Archive | Herman Tino RSS feed for this section

ROB Dan Koffin Kanser Dua Kumpulan, Sama Anggota

2 Oct

JARANG berlaku dalam mana-mana industri muzik, terdapat dua buah kumpulan dianggotai oleh anggota-anggota yang sama. Tetapi itulah realiti yang berlaku dalam dunia muzik kita apabila Republic Of Brickfields (ROB) dan Koffin Kanser dianggotai oleh anggota-anggota yang sama.

Aru sebagai ketua kumpulan itu berkata, pada mulanya ramai peminat yang keliru apabila mereka muncul dengan dua nama yang berbeza.

Namun, selepas melihat persembahan ROB dan Koffin Kanser barulah para peminat dapat membezakan kelainan dua kumpulannya itu.

“Para peminat hanya dapat membezakan yang mana satu ROB dan Koffin Kanser selepas mereka menyaksikan persembahan kami.

“ROB merupakan sebuah kumpulan yang memperjuangkan irama reggae sedangkan Koffin Kanser lebih ke arah nu metal.

“Konsep muzik itulah yang membezakan antara dua kumpulan kami itu,” kata Aru ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan promosi album kompilasi Bila Tiba Hari Raya anjuran syarikat rakaman EMI di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bila Tiba Hari Raya merupakan album kompilasi yang mengandungi 21 buah lagu-lagu Hari Raya malar segar yang antaranya dinyanyikan oleh Datuk Ahmad Jais, Sanisah Huri, Datuk Sharifah Aini, Fazidah Joned dan Rahimah Rahim.

ROB merupakan artis naungan EMI yang muncul dengan album sulung berjudul Ganjaran kira-kira enam bulan yang lalu.

Menurut Aru, bukan setakat para peminat tetapi penganjur pertunjukkan pentas juga adakalanya keliru dengan dua kumpulannya itu.

Ini kerana sewaktu di pentas, dua kumpulan itu boleh saling bertukar-tukar konsep pada lagu-lagu yang mereka sampaikan.

“Malah, kami juga pernah meminta kepada pihak penganjur supaya ROB dan Koffin Kanser diberi peluang muncul pada satu persembahan.

“Dalam erti kata yang lain, kami bermain dalam dua set persembahan. Tetapi permintaan kami itu sering ditolak oleh penganjur pertunjukkan pentas.

“Sebabnya mereka tidak mahu membayar dua kali ganda bayaran disebabkan kami bermain atas nama dua kumpulan,” ujarnya.

Selain Aru, ROB dan Koffin Kanser turut dianggotai oleh Joe (gitaris), Zack (percussion) dan Udin (percussion).

Dalam pada itu, dua kumpulan itu adakalanya menggunakan khidmat pemuzik undangan yang terdiri daripada G-Joe (gitaris), Bakri (dram), Edy (keyboardis), Radit (bassis) dan Justin (percussion).

Turut sama pada majlis berbuka puasa itu ialah artis-artis EMI dan edaran syarikat itu seperti Ella, Camelia, Fiq (Mentor), Ruffedge, Sohaimi Mior Hassan, Herman Tino, V.E., Reborn, Junio Hustle dan OAG serta Pengurus Besar EMI, Julius Ng serta Pengurus Pemasarannya, Yoveindra Arumugam.

ROB sempat menghiburkan para tetamu dengan menyampaikan sebuah lagu berjudul Orang Planet, Sohaimi Mior Hassan (Ramadan) dan Ella (Sekilas Cinta).

Powered by Utusan Malaysia