Archive | Waheeda RSS feed for this section

Kenali Gaya: Raja Sehari Anggun Bertudung Labuh

21 Dec

Bakal pengantin jangan jadikan jubah dan bertudung labuh sebagai batasan untuk bergaya pada hari bahagia

Soalan

SAYA akan melangsungkan perkahwinan pada Februari depan. Masalahnya, saya adalah seorang wanita yang sentiasa mengenakan jubah dan bertudung labuh. Bagaimanapun, pada hari istimewa saya nanti, saya teringin untuk kelihatan cantik walaupun dalam persalinan jubah dan tudung labuh. Untuk rujukan, tinggi saya 159 sentimeter (sm) dan berat 48 kilogram (kg).

Shafizawati Nazirrudin, melalui emel.

Jawapan

WALAUPUN berjubah dan bertudung labuh, bakal pengantin tidak seharusnya menjadikan ia sebagai batasan untuk bergaya pada majlis bahagia mereka.


Ismail Abdul Rahman

Kini, butik pengantin muslimah sudah banyak terdapat di serata tempat bertujuan memenuhi kehendak wanita bertudung. Oleh itu kebijaksanaan memilih pereka fesyen tentunya menjamin anda tampil anggun bak raja sehari tanpa perlu menukar gaya tudung.

Biasanya untuk pengantin muslimah, saya akan lakarkan jubah labuh fesyen berpotongan longgar tanpa jahitan ‘dart’ yang boleh memperlihatkan bentuk tubuh mereka.

Kelainan jubah hanya ditekankan di bahagian lain misalnya potongan lengan yang dibuat berlapis menggunakan renda Perancis berlapikkan sutera sifon. Sebagai pilihan, anda boleh pilih untuk mengenakan renda Perancis atau sutera sifon sebagai bahan asas jubah itu nanti.

Bezanya renda Perancis tentunya akan membuatkan gaya tampak mewah tapi pilihan sutera sifon berkualiti juga tidak kurang menarik malah ia tentu tampak cantik pada tubuh anda yang berukuran normal.

Jubah dibuat terbuka di depan seperti potongan kebaya tapi dipotong labuh sehingga menutupi kaki. Di bahagian dalam jubah, padanan kain kembang berpotongan A-line menyerlahkan keindahan busana.

Untuk kelainan, kain kembang payung boleh dipotong tiga keping di bahagian belakang. Kesannya boleh terlihat dramatik persis puteri.

Teliti lakaran di mana ia kelihatan sarat namun perhatikan penggunaan kain renda Perancis hanya di bahagian lengan dan dalam baju membuatkan gaya terlihat seimbang. Bahagian lain dibuat menggunakan sutera sifon dan dijahit perincian manik bagi menampak kemewahan rekaan.

Ikatan tudung sangat penting untuk wanita muslimah kerana mereka pastinya tidak selesa jika merubah gaya bertudung lain daripada kebiasaan mereka. Di Butik Syahirah, kami boleh menggayakan ikatan tudung untuk pengantin bertudung labuh tanpa perlu menanggalkan tudung mereka.

Pemakaian anak tudung sepadan tatahan manik pada baju juga boleh membiaskan pesona pengantin. Jangan lupa lengkapkan persalinan dengan pemakaian layah labuh berpotongan A-line.

PROFIL

Ismail Abdul Rahman

Usia: 39 tahun

Asal: Teluk Intan, Perak

Pendidikan: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

Profesyen: Pereka fesyen dan pemilik Butik Pengantin Syahirah

Antara selebriti yang pernah mendapatkan khidmat butik pengantin milik Ismail ialah Erra Fazira, Ina Naim, personaliti televisyen, Fenda; Bienda dan Waheeda.

Untuk mendapatkan khidmat Ismail, boleh berkunjung ke No 5, Jalan Bunga Kertas 1B/2, Bukit Sentosa, Rawang atau hubungi 013-3707945 atau 03-60215946.

INFO

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

90:10 Pilihan Muzik FM

10 Sep

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


MERIAH: Sebahagian daripada penyampai radio Muzik FM bergambar kenangan.

Ada tanggungjawab, tidak boleh fikirkan komersial semata-mata

KEPESATAN stesen radio swasta lagi popular seperti Hot FM dan Era Fm tidak pernah melunturkan hasrat dan niat stesen radio Muzik FM untuk terus tegar bersaing. Beroperasi genap 33 tahun pada 20 Jun lalu, Muzik FM mula beroperasi sejak 1975 dan kekal utuh menyajikan hiburan dan gerbang maklumat terbaik kepada pendengar setianya.

Biarpun ada yang memberi tanggapan, stesen radio milik kerajaan dianggap sesuai untuk pendengar yang agak tua, Muzik FM melawan arus, mensasarkan kepada kelompok pendengar remaja dengan memanipulasikan sebaik mungkin tugas lebih 12 penyampai radionya.

Menurut Pengawal Muzik FM, Datin Rosni Yusof, stesen itu menjadi antara 10 stesen radio popular secara keseluruhan di Malaysia.

“Kami berada di tangga kedua, jika dilihat dalam senarai stesen radio RTM. Pertama masih diungguli stesen radio Klasik Nasional. Jika dulu memang agak sukar melihat situasi di mana stesen radio kami dipilih dan ke udara di lokasi menarik, tidak lagi sekarang. Saya pernah mendengar stesen radio kami dimainkan di pusat beli-belah Carrefour dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Itu satu perkembangan positif.

“Tidak dinafikan populariti dan kehebatan stesen radio swasta menarik perhatian pendengar tapi kita tidak boleh seratus peratus mengikuti cara mereka. Sebagai lidah rasmi kepada kerajaan, kami ada tanggungjawab dan tidak boleh semata-mata memikirkan komersial yang agak keterlaluan.


TURUT ADA: Kumpulan Enava membuat persembahan mendendangkan lagu raya.

“Penyampai radio kami ada yang terdiri daripada golongan remaja dan matlamat kami juga menarik perhatian golongan itu. Kami lebih mengutamakan hiburan melalui putaran lagu berbanding banyak bercakap atau berleter. Pemilihan lagu yang dibuat juga sentiasa mengikut perkembangan semasa. Kami juga tidak ketinggalan memutarkan lagu yang bermusim dan diminati seperti lagu Korea, Hindustan dan Indonesia.

“Sebagai stesen milik kerajaan kami sudah lama mempraktikkan menurut petisyen 90:10 yang lebih mengutamakan lagu tempatan. Penyampai radio kami juga lebih selesa menjadi lagu tempatan sebagai halwa telinga pendengar,” kata Rosni keteika ditemui pada majlis berbuka puasa Muzik FM di Hotel Grand Continental, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 33 orang anak yatim daripada Rumah Titian Kasih, Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur diraikan yang turut dihadiri rakan media, pendengar setia Muzik FM dan artis seperti Waheeda, Hafiz Hamidun dan kumpulan baru, Enava. Anak yatim turut menerima sumbangan ikhlas berupa duit raya dan pelbagai hamper daripada Muzik FM dan pihak pengurusan hotel.

Bagi Hafiz yang ditemui, peluang sebeginilah yang sentiasa dinanti-nantikan untuk mendekatkan diri dengan peminat dan pendengar muzik FM.


SEDAP: Antara tetamu menunggu giliran mendapatkan seleksi makanan sedap disediakan Hotel Grand Continental.

“Sama-sama kita mengambil keberkatan Ramadan ini untuk mendekatkan diri dengan peminat dan mereka yang bernasib malang. Inilah saat untuk kita berkongsi rezeki dan mengharapkan kemakmuran ini terus berkekalan. Usaha Muzik FM wajar dipuji dan acara sebegini sangat lazim dilakukan stesen radio dan TV ketika bulan puasa,” kata Hafiz Hamidun.

Majlis yang bertemakan Jom Berbuka Puasa@MuzikFM ini dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Rancangan), Datuk Adilah Shek Omar; Pengarah Urusan Rancangan Radio, Norliza Mohd Ali dan Pengarah Siaran Radio, Keliwon Pajhar.

INFO

Frekuensi Muzik FM

Kuala Lumpur (88.5)

Kuching (88.1)

Kota Kinabalu (88.9)

Pulau Pinang (96.9)

Selangor (95.3)

Kelantan (101.9)

Johor (105.7)

Pahang (89.3)

Melaka (96.6)

Perlis dan Kedah (100.5)

Negeri Sembilan (91.7)

Terengganu (91.7 & 89.4)

Pulau Labuan (88.5)

Sibu (98.5)

Laman web: http://www.muzikfm.com.my

Berita Harian

Akil Nafi Kahwin Dengan Waheeda

10 Jun

Oleh Norliza Mohamad Zakaria liza.zakaria@utusan.com.my

AKHIL Hayy bersama tiga anugerah platium termasuk dua platinum berkembar yang diterimanya baru-baru ini.

KALAU sudah namanya orang popular, apa saja yang dilakukan mereka, sudah tentu akan diperhatikan.

Lalu, apabila artis-artis popular dikaitkan dalam episod percintaan, mereka sudah tentu akan menjadi tumpuan media.

Hal yang sama turut dilalui oleh bekas penyanyi rock yang kini beralih kepada lapangan nyanyian lagu-lagu dakwah dan penceramah terkenal, Akil Hayy.

Beberapa bulan lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan laporan kononnya Akil memilih penyanyi wanita terkenal, Waheeda sebagai isteri keduanya.

Menguatkan lagi dakwaan itu, apabila Waheeda membuat keputusan untuk ‘bersara’ dari dunia hiburan.

Namun begitu, tiada sebarang jawapan yang pasti keluar dari mulut kedua-dua bintang popular itu.

Justeru, pada majlis pelancaran album terbarunya, Nasyid Legenda 2, Akil membuka mulut membicarakan cerita ‘perkahwinan keduanya’ kepada media secara terbuka.

Dalam nada tenang, ustaz rock itu menafikan khabar angin yang tersebar luas sebelum ini.

“Tidak. Saya tidak pernah bernikah dengannya (Waheeda). Saya rasa benda ini (gosip) semua artis akan lalui, apabila kita menempa nama pasti banyak mata yang memandang.

“Dia (Waheeda) sebenarnya sedang dalam proses berjihad untuk kembali ke jalan yang benar. Sebab itulah saya rasa prihatin tetapi mungkin orang ramai salah faham,” jelas bapa kepada lima orang anak itu tanpa berselindung.

Tidak mahu memanjangkan lagi isu yang disifatkannya sebagai khabar angin semata-mata, kata Akhil, hubungannya dengan Waheeda saling tidak ubah seperti rakan artis semata-mata.

Menganggap segala yang melanda dirinya kini sebagai tsunami dan ujian dalam hidup, Akhil pada masa yang sama mengharapkan pengertian dan kesabaran daripada isterinya yang tercinta, Maizawati Zainal.

“Dalam perkara macam ini, isteri saya perlu memahami situasi saya sebagai artis. Seringkali saya ingatkan padanya agar dia perlu sentiasa ada perasaan menyayangi bukan memiliki.

“Saya musafir ke hulu dan ke hilir, bila dia (isteri) ada perasaan sayang dan percaya pada saya barulah dunia akan rasa aman,” ujar Aki lagi.

Sementara itu, beralih perbualan kepada kerjaya seninya pula, Akil memberitahu, untuk album terbarunya ini, dia memilih untuk merakamkan lagu-lagu saduran dalam Nasyid Legenda 2.

Akil bukanlah artis pertama yang memberi nafas baru pada lagu-lagu popular lama.

Usaha merakamkan lagu-lagu sedemikian juga kata Akil, sebetulnya memberi manfaat dan keuntungan yang bukan sedikit.

Menurutnya, tidak kira apa juga genre muzik yang dimainkan, selagi ada peminatnya, selagi itulah lagu tersebut mampu bertahan walaupun berpuluh tahun lamanya.

“Memang menguntungkan. Tetapi, ia bukan satu perkara yang senang kerana setiap pembikinan album sebegini tidak boleh main buat sahaja.

“Takut nanti penyanyi asal akan kata merosakkan lagu-lagu mereka,” kata Akhil Hayy yang gemar membahasakan dirinya ana.

Agak beruntung, kata Akhil Hayy, kali ini dia menerima sentuhan daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki untuk album ketiganya itu.

“Fauzi memang ada alirannya yang tersendiri dalam menampakkan keaslian nasyid dan bila orang dengar, orang akan kata ya, inilah nasyid.

“Bagi saya, konsep yang saya tampilkan sangat berbeza kerana saya rakamkan semula lagu nasyid berkumpulan wanita secara solo dengan cara tersendiri,” katanya.

Album Nasyid Legenda 2 memuatkan lagu-lagu seperti Berita Gembira, Adam Dan Hawa, Dikit Sedikit dan Warna Alam yang merupakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Al-Jawaher.

Tidak ketinggalan, ia turut memuatkan lagu-lagu nyanyian kumpulan El-Suraya iaitu Anak Derhaka, Pohon Dan Pinta, Hawa Nafsu dan Hidup Yang Hampa.

Menurut Akhil Hayy, album tersebut merupakan kesinambungan album pertamanya Nasyid Legenda yang berjaya mencatat jualan melebihi 40,000 unit.

Powered by Utusan Malaysia

Ain Rela Kena Buli

31 May

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

MENIMBA pengalaman berlakon daripada pengarah ter kenal, Prof Madya A Razak Mohaideen dianggap tuah dan kelebihan bagi pelakon baru bernama Ainul Aishah Azizun.

Dalam tempoh hampir tiga tahun, Ainul atau Ain bekas personaliti Gadis Metro ini sudah membintangi empat filem. Menariknya, menerusi filem pertama, Nana Tanjung, Ain diberi peluang memegang watak utama bersama Fasha Sand ha, Saiful Apek, Waheeda dan Jehan Miskin.

Biarpun Ain hanyalah pendatang baru dalam persada perfileman tanah air tetapi dia tetap beruntung kerana mendapat kepercayaan pengarah prolifik itu untuk menggilap bakat seni lakon dalam diri. Jika dilihat pada pelakon baru lain, mereka terpaksa bertatih dari bawah memegang watak kecil sebelum bersedia dengan watak utama.

Namun, Ain sendiri mengambil peluang itu dengan penuh semangat dan berani mencuba. Melakonkan watak Siti Hajar, adik kepada Balqis (Waheeda) dan Khairunisa (Fasha Sand ha), Ain sanggup dibuli demi mendapat pengalaman berharga daripada pelakon senior lain termasuk pengarah.

“Sejak bergelar artis, banyak perkara dan pengalaman berharga yang saya belajar. Saya bersyukur kerana pelakon yang berada di sekeliling saya sudi membantu dan mem berikan tunjuk ajar mengenai aspek lakonan yang lebih membawa penghayatan.

“Memang hidup sebagai selebriti, ada kebaikan dan ke burukan yang terpaksa dilalui. Walaupun mengecapi glamor dan mempunyai peminat sendiri tetapi pada masa yang sama, saya juga perlu berkongsi kisah peribadi bersama peminat.

“Bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan keputusan bergiat aktif dalam bidang lakonan ini. Lakonan adalah minat saya dan akan diteruskan hingga berjaya merangkul anugerah Pelakon Terbaik suatu hari nanti,” katanya.

Selepas melangkah yakin menerusi filem pertama, Ain seterusnya ditawarkan watak yang sama dalam sekuel filem itu diikuti watak pembantu dalam Otai yang menyaksikan dia menjadi wanita gila berusaha memikat anak orang kaya, Aiman (lakonan Saiful Apek).

Berdasarkan pencapaian tiga filem itu, perjalanan karier Ain kemudian beralih arah pada filem seram berudul Histeria yang diarahkan James Lee. Dalam filem terbaru yang me nantikan tayangan pada tahun ini, Ain diberi watak utama sebagai Marina. Watak Marina adalah antara tujuh rakan karib yang belajar dari sebuah kolej menggelarkan kumpulan mereka Pink Lady.

Berbeza dengan watak yang pernah dibawa sebelum ini, Ain berkata watak Marina lebih mencabar dirinya berhadapan dengan situasi yang menyeramkan. Filem itu menjalani penggambaran pada Ogos tahun lalu dan turut menampilkan M Rajoli, Adman Salleh, Ramli Hassan, Vanidah Imran, Ako Mustapha, Adlin Aman Ramlie, Ady Putra dan Liyana Jasmay.

“Meskipun saya masih membawa watak remaja sama seperti dalam filem sebelumnya tetapi cabaran melakonkan watak Marina tetap ada. Pertama, kali ini saya berpeluang membuli seorang rakan dalam kumpulan saya iaitu Murni (Liyana).

“Kedua, saya menjadi mangsa bunuh dalam tandas. Dalam adegan ini, saya dipaksa mandi darah yang memenuhi seluruh badan dan muka saya. Bukan itu saja, saya juga mati dalam tandas yang kotor dan menjijikkan.

“Walaupun nampak mudah ketika melakonkan adegan itu, saya perlu menunjukkan lakonan yang benar-benar me yakinkan. Rasa seram juga menghantui diri saya ketika itu dan ia pengalaman menarik yang tidak mungkin saya lupa sampai bila-bila” katanya.

Meskipun Ain mendapat kepuasan baru dalam filem kelima ini selepas Nana Tanjung 1 dan 2, Otai termasuk Skrip 7707, Ain mengakui dia masih tercari-cari watak yang lebih mencabar. Katanya, jika boleh dia mahu mencuba watak antagonis yang menyerlah sisi berbeza dirinya.

Mengembang bakat seni dalam diri, Ain yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kreatif Multimedia peng khususan Pengiklanan dari Universiti Multimedia Malaysia, Cyberjaya juga mula berjinak-jinak dalam bidang penga caraan apabila mengacara program hiburan Random Mania yang disiarkan menerusi laman web, http://www.gua.com.my.

“Pertama kali menjadi pengacara, pengalaman yang dilalui begitu menyeronokkan. Rupanya baru saya tahu menjadi pengacara lebih susah berbanding pelakon dan pada masa yang sama, saya juga menjalankan tugas wartawan menemu bual artis lain.

“Antara lakonan dan pengacaraan, saya suka kedua-duanya. Jika boleh saya mahu mencuba dalam bidang seni lain pula seperti berlakon teater dan menyanyi. Namun, buat masa ini saya suka dengan apa yang saya lakukan kerana minat walaupun saya tidak mempraktikkan ilmu akademik yang saya belajar dulu,” katanya.

Ain yang pernah menyertai pertandingan Personaliti Cel com Harian Metro (PCHM) 2005-2006 turut muncul di gerai Harian Metro pada Jomheboh anjuran TV3 yang berlangsung hari ini di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Katanya, peluang terbabit bersama akhbar bahasa Melayu nombor satu dalam acara itu membuka peluang besar untuk bertemu peminat dengan lebih dekat.

“Saya seronok apabila dapat menjayakan acara terbesar ini dan bertemu peminat. Sebelum ini saya pernah berkunjung ke Perlis untuk acara sama dan mendapati sambutan daripada peminat amat menggalakkan.

“Malah saya juga seronok bertemu peminat yang banyak memberi sokongan pada karier seni saya selama ini. Harapan saya agar acara seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya

Profil

NAMA: Ainul Aishah Azizun

TARIKH LAHIR: 16 April 1985

ASAL: Kuala Lumpur

FILEM: Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

DRAMA: KL Menjerit The Series, Enigma dan Anak Mami

Powered by Harian Metro

Ketabahan Pesakit Barah Otak

26 May

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KETABAHAN pesakit kanser otak, Muha Aziz yang bertarung dengan penyakit berbahaya itu sejak empat tahun lalu antara paparan menarik dalam musim kedua, Ar-Rayyan yang menemui penonton Astro Oasis, jam 9 malam ini.

Lebih menyentuh hati, Muha, 28, yang tidak dapat melihat dan berkerusi roda nampak tenang ketika ditemubual hos program ini, Datuk Dr Fatma El-Zahraa.

Selain Muha (episod kedua), program sebanyak 13 episod ini turut mengundang beberapa selebriti tanah air seperti penyanyi Aishah yang ibu tunggal, pasangan bahagia yang mempunyai dua anak, Vanidah Imran dan suami pelakon dan pengarah Rashidi Ishak serta penerbit drama dan pelakon popular, Rosyam Nor.

Tidak ketinggalan, Ar-Rayyan juga mengundang beberapa ikon dalam masyarakat seperti Presiden Pengasih, Yunus Pathi yang mengupas topik akal dengan begitu menarik sekali.

Penerbit program ini, Nor Norzulydia Azizan berkata, tetamu jemputan yang ditampilkan pada setiap episod turut sama berdiskusi secara terbuka bersama Dr Fatma.

“Pengisian program musim kedua ini lebih padat dan menarik kerana tetamu undangan juga berkongsi pengalaman dengan penonton dari sudut agama.

“Ia juga mengupas isu lebih kritikal dengan grafik terkini serta tetamu jemputan dengan latar belakang berbeza. “Tetamu undangan akan berbual dan berinteraksi dengan Dr Fatma sambil berkongsi luahan pendapat menurut sudut pandangan dan pengalaman hidup masing-masing.

“Pendekatan wawancara secara santai dan spontan lebih tepat demi memenuhi cita rasa penonton daripada pelbagai peringkat usia,” katanya.

Nor Norzulydia ditemui ketika pelancaran dan sidang media Ar-Rayyan musim kedua disempurnakan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar di Hotel Le Meredien, KL Sentral, di sini, baru-baru ini

Hadir sama, Yang Dipertua, Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Mejar Tengku Baderol Zaman Ibni Sultan Mahmud Al Muktaffi Billah Shah dan Toh Puan Sri Wan Hidayah Wan Ismail.

Tambah Nor Norzulydia lagi, setakat ini sebanyak enam episod sudah dirakamkan.

“Rakaman untuk tujuh lagi episod Ar-Rayyan dijangka bermula pada 30 Mei ini.

“Pada episod pertama yang disiarkan pada 19 Mei lalu, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang baru pulang dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah dan kini tampil bertudung adalah artis undangan Ar-Rayyan.

“Manakala, episod istimewa Ar-Rayyan selama sejam yang mengundang dua selebriti, Noorkumalasari dan Waheeda sebagai artis undangan,selamat bersiaran sempena sambutan Maulidur rasul pada Mac lalu,” katanya.

Sementara itu, Dr Fatma, ikon Astro Oasis yang giat berdakwah di beberapa organisasi korporat dan kerajaan berkata dia juga mengupas topik yang lebih kritikal dan khusus untuk kaum wanita dan keluarga pada musim baru Ar-Rayyan.

“Musim baru Ar-Rayyan juga lebih memfoluskan pada generasi muda kerana misi kita untuk menarik golongan remaja mendekati agama.

“Buat permulaan, pihak kami kenal pasti topik yang ingin dipaparkan dalam program ini. Maklumlah, sebagai insan yang lemah kita tidak dapat terlepas dari ujian Allah. “Topik keluarga bahagia pula memaparkan artis undangan yang juga pasangan suami isteri yang sama-sama berkecimpung sebagai anak seni dan mempunyai dua anak, pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak yang berkongsi cerita dengan penonton.

“Selain itu, pihak kami mengundang Rosyam, bapa tujuh anak yang aktif berlakon dan menerbitkan drama tetapi pada masa sama mampu mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangganya untuk bercakap topik masa yang juga sangat berharga dalam hidup kita,” katanya.

Saluran Astro Oasis yang dilancarkan pada 13 Oktober dan baru beroperasi selama tujuh bulan menerusi saluran 106 dengan slogan ‘Inspirasi Sanubari’ sekali lagi membuktikan iltizam menghidangkan santapan minda dan rohani masyarakat dengan pelancaran Ar-Rayyan musim kedua ini.

Program bual bicara terbitan Green Melon Communications Sdn Bhd ini mula bersiaran di Astro Ria pada 2006 sebelum bersiaran di Astro Oasis pada 2008.

Ar Rayyan yang menampilkan Dr Fatma sebagai hos juga antara program terbaik saluran Astro Oasis, sekali gus semakin mendapat tempat di hati penonton.

Powered by Harian Metro

Nana Tanjung 2 Tampil Dengan 3 Subplot

25 May

Oleh WANDA IDRIS

TIGA subplot filem Nana Tanjung 2 yang diakhiri dengan kegembiraan iaitu perkahwinan Nana Kassim-Mami Mumtaz (tengah) lakonan Pie dan Sheila Mambo, Akhbar Khan (Saiful Apek) -Khairunisa (Fasha Sandha) (kiri) dan Balkis (Waheeda) – Izad (Isaac).

KETIKA Mega berkesempatan mengunjungi lokasi penggambaran filem Nana Tanjung 2 di Shah Alam tidak lama dahulu, pihak produksi di bawah arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen sedang menyelesaikan beberapa babak terakhirnya.

Antara adegannya ialah Akhbar Khan lakonan Saiful Apek dan Zulkarnain (Jehan Miskin) yang terpaksa menyamar sebagai badut semata-mata untuk bertemu kekasih hati masing-masing, Khairunisa (Fasha Sandha) dan Balkis (Waheeda).

Semuanya gara-gara Nana Kassim, lakonan Pie melarang keras bakal menantunya itu bertemu dengan anak-anaknya.

Jadi dalam usaha untuk merealisasikan impian bertemu kekasih masing-masing, pelbagai helah dilakukan.

Selain menjadi badut, Akhbar Khan dan Zulkarnain sanggup bertukar jantina untuk menjadi orang gaji di rumah Nana Kassim.

“Itu sebahagian elemen komedi dalam filem Nana Tanjung 2. Jika filem pertamanya, Nana Kasiim tidak tahu siapa teman lelaki anak-anaknya.

“Kesinambungannya kali ini, Nana Kassim meletakkan pula syarat yang ketat untuk bakal-bakal menantunya itu sebelum bergelar suami isteri,” ujar Razak.

Semuanya kerana Nana Kassim mulai kurang senang apabila orang sekeliling memperkatakan mengenai sikap Nana Kassim yang cukup sporting membiarkan mereka bebas keluar masuk ke rumahnya dan bertemu dengan anak-anaknya.

Selain tidak dibenarkan bertemu selagi belum berkahwin, Nana Kassim juga meletakkan syarat agar bakal menantunya menyediakan wang simpanan sebanyak RM50,000 di akaun bank masing-masing dengan wang hantarannya sebanyak RM10,000.

Menariknya, pada filem kali ini, bukan sahaja anak-anak Nana Kassim yang berkahwin, Nana Kassim juga bertemu jodohnya dengan teman wanita lamanya, Mami Mumtaz.

Menurut Razak yang juga penulis lakon layarnya, dia menyediakan tiga subplot dalam filem kali ini yang melibatkan kisah-kisah percintaan dan perkahwinan Akhbar Khan-Kharunisa, Zulkarnain-Balikis dan Nana Kassim sendiri.

Ia bukan sahaja dipenuhi dengan komedi tetapi juga pengajaran buat tontonan seisi keluarga.

“Ini termasuklah mengenai alam perkahwinan yang bukan sekadar untuk suka-suka. Sebaliknya merupakan satu tanggungjawab besar dan memerlukan pengorbanan,” jelas Razak.

Dijangka ditayangkan kepada umum penghujung tahun ini, selain Shah Alam, penggambaran yang bermula pada pertengahan April lalu juga diadakan di Pulau Pinang.

Turut menampilkan kelainan daripada segi sinematografinya, kata Razak, Nana Tanjung 2 berakhir dengan penuh kegembiraan.

Pada hari terakhir pengambaran filem Nana Tanjung 2 juga, pihak produksi sempat mengadakan majlis kejutan buat Razak bagi meraikan filem ke-25 arahannya.

FILEM: NANA TANJUNG 2

ARAHAN/CERITA/LAKON LAYAR: PROF. MADYA A. RAZAK

MOHAIDEEN

SKRIP: A. SHUKOR MOHAIDEEN

PENGARAH FOTOGRAFI: EMRAN MOHRAM

PENERBIT: LINECLEAR MOTION PICTURES SDN. BHD.

PENERBIT EKSEKUTIF: GRAND BRILLIANCE SDN. BHD. (GBSB)

PELAKON: PIE, SAIFUL APEK, FASHA SANDHA, WAHEEDA, JEHAN MISKIN, AZEAN IRDAWATY & SHEILA MAMBO

LOKASI: SHAH ALAM, SELANGOR

TAYANGAN: PENGHUJUNG TAHUN 2007

Powered by Utusan Malaysia