Archive | Bintang Pop RSS feed for this section

‘Baru 3 Bulan Bercinta’

10 Jun

« sebelumselepas »
Foto

Muka depan B’Pop hari ini.

Foto

Hanez diulit nyanyian Awi sebelum tidur

TIADA lagi yang perlu disembunyikan mengenai status hubungan pelakon Hanez Suraya dengan penyanyi Awi Rafael. Hubungan mereka yang selama ini menjadi tanda tanya dan cuba disimpan kemas, akhirnya terbongkar jua. Malah, bukan lagi rahsia kerana kedua-duanya memilih untuk tidak berahsia dan terbuka.
Kenangan wakil B’POP bersama Hanez di Paris ketika dia berada di ibu negara Perancis itu pada pertengahan Mei hingga awal Jun lalu turut menyaksikan gelagatnya yang asyik bercinta dengan Awi. Hanez ke sana menjalani penggambaran drama 13 episod, Dalam Hati Ada Taman (DHAT) arahan Michael Ang.
Pantang ada masa terluang dan tidak terikat dengan penggambaran, telefon bimbit miliknya pasti digodek sambil mencari isyarat Wifi. Malah, saat isyarat Wifi mula diterima, bukan main senyum lebar lagi Hanez mengemaskini perkembangannya di Twitter dan memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram.

Ketika itu, Hanez, 27, pasti leka melayan dan berinteraksi dengan peminatnya, termasuk Awi di laman sosial berkenaan. Kedua-duanya juga seperti tidak mampu menahan rindu apabila terpaksa berjauhan hampir dua minggu lebih dengan saling berbalas ucapan rindu.

“Tiga bulan kami serius bercinta. Tapi masih terlalu awal untuk menjangka kemungkinan yang mendatang dalam hubungan kami. Sebelum ini, saya memilih untuk tidak bercakap lebih hinggalah Awi bersuara kepada rakan media mengenai status sebenar hubungan kami.

“Sebagai wanita, Hanez tidak mahu dilihat keterlaluan dalam hal ini. Tetapi apabila sudah terang lagi bersuluh, saya hanya mengikut rentak Awi. Hanez selesa dan bahagia mengenalinya. Bukan nak memuji lebih Awi tetapi apa yang boleh dikatakan dia memang berbeza dengan lelaki yang saya pernah kenali sebelum ini.

“Malah, sepanjang berada di Paris, Hanez dapat tahu memang dia tak sanggup berjauhan terlalu lama. Rengsa jadinya. Dek perbezaan zon masa pun, kami hampir bergaduh manja sebab tak dapat nak berhubungan menerusi laman maya. Masa Hanez online, Awi pula sebaliknya dan Awi hubungi Hanez masa nak tidur,” katanya yang tidak ketinggalan membelikan Awi kasut jenama Dolce & Gabbana dan baju H&M.

Mengimbas kembali memori perkenalan mereka, Hanez yang muncul menerusi drama Suri bermula 11 Jun ini menerusi slot Azalea di TV3 (setiap Isnin hingga Khamis, 4 petang) mula bersua dengan Awi ketika sama-sama menghadiri promosi di Jom Heboh TV3 tahun ini di Melaka.

“Ikutkan kami mula kenal atas paksi kerja. Secara kebetulan pula, Hanez cukup meminati lagu dendangannya, Bila Aku Jatuh Cinta. Jadi dalam hati terselit juga hasrat mahu bergambar dengannya ketika itu. Dipendekkan cerita, Awi ada menyuarakan hasrat untuk mencari model klip video untuk single terbarunya, Asalkan Aku OK.

“Sekali gus ia memberi bayangan untuk mempelawa Hanez sebagai model lagu berkenaan. Keesokan harinya, pengurusnya ada menghubungi Hanez untuk bertanya lanjut mengenai pelawaan itu. Seterusnya kami ada bertukar pin Blackberry Messengar (BBM).

“Lucunya selama menjadi kenalan di BBM, kami jarang bertegur. Hinggalah pada suatu hari selepas lebih sebulan pertemuan di Jom Heboh Melaka, Awi menghubungi Hanez untuk berbincang lanjut soal pelawaan menjadi model klip video lagunya,” kata Hanez sambil memberitahu dia sudah menjalani penggambaran klip video lagu itu di Gold Coast, Sepang pada 5 Jun lalu.

Akui Hanez lagi, hingga saat ini dia tidak menyangka paksi kawan atau profesional itu tiba-tiba bercambah menjadi istimewa. Ada waktu lapang, kedua-duanya seperti insan bercinta lain pasti akan menghabiskan masa bersama berdating.

“Keluarga masing-masing pun mengetahui hubungan kami. Saya sendiri pun sudah bertemu dengan ibunya. Dia melayan saya dengan penuh teliti daripada A hingga Z termasuklah dalam soal makan minum. Pendek kata, dia ‘memantau’ keselamatan diri saya.

“Dialah yang selalu bertanyakan perihal saya sudah makan atau belum. Dia sangat menitikberatkan soal kesihatan hingga sanggup membeli vitamin untuk saya. Malah, dia sanggup memastikan saya selamat sampai di rumah selepas selesai menjalani penggambaran dengan kemudahan alat telekomunikasi,” katanya yang sering menerima nota suara berupa lagu mahupun nyanyian langsung daripada Awi sebelum tidur.

Profil

Nama penuh: Hanez Suraya Abd Aziz
Usia: 27 tahun
Tarikh lahir: 22 Ogos 1985
Bilangan adik beradik: Sulung daripada tiga beradik
Asal: KL
Kerjaya: Pelakon sepenuh masa

Bintang Pop

Syamsul, Nabila Kunci Soal Hati

3 Jun

pix_gal0
Syamsul akui berdoa depan kaabah supaya segera dapat berumah tangga

USIA sudah menginjak 28 tahun, tetapi dua pelakon utama filem Jalan Kembali – Bohsia 2, Syamsul Yusof dan Nabila Huda Shuhaimi masih mengunci rapat mulut berkongsi soal hati dan perasaan.
Syamsul, sekian lama mengulit cinta bersama seorang pelajar berusia 20-an, tetapi masih terus merahsiakan cinta hati yang bertakhta di hatinya. Percintaan Syamsul dan gadis berasal dari Sabah itu sudah lebih dua tahun berlanjutan, tapi anak teruna Datuk Yusof Haslam itu masih belum bersedia beralih fasa baru dalam kehidupannya.
“Diam tak diam, usia sudah menginjak 28 tahun. Niat hati memang mahu berkahwin dan ke arah itu, tapi berilah saya masa lagi. Saya tahu ibu bapa, keluarga dan teman baik sudah muak mahu bertanya”. – Syamsul Yusof
Begitu juga anak kesayangan otai rock terkenal, Amy Search ini. Biarpun gosip percintaan Nabila dan Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, Johan As’ari atau Botak menjadi bualan hangat, apatah lagi mereka dilihat bercuti bersama keluarga ke Jepun, tidak lama dulu tapi mereka lebih selesa berkawan baik.

Kelihatan sedikit berisi, Syamsul akui: “Diam tak diam, usia sudah menginjak 28 tahun. Niat hati memang mahu berkahwin dan ke arah itu, tapi berilah saya masa lagi. Saya tahu ibu bapa, keluarga dan teman baik sudah muak mahu bertanya. Kadang kala apabila kerap bertanya, jadi merajuk pula apabila saya enggan bercerita. Tapi, apa yang dapat saya katakan, saya belum bersedia.

“Soal kewangan rasanya bukan lagi halangan untuk menanggung anak isteri, soalnya diri saya belum bersedia sepenuhnya. Saya masih menjalinkan hubungan baik dengan si dia, tapi setakat ini, kami masih mencari keserasian.

“Apa yang saya nampak adalah persediaan diri saya sendiri. Saya seorang yang sukar nak difahami dan kadang kala mood sering berubah-ubah. Saya perlu mencari seseorang yang betul-betul faham dan tahan dengan jiwa saya.

“Jujurnya, saya belum membawa si dia bertemu dengan ibu bapa saya. Bukan saya mahu mempermainkan hati dan perasaan si dia, tetapi tunggulah masa apabila saya benar-benar yakin.

“Bukan saya tidak berusaha. Ketika mengerjakan umrah tidak lama dulu, saya mohon dipercepatkan jodoh di depan Kaabah. Dulu, saya tidak pernah berdoa soal jodoh, tapi kali empat mengerjakan Umrah, soal jodoh yang saya mohon tapi nampaknya doa saya belum diperkenankan.

“Bukan saya tidak puas berseronok menyebabkan saya menangguh soal jodoh, tapi ia berbalik pada persiapan diri untuk melayari bahtera rumah tangga. Mungkin buat masa sekarang saya belum bersedia berkongsi hidup dengan sesiapa,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem ke tujuh arahannya, Jalan Kembali-Bohsia 2.

Filem Jalan Kembali – Bohsia 2, filem ke 28 terbitan Skop Productions Sdn Bhd akan menjengah pawagam pada Khamis, 7 Jun ini. Selain Syamsul, filem berkenaan turut dibintangi Nabila, Sofi Jikan, Salina Saibi, Zizan Razak dan Mak Jah.

Ketika kisah cinta tidak diperkatakan lagi, timbul pula gosip baru apabila Syamsul dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon dan pengarah baru, Nurul Ain Nordin tidak lama dulu. Beberapa keping gambar mereka berdua-duaan dan sedang berbincang tersebar dalam blog hiburan tidak lama dulu.

Hanya tersenyum sinis, Syamsul akui: “Gosip berkenaan tidak masuk akal. Saya menganggap si penghantar gambar dan emel layang adalah perbuatan khianat yang mahu mencemarkan nama baik saya. Kalau dilihat pada gambar, tidak menunjukkan apa-apa. Saya bukan berkelakuan buruk dengan Nurul Ain.

“Tapi apabila membaca emel layang yang dihantar pada semua blogger, saya anggap ia perbuatan khianat dan fitnah. Saya mengenali Nurul Ain sudah lama. Saya berlakon di bawah arahan Nurul Ain menerusi filem Oh Mak Kau.

“Saya bertemu Nurul Ain ketika berlakon dalam telefilem Maisarah kira-kira tiga, empat tahun lalu. Dia adalah pengurus produksi bagi telefilem itu. Nurul Aini juga pernah menjalani praktikal di Skop Productions, jadi dia adalah kawan lama saya.

“Saya terima tawarannya berlakon dalam filem Oh Mak Kau! kerana saya mahu memberi sokongan kepada pengarah muda sepertinya. Tapi, saya pelik emel layang itu menuduh saya macam-macam, seperti tidak masuk akal. Saya tidak tahu kenapa si penghantar emel layang marah sangat pada Nurul Aini, tapi saya menjadi mangsa,” katanya.

Mengulas filem Jalan Kembali – Bohsia 2, Syamsul berkata ia banyak menyuntik unsur kerohanian dan komedi dalam filem bergenre aksi.

“Saya risau, lambakan filem Melayu di pawagam membuatkan saya lebih teliti dan tidak ambil mudah dalam menghasilkan filem Jalan Kembali – Bohsia 2.

“Filem mat rempit juga sudah banyak, jadi saya perlu memikirkan sesuatu yang berbeza, jadi saya suntik elemen kerohanian. Tidak hanya kisah bohsia tetapi filem ini mampu menyampaikan mesej yang mendalam.

“Alhamdullilah, sehingga kini, saya masih belum ketandusan idea, malah masih banyak lagi idea yang belum dikeluarkan. Saya, seorang tidak berhenti bertanya dan meminta pandangan soal filem. Saya suka berkongsi idea dengan rakan artis dan teman baik supaya apa yang dihidangkan tidak membosankan,” katanya.

Nabila malu bawa watak bohsia

BAGI Nabila Huda, dia mengakui lakonannya dalam Jalan Kembali: Bohsia 2 sebagai Tasha agak keterlaluan seperti yang diperkatakan, tetapi itulah lagak seorang bohsia.

“Pada saya, bohsia bergaya keterlaluan, tingkah laku, bercakap kasar dan menjerit-jerit. Itulah yang cuba saya suntik dalam watak Tasha. Sebenarnya, saya tercabar membawa watak Tasha. Bayangkan dua tahun watak ini ditinggalkan dalam Bohsia – Jangan Pilih Jalan Hitam, saya nak kena ingat semula karakter yang dilakonkan.

“Saya kena buat homework, tonton semula filem Bohsia – Jangan Pilih Jalan Hitam. Watak itu sudah ditinggalkan jauh daripada diri saya. Sebenarnya, saya tiada rujukan sesiapa pun dalam filem ini, saya hanya lihat persekitaran. Lagi satu, saya suka imaginasi, jadi imaginasi saya banyak membantu untuk menghidupkan watak Tasha.

“Saya akui watak bohsia tidak pernah dilakonkan dalam mana-mana drama atau filem sebelum ini. Hanya dalam filem Bohsia – Jangan Pilih Jalan Hitam dan Jalan Kembali – Bohsia 2 saja saya berani membawa karakter begini.

“Sebenarnya saya malu nak bawa watak begini, ia tidak lagi sesuai dengan usia dan status saya sebagai ibu, tapi saya cabar diri untuk berlakon sekali lagi,” kata ibu kepada Keisha Laila ini.

Soal cinta, Nabila sudah bosan mengulasnya. Malah, dia tetap berpendirian, Johan adalah teman baik, bukan kekasih hati biarpun ramai yang tersilap perhitungan menganggap mereka bercinta.

“Buat apa saya bercakap bohong, lambat laun peminat dan wartawan akan tahu juga. Saya bukannya jenis hipokrit. Kalau bercinta, saya akan cakap bercinta, kalau tidak, macam mana mahu mengakuinya? Saya ingin tegaskan buat kesekian kalinya, saya dan Johan hanya kawan baik.

“Walaupun kami rapat tapi tiada membabitkan soal perasaan. Saya rasa biarlah kami kekal sebagai kawan baik, itu lebih bermakna dan berkekalan. Jika terbit perasaan, apabila bergaduh cepatlah putus kawan. Saya akui gembira hidup sendiri bersama anak, Keisha. Bagi saya, cinta memang indah, tapi ia juga menyusahkan. Saya bukannya serik tetapi belum terfikir ke arah membina rumah tangga sekali lagi.

“Bohonglah kalau tak teringin mahu bahagia seperti pasangan suami isteri lain tetapi saya percaya pada jodoh. Saya tidak terlalu mengharap, kalau ada jodoh, saya terima dengan hati terbuka. Lagipun, saya tidak terlalu mengharap pada lelaki. Sejak dulu, saya biasa hidup berdikari dan mencari rezeki dengan titik peluh sendiri,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Udin Glamor Balik Kampung.

Info Syamsul
NAMA PENUH: Mohd Shamsul Yusof Haslam
USIA: 28 Tahun
TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
+PENDIDIKAN: Diploma Penyiaran dari Akademi TV3
DRAMA ARAHAN: Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Air Mata Maria
DRAMA LAKONAN: Farah Syakirah, Maisarah, Ameera & Tanah Kubur
FILEM: Evolusi KL Drift 1 & 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Jalan Kembali – Bohsia 2, KL Gangster 2 & Oh Mak Kau
PENCAPAIAN: Anugerah Khas Juri untuk filem keberkesanan aksi lasak menerusi Evolusi KL Drift pada Festivel Filem Malaysia ke-21 (FFM21), Pengarah Terbaik FFM23 melalui Evolusi KL Drift 2 & Anugerah Yasmin Ahmad (Anugerah Skrin 2011).

Info Nabila
NAMA: Nabila Huda Suhaimi
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
USIA: 28 Tahun
ANAK: Keisha Laila
ANTARA DRAMA: Impak Maksima, Di Luar Itu Bukan Syurga, Golliwog, Diari Dewi, Serkam Cinta, Kerana Budi, Cinta Untuk Ain, Sutra Maya, Sari Maya, Cinta Dia, Tanah Kubur, Deru Ombak, Sijundai, Laila Manja
FILEM: Rock, Bohsia, Akhirat, Jalan Kembali – Bohsia 2
TEATER: Natrah
LAGU: X-Ray

Bintang Pop

‘Usah Ulang Lagi’

27 May

Muka depan B'Pop hari ini
Muka depan B’Pop hari ini
Adira rayu diberi peluang untuk terus buktikan bakat seni, bukan lagi isu berkaitan pengkid

SELEPAS Marsha Milan Londoh yang dianggap bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) paling kerap dihimpit kontroversi, Siti Adira Suhaimi atau Adira, 21, juga tidak pernah sunyi daripada dihujani cerita panas apabila sisi peribadinya sering menjadi paparan media massa. Adira yang menganggap dirinya sudah puas ‘ditelanjangi’, tidak mahu lagi mengingati kisah hitam yang pernah menyelubungi dirinya dan berkali-kali memohon supaya penulis tidak menceritakan kembali tuduhan atau fitnah yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.
Pun begitu, dalam berhati-hati dia mengorak langkah supaya isu yang mengaibkan itu tidak diperkatakan lagi, beliau tidak mampu menolak tawaran membintangi drama pertamanya, Tanah Kubur kini memasuki musim keempat, arahan sutradara terkenal, Rashid Sibir yang menuntutnya melakonkan watak sebagai gadis pengkid bernama Hashima atau nama ‘lelakinya’, Shim.
Secara tidak langsung, pasti orang ramai akan mengaitkan Adira dengan kisah silamnya, lebih-lebih lagi apabila dia dikatakan mampu membawa watak Shim dengan amat berkesan. Bagi Adira, apa yang dilakonkannya menerusi drama berkenaan, tidak ada kena mengena dengan gosip liar yang pernah menerpa dirinya sebelum ini apabila dia sekadar memenuhi tuntutan skrip dan memberikan apa diingini pengarah.

“Tanah Kubur adalah percubaan pertama saya untuk bergelar pelakon dan peluang yang datang itu tidak harus dipersia-siakan. Saya sudah memberikan apa yang termampu dan dalam masa sama, tidak mempedulikan apa orang nak cakap. Secara peribadi, saya tidak mahu lagi mengingati kontroversi berkenaan kerana ia amat mengaibkan. Justeru, saya mohon pihak wartawan tidak memperkatakannya lagi kerana ia sudah lama berlalu,” pinta Adira berkali-kali.

Tambah Adira, dia juga manusia biasa, ada hati dan perasaan sama seperti orang lain.

“Isu yang pernah mengaibkan diri saya itu, janganlah diulang siar. Saya sudah cukup tertekan. Berilah saya ruang untuk ‘bernafas’ seperti orang lain,” pohon Adira dalam nada perlahan, sekali gus mengharapkan peminat tidak memberikannya perspektif negatif secara berterusan.

Namun, cerita sensasi yang pernah menghambat dirinya itu tidak selari dengan pencapaian seni atau dalam erti kata lain, kontroversi tidak membantu melonjakkan namanya walaupun hampir tiga tahun bergelar anak seni. Sehinggalah muncul filem yang menempa fenomena, Ombak Rindu, nama Adira meniti di bibir peminat apabila gandingan vokalnya bersama Hafiz melantunkan Ombak Rindu berjaya menyentap perasaan orang ramai.

Bagaimanapun, kemunculan single terbarunya, Sakura dilihat belum mampu melonjakkan nama Adira secara berterusan. Pembabitannya menerusi Mania, program realiti yang mencari superstar berdasarkan undian SMS, juga membantutkan perjalanan Adira apabila dia terkeluar di peringkat separuh akhir, sekali gus memberi laluan kepada Hafiz untuk bergelar juara Mania pertama.

Sekalipun didakwa tidak menyerlah seperti rakan lain – Hafiz, Stacy mahupun Hazama, Adira nampaknya tidak mudah menyerah kalah apabila dia turut menjadi pilihan untuk mendendangkan lagu runut bunyi filem terbaru, Lagenda Budak Setan 3 (LBS3) dan menyanyikan semula lagu Sampaikanlah Salam yang pernah dipopularkan Alleycats untuk sebuah telemovie.

“Saya perlu melipat gandakan usaha dalam menghadapi persaingan kerana setiap hari ada saja bakat baru yang muncul. Andai terleka, kita akan tenggelam. Paling penting perlu konsisten apabila berkarya. Produk berkualiti daripada seseorang artis itu boleh diibaratkan seperti pasport yang mampu memacu dirinya untuk terus berdaya saing dan berada di kedudukan lebih selesa,” kata Adira yang ingin membuktikan bintang AF seperti dirinya bukan artis mi segera!

INFO ADIRA

NAMA PENUH: Siti Adira Suhaimi

TARIKH LAHIR: 19 September 1991

ASAL: Kampung Pinausok, Kundasang, Ranau, Sabah

KELUARGA: Bongsu daripada lapan beradik

KETURUNAN: Dusun

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan, Kundasang

PENCAPAIAN: Naib juara, Akademi Fantasia 8 (AF8) dan Mania, terkeluar pada peringkat separuh akhir

SINGLE: Ku Ada Kamu, Ilusi, Ombak Rindu, Lara Lagi dan Sakura

DRAMA: Tanah Kubur (musim keempat)

Bintang Pop

Scha & Awal Melayar Bahtera

6 May

pix_gal0
ALHAMDULILAH. Apa yang dirancang sejak berbulan lalu dalam memastikan kelancaran majlis perkahwinan mereka hampir ke penghujungnya. Selebihnya kini terletak sepenuhnya kepada Awal Ashaari, 31, dan isterinya, Scha Alyahya, 29, dalam merencana serta mencorak bahtera perkahwinan yang baru dibina.

Tiga tahun menyulam cinta dan asmara, Awal sah bergelar suami kepada Scha Alyahya pada malam 4 Mei lalu pada majlis ijabkabul di Hotel Pullman, Putrajaya. Pada malam itu juga turut berlangsung majlis berinai di lokasi sama. Malam ini pula berlangsung majlis resepsi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Scha dan Awal memaklumkan kepada B’POP pada Rabu lalu, mereka baru selesai melunaskan proses penyediaan visa untuk terbang ke New York bagi mengecapi detik bulan madu selama sembilan hari. Mereka ke sana bermula 10 hingga 18 Mei ini.
Berkongsi cerita pasangan ini, Scha dan Awal turut sudi berkongsi gambar praperkahwinan mereka yang dirakam 24 April lalu hasil sentuhan syarikat fotografi, Candidsyndrome.com yang mendapat sentuhan konsep jurugambar terkenal, Saiful Nang berlatar belakangkan lokasi stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Memilih busana koleksi peribadi masing-masing, Awal segak digambarkan sebagai seorang askar yang pergi berjuang, manakala Scha cantik disolek Tiar Zainal sebagai gadis kampung yang ditinggalkan. Tak kurang juga yang melihat gaya kedua-duanya seperti dalam filem Pearl Harbour dan Awan Dania yang cukup sinonim dengan Scha.

Scha yang sedang membiasakan diri untuk memikul tanggung jawab sebagai isteri tidak melihat status barunya itu sebagai satu tekanan, sebaliknya satu fasa kehidupan yang akan dilalui mana-mana golongan sepertinya.

“Saya sudah suarakan kepada Awal, kami sama-sama akan melengkapi diri masing-masing. Jika ada yang terkurang daripada saya dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri, saya harap Awal akan terbuka dan menegur. Cuma, saya tidak akan terlalu drastik merubah tanggung jawab baru ini. Lebih afdal jika saya lakukan selangkah demi selangkah. Berdasarkan pengamatan saya terhadap kawan yang sudah berkahwin, ada yang berubah secara mengejut. ‘Sakit’ jadinya kalau tak dapat nak menguruskan rumah tangga yang baru dibina.

“Oleh itu, saya harus bersedia dengan kuat daripada segi fizikal dan mental. Tetapi sebagai manusia biasa, sekuat mana saya cuba bertahan, tak mustahil saya akan melatah. Tapi, saya percaya Awal seorang yang memahami dan dia dapat membantu saya menangani kehidupan berdua ini dengan sebaik mungkin. Insya-Allah,” kata Scha membuka mukadimah bicaranya.

Memilih teman hidup dalam jalur perjuangan sama, Scha menyifatkan dia dan suami tercinta lebih memahami rentak dan perjalanan dunia anak seni. Maka, Scha tidak melihat fasa baru hidupnya sebagai penghalang untuknya terus berkarya dan berkongsi bakat seni yang sudah dimulakan selama ini.

“Cuma sebelum ini, Awal pernah mengeluarkan kenyataan saya perlu pulang ke rumah sebelum jam 12 tengah malam dan kesannya ramai rakan media yang melihat ia sebagai sesuatu yang serius. Hakikatnya, Awal hanya berseloroh dan tugas dia untuk memperbetulkan balik kenyataan itu kepada teman media.

“Tiada bezanya pun seperti kehidupan solo, cuma bezanya kami kena tahu tanggung jawab masing-masing. Tanggung jawab jadi lebih berat. Sebagai isteri, saya juga perlu menjaga adab dan nama baik rumah tangga kami. Saya kena sentiasa peka dan sedar ruang. Sebaiknya, saya tak boleh tunggu sampai kena tegur,” kata Scha yang amat berharap impian untuk menjejaki kota New York menjadi kenyataan dan lebih manis bersama arjuna hati kesayangannya.

Tambah Scha lagi, selain New York, dia juga ‘mengidam’ untuk sampai ke Monaco. Akui Scha, mungkin hasrat ke sana akan diusahakan pada suatu masa yang lain dan diikuti menjelajah ke negara Eropah. Pada 30 Mei ini juga Scha akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-29.

Diajukan soalan bonus mengenai apa saja yang terbuku di hatinya mengenai nekad dan kehendak hatinya memilih Awal sebagai suami. Adat bercinta, hubungan Scha dan Awal juga dicemburui dan dicerca ramai. Akui Scha, tiada apa lagi yang terbuku. Sebaiknya bermula saat ini, Scha harus memikirkan tanggung jawabnya sebagai isteri tanpa mengambil kira apa saja pandangan negatif orang.

“Saya hanya mampu berharap perkahwinan dibina ini akan kekal sampai bila-bila. Tidak kiralah yang merestui atau tidak perkahwinan kami ini, saya harap mereka akan bergembira dengan kegembiraan yang kami sedang kecapi. Amin,” kata Scha yang akan mula sibuk dengan penggambaran filem terbaru berjudul Dampak sekitar bulan depan.

Perbaiki diri selepas bergelar suami

SEMENTARA itu , bagi Awal Ashaari, dia melihat gelaran suami yang baru diterimanya itu sebagai medan transformasi diri terbaik buatnya. Sama ada bersedia atau tidak memikul tanggung jawab ini, Awal mencuba sedaya upaya untuk membiasakan diri.

“Dulu sebelum kahwin, saya umpamakan diri ini macam remaja riang ria. Jadi bila nak kahwin, Scha lebih banyak menegur saya menjadi lebih matang. Nak kata saya bersedia 100 peratus untuk memikul tanggung jawab baru ini tidaklah juga. Ia takkan terjadi dalam tempoh yang cepat.

“Saya akan memperbaiki dan bermuhasabah diri. Berbanding saya, Scha lebih cepat matang daripada saya. Selalunya juga golongan wanita lebih cepat matang daripada lelaki. Daripada awal perkenalan kami lagi, sudah terserlah sikap kematangannya dan itu juga antara yang menambat hati saya.

“Sedangkan saya pula jenis bersikap asal boleh. Malah, selama tempoh kami bercinta, saya banyak belajar pelbagai perkara daripadanya. Antaranya semua benda kena rancang supaya lebih teratur, selain mempunyai sebab musabab tersendiri. Setiap persoalan ditanya Scha, pasti ada jawapan kenapa begitu jadinya,” katanya jejaka kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Ditanya mengenai gelagat dan sikap buah hatinya itu beberapa minggu sebelum hari bersejarah mereka berlangsung, Awal memberitahu, dia dapat melihat Scha dalam teruja turut bercampur rasa berdebar. Sebagai lelaki yang sudah lama kenal cinta hatinya, Awal sudah dapat mengagak.

“Dia memang jenis cool dan tak tunjuk dia sebenarnya berdebar. Hakikatnya dia adalah sebaliknya. Biasalah darah manis dan soal kahwin juga bukan benda main. Dia juga agak cepat terusik hati dengan percakapan saya dalam tempoh kami menghitung hari bahagia,” katanya yang mula memperlahankan kerjaya seni sejak Januari lalu demi memberi tumpuan kepada perancangan hari perkahwinan mereka.

Kata Awal, dalam tempoh berehat, dia sebenarnya masih menerima tawaran kerja secara kecil-kecilan seperti mengacara termasuk memberikan komitmen sebagai pengacara baru Melodi TV3 di samping Zizan. Bagaimanapun, sepanjang berbulan madu, ketiadaannya nanti bakal digantikan dengan Sarimah Ibrahim.

“Sehari selepas kami dijadualkan pulang bermadu, saya sudah mula kembali bekerja. Lebih manis, kerja yang saya akan buat itu menjadi yang pertama dan merealisasikan impian selama ini terbuku. Saya akan muncul dengan program bual bicara sulung di TV9. Program itu dinamakan Awal Lagi dan akan bersiaran setiap malam Sabtu,” kata Awal bersyukur.

Bintang Pop

Kecewa Cinta ‘Cover Line’

29 Apr

« sebelumselepas »
Foto

Foto

Fouziah Gous nafi bakal bertunang atau berkahwin pada Jun ini, tetapi akui sedang mengenali hati budi seseorang

PUAS memujuk Fouziah Gous untuk bersemuka dengan B’POP gara-gara namanya yang tiba-tiba menjadi perhatian, baru-baru ini, berikutan bertebaran pelbagai versi cerita mengaitkannya dengan spekulasi kembali rapat dengan seorang ahli korporat dan kononnya bakal berkahwin pada Jun ini.
Lebih memanaskan suhu industri hiburan tanah air apabila nama pelakon jelita yang bakal genap usia 30 tahun pada 11 Disember ini, apabila namanya turut dikatakan bakal mengikuti jejak deretan artis wanita seperti Lisa Surihani, Fasha Sandha, Scha Alyahya, Irma Hasmie dan Liyana Jasmay dalam merencana masa depan kehidupan berumah tangga.
Kalau betul sekalipun saya nak kahwin buat apalah saya nak sorok benda yang baik. Andai kata sudah sampai jodoh saya, saya menerimanya dengan hati terbuka. – Fouziah Gous
Fouziah dikatakan bakal mengikat tali pertunangan Jun ini dengan lelaki yang masih samar identitinya. Tak kurang juga ada yang menebak lelaki bertuah itu ialah ahli korporat. Bekas pramugari itu bagaimanapun menafikan perihal berkenaan kerana secara logiknya dia sibuk dan terikat dengan komitmen seni, jadi belum ada perancangan ke arah itu dalam masa terdekat.

Sejak sekarang hingga hujung Jun ini, Fouziah menjelaskan, dia sibuk melunaskan baki penggambaran drama yang mencatat rating membanggakan di TV1 terbitan Suhan Movies bagi musim kedua. Akur dengan pujukan B’POP, satu pertemuan berlangsung di sebuah restoran Jepun di KLCC, Selasa lalu.

Jika mengikut kata hati Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007 itu, dia tidak mahu lagi bersuara sekali pun pilihannya untuk bersuara atau tidak seakan menjerat dirinya dan hal ini akan berterusan menjadi tanda tanya. Terpancar kekecewaan pada wajahnya kerana berasakan dirinya seperti bola yang ditendang sesuka hati.

“Saya percaya diri ini di tempat betul tetapi ada kalanya saya tewas di atas paksi menghormati kerjaya wartawan, contohnya. Cuma sebagai manusia biasa, saya sesekali terasa hati apabila yang disampaikan itu berbeza dengan apa yang dituturkan. Malah, lebih sebak apabila orang di luar sana yang lebih arif menilik dan menentukan masa depan. Sedangkan saya sendiri masih tercari-cari dan belum pasti dengan kesudahan sisi peribadi termasuk masa depan. Berilah saya peluang berkawan dengan sesiapapun cuma jangan membuat andaian sesuka hati.

“Mungkin kisah nak bertunang atau kahwin itu lebih afdal diajukan kepada tukang tilik dan penulis gosip berkenaan kerana mereka yang nampaknya lebih tahu. Saya sedar sebagai figura awam, ramai yang nak tahu kisah peribadi tetapi sebaiknya biarlah berasas,” katanya sambil mengakui dirinya sendiri tidak mempunyai tarikh tertentu untuk bertunang mahupun berkahwin.

Dek desas-desus bakal bertunang dan melangsungkan perkahwinan dapa Jun ini, Fouziah akui dia dihujani banyak pertanyaan di kalangan keluarga, sanak saudara dan teman. Tak kurang juga yang mengucapkan tahniah, selain ada yang terasa hati kerana menjadi orang terakhir dikhabarkan cerita pertunangan yang nyata tidak benar itu.

Fouziah juga mengakui amat kecewa kerana kisah ‘usikan’ cinta ‘cover line’ membabitkannya dengan Iqram Dinzly masih terus dikaitkan sebagai alasan mengaburi cintanya dengan orang lain. Fitnah sebegini menyakiti hatinya dan Iqram.

“Kalau betul sekalipun saya nak kahwin buat apalah saya nak sorok benda yang baik. Andai kata sudah sampai jodoh saya, saya menerimanya dengan hati terbuka, tapi jika sebaliknya janganlah memandai-mandai mengarut serta menebak itu dan ini. Lebih baik doakan saya ke arah yang baik itu lebih afdal.

“Begitu juga hal cinta ‘cover line’ dengan Iqram, semakin hari menjadi keterlaluan dan ramai yang tak menyedarinya kesannya kepada keluarga kami. Bayangkan, hingga saat saya berkawan dengan teman baru pun, kisah cinta ‘cover line’ ini tetap menjadi modal orang di luar sana untuk berkata-kata.

“Sejujurnya, saya tidak mahu ia menjadi badi yang boleh merosakkan persahabatan dan ukhuwah saya dengan Iqram. Kami sudah seperti adik beradik. Susah senang saya banyak dikongsi dengannya. Malah, keluarga kami pun tahu keakraban kami kerana kami pernah ke rumah keluarga masing-masing,” katanya yang selepas muncul meneusi filem Rasuk, Fouziah juga sedang menunggu tayangan filem Hantu Bukit Cina arahan TS Jeffry. Dalam filem itu dia bergandingan dengan Gambit Saifullah.

Selama lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, selain kerjaya lakonan, kisah peribadinya sering menjadi bualan. Selain tidak habis-habis dikaitkan dengan ahli korporat berstatus duda itu, Fouziah sebenarnya pernah melalui fasa percintaan dengan orang biasa namun kecundang di tengah jalan.

Ketika ini difahamkan, Fouziah sedang dalam peringkat untuk kembali bercinta dan mengenali hati budi seseorang. Bagaimanapun, identiti lelaki berkenaan kekal rahsia dan sekali lagi ahli korporat berkenaan dikaitkan menjadi rapat dengannya pada saat ini.

“Tanyalah wanita mana pun, mereka mesti nak kahwin, mempunyai keluarga dan anak. Saya juga begitu. Hal sama sebelum ke fasa kahwin, kita harus melalui fasa bercinta. Cuma saat ini, saya tak selesa mendedahkan siapa dia kerana pada akhirnya belum tentu dia menjadi milik saya.

“Yang pasti, setiap lelaki yang pernah saya kenali akan diperkenalkan kepada keluarga. Memang saya agak tipikal tapi begitulah cara saya dibesarkan keluarga dengan penuh kasih sayang dan adab. Bererti dalam soal pilihan hati, keluarga akan tahu siapa gerangannya. Tiada rahsia.

“Saya bukan wanita yang keluar dengan ramai lelaki pada satu masa. Saya mahu hubungan yang boleh berakhir dengan cara yang sebaiknya. Begitu juga dalam hal saya terus dikaitkan dengan ahli korporat itu, saya hanya mampu berdiam diri tetapi tidak pernah menyembunyikan fakta jika pernah keluar dengannya di khalayak,” katanya yang pernah menemani ahli korporat berkenaan menonton pementasan teater, Lawak Ke, Der? dan konsert Avril Lavigne.

Kesal dilabel anak emas stesen TV

PADA pertemuan malam itu juga tidak semena-mena membuatkan air mata Fouziah Gous bergenang. Tangisan itu mempunyai hubung kait dengan kisah yang selama ini mengaitkan dirinya dengan ahli korporat, sekali gus dikatakan menjadi anak emas sebuah stesen TV. Selepas hampir tiga tahun ahli korporat itu meninggalkan stesen TV berkenaan, persepsi dan mentaliti kononnya dia masih dilayan seperti anak emas nyata berbekas di hati Fouziah. Difahamkan juga gara-gara cerita itu, Fouziah sebenarnya tidak disukai beberapa pihak lain di stesen terbabit.

“Hingga saat ini, saya tertanya dan terfikir sendiri, kenapa saya harus diperlakukan hingga ke tahap ini. Tetapi, saya bersyukur sepanjang bergelar anak seni, rezeki berlakon tidak putus sekalipun keluar cerita kononnya ada stesen TV seperti menyenaraihitamkan nama saya.

“Tak kurang juga ada teman artis menganggap saya seperti mempunyai lesen besar hingga menjadikan saya sebagai ruang untuk melobi diri supaya dapat berlakon dengan stesen TV itu. Hakikatnya saya tidak seperti dilabel itu. Cuba senaraikan kembali berapa banyak sangat drama yang saya berlakon dengan stesen TV itu.

“Hakikatnya, memang tak banyak pun. Jumlah drama yang saya jadi watak utama pun boleh dikira dengan jari. Tapi lucu juga jadinya jika watak tempelan dan kecil-kecilan yang saya lakonkan menjadi kayu pengukur mengatakan saya anak emas. Tapi, inilah yang saya telan selama ini dan jarang luahkan di mana-mana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fouziah turut aktif menganjurkan GlamBazaar yang berpaksikan amal membantu mereka yang kurang bernasib baik. Menariknya, Fouziah berjaya menghimpunkan pelbagai koleksi barangan peribadi milik artis untuk dijual kepada orang awam dan peminat. Setakat ini dua siri GlamBazaar dianjurkan, bermula di Adik Villa, Jalan Off Puncak Setiawangsa, Taman Setiawangsa dan medan selera popular, Rasta, Taman Tun Dr Ismail. Antara artis yang turut menyumbangkan barangan ialah Datuk Siti Nurhaliza dan Shaheizy Sam.

“Idea GlamBazaar ini tercetus sejak Februari 2012. Semuanya bermula apabila saya sendiri memikirkan apa boleh dilakukan dengan baju milik sendiri yang masih baru, hanya pernah dipakai sekali saja dan penuh dalam almari. Pada mulanya saya dibantu kawan, Leeya dan Norhazwani (biras). Seterusnya kami dibantu beberapa orang lagi di bawah pasukan ini. Alhamdulillah, untuk siri pertama, kami ambil masa 10 hari saja untuk melaksanakannya dan ia mendapat sambutan baik.

“Sebahagian 30 peratus keuntungan jualan kami ambil daripada artis terbabit kerana ia mengambil kira kos menguruskan gerai seperti membeli rak penyangkut. Keuntungan selebihnya diserahkan kepada artis dan terpulang kepada mereka untuk membenarkan ia disalurkan kepada pertubuhan tertentu atau diuruskan sendiri artis,” kata Fouziah yang berkemungkinan besar merancang GlamBazaar Raya untuk siri ketiga nanti.

Busana: Anizam Yusof (anizamyusof@gmail.com atau anizamyusoftherhucouture.blogspot.com)
Solekan: Fouziah Gous, (Tiar Zainal, http://facebook.com/tiarzainal)

Profil Faouziah Gous
NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982 ASAL: Kuala Lumpur
FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa Skrip 7707, Maut, Dua Hati Satu Jiwa, Rasuk, Hantu Bukit Cina DRAMA: Enigma, Demi, Sangga Saadah, Qa’naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat dan SpaQ 2
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) ASK2007

Bintang Pop

Ada Prinsip

22 Apr

« sebelumselepas »
Foto

Foto

Foto

Yuna, Aizat susun langkah baru untuk cipta nama lebih besar dalam dunia muzik

INSAN seni sejati tidak akan pernah kenal erti kepuasan, malah setiap kejayaan yang diperoleh menjadi pemacu untuk memberikan sesuatu yang lebih baik tanpa pernah takut berdepan kegagalan.
Perjalanan singkat Yuna dan Aizat menghadiahkan pelbagai kejayaan yang memperlihatkan kredibiliti mereka sebagai pelapis legasi seni yang dihormati.
Segelintir masyarakat datang dan berkata kepada saya impian untuk ke luar negara itu sekadar angan-angan serta patut dilupakan. Saya bertekad untuk membuktikan mereka salah. – Yuna
Memulakan langkah berbeza namun membawa misi serupa, Yuna dan Aizat kental menjunjung prinsip diri dalam menyusun langkah ke destinasi impian.
Yunalis Zarai, 26, mencuri perhatian khalayak apabila membawa revolusi kepada wanita bertudung dengan menerjah pasaran komersial tanpa disokong label hebat.

Dan Sebenarnya memperkenalkan nama Yuna kepada peminat tempatan tanpa disangka membawa percaturan lebih besar apabila dilamar label antarabangsa, The Fader Label untuk merealisasikan impiannya mengumpul pengaruh di negara.

Akur pengalaman menjual bakat di negara sendiri jauh lebih mencabar, apatah lagi peminat di sini seolah dididik untuk menilai sisi peribadi berbanding karya yang dipersembahkan, Yuna mencabar diri meneroka pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Ketika mula bertapak di negara sendiri, segelintir masyarakat datang dan berkata kepada saya impian untuk ke luar negara itu sekadar angan-angan serta patut dilupakan.

“Saya bertekad untuk membuktikan mereka salah. Saya jadikan kata-kata itu sebagai azimat untuk terus maju dan Alhamdulillah, perlahan-lahan saya membuktikan saya boleh berjaya di sana,” katanya dalam temubual menerusi e-mel kepada B’POP.

Dalam persiapan untuk melancarkan album perdananya di AS pada 24 April ini, Yuna bersyukur kerana perjuangan muziknya diterima baik oleh pendengar di sana.
Meskipun perjalanannya dilihat sempurna, Yuna bagaimanapun enggan mendabik dada malah menyerahkan kepada pendengar untuk menilai setiap hasil kerjanya.

“Terpulang jika kehadiran saya dilihat memberi persepsi baru kepada penggemar muzik di sana. Itu penilaian masing-masing. Apa yang utama saya berasa terlalu bertuah kerana orang luar menerima karya saya.

“Selama berada di sana, saya tidak pernah berdepan masalah besar. Budaya AS dan Timur tidak sama namun mereka menghormati saya malah menerima seadanya tanpa bias dengan imej yang saya bawakan,” katanya.

Dua tahun membina tapak di AS, Yuna mampu tersenyum kerana impian memiliki album penuh terlaksana malah berpeluang menjayakan persembahan dalam program bual bicara popular, Conan O’Brien selain bakal beraksi di festival muzik tahunan, Lollapalooza pada Ogos depan.

Membawa imej wanita Muslim dalam industri yang terbuka, Yuna tidak berasakan ia sebagai satu cabaran besar. Apa yang utama katanya, bagaimana dia membawa diri dan lebih penting menjadi diri sendiri.

“Mereka menerima semua agama sama rata jadi saya tidak menganggap ia sebagai suatu masalah besar. Tidak dinafikan pernah timbul perasaan gusar tetapi mereka menerima penampilan saya seadanya.

“Saya akui pada permulaan, saya juga tidak yakin tetapi dengan sokongan keluarga dan pengurusan masalah itu dapat saya atasi,” katanya.

Dua kali mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk edisi 2010 dan 2011, Yuna dilihat sebagai pencetus kepada anak seni tempatan yang berusaha menggapai cita-cita yang sebelum ini dilihat sekadar angan-angan.

Bagaimanapun katanya, dia enggan meletak harapan terlalu tinggi kerana perlu realistik dengan perjalanan panjang yang masih belum ditempuhinya.
“Sulit untuk saya letakkan di mana posisi saya nanti. Semuanya bergantung kepada perkembangan karier di sini. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan baik seperti dirancang.

“Saya akan cuba mencari sebanyak mungkin pengalaman, bukan untuk peribadi tetapi juga dikongsi bersama warga seni di tanah air.

“Setiap kali persembahan, saya tidak pernah lupa memperkenalkan dari mana saya berasal malah perkataan Kuala Lumpur, Malaysia sentiasa basah di bibir saya.
“Barangkali ia cuma satu usaha kecil namun Insya-Allah, pada masa akan datang saya berharap dapat melangkah lebih jauh,” katanya.

Berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya meskipun sering berjauhan, Yuna berkata, dia terkejut apabila kembali diberi kepercayaan untuk memegang trofi Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 2011.

“Ia sesuatu yang di luar jangkaan, membuatkan saya terharu kerana peminat tidak pernah melupakan saya. Sokongan mereka membakar semangat untuk terus berkarya dan berkongsi bakat bersama mereka.

“Terima kasih kerana terus menjadi kekuatan dan tulang belakang yang menyokong perjalanan karier saya yang masih pada tahap permulaan,” katanya.

Dimensi berbeza Aizat bersama Go Gerila!

MEMBINA tapak yang kukuh sebagai penyanyi solo tidak sentiasa memberikan keselesaan kepada Aizat untuk terus berada dalam zon yang sama.

Barangkali permulaan langkah Aizat juga tidak diwarnai dengan sesuatu yang manis tetapi kesungguhan pemilik nama lengkap, Muhammad Aizat Amdan ini meletakkannya dalam kelompok istimewa di hati peminat.

Pemilik empayar Kasi Gegar Entertainment ini sentiasa mencabar diri untuk memberikan sesuatu yang berbeza dalam setiap karya seninya.

Atas alasan itu, biarpun berpeluang mencari ruang untuk berkarya sendiri namun Aizat memilih menyatukan ideologi muziknya bersama empat pemuzik lain membentuk Go Gerila!.

Diasaskan untuk bertapak dalam program realiti, Versus siaran TV9 , Aizat melihat peluang itu sebagai ruang bereksperimen selain mencabar kreativitinya mencuba genre berbeza.

Go Gerila! yang turut disertai Amir Jahari katanya, bakal memberikan perspektif baru dalam karyanya selain melahirkan sebuah persembahan yang dinamik.

“Kalau atau menang bukan perkara utama kerana saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Saya melihat pertandingan ini dari sudut kreativiti dan keistimewaannya, saya dan Amir membawakan jalur muzik berbeza daripada apa yang pernah peminat dengar sebelum ini,” katanya.

Dua minggu bersiaran, Aizat semakin selesa bersama Go Gerila! yang memperjuangkan eksperimen muzik apabila menyatukan elemen rock & roll dengan Brit Pop dan alternatif.

Gabungan itu kata Aizat, membentuk sebuah keunikan apabila menyatukan ideologi berbeza namun menuju destinasi perjuangan yang sama.

Menawarkan pulangan lumayan RM200,000, Versus turut disertai 6ixth Sense, Black Parallax, Hujan dan Sofazr jelas pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular, ABPBH 2009 itu membentangkan gelanggang menarik untuk mereka menguji kehebatan masing-masing.

PROFIL: Yuna
NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
USIA: 26 tahun
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah.

PROFIL: Aizat
NAMA PENUH: Muhammad Aizat Amdan
ASAL: Ampang, Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1989
PENYANYI IDOLA: Once
ALBUM: Percubaan Pertama
dan Urusan Aizat Amdan

Bintang Pop

Jeling Kak Pora: 7 Juta Tonton ABPBH 2011

15 Apr

pix_gal0
LEGA rasanya Kak Pora apabila majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 sudah melabuhkan tirainya, Ahad lalu. Semua dah tahu aktor warga Singapura, Aaron Aziz dijulang peminat sebagai Bintang Paling Popular. Kemenangan Aaron menamatkan penguasaan Shaheizy Sam yang memenangi kategori sama tahun lalu.

Biarpun kemenangan Aaron sudah dijangka tetapi ABPBH 2011 memperlihatkan aliran perubahan yang signifikan apabila muka baru mendominasi hampir separuh daripada 17 kategori yang dipertandingkan. Sedikit mengejutkan apabila Zizan yang dulu berada dalam senarai Top 5 Bintang Paling Popular tercicir pada ABPBH 2011.
Sebaliknya bakat baru Tasha Shilla membolosi selesa untuk berada pada kedudukan kelima barisan itu selain aktor, Fizz Fairuz yang mengungguli Pelakon TV Lelaki Popular yang menunjukkan taring luar biasanya pada edisi terbaru ini. Ramai macam tak percaya, kan? Tapi itulah hakikatnya pabila mereka dah berjawa menawan hati peminat yang sanggup mengundi berkali-kali demi memastikan artis kesayangan mereka menang.
Kak Pora tak mahu sentuh mengenai isu yang sengaja dicetuskan segelintir pihak yang enggan mengakui kekuatan pengaruh Aaron ketika ini. Mereka sengaja menimbulkan polemik sedangkan pelakon yang cukup sinonim dengan filem Ombak Rindu itu turut menyumbang kudrat dalam memajukan industri perfileman dan drama tempatan.

Kak Pora dapat tahu ABPBH 2011 yang turut meraikan sambutan jubli perak acara itu terus meraih kepercayaan penonton apabila siaran langsung yang dipancarkan menerusi TV3 meningkat sehingga 5.3 juta penonton. Itu baru rating penonton yang mengikutinya menerusi TV teresterial, bukan menerusi saluran digital dalam Astro atau Saluran 103 Astro. Apabila Kak Pora semak dengan kawan yang bekerja di Astro, angka jumlah penonton TV3 dalam tempoh jam 9 malam hingga 12 tengah malam yang menonton Saluran 103 pada malam 8 April lalu ialah sebanyak 1.7 juta penonton. Ini bererti 5.3 juta penonton teresterial ditambah 1.7 juta penonton saluran berbayar Astro, bererti jumlahnya 7 juta penonton.

Secara purata, ABPBH 2011 yang menyaksikan gandingan nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Sheila Majid, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Ramlah Ram, Alyah dan ramai lagi mencatat 4.7 juta tontonan. Jumlah itu meningkat selesa berbanding ABPBH 2010 yang mengumpul empat juta penonton dan peningkatan positif itu membuktikan acara berprestij yang memasuki usia 25 tahun itu masih kekal relevan kepada pencinta industri hiburan.

Kak Pora memang berpuas hati dengan persembahan malam itu dan yang paling melekat dalam kepala Kak Pora ketika ini adalah paduan vokal lantang Ziana Zain dan Azlan & The Typewriter ketika membawakan medley, Anggapanmu dan Lagu Untukmu.

Turut menjadi bualan sketsa Ombak Rindu yang menampilkan pelakon asalnya iaitu Aaron, Maya Karin dan Lisa Surihani melakonkan petikan daripada filem itu sebelum Hafiz dan Adira muncul membawakan lagu latarnya.

Tidak kurang yang memuji gelek maut 45 darjah Mas Idayu ketika membawakan lagu Senggol-Senggolan dan sempat mengusik Artis Baru Lelaki Popular, Johan As’ari untuk bergelek bersama. Selain gandingan nama hebat dan popular, kemantapan gabungan pengacara yang terdiri daripada Raja Azura, Sharifah Shahirah, Didie Alias dan Zizan turut membantu menaikkan mood sepanjang tontonan ABPBH 2011. Memang kelas ABPBH ni…

Cuma Kak Pora nak pesan, bagi mereka yang cemburu dengan penganjuran ABPBH sehingga menulis artikel dalam akhbar mereka kononnya populariti bukan yang terbaik dan macam-macam lagi seperti sengaja nak memperlekeh majlis anjuran Berita Harian. Tak elok berperangai jaki macam tu sedangkan pihak mereka sendiri turut anjurkan pertandingan berdasarkan glamor dan populariti.

KAK PORA: Macam tidak percaya lihat aksi penyanyi wanita seperti lalok di belakang pentas ABPBH. Tak senonoh langsung! Jagalah imej sikit sebab awak tu muka pasport, semua orang kenal.

Bintang Pop

Hitung Hari Bahagia

15 Apr

Muka depan B'Pop hari ini.
Muka depan B’Pop hari ini.
Selepas menang dalam saingan ABPBH 2011, Fasha Sandha resah nanti 12 hari lagi menjadi isteri kepada Jejai

SOROT matanya yang memancar penuh bercahaya pada pertemuan lewat petang hujung bulan lalu cukup untuk menjelaskan segenap bahagia yang barangkali sulit diterjemahkan dengan kata-kata.
Biar cuba menyusun kemas bait indah untuk menghuraikan kebahagiaan itu, ia tidak mungkin sama dengan apa yang dirasai pemilik hati, Toh Muda Rizal Ashram Ramli yang ketika ini sedang membilang hari untuk bergelar isteri.
Sedikit tersipu ketika diusik persoalan mengenai debaran menanti detik bahagia yang akan direalisasikan tanggal 27 April ini di sebuah hotel di ibu negara, Fasha Sandha bersyukur kerana niat suci mereka akhirnya menjadi kenyataan.

Melontar jauh pandangan seakan cuba mengimbas perjalanan panjang yang mereka atur bersama sebelum bersatu sebagai suami isteri, wajah yang pada mulanya ceria beransur hiba.

“Tuhan akhirnya memakbulkan doa semua yang ingin sangat melihat saya bertemu jodoh dan bahagia di samping Rizal,” kata Fasha sebak.

Kembali menyusun bicara yang terhenti seketika, pemilik nama lengkap, Nur Fasha Sandha Hassan, 28, mengakui kematangan Rizal yang akrab disapa Jejai meyakinkan dirinya untuk menjadi suri kepada duda anak satu itu.

“Pelbagai rasa yang sedang saya lalui ketika ini. Saya pasti ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana setiap wanita akan berdepan dengan apa yang saya rasai.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan seorang lelaki yang memahami diri ini, malah menerima saya seadanya. Jejai bukan sekadar seorang kekasih tetapi juga sahabat yang sentiasa di sisi setiap kali saya memerlukan,” katanya.

Menghurai panjang ciri yang dimiliki Jejai yang membuka pintu hatinya untuk menerima lamaran jejaka itu, Fasha berkata, ahli perniagaan itu seorang yang matang, malah sentiasa membentuknya menjadi wanita yang positif dan berani mengambil apa saja cabaran di depan mata.

“Mungkin kerana berkongsi minat yang sama terhadap haiwan, jadi perbualan kami tidak pernah bosan malah Jejai sentiasa terbuka untuk berbicara mengenai apa saja topik.

“Dia lelaki yang bijak dan berpengetahuan, secara tidak langsung mengajar saya supaya lebih rasional dalam membuat sesuatu keputusan. Jejai banyak mengubah hidup saya supaya menjadi lebih objektif,” dedah gadis kelahiran Johor Bahru mengenai keistimewaan lelaki itu.

Akui Fasha, keinginan untuk mengakhiri percintaan mereka dengan ikatan pernikahan pernah disuarakan Jejai tahun lalu namun ditolaknya kerana masih belum bersedia.

Enggan berselindung, Fasha menjelaskan, ketika itu terlalu banyak perkara yang bermain dalam fikirannya malah komitmen terhadap karier seni membuatkan dia enggan memperjudikan masa depannya dengan sebuah perkahwinan.

“Tetapi Jejai tidak putus asa. Dia cuba melamar lagi pada awal tahun ini dan entah dari mana kuasa itu datang, saya tidak lagi berfikir panjang dan terus bersetuju.

“Ketika itu saya dapat merasakan Tuhan melapangkan laluan untuk saya melangkah seluas-luasnya hingga saya bersedia memberikan sepenuh jiwa dan raga kepada seorang lelaki yang paling saya sayangi,” katanya.

Fasha berkata, majlis pernikahannya yang akan diadakan secara tertutup itu hanya mengundang 300 tetamu terdiri daripada keluarga, sahabat, peminat serta teman media yang akrab dengannya.

Ia disusuli dengan dua majlis persandingan yang akan berlangsung pada Mei ini, namun Fasha masih belum bersedia untuk berkongsi segala perincian mengenai acara itu.

“Bukan berahsia cuma masa tidak mengizinkan saya untuk berkongsi semua cerita. Saya juga menghormati permintaan keluarga Jejai dan ibu bapa yang enggan perkahwinan ini terlalu digembar-gemburkan.

“Jejai sendiri selesa semuanya berjalan secara sederhana. Saya harap semua peminat memahami,” katanya menjelaskan tindakannya yang disifatkan sesetengah pihak sebagai strategi untuk memancing perhatian peminat.

Sering perkahwinan dikaitkan dengan isu memperlahankan karier seni, Fasha tidak menafikan apabila tiba masanya dia akan berundur dan memberi laluan kepada perkara lain yang lebih penting dalam hidupnya.

“Saya terima kenyataan tidak selama-lamanya saya akan berada di atas. Selagi masih belum bergelar isteri, keutamaan saya tetap kepada karier lakonan kerana periuk nasi saya di sini.

“Tetapi apabila tiba masanya, fokus saya akan beralih arah dan ketika itu saya mungkin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang perniagaan pula.

“Alhamdulillah hampir sedekad dalam dunia lakonan saya sudah mengecapi beberapa kejayaan namun masih ada lagi yang belum saya capai dalam hidup ini.

“Saya ingin mencipta nama sebagai usahawan dan pada masa sama, menjadi isteri dan ibu yang berjaya. Itu doa saya ketika ini dan Insya-Allah, saya berharap niat suci itu direstui Ilahi,” katanya.

Kemenangan ibarat hadiah perkahwinan

EMPAT kali mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular, selain pernah dua kali menjulang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, ABPBH begitu signifikan dalam perjalanan karier lakonan gadis yang meraikan ulang tahun ke-28 pada 28 Mac lalu.

Deklarasi peminat terhadap bakatnya apabila dia kembali mempertahankan trofi Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2011, Ahad lalu disifatkan Fasha sebagai sesuatu yang manis. Apatah lagi, pengiktirafan itu diterima beberapa hari selepas meraikan ulang tahun ke-28 selain menjadi hadiah awal perkahwinan paling bermakna buat dirinya.

“Saya memang tidak sangka boleh menang lagi kali ini, malah rasa berat nak melangkah ke Arena of Stars kerana tahu saya tidak akan menang tahun ini tetapi kerana mahu sokong ABPBH 2011 dan saya juga finalis, saya tetap hadir. Tak sangka rezeki sebelahi saya lagi, ini macam hadiah kahwin untuk saya pula.

“Siapa pun yang dicalonkan pasti menginginkan kemenangan. Secara jujur, pencalonan tahun ini cukup sengit kerana saingan saya seperti Rozita Che Wan, Nora Danish, Scha Al-Yahya dan Tiz Zaqyah memiliki kekuatan masing-masing. Alhamdulillah kerana peminat masih mempercayai bakat saya. Saya tahu bukan mudah untuk mengekalkan anugerah yang diterima, apatah lagi untuk kembali bangun selepas pernah melalui era kejatuhan.

“Saya percaya sokongan peminat dan kesungguhan serta komitmen membuatkan saya masih bertahan di mata mereka,” katanya.

Fasha juga yakin peminat memilihnya atas dasar kekuatan bakat dan komitmen, meskipun kebelakangan ini banyak bertiup kisah peribadi yang tidak mampu dielakkan.

“Syukur kerana saya mempunyai kelompok peminat tegar yang sentiasa di sisi ketika saya susah dan senang. Saya akan terus memberikan sokongan kepada ABPBH meskipun satu hari nanti, saya tidak lagi aktif dalam bidang lakonan. ABPBH terlalu banyak membantu memacu karier seni saya, malah deklarasi peminat ini juga menolong ramai artis untuk kekal bertahan dalam industri. Mana mungkin saya lupakan semua ini,” katanya yang sedang meneliti tiga skrip drama berantai dan satu filem untuk dibintangi.

Bintang Pop

Terkilan Tak Dapat Ke Genting

8 Apr

pix_gal0
Yuna sibuk buat promosi single terbarunya di Amerika Syarikat

AWAL bulan ini, Yuna mencatat sejarah peribadi ketika diundang membuat persembahan khas dalam program bual bicara popular, Conan di Amerika Syarikat yang dikendalikan pengacara TV paling berpengaruh, Conan O’Brien.
Kemunculannya itu turut mempromosikan single pertamanya bagi pasaran di sana berjudul Live Your Life.
aya terpaksa mengulangi situasi ABPBH 2009 kerana tak dapat bersama hadir di Arena Of Stars, Genting Highlands. Pengorbanan terpaksa dibuat kerana terlalu banyak perkara perlu dilakukan di Amerika Syarikat penghasilan album di sini. – Yuna
Sedikit demi sedikit Yuna semakin pantas mencuri ruang di peringkat antarabangsa selepas namanya mekar di tanah air sendiri.

Yuna terdahulu pernah menerima pujian daripada penulis blog terkenal Hollywood, Perez Hilton dan Billboard.com. Lagu asal Nirvana, Come As You Are yang dinyanyikan dan digubah semula Yuna juga mendapat kritikan positif.

Selain itu, Yuna turut diberikan penghormatan untuk menjayakan persembahan MTV Iggy’s Best New Band Concert di Times Square, New York. Dalam bulan ini juga Yuna dalam pelbagai debaran kerana namanya turut tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

Malangnya, Yuna bukan saja tidak dapat menyertai siri jelajah promosi ABPBH 2011 yang sudah pun berakhir, bahkan malam kemuncaknya yang malam ini juga terpaksa dilupakan atas komitmen di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

“Saya sedih dan terkilan sangat sebab tak dapat menyertai siri jelajah dan malam kemuncak ABPBH 2011. Kalau ada di Malaysia, mesti saya menyertainya untuk jumpa peminat. Begitu juga malam kemuncak seperti tahun lalu, saya dapat menyertainya dan bertemu rakan seperjuangan. Nampaknya, saya terpaksa mengulangi situasi ABPBH 2009 kerana tak dapat bersama hadir di Arena Of Stars, Genting Highlands. Pengorbanan terpaksa dibuat kerana terlalu banyak perkara perlu dilakukan di Amerika Syarikat penghasilan album di sini,” katanya yang masih sempat membalas e-mel kepada B’POP.

Mengenai siapa bakal menyinar malam ini dalam ABPBH 2011 termasuk kategori yang mencalonkan namanya di sisi Alyah, Najwa Latif, Shila Amzah dan Stacy, Yuna bagaikan kelu lidah untuk menamakan. Tahun lalu kategori ini dimenangi Yuna.

“Tahun ini semua finalis power belaka. Saya sendiri tak tahu nak ramal siapa boleh menang. Apa boleh saya katakan, Aaron Aziz dan Neelofa antara calon kegemaran bakal menyerlah,” katanya meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2009.

Yuna sempat pulang ke Malaysia dalam tempoh dua minggu bulan lalu, selain perlu penuhi undangan ke Singapura untuk Konsert Imagine sempena Festival Muzik Mosaic membabitkan artis Singapura dan Malaysia. Di sana, Yuna juga tampil dalam program MTV, selain bengkel termasuk persembahan akustik dan sesi soal jawab bersama peminat. Di Malaysia pula, Yuna mempromosikan dan menjalani rakaman muzik video lagu, Sparkle untuk Samsung Galaxy Note serta terbabit dengan konsert Nestle 100 tahun.

“Tapi saya masih sempat melepas rindu makan di Kuala Lumpur, berjumpa Qi selama dua hari sebelum balik semula ke LA,” kata Yuna yang turut dicalonkan dalam kategori Artis Kegemaran Asia, Anugerah Nicklelodeon, 31 Mac lalu, bersaing dengan Agnes Monica, Charice dan Wonder Girls.

Ditanya mengenai sisi cinta bersama Qi, Yuna tidak keberatan menjawab.

“Insya-Allah, kami masih cari masa sesuai dan pada masa sama, saya sendiri tidak mahu terburu-buru soal berkahwin. Masa yang ada ini dapat dimanfaatkan untuk kumpul duit sebelum berkahwin. Insya-Allah berkat doa peminat, kami akan kahwin juga suatu hari nanti,” katanya yang dijangka melancarkan albumnya di Amerika Syarikat pada 24 April ini.

Pada tarikh sama juga Yuna akan terbabit dengan promosi jenama Adidas bagi koleksi musim bunga dan panas 2012 di New York.

“Selepas album dilancarkan, saya juga akan terbabit dengan promosi siri jelajah bersama kumpulan Graffiti6 bermula hujung Mei hingga Jun depan. Untuk butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi persembahan boleh layari laman sesawang http://www.yunamusic.com,” katanya sambil memberitahu perniagaan pakaian dan aksesori IamJetfuel (http://iamjetfuelshop.com) masih aktif dan online store bakal dilancarkan pertengahan bulan ini.

Bintang Pop

Milik Siapa?

8 Apr

pix_gal0
Sam, Aaron, Zizan bersaing sengit

SEJAK diperkenalkan pada edisi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1990 dengan penyanyi bersuara lunak, Aishah dinobatkan sebagai penerima pertama gelaran Bintang Paling Popular, trofi utama itu saban tahun menjadi intaian setiap nama yang membolosi Top 5 anugerah berprestij itu.
Menyorot sejarah sepanjang 25 tahun ABPBH dianjurkan, selebriti lelaki lebih menyerlah menjadi pilihan peminat untuk dinobatkan dengan pengiktirafan tertinggi sebagai lambang keampuhan populariti yang diukir.
Zainalabidin melakar sejarah peribadi sebagai penyanyi lelaki pertama dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada kemuncak ABPBH 1991, disusuli Eman Manan yang menjulangnya pada edisi ABPBH 1992.

Dua kali menjadi milik selebriti lelaki, ABPBH 1993 menyaksikan populariti luar biasa yang diraih aktres berdarah campuran Melayu-Inggeris, Datin Sofia Jane melayakkannya menduduki takhta tertinggi di hati peminat.

Kemaraan Sofia juga tidak bertahan lama apabila edisi ABPBH 1994 menyaksikan trofi itu kembali menjadi milik selebriti lelaki apabila dimenangi Datuk M Nasir.

Kemaraan Ziana Zain pada edisi ABPBH 1995 seterusnya Datuk Siti Nurhaliza yang mempertahankan trofi itu selama lima tahun berturut-turut bermula ABPBH 1996 memperlihatkan penguasaan artis wanita yang tidak mampu digugat.

Kembali mengunggulinya pada edisi ABPBH 2004 dan ABPBH 2009, populariti penyanyi wanita terkenal itu pernah digugat Rosyam Nor pada ABPBH 2002, Saiful Apek (ABPBH 2003) dan Mawi (ABPBH 2005, 2006 dan 2007).

Siti juga pernah dihampakan Nabil yang menggenggam gelaran itu pada edisi ABPBH 2008 dan tahun lalu menjadi milik Shaheizy Sam selepas isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu menarik diri daripada terus bertanding.

Lapan artis lelaki dan empat artis wanita pernah mengecapi nikmat bergelar Bintang Paling Popular sepanjang ABPBH diperkenalkan sejak 1987.

Malam ini, sebutir lagi bintang bakal menyinar di persada hiburan negara untuk membawa gelaran Bintang Paling Popular, sekali gus menyertai senarai 12 nama yang terlebih dulu mendaki puncak tertinggi itu.

Umpama sebuah permainan silang kata yang menanti masa untuk dilengkapkan, Arena Of Stars, Genting Highlands menamatkan segala persoalan apabila ABPBH 2011 berlangsung tepat jam 9 malam ini.

Ramai menelah Aaron Aziz memiliki potensi besar untuk menghampakan Shaheizy Sam yang mencipta kejutan apabila mengecewakan Zizan Razak pada malam kemuncak ABPBH 2010 lalu.

Tidak dinafikan tiga nama itu masih bertahan dalam memberikan persaingan antara satu sama lain, malah ABPBH 2011 memperlihatkan situasi paling sengit terutama menjelang detik kemuncaknya.

Barangkali populariti Sam dilihat sedikit menyusut apabila filem lakonannya yang ditayangkan sepanjang tahun lalu gagal mencatat kutipan selesa kecuali Kongsi.

Selepas Songlap, Sam yang berterusan mencabar diri menerima pelbagai watak berbeza mengambil keputusan berani dengan memperlahankan karier lakonannya.

Tindakan nekad Sam barangkali memberi sedikit impak terhadap popularitinya tetapi nasib kembali menyebelahinya apabila sekuel, Adnan Sempit 2 menemui penonton, Februari lalu.

Adnan Sempit 2 memulihkan populariti Sam, malah memecah kesuraman kutipan filem tempatan apabila produksi itu mengaut RM6.33 juta.

Sambutan hebat yang diberikan peminat secara tidak langsung membantu melonjakkan semula undian untuk Sam, sekali gus memberi cabaran kepada Aaron.
Siapa pun tidak akan menyangkal kekuatan nama pelakon asal Singapura yang menyerlah selesa sepanjang tahun lalu. Bagaimanapun apa yang dikecapi Aaron tidak diperolehnya sekelip mata.

Ia menuntut perjalanan yang panjang, malah menduga kesabaran pelakon yang mula mengintai peluang melebarkan pengaruhnya di Malaysia sejak 2004 menerusi drama berantai, Haryati 2.

Mencuba pelbagai medium lakonan sama ada di layar kaca, lebar mahu pun pentas, Aaron bernasib baik apabila setiap hasil kerjanya menerima sambutan luar biasa.
Watak Seth Tan yang dijayakannya dalam drama berantai, Nora Elena di samping Siti Saleha menjadi pencetus kepada sambutan luar biasa untuk slot Akasia yang bersiaran di TV3.

Populariti Aaron memuncak apabila drama yang diadaptasi daripada novel, Kasih Yang Suci mencatat 1.75 juta hits tontonan di portal Tonton.
Sementara itu, sesi Star Chat bersamanya menduduki tangga keempat tertinggi dunia di platform USTREAM dengan rekod sebanyak 24,984 pelayar ketika sesi berlangsung.

Filem lakonannya seperti KL Gangster masih bertahan sebagai filem tempatan yang meraih kutipan tertinggi dengan RM11.74 juta, diikuti Ombak Rindu yang mencetus fenomena untuk filem drama romantik Melayu dengan kutipan RM10.9 juta.

Aaron mencipta fenomena tersendiri apabila teater lakonannya, Badai Semalam mencatat kutipan tiket paling tinggi dengan RM810,128 dan ditonton hampir 18,000 orang.

Semua faktor itu meletakkan Aaron sebagai calon pilihan untuk mengungguli Bintang Paling Popular, selepas Sam mencipta sejarah peribadi ekoran kejayaan Adnan Sempit tahun lalu.

Bagaimanapun usah diragui kemampuan Zizan dan bakat baru, Najwa Latif yang turut memperlihatkan persaingan hebat untuk memenangi kategori itu.

Edisi ABPBH 2010 menyaksikan Zizan berada pada kedudukan ketiga undian tertinggi selepas Sam yang mendahului dengan 126,160 undi, diikuti Shahir yang merekodkan 66,764 undi.

Ketiadaan Shahir dalam edisi ABPBH 2011 seakan memberi laluan selesa kepada Zizan untuk mencabar Sam dan Aaron, apatah lagi tahun lalu dia menerima kepercayaan peminat dengan 41,436 undi.

Faktor kemaraan Zizan diperkukuhkan apabila portfolio dirinya sebagai pengacara diperluaskan dengan mengendalikan program hiburan popular, Melodi yang mempunyai pengikut yang ramai.

Bintang Pop