Archive | Noorsyarmilla Jirin RSS feed for this section

Mila, Dafi Semakin Mengerti

27 Jun

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

ACAPKALI bintang-bintang yang dicungkil bakat menerusi program realiti televisyen dipandang sepi.

Bahkan, ada juga yang akan mempertikaikan mutu dan kualiti bintang-bintang tersebut.

Akademi Fantasia (AF) sahaja merupakan contoh terdekat yang melahirkan begitu ramai bakat baru.

Meskipun di awal program tersebut bintang-bintang kelahirannya dikritik dan dipersoalkan kredibiliti mereka, namun hari demi hari kerdipan bintang yang ada pada diri mereka semakin bersinar.

Dafi dan Mila sumber rujukan terbaik bintang kelahiran AF yang tidak boleh diperlekehkan.

Kedua-duanya semakin berani dalam mengharungi perjalanan seni meskipun sudah mula dilambakkan dengan cerita-cerita sinis yang kadang kala memeritkan telinga empunya diri, namun mereka yakin berkat kesabaran yang tinggi antara resipi terbaik bagi kejayaan masa depan.

Mengakui kadang kala serik dan berkecil hati dengan apa yang dialami di sekeliling, namun gadis kecil molek yang juga merupakan juara AF5, Mila sudah mula boleh menerima situasi sedemikian.

Masakan tidak, selepas insiden kisah cintanya yang kecundang hangat dihebahkan, kini kemenangannya di Bulgaria pula dipertikaikan.

Jika hendak dihitung air mata yang menitik, sudah tidak mampu diperkatakan lagi.

“Siapa yang tak sedih dengan apa yang berlaku. Saya selalu juga baca blog-blog di Internet. Dulu kisah peribadi saya diperkatakan sehingga mereka mengaitkan nama ibu bapa saya.

“Kini mereka mempertikaikan pula kemenangan saya pula. Mereka tak mengiktiraf kemenangan saya. Dan pelbagai lagi cerita yang kurang enak dibincangkan. Hati mana yang tak tersentuh dan sedih,” kata Mila pada satu pertemuan bersama Hits baru-baru ini.

Sambung Mila, sewaktu mula-mula berdepan dengan situasi itu air mata sering menjadi teman setia.

“Mula-mula saja kecewa tapi lama kelamaan saya malas nak layan. Sebab utama saya sering membuka blog-blog tersebut adalah untuk mengetahui apa yang disukai dan yang tak disukai masyarakat pada saya. Sekurang-kurangnya saya dapat membaiki kesilapan dan belajar apa yang baik,” jelas gadis berusia 21 tahun ini.

Biar apa sekalipun yang dipertikai mengenainya, rezeki masih lagi melimpahi anak kelahiran Pulau Mutiara ini.

Perkhabaran terbaru mengenai kerjaya seninya besar kemungkinan pemilik nama sebenar Noorsyarmilla Jirin ini akan mencuba bidang lakonan pula.

“Insya-Allah saya akan berlakon dalam sebuah telemovie bersama-sama Dafi. Tapi semua itu masih dalam perbincangan. Saya tak ada masalah untuk mengembangkan cabang seni saya kerana bagi saya nyanyian dan lakonan kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.

Enggan dibayangi bapa

Di awal kemunculan, jejaka berusia 20 tahun ini dalam AF pelbagai usikan dan ejekan diterima.

Walau apa label diberikan kepadanya sekalipun, pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri ini tidak pula leka.

Menyedari akan fenomena tersebut, anak kepada Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Ismail Sabri ini, menerima keadaan tersebut dengan tenang.

Mengakui terdetik sedikit perasaan berkecil hati namun dia sentiasa menganggap perkara tersebut sesuatu yang kurang serius.

“Masa mula-mula memanglah saya kecil hati tapi bila fikir-fikir balik siapalah saya untuk menghalang semua itu. Bagi saya berdiam diri lebih baik dan memberi tumpuan pada kerjaya saya lebih penting. Hasilnya kini sikap berdiam diri saya itu lebih baik daripada saya bersuara,” jelas peminat setia kumpulan KRU ini lagi.

Akui Dafi selepas senyap senario tersebut, muncul pula cerita baru kononnya dia menggunakan pengaruh bapanya untuk kerjaya seninya.

“Saya bermula dari bawah dan langkah terbaik saya untuk menjadi penyanyi ialah dengan memasuki AF.

“Menerusi AF saya kumpul peminat dan saya bekerja keras untuk memastikan diri saya diterima peminat. Saya tak boleh nak menafikan apa yang mereka nak kata tapi yang boleh saya jelaskan saya bekerja keras untuk semua ini,” jelas anak kedua daripada empat beradik ini lagi.

Tidak menganggap semua itu luka yang semakin merebak, kini Dafi sedang sibuk menyiapkan album solo sulungnya.

“Tinggal sebuah lagu belum dirakamkan iaitu lagu ciptaan komposer Indonesia. Sembilan lagu lain sudah siap semuanya.

“Album ini akan memuatkan lagu ciptaan komposer tempatan dan seberang. Sudah tentu strategi utama ialah untuk memasarkan album ini ke negara itu,” jelas Dafi yang baru sahaja pulang dari Indonesia bagi menjayakan showcase anjuran pengeluar ais krim Wall’s.

Kata Dafi, dia sudah pun beberapa kali berulang alik ke seberang untuk menjayakan sesi fotografi serta promosi.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah kerana menerusi produk Wall’s, saya sudah mula dikenali di seberang. Jadi saya rasa apabila album saya keluar kelak bukanlah satu masalah untuk saya mencuba nasib di sana,” kata jejaka berbintang Sagitarius ini lagi.

Sementara itu, Dafi dan Mila kini sedang sibuk berlatih untuk konsert Cornetto Love Sparks yang akan diadakan esok di Padang Merbuk, Kuala Lumpur.

Kedua-dua bintang muda ini akan berganding bahu dengan bintang cilik dari seberang, Gita Gutawa serta bintang-bintang AF lain seperti Mawi, Mila, Stacy dan tentunya kumpulan Estranged.

Kepada peminat-peminat Dafi dan Mila, pastikan anda berkunjung ke Padang Merbuk, Kuala Lumpur esok untuk memeriahkan konsert Cornetto Love Sparks.

Utusan Malaysia

Advertisements

Stacy Juara Akademi Fantasia Ke-6

25 May

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KUALA LUMPUR 24 Mei – Setelah enam kali Akademi Fantasia (AF) diadakan sejak tahun 2003, buat pertama kalinya peserta dari Sabah, Stacy (gambar) dinobatkan sebagai juara AF6 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.

Dengan kemenangan Stacy atau Stracie Angie Anam, 18, dia mengekalkan penguasaan pelajar perempuan untuk kali kedua menjuarai AF selepas Noorsyarmilla Jirin atau Mila pada tahun lalu.

Kemenangan Stacy sudah dijangka kerana bermula dari konsert pertama pada 22 Mac lalu hingga kesembilan, dia sentiasa memberi persembahan bertenaga dan menduduki di tempat yang selesa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penyokongnya.

Stacie yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy dengan penuh bangga membawa pulang hadiah yang bernilai lebih RM700,000.

Hadiah itu berupa sebuah rumah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka bernilai RM550,000 dan juga pakej percutian ke Afrika Selatan, kereta Peugeot 307 XS bernilai RM139,535, wang tunai berjumlah RM25,000 serta sebuah trofi bersalut emas.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, atau Riz yang menyampaikan lagu 11 Januari dan Hanya Sandiwara.

Dia memenangi sebuah kereta Naza Bestari bernilai RM68,877, pakej percutian ke Afrika Selatan, wang tunai berjumlah RM15,000 serta sebuah trofi.

Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 22, yang mempersembahkan lagu Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz) dan Ada Untukmu (lagu baru) mendapat tempat ketiga.

Tempat keempat menjadi milik Khairul Nizam Baharom atau Toi dan kelima dimenangi oleh Nadia Haswani Hasnan atau Nadia.

Powered by Utusan Malaysia