Archive | Sarah Aqilah RSS feed for this section

Penghuni Darul Ma’Wa Buka Puasa Bersama Artis Kegemaran

21 Sep

SERAMAI 20 kanak-kanak dari Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma’wa mampu tersenyum lebar kelmarin kerana diberi peluang menyertai majlis iftar bersama artis-artis kegemaran mereka.

Majlis iftar yang diadakan di restoran Lagun Sari di Joo Chiat Road itu dihadiri artis-artis tempatan seperti Sarah Aqilah, Nurul Aini, Nurul Huda serta juara Anugerah Skrin, Syirah Jusni dan Erwin Shah Dawson.

Malah, penyanyi Siti Saerah, adik bintang popular dari seberang Tambak yang tidak asing lagi, Datuk Siti Nurhaliza, turut hadir sebagai mewakili kakaknya itu.

Majlis yang dianjur syarikat MediaCorp dan disokong Flare Pte Ltd itu juga memberikan kesempatan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik itu berinteraksi, berbual mesra dan menyertai permainan-permainan bersama artis kegemaran mereka.

Selain itu, setiap kanak-kanak juga diberikan hamper berupa makanan dan habuan wang yang diagihkan Pengarah Urusan Suria, Vasantham dan Mediacorp Eaglevision, Cik Ong Lay Hong, serta penyanyi Siti Saerah.

Majlis iftar yang turut dibuka kepada orang ramai itu dihadiri sekitar 180 orang, termasuk kanak-kanak, para pegawai Darul Ma’wa dan para penaja majlis.

Sarah Aqilah

Tiket Konsert Amal Baru Separuh Terjual

1 Aug

SEBANYAK 2,500 tiket bagi Konsert Malam Lagenda Seri Dewi yang menampilkan biduanita Sharifah Aini sejauh ini telah terjual.

Angka ini adalah separuh daripada 5,000 tiket yang diperuntukkan Jamiyah Singapura bagi konsert pada 8 November ini.

Konsert itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai pelbagai kegiatan kebajikan persatuan itu.

Matlamat yang ingin dikumpulkan ialah $1 juta. Ia akan dimanfaatkan bagi program kebajikan, pendidikan dan dakwah anjurannya.

Ini termasuk kos pengendalian rumah kebajikan Darul Ma’wa bagi anak-anak yatim, Darul Takrim bagi orang-orang tua, rumah rawatan Darul Shifa dan pusat pemulihan Darul Islah.

Datuk Sharifah dijangka mendendangkan 35 hingga 40 lagu dalam konsert itu.

Finalis Anugerah – Chirul, Kunjung, Wawan dan Sarah Aqilah – dan penyanyi/komposer Imran Ajmain akan turut membuat persembahan.

Konsert Malam Lagenda Seri Dewi akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 8 November.

Tiket berharga $69, $99, $129 dan $150 boleh didapati di cawangan Sistic.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://www.sharifahainiconcert.sg atau hubungi 84630490.

Sarah Aqilah

Sakit Kulit

1 Aug

Geli dipandang, takut dipegang. Itulah pandangan ramai tentang psoriasis, sejenis penyakit kulit yang membuat kulit anda mengupas. Biarpun ia tidak berjangkit, tetapi ramai yang masih memandang jijik terhadap mereka yang menghidapinya. SHAHIDA SARHID (sshahida@sph.com.sg) melaporkan.

Budak 11 tahun kongsi derita dan cemuhan orang

BAYANGKANLAH setiap kali beliau menaiki bas, semua orang akan cuba mengelaknya dengan berdiri berjauhan daripadanya.

Ada juga yang lebih rela berdiri dan enggan duduk di sebelahnya walaupun bas penuh sesak dengan penumpang.

Jelas di wajah mereka terpancar rasa jijik, geli dan takut untuk mendekatinya.

‘Eii kau tengok kulit budak perempuan tu! Kulitnya kemerah-merahan dan mengupas macam ular! Gelinya!’ kata-kata demikian sering hinggap di kuping telinga adik Nurrul Namira Mohd Arshad, 11 tahun, yang menghidap penyakit psoriasis, sejenis penyakit kulit yang membuat kulit seseorang itu merah dan mengupas.

Penyakit tersebut yang mengotorkan dan menjejas penampilan seseorang itu juga menyebabkan Nurrul menangis teresak-esak setiap kali beliau pulang dari sekolah kerana tidak dapat menahan cemuhan dan ejekan dari orang ramai di samping cara teman-temannya melayannya di sekolah.

Ini termasuk menyuruhnya agar tidak datang ke sekolah dan enggan membenarkannya terlibat dalam persembahan walaupun beliau merupakan anggota kumpulan tetap kelab tarian Melayu di sekolahnya.

Untuk menghindarkan dirinya daripada terus menjadi bahan ejekan di sekolah, Nurrul sanggup mengenakan jaket hitam lengan panjang dengan seluar biru gelap panjang setiap hari ke sekolah tanpa menghiraukan sama ada cuaca sedang panas terik.

Bagaimanapun, ibunya, Cik Faridah Ahmad, 43 tahun, mahukan anaknya yang merupakan pelajar Sekolah Rendah Lakeside itu lebih yakin dan selesa dengan dirinya sendiri.

‘Semasa Nurrul dalam darjah satu dan dua, dia sampai enggan datang ke sekolah kerana malu sangat dengan kulitnya sebab pada waktu itu, penyakit psoriasisnya telah merebak ke bahagian muka dan juga di dalam telinganya sehinggakan dia sukar mendengar terutama apa yang diajari guru.

‘Ini juga telah banyak menjejas prestasi sekolahnya sehingga dia gagal dalam peperiksaan,’ jelas ibunya, seorang suri rumah tangga.

Menurut Cik Faridah yang mempunyai dua lagi anak perempuan berusia lapan dan sembilan tahun, Nurrul anak sulungnya itu mula mengalami psoriasis pada usia lima tahun.

‘Pada awalnya saya perasan ada tompok-tompok merah di kulit kepala Nurrul. Saya fikir ia adalah kelemumur, jadi saya pun menyuruhnya memakai syampu antikelemumur.

‘Namun tompok-tompok merah itu mula merebak ke bahagian muka, tangan, kaki dan seluruh anggota badannya.

‘Kami mula berasa bimbang dan terus membawanya ke poliklinik. Namun di poliklinik, doktor hanya memberikan krim untuk disapu di bahagian yang terjejas.

‘Bagaimanapun, setelah puas menyapu krim, psoriasis itu semakin banyak dan ada kalanya kulitnya mengupas,’ kata Cik Faridah yang tidak meletakkan karpet di rumahnya kerana bimbang kulit-kulit Nurrul yang mengupas itu akan melekat di atas karpet dan memburukkan keadaan Nurrul.

Cik Faridah kemudian membawa Nurrul ke sebuah klinik privet dan doktor itu kemudian merujuknya ke Pusat Kulit Kebangsaan.

‘Apabila diberitahu bahawa Nurrul menghidapi penyakit psoriasis, saya sekeluarga sendiri kurang pasti apakah sebenarnya penyakit itu.

‘Namun menurut doktor, penyakit ini tidak berjangkit. Tetapi yang hairannya, selalunya mereka yang menghidapi penyakit ini mempunyai sejarah keluarga, namun tiada seorang pun dalam ahli keluarga saya yang pernah mengalami penyakit ini,’ tambah Cik Faridah.

Menurut bapa Nurrul, Encik Mohd Arshad Sanwan, 44 tahun, pada mulanya beliau mengalami kesukaran membayar duit perubatan anaknya.

‘Setiap kali Nurrul ke Pusat Kulit Kebangsaan, duit perubatannya boleh mencecah sehingga $250 setiap sesi termasuk sesi phototheraphy dan ubat-ubatnya. Ada pernah sekali, saya tidak mempunyai duit yang secukupnya untuk membayar duit perubatan, tetapi saya tahu anak saya amat memerlukan ubat itu.

‘Jadi apabila penolong kaunter memberikan ubat kepada saya, saya terus lari tanpa membayarnya. Tetapi surat bil itu tetap datang ke rumah selepas itu,’ jelas Encik Mohd Arshad yang bekerja sebagai seorang pemandu trak angkat susun (forklift) dengan gaji sekitar $1,300 sebulan.

Sebagai ibu bapa, hati siapa yang tidak remuk melihat keadaan anak perempuan mereka yang perlu menanggung malu akibat penyakit kulit yang dihidapinya itu pada usia muda lagi.

Oleh itu, mereka telah berjumpa dengan anggota parlimen kawasan mereka dan kes Nurrul kemudiannya dirujuk kepada seorang Pekerja Perubatan Sosial.

Mujurlah mulai dari hari itu, semua bil perubatan Nurrul adalah percuma. Selepas menjalani rawatan selama hampir tiga tahun, muka dan telinga Nurrul kini semakin bersih.

Walaupun beliau masih enggan mengenakan baju seragam sekolah, kini Nurrul lebih yakin terhadap dirinya terutama sekali selepas dia mendapat kata-kata perangsang daripada para pesakit psoriasis lain yang turut menyertai kumpulan sokongan bagi para pesakit psoriasis.

‘Dahulu saya malu sangat hendak ke hadapan walaupun saya mempunyai bakat untuk menyanyi tetapi kini saya cuba memberanikan diri agar orang ramai dapat melihat saya bukan kerana penyakit saya tetapi kerana bakat saya,’ jelas Nurrul yang pernah membuat persembahan semasa Hari Psoriasis Sedunia.

Memandangkan Nurrul amat meminati penyanyi tanah air, Sarah Aqilah, wartawan telah mengajak pemenang Anugerah 2009 itu untuk membuat lawatan kejutan ke rumah Nurrul.

Ternyata Nurrul amat gembira dapat berjumpa dan berduet dengan penyanyi kegemarannya.

Daripada pengamatan saya, Nurrul seolah-olah lupa tentang penyakit kulitnya buat sementara sejurus sahaja dapat memegang mikrofon untuk berkaraoke dengan Sarah Aqilah.

‘Adik mesti yakin terhadap diri sendiri. Biar apa pun orang cakap tentang adik, yang penting niat adik bersih dan adik sudah berusaha cuba mengubati penyakit ini. Yang lebihnya kita berserah sahaja kepada-Nya. Kita semua mempunyai keistimewaan kita sendiri termasuk adik,’ kata-kata perangsang Sarah itu jelas membuat Nurrul tersenyum.

Sarah Aqilah