Archive | Maria Menado RSS feed for this section

Karya Imuda Serikan Galeri Perfileman Finas

16 Jan

Oleh ABD. AZIZ ITAR

JINS Shamsudin (bersongkok) bersama Imuda (kanan) dan para pelakon veteran ketika merasmikan Program Tiada Gambar Seindah Lukisan bersama Imuda di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SELAMA ini, Galeri Perfileman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur agak sunyi sepi tanpa pengunjung terutamanya para pencinta dunia filem Melayu.

Ini kerana, lokasi galeri yang menempatkan pelbagai khazanah perfileman tanah air itu bukan sahaja tersorok, malah tidak banyak aktiviti yang dianjurkan bagi menarik perhatian para pengunjung sejak ia dibuka pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, mulai bulan ini perbadanan itu telah merancang pelbagai aktiviti di galeri perfileman tersebut supaya apresiasi di kalangan peminat filem Melayu dapat dipertingkatkan.

“Kami menyasarkan tiga kelompok pengunjung iaitu artis-artis baru, pelajar dan orang ramai agar kerap berkunjung ke galeri ini dengan terbabit sama dalam aktiviti-aktiviti yang akan kami adakan sepanjang tahun ini.

“Antara aktiviti yang akan diadakan termasuklah peraduan melukis potret artis-artis veteran dan pertandingan menyanyi karaoke lagu-lagu lama,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Tiada Gambar Seindah Lukisan Bersama Imuda di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Finas, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin itu menerima sumbangan potret wajah-wajah artis veteran yang dilukis oleh Imuda untuk dipamerkan di galeri itu yang dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Sebagai permulaan lima potret pelakon veteran iaitu Datuk Maria Menado, Datuk Sarimah Ahmad, Datin Rosnani Jamil, Datin Umi Kalthum dan Latifah Omar akan mengisi ruang pameran galeri itu mulai 12 Januari lalu.

Jelas Mohd. Mahyidin, bagi menarik orang ramai berkunjung ke Galeri Perfileman Finas, pihaknya akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah bas percuma.

“Kami akan menyediakan sekurang-kurangnya tiga buah bas bagi membawa para peminat filem Melayu dari sesebuah kawasan terutamanya dari luar bandar bagi berkunjung ke sini.

“Kami juga akan mengenal pasti sekolah-sekolah tertentu dan membawa para pelajar mereka ke galeri ini bagi mendapatkan pendedahan tentang dunia perfileman Melayu.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan di Galeri Perfileman Finas yang mana setiap aktiviti berbeza pada setiap minggu,” ujarnya.

Tambah Mohd. Mahyidin lagi, selain Finas, aktiviti-aktiviti di galeri itu juga akan dibantu oleh Portal Cinema Malaysia yang kini mempunyai lebih 2,000 ahli dan sembilan Kelab Pencinta Filem yang terletak di bawah kendalian perbadanan tersebut.

Sementara itu, pelukis dan pelakon Imuda berasa bangga kerana diberi kepercayaan oleh Finas untuk melukis potret pelakon-pelakon veteran dan dipamerkan di galeri itu.

“Saya memang gembira apabila idea saya untuk mengabadikan potret artis-artis veteran di galeri ini yang saya usulkan dua tahun lalu diterima oleh Finas.

“Selain itu, saya mahu artis-artis veteran bukan sahaja dihargai tetapi potret-potret mereka juga dapat ditatapi oleh para peminat filem Melayu pada hari ini hinggalah generasi akan datang.

“Selepas ini, saya akan melukis beberapa potret artis-artis veteran lagi di mana senarai nama artis-artis veteran itu akan diberikan oleh pihak Finas,” katanya.

Tambah Imuda atau nama sebenarnya A. Rahim Muda, 47, beliau mengambil masa lima hari untuk menyiapkan sebuah potret yang menggunakan cat minyak.

Selain pelancaran program itu, turut dianjurkan ialah pertandingan melukis potret yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu profesional dan amatur serta acara berkaraoke lagu-lagu yang dipetik daripada filem-filem Melayu lama.

Hadir sama pada majlis itu ialah pelakon veteran Sarimah Ahmad, Maria Menado, Umi Kalthum, Rosnani Jamil dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab.

Powered by Utusan Malaysia