Archive | June, 2007

Siti Nordiana – Faizal Aman Bahagia

10 Jun

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

SITI Nordiana menepis gosip keretakan rumah tangganya dengan Faizal.

SETAHUN dua bulan usia perkahwinan mereka tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Malangnya di saat masih lagi ‘berbulan madu’ itu pelbagai tohmahan mengenai rumah tangga mereka sedang hebat diperkatakan.

Itulah asam garam menjadi orang popular apatah lagi perkahwinan sesama artis.

Siti Nordiana Alias, 23, dan Mohd. Faizal Yusop, 29, menjalin ikatan sebagai suami isteri pada 28 April tahun lalu.

Tempoh setahun jagung usia perkahwinan sudah diuji dengan pelbagai ujian yang kadangkala membuat mereka hampir- hampir tewas.

Antara perkara yang diperkatakan orang, seperti rumah tangga mereka sudah bergoyang, ada campur tangan orang ketiga dan macam-macam lagi.

Siti Nordiana atau Nana menyedari hakikat cakap-cakap orang itu tetapi dia menafikan sekeras-kerasnya rumah tangga yang mereka bina itu sedang dilanda badai.

Sebaiknya dia mengakui kehidupannya dengan Faizal dalam keadaan bahagia. Cuma pada masa ini Allah belum membuka rezeki mereka untuk menerima cahaya mata.

‘‘Nana sememangnya mengimpikan zuriat jauh sekali hendak merancang. Mungkin Tuhan belum mahu memberi rezeki kepada kami lagi pada masa ini.

“Tetapi terus terang Nana katakan, rumah tangga kami berada di dalam keadaan aman dan bahagia. Nana dan Faizal tidak mempunyai masalah dan apa yang diperkatakan orang kononnya rumah tangga kami bergolak itu tidak benar sama sekali,’’ ujar Nana menepis cakap-cakap orang itu.

Timbulnya isu berkenaan menurut Nana apabila ramai yang melihat dia dan Faizal masih lagi belum menimang cahaya mata selain mereka jarang keluar bersama.

Ini kerana Faizal sibuk dengan dunia lakonannya sementara Nana juga dengan undangan pertunjukan pentas dan rakaman album baru.

Mengakui masalah dalam rumah tangga sememangnya berlaku kata Nana, itu semua adalah lumrah dalam kehidupan mereka yang bergelar suami isteri.

Apa yang peting dia bersyukur mendapat suami yang memahami dirinya dan mampu berkomunikasi dalam mengharungi rintangan selepas berkahwin.

Ketika ini Nana juga sibuk mempromosikan album kompilasi terbaru yang memuatkan lagu-lagu popularnya suatu ketika dahulu iaitu Cahaya Kekasih.

Album edaran FMC yang memuatkan 20 buah lagu itu turut mempunyai tiga buah lagu baru iaitu Aku Pun Rela, Senyap Selamanya dan Cinta Yang Berbisa.

“Album ini adalah hadiah terbaru Nana untuk peminat yang selama ini menanti kemunculan Nana. Yang istimewanya album ini memuatkan lagu-lagu yang pernah mempopularkan Nana dahulu seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Selamanya Cinta dan Perlukanmu.

“Insya-Allah dengan adanya tambahan tiga lagu baru, Nana yakin dapat mengembalikan rindu untuk peminat selama ini,’’ katanya.

Dalam masa yang sama Nana sempat berpesan supaya para peminat yang mendengar khabar angin mengenai dirinya dan Faizal supaya tidak mempercayainya.

Jelas Nana, ia adalah fitnah orang yang ingin melihat kehidupan rumah tangganya agar tidak bahagia.

Powered by Utusan Malaysia