Mila Kecut Perut!

23 May

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

TUBUHNYA kecil dengan ketinggian tidak sampai lima kaki, tetapi bakat dimiliki Nursyarmilla Jirin (Mila), 20, cukup besar sehingga ia diiktiraf penggiat industri muzik luar negara.

Buktinya, Mila membuat seluruh rakyat Malaysia bangga apabila meraih kejayaan berganda di Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17 di Varna, Bulgaria pada 16 hingga 18 Mei lalu.

Mila menjadi peserta tunggal Asia menjuarai anugerah kategori Lagu Terbaik menerusi Ilham Di Mata Mu ciptaan Ajai dan lirik ditulis Allahyarham Rosli Khamis (Loloq). Dia turut dipilih juri pertandingan memenangi anugerah khas Penyanyi Muda Berbakat.

Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini, dia bersyukur dengan kemenangan diraih dan mengharapkan ia menjadi titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik.

“Banyak pendedahan saya terima. Benar kata orang, sekiranya kita jauh berjalan pasti luas pandangan.

“Kemenangan ini saya anggap bonus tetapi pengalaman diperoleh itu yang lebih saya hargai,” katanya sambil tersenyum bangga apabila melihat ahli keluarga bersama kelab peminat, Voices Of Mila (VOM) turut menyambut kepulangannya di KLIA, kelmarin.

Sambil menunjukkan piala dimenangi, kata Mila, sebaik melihat bakat ditonjolkan setiap peserta ketika sesi raptai penuh pada 17 Mei di Teater Stoyan Bachavarov, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang kejayaan.

“Boleh dikatakan hampir semua peserta mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang muzik. Ada antara mereka mempelajari muzik klasikal dan vokal sejak usia lima tahun dan selalu menyertai festival muzik di seluruh Eropah.

“Berbanding dengan saya yang kali pertama bertanding di negara luar sudah tentu terasa ‘kecut perut’ selepas mendengar suara yang dikeluarkan peserta lain. Vokal mereka seperti mengadakan persembahan opera.

“Tidak dinafikan perasaan rendah diri yang masih menebal membuatkan saya rasa tidak keruan. Mujur ia tidak mengganggu tumpuan sewaktu menyanyi. Pengalaman mengadakan persembahan ketika konsert akhir AF5 sangat membantu,” katanya.

Menarik, kata Mila, apabila kebanyakan penonton yang menyaksikan pertandingan berlangsung amat menghargai muzik walaupun bahasa ditampilkan tidak difahami.

“Pada malam pertama saya memilih mendendangkan lagu rancak Aku Lebih Tahu. Ketika menyanyi kelihatan penonton turut bertepuk tangan. Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada saya untuk memberikan persembahan terbaik.

“Hari kedua pertandingan, saya menyanyikan lagu balada, Ilham Di Mata Mu. Sepanjang saya menyanyikan lagu ini, semua penonton diam. Mereka seakan-akan memahami apa yang saya cuba sampaikan menerusi liriknya yang cukup puitis,” katanya.

Mila turut menegaskan kemenangan diraih di Varna, bukan kejayaan miliknya seorang tetapi seluruh pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.

“Pertamanya sudah tentu kejayaan ini saya mahu kongsi bersama pencipta lagu Ilham Di Mata Mu, Ajai dan Allahyarham Loloq kerana menghasilkan lagu serta lirik bermutu.

“Memang persembahan dan vokal saya memainkan peranan tetapi ia tidak akan lengkap jika lagu yang dibawakan tidak menyentuh perasaan dengan lirik amat bermakna.

“Selain itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan, Maestro Talent and Management dan Astro sendiri yang berusaha membiayai pemergian saya,” katanya.

Kata Mila, sepanjang pembabitannya dalam Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17,

dia turut dipelawa menyertai beberapa festival di Itali dan Russia oleh penganjur di sana.

“Bagaimanapun, sukar untuk saya menerima pelawaan itu kerana kos untuk menyertai festival itu agak tinggi,” katanya.

Menyentuh mengenai peluang untuk melebarkan sayap di negara luar, jelas Mila peserta dari Romania, Simona Nae ada meluahkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengannya menghasilkan lagu duet.

“Panjang juga kami bercerita mengenai perkara itu sepanjang tiga hari berada di sana. Dia nampak bersungguh-sungguh dan saya tidak keberatan untuk memberikan kerjasama.

“Dia turut menunjukkan jalan bagaimana duet boleh dilakukan walaupun kami berada di benua berbeza.

“Bukan itu saja dia turut bersedia untuk merakamkan lagu duet dalam bahasa Melayu dan datang ke sini bagi mempromosikan lagu dihasilkan. Bagaimanapun ia sekadar ‘cakap mulut’, kita lihat saja nanti perkembangannya,” katanya.

Profil

NAMA PENUH: Norsyarmilla Jirin

PANGGILAN: Mila

TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987

UMUR: 20 tahun

ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang

TINGGI : 148 sm

BERAT: 40kg

HOBI: Menyanyi, menari dan membaca novel

PENYANYI IDOLA: Anita Sarawak

BINATANG PELIHARAAN: Kucing

KERJAYA: Penyanyi

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia Musim Kelima, Memenangi Anugerah Era 2007 bagi kategori Lagu Pop Pilihan (Persis Mutiara) dan Artis Harapan Pilihan, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dan Anugerah Lagu Terbaik dan Penyanyi Muda Berbakat di 17th International Pop Music Festival 2008.

Powered by Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: