Archive | Brad Pitt RSS feed for this section

Rona Biru Hiasi Ruang Kondominium Tengah Kota

5 Apr

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my

Warna sejuk dapat meredakan bahang matahari yang masuk melalui tingkap kaca

KONDOMINIUMNYA terletak di tengah-tengah bandaraya, pusat perniagaan dan zon komersial. Tidak hairan nilai hartanahnya melambung tinggi dan jika ingin disewakan, penyewa harus membayar ribuan ringgit sebulan.

Namun, bukan itu persoalannya kerana bagi pemilik kediaman, Razak Ahmad, beliau lebih menitik beratkan gaya penataan kreatif, anggun dan mewah untuk ditonjolkan sejajar status rumah dimiliki. Tidak mahu terbuai dengan gaya Inggeris yang dianggap terlalu biasa, Razak yang juga pemilik Flora, Etc… Weddings & Events tampil berbeza dengan hiasan dalaman klasik Perancis.

Tema ini kurang menjadi pilihan ramai yang belum terdedah dengan hiasan dalaman ini.

“Pengaruh Perancis menawarkan persepsi dan perasaan berbeza berbanding Inggeris yang kian menakluki gaya penataan di rantau ini. Saya selalu ke Paris dan sangat terpegun dengan hiasan dalaman kediaman di sana.

“Saya mengambil keputusan mencuba klasik Perancis gara-gara jatuh cinta pandang pertama dengan salah sebuah hotel yang pernah dikunjungi,” katanya yang memilih keluarga cat biru untuk ditonjolkan.


Perabot putih dan dinding biru membuat ruang nampak luas.

Bagi Razak, biru bukan sekadar warna bilik tidur tetapi menawan menyeri seluruh kediaman. Namun, bagi yang ingin mencuba, dia menasihatkan warna itu dipelbagaikan seperti beragam pilihan biru yang ditonjolkannya termasuk biru kelabu, biru nila dan biru langit.

“Selain warna kegemaran, saya memilih biru kerana warna itu sejuk dan dapat meredakan bahang matahari yang masuk melalui tingkap kaca. Selain satu-satunya bangunan pencakar langit di kawasan ini, binaan tingkap luas memburukkan keadaan kerana mengakibatkan suasana panas berbahang. Langsir tebal dan dinding cat biru mampu menyejukkan mata dan suasana,” katanya yang juga memiliki sebuah banglo di Shah Alam.

“Sebab lain saya memilih biru ialah tidak mahu kediaman ini sama dengan banglo yang seluruh dinding dicat warna tanah,” katanya.

Meskipun klasik Perancis dijadikan tema penataan, Razak tidak mahu terlalu terkongkong dengan gaya itu sebaliknya selera moden turut disisipkan.


Sentuhan gaya semasa meredakan pengaruh klasik Perancis.

Klasik mempengaruhi pilihan lampu candeliar, perabot berinspirasikan era Louie ke-16 serta langsir fabrik tebal beralun. Manakala, cita rasa semasa diserlahkan melalui penggunaan meja konsol serta meja bulat permukaan kaca digandingkan bersama sepasang kerusi fabrik di ruang tamu.

Namun, biar apapun pilihan perabot, Razak memastikan yang dibeli berwarna putih selain bukan dalam bilangan lengkap. Perabot putih katanya, menukar ruang menjadi lebih luas manakala bilangan perabot sepatutnya dihadkan untuk kediaman sempit.

“Selain itu, ruang juga boleh nampak luas dengan pertolongan cermin. Sebab itu kediaman ini kaya cermin terutama ruang makan yang seluruh dindingnya dipasang kemasan itu,” katanya.

Meskipun baru empat bulan mendiami kondomonium itu, gaya penataannya seolah lengkap sempurna. Namun, kata Razak masih banyak yang ingin dirancang termasuk mengubahsuai ruang dapur di samping menempatkan sebuah meja konsol di ruang makan.

Banyak yang ingin diubah Razak di ruang dapur apatah lagi selaku unit kediaman paling bawah, dia mendapati ada lebihan kawasan lapang di antara ruang dapur dengan kawasan siar kaki hadapan rumah. Razak berhasrat membina taman tengah ruang (courtyard) di situ.

“Ruang kosong itu bakal diisi landskap lengkap dengan kerusi dan meja taman. Saya juga bercadang membina jendela kaca Perancis yang dianggap romantik selain ia juga sebahagian syarat pembentukan taman Inggeris,” katanya.

Mengenai hiasan dalaman, Razak amat berpuas hati kerana pilihan tema dibuat menggambarkan cita rasa peribadi. Ia mungkin dikekalkan buat beberapa tahun lagi kerana setakat ini, dia belum bercadang mencampur-adukkan konsep penataan. Dia bagaimanapun tidak menolak aliran gaya baru andai yang dilihat sesuai selera dan boleh disuaipadan dengan perabot sedia ada.

“Saya tidak menentang konsep ‘mix and match’ tetapi menghias jangan keterlaluan. Seeloknya kemasan, perabot, warna dan perhiasan dipastikan senada dan sealiran gaya,” katanya yang mengutamakan perancangan ruang supaya kesilapan seperti salah membeli perabot dapat dielakkan.

“Seawal melihat pelan lantai, saya sudah tahu jenis dan bilangan perabot yang ingin diisi. Ini penting kerana susun atur perlu tepat dan sistematik jika mahu kediaman selesa diduduki. Selain lukisan dan cermin, saya memutuskan tidak menempatkan terlalu banyak perhiasan. Ini cara saya mengelakkan ruang menjadi sesak,” katanya.

Kemahiran Razak menggubah bunga segar mendapat pengiktirafan dunia sehingga menjadi pilihan selebriti ternama Brad Pitt dengan Jennifer Aniston dan Drew Barrymore dengan Tom Green untuk hiasan majlis perkahwinan mereka manakala Oprah Winfrey, Ricky Martin, Keanu Reeves, Toni Braxton, Celine Dion serta Elizabeth Taylor memilih gubahan bunganya sebagai penyeri kediaman.

Justeru, sedikit aneh apabila bunga tiruan menjadi pilihan Razak untuk mengindahkan ruang. Ditanya mengenainya, Razak memaklumkan kondominium berkenaan berfungsi sebagai rumah persinggahan hujung minggu atau tempat bermalam ketika mempunyai urusan di ibu kota.

Memandangkan tidak selalu berada di kediaman itu, Razak berpendapat tidak berbaloi ia disemarakkan dengan jambangan hidup kerana katanya, “ Alangkah ruginya memilih bunga mekar jika tiada yang menghayatinya. Lebih baik ruang diserikan dengan bunga tiruan yang pasti kekal berpanjangan.”

INFO: Kediaman Razak

Ilham klasik Perancis diperolehi ketika menginap salah sebuah hotel di Paris.

Ilham memasang panel kayu mirip bingkai gambar di dinding menyajikan keunikan. Ini bagi mewujudkan imej klasik Perancis.

Segenap kemasan dan perabot menggunakan tema biru dan putih, gabungan warna mencipta kesan luas secara ilusi.

Berita Harian

Bunga Segar Pelengkap Dekorasi Majlis Perkahwinan

22 Mar

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my


Razak, anak Melayu bertangan ajaib.

Perkahwinan Brad Pitt dengan Jennifer Aniston bukti kehebatan sentuhan seni kreatif Razak

GUBAHAN bunga segar sentuhan tangan Razak Ahmad, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu pernah menghiasi majlis perkahwinan selebriti terkenal Hollywood antaranya Bratt Pitt dengan Jennifer Aniston, Drew Barrymore dan pasangannya serta ramai lagi nama besar lain.

Kini, nama jejaka berusia 47 tahun itu mula menjadi sebutan ramai kenamaan, golongan korporat dan selebriti tempatan yang mendambakan khidmat ‘tangan ajaibnya’.

Razak berkata, penggunaan gubahan bunga segar menjadi pelengkap dekorasi majlis perkahwinan, hari jadi dan majlis sosial sesuai sifatnya sebagai ‘objek bernyawa’ yang mampu menghidupkan suasana majlis.

Menggalas tanggungjawab besar sewaktu menghasilkan gubahan bunga segar pada majlis persandingan bekas penyampai TV terkenal, Datin Norjuma Habib Mohamed dengan suami, Datuk Mohamed Nazim Tun Razak pada 2005 menjadi penanda aras paling bermakna buat Razak.

“Tugasan itu menjadi pengenalan pertama untuk saya selepas membuka Flora etc. dan alhamdulillah kerana berkat doa arwah ibu yang menjadi pendorong utama saya kembali ke tanah air membuahkan hasil yang boleh dibanggakan.


Pelamin berkonsepkan musim dingin hasil idea kreatif Razak.

“Walaupun ada banyak perbezaan dari segi kecenderungan pelanggan tempatan terutama dari segi gubahan dan jenis bunga tapi saya terima ia bagi menghormati minat mereka namun saya akan berikan pendapat berdasarkan pengalaman yang ada,” katanya.

Rahsia gubahan bunga segar Razak

Bercerita mengenai trend gubahan bunga semasa yang sering menjadi ikutan di kalangan pelanggannya, Razak berkata, menghasilkan satu gubahan bunga yang indah bukanlah berdasarkan musim tertentu kerana kreativiti itu terlalu subjektif.

Bagaimanapun, bagi memberikan kelainan terhadap setiap hasil sentuhannya, Razak lebih senang menghasilkan karangan bunga berbentuk pave atau padat tanpa banyak campuran daun.


Gaya mewah dan anggun dipadu bukti kreativiti tidak berpenghujung.

Selain penggunaan bunga Hydranger, Lily serta orkid bersama penggunaan daun Vittosperum, Viburnum dan Eucalyptus yang diimport dari Belanda, Korea Selatan dan China, Razak pasti tidak akan lupa menyelitkan kuntuman bunga mawar sebagai subjek utama.

“Rahsia gubahan bunga mawar segar kelihatan cantik apabila setiap kelopak dibuka sebelum digubah dan kuntuman bunga itu juga perlu digubah secara berpasangan, barulah gubahan kelihatan sempurna.

“Selain itu, ramai yang sering mengabaikan penjagaan bunga segar dengan meletakkan ia secara bertindih ketika digubah. Pada saya, bunga adalah benda hidup yang perlu dijaga kerana itu pastikan ia diberikan ‘minuman’ secukupnya dengan meletakkannya di dalam bekas berisi air suam bersama ubat khas bagi mengekalkan kesegarannya,” katanya.

Tidak hanya mahu bersandarkan bakat dan minat, Razak menjadikan majalah dekor antarabangsa sebagai sumber rujukan bagi memastikan kelahiran idea baru sentiasa berkembang dari semasa ke semasa.

Lebih menarik, Razak juga mampu menzahirkan hasrat pasangan pengantin baru yang mencari kelainan pada majlis persandingan dengan melahirkan tema majlis berdasarkan empat musim iaitu musim dingin, panas, luruh dan bunga menggunakan pilihan bunga segar selain konsep majlis dalam taman dan Inggeris.

“Hasilnya memang tidak mengecewakan malah ia bukan saja sesuai untuk majlis persandingan malah ada juga yang mahukan konsep sama bagi meraikan majlis hari lahir,” katanya.

Walaupun Razak lebih senang memilih bunga berwarna pastel kerana mudah dipadankan dengan apa juga konsep namun sesekali ada pelanggan yang mahukan hiasan berdasarkan tema tertentu menguji kreativitinya.

Ketika majlis perkahwinan anak perempuan Allahyarham Tan Sri Nasimuddin SM Amin Naza yang berkonsepkan kolonial, Razak menggunakan 40,000 kuntum bunga mawar berwarna merah.

“Memang sukar tapi lebih puas hati apabila melihat pelanggan menyukai hasil gubahan yang kita lakukan. Paling penting, pilihan warna bunga perlu sesuai bagi mendapatkan kesan yang diinginkan,” katanya.

Pelamin gubahan Razak bermula pada harga serendah RM8,000 manakala gubahan bunga untuk majlis adalah RM3,000.

“Mungkin ada beranggapan ia satu pembaziran tapi pada saya, kesan penggunaan bunga segar ketara berbeza berbanding bunga tiruan. Bagi mengelakkan pembaziran, kami juga bersedia mengagihkan bunga-bungaan yang telah digubah kepada hospital dan rumah anak yatim,” katanya.

Sejarah hidup penggubah bunga selebriti Hollywood

Walaupun dia boleh dikategorikan sebagai insan yang berjaya dan mempunyai pengaruh yang besar, namun jati diri sebagai anak Melayu yang sentiasa merendah diri tidak langsung terpadam.

Menuturkan setiap patah kata dengan sopan, jauh sekali berbangga diri dengan kejayaan yang dicapai walaupun khidmatnya kini menjadi pilihan kerabat diraja Brunei, Perak, isteri menteri-menteri dan golongan korporat tanah air.

Menyorot kembali sejarah, Razak menganggap langkah pertamanya bermula ketika dia menjadi prep boy di sebuah syarikat penggubah bunga, Flowers by Byron di Chicago, Amerika Syarikat.

Kemudian dia bekerja pula sebagai penasihat perkahwinan di Flowers by Arrangement juga di Chicago. Pada waktu sama membuat kerja sambilan di The Flower Firm, Kehoe Designs dan Virginia Wolf.

Majlis perkahwinan Brad Pitt dengan Jennifer Aniston pada Jun 2000 sebahagian bukti kehebatan Razak. Seni kreatif hasil karangan Razak pernah juga menghiasi majlis perkahwinan Anthony Hopkins dan Drew Barrymore serta pasangannya Tom Green di Bel Air selain menyeri kediaman Oprah Winfrey, Ricky Martin, Keanu Reeves, Toni Braxton, Celine Dion dan Elizabeth Taylor.

Bagaimanapun, pada 2004, ibunya yang ketika itu uzur mahu dia pulang ke tanah air dan kerana tidak mahu mengecewakan hasrat ibu, Razak pulang sebelum mewujudkan Flora etc. juga dengan dorongan ibu.

“Saya sedikit pun tidak ralat pulang ke Malaysia ketika sedang menempa nama di Hollywood kerana empat tahun saya sempat menemani ibu sebelum dia kembali ke rahmatullah,” katanya yang berhasrat mewujudkan pusat khusus menjual pelbagai pilihan bunga-bungaan segar untuk pasaran tempatan suatu hari nanti.

INFO: Flora etc

Pemilik: Razak AhmadKhidmat: Gubahan bunga, hiasan majlis, cenderamata, hiasan rumah.Lokasi: Suite 2.07, Tingkat 2, The AmpWalk, 218, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.Telefon: 03-21668090.Laman web: http://www.floraetc.com.my.

Berita Harian

Gaya Di Karpet Merah

24 Feb

Rap
KEMUNCAK Anugerah Academy ke-81 yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles semalam, bukan saja mendebarkan untuk mengetahui siapa dinobatkan menerima anugerah paling prestij di Hollywood malah menjadi medan bintang popular bergaya hebat dengan pakaian tajaan pereka terkenal.

Mereka yang dicalonkan untuk Aktres dan Aktor Terbaik memilih gaya klasik Hollywood tetapi ramai juga berani bermain dengan warna garang seperti merah dan hijau.

Angelina Jolie yang dicalonkan Aktres Terbaik melalui filem Changeling dan pasangannya, Brad Pitt Aktor Terbaik untuk The Curious Case Of Benjamin Buttons, menjadi tumpuan dengan gaya klasik dan retro. Angelina memilih gaun mendedahkan bahu daripada Elie Saab dilengkapi aksesori subang hijau manakala Pitt dengan bow hitam.

Sean Penn, Aktor Terbaik melalui Milk, segak dengan rekaan Giorgio Armani sepadan dengan isteri, Robin Wright Penn. Turut memilih hitam, Vanessa Hudgens dengan gaun Marchesa, Kate Winslet gaun gelap dan modan rekaan Stefano Pilati (Atelier Yves Saint Laurent) dan Beyonce bersulam emas menampakkan bentuk badannya.

Gaya Kate mendapat pujian pakar fesyen, Mary Alice Stephenson yang menyifatkan penampilannya sempurna tetapi tidak menyukai penampilan Angelina. Katanya, dia berharap Angelina melangkah permaidani merah dengan penampilan mengejutkan berbeza daripada kebiasaannya dengan hitam.

Antara yang memilih warna ceria dan lembut ialah Anne Hathaway dengan gaun Armani Prive warna champagne, Rachel Wood putih gading rekaan Saab, Jessica Biel gaun satin putih Prada, Sarah Jessica Parker hijau muda Dior Couture manakala model Heidi Klum memilih merah.

Penelope Cruz pula memilih gaun putih gaya 50-an rekaan Balmain, Miley Cyrus juga memilih gaun putih dihiasi manik rekaan Zuhair Murad, Marisa Tomei gaun Versace, Freida Pinto gaun biru John Galliano, manakala Queen Latifah, biru tua rekaan Georges Chakra.

Harian Metro

Will Smith ‘Paling Berkuasa’

12 Feb

LOS ANGELES: Aktor Will Smith mendahului senarai bintang Hollywood paling berkuasa, menurut majalah Forbes, diikuti pelakon kacak, Johnny Depp dan Leonardo DiCaprio.

Data itu bukan sekadar berdasarkan kejayaan filem tetapi juga kemampuan bintang menarik jaminan kewangan dan pengagihan panggung wayang bagi satu projek, dan sama ada kehadiran mereka ‘mendorong kejayaan filem.’

“Will Smith adalah satu-satunya aktor yang memperoleh markah penuh 10 di kalangan pengundi industri dalam tinjauan Kewangan Bintang,” menurut majalah itu.

Filem lakonan bintang Men In Black itu mencatat kutipan AS$5.2 bilion (RM18.72 bilion) di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, lapan daripada filemnya berada di tempat pertama senarai filem pecah panggung.

“Beliau membuktikan lagi dan lagi, bahawa dalam dunia ini, tidak kira bentuknya, peminat mahu melihat Will Smith. Beliau pelakon serba boleh dan ia terbukti banyak kali,” kata pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Hyde Park Entertainment, Ashok Amritraj.

Depp menyusul di tempat kedua, banyak dibantu oleh lakonannya dalam trilogi Pirates of the Caribbean.

Di tempat keempat ialah aktres Angelina Jolie, satu tangga di depan pasangannya, Brad Pitt.

“Jolie mempunyai kemampuan berlakon dan pendedahan – kunci utama. Sebahagian rakan aktres lain dalam senarai ini mempunyai lebih banyak filem pecah panggung, tetapi buat masa ini, industri jelas mengiktiraf sejauh mana beliau bermakna kepada satu projek,” menurut majalah itu. – Agensi

Berita Harian

Stailo: 2009 Era Rambut Klasik

24 Jan

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my


ANTARA gaya rambut lelaki masakini.

Potongan rambut konvensional serlah kematangan lelaki

KAITAN gaya rambut dan karektor diri usah sesekali dipandang ringan. Seperti cita rasa bergaya, potongan rambut mencermin pembawaan diri. Apa yang nyata, rambut membawa pengaruh besar terutama bagi individu yang sering menjadi tumpuan ramai.

Tidak hairanlah individu berpengaruh seperti selebriti, model dan golongan kenamaan amat menitik berat gaya rambut. Golongan ini akan memastikan rambut senada dengan imej dan penampilan diri.

Menyentuh potongan rambut lelaki, ada pihak masih berfikiran sempit. Bagi mereka, rambut lelaki hanya sesuai pendek dan tidak boleh diragamkan seperti rambut wanita. Padahal, jika diberi sedikit pembaharuan serta disesuaikan pula dengan gaya tertentu, rambut lelaki boleh dipelbagaikan gayanya.

Misalnya, potongan rambut pendek boleh dipelbagaikan melalui belahan alur rambut. Dengan bantuan teknologi terkini yang menyaksikan produk berasaskan gel, wax, clay dan rubber dicipta, semua produk ini boleh digunakan untuk membentuk karisma dan kesan dramatik pada gaya rambut.

Bagi lelaki yang cenderung berimej metroseksual, variasi gaya rambut disesuaikan pula dengan pilihan warna berbeza. Jika selama ini, warna rambut kekal hitam, mungkin 2009 memberi isyarat untuk membuat perubahan drastik dengan memilih warna coklat dan kemerahan demi mencipta kelainan.

Apa yang penting, tidak perlu malu untuk berubah andai mampu meningkatkan ‘saham’, sekali gus mengundang perhatian gadis!

XY – Stailo minggu ini berkongsi idea buat jejaka yang bercadang memilih gaya rambut terbaru serta tip potongan rambut sesuai mengikut bentuk wajah. Sepanjang tahun ini, gaya rambut lelaki banyak dipengaruhi elemen klasik di mana potongan konvensional menyerlahkan kematangan lelaki.

Biarpun potongan rambut klasik tidak menyuntik banyak perubahan dalam penampilan individu, kreativitinya lebih melakar pada teknik belahan alur rambut.

Jika suatu ketika dulu, imej rambut terpacak mencetus evolusi gaya jejaka, imej potongan rambut klasik meletakkan pula gaya sederhana tetapi menyerlahkan ciri-ciri maskulin lelaki. Tidak percaya, imej rambut klasik menjadi teras gaya selebriti terkenal dunia dalam acara berprestij termasuk di Anugerah Golden Globe, baru-baru ini.

Pada majlis gilang-gemilang itu, aktor hebat, Brad Pitt tampil penuh karisma dengan gaya rambut klasik. Aktor lain yang mencuri perhatian ialah Pierce Brosnan, Tom Cruise dan Leonardo Dicaprio. Nyata potongan rambut klasik mereka memukau hadirin sebaik menjejak kaki di karpet merah.

Potongan rambut klasik bagaimanapun lebih sesuai digayakan mereka yang berambut lurus. Bagi yang berhasrat tampil dengan gaya rambut klasik, apa kata dapatkan pandangan pakar dandanan rambut supaya jenis rambut dan bentuk wajah sesuai dapat ditentukan.

Nyata pengaruh gaya rambut abad ke-20 menyaksikan dua cara berbeza dalam gaya rambut klasik sama ada belahan tepi dan di tengah kepala.

Bukan saja memberi pengaruh besar dalam dunia hiburan dan fesyen, potongan rambut klasik menjadi pilihan jejaka yang menduduki jawatan eksekutif, ahli perniagaan dan golongan profesional.

Ciri-ciri konvensional pada gaya rambut klasik bukan saja menyerlah kematangan lelaki, malah menonjolkan kebersihan diri dan lebih sopan.

Menjurus gaya sebegini, ramai bintang Hollywood era awal sudah pun mencorak identiti mereka dengan gaya potongan rambut klasik seperti yang ditampilkan aktor James Dean, Rochard Burton, Sean Connery dan Elvis Presley.

Mungkin, idea dan paparan contoh gaya rambut klasik mampu memberi pilihan kepada jejaka untuk mencubanya! Tunggu apa lagi, serlahkan kreativiti anda!

INFO: Tip potongan rambut mengikut bentuk wajah

Wajah bujur.Seseorang yang memiliki wajah bujur mampu mempelbagaikan jenis potongan rambut daripada pendek hinggalah panjang mengurai. Mereka yang berwajah begini bebas menggunakan kreativiti untuk bergaya.

Wajah bersegi.Tidak ramai jejaka memiliki bentuk wajah begini mampu memberi gaya rambut sesuai. Biar apapun gaya yang ditampilkan, biarlah sederhana dan usah ketepikan faktor wajah bersegi menonjolkan ciri kelakian sebenar.

Wajah empat segi panjang.Ramai berpendapat, pemilik bentuk wajah seperti ini membiarkan rambut lebih panjang dan dipotong berlapis. Malah, jika dibiarkan mengurai, pesona seksi mampu tercetus selain menyerlahkan ciri-ciri metroseksual dalam diri lelaki.

Wajah tiga segi.
Penyanyi terkenal, Justin Timberlake sebagai contoh memiliki bentuk wajah tiga segi. Bentuk wajah sebegini sesuai berambut pendek pendek dan tidak terpacak. Imej

kemas dan tidak berserabut menampakkan diri anda cukup comel dan kebudak-budakan.

Wajah bulat.Mereka yang berwajah bulat disarankan tidak menyimpan rambut panjang. Sebaiknya, rambut harus kemas dan pendek. Kedudukan sisi rambut haruslah sama rata di

bawah paras mata. Ini bagi memastikan keseimbangan bentuk wajah. Disebabkan itulah, ramai yang berwajah bulat memilih membotakkan kepala atau crew cut.

Ramalan rambut hangat 2009!

Inspirasi potongan rambut 1950-an hingga 1960-an.

Rambut sedikit panjang, berombak mahupun lurus.

Rambut sihat yang mampu menyerlahkan kilauan.

Pergerakan rambut beralun secarasemula jadi.

Rambut yang diwarnakan dengan rona sesuai tampak lebih semula jadi apabila terkena pancaran matahari.

Berita Harian

Kate Winslet Terkedu

13 Jan

Susunan Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my


Kate Winslet menjulang piala yang dimenanginya. – Foto AP

Kemenangan aktres Britain itu meneruskan kegemilangan filem dari negaranya ‘Slumdog Millioaire’ yang menyapu bersih empat kategori utama utama anugerah Golden Globe

ANUGERAH Golden Globe kali ke 66 yang berlangsung di Los Angeles semalam menjadi malam yang cukup bermakna buat aktres kelahiran British, Kate Winslet apabila dinobatkan Aktres Terbaik untuk lakonan mantapnya sebagai isteri yang tertindas dalam filem dramatik Revolutionary Road arahan suaminya Sam Mendes.

Kate, 34, kelihatan cukup terharu dan menangis selepas Cameron Diaz dan Mark Wahlberg mengumumkan namanya sebagai Aktres Terbaik. Dia mengetepikan empat aktres hebat lain iaitu Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Kristin Scott Thomas (I’ve Loved You So Long).

Sebelum itu, Kate membuka tirai penerima anugerah pertama malam itu apabila diumumkan Aktres Pembantu Terbaik bagi filem The Reader. Kategori ini turut mencalonkan empat aktres yang tidak kurang hebatnya iaitu Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona), Marisa Tomei (The Wrestler) dan dua pelakon Doubt, Amy Adams dan Viola Davis.

Pelakon itu yang mula mencipta nama selepas lakonan berkesannya dalam filem cinta penuh tragik arahan James Cameron, Titanic bersama Leonardo DiCarpio, digandingkan sekali lagi dengan aktor itu dalam Revolutionary Road.

Kate pernah dicalonkan sebanyak lima kali dalam Golden Globe begitu juga untuk Anugerah Oscar tetapi nasib tidak pernah menyebelahinya.


MICKEY ROURKE (kiri)
berkongsi kegembiraan dengan Bruce Springsteen.

Ini menyebabkan aktres itu tidak meletakkan harapan besar untuk memenangi salah satu daripada dua anugerah yang dipertandingkan. Justeru, apabila namanya diumumkan malam itu, dia kelihatan cukup terharu.

“Maafkan saya. Saya mempunyai kecenderungan tidak memenangi sebarang anugerah sebelum ini,” katanya dengan nada terharu dan ucapan yang tersekat-sekat.

“Terima kasih sayang kerana mengarahkan filem ini dan terima kasih juga kerana ‘membunuh’ kami setiap hari dan kami sangat seronok dapat berlakon dalam filem mengerikan ini,” katanya merujuk kepada suaminya, Sam yang banyak memberikan tunjuk ajar dan peluang ketika bertindak sebagai pengarah filem Revolutionary Road.

Malah Kate turut memuji DiCaprio yang bergandingan dengannya dalam filem itu.


PENERIMA Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cecil B Demille, Steven Spielberg (kiri) bersama martin Scorsese.

“Saya mencintai awak selama 13 tahun dan persembahan awak dalam filem ini memang mengagumkan,” katanya lagi.

Mickey Rourke ketepikan Brad Pitt

Sementara itu, filem British, Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle menyapu bersih empat kategori iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Ada pihak yang menjangkakan Slumdog Millionaire akan meraih Filem Terbaik tetapi sesetengah pula berpendapat tiga filem iaitu The Curios Case Of Benjamin Button yang menyandarkan nama pelakon hebat, Tom Cruise serta filem Doubt dan Frost/Nixon disebut-sebut bakal menang besar kerana dicalonkan dalam lima kategori.

Bagaimanapun ketiga-tiga filem itu tidak meraih sebarang anugerah. Sebaliknya Slumdog Millionaire yang menyandarkan pelakon tidak popular termasuk bintang Bollywood, Anil Kapoor menyerlah pada malam itu.

Filem itu mengisahkan mengenai seorang budak lelaki yatim piatu di Mumbai yang membesar dengan penuh kepayahan. Hidupnya berubah apabila dia memenangi ‘gameshow’ Who Wants To Be A Millionaire versi India.

“Kami tidak pernah menyangka akan berada di sini, di Amerika. Ini adalah hari yang cukup menakjubkan bagi kami kerana berada di sini,” kata Simon Beaufoy, penulis skrip Slumdog Millionaire yang diadaptasi dari novel Vikas Swarup, Q&A.

Slumdog Millionaire adalah filem pertama arahan Boyle yang menerima anugerah serta kemenangan besar. Boyle pernah mengarahkan filem Trainspotting, The Beach dan 28 Days Later.

Jika Kate diangkat sebagai Aktres Terbaik, Mickey Rourke, 52, pula mengalahkan Leonardo DiCaprio, Sean Penn, Brad Pitt dan Frak Langella apabila diangkat sebagai Aktor Terbaik

Kemenangan mendiang Heath Ledger untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik pula sememangnya sudah dijangkakan. Aktor kelahiran Australia itu memenangi trofi Golden Globe buat kali pertamanya berikutan lakonan mantapnya sebagai The Joker dalam filem Batman: The Dark Night. Anugerah berkenaan diterima oleh pengarahnya bagi pihak mendiang, Christopher Nolan.

“Kami menerima anugerah ini bagi pihak Heath yang tidak dapat bersama-sama kita pada hari ini dengan perasaan bercampur baur. Sedih tetapi pada waktu yang sama kami juga amat bangga.

“Kami berasa sangat bertuah kerana dapat bekerja dengannya. Malah kami juga sangat seronok dengan persembahannya dalam filem ini. Dia akan sentiasa dirindui tetapi kami tidak sesekali akan melupakannya,” kata Nolan.

Ledger yang meninggal dunia hampir setahun lalu akibat pengambilan dadah berlebihan adalah pelakon kedua yang memenangi anugerah selepas kematiannya. Sebelum ini Peter Finch pernah menerima Anugerah Pelakon Terbaik untuk filem Network pada 1976.

Bagi kategori televisyen pula, drama bersiri komedi, 30 Rock yang dibintangi Tina Fey dan Alec Baldwin dipilih sebagai Drama Komedi Bersiri Terbaik. Manakala Mad Men memenangi kategori Drama Bersiri Terbaik.

Pemenang pada Anugerah Golden Globe dijangka akan mengulangi kemenangan mereka pada acara Anugerah Oscar yang bakal berlangsung pada 22 Februari depan.

INFO: Filem

Filem Terbaik (Drama): Slumdog Millionaire

Aktres Terbaik (Drama): Kate Winslet – Revolutionary Road

Aktor Terbaik (Drama): Mickey Rourke – The Wrestler

Filem Terbaik (Muzikal/Komedi): Vicky Cristina Barcelona

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Sally Hawkins – Happy-Go-Lucky

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Collin Farrel – In Bruges

Aktres Pembantu Terbaik: Kate Winslet- The Reader

Aktor Pembantu Terbaik: Heath Ledger – The Dark Knight

Filem Animasi Terbaik: Walle E

Filem Asing Terbaik: Waltz With Bashir – Israel

Pengarah Terbaik: Danny Boyle – Slumdog Millionaire

Lakon Layar Terbaik: Simon Beaufoy – Slumdog Millionaire

Skor Muzik Terbaik: A R Rahman – Slumdog Millionaire

Lagu Terbaik: The Wrestler

INFO: Penerbitan Televisyen

Drama Bersiri Terbaik (Drama): Mad Men

* Aktres Terbaik (Drama): Anna Paquin – Ture Blood

Aktor Terbaik (Drama): Gabriel Byrne – In Treatment

Siri Televisyen Terbaik (Muzikal/ Komedi): 30 Rock

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Laura Linney – John Adams

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Pual Giammatti – John Adams

Mini Siri/Cereka Televisyen Terbaik: John Adams

Aktres Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Anna Paquin – True Blood

Aktor Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Gabriel Byrne – In Treatment

Aktres Pembantu Terbaik (Mini Siri/ Cereka Televisyen): Larua Dern – Recount

Aktor Pembantu Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Tom Wilkinson – John Adams

Anugerah Khas Cecil B DeMille: Steven Spielberg

Berita Harian

Suamiku Paling Seksi?

17 Dec


HUGH JACKMAN (kiri) dan BRAD PITT.

HUGH JACKMAN sudah pun disenaraikan sebagai lelaki paling seksi dunia. Bagaimanapun isterinya pula berpendapat bahawa Brad Pitt lebih layak diberi gelaran itu.

Hugh yang menduduki tangga tertinggi senarai tahunan majalah People sebagai lelaki paling seksi 2008 mengaku isterinya, Deborra-Lee Furness terkejut apabila dia diberikan gelaran itu. Malah wanita berkenaan juga bagaikan turut mempertikaikan kenapa suaminya mendapat gelaran berkenaan.

“Selepas terkejut dengan berita ini, dia terus bertanya kepada saya apakah proses dan bagaimana saya dipilih. Dia juga bertanya siapa yang mengundi. Adakah pembaca atau editor?

“Dan saya memberitahu dia mungkin editor yang memilih berdasarkan pelbagai faktor. Mungkin mereka juga melihat perkembangan karier saya. Debs berkata lagi, ‘Jadi ini bermaksud sesiapa sahaja boleh mendapat gelaran ini?

“Dan saya pula menjawab, ‘Ya’. Kemudian dia bertanya, ‘Dan Brad Pitt tidak mendapat gelaran itu?”

Brad pernah dinamakan sebagai lelaki paling seksi sebanyak dua kali. Mereka yang pernah dipilih sebelum ini termasuk George Clooney dan Matt Damon.

Kosmo