya dicabar oleh kakitangan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia supaya menghasilkan kek lapis berperisa terung asam. Saya menyahut cabaran mereka dan mujurlah saya berjaya membuktikan bahawa ramuan tempatan mampu memberi nafas baru dan keenakan pada kek saya,” katanya yang turut menghasilkan buku Kes Lapis Sarawak.

Pemilik Kedai Kek Lapis Mariam, Mariam Aren, mengalu-alukan pelbagai bantuan kerajaan kepada pembuat kek lapis seperti beliau.

Katanya, usaha kerajaan mengenalpasti satu lokasi khas di Tebingan Sungai Sarawak sebagai lokasi untuk mempopularkan lagi kek lapis Sarawak amat bertepatan kerana ia membolehkan pengusaha kek lapis menjual produk masing-masing secara teratur.

Beliau berkata, pemilihan Tebingan Sungai Sarawak sebagai pusat penjualan kek itu dibuat oleh kerajaan negeri berikutan kawasan itu menjadi tumpuan utama pelancong.

“Ia akan mewujudkan persaingan sihat di kalangan pengusaha selain membolehkan kerajaan memantau tahap mutu dan kebersihan juadah itu nanti,” katanya.

Powered by Berita Harian