Archive | Juwita Suwito RSS feed for this section

Penyertaan Album AIM16 Makin Merosot

30 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hemtro.com.my

Rap
JUMLAH album yang dipertandingkan untuk Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) semakin merosot apabila tahun ini hanya 50 penyertaan diterima.

Walaupun sebelum itu penyertaan dikatakan menggalakkan namun perkara itu hanya berlaku selepas beberapa kategori baru diwujudkan. AIM 16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8.30 malam.

Penganjur pertandingan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) menerima hampir 700 penyertaan membabitkan kategori baru iaitu Lagu Terbaik dalam setiap genre.

Perkembangan itu benar-benar membimbangkan beberapa pertubuhan yang menjaga kepentingan industri muzik tempatan antaranya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) mahupun Akademi sendiri.

Sewaktu sidang akhbar mengumumkan calon lima terbaik AIM16, berlangsung di Concord Hotel baru-baru ini, Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar menjelaskan, walaupun banyak penyertaan diterima tetapi mutu kebanyakan lagu dihantar berada di tahap rendah. Tambahan pula piawaian ditetapkan Akademi sudah semakin meningkat kerana ia sudah 15 kali diadakan.

“Perkembangan ini amat menakutkan, dan beberapa pertubuhan dan persatuan bimbang sekiranya perkara ini berlanjutan kita sudah tidak akan ada lagi industri dalam bidang muzik.

“Waktu sama kami faham sebagai penggiat kebanyakan syarikat rakaman, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, jurutera muzik mahupun penyanyi sendiri tidak berani hendak melabur dalam jumlah besar apabila menghasilkan album.

“Sekarang ini proses untuk menghasilkan sebuah album termasuk promosi dan pemasaran memerlukan modal mencecah RM150,000, tetapi pulangan yang diterima hanyalah sekitar RM40,000 hingga RM60,000.

“Penggiat bertuah kerana sekarang mereka masih boleh bergantung kepada pasaran dalam bentuk digital iaitu muat turun muzik ke telefon bimbit memandangkan jualan dalam bentuk fizikal iaitu cakera padat dan album sangat perlahan dan tidak membantu.

“Bagi memastikan kerugian ditanggung tidak besar, kebanyakan penggiat menggunakan kos sangat rendah untuk menghasilkan lagu dan ia secara tidak langsung mempengaruhi mutu album dihasilkan. Sekiranya perkara ini berterusan akhirnya industri muzik tempatan akan mati,” katanya.

 

 

Bagi menangani perkara itu, Aziz secara peribadi berasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan membantu industri dengan menyediakan dana khas bagi membantu para penggiat dalam berkarya.

“Seperti juga dalam bidang lain iaitu perdagangan, keusahawanan dan pertanian industri muzik juga perlu modal rangsangan untuk menggerakkannya, oleh itu saya amat mengharapkan apa yang saya ketengahkan ini akan mendapat perhatian.

“Permohonan membabitkan dana ini akan dilaksanakan bersama semua persatuan yang bernaung dibawah industri muzik. Mekanisma belum ditetapkan tetapi andai ia diberikan, dana ini boleh disalurkan kepada Majlis Muzik Malaysia (MMM) sebagai badan induk.

“Dana ini boleh digunakan para penggiat yang mahu menghasilkan album dan kita mungkin tidak memberikan sepenuhnya sebaliknya ia bergantung kepada keperluan penggiat itu sendiri.

“Modal untuk menghasilkan album mungkin harus dikeluarkan sendiri oleh penyanyi ataupun penerbit dan dana pula digunakan untuk memasarkan atau mempromosikan karya dihasilkan,” katanya.

Di majlis pengumuman calon lima terbaik AIM16, kumpulan Estranged yang sebelum ini mengungguli Anugerah Juara Lagu tahun lalu menerusi single mereka Itu Kamu mendominasi pencalonan dalam lapan kategori.

Kumpulan ini menerima pencalonan daripada album Inggeris dihasilkan Remain Unknown. Membanggakan apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album itu turut dicalonkan dalam Lagu Rock Terbaik.

Datuk Siti Nurhaliza pula yang mempertandingkan album berkonsepkan etnik kreatif dan tradisional Lentera Timur menerima tujuh pencalonan, dan lagu pop dendangannya menjadi runut bunyi drama Spa-Q 2 Pada Cintanya turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik terbaik.

Timbul kekeliruan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik apabila lagu dendangan kumpulan Pop Shuvit, Marabahaya dipertandingkan sekali lagi atas alasan dialih bahasa. Begitu juga dengan Vokal Terbaik Lelaki/Wanita apabila ada yang dicalonkan lebih daripada satu lagu.

Menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul Ketua Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Jennifer Thomson berkata Marabahaya selain dialih bahasa, rakamannya juga baru terutama membabitkan susunan muziknya.

“Perkara ini sudah saya jelaskan kepada juri sewaktu penilaian dilakukan. Keputusan sama ada ia layak atau tidak mereka sendiri yang harus memutuskannya.

“Walaupun ada yang menolak Marabahaya dipertandingkan tetapi waktu sama masih ada juri memberikan markah kepada lagu itu. Secara tidak langsung apabila diaudit ia memiliki markah tinggi dan dicalonkan.

“Mengenai ada artis mendominasi kategori vokal apabila ia mempertandingkan single, kami akui perkara ini. Ini kali pertama ia dilakukan dan perlaksanaannya sudah tentu akan ada kelemahan. Kami akan memperbaikinya pada tahun akan datang.

“Pihak Akademi sendiri sudah nampak perkara seperti ini akan berlaku apabila single dipertandingkan dalam vokal. Kami sudah nyatakan kepada wakil syarikat rakaman sendiri agar menghantar satu lagu untuk kategori itu tetapi ada antaranya berkeras mahu menghantar sepuluh lagu terdapat dalam album dihasilkan artis mereka,” katanya.

Berikut adalah senarai penuh pencalonan AIM16.

Artis Baru Terbaik
1) Hujan
2) Joe Flizzow
3) Malique
4) Meet Uncle Hussain
5) Suki

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki)
1) Aizat – Lagu Kita
2) Bob AF2 – Cinta Terhalang
3) Reshmonu – Doa Untuk Dia
4) Reshmonu – Sayu
5) Ritan (Deja Voodoo Spells) – Rock ‘N’ Roll

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Perempuan)
1) Ayu – Hanya Di Mercu2) Dina – Sejauh Ini
3) Shila – Memori Tercipta
4) Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
5) Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album
1) AJAI dan Marsha – Sayang
2) ALL One – Bilal bin Rabah
3) Pop Shuvit – Marabahaya
4) Rabbani – Bila Nur Melimpah Di Hati
5) Raihan – Assubhu Bada

Kulit Album Terbaik
1) Hawa – Nikki
2) President – Joe Flizzow
3) Transit – Altered Frequency
4) Satu – Ferhad
5) Remain Unknown – Estranged

Rakaman Album Terbaik
1) Remain Unknown – Estranged
2) Finally/Akhirnya – Suki
3) Satu – Ferhad
4) Adam 3 – Adam
5) Harapan – Reshmonu

VIDEO MUZIK TERBAIK
1) Hanya Di Mercu – Ayu
2) Sampai Syurga – Faizal Tahir
3) Mati Hidup Kembali – Butterfingers
4) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
5) Oh Anok Anok – Reshmonu

Album Pop Etnik Terbaik
1) Khazanah Pujangga – Syura
2) Lentera Timur – Siti Nurhaliza
3) Selagi Ada Rindu – Shafie Ahmad
4) Zapin Suri – Haziq

Lagu Pop Etnik Terbaik
1) Di Kayangan Kita – Siti Nurhaliza
2) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
3) Dirgahayu – Ramlah Ram
4) Nafas Cahaya – Misha Omar
5) Zapin Suri – Haziq

Album Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Istimewa Tiada Dua – Nice
3) Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johani
4) Nostalgia Nadamurni – Rabbani
5) Setia – Wildan

Lagu Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Bila Nur Melimpah Di Hati – Rabbani
3) Kemuliaan Al-Quran – In Team
4) Serulah Namanya – Mawi
5) Teman Hakiki – Mawi

Album Rock Terbaik
1) Bongkar – Kristal
2) Hujan – Hujan
3) Keamanan – Nrocinu
4) Kembali – Butterfingers
5) Modern Minimals Glamour – The Times

Lagu Rock Terbaik
1) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
2) Aurora – Estranged
3) Bila Aku Sudah Tiada – Hujan
4) Dugaannya – Hujan
5) Yang Pernah – Estranged

Album Pop Terbaik
1) Alyah – Alyah
2) Arus Qudus – Yassin
3) Harapan – Reshmonu
4) Misha Omar – Misha Omar
5) Percubaan Pertama – Aizat

Lagu Pop Terbaik
1) Cinta Adam dan Hawa – Misha Omar
2) Dingin – Ziana Zain
3) Ketentuan – Ramlah Ram
4) Lagu Kita – Aizat
5) Sampai Di Sini – Misha Omar

Lagu Hip Hop Terbaik
1) Bergerak – Joe Flizzow
2) Isabella – Joe Flizzow
3) Mengapa Harus Bercinta – Jow Flizzow
4) Mentera Beradu – Malique feat. M.Nasir
5) Ok – Malique feat. Cat Farish

Album Inggeris Terbaik
1) Dark Sun Big Rain – Karen Nunis Blackstone
2) President – Joe Flizzow
3) Remain Unknown – Estranged
4) Take Five With Juwita Suwito at Avanti – Juwita Suwito
5) Tapestry Of Life – Shal Sagan

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
1) All Around My World – Joe Flizzow
2) Dances Of The Spirit – Estranged
3) In No Time – Estranged
4) KL Streets – Malique Feat. Lah
5) Marabahaya – Pop Shuvit

SUSUNAN MUZIK DALAM LAGU
1) Pada Cintanya – Siti Nurhaliza
2) Tiada Maaf – Daniel Lee
3) Aurora – Estranged
4) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
5) Bukan Mimpi – Farhan.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Advertisements

New Boyz Sedia Berentap

2 Apr

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

KUMPULAN New Boyz bersedia menghadapi IKON Malaysia 2.

SEKITAR Jun ini, stesen televisyen berbayar, Astro akan menganjurkan pertandingan yang menampilkan artis-artis tempatan bersaing merebut gelaran IKON Malaysia musim kedua.

Seperti musim pertama dulu, sebanyak 10 artis solo dan 10 artis berkumpulan akan berentap dalam memastikan mereka layak untuk mendakap gelaran tersebut.

Sememangnya, populariti dianggap satu jaminan untuk artis-artis berkenaan ‘menyingkirkan’ rakan saingan masing-masing berikutan kemenangan ditentukan oleh undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Atas dasar tersebut, mungkin ketika ini ramai yang sudah mula mencongak siapakah yang bakal dinobatkan sebagai IKON Malaysia untuk musim kedua ini.

Namun begitu, ada juga yang beranggapan sebaliknya, terutamanya kumpulan New Boyz yang turut tersenarai berentap bagi kategori berkumpulan.

Walaupun sudah mengecap populariti sejak di bangku sekolah, New Boyz melihat popular hanyalah sebagai satu bonus.

Menurut penyanyi utama kumpulan itu, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 24, IKON sememangnya tidak mempertaruhkan elemen popular tetapi ia lebih kepada kualiti persembahan.

“Semestinya IKON akan dinilai dari segi kualiti ketika artis terbabit beraksi di atas pentas nanti.

“Kalau ada sudah popular dan terkenal, ia merupakan satu bonus untuk bergelar IKON,’’ jelas Tomok ketika ditemui baru-baru ini.

IKON Malaysia mempunyai objektif untuk mempromosikan artis-artis dan muzik tempatan ke peringkat ASEAN.

Kerjasama dengan IKON Malaysia memperlihatkan betapa Astro menyokong perkembangan industri muzik tanah air seterusnya memberikan artis-artis tempatan platform untuk mendapat pengiktirafan di luar negara.

Bagi IKON musim ini, artis-artis kategori solo yang bakal menyahut cabaran tersebut ialah Noryn Aziz, Bob AF2, Farah Asyikin, Juwita Suwito, Liza Hanim, Farawahida, Faizal AF4, Khai AF1, Zehra Zambri dan Mila AF5.

Barisan artis lain yang bakal berentap untuk kategori berkumpulan pula terdiri daripada The Fabulous Cats, 6ixth Sense, SilentScream, Khalifah, Dragon Red, AlamBand, Aboi, Kluk Kluk Advanture dan Deja VooDoo Spells.

Menurut Tomok, pada saingan IKON Malaysia ini, New Boyz akan memberikan yang terbaik khusus kepada peminat kumpulan tersebut.

Sambil merendah diri, Tomok mengakui kumpulan-kumpulan lain seperti The Fabulous Cats dan 6ixth Sense mampu memberikan saingan sengit kepada New Boyz.

“Tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan untuk itu, New Boyz kini giat menjalani latihan. Dalam seminggu, kita tetapkan dua kali latihan.

“Memanglah semua hendak menang dan begitu juga New Boyz kerana inilah peluang kami untuk mencipta nama di pentas luar,’’ jelasnya.

Tomok juga berkata, meskipun New Boyz sudah lama memahat nama, namun, dia dan anggota kumpulannya tidak akan leka atau mengambil mudah ketika mengadakan persembahan nanti.

Meniti latar belakang New Boyz, kumpulan itu sememangnya boleh dikatakan antara kumpulan remaja yang menjadi kegilaan peminat ketika awal kemunculannya lapan tahun lalu.

Siapa tidak ingat akan lagu hitnya iaitu Sejarah Mungkin Berulang di awal kemunculan kumpulan itu sehingga album mereka pernah terjual hampir 100,000 unit.

Bagaimanapun, New Boyz bagaikan tenggelam selepas itu dek kehadiran kumpulan-kumpulan baru terutamanya Sofaz sehinggalah muncul kembali dengan album baru iaitu Semula Padaku.

Sementara itu, pada pertemuan itu juga, Tomok menyatakan rasa bangga berikutan kejayaan album Semula Padaku yang mendapat sambutan luar biasa semenjak dipasarkan telah berada di pasaran sejak Julai tahun lalu.

Menurut Tomok, penerimaan peminat terhadap album itu amat menggalakkan hasil kerjasama media dalam membantu mempromosikan album terbabit.

Powered by Utusan Malaysia

Artis Baru Dominasi IKON Malaysia 2

28 Jan

Oleh: NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

BARISAN artis yang bakal memberi variasi kepada IKON Malaysia 2.

KESEKIAN kalinya, stesen televisyen berbayar, Astro melalui saluran interaktifnya, Astro RIA akan membawakan pertandingan yang menampilkan artis-artis tempatan untuk bersaing merebut gelaran IKON Malaysia musim kedua dalam kategori solo dan berkumpulan.

Pertandingan berprestij yang dijangka bersiaran sekitar Jun ini bakal menyaksikan seramai 10 artis solo dan 10 artis berkumpulan yang telah disenarai pendek berentap sesama sendiri dalam mempersembahkan kehebatan bakat dan keunikan masing-masing dalam misi memastikan bahawa merekalah yang paling layak bergelar IKON Malaysia untuk musim kali ini.

Artis-artis kategori solo yang bakal menyahut cabaran tersebut ialah Noryn Aziz, Bob AF2, Farah Asyikin, Juwita Suwito, Liza Hanim, Farawahida, Faizal AF4, Khai AF1, Zehra Zambri dan Mila AF5.

Manakala barisan artis yang bakal berentap untuk kategori berkumpulan pula terdiri daripada The Fabulous Cats, New Boyz, SilentScream, Khalifah, Dragon Red, AlamBand, 6ixth Sense, Aboi, Kluk Kluk Advanture dan Deja VooDoo Spells.

Pengurus saluran Astro RIA, Khairul Mizan yang ditemui pada majlis sidang media IKON 2008 yang diadakan di Bar SaVanh Too, Mont Kiara baru-baru ini menyatakan bahawa objektif pertandingan tersebut adalah untuk mempromosikan artis-artis dan muzik tempatan ke peringkat ASEAN.

“Kerjasama dengan IKON Malaysia memperlihatkan bertapa Astro menyokong perkembangan industri muzik tempatan seterusnya memberikan artis-artis tempatan platform untuk mendapat pengiktirafan ke di luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Khairul Mizan, format pemarkahan untuk musim kali ini masih belum ditentukan lagi.

Secara positifnya, pertandingan seperti ini mampu mengetengahkan bakat dan kebolehan tersendiri seseorang artis yang mana barangkali sebelum ini terlepas pandang oleh para peminat mereka atau mungkin masih belum ditonjolkan lagi.

Cuma yang menjadi persoalannya, mengapakah pertandingan yang dianggap menggalas harapan dan nama negara ini lebih banyak didominasi oleh artis-artis baru?

Bukan bermaksud mengatakan bahawa artis-artis baru tidak mampu menggalas harapan tersebut, cuma terfikir kemana perginya artis-artis senior yang rata-rata berkebolehan menggalas tanggungjawab itu.

Apakah kerana mereka (artis-artis senior) tidak mahu memberikan kerjasama ataupun kerana syarat-syarat penyertaan pertandingan itu sendiri yang tidak melayakkan mereka untuk menyertainya?

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Andrian Lim ada jawapannya.

“Ada beberapa kriteria yang perlu dipatuhi sebelum memasuki pertandingan ini. Antaranya, seseorang artis itu mestilah merupakan ahli RIM dan album mereka mestilah tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Kalau kita lihat di negara ini, artis-artis berkumpulan memang tak ramai. Band-band yang lama memang ada tetapi banyak yang tak ada album, jadi secara tidak langsung kelayakan itu lucut dengan sendirinya.

“Pun begitu, ada juga beberapa band yang kami lihat boleh diketengahkan tetapi ditolak oleh mereka atas sebab-sebab peribadi,” kata Andrian.

Tambah Khairul Mizan: “Walaupun banyak melibatkan artis-artis baru, namun persembahan yang dibuat dengan gaya tersendiri dengan mempersembahkan sesuatu yang berlainan dari persembahan sebelumnya boleh membantu meningkatkan lagi karier mereka.

“Untuk merancakkan lagi IKON Malaysia musim ini, beberapa roadshow akan dibuat diseluruh negara bagi mempromosi dan memperkenalkan barisan artis yang terlibat dalam IKON Malaysia.

“Ini peluang kepada artis-artis yang bertanding terutamanya artis baru dimana kebolehan diri masing-masing boleh ditunjukkan kepada para peminat sepanjang roadshow itu nanti,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia