Archive | Sanisah Huri RSS feed for this section

ROB Dan Koffin Kanser Dua Kumpulan, Sama Anggota

2 Oct

JARANG berlaku dalam mana-mana industri muzik, terdapat dua buah kumpulan dianggotai oleh anggota-anggota yang sama. Tetapi itulah realiti yang berlaku dalam dunia muzik kita apabila Republic Of Brickfields (ROB) dan Koffin Kanser dianggotai oleh anggota-anggota yang sama.

Aru sebagai ketua kumpulan itu berkata, pada mulanya ramai peminat yang keliru apabila mereka muncul dengan dua nama yang berbeza.

Namun, selepas melihat persembahan ROB dan Koffin Kanser barulah para peminat dapat membezakan kelainan dua kumpulannya itu.

“Para peminat hanya dapat membezakan yang mana satu ROB dan Koffin Kanser selepas mereka menyaksikan persembahan kami.

“ROB merupakan sebuah kumpulan yang memperjuangkan irama reggae sedangkan Koffin Kanser lebih ke arah nu metal.

“Konsep muzik itulah yang membezakan antara dua kumpulan kami itu,” kata Aru ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan promosi album kompilasi Bila Tiba Hari Raya anjuran syarikat rakaman EMI di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bila Tiba Hari Raya merupakan album kompilasi yang mengandungi 21 buah lagu-lagu Hari Raya malar segar yang antaranya dinyanyikan oleh Datuk Ahmad Jais, Sanisah Huri, Datuk Sharifah Aini, Fazidah Joned dan Rahimah Rahim.

ROB merupakan artis naungan EMI yang muncul dengan album sulung berjudul Ganjaran kira-kira enam bulan yang lalu.

Menurut Aru, bukan setakat para peminat tetapi penganjur pertunjukkan pentas juga adakalanya keliru dengan dua kumpulannya itu.

Ini kerana sewaktu di pentas, dua kumpulan itu boleh saling bertukar-tukar konsep pada lagu-lagu yang mereka sampaikan.

“Malah, kami juga pernah meminta kepada pihak penganjur supaya ROB dan Koffin Kanser diberi peluang muncul pada satu persembahan.

“Dalam erti kata yang lain, kami bermain dalam dua set persembahan. Tetapi permintaan kami itu sering ditolak oleh penganjur pertunjukkan pentas.

“Sebabnya mereka tidak mahu membayar dua kali ganda bayaran disebabkan kami bermain atas nama dua kumpulan,” ujarnya.

Selain Aru, ROB dan Koffin Kanser turut dianggotai oleh Joe (gitaris), Zack (percussion) dan Udin (percussion).

Dalam pada itu, dua kumpulan itu adakalanya menggunakan khidmat pemuzik undangan yang terdiri daripada G-Joe (gitaris), Bakri (dram), Edy (keyboardis), Radit (bassis) dan Justin (percussion).

Turut sama pada majlis berbuka puasa itu ialah artis-artis EMI dan edaran syarikat itu seperti Ella, Camelia, Fiq (Mentor), Ruffedge, Sohaimi Mior Hassan, Herman Tino, V.E., Reborn, Junio Hustle dan OAG serta Pengurus Besar EMI, Julius Ng serta Pengurus Pemasarannya, Yoveindra Arumugam.

ROB sempat menghiburkan para tetamu dengan menyampaikan sebuah lagu berjudul Orang Planet, Sohaimi Mior Hassan (Ramadan) dan Ella (Sekilas Cinta).

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Album Pop Yeh-Yeh Di Pasaran

5 Nov

Suatu ketika dahulu irama pop yeh-yeh begitu menjadi kegilaan ramai. Bukan sahaja lagu yang digilai malah cara berpakaian artis pada zaman tersebut turut menjadi ikutan peminat.

Bagaimanapun selepas munculnya lagu-lagu pop serta rock, irama berkenaan seolah-olah kian dilupakan.

Malah nama-nama seperti Allahyarham S. Jibeng, A. Rahman Hassan, Jefferidin dan Sanisah Huri yang berjaya mewarnai era muzik ketika itu semakin hilang di ingatan generasi muda pada masa kini.

Selain itu stesen-stesen radio juga yang tidak begitu galak untuk memutarkan lagu-lagu artis tersebut turut menyumbang terhakisnya irama berkenaan sedikit demi sedikit.

Bagi memastikan zaman pop yeh-yeh itu terus segar di telinga pendengar, komposer Eddie Hamid mengambil inisiatif menerbitkan album kompilasi Pujaan Pop Yeh-Yeh 60-an Volume 2 yang mula dipasarkan minggu lalu.

Menurut Eddie, apa yang istimewa menerusi album itu penyanyi A. Rahman Onn yang pernah popular dengan lagu Si Cincin Emas tidak lama dulu diundang untuk menyanyikan sebuah lagu baru berjudul Semua Jadi Kenangan.

“Ia merupakan penghargaan saya kepada Rahman yang mampu mengekalkan kelunakan suaranya walaupun pada hakikatnya nama beliau seperti mula dilupakan,’’ kata Eddie.

Selain lagu tersebut, lagu-lagu lain yang pernah popular di zaman itu turut dimuatkan nyanyian seperti penyanyi Jeffridin, A. Ramlie, Hasnah Haron, Sanisah Huri, A. Romli dan J. Kamisah.

Antara lagu-lagu tersebut seperti Seruling Anak Gembala, Hidup Bersama, Oh Teruna, Inai Di Jari, Zunika, Jauh Pandangan, La Obe dan Bersedih.

Album edaran Nova Music itu dijangka mendapat sambutan hangat berdasarkan penjualan menggalakkan album Pop Yeh-Yeh Volume 1 tidak lama dulu.

Powered by Utusan Malaysia

Penyanyi 60-An Masih Bertenaga

13 Nov

SEBAGAIMANA lagu-lagu 60-an yang masih kekal sehingga kini, penyanyi-penyanyi lagu 60-an juga masih mampu bertahan.

Mungkin kerana mereka sering mendapat undangan menjadikan mereka masih bertenaga dan mampu menyanyikan lagu bernada tinggi. Lagu-lagu 60-an mempunyai imej yang tersendiri yang tidak memerlukan tokok tambah elemen muzik lain untuk terus bertahan.

Bagaimana pun sambutan terhadap Konsert Himpunan Artis 60-an yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil baru-baru ini tidak memberangsangkan apabila hanya kira-kira 300 penonton saja yang hadir.

Sambutan dingin ini tentunya bukan kerana lagu 60-an sudah tidak dapat tempat tetapi disebabkan kekurangan publisiti.

Mujurlah penganjur turut merakam dan merancang memasarkan konsert itu di dalam bentuk video cekera padat (VCD) yang boleh menampung kos penganjuran konsert ini.

Konsert tersebut menampilkan Kumpulan Zurah II mengiringi penyanyi dari Malaysia, Azizah Mohamad, A. Rahman Onn, A. Rahman Hassan, Hasnah Harun, L. Ramlee dan J. Sham.

Penyanyi dari Singapura pula ialah Fatimah M. Amin, Jaafar O, M. Ishak, Kassim Selamat, Zam Zam dan Salim I diiringi oleh kumpulan The Rhythm Boys. Jeffrydin pula diiringi oleh kumpulan Delima.

Azizah memulakan persembahan dengan lagu popularnya Syurga Idaman dan lagu Kaca Mata diikuti A. Rahman Onn dengan lagu Si Cincin Emas dan Aku Nak Pulang.

A. Rahman Hassan setia bersama gitarnya ketika menyanyikan lagu-lagu Bahagia Menjelma dan Semoga Berjaya yang dirakam kali pertama pada tahun 1966.

Walaupun tampil dengan imej bertudung, Hasnah Harun tidak menghampakan peminat dengan lagu Bersedih dan sebuah lagu popular Sanisah Huri berjudul Siapa Gerangan.

L. Ramlee pula memilih lagu-lagu Siapa Bilang Aku Tak Sayang dan Joget Berbaju Kurung. J. Sham pula memperdengarkan lagu-lagu Suratku Untukmu dan Ku Akan Pulang.

Fatimah M. Amin dan M. Ishak juga masih berani memilih lagu-lagu bernada tinggi di dalam konsert itu. Fatimah memukau peminat dengan lagu-lagu Di Mana Tempat Bermanja dan Oh Teruna manakala M. Ishak pula mengalunkan lagu Yale Yale dan Ku Ditinggalkan.

Lagu Yale Yale yang berusia 38 tahun itu mungkin masih sama dendangannya semasa kali pertama M. Ishak merakam lagu itu.

Jaafar O pula menyanyikan lagu-lagu Pungguk Rindukan Bulan dan Pinangkan Si Dia. Beliau berseloroh mengatakan lagu itu tidak sesuai dinyanyikan pada usianya sekarang.

Lagu La Obe dan Angkut-Angkut Bilis masih berkumandang dari suara penyanyi asalnya Kassim Selamat yang paling senior berbanding penyanyi lain.

Zam-Zam yang popular dengan lagu Bibir Mesra Jiwa Parah memperdengarkan lagu Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa dan Senandung Teruna Merantau.

Jefrydin yang masih kekal gaya lenggok kepala sambil menyanyi, menutup persembahan dengan lagu-lagu Siti Haida dan Mas Mona.

Powered by Utusan Malaysia