Archive | Ida Nerina RSS feed for this section

Tragedi Cinta 2008

29 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
ISU pemberian gelaran ‘Datuk’ kepada pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan (SRK) oleh kerajaan negeri Melaka, mendahului carta kontroversi dunia hiburan sepanjang 2008.

Ia dinilai berdasarkan beberapa aspek, khususnya penganugerahan ini membangkitkan sensitiviti di kalangan masyarakat umum dan juga penggiat seni tanah air kerana melihat pemberian itu sebagai memperkecilkan sumbangan anak seni tempatan dalam menjana pembangunan industri hiburan.

Mereka juga mempersoalkan apakah sumbangan SRK dalam membangunkan industri hiburan serta perkembangan ekonomi negara? Rasa tidak puas hati ini disuarakan karyawan seni melalui sidang media tergempar Persatuan Seniman Malaysia.

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof menggesa kerajaan negeri membuat penilaian sebaik mungkin sebelum mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Bagaimanapun, pada 6 Disember lalu, SRK menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena ulang tahun ke-70, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, Melaka.

Selain itu, kemelut rumah tangga pelakon popular, Arbaeyah Abdul Manan (AbbY Abadi), 30, dan suaminya Mohamed Norhakim Zaidon (Norman), 32, tidak kurang hebatnya sehingga dilaporkan media hampir sebulan.

Pergolakan rumah tangga Abby dan Norman sudah lama diperkatakan dan hubungan mereka berantakan gara-gara kehadiran orang ketiga yang dipercayai pelakon muda, Suhaiza Suhaimi (Memey). Norman juga dilaporkan tidak pulang ke rumah lebih sebulan sejak Aidilfitri lalu dan juga dikatakan berkahwin secara rahsia dengan Memey.

Bagaimanapun, Norman menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Memey, apatah lagi berkahwin hingga meminta media tunjukkan bukti. Namun, kebenaran terungkai apabila pada 30 Oktober, jam 3 pagi, Norman dicekup pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat dengan Memey di pejabatnya di Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor.

Rentetan kes itu, Abby mengambil tindakan menfailkan cerai pada 3 November lalu. Bagaimanapun, berlaku sedikit masalah hingga Abby mengambil tindakan mencari Norman di lokasi Gerak Khas untuk mendapatkan kerjasamanya memberi maklumat lanjut butir-butir dalam borang permohonannya.

Sebelum ini, Norman dan Abby pernah bercerai pada Mei 2006 gara-gara dikatakan wujudnya ‘orang ketiga’ tetapi rujuk semula dalam tempoh waktu yang singkat atas alasan kasih sayang antara mereka masih kuat.

Bagaimanapun kali ini, Abby nekad dan akhirnya Norman melafazkan cerai terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, 18 Disember lalu.

Satu lagi kisah perceraian menyayat hati membabitkan pelakon sitkom Puteri yang cantik jelita, Nora Mohd Danish Hanif, 26, diceraikan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 33, ketika hamil tiga bulan.

Mahkamah pada 12 Ogos lalu memutuskan lafaz cerai yang dibuat Rizal dalam keadaan sedar sebanyak dua kali menerusi telefon sekitar Februari dan 17 Jun lalu adalah sah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dianggap ‘loving couple’ di kalangan teman rapat.

Sementara itu, Fasha Sandha yang dikatakan punca kepada keretakan rumah tangga Nora Danish, dipulaukan pihak media gara-gara sikapnya yang tidak menghormati pihak media dengan melemparkan kata-kata kesat kepada wartawan.

2008 boleh dianggap zaman suram bagi pelakon yang muncul dengan filem terbaru, Cicakman 2 itu kerana ‘direhatkan’ daripada sebarang publisiti di media cetak dan elektronik sejak Julai lalu dan dijangka berlarutan dalam tempoh yang panjang.

Kes penceraian membabitkan artis sepanjang 2008 adalah yang terburuk kerana boleh dikatakan ia berlaku setiap bulan dan jumlahnya amat membimbangkan.

Terdapat juga beberapa kes yang masih dibicarakan misalnya Beego, Radhi OAG, Aziz M Osman serta pasangan Erema dan Seri Bayu.

Sementara sah bercerai, Farah Ashikin, Norish Karman, Siti Fairuz, Leina Hangat, Cham VE, Anis Suraya, Emma Akma, Noraniza Idris, Bell Ngasri dan Abby Abadi.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi, Azharina mengejutkan peminat hiburan kerana selepas membuat pengakuan dia isteri ketiga kepada peguam, Datuk Shukri, seminggu selepas itu mengumumkan dirinya sedang dalam edah.

Beberapa isu kontroversi turut disenaraikan

Rita dan Aidil Zafuan kahwin senyap-senyap

SEPULUH bulan melayari alam rumah tangga, akhirnya perkahwinan rahsia di antara pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak, 21, terbongkar selepas ayah dan ibu Zafuan tampil membuat sidang media di Sikamat, dekat Seremban.

Pada majlis itu, mereka mendedahkan Aidil Zafuan dan Rita berkahwin secara rahsia dan selama ini hanya berlakon di depan mata keluarga sendiri yang masing-masing kononnya masih bujang.

Bagaimanapun, Aidil sudahpun pulang ke pangkuan ayah dan ibunya untuk memohon maaf, sekali gus menjelaskan dari hati ke hati apa yang berlaku selepas dilaporkan menyorokkan perkahwinannya dengan Rita di Selatan Thailand, pada 25 Februari lalu.

Pasangan ini juga dikhabarkan dengan berita gembira apabila Rita disahkan mengandung dua bulan setengah.

Faizal Tahir

JANUARI 2008, pastinya menjadi pengajaran yang cukup berharga buat Faizal Tahir sepanjang bergelar anak seni. Semuanya gara-gara insiden membuka baju yang dilakukannya ketika persembahan sempena konsert ulang tahun 8TV pada 13 Januari lalu.

Sebagai hukuman, Faizal dilarang muncul daripada sebarang rancangan televisyen semua stesen penyiaran selama tiga bulan bermula 15 Januari. Tidak hanya Faizal, pihak 8TV juga tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Selama tempoh itu, 8TV tidak boleh menyiarkan sebarang rancangan secara langsung, semuanya perlu dirakam termasuk One In A Million.

Insiden buka baju yang menampakkan simbol ‘S’ itu menyebabkan dua lagunya, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta yang mara ke Anugerah Juara Lagu 22 disampaikan penyanyi lain iaitu Fiq Mentor dan Bob.

Pierre Andre dan cinta khayalannya

SELEPAS berpisah dengan teman wanitanya yang juga pengarah/pelakon Norliana Samsudin, Pierre Andre dikaitkan dengan beberapa rakan artis jelita, antaranya Fasha Sandha dan Julia Ziegler.

Bagaimanapun, pengarah muda ini dikatakan pula menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis bernama Maya Darina Dahlan Hain.

Tidak lama selepas tersebarnya berita itu, Maya Darina dikatakan pula hanyalah kekasih khayalan Pierre atau yang lebih tepatnya, Pierre dipercayai dibomohkan Maya yang juga dikenali melalui nama samaran Melia dan Molie.

Siasatan media mendapati Pierre bukan mangsa pertama Maya yang dipercayai watak rekaan Elie, bekas pekerja Metrowealth Movies Production. Sebelum ini, Faizal Tahir dan Farid Kamil juga pernah ditipunya.

Sekian lama mendiamkan diri, Pierre akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai kontroversi perhubungannya dengan Maya kepada pihak media.

Pierre menafikan dirinya ‘sakit’ atau bercinta dengan Maya yang tidak pernah ditemui. Mereka sekadar berhubungan melalui telefon dan itupun untuk berbincang mengenai kerja. Semua cerita yang tersebar sebelum ini, katanya adalah karut.

Isu Maya Darina juga dikatakan menjejaskan tumpuannya terhadap penggambaran Jangan Tegur, bahkan hubungannya dengan penerbit Metrowealth, David Teo juga dingin mutakhir ini.

Azwan Ali bermusuh dengan Ifa Raziah

SELEPAS dikatakan bermasan muka dengan pelakon dan produser, Sheila Rusly, tahun lalu, pengacara terkenal Azwan Ali kini bermusuhan pula dengan sahabat baiknya, Ifa Raziah.

Semuanya gara-gara Azwan tidak membenarkan Ifa menumpang biliknya sewaktu menghadiri upacara Anugerah Bintang Popular-Berita Harian 2007. Tindakan Azwan itu cukup melukakan hati Ifa hingga rasa terkilan itu disuarakan kepada pihak media.

Pelbagai kenyataan diberikan kedua-dua pihak, namun tidak menampakkan sebarang tanda akan berdamai.

Video lucah Ida Nerina

INDUSTRI hiburan tempatan dikejutkan dengan video rakaman lucah yang dikatakan membabitkan dua pelakon ternama negara, Ida Nerina dan Fauzi Nawawi.

Kedua-duanya menafikan yang dua individu di dalam klip itu adalah mereka.

Zarina An-Julie

SELEPAS tersebar gambar separuh bogelnya dengan seorang jejaka awal tahun ini, pelakon Anak Pontianak, Zarina An-Julie sekali lagi menggemparkan persada hiburan dengan fotonya berbikini dan mengghairahkan sewaktu menghadiri satu ‘parti’ di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Gambar yang mendedahkan sebahagian dadanya itu tersebar luas di Internet sehingga mendesak Zarina membuat pengakuan, sekali gus memohon maaf di atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, Zarina menafikan gambar separuh bogel yang membabitkannya dengan seorang pemuda sebagai teknik ‘super impose’.

Linda dan Fahrin

SERING mengaku teman tapi mesra, namun apabila hubungan berakhir awal tahun ini, penyampai Sinar FM, Linda Onn dan aktor kacak, Fahrin Ahmad bagaikan menjadi musuh ketat.

Keadaan ini sudah cukup menjelaskan hubungan mereka sebelum ini lebih daripada sebuah persahabatan atau erti kata lain mereka sebenarnya bercinta. Linda khususnya, dikatakan sering menyindir Fahrin melalui blognya sehingga mencalar imej dan maruah pemuda itu.

Sengketa mereka bertambah parah sejak disatukan semula mengendalikan program Sehati Berdansa. Berlaku satu kejadian memalukan apabila Linda ditengking Fahrin ketika raptai Sehati Berdansa minggu keempat.

Harian Metro

Advertisements

Kenali Gaya: Tubuh Kecil Bebas Pilih Gaya, Warna

14 Sep



Lakaran fesyen cadangan
Amir Luqman.

Pilihan pakaian mampu tonjol kekurangan pada diri

Soalan:SAYA berusia 24 tahun, ketinggian 140 sentimeter (sm) dengan berat 40 kilogram (kg) dan bekerja di sektor awam. Setiap hari saya hanya memakai baju kurung ke pejabat. Bagaimanapun, sesekali timbul keinginan untuk saya bergaya dengan kebaya dan baju kurung moden. Pada pandangan saudara, adakah fesyen itu sesuai dengan saya?

Di luar waktu kerja, saya lebih selesa memakai seluar panjang seperti jeans dipadankan bersama t-shirt kecil tetapi saya tidak tahu jenis potongan seluar bagaimana yang sesuai dengan saya kerana saya mempunyai bentuk badan seperti buah pir. Keadaan itu menyebabkan saya kelihatan bertambah rendah. Untuk pengetahuan saudara, saya tidak suka memakai skirt.

Jawapan:
Apa juga kelemahan dan kekurangan tidak patut dijadikan penghalang untuk anda menyekat gaya. Sepatutnya kekurangan itu dijadikan kekuatan utama yang patut ditonjolkan di dalam cara yang tidak keterlaluan.

Saya rasakan tubuh anda rendah dan tidak terlalu kecil, jadi keinginan untuk menggayakan kebaya atau kurung moden ke pejabat tentunya boleh diteruskan tanpa rasa teragak-agak.

Disebabkan anda tidak terlalu tinggi, jadi pastikan kurung moden atau kebaya tidak terlalu labuh. Paling sesuai jika labuh baju sekadar mencecah bawah punggung.


Amir Luqman

Anda juga boleh mencuba potongan kebaya pendek atau kurung moden. Bagi mengelakkan gaya kelihatan terlalu biasa, pilihan kain dan warna sesuai mampu memberikan kelainan. Perlu anda ketahui, baju potongan pendek akan menampakkan tubuh anda kelihatan tinggi.

Motif sesuai pula tentunya bunga-bungaan kecil atau jalur memanjang. Fabriknya terpulang pada keselesaan dan anda juga bebas menyarung fabrik keras atau lembut.

Kesilapan memilih seluar juga sering kali membuatkan wanita tampil kurang bergaya. Oleh kerana anda kecil, pilih seluar berpotongan kecil atau lurus. Jika anda jenis yang berani, tiada salahnya jika anda mencuba seluar berpotongan tinggi seperti yang pernah digayakan Ziana Zain.

Selain menjadi gaya paling hangat musim ini, seluar jenis itu juga boleh memberi ilusi tubuh tampak tinggi. Padankan ia bersama jaket berpotongan 40-an, hasilnya pasti tidak mengecewakan.

Selain seluar panjang mencecah buku lali, wanita bertubuh rendah dan kecil seperti anda juga cantik menyarung seluar paras betis.

Kelebihan pemilik tubuh kecil, mereka bebas memilih gaya dan warna. Tambah mudah jika anda berkulit cerah bagaimanapun si kulit sawo matang pula perlu berhati-hati memilih warna.

Cadangan saya, selain warna selamat seperti hitam dan kelabu, tona natural seperti coklat, khaki dan pastel pilihan paling selamat. Tona terang juga boleh disarung tapi pastikan tidak terlalu terang.

Jika ingin mengubah penampilan, cuba sarungkan warna putih pada kemeja dan seluar ditambah mainan aksesori minimum. Pasti ramai yang akan memuji penampilan baru anda.

PROFIL: Amir Luqman

Usia : 24 tahun

Asal : Pasir Mas, Kelantan

Kelulusan : Diploma Fesyen, International Fashion Training Centre.

Pencapaian : Tempat ketiga Piala Seri Endon (2004), peserta akhir Star Design Award sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (2005), pereka termuda ditampilkan di dalam ‘coffea table book’ Batik Inspiration yang dijual di seluruh dunia, pereka kostum untuk Lancome dan koordinator kostum, P Ramlee Musical.

Pereka muda berbakat ini menjadi pereka kegemaran ramai selebriti popular yang mengagumi sikap matangnya ketika berurusan antaranya Datin Seri Tiara Jacquelina, Kavita Sidhu, Ida Nerina, Erra Fazira, Nora Danish dan Aleeza Kassim.

Berminat mendapatkan khidmat Amir Luqman, boleh hantarkan pertanyaan melalui emel amirluqman.alo@gmail.com

Berita Harian

Percaturan Amir Luqman Berjaya

3 Aug

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Foto REDWAN ADMAN

KREATIVITI beliau dalam meletakkan jenama menggunakan namanya sendiri bukan sahaja menyebabkan beliau dikenali di kalangan peminat fesyen tanah air, bahkan meletakkan beliau sebaris dengan pereka tersohor negara dalam usia yang boleh dikategorikan muda.

Itulah aura yang ada pada pemilik nama Amir Luqman Othman, yang baru sahaja mencecah usia 24 tahun. Menggunakan label Amir Luqman nyata satu percaturan positif yang menyerlahkan personaliti anak muda kelahiran negeri Kelantan ini.

Manakan tidak, kehebatan beliau teruji apabila dipilih menjadi pereka fesyen termuda yang diletakkan sebaris dengan pereka terkenal tanah air dalam sebuah buku ilmiah yang diberi nama ‘Batik Inspiration’.

Bukan untuk membangga diri, namun hakikatnya buku tersebut dibaca dan menjadi rujukan untuk sesiapa sahaja dan dijual di seluruh dunia, sekali gus meletakkan nama Amir Luqman di persada fesyen antarabangsa.

“Ketika itu usia saya baru menjangkau 22 tahun, ia merupakan pencapaian terhebat saya kerana idea saya diterima oleh golongan yang lebih senior dan pakar di bidang fesyen dalam perbincangan meja bulat tentang batik,” ujar beliau ketika membuka bicara di studio yang terletak di Robson Heights baru-baru ini.

Memiliki diploma dalam bidang rekaan fesyen dari International Fashion Training Centre (IFTC), kreativiti Amir tidak terhad pada penghasilan pakaian semata-mata, malah beliau meluaskan skop kerjayanya dengan menjadi koordinator pakaian untuk kebanyakan produksi terkenal di Malaysia.

l Peluang memandu Nissan Sylphy

Kesibukan tugasan harian dan komitmen dengan produksi membuatkan sebahagian besar masa Amir diperuntukkan di luar rumah. Bererti kenderaan beliau umpama ‘pejabat’ yang menyimpan banyak barangan seperti sampel kain, dokumen dan macam-macam lagi.

“Saya tidak nafikan sebagai pereka fesyen bebas, saya memerlukan kenderaan untuk bergerak. Justeru saya mencari satu kereta yang bersesuaian dalam menonjolkan imej saya sebagai seorang pereka fesyen,” kata Amir yang berpeluang memandu uji Nissan Sylphy.

Seiring dengan kenaikan harga bahan api di seluruh dunia, beliau berpendapat amat sesuai untuk individu yang banyak menghabiskan masa di jalan raya untuk ke sana-sini sepertinya.

Ini kerana Nissan Sylphy didatangkan dengan enjin serba aluminium MR20DE yang direka bagi memenuhi pemanduan harian yang optimum.

Tork akhiran-rendah mencukupi yang mendatar sekitar kelajuan pertengahan hingga tinggi bermakna 90 peratus tork boleh dicapai daripada 2,000 rpm sekali gus memaksimumkan keupayaan enjin.

Generasi ketiga Nissan Xtronic CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan) memberi kelancaran dalam penukaran gear dan mengekalkan tork optimum pada sesuatu tekanan kuasa yang diperlukan.

Pada masa sama ia juga menitikberatkan isu alam sekitar dengan penjimatan minyak 16 kilometer seliter yang mesra alam

Amir tidak menafikan, kenderaan itu mampu mempengaruhi tanggapan pertama seseorang yang berurusan dengannya.

Setelah mencuba memandu Nissan Sylphy, beliau mendapati nilai praktikal pemanduan kereta tersebut banyak memberi inspirasi kepada beliau dalam menghasilkan rekaan.

Amir menambah, sesuai dengan maksud namanya yang diambil daripada perkataan Inggeris ‘sylph’ melambangkan semangat angin (udara) yang bersama dengan bumi, air dan api.

Selain reka bentuk luaran yang pernah menerima anugerah, Amir turut kagum dengan kemasan dalaman Nissan Sylphy yang disifatkannya sebagai sofistikated.

“Sebagai pereka fesyen, saya banyak memberi fokus terhadap reka bentuk. Paling menarik perhatian saya ialah kerusi berbentuk seumpama kerang yang bergaya, disarung pula dengan fabrik ‘Masumi’ yang berkualiti tinggi dan kalis calar. Kemasan kayu yang terletak di bahagian dashboard dan pintu juga nampak begitu mewah dan menarik,” jelas Amir yang memandu Nissan Sylphy berenjin 2.0 berwarna putih.

l Penglibatan dalam industri filem

Bagi setiap pereka fesyen pastinya mempunyai tema atau mengetengahkan identiti tertentu, Amir juga tidak terkecuali, beliau menjadikan batik sebagai inspirasi utama dalam setiap hasil seninya.

“Bagi saya batik amat praktikal, tidak lapuk ditelan zaman dan amat feminin,” jelas Amir yang banyak menonjolkan unsur pragmatik dalam penghasilan busana wanita.

Rekaannya pernah disarungkan oleh nama-nama glamor tanah air seperti Datin Sri Tiara Jacquelina, Kavita Sidhu, Ida Nerina, Datin Natasha Hudson, Erra Fazira dan Nora Danish.

Manakala di peringkat Asia pula, nama Amir mula dikenali apabila beliau menyiapkan busana untuk dipakai ketika majlis festival untuk aktres terkenal Thailand, Inthira Charoenpura juga Krisdayanti dan Rossa dari Indonesia.

Bagi peserta peringkat akhir Anugerah Pereka Minggu Fesyen KL anjuran The Star pada tahun 2005 ini, tiada apa yang lebih penting dari melihat rekaan fesyen berasaskan batik menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa.

Utusan Malaysia

Karya Nazim Pikat Juri

27 May

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff



GENERASI BARU: Nazim Esa (tengah) bersama pemenang BMW Shorties 2008 dari kiri, Lesly Leon, Moe, Mahaletchumy dan Kimmy.

For The Love Of Drowning Filem Terbaik BMW Shorties 2008

WANG berjumlah RM75,000 menjadi milik pengarah bebas, Nazim Esa, apabila filem pendek arahannya, For the Love of Drowning, muncul Filem Terbaik BMW Shorties 2008.

Filem sepanjang sembilan minit 52 saat itu mengetepikan sembilan finalis lain pada pertandingan tahunan anjuran jenama kenderaan terkemuka itu.

Habuan berkenaan bagaimanapun perlu digunakan Nazim untuk menghasilkan sebuah filem baru. Jika produk terbabit mempunyai kualiti yang baik, penganjurnya akan melobi filem berkenaan untuk dicalonkan pada mana-mana festival yang sesuai.

Juara edisi pertama BMW Shorties tahun lalu, Abdullah Zahir Omar, baru-baru ini sudah pun menyiapkan serta menayangkan filem yang dihasilkan menggunakan wang dana yang dimenangi berjudul Teddy & I.

Filem berkenaan dikatakan sudah pun diterima untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ke-38 di Belanda dan Festival Filem Pendek Antarabangsa Oberhausen 2008 di Jerman.

Kali ini, Zahir turut menduduki kerusi juri bersama-sama pembikin filem Filipina yang pernah memenangi anugerah, Raymond Red; pengarah muda negara yang melakar nama di Pusan menerusi filem Love Conquers All, Tan Chui Mui; dan aktres terbaik, Ida Nerina.

Daripada 62 penyertaan awal yang diterima, juri memilih 10 filem pendek untuk dinilai pada peringkat terakhir. Selain Drowning, filem lain yang berjaya ke akhir ialah Sing in the Rain (pemenang Honourable Mention), Chicken Rice Mystery (pemenang Honourable Mention), Cold Water, F.L.O.W., Dissolve, Goat (pemenang Anugerah Pilihan Penonton), Going Home, Broken Bangles dan 7 Square Feet.

BMW Shorties yang menjadi platform kepada bakat baru yang mempunyai minat mendalam dalam dunia perfileman itu sentiasa mempunyai tema dalam penganjurannya. Tahun ini, mereka menetapkan H20 atau air sebagai tema yang harus digunakan dalam setiap penyertaan.

Jika pemenang utama menerima hadiah berbentuk dana pembiayaan pembikinan filem, dua pemenang Honourable Mention pula akan dihantar mengikuti Festival Filem Rome, di Itali, Oktober nanti.

Pada pertandingan yang lebih berupa program insentif buat pembikin filem muda itu, pelakon Kimmie Kiew daripada filem Chicken Rice Mystery diumumkan Pelakon Terbaik. Ia kategori baru yang diperkenalkan pada penganjurannya kali ini.

Menurut Nazim, Drowning yang dirakam dalam masa tiga hari di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Bandar Utama dan Kuala Kubu Baru serta menelan belanja kira-kira RM8,000 itu berkisar pada sebuah perhubungan yang berubah di antara masa lalu dan masa kini, mimpi dan kenyataan, serta kesulitan komunikasi antara dua insan.

“Saya cuma ingin menyampaikan mesej supaya kita lebih berhati-hati sebelum memulakan sebarang perhubungan. Paparan yang dimuatkan dalam filem pendek ini adalah lebih berbentuk metafora, di mana setiap kita mesti berasa yakin sebelum terjun ke dunia cinta, sebelum langkah kita tiba ke tempat yang tidak dijangka,” katanya ketika ditemui sejurus diumumkan pemenang utama.

Begitupun, jejaka yang mendapat pendidikan dalam bidang filem, animasi dan seni halus di Institut Seni Surrey, United Kingdom (UK) ini belum pasti mengenai bentuk filem yang harus dihasilkannya, menggunakan dana dimenangi. Dia harus terlebih dulu duduk berbincang dengan beberapa pihak terbabit bagi mendapatkan idea terbaik sebelum turun ke lokasi.

Dia yang berhasrat menyertai dunia perfileman secara serius pada masa depan menganggap, Drowning filem sulungnya yang benar-benar boleh dilihat sebagai sebuah filem.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang saya buat apabila menonton hasil projek saya yang lain,” katanya yang pernah bekerja di UK, di samping terbabit dalam menjayakan beberapa projek di Austria, Turki dan Singapura.

Sementara itu, pengarah filem Goat yang muncul pemenang Anugerah Pilihan Penonton, Mohammad (Moe) Izwan Kamal berhutang budi pada rakan yang sudi mempromosikan filem berkenaan sehingga ia muncul judul pilihan penonton yang melayari laman web penganjur.

“Filem saya ialah judul paling pendek dalam pertandingan ini dan ia mudah untuk dimuat turun. Mungkin faktor itu turut membuatkan penonton senang dengan Goat, di samping pertolongan rakan mempromosikannya. Saya pula mempunyai ramai kawan,” kata Moe sambil ketawa kecil.

Kata Pengurus Hal Ehwal Media dan Korporat BMW Malaysia Sdn Bhd, Vijayaratnam Tharumartnam, pihaknya tidak bimbang dengan pengurangan jumlah penyertaan apabila sebanyak 62 filem diterima pada tahun ini, berbanding 74 pada tahun lalu.

Katanya, jumlah itu masih relevan dengan usaha mereka menggalakkan pembikin filem muda mengasah bakat dan minat mereka dalam dunia perfileman.

“Jika jumlah penyertaan yang diterima hanyalah kira-kira 30 judul saja, tentu sekali kami perlu berasa risau,” katanya yang belum menentukan tema untuk penganjuran tahun depan.

Powered by Berita Harian

Glamor, Ria AIM 15

5 May


PENANMPILAN Atilia dan Nora Danish yang comel walaupun sudah bergelar isteri hanya dapat disaingi dengan gaya kostum rekaan khas Jovian Mandagie untuk Dafi.

MAJLIS Anugerah AIM 15 yang berlangsung pada malam Sabtu lepas tidak terkecuali disinari cahaya glamor para artis yang hadir dengan gaya terbaru. Dalam ramai artis yang membanjiri acara karpet merah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi berlangsungnya AIM 15, lensa kamera Kosmo! memfokus kepada kelibat beberapa artis untuk diteliti penampilan gaya masing-masing.

MAWI kelihatan mirip Justin Timberlake, manakala penampilan pasangan romantis, Ida Nerina dan suaminya, Sha’arin Mohammed Razali menampakkan keunggulan mereka.

Powered by Kosmo

Bual Fesyen: Peranan Jurusolek Dipandang Sepi

30 Apr

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kerja di belakang tabir tidak diberi tumpuan meskipun fesyen dan solekan saling berkait rapat

PERANANNYA tidak dirasai sungguhpun sentuhan tangannya kunci kehebatan dunia kecantikan dan peragaan. Dior, Shu Uemura dan Chanel antara nama besar peringkat antarabangsa yang mampu menggandingkan gaya dan solekan dalam satu, hingga menjadi ikutan seantero dunia.

Gaya smoky eyes yang mula diperkenalkan Dior menerusi sentuhan jurusolek sehingga ke hari ini berjaya menjadi ikutan di pentas peragaan, hinggalah ke jalanan. Daripada model terkenal hingga gadis biasa, di situlah peranan jurusolek dalam menentukan arah tuju serta gaya terkini dunia persolekan yang realitinya sentiasa ligat berputar.

Di Malaysia, nama model terkenal dan selebriti ternama, hampir semua pernah mendapat sentuhan jurusolek dan penggaya rambut, Razlan Bahari. Cuma berbeza namanya tidaklah sebesar mana. Siapa ambil peduli kerana yang paling mustahak, insan yang menerima sentuhannya mesti cantik dan molek dipanah lensa kamera. Begitulah hukumnya kerja belakang tabir.

Memulakan kerjaya pada usia 19 tahun, Razlan sedar di Malaysia peranan jurusolek tidak begitu dirasai sungguhpun pada peringkat antarabangsa, kelompok itu menjadi cukup penting dalam menentukan arah serta hala tuju, bentuk dan gaya solekan yang pasti bertukar setiap musim.

Jurusolek peringkat antarabangsa pula mampu menzahirkan karya dan kreativiti apabila bentuk solekan diadaptasikan ke gaya pakaian dalam menjayakan pertunjukan fesyen yang rancak diadakan di Paris, Milan atau New York. Karya mereka selalunya ditunggu-tunggu dan menjadi rebutan majalah fesyen untuk dimuatkan dalam terbitan masing-masing.

Citra berpeluang menemubual jurusolek artis dan penggaya rambut yang kini semakin dikenali namanya, malah tidak keterlaluan dikatakan sentuhannya menjadi rebutan. Solekan selebriti penghias kulit depan majalah dan pentas peragaan, sering memberi impak besar.

Citra : Bagaimana Razlan mula meminati bidang solekan?

Jawapan: Ketika di bangku sekolah dulu, sayalah budak kelas sains tetapi amat meminati fesyen. Ketika bersekolah dulu saya gemar menatap majalah antarabangsa seperti Vogue dan Glamour. Gambar kulit depan yang popular ketika itu Brooke Shileds, Iman dan saya selalu terfikir, bagaimanakah kerja mereka belakang tabir hingga boleh menghasilkan gambar kulit muka depan yang cukup mengagumkan. Kadangkala wanita berkenaan kelihatan cukup cantik. Minat saya itu menjadikan saya sudah dapat mengagak dunia glamor itu bakal menjadi milik saya. Lepas sekolah saya bekerja di salon selebriti Noor Kumalasari (kini sudah tutup) di Petaling Jaya. Bermula sebagai pembancuh air, saya akhirnya dibenarkan ‘memotong’ rambut dan menyolek. Saya belajar daripada pengalaman, sambil mengambil inspirasi gaya solekan Barat ketika itu. Kini sebagai jurusolek bebas, saya bebas menyolek di mana-mana, tetapi lebih gemarkan peragaan dan majalah.

Citra : Sejauh manakah peranan jurusolek dalam dunia fesyen dan kecantikan?

Jawapan : Peranan yang dimainkan jurusolek, sangat besar. Bayangkan kalau semua model tidak memakai sebarang solekan, tidakkah ia cukup membosankan? Hakikatnya solekan tidak sekadar menampal rona menarik pada wajah model, tetapi ia tampil bersama tema tertentu yang mempengaruhi dunia fesyen dan gaya solekan untuk sesuatu musim serentak. Kalau di Barat pereka seperti Alexender McQueen akan berbincang dengan penata gaya untuk menentukan gaya yang bakal dihasil.

Jenama tersohor seperti Christian Dior umpamanya melancarkan fesyen dan solekan sekali gus yang baru-baru ini mengambil ilham tahun 30-an dan 40-an, tetapi diperkaya dengan labuci dan kilatan. Malah ilham berkenaan diangkat menerusi koleksi alat soleknya.

Di sini pula, saya pernah terbabit dalam penggambaran kulit majalah Ziana Zain untuk memperkenalkan gaya solekan Chanel yang mengambil ilham gaya Shanghai pada 1950-an lalu. Kami berbincang terlebih dulu mengenai gaya solekan dan pakaian yang hendak digayakan, maka lahirkan kulit majalah yang cantik sebegitu, dan sampai maksud untuk mempromosi pakaian diserikan solekan yang bertepatan.

Citra : Bagaimanakah bentuk kolaborasi solekan dalam menjayakan sesebuah pertunjukan fesyen?

Jawapan : Gaya solekan menyampaikan maksud ilham rekaan seseorang pereka. Masih menggunakan contoh Dior, kolaborasi ini jelas sekali di dalam koleksi Ultra Shine, teknologi makmal bekerjasama dengan kumpulan pakar Dior menghasilkan solekan berkenaan dan diaplikasikan dalam pertunjukan fesyennya. Pada peringkat antarabangsa pertunjukan fesyen oleh jenama besar selalunya amat ditunggu-tunggu malah berebut-rebut pembeli fesyen, orang dalam industri fesyen dan sebagainya ingin mengetahui mengenai apa buah tangan terbaru daripada jenama berpengaruh ini. Selalunya solekan dipertunjukkan pentas itu digayakan lebih keterlaluan dan mempunyai konsep tertentu, yang disesuaikan dengan gaya fesyen. Kalau ia memilih gaya anggun, gaya solekan sedikit lembut, manakala kalau fesyen berkenaan funky, maka solekan umpamanya menjerit. Sebagai contoh sekiranya nama besar seperti Chanel itu menggunakan rona berkilat untuk solekan, dan fesyen, maka seantero dunia menggunakan rona yang sama.

Citra : Benarkah jurusolek yang menggunakan jenama solekan seperti Shu Uemura boleh terkenal lebih cepat berbanding jurusolek bebas?

Jawapan : Saya memulakan kerjaya sebagai jurusolek bebas sejak berbelas tahun yang lalu, dan pada saya jawapan kepada soalan itu betul dan ada tidaknya. Betul kerana jurusolek berkenaan menggunakan jenama ‘jurusolek Shu Uemura’ atau ‘jurusolek L’Oreal’ dan sebagainya menjadikan mereka cepat terkenal. Tetapi tidak juga kerana sekiranya kita terikat, maka kreativiti jurusolek berkenaan mungkin terhad, dengan menggunakan alat solek daripada jenama tertentu. Saya tidak gemar terikat kerana ia hanya akan mengehadkan kreativiti saya. Saya senang begini, membawa segala jenis jenama kerana saya bereksperimen dengan ronanya. Saya tidak suka terikat kerana kadangkala segelintir jenama punyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Jurusolek Laura Mercier antara yang bertuah kerana hasilkan produk sendiri, dan gaya solekan selalu menjadi rujukan. Bagi saya menjadi sepertinya? Mungkin tidak akan berlaku, malah jurusolek lain pun di Malaysia mungkin tidak akan jadi seperti Laura kerana industri kita terlalu kecil.

Citra : Bagaimanakah daripada segi pendapatan? Adakah nasibnya sama dengan model tempatan, yang tidak boleh dibanggakan?

Jawapan : Kalau dibandingkan dengan peringkat antarabangsa, perkembangan solekan negara ini jauh 20 hingga 30 tahun ke belakang. Daripada segi pendapatan, ia bergantung kepada kesungguhan jurusolek. Kalau rajin maka pendapatan anda juga hebat. Saya juga buat pelbagai kerja, daripada solekan pengantin, selebriti hingga kulit majalah, semuanya saya boleh lakukan, tetapi kalau solekan pengantin memang saya sengaja tidak buat banyak kerana saya tidak mahu dikaitkan sebagai pak andam. Kecenderungan saya lebih cenderung kepada dunia peragaan dan glamor. Hari ini saya merasakan peranan jurusolek semakin dihargai, dengan kewujudan majalah fesyen seperti Glam, saya dapat merasakan kepuasan. Ini kerana kalau sebelum ini dan mungkin dalam majalah wanita yang lain, jurusolek hanya akan dipanggil selepas gaya yang dipaparkan untuk muka depan diputuskan oleh jawatankuasa majalah, tetapi di majalah ini, jurusolek, penata gaya, penulis malah jurugambar akan duduk semeja, berbincang bagaimana dan apa yang perlu dipaparkan untuk majalah keluaran terbaru. Kepuasan dalam bekerja ada di situ.

Sungguhpun begitu masa depan insan seni seperti saya masih samar. Saya juga agak kecewa kerana tidak ada badan yang memberi sokongan menjadikan ramai yang tidak nampak kepentingannya. Ini berlainan sekali dengan Indonesia yang mana mereka ada produk sendiri seperti Mustika Ratu dan Sari Ayu, tetapi dalam majlis yang gah, mereka selalu dipanggil menjadi entiti rasmi.

Citra : Siapakah antara model atau selebriti yang paling anda gemari untuk dirias?

Jawapan : Nasha Aziz, Tengku Azura dan Datuk Siti Nurhaliza kerana mereka mempunyai gaya tersendiri. Nasha Aziz mampu ‘membawakan’ setiap solekan yang mana ia satu kemahiran yang bukan mudah untuk dilakukannya. Kadangkala ada orang yang kita solek garang dan mahukan ‘rupa’ garang juga, tetapi ada yang tidak mampu menggayakannya, tetapi berilah apa pun kepada Nasha kerana beliau mampu membawakan apa saja. Saya juga senang bekerjasama dengan Tengku Azura kerana bentuk wajah yang tajam selain gelaran supermodel menjadikan bonus untuk dirinya bergaya hebat. Sementara Datuk Siti pula, daripada rupa gadis biasa sederhana, solekan boleh membuatkan dirinya kelihatan cukup jelita. Ini adalah satu kelebihan kerana ada wanita yang sungguhpun cantik, tetapi bila disolek kelihatan biasa, nasib tidak baik jadi tidak cantik pula.

Citra : Siapakah pula individu yang anda teringin benar untuk merias wajahnya?

Jawapan : Kalau tempatan, saya impi sangat untuk menyolekkan Raja Permaisuri Agong dan kalau pada peringkat antarabangsa, saya teringin menyolekkan Madonna. Mungkin kerana minat dan memuja maka kedua-dua ini menjadi cita-cita saya untuk menyolekkan mereka.

Citra : Apakah istilah solekan yang baik?

Jawapan : Orang selalu berkata, kerja menyolek itu tampak mudah dan siapa saja boleh melakukannya. Memang betul, tetapi seorang jurusolek, berfikir bagaimana menjadikan solekan itu memikat, tampak cantik dan diterima ramai. Bagi orang biasa, rutin seharian adalah biasa seperti mata, pipi dan bibir. Untuk jurusolek mungkin musim ini mengetengahkan gaya bulu mata palsu yang keterlaluan, tetapi bibir hanya dibias pengilat bibir. Pada pandangan saya seorang jurusolek perlu menghasilkan solekan yang cantik. Saya pernah membawakan solekan muka depan majalah fesyen tempatan Glam oleh pelakon Ida Nerina. Kalau tengok dari jauh memang menakutkan, tetapi ia sesuatu yang cantik dan tidak jemu di pandang.

Saya sebenarnya sukakan gaya solekan 1980-an dulu yang mana lebih kepada pop art. Ketika itu artis seperti Noor Kumalasari, Sudirman gemar tampil dengan gaya dan solekan yang dramatik dan ‘over’. Pada saya ia sangat menarik kerana mereka berani dengan gaya begitu. Begitupun dikalangan selebriti Indonesia, mereka gemarkan solekan tebal yang tahan berhari-hari, malah segelintir artis membuang semua bulu mata dan kening supaya mudah mengenakan yang palsu. Mereka lebih ekstrim. Tetapi saya tidak suka begitu, saya gemar kekalkan yang asli dan saya lihat orang sekarang pun gemarkan kesederhanaan, dan kita cuba ikut cara begini.

Powered by Berita Harian

Menyusur Cinta Ida Nerina – Sha’arin

25 Nov

Oleh: WANDA IDRIS

YA! Semua sudah tahu tentang perkahwinan mereka. Perkahwinan yang diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri kaum keluarga terdekat kedua- dua belah pihak.

Pada 2 Jun 2006 dipilih pasangan ini untuk diijabkabulkan dan tarikh itu dipilih hanya lima hari selepas kedua-duanya bertemu keluarga masing-masing dan memberitahu hajat hati mahu hidup bersama.

Cuma mungkin, selepas lebih setahun bergelar suami isteri, kisah cinta pasangan ini yang masih belum diketahui ramai. Justeru bertemu dengan Ida Nerina dan suaminya, Sha’arin Mohammed Razali pada petang Selasa lalu, Pancaindera mengambil kesempatan bertanyakan perjalanan kisah cinta, perkahwinan dan impian kehidupan mereka selepas menjadi suami isteri.

Mendengar Ida bercerita dan sesekali disampuk Sha’arin, jelas benar kedua- duanya sedang mengharungi frasa terindah dalam kehidupan.

Malah saat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri menjadi momen paling indah yang pernah berlaku pada kehidupan dua insan seni yang berlainan bidang ini.

Apalagi, kisah berumah tangga sebenarnya hampir tiada terlintas di fikiran selepas kedua-duanya pernah gagal dalam perkahwinan pertama – Sha’arin telah bercerai selama 19 tahun sementara Ida pula sudah hidup membujang selama 10 tahun.

Tetapi siapalah kita sebagai manusia untuk mengetahui apa yang direncanakan Tuhan untuk kebahagiaan umatnya. Justeru, kisah cinta mereka menjadi indah lantaran ia hadir tanpa diundang.

Biar sudah kenal dan pernah bekerja bersama, hanya setelah lapan tahun selepas pertemuan pertama, barulah cinta berputik. Itupun tanpa disengajakan. Mereka bertemu di restoran. Ketika itu Ida bersama rakan-rakan menjamu selera dan Sha’arin pula sudah mahu pulang apabila dia terpandang Ida.

“Ketika itu dia menegur saya dan selepas itu tahu-tahu kami sudah jatuh cinta,” kata Ida dengan senyum manisnya.

Tahun 1997, pertama kali bertentang mata tanpa ada perasaan selain sebagai teman sekerja. Ketika itu Ida mengacarakan program bicarawara Lat & Ida terbitan Astro dan Sha’arin pula bertindak sebagai jurutera bunyi bagi program tersebut.

Cerita Ida, “Enam bulan kami bekerja bersama. Tapi kami sekadar menegur dan berlalu. Berjumpa juga sesekali di majlis- majlis. Sekadar hi dan kemudian bye.”

Tapi kalau yang dinamakan takdir, sekelip mata hati bertaut dan tanpa perlu berlama-lama bercinta-cintaan, kedua- duanya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

“Kami beritahu kepada ibu bapa yang kami ingin berkahwin tetapi meminta mereka merahsiakannya kerana kami tidak punya tarikh.

“Pada 29 Mei kami dapat tarikhnya dan lima hari kemudian kami bernikah.

“Keluarga sangat memahami. Mereka tutup mulut sehingga kami memberitahu tarikhnya. Majlis perkahwinan kami mengagumkan. Ia dihadiri oleh orang- orang yang kami cintai dan menjadi hari terindah buat kami berdua,” kata Ida yang sekali gus menjadi ibu baru kepada dua cahaya mata kesayangan Sha’arin, Narissa, 21 dan Armand, 18.

Anak sendiri? “Kami berserah kepada- Nya. Kalau diizinkan rezeki, Alhamdulillah. Pun begitu, kami tidak mahu soal zuriat memberi tekanan kepada perkahwinan ini. Bagi kami semuanya itu urusan yang di atas sana,” kata Ida yang di mata Sha’arin seorang yang pandai, cantik dan pakar memasak.

“Kami berkongsi minat yang sama sebenarnya. Suka bermain games, bersenam bersama dan menyelam,” kata Sha’- arin pula memberitahu perkara yang menyatukan mereka.

“Malah beban tugas kami yang selalu menuntut banyak waktu menjadi satu kelebihan untuk kami untuk mengeratkan kasih sayang,” kata Sha’arin yang kelihatan pemalu tetapi sebenarnya juga seorang yang ‘gila-gila’, seperti Ida.

‘Gila-gila’ yang membuatkan Ida tertarik kepada Sha’arin yang juga dianggapnya seorang yang bijak, macho, baik hati dan paling memikat si isteri, lelaki ini pandai mengambil hati dan bagus dalam apa yang dikerjakannya.

“Dia menerima saya seadanya tanpa perlu saya berpura-pura. Saya menjadi diri saya, Ida Nerina apabila bersama Sha’arin,” kata Ida.

* Kuasa dua

Saling melengkapi antara satu sama lain, kebahagiaan mereka menarik minat jenama Motorola untuk mempromosikan model terkini Motorazr2V8. Mereka menjadi pasangan suami isteri pertama di negara kita yang memiliki model telefon bimbit berkenaan.

Sementelah Ida sendiri merupakan duta kepada MotoRed bersama 11 selebriti lain termasuk Azizan Nin, Gavin Yap, Serena C dan Azura Zainal.

“Ia satu penghargaan buat kami untuk menjadi pasangan pertama bergelar duta mereka,” kata Ida yang bakal mengarahkan sebuah pementasan teater karya Jit Murad tidak lama lagi.

Mengarah teater? Ya, mungkin ramai yang tidak tahu Ida juga pernah mengarah pada tahun 2000 bagi sebuah pementasan, Visit, juga hasil karya, Jit.

Namun tidak banyak buah tangannya kerana kata Ida, selain sukar mencari naskah yang baik, dia juga dengan nada merendah diri memberitahu, masih bertatih dalam bidang ini.

Bagaimana pula dengan Sha’arin, yang kini bergelar penerbit untuk sebuah stesen satelit tetapi satu ketika dahulu amat popular bersama kumpulan Black Rose yang pernah hits dengan lagu Penantian.

Tidakkah dia berminat lagi untuk terlibat dengan industri muzik? “Sekadar jamming untuk melepaskan gian bolehlah,” ujarnya.

Powered by Utusan Malaysia