Archive | Lost RSS feed for this section

Antara Bisnes & Seni

19 May

Lana Nordin

Lana Nordin

JIKA dihitung setiap kali wajahnya mewarnai ruang publisiti di dada akhbar mahupun majalah, figura berwajah manis dengan personaliti menarik ini tidak terlepas daripada soal peribadinya yang dibicarakan.

Meskipun cuba mengelak dan menyembunyikan diri, ia bagai sudah terikat untuk persoalan kontroversi. Kononnya sering kali tampil dengan imej seksi dan kisah-kisah remeh yang diungkap, nama Lana Nordin seakan terjerat dengan persoalan ‘panas’.

Hakikatnya, pelakon popular yang sebelum ini dikenali menerusi drama siri Gol & Gincu, Kaizer, Astana Idaman 3 dan Dunia Baru ini tidak sekali menadah diri untuk ‘ditembak’ namun sudah menjadi lumrah sepak terajang dunia seni, kontroversi dan spekulasi bagai permainan buatnya.

Jelas pemilik nama sebenar Mazlina Hasan Nordin ini ketika ditemui petang minggu lalu di Balai Berita, biar apa saja orang ingin bercerita, yang penting adalah nawaitu dan arah tuju diri sendiri.

“Sudah lali rasanya menerima kritikan atau segala cacian kerana itulah ‘makanan’ sejak awal melangkah dalam dunia ini. Namun untuk saya mengalah adalah mustahil, sebaliknya setiap apa yang diperkatakan itu saya jadikan pembakar semangat untuk buktikan kepada mereka yang saya bukan begitu.

“Kalis peluru memang sesuai digelar kepada saya kerana itulah yang saya amalkan hingga kini. Jika tidak mengenali saya lebih dekat, usah lekas menjatuh hukum kerana saya tidak pernah mengharapkan kisah panas apatah lagi kontroversi semata-mata ingin popular. Itu persepsi lama yang sudah lapuk,” katanya.

Mengenali Lana, si pemilik personaliti menggoda dengan sikapnya yang rendah diri adalah seorang yang berterus-terang. Jika tidak menepati cita rasa dan seleranya akan terus diperkatakan kerana padanya, sikap jujur lebih baik daripada suka bersembunyi.

Justeru tambahnya lagi sebaik persoalan mengenai kekasih hatinya ketika ini, jika benar ada kekasih atau menjalin hubungan cinta akan terus diceritakan kepada mereka yang bertanya.

Lebih menarik petang itu, Lana yang pernah mengacarakan program Jejak Pulau dan XTune sebelum ini lebih rancak berkongsi mengenai lapangan perniagaan yang diceburinya.

“Saya langsung tidak terfikir soal cinta atau kekasih kerana alhamdulillah, apa yang pernah saya impikan sebelum ini sudah pun sebelah kaki menjadi kenyataan. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sejak dulu lagi minat saya adalah pada dunia perniagaan. Lama juga saya menimba pengalaman dan mencari kekuatan, kini saya sudah pun bergelar usahawan.

“Setakat ini saya sudah memiliki syarikat sendiri yang menguruskan banyak perniagaan berkaitan jual beli rumah dan tanah, hartanah dan beberapa cabang perniagaan yang lain. Itulah yang saya lakukan sekarang dan banyak masa diberikan untuk meletak sepenuh fokus pada dunia impian saya ini. Saya bersyukur kerana diberikan rezeki dan kepercayaan sebegini.

“Lakonan adalah satu lapangan yang memperkenalkan saya dan mengukuhkan nama untuk memudahkan urusan kerja lain. Kini selepas apa yang saya usahakan sudah hampir berjaya dan saya sudah nampak hasilnya daripada syarikat milik sendiri ini, saya rasa lakonan akan menjadi perkara kedua. Saya memang gilakan perniagaan dan kini semakin serius untuk mengukuhkan nama sebagai usahawan berjaya.

“Insya-Allah akan lebih berkembang perniagaan jual beli tanah dan hartanah kerana saya bersungguh-sungguh ingin merealisasikan semua yang saya lakukan ketika ini. Sekarang apa yang banyak saya lakukan adalah menjadi orang tengah untuk urusan jual beli tanah termasuk pembalakan dan ladang. Setakat ini saya sudah nampak hasilnya dan kesenangan yang ada juga semuanya dari usaha berniaga ini,” katanya yang juga pemilik syarikat Charisma Works dan Karisma Electric.

Terlanjur bercerita mengenai perniagaan dan perancangannya sebagai seorang usahawan, terlintas pula persoalan ke mana pula arah lakonannya selepas ini?

Jelasnya yakin, hidup perlu realistik.

“Sampai bila saya mampu bertahan menjadi pelakon? Itulah yang selalu saya fikirkan dan keluarga tanyakan. Mampukah saya bertahan hingga 20 tahun lagi sebagai pelakon dan adakah nama dan bakat saya diperlukan pada masa itu sedangkan saingan terlalu banyak dan senario industri juga semakin meruncing.
Ada saja masalah yang timbul terutamanya dari aspek bayaran pelakon dan nasib anak seni hari ini.

“Lantas mengapa perlu saya tunggu dan mengharap sesuatu yang belum pasti kerana prinsip hidup saya begitu mudah. Realistik dan sentiasa peka pada sekeliling.
Saya perlukan sokongan lain untuk terus mencari rezeki bagi membantu keluarga dan membina hidup sendiri. Alhamdulillah peluang dan rezeki dibentangkan kepada saya dan inilah keputusan terbaik yang perlu saya lakukan.

“Sepanjang berkecimpung dengan serius dalam dunia perniagaan, saya sudah nampak arah tuju dan objektif masa depan yang lebih terjamin. Itulah yang harus saya kejar dan terus berusaha mengukuhkan lagi tapak sedia ada,” katanya.

Mengalih sedikit perbualan kepada dunia lakonannya, Lana tetap bersyukur kerana masih ada pihak produksi yang yakin kepada kredibilitinya.

Meskipun tidak henti dilanda kontroversi, nama dan bakatnya seolah berada di gelanggang tersendiri.

Buktinya, lakonannya dalam filem yang kini hangat ditayangkan, Chow Kit mendapat pujian ramai.

“Chow Kit adalah sebuah filem yang saya sifatkan punya kesenian dan keistimewaan tersendiri. Plot ceritanya begitu santai dan bersahaja dengan pembangunan watak yang kesemuanya begitu realistik dan jelas termasuk watak saya sendiri, Siah seorang pelacur yang membesarkan anak, namun terjerat pula dengan masalah apabila anaknya dirogol.

“Ia mengisahkan senario sebenar di Chow Kit yang jarang sekali diketahui umum.
Saya begitu tertarik dan yakin filem ini akan memberikan satu dimensi tersendiri kepada industri hiburan kerana memaparkan sesuatu yang unik dan melangkaui imaginasi kini,” katanya.

Lana turut muncul dalam filem Lagenda Budak Setan dengan melakonkan watak Zaharah selain sebuah lagi filem sentuhan Afdlin Shauki berjudul Parti Vs Orang Minyak dan Tokak garapan pengarah Sabree Fadzil pada tahun ini.

Trivia Lana Nordin

Nama Sebenar…Mazlina Hasan Nordin
Tempat Lahir…Bintawa, Kuching, Sarawak
Profesion…Pelakon dan pengacara
Status…Bujang
Filem..Remp-It, Main-Main Cinta

Drama TV…Gol & Gincu, Kaizer, Astana Idaman 3, Dunia Baru, Mendung Berarak Kelabu, Impian Itu Milik Kita, Kamasutra, Akademi Cinta, Puteri, Cebisan Duka, Aku Juga Perlu Cinta dan Tidurlah Permaisuri

Program TV…Jejak Pulau (13 episod), XTune untuk saluran Astro Ria.

Harian Metro

Advertisements

B&P, Hujan Miliki Kelebihan Tersendiri

14 May

KEDUA-duanya hebat dengan cara tersendiri. Jika Black & Parallax (B&P) dilihat sebagai ‘master’ dalam komposisi lagu berpadu dengan vokalis luar biasa, Hujan pula berdiri sebagai satu jenama yang kuat.

Saban minggu mereka mengganas, malah, setakat ini belum pernah gagal mengundang pujian juri tetap, Jennifer Thompson dan Loque kerana sering tampil ‘wow’ di pentas Versus, bersiaran setiap Jumaat jam 9.30 malam di TV9.

Jika Juri memperakui kebolehan mereka, apa pula pandangan B&P pada Hujan dan sebaliknya komentar Hujan kepada B&P? Lantas kedua-dua kumpulan itu diajak untuk melontarkan pendapat mengenai kelebihan dan kekurangan band lawan.

Yang pasti, dalam mengagumi kedua-dua kumpulan itu saling ‘cemburu’ dengan kelebihan masing-masing.

“B&P memang handal. Kalau Meet Uncle Hussain (MUH) sudah power, B&P lebih ‘power’ daripada itu. B&P mempunyai jentera muzik yang hebat. Mereka ada Black yang kita tahu suaranya luar biasa, mereka juga ada MUH yang mana kami sendiri amat menghormati karya-karya Taja daripada kumpulan itu.

“Posisi pemain keyboard B&P pula menampilkan Bajai daripada kumpulan Tilu manakala pemain drum, menggunakan khidmat Bakri dari band Gerhana Ska Cinta. Gandingan mereka memang hebat.

“Mungkin, kalau diminta menyentuh kelemahan B&P pun, yang saya nampak adalah dari sudut keserasian. Memandangkan masing-masing dari kumpulan berbeza, contohnya Black sendiri dikenali sebagai penyanyi solo. Penggabungan B&P sebagai band projek khusus untuk Versus, manakala, Hujan pula, sememangnya sudah lama bergerak sebagai sebuah band.

“Enam tahun bersama, untuk mewujudkan keserasian di atas pentas bukan masalah bagi kami. Hujan dari segi ‘skill’ individu barangkali tidak seberapa jika dibandingkan dengan B&P, tetapi kami kuat sebagai sebuah band jadi untuk kami beraksi dan bekerja lebih mudah.

“Saya dapat bayangkan jika kami ada semua elemen itu tentunya lebih menarik. Kelebihan kami pula ada AG (pemain gitar utama) dan Noh (vokalis) yang bertindak sebagai pencetus idea kreatif dalam kumpulan ini. Manakala B&P bersandarkan kepada kreativiti Taja ,” kata Hang Dimas atau Dimas Santoso, selaku jurucakap juga pemain keyboard kumpulan Hujan.

Selain Dimas, Hujan dianggotai Noh Salleh selaku vokalis, gitar kedua dan penulis lagu, Hezry Hafidz (AG/ gitar utama/penggubah lagu) Azham Ahmad (Am/Ambobzeela/dram) dan Izzat Huzaini (bes). Manakala, Taja atau Nik Mustaza Nik Mustapha, pengasas kumpulan MUH juga pemain gitar utama B&P, menyifatkan Hujan, bukan sebuah band biasa sebaliknya sebuah jenama lengkap.

“Hujan pada pendapat saya band yang didatangkan lengkap dengan pakej. Mereka ada stail, imej, muzik dan fesyen di mana setiap ciri yang dimiliki itu setaraf band antarabangsa. Cita rasa muzik mereka juga bagus, setiap kali muncul dengan album baru mereka tampil dengan konsep berbeza.

“Jika album pertama mereka dulu terlalu menjurus kepada bunyi dan ‘direction’ The Stroke, kemudian menerusi album kedua Hujan melakukan eksplorasi muzik J Rock (Japannese Rock). Manakala, album ketiga mereka beralih pada metal pula.

“Selain itu, setiap ‘personel’ Hujan mempunyai kekuatan masing-masing. AG, semua orang tahu dia seorang pemuzik dan gitaris yang bagus. Pengetahuan muziknya hebat bukan setakat rock saja tetapi juga jazz.

“Noh pula kekuatannya selain kreatif, dia cukup berpengaruh dan apa saja diperkatakannya pasti mampu mempengaruhi peminat. Dimas pula pemain keyboard dan pemimpin kreatif dan berkaliber. Manakala Izzat (gitar bes) punya tenaga luar biasa setiap kali beraksi di pentas, walaupun, orangnya bertubuh kecil. Manakala, Am pula, ‘drummer’ yang dedikasi,” katanya.

Taja turut menyifatkan Hujan sebuah band yang berani dengan membawa pendengar kepada sesuatu yang asing dalam masyarakat ini. Misalnya, di konsert Versus pertama, mereka mengetengahkan konsep ‘dub step’ di mana penerimaannya di Malaysia belum meluas.

Menyentuh mengenai pengalaman dan cabaran menerusi Versus, sama ada B&P mahupun Hujan, masing-masing bersetuju dalam mengolah atau memberi nafas baru kepada lagu yang sudah hit untuk disesuaikan dengan cara mereka serta tuntutan masa kini adalah satu tugas sukar.

“Kita tak nak rosakkan lagu orang tetapi mahu membawakannya dengan cara sendiri tanpa mencemarkan keaslian lagu asal. Kita mahu, kalau dulu orang dengar mereka terhibur dalam versi Hujan mereka lagi terhibur dan inilah cabaran paling sukar,” kata Dimas.

Taja pula menambah, sudah lima minggu mereka beraksi, lagu yang paling sukar digubah semula adalah Sekadar Di Pinggiran dendangan asal Francissca Peter yang dipersembahkan di minggu keempat.

“Ada satu bahagian chord lagu langsung tidak boleh diubah dan bila saya cuba mengubahnya lagu itu bertukar sama sekali. Saya tabik dengan Manan Ngah kerana saya tidak tahu macam mana dia kunci lagu ini dengan baik,” katanya.

Tidak kurang hebatnya menyaingi B&P dan Hujan di dalam Versus adalah kumpulan Go Gerila!, Sofazr, 6ixth Sense. Lima kumpulan ini akan bersaing sehingga menghadapi final minggu depan sekali gus merebut ganjaran wang tunai RM200,000 ditawarkan penganjur, TV9 dan Hot FM.

Mengimbas semula persembahan minggu kelima yang dipancarkan secara langsung Jumaat lalu, dari SpaceU8, Shah Alam, setiap band diberi cabaran membawakan lagu-lagu pop era 90-an. Juri undangan yang diundang adalah Norman Abdul Halim.

6ixth Sense mempertaruhkan lagu lagu ‘Fiona’ (nyanyian 4U2C) dan memberi sentuhan samba manakala Black & Parallax menyuntik nafas modern rock dan menyelitkan unsur dangdut dalam lagu ‘Bulan Cinta’ (dendangan asal kumpulan Eva).

Sementara, Go Gerila! mengejutkan juri apabila tampil membuat persembahan tanpa menggunakan dram sehingga mendapat pujian dari Jennifer dan Loque cemerlang. Mereka mempertaruhkan lagu hit kumpulan Feminin, Untukmu. Manakala Hujan, begitu agresif dan bertenaga sewaktu menyampakan lagu Mengerti dendangan asal KRU dan Sofazr (Inilah Nasibku/Nico).

Sebelum pertempuran itu dimulakan, dua kumpulan yang mendapat undian SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) tertinggi, iatu Hujan dan Go Gerila! terlebih dulu beraksi dalam segmen ‘Battle’. Hujan mempertaruhkan lagu Inspektor Remos, manakala, Go Gerila! menyampaikan lagu yang baru dua hari dicipta mereka sebelum konsert berjudul, It’s Not Myth.

Harian Metro

FBI & Fafau Puas Tonton The Avengers

4 May

BARANGKALI masih belum terlewat bagi kedua-dua penyampai radio paling popular ini memberi penghargaan kepada peminat mereka atas kemenangan mereka pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) pada 8 April lalu.

Keterbatasan waktu sering menjadi penghalang buat pemegang trofi Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular ini untuk bersama peminat di luar konti.

Pun begitu, pada sambutan Hari Pekerja Selasa lalu, Fara Fauzana Mohd Fadzil (Fara Fauzana/ Fafau), 33 dan Mohd Faizal Ismail (FBI) sepakat untuk ‘bercuti’ dari sebarang tugasan demi meluangkan waktu bersama penyokong mereka.

Pelbagai idea dicadangkan peringkat awal bagi memastikan aktiviti yang pilih kelak memenuhi kehendak semua pihak dan akhirnya mereka bersetuju mengadakan sesi menonton wayang sekali gus mengajak peminat menyaksikan filem The Avengers.


Meski kisah ‘superhero’ atau adiwira bukan filem genre utama kegemaran Fara dan Faizal, mereka tetap menghormati cadangan peminat dan pihak stesen tambahan pula The Avengers filem yang mencetuskan fenomena ketika ini.


Fara berkata, kalau tahun sebelumnya, dia dan Faizal meraikan kejayaan di ABPBH bersama peminat masing-masing secara berasingan, tahun ini peminat mereka bergabung.

“Situasi ini bukan saja mendekatkan peminat dengan penyampai kegemaran masing-masing, tapi turut merapatkan hubungan antara peminat Fara dengan peminat Faizal.

“Berkenaan aktiviti hari ni, mereka yang terpilih adalah 40 pemenang kuiz ‘Santai Bersama Fara dan Faizal’ yang dianjurkan selama empat hari menerusi facebook, Hot FM.

“Ia terhad kepada 40 pemenang saja dan setiap daripada mereka dibenarkan untuk membawa tiga lagi rakan atau sesiapa saja yang mereka mahu ikut serta.

“Jumlah kesemuanya adalah 160 orang. Selain peserta kuiz sebahagian kecil lagi adalah peminat daripada Fafau Fun Corner Manakala Faizal turut mengundang peminatnya dari FBI Agent,” katanya.

Hujung minggu lalu, Farah sempat mengatur pertemuan bersama peminat dengan mengajak mereka di twitter bermain paintball.

“Baru saya percaya yang filem ini sangat laris sebabnya pagi-pagi lagi, panggung dah dibanjiri oleh orang ramai. Kalau ikutkan saya seorang penggemar filem ‘psycho thriller’ dan tidak berapa gemar filem ‘superhero’ sebab ia watak yang terlalu fantasi. Namun ramai yang suka dan saya juga boleh layan,” katanya.

Harian Metro

Upin & Ipin Ditangguh

24 Apr

TAHUN lalu, tiga persembahan teater terbitan CTRA Production yang dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan kerana ‘Perhimpunan Bersih’.

Antaranya, teater Mak Dara Nyonya yang diterajui Juhara Ayob, Misha Omar, Sarimah Ibrahim dan Fara Fauzana yang mendapat sambutan hangat peminat teater tanah air.

Ketika dihubungi, Penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya menganggarkan mengalami kerugian sekitar RM150,000, ketika itu. Terbaru, kata Rohayah, pementasan dengan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Upin & Ipin The Musical pula bakal menerima nasib sama apabila Bersih 3.0 diumumkan akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April ini.

“Pihak produksi bakal menanggung kerugian sekitar RM450,000 apabila dua pementasan Upin & Ipin di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan pada 28 April.


“Seluruh warga produksi juga berasa sangat kecewa kerana tiket pada tarikh itu sudah terjual sebanyak 80 peratus pada sebelah malam dan 60 peratus bagi persembahan siang yang akan dipentaskan dalam bahasa Inggeris.


“Apa yang menyedihkan, kebanyakan penonton yang membeli tiket pada tarikh berkenaan datang secara berkumpulan dari luar kota iaitu Segamat, Ipoh, Pulau Pinang dan Terengganu,” katanya.

Justeru, kata Siti Rohayah lagi, pihaknya terpaksa mengambil langkah segera dengan memilih tarikh baru iaitu pada 1 Mei bagi persembahan siang dalam bahasa Inggeris dan 7 Mei bagi persembahan sebelah malam.

“Langkah yang tidak diduga ini sudah tentu membabitkan penambahan kos dari segi penyewaan ruang, bayaran tambahan kepada pelakon dan tenaga produksi, peningkatan sewa peralatan teknikal, logistik dan sebagainya.

“Penonton yang sudah membeli tiket untuk 28 April ini boleh menukar tarikh tiket mereka pada tarikh baru atau boleh meminta wang mereka dikembalikan melalui ejen tiket iaitu Smart Mobile (ticket2u.biz),” katanya.

Sekalipun kecewa kerana terpaksa berdepan dengan kehendak segelintir masyarakat berlainan fahaman politik, Rohayah berkata, dia melihat apa yang berlaku itu sebagai cabaran dalam memartabatkan pentas teater tanah air.

“Dua puluh tahun saya terbabit dalam bidang teater dan menerbitkan hampir 30 persembahan di seluruh negara, bukan sedikit cabaran yang perlu dilalui. Bukan saja terpaksa menunda dan membatalkan persembahan, malah pernah ditipu ratusan ribu ringgit oleh penaja di luar sana.

“Sebab itu, saya beranggapan apa yang bakal terjadi dalam Upin & Ipin The Musical atas kehendak Allah yang mahu mematangkan lagi saya dan pasukan produksi dalam mencari rezeki halal,” katanya.

Antara teater terbitan CTRA Production sebelum ini ialah Muzikal Tun Mahathir, Muzikal Lantai T Pinkie, Dejavu, Bukan Dejavu, Anugerah, Muzikal Gamat, Bulan Menangis dan Muzikal Ibu Zain.

Upin & Ipin The Musical yang berdasarkan siri televisyen popular Upin & Ipin dan ditaja KPJ Healthcare Berhad ini mula dipentaskan di IB bermula 14 April lalu sehingga 7 Mei nanti.

Keterangan lanjut mengenai teater ini bolehlah melayari http://www.ticket2u.biz.

Harian Metro

Cabaran Reka Set Upin & Ipin

20 Apr

REKAAN set memang memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah pementasan muzikal. Jika set tidak cantik dan kreatif, pasti pementasan itu tidak segah manapun seperti diuar-uarkan orang.

Bagi pereka set pementasan Upin & Ipin The Musical yang sedang dipentaskan di Istana Budaya (IB) sejak 14 April lalu, Mohammed Hanafi Abd Wahab, 43, dia berdepan dengan cabaran paling besar dalam merealisasikan pementasan karya yang pernah mencetuskan fenomena dan memiliki ramai pengikutnya di negara ini.

Upin & Ipin The Musical adalah terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd dan CTRA Production dengan kerjasama Akademi Seni Budaya & Warisan serta IB.

Bersandarkan pengalaman luas selama 14 tahun di belakang tabir, tidak hairanlah Hanafi diberi kepercayaan untuk mereka set pementasan yang hebat dan ramai peminat itu.


“Apabila ditawarkan buat Upin & Ipin, saya akui berasa takut kerana dapat tahu ia produksi yang hebat. Saya terima tawaran buat muzikal ini juga kerana ia diarahkan Zaifri Husin. Kami sudah kenal lama kerana tinggal berjiran di kuarters kerajaan di Jalan U-Thant.


“Apabila tinggal berjiran, ia memudahkan kami bekerjasama dan berbincang siang dan malam kerana saya perlu beri apa yang dia kehendaki, sekali gus untuk memberikan yang terbaik pada pementasan ini,” katanya.

Selaku pereka set, Hanafi berdepan cabaran paling besar kerana menjayakan pementasan Upin & Ipin yang diterbitkan pihak yang cukup kreatif seperti penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi dan isterinya, Ainon Ariff.

“Saya akui bukan mudah untuk mengangkat siri TV dari televisyen ke pentas teater. Malah, saya terpaksa merombak beberapa kali rekaan yang dihasilkan sehingga penerbit teater ini berpuas hati.

“Bayangkan saya perlu buat set membabitkan 13 babak. Daripada 13 babak, saya kurangkan kepada 10 untuk menjadikannya lebih padat. Agak mencabar untuk letak props dan set di atas pentas. Pereka set juga bekerjasama rapat dengan bahagian penata cahaya. Saya juga perlu bertolak ansur dengan bahagian lain kerana kami bekerja dalam satu pasukan,

“Selain itu, pereka set bekerjasama rapat dengan pereka kostum kerana mereka akan melihat set yang saya hasilkan untuk sesuaikan dengan kostum, sekali gus menvisualkannya di atas pentas,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk menghasilkan rekaan set untuk pementasan muzikal Upin & Ipin, kata Hanafi, dia memang tahu jalan cerita Upin & Ipin kerana meminati siri itu sejak ditayangkan di kaca televisyen.

“Anak saya juga peminat Upin & Ipin dan dia juga hafal dialog yang dipaparkan dalam siri animasi popular itu. Saya juga mendalami kandungan skrip kerana perlu memahami jalan cerita terlebih dulu untuk memudahkan saya mereka setnya.

“Walaupun ramai yang memberi maklum balas memberangsangkan mengenai rekaan set Upin & Ipin apabila ia dipentaskan 14 April lalu, saya tetap tidak pernah puas dengan setiap karya dihasilkan, sejak dulu.

“Tiada manusia yang sempurna di dunia ini, tapi memang saya percaya mampu menghasilkan rekaan yang lebih baik lagi jika diberi masa yang panjang,” katanya.

Mengenai perancangannya selepas ini, kata Hanafi yang pernah bekerja dengan produksi Cats, Miss Saigon dan Beauty & The Beast, dia ingin menimba lebih banyak pengalaman dengan produksi bertaraf antarabangsa.

“Saya akui pengalaman bekerja dengan produksi luar berbeza dengan di sini. Banyak ilmu yang kita belajar apabila bekerja dengan orang luar iaitu cara bagaimana mereka buat set yang hebat di pentas yang sempit,” katanya.

Mengimbas latarnya, anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga pemegang jurusan Seni Bina dari Politeknik Sultan Ahmad Shah ini mula bekerja sebagai pereka set di IB sejak 1999. Antara pementasan yang dia pernah terbabit ialah Puteri Hang Li Po, Muzikal Tun Mahathir, Badai Semalam, Kembara Sinbad dan Mana Setangginya yang juga arahan Zaifri Husin.

Selain itu, dia juga menimba ilmu dengan produksi luar negara iaitu produksi Indonesia, Merentas Sayang (Malim Deman), bersama produksi Singapura untuk Tun Fatimah, Tauke Anak Wayang dan muzikal Bendahara yang mendapat liputan meluas di Singapura.

Muzikal Upin & Ipin mula dipentaskan jam 3 petang dan 8.30 malam di Panggung Sari, IB sehingga 6 Mei nanti. Keterangan lanjut hubungi talian 03-61866592, 03-55118089/017- 8716060/012-2977220/017- 2004249.

Harian Metro

Pelbagai Rentak Sugar & Spice

18 Apr

PADUAN suara dua penyanyi berpengalaman menerusi Sugar & Spice Band menampilkan pelbagai rentak lagu bakal menjadi tarikan terbaru buat pengunjung Hotel Permai berhibur dalam suasana santai.

Sambil menikmati pelbagai hidangan lazat di Restoran Cahaya, Hotel Permai, pengunjung yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan istimewa rangkaian lagu popular daripada Sharom Harun, 52, dan Syarifah Fatimah Azzahrah Sayed Ali (Azza), 24, yang baru saja bergabung membentuk kumpulan berkenaan tahun ini.

Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali berkata, setiap pengunjung yang hadir juga berpeluang membuat permintaan lagu daripada dua penyanyi berkenaan bermula dari jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

“Kami yakin bersandarkan pengalaman luas Sugar & Spice ini termasuk mengadakan persembahan di luar negara, ia mampu menarik pengunjung untuk terus berhibur mendengar pelbagai genre lagu.


“Kumpulan ini juga mampu menyampaikan pelbagai genre lagu seperti irama 60-an, pop, balada, R&B (rhythm & blues) dan banyak lagi dengan gaya tersendiri yang menarik perhatian ramai,” katanya.


Sementara itu, Sharom yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam seni suara termasuk mengadakan persembahan di luar negara dan menggubah lagu berkata, walaupun baru mengenali pasangannya, Azza awal tahun ini, namun mereka tidak mengambil masa panjang untuk mencipta keserasian.

“Apa yang penting, kami saling memahami dan mampu bergandingan suara dengan baik. Walaupun Azza masih muda, namun dia mempunyai suara yang baik,” katanya.

Bagi mereka yang berminat menyaksikan persembahan Sugar & Spice Band ini, bolehlah berkunjung ke Hotel Permai di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu setiap malam kecuali Khamis atau hubungi 09-6222122 untuk maklumat lanjut.

Harian Metro

Upin & Ipin Menanti Kehadiran VIP

16 Apr


JENAMA Upin dan Ipin wajar dibanggakan oleh seluruh masyarakat kerana telah diterima oleh masyarakat luar.

PENGORBANAN berlatih selama enam bulan oleh para pelakon Upin & Ipin the Musical telah berbalas apabila menerima khabar gembira bahawa persembahan mereka akan turut ditonton oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada 20 April ini.

Khabar gembira itu tidak terhenti di situ sahaja, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman juga telah menyatakan kesudian untuk hadir di Malam Gala Upin & Ipin the Musical pada 29 April.

Sesungguhnya, sokongan yang ditunjukkan oleh pemimpin besar negara mampu menjadi pendorong dan membakar semangat untuk semua unit produksi memberikan persembahan terbaik.

Ini kerana mereka merasakan apa yang dicurahkan dalam bidang seni mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada pemimpin.

‘Bukan wang ringgit atau sanjungan yang kita harapkan, tetapi apabila mereka sudi untuk bersama-sama kami terutamanya generasi muda, ia adalah harta yang tidak ternilai.

‘Secara langsung ini memperlihatkan fungsi pemimpin yang sentiasa peka dan berjiwa rakyat serta menyanjung produk tempatan,’ kata Penerbit Eksekutif Upin & Ipin the Musical, Siti Rohayah Attan ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, apabila mendengar khabar berita itu, tenaga produksi terutama para pelakon kanak-kanak semuda usia lima tahun cukup gembira dan tambah bersemangat.

Ada antara mereka yang memang sudah rapat dan mengenali Tun Siti Hasmah kerana beliau telah melancarkan muzikal ini pada Februari lalu.

Menurut Siti Rohayah, dia mengharapkan sokongan daripada golongan bertaraf pemimpin dan VIP memandangkan ia adalah produk Malaysia yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa dalam bidang Animasi 3D.

‘Jika ramai yang membanggakan teater luar seperti Lion King, Peter Pan, Aladdin dan Shrek, sebenarnya Upin & Ipin the Musical adalah produk tempatan yang setaraf atau mungkin lebih baik daripada produk import.

‘Teater muzikal ini membawa nama tempatan, budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan cerita sendiri dengan bahasa yang mudah. Maka ia wajar disokong semua pihak,’ ujarnya.

Justeru, pengiktirafan yang diberikan oleh pihak luar mahupun dalam negara terhadap filem dan siri televisyen Upin & Ipin wajar diiringi dengan sokongan menonton teaternya yang julung kali dipentaskan dari 14 April hingga 7 Mei ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Upin & Ipin the Musical dijangka mencipta sejarah menjadi teater paling lama dipentaskan di IB iaitu sebanyak 30 persembahan.

Ia dibawakan oleh Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (LCP) dan CTRA Production dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Hotfm. Ia ditaja oleh KPJ Healthcare Berhad.

Muzikal itu menyajikan 20 lagu ciptaan komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah), diarahkan oleh Zaifri Husin manakala A.Aris Kadir bertindak sebagai koreografer.

Penerbit Bersama ialah Burhanuddin Md. Radzi dan Ainon Ariff dari LCP.

Teater ini menampilkan 56 pelakon pelbagai bangsa dengan pelbagai watak termasuklah watak Upin, Ipin, Mail, Ehsan, Jarjit, Mei-Mei, Fizi, Susanti, Kak Ros, Opah, Cikgu Jasmin, Tok Dalang, Sally dan Dr. Ravi. Diketengahkan watak baru seperti Puteri Cinonit, Tok Batin, Labah-Labah, Buku-Buku dan Mentadak Mentadu.

Upin & Ipin the Musical menceritakan kisah Puteri Cinonit yang mengembara hingga ke dunia untuk mencari erti kegembiraan. Puteri diberitahu bahawa orang yang paling gembira di dunia ini ialah Upin dan Ipin walaupun mereka yatim piatu dan menumpang kasih dengan Opah dan Kak Ros.

Justeru, Puteri Cinonit telah mengarahkan Rama-Rama untuk ‘menculik’ Upin dan Ipin serta dibawa ke Istana Pokok. Di sinilah Upin dan Upin membuka rahsia mengapa mereka sentiasa gembira.

Melalui pementasan ini beberapa teknologi akan digabungkan termasuklah flying bar dan teknologi animasi 3D.

Tiket berharga antara RM36 hingga RM456 boleh didapati dengan menghubungi 03-41478600 dan 03-61866592 atau layari http://www.ticket2u.biz.

Utusan