Archive | Asfarina Muhamad RSS feed for this section

Permohonan Lisan Haleeda Dapatkan Hak Penjagaan Anak Ditolak

18 Dec

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan lisan yang dikemukakan oleh penyanyi dan pelakon, Haleeda bagi mendapatkan hak penjagaan anaknya sehingga berusia 11 tahun.

Permohonan lisan itu dibuat oleh Haleeda, 31, melalui peguamnya Mahyuddin Md. Zahari ketika kes hak penjagaan anaknya antara beliau dan bekas suaminya, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan disebut di hadapan Hakim Syarie Mohd. Nasir Abdul Majid.

Mohd. Nasir dalam keputusannya menolak permohonan tersebut setelah mendengar alasan Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin dan juga bantahan yang dibuat oleh Azman melalui peguam syarie Hazirah Othman.

Mahkamah menetapkan pada 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes itu.

Hazirah terdahulunya memohon maaf bagi pihak Azman yang tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinannya dengan Asfarina Muhamad, 29.

Dalam permohonan lisan tersebut, Mahyudin berkata, semasa permohonan hak penjagaan itu difailkan oleh Azman, anaknya Amira Amani Azman masih belum cukup umur sembilan tahun.

Dia hanya berusia lapan tahun lebih sahaja.

Kata peguam itu, mengikut Seksyen 84(1) Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam 1984, mahkamah mempunyai hak untuk melanjutkan tempoh jagaan kepada Haleeda sehingga anaknya itu berusia 11 tahun.

Hazirah pula bangun sambil menyatakan bahawa mahkamah tidak wajar membuat sebarang perintah kerana permohonan yang dilakukan Haleeda oleh peguamnya, Mahyudin adalah hanya secara lisan sahaja.

Tambah peguam itu, perintah hak penjagaan sementara yang diberikan kepada Azman juga adalah satu perintah yang berkuat kuasa sehingga satu perintah lain dikeluarkan oleh mahkamah ini.

Pada 23 September lalu, Haleeda memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah mahkamah itu yang Azman mendapat hak penjagaan sementara terhadap anak mereka berusia sembilan tahun.

Powered by Utusan Malaysia