Archive | January, 2007

Percayalah Sayang Bukti Vince ‘Masih Bernafas’

30 Jan

GAYA Artis Baru Terbaik AIM 2005.

Peluang menemui Juara Akademi Fantasia 1 (AF1), Vincent Chong Yin Chern atau lebih dikenali sebagai Vince pada majlis sidang media Prelude Anugerah Industri Muzik 14 (AIM14) di ntv7 baru-baru ini, memberi kesempatan untuk bertanyakan khabar terbarunya.

Menurut Vince, dia akan muncul dengan album kompilasi yang memuatkan 16 buah lagu terbaik yang dipetik dari dua albumnya sebelum ini iaitu Vince (2004) dan Janji Vince (2005).

“Saya tidak menghilangkan diri mahupun merajuk. Saya masih aktif dalam dunia muzik,” jelas anak kacukan Cina-Inggeris ini memulakan bicaranya.

Katanya, album berjudul Percayalah Sayang itu akan memuatkan dua lagu baru iaitu Percayalah Sayang ciptaannya manakala lirik oleh M. Zulkifli.

“Lagu itu merupakan satu percubaan bagi saya kerana melodinya saya gabungkan muzik R&B dan rock.

“Sebuah lagi lagu terbaru adalah berjudul Tuhan Tolonglah yang dicipta oleh komposer terkenal Indonesia, Tito Sumarsono yang saya rakamkan di Jakarta, Indonesia awal tahun 2006,” kata Vince yang pernah memenangi Artis Baru Terbaik AIM 2005.

Antara lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album Percayalah Sayang adalah Mengapa Harus Cinta?, Janji Janji, Dugaan Cinta (duet bersama Nur Fatima), Dilema ’03 (duet bersama Nora) dan Keranamu Kekasih (lagu dari filem Puteri Gunung Ledang).

Dia yang bakal terlibat pada persembahan Prelude AIM 14, Februari nanti, turut menjelaskan sebuah projek khas bakal menyusul yang akan membawa namanya ke Taiwan dan China.

“Buat pertama kali, saya akan merakamkan album Mandarin dan kini saya sedang mengikuti kelas untuk memantapkan bahasa Mandarin saya. Mungkin saya akan buat single dahulu. Semuanya masih lagi dalam perancangan dan bila sampai masanya kelak, saya akan umumkan,” katanya yang turut ditemani kakak yang merangkap pengurusnya, Vanessa.

Keinginan untuk merakamkan album dalam bahasa Mandarin, kata Vince, adalah kerana didorong oleh para peminatnya dari kaum Cina.

Namun menurut Vince hatinya tidak akan tertutup untuk merakamkan album Melayunya yang ketiga meskipun album keduanya, Janji Vince tidak mendapat sambutan sehebat album pertamanya dahulu.

“Saya masih ada kontrak tiga tahun lagi bersama EMI dan kami masih dalam perbincangan untuk memilih konsep album ketiga,” ujarnya.

Powered by Utusan Malaysia