Archive | Nur Fasha Sandha Hassan RSS feed for this section

Rumah Terbuka Erat Silaturahim

16 Oct

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BERSAMA keluarga. Dari kiri Mohd. Mikail Andre, Fasha, Nazarul Andre, Khatijah Tan, Hatijah Teh Man (ibu Fasha) dan Pierre Andre pada majlis rumah terbuka di Restoran Lemon, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SUDAH menjadi tradisi rakyat Malaysia mengadakan rumah terbuka setiap kali menyambut Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali. Konsep rumah terbuka yang menggalakkan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai saling kunjung mengunjungi itu secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan sesama insan.

Selain bertegur sapa, sewaktu rumah terbuka tetamu berpeluang menikmati pelbagai hidangan makanan yang disajikan oleh tuan rumah.

Para artis kita juga tidak ketinggalan menganjurkan rumah terbuka. Di Restoran Lemon, Kajang, milik penerbit Metrowealth, David Teo, beberapa artis berkongsi cerita tentang rumah terbuka.

Fasha kongsi anjur rumah terbuka

Bagi pelakon Nur Fasha Sandha Hassan, 23, perkara yang perlu dilakukan setiap kali menyambut raya ialah menganjurkan rumah terbuka di rumah bapa saudaranya di Bintong, Perlis.

Fasha selalunya berkongsi anjur rumah terbuka dengan bapa saudaranya iaitu Pak Ngah Ismail Zakaria.

Jelas pelakon itu, selalunya Pak Ngah yang menjadi perancang dalam menguruskan acara rumah terbuka itu.

Katanya, walaupun mereka menggunakan katerer namun ada beberapa masakan seperti rendang dan laksa akan dimasak sendiri oleh anggota keluarga itu.

“Makanan lain seperti nasi tomato, lemang, ketupat dan roti jala semuanya dari pihak katerer. Buat rumah terbuka ini meletihkan tapi seronok. Pada hari itu, saya kena bancuh air, basuh pinggan dan buat kerja-kerja lain juga. Kalau di kampung saya bukan artis. Seperti orang lain saya akan menyenteng lengan baju buat kerja di dapur,” cerita Fasha.

Kata Fasha, seronoknya rumah terbuka, bukan sahaja peminat datang bersama keluarga, malah sanak saudara di sekitar Perlis pun akan bertandang.

Selain menjamu tetamu, Fasha yang bakal muncul dalam filem Nana Tanjung 2 juga tidak lupa untuk menghulur duit raya kepada tetamu kecil.

“Setiap tahun memang saya ada bajet untuk duit raya, itupun ikut kemampuan. Saya bagi duit raya ikut usia, tapi kalau untuk adik beradik itu lainlah sikit,” katanya yang lebih dikenali sebagai cucu Tok Timah Pulau Ketam di kampungnya di Kuala Perlis, Perlis.

Dia yang dapat dilihat lakonannya dalam filem 9 September pada 1 November ini juga akan menggunakan cuti raya untuk menemui rakan-rakan lama.

Fasha sayang Pierre

Kata Fasha, selama berlakon dengan beberapa pelakon lelaki belum pernah dia mengungkapkan kata-kata sayang.

Bagaimanapun kali ini Fasha secara terbuka mengakui, dia menyayangi Pierre Andre, heronya dalam filem 9 September itu. Malah sewaktu sesi foto ini, Fasha kelihatan begitu manja dengan Pierre.

Kata Fasha: “Sebelum ini saya tidak pernah mengaku sayang pada pasangan saya dalam filem. Tapi dengan Andre memang saya sayang. Bukan Andre seorang, malah ahli keluarganya juga.

“Saya memang rapat dengan mami (Khatijah Tan) dan kadang-kadang abah (Nazarul Andre – bapa Pierre) pun datang rumah. Kami sekeluarga memang mesra,” akuinya yang seronok bekerja dengan pasukan 9 September.

Fasha yang memegang watak Nia dalam 9 September itu juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia sengaja mencari publisiti murahan dengan gosipnya itu demi melariskan filem lakonannya itu.

Tegas Fasha, sayangnya pada Pierre bukan gimik atau untuk publisiti tapi dari hati yang ikhlas.

Pierre Andre sibuk

Bagi Pierre Andre, dia dapat menerima gosip antaranya dengan Fasha dengan hati terbuka. Katanya, kalau itu kehendak orang ramai yang inginkan dia bercinta dengan Fasha, dia tidak membantah.

Bagaimanapun Pierre lebih senang orang melihat dirinya menerusi bakat dan bukan gosip.

“Saya tidak ada masalah berkawan dengan Fasha kerana dia seorang profesional. Terpulang pada orang lain untuk membuat persepsi tentang hubungan kami ini,” kata Pierre yang diberi tanggungjawab buat pertama kali sebagai pengarah melalui filem 9 September oleh MIG Production.

Melalui filem itu juga, Pierre turut berlakon sebagai Kogi.

9 September merupakan filem ke-22 terbitan MIG Production dan ia merupakan skrip kedua karya Pierre selepas Jangan Pandang Belakang.

Selepas 9 September, Pierre diberi satu lagi peluang iaitu mengarah filem I’m Not Single, juga skrip hasil tulisannya.

“Mungkin untuk I’m Not Single saya akan minta kawan-kawan buat muzik untuk lagu runut. Saya ada kawan-kawan yang berbakat. Cuma mereka tidak ada ruang untuk salurkan bakat itu. Jadi dengan cara ini sahaja saya harap dapat membantu mereka,” kata Pierre yang berhasrat untuk turut menyerlahkan bakat rakan-rakannya.

Malah kata Pierre, dia bersedia membantu pelajar-pelajar tahun akhir di institusi pengajian tinggi dengan menjayakan filem pendek mereka.

“Saya tahu mereka ni kesempitan bajet untuk menyiapkan projek. Sebab itu saya bersedia berlakon dalam filem pendek mereka. Mami pun selalu berlakon dalam filem projek pelajar,” ceritanya yang popular dengan drama Gol & Gincu dan Dunia Baru.

Khatijah Tan tidak bantah

Ibu Pierre, Khatijah Tan yang ditemani suami dan anak, Mohd. Mikail Andre, berkata, dia tidak kisah siapa pilihan calon isteri anak bujangnya itu.

Padanya, jika gosip antara Fasha dengan Pierre membawa kebaikan, tidak salah diteruskan.

Bagaimanapun kata Khatijah, kalau gosip sekali pun biarlah berbatas.

“Saya tidak memilih dan memberi syarat pada Pierre. Asalkan wanita itu berjaya memikat hatinya, saya restu kerana saya lebih mengutamakan kebahagiaan anak,” katanya terus terang.

Khatijah yang sibuk menjalani penggambaran drama Dunia Baru menerusi watak Mariah berkata, kalau ada kesempatan dia juga ingin berlakon bersama Fasha.

Dia yang beraya di Kampung Rapat Jaya Tambahan, Ipoh itu berkata, setakat ini belum merancang untuk mengadakan rumah terbuka.

“Rumah saya kecil, macam mana nak buat rumah terbuka macam orang lain. Tapi rumah saya memang sentiasa terbuka. Setiap hari ada sahaja rakan-rakan yang bertandang,” katanya yang menetap di Ukay Perdana itu.

Cat bakal timang cahaya mata

Farish Ramli atau Cat Farish dari kumpulan Fabulous Cat yang turut berlakon dalam filem 9 September sebagai penghantar piza berkata, dia belum bersedia untuk mengadakan majlis rumah terbuka.

Ini kerana Cat, menetap bersama mertuanya di Bangi.

“Sebenarnya selalu juga ibu mertua saya suruh saya jemput rakan-rakan wartawan atau artis ke rumah. Tapi saya tak hendak menyusahkan dia.

“Tunggulah bila saya duduk rumah sendiri bolehlah buat rumah terbuka atau ajak pihak media dan rakan artis datang ke rumah,” kata suami kepada Hartini Ramly ini.

Cat yang dijangka menimang cahaya mata pertama pada Mei 2008 berkata, sekarang ini dia sibuk membuat persiapan untuk tampil dengan album kedua.

Tapi sebelum itu, kata Cat, album pertama Fabulous Cat yang dianggotai oleh Cat, Sumo, Adeep dan Farhana akan diber wajah baru untuk pasaran awal bulan depan.

“Album kedua yang merupakan kerjasama antara Cat Presents Production Sdn. Bhd., dengan The Firmzz Entertainment, edaran EMI dah siap. Cuma tunggu masa yang sesuai sahaja untuk pasaran. Sebelum itu akan ada satu lagi single iaitu Cemas untuk siaran radio,” jelasnya.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements