Archive | Krisdayanti RSS feed for this section

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

Percaturan Amir Luqman Berjaya

3 Aug

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Foto REDWAN ADMAN

KREATIVITI beliau dalam meletakkan jenama menggunakan namanya sendiri bukan sahaja menyebabkan beliau dikenali di kalangan peminat fesyen tanah air, bahkan meletakkan beliau sebaris dengan pereka tersohor negara dalam usia yang boleh dikategorikan muda.

Itulah aura yang ada pada pemilik nama Amir Luqman Othman, yang baru sahaja mencecah usia 24 tahun. Menggunakan label Amir Luqman nyata satu percaturan positif yang menyerlahkan personaliti anak muda kelahiran negeri Kelantan ini.

Manakan tidak, kehebatan beliau teruji apabila dipilih menjadi pereka fesyen termuda yang diletakkan sebaris dengan pereka terkenal tanah air dalam sebuah buku ilmiah yang diberi nama ‘Batik Inspiration’.

Bukan untuk membangga diri, namun hakikatnya buku tersebut dibaca dan menjadi rujukan untuk sesiapa sahaja dan dijual di seluruh dunia, sekali gus meletakkan nama Amir Luqman di persada fesyen antarabangsa.

“Ketika itu usia saya baru menjangkau 22 tahun, ia merupakan pencapaian terhebat saya kerana idea saya diterima oleh golongan yang lebih senior dan pakar di bidang fesyen dalam perbincangan meja bulat tentang batik,” ujar beliau ketika membuka bicara di studio yang terletak di Robson Heights baru-baru ini.

Memiliki diploma dalam bidang rekaan fesyen dari International Fashion Training Centre (IFTC), kreativiti Amir tidak terhad pada penghasilan pakaian semata-mata, malah beliau meluaskan skop kerjayanya dengan menjadi koordinator pakaian untuk kebanyakan produksi terkenal di Malaysia.

l Peluang memandu Nissan Sylphy

Kesibukan tugasan harian dan komitmen dengan produksi membuatkan sebahagian besar masa Amir diperuntukkan di luar rumah. Bererti kenderaan beliau umpama ‘pejabat’ yang menyimpan banyak barangan seperti sampel kain, dokumen dan macam-macam lagi.

“Saya tidak nafikan sebagai pereka fesyen bebas, saya memerlukan kenderaan untuk bergerak. Justeru saya mencari satu kereta yang bersesuaian dalam menonjolkan imej saya sebagai seorang pereka fesyen,” kata Amir yang berpeluang memandu uji Nissan Sylphy.

Seiring dengan kenaikan harga bahan api di seluruh dunia, beliau berpendapat amat sesuai untuk individu yang banyak menghabiskan masa di jalan raya untuk ke sana-sini sepertinya.

Ini kerana Nissan Sylphy didatangkan dengan enjin serba aluminium MR20DE yang direka bagi memenuhi pemanduan harian yang optimum.

Tork akhiran-rendah mencukupi yang mendatar sekitar kelajuan pertengahan hingga tinggi bermakna 90 peratus tork boleh dicapai daripada 2,000 rpm sekali gus memaksimumkan keupayaan enjin.

Generasi ketiga Nissan Xtronic CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan) memberi kelancaran dalam penukaran gear dan mengekalkan tork optimum pada sesuatu tekanan kuasa yang diperlukan.

Pada masa sama ia juga menitikberatkan isu alam sekitar dengan penjimatan minyak 16 kilometer seliter yang mesra alam

Amir tidak menafikan, kenderaan itu mampu mempengaruhi tanggapan pertama seseorang yang berurusan dengannya.

Setelah mencuba memandu Nissan Sylphy, beliau mendapati nilai praktikal pemanduan kereta tersebut banyak memberi inspirasi kepada beliau dalam menghasilkan rekaan.

Amir menambah, sesuai dengan maksud namanya yang diambil daripada perkataan Inggeris ‘sylph’ melambangkan semangat angin (udara) yang bersama dengan bumi, air dan api.

Selain reka bentuk luaran yang pernah menerima anugerah, Amir turut kagum dengan kemasan dalaman Nissan Sylphy yang disifatkannya sebagai sofistikated.

“Sebagai pereka fesyen, saya banyak memberi fokus terhadap reka bentuk. Paling menarik perhatian saya ialah kerusi berbentuk seumpama kerang yang bergaya, disarung pula dengan fabrik ‘Masumi’ yang berkualiti tinggi dan kalis calar. Kemasan kayu yang terletak di bahagian dashboard dan pintu juga nampak begitu mewah dan menarik,” jelas Amir yang memandu Nissan Sylphy berenjin 2.0 berwarna putih.

l Penglibatan dalam industri filem

Bagi setiap pereka fesyen pastinya mempunyai tema atau mengetengahkan identiti tertentu, Amir juga tidak terkecuali, beliau menjadikan batik sebagai inspirasi utama dalam setiap hasil seninya.

“Bagi saya batik amat praktikal, tidak lapuk ditelan zaman dan amat feminin,” jelas Amir yang banyak menonjolkan unsur pragmatik dalam penghasilan busana wanita.

Rekaannya pernah disarungkan oleh nama-nama glamor tanah air seperti Datin Sri Tiara Jacquelina, Kavita Sidhu, Ida Nerina, Datin Natasha Hudson, Erra Fazira dan Nora Danish.

Manakala di peringkat Asia pula, nama Amir mula dikenali apabila beliau menyiapkan busana untuk dipakai ketika majlis festival untuk aktres terkenal Thailand, Inthira Charoenpura juga Krisdayanti dan Rossa dari Indonesia.

Bagi peserta peringkat akhir Anugerah Pereka Minggu Fesyen KL anjuran The Star pada tahun 2005 ini, tiada apa yang lebih penting dari melihat rekaan fesyen berasaskan batik menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa.

Utusan Malaysia

Himpunan Lagu Hits Seberang

13 Jul

ALBUM yang merupakan kolaborasi antara Warner Music dan Sony BMG ini menampilkan lagu-lagu hits Indonesia yang menjadi kegemaran ramai di negara ini.

Menampilkan 16 buah lagu himpunan daripada nyanyian artis-artis antaranya Irwansyah, GIGI, Once, Padi, Rati, Nidji, Sheila On 7, Krisdayanti dan Gita Gutawa.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan termasuk Pecinta Wanita dendangan Irwansyah, 11 Januari (GIGI), Dealova (Once), Menanti Sebuah Jawaban (Padi) dan Ada Cinta (duet Acha Septriasa & Irwansyah).

Tidak ketinggalan dimuatkan lagu-lagu Berdua Lebih Baik nyanyian Acha Septriasa, Lelaki Buaya Darat (Ratu), Hapus Aku (Nidji), Bukan Rayuan Gombal (Judika), I’m Sorry Goodbye (Krisdayati) dan Saat Kau Pergi (Vagetoz) dan Bukan Permainan (Gita Gutawa).

Album: 1 Indo Hits – Pelbagai Artis

Edaran: Warner Music Malaysia

Utusan Malaysia