Archive | Mangga Online RSS feed for this section

Maher Zain Janji Konsert Terbaik

15 Jun

Ditulis oleh Rosli Manah

Penyanyi lagu-lagu kemanusiaan dan ketuhanan terkenal  Maher Zain menjanjikan persembahan terbaik dalam  konsert besarnya di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Apatah lagi dia berasa kurang berpuas hati dengan  konsert pertamanya di negara ini tahun lalu. Maher juga menjanjikan kejutan untuk penonton nanti.

“Saya tak bolehlah beritahu apakah dia kejutan itu… nanti ia bukan lagi namanya kejutan. Tunggulah konsert nanti,” kata Maher dalam sidang akhbar semalam.

Maher akan mengadakan konsert Maher Zain Forgive Me Live In Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 Jun ini. Konsert tajaan Etiqa Takaful dan One Drop Perfumes itu mendapat sokongan Pelancongan Malaysia.

Konsert itu dibawa oleh Marctensia dan tiket-tiket dijual pada harga RM78, RM138, RM238, RM298 dan tiket VIP. Sambutannya amat menggalakkan. Maher turut mengundang penyanyi Irfan Makki dan Raef untuk memeriahkan konsert. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Marctensia di talian 03-20921199 atau layari laman web http://www.marctensia.com. Untuk tempahan melalui talian boleh hubungi TicketCharge di talian 03-92228811 atau ke http://www.ticketcharge.com.my.

Maher juga berharap akan dapat peluang mengadakan konsert besar sekurang-kurangnya setahun sekali di Malaysia. Tahun lalu dia mengadakan konsert besar di Kuching, Sarawak.

Muzik itu Universal

Ditanya pasal penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap lagu-lagunya, Maher berkata: “Muzik itu universal, bila mereka dengar muzik yang mereka suka, mereka akan mengikuti liriknya.
“Saya juga gunakan bahasa Inggeris sebagai pengantaraan jadi ia boleh diterima oleh semua orang.”
Sementara itu Maher berkata, menyanyikan lagu Melayu tidakmenjadi masalahkerana suaranya sesuai dengan bahasa Melayu.
“Saya rasa vokal saya lebih sesuai menyanyikan lagu Melayu dan Arab berbanding menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Sebab itu sekarang ini lagu Melayu saya kedengaran lebih fasih,” kata Maher.

Maher juga akan berusaha lebih gigih untuk memastikan dia dapat berkarya dan diterima oleh masyarakat. Tapi dia sendiri tak dapat nak meramalkan sampai bila dia akan terus berada di puncak.
“Untuk sesiapa sahaja pun, kerja keras dan sentiasa melakukan yang terbaik adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan kedudukan.

“Namun saya juga sentiasa terbuka sekiranya suatu hari nanti penerimaan terhadap saya semakin berkurangan,” katanya lagi.

Mangga Online

Tiket Istimewa Konsert Legendary Di KL

8 Jun

Ditulis oleh Rosli Manah

Konsert Legendary 2012 menampilkan empat bintang legenda Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Amy Search akan berakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Untuk menyemarakkan lagi kehadiran peminat yang tak berkesempatan menonton siri konsert di Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Johor Bahru, pihak penganjur membuat tawaran istimewa tiketnya.

Untuk tiket berharga RM100 dan RM200 pihak penganjur akan menawarkan beli konsep beli satu tiket dapat percuma satu tiket. Pasti lebih ramai yang menonton. Sementelag vanuenya boleh memuatkan 70,000 penonton.

Sementara itu maybank2u.com sebagai bank rasmi membuat tawaran potongan harga 30 peratus bagi pembeli menerusi laman sesawang mereka.

Maybank2u juga membuat tawaran istimewa kepada pembeli iaitu 100 pelanggan pertama yang membeli dua tiket berharga RM300  atau RM600 menerusi laman sesawang maybank2u layak mendapat dua tiket saguhati bernilai RM300.

“Kami mahu ramai peminat menonton persembahan ini kerana tidak mahu mereka rasa rugi kalau tidak menonton. Kami janjikan pemuzik, tata cahaya dan sistem bunyi terbaik untuk memberi kepuasan maksimum kepada penonton.

“Walaupun saya buat bisnes, siri konsert ini bukan untuk meraih keuntungan semata-mata. Kami ada perancangan jangka panjang. Keuntungan yang kami sasarkan pada siri konsert akan datang,” kata Zainal Abidin bagi pihak Afrozapin Venture, penganjur konsert itu.

Zainal berkata dia mahu peminat rasa kelainan menonton persembahan berbayar berbanding persembahan percuma yang disogokkan kepada mereka.

“Saya akui kekerapan banyak pihak menyajikan persembahan percuma membunuh konsert berbayar. Jadi salah satu caranya ialah kita himpunkan beberapa artis untuk meraih lebih besar peminat.

“Selepas ini Konsert Legendary akan mulakan siri kedua dengan Ella, Datuk David Arumuggam, Datuk M. Nasir dan Ramli Sarip pula,” kata Zainal lagi.

Dia juga melihat siri konsert ini untuk membawa artis luar negara berkongsi pentas dengan artis legenda negara. Gabungan Aretha Franklin dan Datuk Sheila Majid antara yang ada dalam kepalanya.

“Kalau ada duit (penaja) ia bukanlah perkara mustahil. Inilah caranya mengangkat martabat artis kita,” jelas Zainal.

Zainal juga tidak menganggap tiket serendah RM100 sebagai mahal kerana penonton dapat menonton empat penghibur yang ada karisma masing-masing.

“Saya tak mahu menurunkan harga tiket terlalu rendah untuk menjaga reputasi penghibur pada Konsert Legendary yang berprofil tinggi.

“Saya sendiri terpukau dengan suara Jamal Abdillah dalam konsert terdahulu. Kalau saya seorang perempuan, saya juga akan cuba mendekati Jamal kerana dia ada tarikan.

“Demikian juga Amy yang ada aura tersendiri. Sheila juga masih mempunyai tarikan yang kuat. Saya tak nampak kecacatan dalam konsert ini… kalau ada yang cacat pun, ialah orang akan rasa rugi kerana tak datang.

“Antara feedback yang saya dapat ialah rata-rata memuji tata cahaya sebelum menonton persembahan. Sebab itu kami dapat tempahan daripada penonton yang dah menonton di Johor Bahru. Mereka tak puas dan mahu menonton lagi di Kuala Lumpur,” kata Zainal.

Kalau mahu membuat tempahan tiket boleh layari http://www.maybank2u.com. Boleh juga hubungi hotline 019-2155455, 010-2211919 atau 010-2211991.

Mangga Online

PA Sharifah Aini Meninggal Dunia

5 Jun

Ditulis oleh Rosli Manah

Biduanita Datuk Sharifah Aini kehilangan seorang pembantu peribadi yang telah lama bersama-samanya, Hasanah Osman.

Hasanah meninggal dunia pagi ini kerana kegagalan fungsi buah pinggang di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya. Allahyarham juga penghidap penyakit gout. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur petang tadi.
Malam tadi saya sempat menziarahi arwah semasa mendapat rawatan. Pada masa itu arwah dalam keadaan koma.

“Apa-apapun yang terjadi kita redha sajalah,” kata Sharifah Aini yang turut menziarahi arwah malam tadi.

Malah biduanita itu juga antara orang terdekat yang ada semasa beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Semasa Sharifah dirawat di hospital baru-baru ini, Hasanah antara orang yang menemaninya. Itulah khidmat terakhirnya kepada Sharifah Aini. Sebelum bertindak selaku pembantu peribadi, Hasanah memulakan hubungan dengan Sharifah sebagai seorang peminat tegar. Kejujurannya meminati Sharifah akhirnya mendapat kepercayaan Sharifah untuk membantunya.

Walaupun kehadiran Hasanah  hanyalah di belakang tabir perjalanan seni Sharifah Aini, tapi banyak sumbangnnya bersama-sama Sharifah yang ibarat kakak angkatnya itu. Sharifah sendiri akui dia kehilangan seorang sahabat sejati hari ini.

Rakan wartawan Huzz yang kali terakhir bertemu semasa menonton persembahan Makan Malam Amal Sharifah Aini pada Mei lalu, tak sangka gurauan kata-kata ‘kalau saya dah tak ada’ yang terkeluar dari bibir arwah menjadi kenyataan.

“Arwah ada cakap macam tu sambil bergurau. Saya anggap kata-katanya sekadar gurauan kerana dia seorang yang suka bergurau. Tak sangka dia benar-benar sudah tak ada,” kata Huzz. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Alfatihah.

Mangga Online

D. J. Dave Masih Bertenaga

1 Jun

Ditulis oleh Rosli Manah

Penyanyi Datuk D. J. Dave masih bertenaga mengadakan konsert di Istana Budaya. Konsertnya Journey Through Song Ingin Bersua mendapat sambutan menggalakkan.

Konsert bermula malam ini sehingga 3 Jun ini. Konsert sulungnya di Istana Budaya itu sebuah konsert mengenai perjalanan hidup selama 40 tahun bergelar anak seni.

 

Konsert yang dibawa oleh syarikatnya sendiri Shahdave itu diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan yang mengambil masa selama lebih kurang dua  jam.

Uji Rashid, S. Atan, Dayang Nurfaizah dan Marsha turut menjayakannya. Ticket berharga RM53, RM83, RM123, RM183, RM253, RM303, RM453 (Harga tiket tidak termasuk caj tiket) masih boleh didapati. Tempahan tiket atau pembelian online boleh layari http://www.ticket2u.biz. Hotline: 03-41478600.

Dalam preview kepada media malam tadi, Dave ternyata masih bertenaga menyanyikan sebuah demi sebuah lagu nostalgia.

Kemunculan Uji Rashid menerusi lagu Rintihan Rasa amat mengubat rindu peminat. Lagu itu memang popular tapi mereka tidak pernah menyanyikan di mana-mana persembahan sebelum ini. Kalau ada pun pada era 70-an.

Sekarang ini zaman radio yang memaninkan lagu-lagu lama yang dapat sambutan. Peminat lagu nostalgia pasti tak akan melepaskan peluang menonton persembahan D. J. Dave.

Banyak lagu popularnya yang menyimpan cerita tersendiri antaranya, Suara Hati, Saat Yang Kunanti, Seruling Kasih, Gitar Berbunyi, Nora, Cahaya, Ku Tak Ingin Menangis Lagi, Ingin Bersua, Biar, Masa Merubah Segalanya dan banyak lagi.

Mangga Online

Dah Putus Cinta… MELIA AIMIELLIA & Wartawan Masih Berkawan!

22 May

Ditulis oleh Deel Anjer

BERCINTA dan putus cinta tu sudah menjadi lumrah kehidupan. Kadang-kadang apa yang kita nak, tak semestinya kita dapat. Apa yang kita kejar tak semestinya kita boleh tangkap. Begitulah juga bila kita bercinta, tak semestinya ia kekal hingga ke akhir hayat.

Mangga Online turut bersedih bila pelakon cun melecun Melia Aimiellia (19) putus cinta dengan wartawan penyiaran rancangan popular yang hensem dan kiut miut tu!

Jom kita baca apa komen Melia yang masih menyayangi wartawan itu walaupun mereka dah berpisah. Baguslah tu… tak perlu nak bermasam muka atau pun bermusuh kan!

Cerita Melia:

“Setelah hampir dua bulan bercinta, akhirnya kami ambil keputusan untuk putus demi kebaikan bersama. Dalam hubungan ni, takde siapa yang bersalah. Mungkin dah takde rezeki kami teruskan bercinta.

“Sepanjang mengenali dia, dia seorang lelaki yang sangat baik, menghormati orang, pandai buat lawak dan comel orangnya… Hehe…  Namun  faktor kesibukan menjadikan kami tak boleh teruskan cinta ini.

“Ye laa… Saya fokus dalam kerjaya lakonan. Dia pulak busy dengan kerjanya sebagai wartawan.

“Pada mulanya memanglah kami rasakan kesibukan itu bukanlah penghalang bila bercinta, namun bila dah melaluinya, barulah kita tahu susahnya bercinta bila masing-masing tak boleh bagi komitmen.

“Selain itu, ada juga pihak yang kurang selesa bila kami bercinta. Nak tahu, ada saja gangguan telefon yang mempersoalkan hubungan kami. Entah dari mana datangnya orang tuu..

“Kami pun pelik dan hairan, kenapa ada yang mencemburui hubungan kami. Sedangkan kami single dan bebas untuk bercinta.

“Keadaan menjadi lebih teruk bila timbul fitnah yang saya ada kekasih lain. Tak dinafikan saya ada rapat dengan beberapa kawan lelaki, tapi bukanlah bercinta. Ada yang salah anggap dan mula sebarkan perkara yang tak sepatutnya. Entah laa… Rasa sedih pun ada.

“Sejujurnya, saya masih menyayangi wartawan itu. Dalam masa yang sama saya berserah kepada takdir. Sama ada kami kembali bercinta atau tidak, biarlah ianya berlaku secara semulajadi.  Buat masa ni lebih baik berkawan saja.

“Lagi pun saya nak fokus kepada lakonan. Alhamdulillah… Tawaran berlakon tak pernah putus. Terima kasih kepada semua yang memberi peluang dan mempercayai bakat saya.”

Banyakkan sabar ye Melia. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tuhan itu Maha Adil.  Tak lama lagi Melia akan muncul sebagai artis undangan dalam Sitkom Senario yang akan ditayangkan pada 12 Jun ini di TV3.  Siri drama lakonan Melia yang akan ditayangkan adalah Titisan dan Layar Muhibah di saluran RTM. Mangga doakan Melia terus sukses ye!

Mangga Online

Awal Ashaari Bersama Zizan Dalam Melodi Jun Ini!

21 May

Ditulis oleh Tajul

Kejayaan program hiburan sensasi no.1 Negara, Melodi bukan sahaja meraih perhatian penonton dari segi kandungan terkini dan infomasi bermutu, malah program terbitan TV3 ini meletakkan perantara berkaliber sebagai platform untuk berinteraksi bersama penonton setianya. Sejak mula diterbitkan pada tahun 1992, nama-nama seperti Dato’ Mahadzir Lokman, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Aznil Hj Nawawi, Azwan Hj. Ali, Raja Azura dan gandingan serasi Wahid (Senario) dan Fara Fauzana merupakan sebahagian besar daripada anak seni tempatan yang telah diberi kepercayaan memikul tugas berat mengendalikan program popular ini.

 

Lazimnya sudah menjadi tradisi TV3 untuk sentiasa memberikan suntikan segar untuk setiap program terbitannya. Sehubungan itu, bermula pada Jun ini Melodi akan memperkenalkan kemunculan duo baru, Zizan Razak bersama Awal Ashaari untuk meneruskan legasi Melodi menyampaikan infotainment kepada para penonton dan peminat program sensasi ini!

Menurut En. Azman Abd Gafar selaku penerbit Melodi, “Selepas perbincangan dalaman dan berdasarkan sesi pemilihan calon pengantara yang telah dilakukan beberapa bulan sebelum ini, pertukaran muka hadapan Melodi adalah satu langkah strategik dan wajar dilakukan. Kami yakin bakat dan potensi yang ada pada Zizan dan Awal kerana mereka mampu mengendalikan rancangan dengan keunikan dan stail tersendiri dalam meredakan suasana setelah paparan panas dan sensasi dihidangkan. Kami juga percaya setiap pengacara dianugerahkan dengan bakat yang berbeza dan mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Bukan sekadar bertumpu kepada gurauan dan usikan semata-mata, jika diberi peluang, gandingan Zizan dan Awal mampu menyerikan program ini dengan corak pengacaraan yang sudah sebati dengan penonton.”

“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Dira Abu Zahar yang sentiasa komited bersama kami sejak Mac tahun lalu hinggalah ke penghujung bulan Mei ini. Selepas berbincang dan melalui persetujuan bersama, kami akur dan menerima keputusan Dira untuk megundur diri kerana ingin lebih menumpukan masa dan tanggungjawab kepada pelajaran dan juga perniagaannya. Pihak produksi dan TV3 akan terus menyokong Dira yang sememangnya berbakat bukan sahaja di dalam bidang pengacaraan malah juga lakonan.”

“Pihak penerbitan tidak mahu masyarakat mahupun para penonton setia Melodi beranggapan bahawa transisi ini adalah satu perkara negatif ataupun berlaku kerana ada ketidaksefahaman antara pihak terbabit. Ini merupakan perubahan yang perlu dilakukan demi memastikan penjenamaan Melodi dan pengisian kandungannya akan terus diperbaharui, relevan dan menepati kehendak citarasa jutaan penonton. Pembaharuan seperti ini berlaku untuk semua program TV3 bukan sahaja Melodi malah jika diperhatikan dengan teliti; pihak kami juga pernah membuat pembaharuan dari segi penerbit, wartawan penyiaran, kandungan dan penerbitan itu sendiri. Oleh itu, pertukaran pengacara sepatutnya tidak menjadi isu sementelaah ianya merupakan tradisi yang positif,” ujar En. Azman lagi.

Tenaga produksi Melodi diterajui oleh Jamil Hassan selaku Penerbit Eksekutif, Azman Abd Gafar, Penerbit dan turut dibantu oleh Michelle Wee Lili selaku Penolong Penerbit termasuk barisan Wartawan Penyiaran, Azwan Azmi, Nurul Izza Safar, Nik Shafiq Hadari dan Saiful Azmi Jamsari.

Mangga Online

Bukan Sandar Wajah Cute- The Junas Monkey

15 May

Ditulis oleh Rosli Manah

Kumpulan tiga remaja cute dari Indonesia, The Junas Monkey kini popular dengan lagu Jadian. Stesen radio Malaysia juga memutarkan lagu tersebut. The Junas Monkey bukan kumpulan tarian sebaliknya sebuah band muzik.

Dua anggota The Junas Monkey iaitu Ajun Perwira dan Adiitya Suryo juga dikenali di Indonesia lewat sinetron dan filem. Mereka berlakon sinetron Putih Abu Abu yang kini sedang mendapat sambutan peminat di sana. Penyanyi utama kumpulan itu, Stefan William.

Adakah mereka bersandarkan wajah cute semata-mata?

Kata Ajun:”Soal wajah itu hal yang kedua, sebaliknya kami juga sandarkan bakat kami dalam bidang muzik. Kami memang meminati muzik sejak lama. Kebetulan kami muncul sebagai model dan juga pelakon terlebih dahulu.”

Mereka mahu peminat mererima kehadiran The Junas Monkey kerana bakat yang ada dalam diri mereka. Walaupun baru disatukan sebagai sebuah kumpulan, namun masing-masing sudah saling mengenali di antara satu sama lain.

Kesemua mereka bernaung di bawah syarikat pengurusan bakat yang sama iaitu Bentuk Management. Jadi tak ada masalah untuk mereka memenuhi undangan mengadakan persembahan dan menerima tawaran berlakon.

“Kalau soal jadual kami serahkan kepada pihak pengurusan. Mereka yang mengatur jadual kami. Kami memang artis sepenuh masa jadi tak ada masalah untuk penuhi segala aktiviti yang diatur,” kata Ajun, anggota yang paling ramai peminat di kalangan remaja wanita.

Mengapa nama monyet junas?

Nama The Junas Monkey diambil daripada karakter mereka sendiri. Junas ialah singkatan nama mereka Jun (Ajun), A (Aditya) dan S (Stefan). Perkataan monkey pula diambil daripada perlakuan mereka yang tak reti duduk diam.

Mereka datang daripada latar belang keluarga yang berbeza. Stefan anak kacukan Menado dan Inggeris yang menganut ajaran Kristian manakala Ajun pula anak jati Bali beragama Hindu. Aditya pula dibesarkan dalam keluarga Islam.

Walaupun sering dikejar wanita, namun anggota The Junas Monkey mahu ketepikan dulu sebaliknya mereka mahu tumpukan kepada kerjaya.

“Cinta tu biarkan dulu… kami mahu tumpu kepada kerja dahulu,” kata Ajun yang peramah itu lagi.

Mangga Online