Archive | Matt Damon RSS feed for this section

Suamiku Paling Seksi?

17 Dec


HUGH JACKMAN (kiri) dan BRAD PITT.

HUGH JACKMAN sudah pun disenaraikan sebagai lelaki paling seksi dunia. Bagaimanapun isterinya pula berpendapat bahawa Brad Pitt lebih layak diberi gelaran itu.

Hugh yang menduduki tangga tertinggi senarai tahunan majalah People sebagai lelaki paling seksi 2008 mengaku isterinya, Deborra-Lee Furness terkejut apabila dia diberikan gelaran itu. Malah wanita berkenaan juga bagaikan turut mempertikaikan kenapa suaminya mendapat gelaran berkenaan.

“Selepas terkejut dengan berita ini, dia terus bertanya kepada saya apakah proses dan bagaimana saya dipilih. Dia juga bertanya siapa yang mengundi. Adakah pembaca atau editor?

“Dan saya memberitahu dia mungkin editor yang memilih berdasarkan pelbagai faktor. Mungkin mereka juga melihat perkembangan karier saya. Debs berkata lagi, ‘Jadi ini bermaksud sesiapa sahaja boleh mendapat gelaran ini?

“Dan saya pula menjawab, ‘Ya’. Kemudian dia bertanya, ‘Dan Brad Pitt tidak mendapat gelaran itu?”

Brad pernah dinamakan sebagai lelaki paling seksi sebanyak dua kali. Mereka yang pernah dipilih sebelum ini termasuk George Clooney dan Matt Damon.

Kosmo

Fobia Orang Ternama

7 Aug


SETIAP orang pasti memiliki sikap fobia. Ada yang fobia terhadap haiwan-haiwan seperti lintah atau ular, fobia terhadap makanan, warna, bau dan sebagainya.

Sama seperti manusia lain, golongan artis juga mempunyai ketakutan dan fobia tersendiri. Pada kebiasaan ketakutan ini wujud akibat pengalaman lampau atau terjadi kerana sesuatu yang menggelikan.

Ada di antara ketakutan yang dialami golongan artis merupakan sesuatu yang turut digeruni kita. Namun, ramai juga di antara mereka yang memiliki fobia ganjil seperti aktor berusia 63 tahun, Michael Douglas. Dia fobia terhadap bulu ketiak wanita sehingga kini selepas melihatnya buat kali pertama semasa berusia 16 tahun.

Pengarah, Woody Allen pula dikatakan takut terhadap sinaran matahari, orang ramai dan kanak-kanak.

Aktres seksi, Pamela Anderson pula pernah mendedahkan bahawa dia takut untuk melihat bayangannya sendiri dan tidak menyukai cermin.

Aktres Rachel Bilson pula takut terhadap hantu dan pelakon kacak, Orlando Bloom pula takut khinzir.

Manakala David Boreanaz pula takut dengan air terjun dan ikan kerana sisiknya. Minggu ini, mari kita melihat apa lagi ketakutan yang dirasai oleh golongan artis yang mungkin juga merupakan fobia anda.

Gwen Stefani gerun gemuk

Menjadi kanak-kanak yang gemuk semasa kecil telah membuatkan Gwen Stefani sentiasa berhati-hati dengan isu berat badan.

Penyanyi yang popular dengan lagu No Doubt ini memberitahu dia sentiasa bergelut dengan masalah kegemukan semasa sedang membesar dan telah bekerja keras untuk mengekalkan bentuk badannya.


SI jelita Gwen Stefani fobia dengan berat badan berlebihan.

Gwen yang baru-baru ini mengandungkan anak keduanya menyatakan, “Di sekolah, saya selalu berharap saya adalah gadis yang kurus kering dan boleh makan apa sahaja yang disukai. Tetapi hakikatnya, saya selalu perlu bersenam.

“Barat badan saya sentiasa berubah dan saya sangat gemuk semasa berusia 16 tahun. Saya berasa geram dengan perubahan berat badan dan membuat keputusan menyertai pasukan renang. Saya bernekad untuk tidak menjadi gadis gemuk lagi.

“Semenjak itu, saya berupaya mengawal berat badan tetapi ia amat membosankan. Kini baru saya sedar betapa bodohnya perbuatan saya dulu kerana tiada siapa yang peduli kecuali diri saya sendiri.”

Gwen yang berkahwin dengan Gavin Rossdale juga mendedahkan bahawa masalah berat badan membuatkan dia berasa tidak yakin.

“Saya bukannya jenis orang yang pemalu. Namun, semasa zaman remaja, saya sentiasa berasa tidak yakin. Dan saya masih mengingati perasaan saya yang tidak gembira kerana bentuk badan dan sentiasa berharap supaya tidak gemuk,” katanya kepada majalah OK!.

Keira tidak mahu jadi penyanyi

Lakonan mungkin tidak menjadi satu masalah besar bagi Keira Knightley tetapi aktres ini memberitahu penggambaran untuk filem terbarunya adalah satu pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya.


KEIRA KNIGHTLEY

Ini kerana aktres ini perlu menyanyi dalam filem The Edge of Love, di mana dia memainkan watak Vera Philips iaitu kekasih kepada Dylan Thomas.

Kiera mengaku bahawa menyanyi adalah sesuatu yang sukar, “Saya ada menghadiri kelas latihan vokal kerana saya tidak boleh menyanyi. Selepas itu pengarah, John Maybury meminta saya menyanyi secara live di hadapan 100 pelakon tambahan.

“Saya tidak pernah berasa begitu takut sepanjang hidup saya dan saya tidak mahu melakukannya sekali lagi. Saya tidak mahu menjadi penyanyi rock.”

Dalam filem ini yang turut dibintangi oleh Sienna Miller, Cillian Murphy dan Matthew Rhys, Keira menyampaikan lagu Blue Tahitian Moon, Maybe It’s Because I Love You Too Much dan Drifting And Dreaming.

The Edge of Love yang ditulis oleh ibu Keira, Sharman Macdonald berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua.

Katherine Heigl takut hospital

Siapa sangka pelakon yang popular dengan drama Grey’s Anatomy, Katherine Heigl sebenarnya takut dengan hospital sebelum ini.

Aktres ini yang menerima pelbagai pujian menerusi filem terbarunya, 27 Dresses kehilangan adiknya, Jason dalam satu kemalangan kereta pada tahun 1986. Dan dia memberitahu insiden itu telah mengubah kehidupannya sama sekali termasuk pemilihan program televisyen.

“Semasa saya berusia 27 tahun, saya menyertai produksi Grey’s Anatomy. Saya risau saya akan berlakon dengan ganjil kerana saya tidak mampu menyaksikan drama seperti ER. Drama seperti itu dan hospital membuatkan saya berasa cemas,” jelasnya.


KATHERINE HEIGL sering cemas bila berada di hospital.

Namun, Katherine kini sedar penglibatannya dalam drama popular ini dapat membantu mempromosikan aktiviti amal, derma organ.

“Saya sedar ini adalah subjek sensitif. Tiada siapa yang mahu bercerita mengenai apa yang mungkin berlaku pada masa akan datang. Dan ia adalah sukar bagi manusia untuk berfikir mengenai derma organ ketika berdepan dengan krisis.

“Tetapi kita semua perlu sedar dengan kekurangan organ dan ramai orang yang memerlukan bantuan,” tambahnya lagi.

Gelaran seksi Matt Damon

Aktor Matt Damon pula berasa risau dan takut dia akan kehilangan gelaran lelaki paling seksi. Pelakon The Bourne Ultimatum yang diberikan gelaran itu tahun lalu oleh majalah People memberitahu dia yang menaikkan berat badan sebanyak 13 kilogram untuk filem terbaru arahan Steven Soderbergh, The Informant mungkin tidak lagi layak untuk memegang posisi tersebut.

“Saya rasa saya akan kehilangan gelaran itu,” katanya dengan perasaan sedih.

Pelakon ini yang pernah memenangi anugerah Oscar sebagai penulis bersama filem Good Will Hunting bersama rakan rapatnya, Ben Affleck bagaimanapun memberitahu dia menikmati proses menggemukkan badan untuk watak itu.

“Bukannya saya perlu menjadi sangat gemuk. Cuma saya perlu kelihatan tembam. Apa yang dilakukan adalah cuma berhenti senaman dan makan apa yang dikehendaki.

“Saya banyak mengambil makanan segera seperti burger dan minum bir. Ia amat menyeronokkan,” tambahnya.

Dustin Hoffman tidak mahu bersara

Berusia 70 tahun, Dustin Hoffman berasa takut setiap kerja yang dilakukannya adalah yang terakhir baginya. Pernah memenangi dua anugerah Oscar, aktor ini mengalami perasaan tidak yakin yang kronik mengenai dirinya yang telah lama berkecimpung dalam dunia hiburan.

Dan kini Dustin sentiasa takut bahawa karier lakonannya akan berakhir tidak lama lagi.

“Setiap kali sesebuah projek berakhir, saya mempunyai perasaan seperti saya tidak akan bekerja lagi. Saya telah berlakon selama 50 tahun dan sentiasa bersyukur apabila menerima watak baru. Sehingga hari ini saya berasa lega apabila ditawarkan kerja,” katanya.

Oleh itu, aktor ini telah bersumpah bahawa dia akan bekerja sehingga badannya tidak mengizinkan. Dia yang belum bersedia untuk bersara memberi kredit kepada rupa parasnya kerana mampu bertahan lama dalam industri.

“Saya sukakan rupa paras saya yang menjadi tua dengan natural. Saya akan terus bekerja selagi yang badan saya mampu menanggung,” jelas Dustin yang baru menyumbang suara kepada animasi popular, Kung Fu Panda.

Insomia teruk Matthew Perry

Tidur adalah sesuatu yang diperlukan oleh manusia untuk merehatkan badan tetapi Matthew Perry telah mengalami masalah insomia yang tidak boleh diubati kerana dia takut untuk tidur.

Bekas pelakon drama popular Friends ini mengaku dia cuba pelbagai cara untuk relaks pada waktu malan tetapi belum lagi berjaya mencari jalan penyelesaian kepada masalahnya ketakutan luar biasa itu.

“Saya sudah membeli katil yang selesa, menyalakan lilin untuk mencipta atmosfera relaks dan memasang muzik tenang semasa menggosok gigi. Tetapi semua itu tidak berjaya membuatkan saya tidur.

“Ia amat sukar untuk melelapkan mata. Apabila saya cuba tidur, perasaan takut mula melanda diri saya,” luah Matthew.

Mandy Moore bebas kuman

Penyanyi dan pelakon popular, Mandy Moore pula mempunyai fobia terhadap kuman dan bakteria yang boleh dilihat menerusi mikroskop. Dia akan membawa tisu anti kuman di sisinya untuk melindungi dirinya daripada dijangkiti kuman.

“Saya takut dengan kuman. Oleh itu saya akan membawa tisu anti bakteria semasa saya mengembara. Saya rasa fobia terhadap kuman bukan sesuatu yang ganjil.

“Ini kerana saya perlu berdepan dengan ramai orang dan berjabat tangan. Jadi saya tidak mahu dijangkiti kuman dan jatuh sakit,” katanya.

Mandy bukannya satu-satu artis yang takut dengan kuman. Gwyneth Paltrow juga dilaporkan memastikan rumahnya adalah bebas kuman.

Aktres ini yang mempunyai dua orang anak, Apple, 4, dan Moses, 2, dengan suaminya, Chris Martin begitu paranoid dengan bakteria sehingga dia tidak pernah menggunakan tandas awam. Dia juga membawa berus sendiri untuk memberus tandas hotel sebelum menggunakannya.


MANDY MOORE membawa tisu khas membasmi kuman.

Kosmo

Gaya Rambut Biar Sesuai

4 Aug

Oleh ADHAM SHADAN

Memang banyak faktor yang mempengaruhi kesesuaian gaya rambut lelaki, namun bentuk wajah tetap memainkan peranan utama.


DIKURNIAKAN wajah berbentuk empat segi atau petak, David Beckham memang sesuai dengan kebanyakan gaya rambut.



DEWASA ini, gaya rambut untuk lelaki begitu rencam dan tidak lagi seperti dulu yang nampak terhad. Lihat sahaja di majalah-majalah, di televisyen, di laman-laman internet mahupun di sekeliling anda, pelbagai rupa fesyen rambut boleh disaksikan. Tambah pula jika anda melihat kepada penyanyi, pelakon, model dan tidak lupa juga ahli sukan.

Baru sahaja mengenali potongan rambut buzz, crew dan flattop, muncul pula potongan yang lain seperti ivy league, burr, faux hawk dan bermacam-macam lagi.

Keadaan ini membuatkan memilih gaya rambut yang bersesuaian menjadi kompleks. Maka ramailah yang tertanya-tanya… “Sesuaikah potongan atau gaya rambut sebegitu dengan saya?”. Jika anda tersilap pilih, anda mungkin tergolong dalam kalangan 64 peratus lelaki yang tersalah memilih potongan rambut seperti yang dilaporkan laman Men On Venus. Tidak pasti pula akan kesahihan angka itu, tetapi yang nyata, ia satu topik yang menarik untuk diperkatakan.

Memang banyak faktor yang mempengaruhi kesesuaian gaya rambut, misalnya usia, karektor dan pakaian yang disarung di badan. Tetapi, seperkara yang sebenarnya amat mempengaruhi ialah bentuk wajah individu itu. Bukan semua wajah sesuai berpadu dengan sesuatu gaya rambut.

Secara asasnya, bentuk wajah menjadi panduan kepada penggayaan rambut. Lelaki memiliki pelbagai bentuk wajah, empat segi, lonjong (oblong), bujur, bulat, segi tiga, berlian dan pear.


POTONGAN rambut melekap rapat dengan kepala dan potongan nipis di bahagian pelipis sesuai untuk Justin Timberlake.

Majoriti lelaki mempunyai wajah berbentuk empat segi. Demikian menurut seorang pakar pendandan rambut selebriti, Robert Hallowell. Ini kerana lelaki kebiasaannya mempunyai garis rahang yang kuat dan ia nampak paling klasik, rugged dan maskulin.

Berikut adalah panduan bentuk-bentuk wajah lelaki, contoh selebriti dan gaya rambut yang bersesuaian dengan bentuk wajah berkenaan.

n Empat segi (petak): Bentuk wajah ini paling lazim dalam kalangan lelaki dan merupakan wajah paling versatil selepas bujur. Jika anda memiliki wajah ini, anda boleh dianggap bertuah kerana berwajah maskulin dan agak versatil. Anda sesuai menggayakan hampir apa sahaja gaya rambut termasuk keriting. Anda boleh membuat rambut spikey (cacak), flat dengan gaya messy. Seeloknya, lakukan potongan clean cut pada sekitar telinga. Selagi mana ia tidak menyembunyikan kemaskulinan wajah anda, anda digalakkan menggayakannya. Elakkan rambut melepasi dagu.

Contoh selebriti: David Beckham, Nick Lachey, Enrique Iglesias, Matt Damon

n Bujur: Bentuk wajah seperti telur ini, agak feminin tetapi bertuah kerana boleh disesuaikan dengan apa jua gaya rambut. Anda sesuai untuk berambut pendek atau panjang. Ini kerana, anda mempunyai garis rambut pada dahi yang versatil. Potongan rambut bertingkat serba sedikit menyuntik ciri maskulin.


WAJAH bujur Kid Rock nampak sesuai dengan rambut panjang.

Contoh selebriti: Kid Rock

n Bulat: Muka bulat sering dilambangkan sebagai bermuka penuh dengan garis dahi dan garis dagu yang bulat serta nampak ketara pada pipi. Anda perlu memilih potongan rambut yang dapat mengurangkan ‘kelembutan’ pada garis rahang anda. Menipiskan bahagian tepi dan belakang nampak lebih baik. Elakkan memilih potongan rambut yang membuatkan wajah anda lebih bulat seperti keriting atau bob. Elakkan juga potongan rambut yang menutup dahi.

Contoh selebriti: Alec Baldwin, David Boreanaz

n Tiga segi: Wajah ini amat tirus di dagu tetapi dengan kombinasi wajah berbentuk petak. Agak sukar untuk memilih gaya rambut kerana gaya rambut yang dipilih perlulah tidak memperlihatkan dagu lebih tirus. Sebaiknya ikut seperti Justin Timberlake yang memotong rambut serapatnya dengan kepala serta berdekatan pelipis tetapi rambut di bahagian belakang biarkan panjang dan lebat.

Contoh selebriti: Justin Timberlake

n Berlian: Wajah ini mempunyai bahagian yang paling luas di tulang pipi tetapi menirus di dahi dan rahang. Jadi, anda seharusnya memilih potongan rambut yang dapat memberikan ilusi lebar. Anda sesuai berambut panjang dan sebenarnya sesuai bermisai atau janggut untuk menyeimbangkan bahagian wajah anda yang tirus. Potongan menutup dahi juga membantu. Elakkan potongan yang menambah ketinggian rambut seperti spikey atau terlalu pendek seperti potongan buzz.

Contoh selebriti: Dave Navarro

n Pear: Wajah ini menirus di bahagian atas tetapi melebar di bahagian bawah. Rahang dan dagu kelihatan lebih bersifat membulat. Wajah sebegini patut diseimbangkan dengan gaya rambut lebat di bahagian atas kepala dan sekitar pelipis.

Contoh selebriti: Stevie Wonder

n Lonjong (empat segi panjang): Wajah ini mempunyai dahi yang tinggi dan dagu yang panjang. Wajah jenis ini juga tidak mempunyai banyak masalah. Anda boleh berambut panjang dengan potongan bertingkat atau potongan amat pendek buzz seperti Wenworth Miller. Potongan menutup dahi yang messy juga kelihatan baik untuk anda. Cuma, digalakkan anda tidak menambah panjang di bahagian atas rambut. Jika anda tambah, wajah anda akan kelihatan lebih panjang.

Contoh selebriti: Ben Affleck

Kosmo