Archive | Izwan Pilus RSS feed for this section

RTM Cari Pengacara Baru

3 Jul


PASANGAN pengacara, Izwan Pilus (kiri) dan Abby Nadzri ketika mengendalikan sebuah program TV terbitan RTM, Suara Emas Bintang RTM 2007.

Dikecam, dikritik dan bahkan ada segelintir pihak yang memandang sebelah mata dengan kredibiliti program-program terbitan RTM, itu semua tidak mematahkan semangat tenaga kreatif di belakang tabir stesen TV tertua ini untuk terus mencari dan melahirkan program-program berkualiti.

Bukan hanya program terbitan syarikat swasta, produksi RTM sendiri tidak kalah semangat, antara yang masih bertahan dan ditonton ramai termasuklah Panorama, Agrotek serta Selamat Pagi Malaysia.

Seiring dengan pembaharuan yang sedang direncanakan, RTM mempelawa bakat-bakat baru sebagai pelapis yang akan mengendalikan program-program terbitan RTM yang baru mahupun yang diagendakan semula.

Syarat-syaratnya, berusia dari 22 hingga 30 tahun, mempunyai personaliti menarik, bijak berkomunikasi, berbakat serta boleh menulis dengan baik. Sudah namanya pengacara program majalah TV, pengetahuan luas tentang perkembangan semasa dan umum pastinya satu kelebihan.

Kosmo

Konsert Gegar Olimpik Di RTM1

7 May

Kumpulan 6ixth Sense

MENGAMBIL inisiatif menambahkan kemeriahan Sukan Olimpik 2008, RTM mengambil peluang menganjurkan Konsert Gegar Olimpik ’08 yang akan berlangsung pada 11 Mei ini, pukul 3.00 petang di RTM1.

Bertempat di Pangkalan Lumut, Perak, RTM menjanjikan kepuasan berterusan kepada audiensnya seiring dengan sambutan gilang-gemilang Hari Terbuka Armada 2008 dan ulang tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menariknya, Konsert Gegar Olimpik 2008 bakal menyaksikan kolaborasi artis-artis tanah air dengan seleksi pilihan lagu popular masing-masing dalam menghiburkan penonton sepanjang dua jam siarannya.

Artis-artis yang terlibat dalam konsert berkenaan ialah Mas Idayu, Adam AF, Siti Sarah Raisuddin, Izwan Pilus, Sheila Abdul, Vic Teoh, Jerry John, Kumpulan 6ixth Sense dan Butterfingers.

Pastinya kerinduan peminat Mas Idayu yang agak lama aksinya tidak dilihat di pentas terubat menyaksikan kemunculannya menyanyikan lagu-lagu popularnya yang pernah menjadi siulan suatu ketika dulu.

Begitu juga dengan Adam AF yang baru-baru ini menggondol kemenangan menerusi pertandingan akhir anjuran RTM, Hits 1.

Adam bakal menghiburkan peminat setia dengan aksi dan tariannya yang bersahaja selain persembahan vokal mantap dijanjikan Siti Sarah Raisuddin, Izwan Pilus dan Sheila Abdul dalam persembahan mereka.

Namun tidak dikecualikan juga dua nama artis berlainan bangsa, Vic Teoh dan Jerry John yang dianggap bonus menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa ibunda masing-masing.

Sudah tentu juga kemunculan dua buah kumpulan muzik, 6ixth Sense dan Butterfingers mampu memenuhi kepuasan penonton yang sentiasa dahagakan persembahan dengan iringan muzik disampaikan secara langsung.

Kepada anda yang ternanti-nantikan konsert yang mampu menjanjikan kepuasan berterusan, jangan lepaskan peluang menonton Konsert Gegar Olimpik ’08 pada 11 Mei ini pada pukul 3.00 petang di RTM1.

Powered by Utusan Malaysia