Archive | November, 2002

Penyanyi 60-An Masih Bertenaga

13 Nov

SEBAGAIMANA lagu-lagu 60-an yang masih kekal sehingga kini, penyanyi-penyanyi lagu 60-an juga masih mampu bertahan.

Mungkin kerana mereka sering mendapat undangan menjadikan mereka masih bertenaga dan mampu menyanyikan lagu bernada tinggi. Lagu-lagu 60-an mempunyai imej yang tersendiri yang tidak memerlukan tokok tambah elemen muzik lain untuk terus bertahan.

Bagaimana pun sambutan terhadap Konsert Himpunan Artis 60-an yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil baru-baru ini tidak memberangsangkan apabila hanya kira-kira 300 penonton saja yang hadir.

Sambutan dingin ini tentunya bukan kerana lagu 60-an sudah tidak dapat tempat tetapi disebabkan kekurangan publisiti.

Mujurlah penganjur turut merakam dan merancang memasarkan konsert itu di dalam bentuk video cekera padat (VCD) yang boleh menampung kos penganjuran konsert ini.

Konsert tersebut menampilkan Kumpulan Zurah II mengiringi penyanyi dari Malaysia, Azizah Mohamad, A. Rahman Onn, A. Rahman Hassan, Hasnah Harun, L. Ramlee dan J. Sham.

Penyanyi dari Singapura pula ialah Fatimah M. Amin, Jaafar O, M. Ishak, Kassim Selamat, Zam Zam dan Salim I diiringi oleh kumpulan The Rhythm Boys. Jeffrydin pula diiringi oleh kumpulan Delima.

Azizah memulakan persembahan dengan lagu popularnya Syurga Idaman dan lagu Kaca Mata diikuti A. Rahman Onn dengan lagu Si Cincin Emas dan Aku Nak Pulang.

A. Rahman Hassan setia bersama gitarnya ketika menyanyikan lagu-lagu Bahagia Menjelma dan Semoga Berjaya yang dirakam kali pertama pada tahun 1966.

Walaupun tampil dengan imej bertudung, Hasnah Harun tidak menghampakan peminat dengan lagu Bersedih dan sebuah lagu popular Sanisah Huri berjudul Siapa Gerangan.

L. Ramlee pula memilih lagu-lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang dan Joget Berbaju Kurung. J. Sham pula memperdengarkan lagu-lagu Suratku Untukmu dan Ku Akan Pulang.

Fatimah M. Amin dan M. Ishak juga masih berani memilih lagu-lagu bernada tinggi di dalam konsert itu. Fatimah memukau peminat dengan lagu-lagu Di Mana Tempat Bermanja dan Oh Teruna manakala M. Ishak pula mengalunkan lagu Yale Yale dan Ku Ditinggalkan.

Lagu Yale Yale yang berusia 38 tahun itu mungkin masih sama dendangannya semasa kali pertama M. Ishak merakam lagu itu.

Jaafar O pula menyanyikan lagu-lagu Pungguk Rindukan Bulan dan Pinangkan Si Dia. Beliau berseloroh mengatakan lagu itu tidak sesuai dinyanyikan pada usianya sekarang.

Lagu La Obe dan Angkut-Angkut Bilis masih berkumandang dari suara penyanyi asalnya Kassim Selamat yang paling senior berbanding penyanyi lain.

Zam-Zam yang popular dengan lagu Bibir Mesra Jiwa Parah memperdengarkan lagu Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa dan Senandung Teruna Merantau.

Jefrydin yang masih kekal gaya lenggok kepala sambil menyanyi, menutup persembahan dengan lagu-lagu Siti Haida dan Mas Mona.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements