Archive | Sheila Majid RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tiada Pilih Kasih

27 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16

TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.

Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.

“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.

Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.

“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.

“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.

“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.

Ketengahkan single terbaik bukan popular

Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.

“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.

“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.

“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.

Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.

Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.

Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.

“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.

Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.

Berita Harian

Kelincahan Jemari Steve Thornton

12 Mar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Artis-artis tersohor negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan antara yang pernah mendapatkan khidmat anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

APABILA menyebut tentang perkusi, nama Steve Thornton pasti akan disebut sebagai salah seorang pemain terhebat bertaraf antarabangsa.

Kelincahan beliau memainkan pelbagai jenis alat muzik membuatkan setiap penonton yang menyaksikan persembahannya terpegun dengan irama yang terhasil daripada sentuhan jejari lelaki berbakat itu.

Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan merupakan antara nama-nama besar yang pernah mendapatkan khidmat dan sentuhan daripada anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

Itu di Malaysia. Untuk peringkat antarabangsa, Steve juga pernah dijemput mengiringi siri persembahan atau jelajah artis terkemuka seperti Kris Dayanti, Harry Belafonte, Jackie Cheung, Mongo Santamaria, Sadao Watanabe dan ramai lagi.

Apa yang pasti, kebolehan Steve bermain apa sahaja alat perkusi menjadikan dirinya dikenali dan mempunyai ‘jenama’ tersendiri.

Ibarat irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitu jugalah Steve atau nama sebenarnya Hanson Lee Steve Thornton dengan alat perkusi. Pantang memegang atau menyentuh sebarang alat, tangannya pasti ligat memainkan aneka bunyi-bunyian yang menceriakan suasana.

Alat muzik perkusi bermaksud sesuatu alat yang boleh menghasilkan bunyi atau suara apabila dipukul, ditepuk, ditabuh, digoyang, digosok atau apa saja tindakan lain yang boleh membuatkan objek bergetar.

Ia boleh dilakukan sama ada dengan suatu alat, tongkat mahupun sekadar tangan kosong.

Perkusi berasal daripada istilah Latin iaitu percussio yang bermaksud memukul dan percussus (pukulan). Antara alat muzik yang termasuk dalam kategori perkusi ialah gamelan, drum marimba, tamborin dan lain-lain.

“Saya memang begini. Pantang memegang sebarang peralatan tanpa memainkannya. Ia seolah-olah sudah sebati dengan jiwa saya,” kata Steve kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


KELUARGA bahagia yang menjadikan muzik untuk menyatukan mereka.

Steve atau nama Islamnya, Hassan Ali menceritakan bahawa dia mula meminati alatan dram ketika berusia tujuh tahun. Waktu itu, dia amat teruja mendengar paluan kongga Mongo Santamaria menerusi lagu Watermelon Man nyanyian Herbie Hancock yang sering dipasang abangnya.

Pada tahun 1968, Steve menubuhkan grup pertamanya, The Young Explosives, sebuah kumpulan berkonsepkan Latin-Jazz yang terdiri daripada empat orang. Mereka mengadakan persembahan di stesen televisyen tempatan di Channel 5 Inside Bedford-Stuvyesant dan di Apollo Theatre.

Setahun kemudian, Steve bertemu Mongo Santamaria di Kelab Beacon, 111 Street dan Lennox Avenue. Apabila dia memberitahu Mongo betapa dirinya begitu meminati pemuzik tersebut, Mongo kemudian meminta Steve bermain kongga bersama kumpulannya.

“Mendengarkan paluan tiga kongga yang saya mainkan, Mongo amat seronok lantas duduk bermain di sebelah saya. Kami bermain untuk beberapa ketika sebelum akhirnya Mongo memuji kehebatan saya bermain.

“Itulah pengalaman paling manis yang saya lalui sepanjang hidup ini. Ia boleh diibaratkan seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” kata Steve yang kemudian sering mengadakan persembahan bersama kumpulannya dan merakamkan irama salsa dengan kumpulan tempatan lain.

Ketika bermain di kelab, Steve akan memanggil gurunya datang menonton persembahannya.

“Tujuannya supaya mereka tahu saya ponteng kelas kerana bermain muzik. Namun, apa yang menggembirakan saya ialah guru-guru banyak memberi dorongan agar saya meneruskan minat dalam bidang ini,” jelas Steve yang menjadikan Mongo Santamaria sebagai idolanya meskipun pemuzik unggul itu sudah meninggal dunia pada tahun 2003.


AKSI Steve bersama Datuk Ahmad Nawab (kanan) dan Man Kidal.

Steve, anak ke-13 daripada 14 beradik itu kemudiannya mula bermain secara profesional pada tahun 1972 sewaktu mengiringi persembahan Jon Lucien dalam jelajah di negaranya, AS.

Sejak itu dia sering diundang mengiringi penyanyi-penyanyi terkemuka termasuk Harry Belafonte. Malah Steve juga menjadi pemuzik undangan untuk album rakaman Dizzy Gillespie, Grover Washington Jr., Herbie Hancock dan Sadao Watanabe.

Pada tahun 1989, buat kali pertamanya Steve berkunjung ke Malaysia kerana mengiringi persembahan Sadao Watanabe, pemuzik Jazz terkemuka dari Jepun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Di situlah, dia mula mengenali Faridah Sanusi yang kemudian disunting menjadi suri hatinya. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan suami isteri itu dikurniakan empat orang cahaya mata, tiga perempuan seorang lelaki.

Anak-anak mereka iaitu Suraya; 15, Hakeem; 13, Sabrina; 9 dan Sadia; 7 masing-masing mewarisi bakat yang dimiliki Steve dalam bermain alat muzik.


ANTARA koleksi hadiah yang diberi oleh anak-anak Steve.

Menurut Faridah, kesemua anaknya menunjukkan minat dalam bidang muzik. Malah, mereka juga pandai bermain beberapa jenis alat muzik seperti piano, gitar selain puluhan alat perkusi milik bapanya.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak pernah menghalang mereka menceburi bidang yang digemari sebaliknya terus memberi sokongan kepada mereka. Tetapi, kami juga tidak pernah memaksa mereka mengikut jejak langkah ayahnya. Itu semua datang daripada minat mereka sendiri.

“Sabrina contohnya, mempunyai suara yang sedap dan boleh menyanyi dengan baik. Malah, dia bercita-cita untuk menjadi seorang superstar satu hari nanti,” ujar Faridah sambil mengakui dirinya meminati muzik tetapi tidak pandai bermain peralatan perkusi.

Bagi Suraya, dia bangga dilahirkan sebagai anak kepada Steve Thornton. Pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah antarabangsa itu mengagumi bakat ayahnya.

“Ayah seorang pemuzik yang hebat. Sukar untuk dinafikan kehebatannya bermain alat perkusi. Dia juga banyak mendorong kami adik-beradik untuk sentiasa yakin dalam setiap bidang yang mahu diceburi.

“Kalau boleh, saya juga mahu menjadi seorang yang hebat seperti ayah tetapi mungkin sukar. Namun, saya tidak akan berputus asa. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk kita memperoleh impian yang telah dibina,” ungkap Suraya.


SABRINA (kanan) dan Sadia juga pandai bermain piano.

Steve peluk Islam kerana azan

PADA tahun 1992, Steve Thornton sering berulang-alik dari AS ke Malaysia sebagai pemuzik undangan untuk persembahan artis-artis tempatan.

Satu hari, sewaktu menjalani rakaman sebuah klip video, laungan azan pada waktu tersebut turut terakam.

Apabila mendengar semula rakaman tersebut, hatinya menjadi sayu kerana pada pendengarannya azan tersebut begitu merdu.

“Pada saya laungan azan adalah satu irama yang merdu berbanding irama lain. Sewaktu sering berulang alik ke Malaysia, saya selalu menyewa bilik di Hotel Micasa, Jalan Ampang.

“Setiap pagi apabila bangun tidur, saya buka tingkap. Saya dapat dengar empat laungan azan yang berbeza dari masjid berhampiran. Laungan itulah yang telah membuka hati saya untuk memeluk Islam,” katanya yang memilih nama Hassan Ali kerana ia seolah-olah hampir dengan nama asalnya Hanson Lee.


STEVE sentiasa memberi kebebasan pada anak-anaknya dalam bidang yang diminati.

Sementara itu, Steve memberitahu, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam bidang ini, dia telah memainkan ratusan atau mungkin ribuan peralatan perkusi.

Ini kerana, menurut Steve peralatan perkusi tidak terhad pada sesuatu barang sahaja. Sebaliknya, apa sahaja benda yang boleh mendatangkan bunyi adalah alat perkusi.

Antara peralatan perkusi yang ada dalam simpanannya ialah bonggo, kongga, cowbell, rattler, pandero, wood blocks, guiro, tamborine, shaker dan banyak lagi.

Kosmo

Soseh Soseh: Sheila Majid Pengetua AF7?

10 Feb

Rap
SEPERTI biasa sebaik masuk saja musim baru program realiti TV, Akademi Fantasia, pelbagai spekulasi ditimbulkan pemerhati dan peminat setia rancangan itu.

Tidak terkecuali, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang kini giat menjalankan uji bakat bagi memilih pelajar dirasakan layak.

Selain pelajar antara yang menjadi perhatian adalah pengacara, tenaga pengajar dan pengetua yang bakal mengendalikan kelas diadakan.

Tahun ini SS mendapat beberapa maklumat daripada sumber dalaman penerbitan AF7 itu sendiri.

Difahamkan pada tahun ini Sarimah dan AC Mizal masih lagi dikekalkan sebagai pengacara.

Seperti biasa Sarimah atau lebih popular dengan panggilan Kak Mah Gali akan mengacarakan rancangan Diari, disiarkan setiap hari sementara AC Mizal akan mengendalikan konsert mingguan.

Kata sumber itu lagi, pengacara tidak mungkin akan bertukar kerana masing-masing sudah menandatangani kontrak untuk lima tahun.

Bermakna Aznil tidak akan kembali sebagai pengacara seperti apa yang digembar-gemburkan sebelum ini? Menyentuh mengenai hal itu kata sumber, Aznil tetap akan kembali dalam AF7 tetapi bukan sebagai pengacara atau tenaga pengajar sebaliknya dia diberikan tugas sebagai pengkritik tetap.

Begitupun jawatannya itu boleh ditukar di saat-saat akhir kerana kontrak belum lagi ditandatangani.

Lalu siapakah yang akan mengendalikan AF7 sebagai pengetua? Apa yang SS tahu setakat ini produksi baru yang mengendalikan rancangan ini sudah bertemu dengan ramai calon sesuai termasuklah Datuk Sheila Majid.

Katanya lagi, Sheila tertarik dengan tawaran diberikan untuk menjadi pengetua AF7, bagaimanapun pengesahannya belum lagi diperoleh kerana seperti Aznil, penyanyi digelar ratu jazz itu juga belum lagi diberikan kontrak.

Takut nanti apabila berita ini SS sudah siarkan ia tidak lagi menjadi kejutan, dan terpaksa mereka menjadi calon lain.

Apapun bukankah Akademi Fantasia penuh kejutan.

Harian Metro

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

Medan Syurga Beli-Belah

16 Oct

Oleh Idris Sulaiman
rencana@hmetro.com.my

Malah, kota Medan menawarkan pelbagai barangan dengan kadar yang murah selain pelbagai barangan kulit asli dan fabrik khususnya kain batik bermutu tinggi, pastinya memikat pengunjung untuk berbelanja besar.

Anda pasti terperanjat peniaga di seberang turut menjadikan nama besar selebriti tanah air seperti Mawi dan Sheila Majid untuk memancing pelancong dari Malaysia mengunjungi gerai mereka.

Namun, ramai berpendapat Medan di Sumatera Utara, Indonesia kini bukan lagi kawasan tumpuan beli-belah. Ini berikutan harga ditawarkan tidak semurah dulu, tetapi sekiranya bijak menawar maka barangan yang dibeli itu memang berbaloi.

Pengalaman menarik penulis ketika membeli-belah di toko yang bukan saja menjual pelbagai barangan jeans dan kulit tetapi membuat kasut dan menggunakan tanda perniagaan ‘Made in USA’. Menariknya, apabila ditanya, pantas pemilik menjawab, ‘Usaha Sendiri Aja’.

Medan memang bandar sibuk dan padat. Di sini juga letaknya sebuah istana lama kepunyaan Sultan, Istana Maimoon dan Masjid Raya yang menjadi satu-satunya peninggalan kesultanan Deli yang memerintah pada 1888.

Istana Maimon agak unik dan kaya dengan seni ukiran yang menghiasi dinding, serambi hinggalah kepada perabotnya yang penuh dengan ukiran yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Malah, istana yang berusia hampir 150 tahun itu turut mempunyai pelbagai lampu hiasan pelbagai warna yang begitu menakjubkan.

Destinasi berikutnya penulis mengunjungi Berastagi, satu lagi pergunungan berapi yang masih aktif. Oleh kerana jaraknya hanya dua jam dari Medan, penulis mengambil keputusan menyewa van kerana mahu kembali semula ke Medan.

Kembali ke Medan, kami meneroka kehidupan malam di kota ini.

Banyak penjaja dan pemilik kedai berketurunan Batak, manakala bakinya datang dari daerah berhampiran termasuk Bandung. Terkejut seketika apabila ada penjaja yang menjual babi panggang di bahu jalan. Tetapi itulah realiti negara jiran yang mempunyai ratusan etnik, suku kaum dan agama.

Harian Metro

Derum Tengku Djan Ley

6 Sep

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

TIDAK sukar mendekati Tengku Djan Ley Tengku Tan Sri Mahaleel. Masih solo pada usia 32 tahun, sentuhan driftnya terus ‘mengaum’ di pentas sukan drift antarabangsa. XY – Ikon Lelaki lantas mengetuk pintu hatinya untuk membuka cerita…

PAGI lagi kami bertemu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor. Puas mengatur janji, hanya pagi itu saja waktu terbaik menemui Raja Drift negara ini yang cukup sibuk menerajui pasukan Team Proton R3 beraksi dalam Merdeka Millennium Endurance (MME).

Temu janji yang diadakan beberapa hari sebelum MME nyata memperlihatkan kesibukan Tengku Djan Ley Tengku Tan Sri Mahaleel yang kali ini bertindak sebagai Pengurus Pasukan untuk jentera Satria Neo R3 dan Waja yang beraksi dalam Kelas B, manakala Satria dalam Kelas C.

Jelas sekali ada aura kerisauan dalam diri anak teruna Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff kerana bakal mengepalai cabaran lebih berat berbanding tugas sebagai pemandu untuk kejuaraan 12 jam itu.

Dalam kesibukan tugas barunya, Tengku Djan Ley masih sempat bercerita mengenai perkembangan baru mengintai peluang menyertai kejuaraan lebih profesional. Tanpa berselindung, beliau menceritakan tawaran menyertai Kejuaraan Dunia Drift di California, Amerika Syarikat (AS) pada 15 November depan.

Bagi Tengku Djan Ley, kejuaraan itu penting kerana ia bakal menghimpunkan jagoan dari seluruh dunia selain mempraktikkan skil dan bakat sebenar dalam sukan drift. Memandu secara menggelongsor atau ‘drift’ bagi beliau cukup memberi kepuasan.

“Ini buruan juara saya seterusnya bagi melengkapkan kepuasan sepanjang menceburi sukan drift. Mengikut apa yang saya tahu, kali ini kejohanan lebih meriah kerana menghimpunkan seramai 32 pemandu dari 12 negara di seluruh dunia. Memang tidak sabar menunggu detik itu bermula,” katanya yang segak pagi itu dengan persalinan kemeja Polo dipadankan bersama seluar khakis warna krim.

Mengakui sukan drift bagai nadi kehidupannya, Tengku Djan Ley berkata, itulah karier dan ‘teman hidupnya’ untuk tempoh beberapa tahun akan datang ini. Katanya, kepuasan memandu kenderaan itu sukar diungkap dengan kata-kata berbanding kereta lumba.

Mengapa sukan drift dan tidak kereta lumba atau F1 seumpamanya?

“Bukan dari segi menarik atau prestij kerana kereta lumba dan sukan dirft jauh berbeza. Kereta lumba banyak memfokuskan kepada teknik pemanduan dan harus bersaing dari segi kepantasan, sementara sukan drift menjurus kepada skil serta cara kita mempraktikkan kebolehan dalam rutin pemanduan,” kata Tengku Djan Ley panjang lebar.

Beliau yang juga juara pertama kejohanan D1 Grand Prix Malaysia 2006, pantas memacu nama sebagai ikon bagi sukan ekstrem itu. Namanya bagaikan tidak boleh dipisahkan daripada sukan permotoran kerana bukan sekadar ‘jaguh kampung’, bakatnya membawa ke pentas antarabangsa.

Bakatnya diiktiraf dunia apabila muncul lima peserta terbaik kejohanan D1 Grand Prix 2006 World All-Star di Irwindale Speedway, California, AS. Kejohanan ini menghimpunkan lebih 30 pemandu drift terbaik dari seluruh dunia.

“Jika hendak dibandingkan dengan sukan F1 atau lumba kereta lain, nyata Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi kemajuan teknologi dan pendedahan dalam dunia permotoran. Tetapi tidak bagi sukan drift kerana ini adalah aktiviti ekstrem yang masih baru dipopularkan di seluruh dunia.

“Sehubungan itu, faktor pengalaman di kalangan pemandu semua di peringkat adalah sama rata,” katanya sambil menyatakan perlu usaha lebih agresif semua pihak mewujudkan platform aktiviti sukan drift dan melahirkan bakat baru di peringkat antarabangsa.

Melihatkan ketaksuban Tengku Djan Ley menceritakan minat dalam dunia automotif membayangkan tentunya anak muda ini memiliki deretan kenderaan berkuasa enjin yang bukan calang-calang. Benarkan begitu?

“Tidaklah sampai begitu sekali, percaya atau tidak saya hanya ada dua kereta saja untuk kegunaan sehari-hari. Satu itu yang saya kerap gunakan adalah Proton Waja dan satu lagi Mitsubishi Lancer yang saya pandu pada hujung minggu.

“Kereta ini pun saya tidak lakukan pengubahsuaian, cukuplah hobi memandu dicurahkan pada kereta drift saja,” katanya tertawa.

Puas bertanyakan mengenai kejayaan beliau dalam sukan drift serta fanatiknya dalam dunia permotoran, XY – Ikon Lelaki lantas cuba menyelami kehidupan peribadinya serta persepsinya dengan lawan kromosomnya, XX. Ikuti paparan berikutnya…

XY: Terangkan mengenai personaliti diri anda?

Saya seorang yang fokus dalam setiap perkara. Bagi saya, setiap benda yang diceburi harus menyerlah seperti mana menyertai mana-mana kejuaraan. Haruslah memasang impian bergelar juara, bukan di tempat kedua mahupun ketiga. Bukankah juara lebih dikenang?

XY: Kata orang, lelaki lebih cintakan kereta daripada teman wanita sendiri? Bagaimana pula dengan anda?

Bagi saya, sejauh mana minat kita sekalipun dalam sukan permotoran haruslah seimbang dengan kehidupan seharian. Tidak harus melebihkan teman wanita mahupun kereta. Saya lebih sukakan balance. (tersenyum).

XY: Adakah anda seorang lelaki yang romantis?

Bergantung kepada keadaan. Saya bukanlah serius atau memberi komitmen secara langsung di litar hingga tiada masa untuk membahagiakan pasangan. Bagi saya, romantis cara saya ialah pada keadaan tertentu.

XY: Adakah anda sekarang sudah berpunya?

Ya. Saya sudah dimiliki. Kami sudah berkenalan lebih 18 tahun dan saya rasakan dialah calon sesuai untuk diri saya. Kami juga seusia (bakal berusia 32 tahun).

XY: Ciri-ciri wanita pilihan?

Pertama sekali, haruslah saling memahami mengenai kerja dan objektif hubungan yang terjalin. Kedua, keserasian sebagai kawan baik perlu ada untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama di kemudian hari.

XY: Apakah istimewanya wanita Melayu di mata anda?

Saya rasakan, selain personaliti mereka yang lembut, faktor budaya banyak membentuk keperibadian wanita Melayu. Ini jelas bagaimana mereka berjaya menguruskan hal rumah tangga, taat perintah agama dan membentuk hubungan kekeluargaan yang erat.

XY: Lelaki sering dikaitkan dengan sukan bermotor. Mengapa begitu?

Saya sendiri sukar untuk menterjemahkannya. Mungkin faktor ego serta sifat kelelakian yang agak kasar membentuk peribadi seseorang lelaki untuk meminati bidang permotoran. Sukan bermotor inilah yang banyak membentuk karektor lelaki.

XY: Tidak ramai yang mampu berkecimpung dalam sukan dirft. Komen anda?

Saya rasa tidak begitu. Kerana sukan drift sebenarnya lebih murah kos pengendalian berbanding dengan sukan lumba kereta lain. Banyak model kereta boleh diubahsuai menjadi kenderaan drift dan hanya perlu dipertingkatkan enjin dan tayar berbanding kereta lumba yang harus melalui pengubahsuaian lebih besar. Jika kita sudah mencapai tahap profesional, bantuan lain seperti penajaan banyak membantu dari segi kewangan. Tidak perlu risau kedudukan kewangan.

XY: Pembabitan anda dalam sukan bermotor sedikit sebanyak membuka ruang untuk wanita lebih mendekati anda. Adakah sukan drift jelas menaikkan populariti Tengku Djan Ley?

Saya tidak nafikan publisiti banyak membantu menaikkan nama saya hingga dikenali ramai. Namun, jujur saya katakan yang itu bukan tujuan saya berkecimpung dalam dunia permotoran kerana minat saya cenderung dalam sukan drift. Publisiti berlebihan hanya mengganggu kehidupan dan membuatkan privasi kita lebih terhad.

XY: Sejauh mana anda ingin serius dalam sukan drift?

Sasaran saya adalah menempatkan diri dalam lima kelompok pemandu drift terbaik dunia. Untuk itu, saya bekerja keras semata-mata mahu merealisasikan sasaran berkenaan.

XY: Selain sukan drift jenis sukan lain yang menjadi pilihan?

Buat masa ini memang tiada masa untuk fokus dalam sukan lain. Tapi, kemungkinan saya akan berjinak-jinak dalam sukan golf dan berusaha mendapatkan lesen mendalami sukan itu pada masa depan.

XY: Aktiviti yang dilakukan pada waktu lapang?

Tiada yang lebih bermakna selain bersama keluarga tercinta. Sesibuk manapun kami sekeluarga akan berusaha untuk menikmati malam malam bersama. Cara ini saja yang mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan selepas masing-masing sibuk waktu siang. Saya pula hanya ada seorang saja adik, Tengku Ezan yang kini berusia 25 tahun.

Profil

Nama: Tengku Djan Ley Tengku Tan Sri Mahaleel

Umur: 32 tahun

Tarikh lahir: 30 Disember 1976

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Jawatan: Pengurus Kanan Bahagian Sukan Bermotor Proton R3 (Race.Rally.Research)

Pendidikan: Kejuruteraan Automotif di Jerman

Antara pencapaian:

Tempat kelima kejohanan D1 Grand Prix 2006 “World All Star”, California, Amerika Syarikat

Juara D1 Grand Prix Malaysia 2006

Juara perlumbaan Merdeka Millennium Endurance 2005 dan 2006.

Kenali Tengku Djan Ley

Sukakan pantai dan pulau. Setiap tahun pasti berkunjung ke Pantai Timur Semenanjung bersama keluarga untuk bercuti.

Tidak suka melepak.

Manfaatkan waktu lapang dengan bersantai di rumah bersama keluarga.

Keluarga adalah sumber inspirasi dan keutamaan.

Wanita baginya semakin agresif dan semakin menyaingi lelaki dari segi pencapaian, pendidikan dan kemampuan.

Ibunya adalah idola wanita terbaik.

Mempunyai himpunan sehingga lebih 500 koleksi kereta mainan dan perhiasan yang dikumpul sejak berusia 17 tahun.

Memasang impian untuk menamatkan zaman bujang, akhir tahun ini bersama pasangan yang sudah dikenali sejak 18 tahun dulu.

Kagum dengan bakat Sheila Majid dari aspek kejayaan nyanyian, keperibadian dan keluarga.

Berita Harian