Archive | Imran Ajmain RSS feed for this section

Azharina Dan 20 Lelaki Kacak

21 Apr

Rap
MINGGU Setiausaha yang berlangsung sepanjang April ini bukan saja menghargai setiausaha yang menjadi tulang belakang kejayaan bos mereka, malah memberi ruang kepada peminat berhibur dan bertemu lebih dekat dengan penyanyi pujaan mereka.

Bukan calang-calang penyanyi menjadi pilihan penganjur kerana harga tiket yang mahal dan menjaga nilai eksklusif acara itu. Antaranya Anuar Zain dan Anita Sarawak bersama Faizal Tahir mengadakan persembahan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara pada 7 dan 8 April lalu.

Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti menjadi pilihan Hotel Quality untuk menjayakan persembahan di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta pada 21 dan 22 April.

Hotel Istana pula memberi kelainan dengan menampilkan Azharina bersama 20 artis lelaki popular Malaysia dan Indonesia di Ballroom Grand Mahkota, Hotel Istana, esok, jam 11 pagi hingga 4 petang.

Dua penyanyi lelaki, Faizal Tahir dan Imran Ajmain juga diundang menghiburkan tetamu dan bakal digamatkan lagi dengan kehadiran tiga pengacara, AC Mizal, Afdlin Shauki dan Ally Iskandar.

Ternyata Azharina juga tidak keseorangan dikelilingi kumbang kerana bakal diserikan Jaclyn Victor. Apa yang menarik, Azharina bakal berduet dengan penyanyi Indonesia, Rio Febrian. Turut membuat persembahan, Delon (Indonesian Idol) dan Irwansyah.

Persembahan itu akan disiarkan secara langsung dalam program Wanita Hari Ini di TV3. Harga untuk seorang, RM350++ dan RM290++. Sajian hari itu, makanan Padang dari Sumatera Barat. Untuk tempahan hubungi 03-21419988 sambungan 3667.

Bill Bora selaku wakil publisiti untuk persembahan itu menerbangkan Rio Febrian, Delon, Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal dan Didi Riyadi dari Seberang.

Aktor popular tanah air pula diwakili Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo. Mereka semua akan menggayakan kostum rekaan Lord’s Tailor.

Bill Bora berkata, artis Indonesia itu akan menyanyikan lagu ciptaan komposer tanah air kerana dalam pemilihan lagu, pihaknya berkeras untuk menyanyikan lagu gubahan komposer tempatan.

 

 

“Mereka datang membuat persembahan di sini, jadi mereka kenalah ikut cara kita. Negara kita juga mempunyai ramai komposer ternama,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

ABPBH 2008: Sambutan Luar Dugaan

2 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Barisan artis tidak sangka diserbu ramai pengunjung petanda ABPBH 2008 terus menjadi acara yang ditunggu peminat

PERMULAAN yang baik, siri jelajah pertama Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di ruang legar premis Village Mall, Sungai Petani berlangsung dengan jayanya kelmarin.

Ruang legar yang tidak luas itu menyebabkan keadaan sesak tapi suasananya memang mengagumkan, menghiburkan menerusi pelbagai gelagat daripada pengunjung yang ‘sporting’. Kira-kira 5,000 orang dan kerjasama penuh yang diberikan oleh setiap artis yang hadir antara kunci kejayaan persembahan itu.

Persembahan penutup menampilkan finalis Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Meet Uncle Hussain mendendangkan dua lagu mereka, Pari Pari Di Bawah Angin dan Lagu Untukmu menjadi kemuncak pada acara ini . Sekali lagi band ini mendominasi perhatian ramai selepas menjuarai pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-23 Januari lalu.

Gimik menampilkan klon bersuara sepertinya Syamsyul Anuar Ismail di Sungai Petani dengan hanya menyanyi secara miming antara kejutan yang dilakukan. Syamsyul juga antara peserta pertandingan Bintang Idola Berita Harian.

Malah kehadiran pelakon dan pelawak paling menyerlah tahun lalu hingga sekarang, Nabil yang turut disenaraikan dalam kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Pelakon Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008 sebagai hos dilihat sebagai gandingan mantap. Fazli Zainal yang turut dijemput sebagai penyanyi jemputan bersetuju mengatakan siri jelajah pertama kali ini antara yang terbaik yang pernah dianjurkan Berita Harian dan Persatuan Akademi Muzik Malaysia (AIM).


KEHADIRAN Lan Meet Uncle Hussain dan Nabil menggamatkan Village Mall, Sungai Petani.

“Biarpun persembahan penyanyi dan penampilan personaliti yang terbabit saya andaikan biasa saja, kehadiran Nabil dan Meet Uncle Hussain (MUH) berjaya menaikkan suasana acara ini. Tak mustahil melihat sokongan peminat terhadap mereka, dua profil ini mungkin mempunyai peluang cerah dianugerahkan Bintang Paling Popular,” katanya yang mendendangkan single terbarunya Kalbu dan lagu kumpulan Matta, Ketahuan.

Impak gelombang indie ternyata membawa angin baru aliran muzik ini sejak tiga tahun kebelakangan. Malah, ketika Lan muncul di pentas, jeritan histeria pengunjung jelas menunjukkan betapa kuat populariti MUH hingga menyerang ke utara semenanjung. Biarpun jam hampir menunjukkan 7 malam, pengunjung masih tidak berganjak, hingga MUH menghadiahkan sebuah lagi lagu bonus berjudul Halusinasi sebagai tanda terima kasih.

Menurut tonggak MUH, Lan yang menyanyikan lagu tema Tabung NSTP Untuk Gaza berjudul Putihnya Lukisan berkata, biarpun pertama kali menyertai siri jelajah ini, dia menyifatkan lokasi di Sungai Petani antara yang paling meriah.

Bahkan, MUH turut melakukan inisiatif menjual poskad karikatur gambar mereka yang mana 30 peratus daripada keuntungan jualan disumbangkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Tahun lalu, kumpulan ini hanya diundang membuat persembahan malam kemuncak ABPBH 2007.


KENCHANA dan Nabil bergurau dengan pengunjung.

“Kehadiran ramai pengunjung yang membanjiri ruang legar Village Mall ini menunjukkan tanda sokongan dan sambutan masyarakat sekitar Kedah memang di luar dugaan. Saya sendiri tak sangka sambutan mereka terhadap acara ini begitu hebat.

“Apa yang berlaku dan melanda kumpulan saya selama ini akan cuba diperbaiki demi memastikan sokongan berterusan daripada peminat. Saya akui kekhilafan saya sebagai manusia biasa dan akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang masih sayangkan MUH.

Ruang terbaik popularkan diri

Selama dua hari, rakan artis dan media berkampung di Sungai Petani bagi sama-sama memeriahkan acara yang menjadi tradisi sebelum berlangsungnya anugerah kemuncak pada 12 April depan di Genting Highlands, Kota Keriangan. Dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, anggota rombongan di bawa dengan bas rasmi ABPBH 2008 tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.

Seperti lazimnya, kehadiran calon akhir anugerah berprestij ini menjadi landasan terbaik untuk melobi dan berkempen persis calon wakil rakyat untuk meraih undian dan kepercayaan peminat mengundi mereka menerusi borang undian Top5 ABPBH 2008 yang disiarkan setiap hari dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Kehadiran finalis ABPBH 2008 lain seperti, Mila, Kenchana Dewi dan Ashraf Muslim masing-masing memberi isyarat seolah mereka sudah lama dinantikan. Malahan artis jemputan yang turut hadir membuat persembahan seperti Syazliana, Farah Asyikin, kumpulan Nitrus dan Sheila Abdull bagai ruang udara yang memberi nafas baru kepada pengunjung yang datang.

Calon akhir bagi finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular ABPBH 2008, Kenchana Dewi berkata, melihat kepada sambutan orang ramai, dia akan cuba sebaik mungkin untuk terbabit di lima lokasi seterusnya.

Menariknya Kenchana sepanjang di Sungai Petani, dia juga turut mendapat perhatian ramai. “Saya sudah dimaklumkan awal oleh pihak Akademi, lalu saya akan cuba turun padang bertemu peminat.

“Tahun lalu, saya tidak dapat langsung memeriahkan jelajah ini kerana sibuk dengan jadual penggambaran. Tanpa peminat, saya mungkin tidak akan berada di tahap ini. Lalu demi menghargai mereka, saya bersedia menemui mereka di setiap lokasi jelajah.

“Saya bersyukur kerana peminat sedar mengenai kehadiran saya. Saya rasa setiap lakonan saya tidak kiralah untuk watak komedi atau serius, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penonton. Sudah tercalon, ia sudah memadai,” katanya yang sudah 18 tahun berada di dalam industri.

Pemenang Artis Baru Wanita Terbaik ABPBH 2007 ini, Mila yang kali ini tersenarai dalam senarai calon akhir kategori Penyanyi Wanita Popular tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, selepas melihat saingannya terdiri daripada nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza.

Selain persembahan artis, turut diselit ialah sesi soal jawab mengenai Berita Harian dan ABPBH kepada pengunjung bertuah. Syazliana mempersembahkan dua lagu daripada album terbarunya, Atas Nama Cinta dan Dalam Alam Bercinta, Farah Asyikin (Hello dan Seribu Penipuan) dan Nitrus (Bintang-Bintang dan Cinta).

Bukan setakat Kenchana saja yang menjadi perhatian, Ashraf Muslim yang dikenali dengan watak Ustaz Amirul di dalam drama Puaka Niyang Rapik turut digilai kerana wajah kacaknya. Pada saat akhir, Ashraf sudi menjadi pengacara ‘bidan terjun’ bersama Nabil mengendalikan majlis.

Anak didik komposer Adnan Abu Hassan, Shila Abdull memilih single terbarunya, Semuanya Keranamu dan lagu Mungkinkah yang memperkenalkan dirinya ke persada seni. Persembahan akhir berlabuh apabila semua artis terbabit bergambar kenangan di atas pentas utama. Akibat pengunjung yang ramai, sesi autogeraf yang dijadualkan pada mulanya terpaksa dibatalkan.

Selesai majlis, rombongan artis dan media menaiki bas menghala ke Restoran D’Jetty 8 Beradik, Sungai Merbok yang sudi menaja makan lam. Terima kasih daun keladi kepada semua yang terbabit. Siri jelajah ABPBH 2008 akan ke Pasir Gudang minggu ini.

Corat coret sepanjang dua hari

Empat staf Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd termasuk pemandu begitu mesra melayan artis dan media sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani dan balik ke Kuala Lumpur.

Vokalis kumpulan Nitrus, Eddie hanya datang pada hari Sabtu kerana terbabit dengan hari keluarga syarikat tempat dia bekerja.

Fazli Zainal sempat mempromosikan single terbarunya, Kalbu di dalam bas dengan menyerahkan cakera padat kepada rakan artis dan media.

Ashraf Muslim dan Kenchana Dewi masing-masing membawa ahli keluarga menemani mereka ke Sungai Petani. Ashraf ditemani adiknya, Mujib Muslim manakala Kenchana Dewi membawa kakaknya, Selvee.

Ashraf Muslim menjadi penyeri apabila tiba-tiba bergelar deejay di dalam bas menghiburkan penumpang dan mini karaoke yang ada. Ada saja ideanya memberi keceriaan dan usikan kepada staf Sinarmas dan yang lain.

Teman baik Sherry Ibrahim ini menunjukkan kemahirannya bermain seruling apabila mengalunkan lagu Seribu Tahun nyanyian Imran Ajmain. Katanya, dia belajar sendiri bermain seruling sejak setahun lalu.

Ashraf juga tidak betah duduk diam kerana dia juga menjadi jurugambar tak rasmi mengambil pos dan aksi penumpang dengan meminjam kamera jurugambar Hip Berita Harian, Hasriyashah Sabudin.

Kenchana Dewi, Ashraf Muslim dan Fazli Zainal cepat serasi dan sepanjang di dalam bas mereka mengupas pelbagai isu termasuk isu kegawatan ekonomi, gosip yang melanda industri seni, hubungan artis dan media,

Hip difahamkan di Cinta Sayang Resort, Syazliana diminati seorang lelaki mat salih berusia lingkungan 28 tahun. Bukan setakat meminati dan cuba menghubunginya dengan telefon di bilik hotel, nota ‘cinta’ turut diselitkan di bawah pintu bilik.

Makan malam yang disediakan di Restoran D’Jetty 8 Beradik sedap belaka dan jika berminat boleh singgah ke sana atau menghubungi talian: 012-5904585.

Berita Harian

Cucu Wahid Satay

11 Sep

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


Hyra

Hyra tinggalkan kerjaya pramugari demi cinta pada seni

DI antara 15 cucu pelakon veteran Wahid Satay, hanya Mahirah Mohd Yasin atau mahu dikenali sebagai Hyra yang menyambung legasi datuknya dalam bidang seni. Disebabkan cintanya pada dunia seni, gadis berusia 23 tahun itu sanggup meninggalkan kerjaya selesa sebagai pramugari di Silkair hanya kerana ingin memberi tumpuan pada bidang nyanyian.

Hyra berkhidmat di awan biru selama dua tahun iaitu dari 2004 hingga 2006. Bagaimanapun kerana sukar membahagikan waktu antara kerjaya seni dan tugas sebagai pramugari, dia mengambil keputusan nekad meninggalkan terus kerjaya berkenaan.

Namun sebelum itu, Hyra berbincang dengan keluarga terlebih dulu sebelum keputusan dicapai. Keluarga juga tidak menghalang, malah mereka memberikan sokongan sepenuhnya ke atas keputusan dibuat. Gadis berperwatakan lemah lembut dan memilik wajah iras Datuk Siti Nurhaliza Tarudin itu percaya rezeki berada di mana-mana meskipun belum mengetahui untung nasib dalam dunia muzik.

Kerjaya sebagai penyanyi bermula apabila dia diintai syarikat Bio Music Production yang tertarik dengannya ketika membuat persembahan pembukaan Konsert Siti Nurhaliza yang diadakan di Stadium Tertutup Singapura pada 2005. Sebelum itu, anak kedua daripada tiga beradik itu banyak menyertai pertandingan nyanyian dan dua kali memenangi pertandingan Tiru Gaya Siti iaitu pada 2003 dan 2005.

“Rezeki di tangan Tuhan. Saya percaya kalau ada rezeki tak ke mana. Sebelum keputusan ini dicapai, saya sudah fikir semasak-masaknya. Saya berserah saja semuanya pada Allah.


WARISI BAKAT: Hyra bersama Wahid Satay pada Festival Filem Malaysia ke-21 di Putrajaya.

“Tujuan saya menceburi bidang seni untuk memperjuangkan industri muzik Melayu. Kejayaan rakan senegara seperti Imran Ajmain dan Taufik Batisah memberi keyakinan untuk saya mencuba nasib dalam bidang ini,” katanya.

Sebagai penyanyi baru, kehadiran album sulung cukup dinantikan gadis manis ini. Album sulung Hyra memuatkan 10 lagu berkonsepkan moden pop etnik. Biarpun masih baru, Hyra turut menyumbangkan sebuah lagu dan lirik. Lagu yang mendapat sentuhan Mahira ialah Aku, Teman dan Kasihku. Tidak ketinggalan datuknya Wahid Satay turut menyumbangkan lirik lagu Hampa Diri Ku yang mengisahkan mengenai dirinya yang kehilangan ibu.

“Semua lirik yang membabitkan saya ditulis secara spontan. Saya tidak ada pengalaman dalam bidang penulisan tetapi minat untuk menulis lirik. Alhamdulillah saya juga mendapat tunjuk ajar daripada pihak produksi.

“Lirik Aku adalah mengenai kisah hidup seseorang yang ada prinsip tersendiri. Lagu itu ada sedikit kena mengena dengan diri saya,” katanya yang turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

Hyra mula berlakon pada 2003 dalam sebuah drama bersiri berjudul Dua Wajah serta Hadirnya Ramadan. Dia juga pernah bergandingan dengan datuknya dalam program Warna Ramadan. Hyra juga mewarisi bakat datuknya apabila terbabit dalam drama komedi Salam Lebaran.

Oleh kerana memiliki wajah seiras Siti Nurhaliza, Hyra diberi peranan sebagai Siti Nurhaliza dalam drama komedi bersiri Kelakarsi Episode 6 Mat Jenin.

“Walaupun Singapura hanyalah sebuah negara yang kecil, begitu juga dengan industri muzik di sana tetapi mujur rezeki untuk saya tidak putus. Di Singapura jika ada seberang persembahan, penganjur selalunya akan undang saya. Jadi saya tidak berdepan masalah apabila memilih kerjaya nyanyian,” katanya.

Profil:

Nama Sebenar: Mahirah Mohd Yasin Tarik Lahir: 8 Mac 1985 Bintang: Pieces Adik Beradik: Dua dari tiga beradik

Berita Harian

Peminat Cemburui Dayang

30 Apr

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

MENJADIKAN Anuar Zain antara idolanya, Marcel atau Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan menilai kejayaan persembahan Minggu Setiausaha yang dijayakan tidak hanya bergantung kepada dirinya seorang.

Malah kemunculan bersama Dayang Nurfaizah dan Imran Ajmain dari Singapura serta pelawak Dee selaku pengacara menjadikan kombinasi mereka bertambah mantap dan berbaloi untuk ‘santapan’ tetamu.

Marcel turut menyampaikan lagu Pertama Kali, Selama Bumi Berputar, Jangan Pernah Berubah, Jelita, Denganmu, Jiwa Yang Hilang, Ohh… Child dan medley Aku Rindu, Ketika Kau Menyapa, Kau Bisa Aku Bisa, Firasat, Semusim dan Mendendam.

Dayang pula yang muncul sebelum Marcell sememangnya tidak menghampakan peminat dengan rangkaian lagu seperti Survival, medley lagu Hindi, Bole Chudiyan, Chaiyya Chayyia dan Kuch Kuch Hota Hai dan lagu hitnya sendiri, Cerita Cinta Dayang.

Menariknya, Dayang kemudian bergandingan bersama Marcell menerusi lagu Separate Love. Ternyata, paduan suara antara mereka membuatkan persembahan itu romantis hingga kelihatan peminat wanita cemburu melihat Marcell memeluk mesra Dayang sebaik persembahan berakhir.

Tidak hanya memfokus di pentas saja, Dayang juga mengambil kesempatan mendekati peminatnya dengan bertanya khabar dan memberi peluang kepada peminat untuk menyanyikan lagunya yang diminati.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan ini apatah lagi dapat menonton Marcell dan berduet bersamanya. Tiga artis bergabung dalam satu persembahan adalah acara yang cukup menarik dan saya sendiri mengharapkan matlamat acara ini tercapai.

“Bagi saya, acara bermatlamatkan amal ini harus diteruskan dan walaupun tidak dapat menghulurkan sumbangan yang banyak dalam membantu golongan tidak bernasib baik tetapi menerusi acara sebegini, ia menjadi peluang terbaik bagi saya untuk tampil membantu,” katanya.

Bagi Imran yang tampil dengan lagu popularnya, Seribu Tahun turut menganggap peluang mereka bertemu dalam persembahan kali ini umpama kombinasi yang tepat.

“Saya tentunya gembira apabila terbabit dalam persembahan ini dan ia peluang bagi saya untuk mempromosikan diri dan terus meraih perhatian peminat di negara ini,” katanya.

Selain pertaruhan tiga penyanyi itu, persembahan turut dimeriahkan dengan penampilan Dee yang seksi dengan kebaya biru dan usikan manjanya bersama tetamu menjadikan persembahan bertambah gamat dengan gelak tawa. Variasi persembahan juga tertumpu pada persembahan Imran yang tampil dengan lagu Seribu Tahun dan ketiga-tiga penyanyi ini berduet menyanyikan lagu penutup Keep On Smiling.

Powered by Harian Metro

Info TV: Chef Kamarul Kembali Dalam A La Carte Di Ntv7

17 Apr

INGIN belajar cara mudah menyediakan masakan yang bukan saja sedap dimakan tapi juga sedap dipandang? Chef Kamarul kembali menemui anda dengan masakannya yang lebih hebat bersama selebriti tempatan.

Musim pertama A la Carte berjaya menambat hati ramai penonton setia dengan kemahiran Chef Kamarul berserta kelebihan sifat mudah mesranya, musim kedua A la Carte yang memaparkan barisan artis terkenal di samping resipi sedap ini tidak harus dilepaskan.

Mulai 16 April lalu, musim kedua yang memaparkan 13 episod ini akan kembali menerusi saluran ntv7 jam 7.30 malam setiap Rabu. Panduan untuk menyediakan hidangan yang lazat, cepat dan lebih dekoratif akan diketengahkan dalam rancangan setengah jam ini.

Turut dipaparkan adalah aksi selebriti yang meminta nasihat Chef Kamarul bagi menyediakan hidangan yang paling sesuai untuk makan tengahari, jamuan serta perjumpaan keluarga.

Lebih menarik, penonton bukan saja boleh mendapatkan tip memasak berguna dan resipi daripada program memasak ini, tetapi penonton turut diberi peluang untuk mengintai ke dalam kehidupan selebriti jemputan dengan melihat paparan kediaman mereka.

Selebriti jemputan akan mencuba mencipta kembali hidangan yang ditunjukkan oleh Chef Kamarul. Hidangan itu terdiri daripada tiga jenis dan hidangan makan tengahari atau makan malam.

Tetamu jemputan Chef Kamarul, tukang masak selebriti yang terkenal dengan peranannya dalam Makan Apa Bos? dan Famili Ria, termasuklah Nora Danish, Zahid AF2, Akbar, dan Shila.

Jangan lepaskan peluang anda untuk menonton Ala Carte’s Mother’s Day Specials dengan kemunculan penyanyi dan pelakon tempatan Karen Kong pada 7 Mei depan dan penyanyi Singapura yang semakin dikenali, Imran Ajmain pada 14 Mei.

Bagi tip masakan yang lebih menggiurkan, resipi yang amat mudah dipelajari dan juga saat kegembiraan yang berterusan, jangan lupa menonton A la Carte musim kedua, setiap Rabu jam 7.30 malam.

Powered by Berita Harian

Tak Kisah Dikatakan Lupa Diri

7 Apr

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

INDUSTRI seni tanah air memang cukup terbuka. Selain laluan ‘mudah’ diberikan kepada artis Indonesia, bintang dari Singapura juga tidak terkecuali. Sama ada sebagai pelakon atau penyanyi, makin ramai anak jati dari Kota Singa itu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Nama seperti Ferhad, Ahli Fiqir, Adi Putra, Imran Ajmain dan Aliff Aziz amat dikenali di kalangan peminat seni tempatan. Begitu juga dengan Aaron Aziz, 32. Pelakon utama drama Janji Diana ini nampaknya amat laris di pasaran.

Malah bapa dua anak ini mengakui hatinya senang me neruskan kerjaya seni di Malaysia kerana keluarga sudah berada di sisinya. Katanya, kalau dulu dia terpaksa berulang- alik dari Kuala Lumpur dan Singapura demi mengubat rindu, kini tidak perlu lagi.

“Ketika isteri dan anak menetap di Singapura, boleh di katakan masa saya lebih banyak habis dalam perjalanan. Alhamdulillah, kini tidak perlu lagi kerana mereka semua sudah ada dengan saya. Kini semuanya makin mudah.

“Saya sanggup berhijrah ke Kuala Lumpur kerana berlakon memang minat dan impian. Di Singapura pula, senario itu amat berbeza dengan Malaysia. Kalau di sini industri hiburan mampu dijadikan sebagai kerjaya tetapi di Singapura ia sekadar fesyen.

“Seni tidak boleh dijadikan karier utama. Jika mahu menjadi anak seni, secara sambilan saja. Tidak boleh sepenuh masa kerana pasaran yang kecil. Justeru, untuk mengembang kannya agak terhad. Itulah sebabnya saya berhijrah ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sekalipun namanya masih baru di negara ini, rezeki Aaron nyata murah. Selain sibuk dengan lakonan, Aaron juga baru-baru ini dipilih menjadi duta produk Men Expert keluaran L’Oreal Paris.

Katanya, dia amat bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberian itu.

Selepas membintangi filem Evolusi KL Drift terbitan Skop Production Sdn Bhd, Aaron kini sibuk pula di lokasi filem kedua, Shh… Dia Datang arahan pelakon dan pelawak, Saiful Apek.

Persoalannya, mampukah Aaron berkomedi? Aktor kacak ini mengakui menjadi pelakon komedi pasti bukan dirinya tetapi apa salahnya dia mencuba berlakon watak komedi.

Katanya, apa yang menarik perhatiannya ialah jalan cerita filem itu.

“Saya dapati skrip filem Shh…Dia Datang sangat bagus. Ia mengisahkan saya dan Apek yang bersahabat baik, mem punyai cita-cita sama mahu menjadi pelakon. Bagaimanapun, kami menghadapi pelbagai halangan untuk menjayakannya.

“Pelbagai insiden menarik dan melucukan dimuatkan dalam filem Shh…Dia Datang ini nanti. Cuma, tidak tahulah sejauh mana penonton boleh menerimanya. Apapun, saya berharap percubaan pertama dalam ‘komedi’ ini diterima baik,” ka tanya.

Aaron juga dicalonkan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) dalam kategori Pelakon Drama Lelaki Popular. Walaupun tewas di tangan Rosyam Nor, Aaron berkata, dia semenangnya tidak mengharapkan ke menangan memandangkan saingannya cukup hebat terutama daripada Datuk Jalaluddin Hassan dan Rosyam Noor.

“Sudah tersenarai dalam ‘Top 5’ pun saya amat bersyukur. Sebagai orang baru dalam industri hiburan, pencalonan dalam ABPBH2007 saya anggap satu penghargaan peminat. Tidak pernah saya sangka sampai ke tahap ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pembaca Berita Harian kerana mengundi dan meletakkan saya hingga ke tahap ‘popular’ itu. Apa yang diberi peminat ini akan jadi pemangkin semangat saya untuk terus berusaha keras meningkatkan mutu lakonan,” katanya.

Aaron juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila menolak menolak tawaran berlakon filem Histeria arahan James Lee sebelum ini.

Katanya, dia bukan ‘demand’ dengan bayaran tetapi tidak mampu memberi komitmen.

“Sebenarnya sudah menjadi cara saya tidak akan ambil lebih daripada dua tawaran berlakon. Malah ketika diberi tawaran itu, saya sedang sibuk menjayakan penggambaran drama 30 episod, Bulan Bertemu Matahari arahan Erma Fatima.

“Seingat saya, tempoh penggambaran drama itu mengambil masa kira-kira empat bulan. Jadi, saya terpaksa tolak tawaran yang bertindan dengan jadual sedia ada. Ia jauh sekali disebabkan hubungan ‘tidak baik’ saya dengan pelakon lain.

“Hingga kini saya tiada masalah dengan mana-mana pe lakon. Oleh itu jika terkeluar cerita mengatakan saya tidak baik dengan pelakon lain, rasanya tidak benar dan gosip semata-mata. Pada saya, tiada sebab untuk bermusuh,” katanya.

Ditanya apakah dia berasakan masih mempunyai peminat di negara kelahirannya, Aaron yang memulakan kerjaya lakonan di Singapura pada 2004 mengakui peminatnya tetap ada.

Katanya, biarpun kini dia di Malaysia tetapi ada juga antara peminatnya masih berhubung dan bertanya khabar. Aaron juga pernah meraih Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura pada 2003, 2004 dan 2005.

Mengenai tawaran berlakon di Singapura, Aaron mengakui dia kini tidak lagi mengambil sebarang tawaran di sana. Tegasnya, dia selesa memberi tumpuan kepada karyawan seni di Malaysia. Itu bukan saja mudah tetapi teratur.

“Saya tidak kisah kalau dikatakan ‘lupa diri’. Terpulanglah, dengan apa orang hendak cakap. Paling penting, saya dan keluarga tahu apa yang berlaku,” katanya.

PROFIL

NAMA: Aaron Aziz

KERJAYA: Pelakon

ASAL: Singapura

USIA: 32 tahun

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Diyana Halile

ANAK: Danish Anaqi, 4 dan Dwi Ariana, 2

DRAMA: Sumaiyah, Emil Emelda, Janji Diana, Sadiq & Co, Cinta Gila dan Bulan Bertemu Matahari

Filem: Evolusi KL Drift dan Shh… Dia Datang

PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura (2003, 2004, 2005)

DUTA PRODUK: Men Expert keluaran L’Oreal Paris

Powered by Harian Metro