Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
Winnie (lima dari kanan) bersama sebahagian gaya rambut yang dihasilkan.
TAHUN baru menjelma, arus fesyen rambut turut berubah. Biarpun roda fesyen memaparkan gaya hampir sama, sedikit sentuhan dari segi potongan dan teknik pewarnaan mampu menawarkan gaya baru yang lebih segar bertenaga.
Ucapkan selamat tinggal kepada gaya rebonding yang menguasai trend rambut sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan cubalah potongan rambut pendek yang kini menjadi pilihan kebanyakan selebriti dunia.
Rambut pendek kembali: Gaya moden dengan sentuhan elegan serlah penampilan baru
PERUBAHAN fesyen rambut lazimnya berpaksikan minggu fesyen di London, Paris, Milan dan New York. Ilham pendandan terkenal menjadi ikutan dan garis panduan untuk pendandan tampil dengan gaya unik. Jenama besar dalam fesyen rambut seperti Vidal Sasson dan Essential Look, misalnya menjadi ikon dandanan rambut antarabangsa mengikut musim.
Begitupun, pendandan tempatan di negara ini semakin berani tampil dengan ilham potongan rambut di bawah jenama tersendiri. Antaranya Winnie Loo dari ACut Above yang memperkenalkan koleksi gaya rambut 2009 hasil rekaannya yang dikenali sebagai Koleksi Ikonik, yang dipenuhi pelbagai potongan rambut pendek untuk wanita dan lelaki, baru-baru ini..
Winnie berkata, 2009 bakal menyaksikan potongan lebih mantap tetapi kekal anggun, malah untuk si jejaka, potongan graduan dihasilkan bagi menyerlahkan mood metroseksual.
“Potongan rambut untuk koleksi ini berinspirasikan gaya tahun sebelumnya dan juga sebagai menghargai ikon pendandan rambut Vidal Sasson yang menghasilkan revolusi rambut sehingga mencapai taraf hari ini. Koleksi Ikonik adalah mengenai potongan rambut cantik seperti bob, baji atau wedge, graduan, potongan kunang-kunang atau kupu-kupu yang menggabungkan pelbagai teknik potongan,” katanya.
Winnie ditemui pada majlis pelancaran gaya rambut 2009 dan majlis meraikan rakan media dan pelanggan sempena Krismas serta ulang tahun ke 30 ACut Above dalam industri dandanan rambut.
Koleksi Ikonik menawarkan warna terang dan menyerlah seiring dengan potongan versatil, bermula daripada guntingan pendek yang kemas sehingga rambut panjang berlapis bagi membina tekstur pada rambut.
“Gaya rambut datang dan pergi, tetapi guntingan hebat kekal selamanya. Gaya rambut panjang dengan sedikit kerinting dan guntingan membentuk lapisan rambut panjang graduan, bakal menjadi hangat sama ada rambut dikerinting atau digulung besar. Warna menambah gaya rambut seperti merah tembaga, merah bata dan ungu, coklat lavender dan mahogani tembaga,” katanya.
Katanya, rambut pendek mengumpulkan gaya rambut selebriti terkenal seperti Mia Farrow dan gaya moden oleh Victoria Beckham atau Katie Holmes.
Gaya rambut pendek menawan yang pernah digayakan selebriti terkenal itu menambah glamor pada potongan rambut hari ini, namun rambut panjang pada bahagian depan masih diminati untuk musim ini.
“Gaya ciptaan saya ini boleh dikatakan klasik dan boleh digayakan pada bila-bila masa. Ini kerana ramai ikon terkenal pernah menggayakan potongan rambut yang sama sebelum ini. Ini mendorong saya untuk menghasilkan gaya yang mana saya pernah bermula bagi meraikan tiga dekad dalam industri ini. Koleksi ini sangat versatil dan mudah digayakan. Ia kelihatan anggun,” katanya.
Potongan bob yang suatu ketika dulu pernah dipopularkan selebriti Victoria Beckham, Rihanna mahupun Katie Holmes sesuai untuk wanita yang ingin bergerak bebas tetapi masih mengekalkan keanggunannya. Sedikit guntingan berlapis pada bahagian depan dan tengah, menjadikan gaya bob lebih segar. Tona seperti merah tembaga memberikan alunan kepada rambut pendek paras telinga mahupun wajah ini.
Gaya bertenaga untuk wanita sibuk diterjemahkan pada potongan rambut baji atau wedge. Rambut dipotong pendek paras leher, menyerlahkan leher jinjang, tetapi panjang tirus pada bahagian depan. Dwi tona pada bahagian depan rambut iaitu merah bata dan coklat lavender membentuk tekstur pada gaya ini.
Rambut panjang menyerlahkan gaya kewanitaan, tetapi lebih glamor dengan potongan berlapis yang menghasilkan tekstur rambut panjang pada bahagian depan dan pendek pada bahagian belakang serta tengah rambut. Winnie sekali lagi bermain dengan warna merah tembaga bagi menyerlahkan teknik guntingan berlapis ini. Tampil klasik dengan rambut panjang yang dikerinting lembut dan menghasilkan gulungan pada bahagian bawah rambut.
Berita Harian