Archive | November, 2006

Butik Pengantin Norhalim Buktikan Kreativiti OKU

24 Nov

Oleh: RAHANA MD

HALIM tekun menjahit labuci yang menghiasi pakaian pelanggannya di butik Bridal Mate di Plaza Shah Alam, Selangor.

Sebagai butik perunding perkahwinan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bridal Mate mungkin tidak ada bezanya dengan butik perkahwinan lain. Segalanya ada, daripada hiasan pelamin, gubahan hantaran, persalinan pengantin, hiasan bilik tidur hingga kepada bunga telur.

Namun, apa yang membezakan ialah tuan punya butik pengantin ini merupakan dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Melihat kreativiti dan kehalusan kerja-kerja gubahan serta jahitan manis yang dihasilkan, sukar mempercayai dilakukan oleh seorang OKU seperti Norhalim Talib atau lebih mesra dengan panggilan Halim.

Lebih 10 dekad berkecimpung dalam dunia perniagaan yang melibatkan perkahwinan, kekurangan diri bukan satu alasan bagi Halim sentiasa menadah tangan mohon simpati.

Kurang selesa dengan panggilan cacat walaupun hanya mempunyai sebelah tangan kanan, Halim, 40, lebih gemar bercerita tentang kemahirannya dalam bidang gubahan dan jahitan.

“Lazimnya apabila cuti sekolah hujung tahun seperti sekarang, adalah masa yang paling sibuk di Bridal Mate,” katanya.

Walaupun menerima banyak permintaan, dia cuba mengehadkan kepada lima tempahan perkahwinan dalam satu hari bagi mengekalkan kualiti.

Di butiknya yang terletak di tingkat tiga, Plaza Shah Alam, Selangor, Halim dibantu oleh empat pekerja tetap dan lebih 20 pekerja sambilan yang biasanya diambil pada musim perkahwinan.

“Kerja-kerja memasang pelamin atau menghias dewan majlis memerlukan tenaga yang kuat. Saya beruntung kerana mempunyai pekerja yang mudah menerima teguran dan sentiasa belajar untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Lebih menggembirakan ada beberapa pekerja yang telah berjaya dan membuka perniagaan sendiri pula,’’ ujarnya.

Walaupun dibantu oleh pekerja, kerja-kerja gubahan, hiasan bilik tidur dan pelamin tetap mendapat sentuhan Halim.

“Kepercayaan pelanggan sebenarnya yang meningkatkan keyakinan saya dalam bidang ini. Saya ikhlas memberi yang terbaik kerana saya yakin pelanggan yang berpuas hati akan menyampaikan pula dari mulut ke mulut kepada sanak-saudara atau rakan taulan,’’ ujarnya.

Selain sering dipanggil bagi kerja-kerja pemasangan pelamin dan hiasan dewan di hotel-hotel serta dewan-dewan terkemuka, Halim juga berasa bangga kerana kerap mendapat kepercayaan golongan artis dan VIP.

“Setakat ini saya telah menyediakan pelamin untuk Ziana Zain, Awie dan akan datang pelakon Diana Rafar. Begitu juga beberapa anak golongan VIP di sekitar Lembah Klang.

“Walaupun mendapat kepercayaan golongan tersebut, namun saya masih menganggap semua pelanggan sama.

“Saya mengenakan bayaran berdasarkan bajet dan kemampuan mereka. Setakat ini, saya telah menjelajah hampir ke seluruh negara berdasarkan kepada permintaan pelanggan,’’ katanya.

Halim turut menawarkan perkhidmatan sewaan pakaian yang cantik berhias labuci dan sekuin sedondon dengan seledang panjang dan kasut.

Anak muda ini juga mahir dalam solekan dan sering mendapat pujian banyak pihak.

Bercerita mengenai dirinya, menurut anak ke enam ini, sejak lahir dia dilahirkan cacat dan hanya mempunyai sebelah tangan sahaja.

“Sejak lahir lagi saya hanya mempunyai sebelah tangan, namun saya amat berterima kasih kasih emak yang tidak mengasingkan saya daripada 10 adik beradik yang lain.

“Emak juga menghantar saya ke sekolah biasa dan sejak kecil saya tidak merasakan apa-apa kekurangan kerana boleh melakukan apa yang kanak-kanak lain buat.

“Bagaimanapun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia saya banyak berfikir tentang masa hadapan dan peluang yang terhad diperoleh oleh OKU seperti saya.

“Kebetulan minat dalam bidang jahitan telah lama bersemi, lantas saya teruskan ikhtiar dengan mendalami bidang jahitan dan menerima kepercayaan pelanggan,’’ katanya.

Kini, Halim bukan sahaja bijak berdikari tetapi menjadi kebanggaan OKU dan juga pelanggan yang sentiasa memberinya sokongan moral untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Kepada sesiapa yang ingin membuat tempahan, Halim boleh dihubungi di talian 019- 3085058.

Powered by Utusan Malaysia

Betty Banafe Berkorban Untuk Album Ibtisam

6 Nov

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

Betty Banafe.

NILAI wang sebanyak RM100,000 bukan jumlah yang kecil dan menggunakan wang sendiri sebanyak itu untuk menghasilkan sebuah album, sebenarnya merupakan satu pengorbanan yang besar.

Apa lagi kalau tempoh pembikinan album itu mengambil masa enam tahun…memang satu perjuangan yang bukan kecil.

Itulah pengorbanan dan perjuangan pelakon Betty Banafe untuk menghasilkan album Ibtisam bagi mencipta nama dalam dunia nyanyian.

Namun di sebalik pengorbanan dan perjuangan itu, sebenarnya tersembunyi satu harapan Betty.

“Mudah-mudahan peminat berasa seronok mendengar lagu-lagu daripada album Ibtisam itu. Maksud judul album itu pun senyuman dan ia menggambarkan harapan saya,” akui Betty.

Menurut Betty, Ibtisam sudah pun mula menerima tempahan lebih 1,000 unit daripada peminat-peminatnya sejak Ramadan lalu walaupun majlis pelancarannya hanya akan diadakan pada bulan depan.

“Album itu tidak dijual di pasaran terbuka. Pembeli hanya boleh membuat pesanan dengan melayari laman web http://www.bettybanafe.com,” kata Betty.

Tersenyum tatkala menceritakan album yang sudah mula mendapat tempahan, kata gadis berusia 28 tahun ini, dia merasa puas dengan usahanya itu.

“Saya seorang yang tidak mudah putus asa dan akan mencapai apa yang diidamkan. Sebagai orang Islam, saya percaya dengan rezeki yang ditentukan Tuhan. Kalau kita berniat baik dan ikhlas, Tuhan akan membantu. Selain bertawakal, saya harus berusaha.

“Jika album saya gagal, ia tidak akan membunuh minat saya dalam bidang nyanyian. Malah ia akan membakar semangat saya untuk melangkah jauh ke hadapan.

“Mungkin Tuhan menjanjikan saya cara lain untuk berjaya pada masa depan,” ulas Betty yang akan tampil dalam filem Haru Biru pada Januari ini.

Bukan sekadar hiburan

Ibtisam diterbitkan oleh Farihin Abd. Fatah dengan menampilkan konsep pop campuran elemen Authentic Fusion.

Memuatkan lagu-lagu ciptaan Farihin, Cheb Ali, Yasin, M. Nasir dan gabungan Zul Mahat dengan Riffki, Ibtisam memperkenalkan 10 lagu-lagu Arab dan hanya dua lagu-lagu Melayu.

Betty yang mula menyanyi sejak 1995 bersama kumpulan Banafe Al-Ikhwan di Johor dan mahir bermain gambus itu berkata, album sulungnya itu bukan sekadar hiburan tapi boleh dijadikan panduan untuk belajar bahasa Arab.

Ini kerana pada kulit albumnya itu diselitkan juga terjemahan setiap lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Antara lagu-lagu yang terdapat dalam album itu ialah dua lagu lama popular Arab; Kamareish (Burung Bersama Paruhnya) dan Waiyak (Bersamamu).

Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album ini ialah

Weylana, Ya Gamar (Wahai Bulan), Mustannik (Aku Merinduimu) dan Leh Ya Habib (Kenapa Wahai Kekasihku).

Menariknya tentang Ibtisam, cerita Betty ialah terdapat dua lagu Melayu yang mana lirik lagu Kisah Cinta merupakan hasil nukilannya sendiri.

Lirik lagu tersebut jelas Betty mengisahkan tentang negara Malaysia yang dianggap sebagai ‘syurga’ Asia.

Menarik Tentang Ibtisam

– Komposer dan penyanyi lagu-lagu dangdut, Iwan merupakan orang yang mencadangkan Betty menghasilkan album lagu-lagu Arab.

– Lapan komposer terlibat dalam pembikinan album itu yang diedarkan secara independent oleh Betty Music Entertainment.

– Album itu tertangguh pada 2002 gara-gara kesukaran mencari penulis lirik bahasa Arab. Pada masa yang sama, Betty turut sibuk menyiapkan tesisnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

– Pembikinan album itu disambung semula pada 2004 selepas Betty selesai menjalani penggambaran filem Buai Laju-Laju yang menampilkan dirinya sebagai heroin.

– Betty membayar untuk 20 lagu-lagu Arab namun hanya 10 lagu sahaja yang dirakamkan.

– Betty turut berduet dengan adiknya, Riffki menyanyikan lagu Abouya (Ayah). Riffki merupakan bekas penyanyi kumpulan Lela yang popular dengan lagu Bidadari.

– Peringkat awal pembikinan Ibtisam, Betty mengambil inisiatif sendiri mencari komposer, pemuzik dan penulis lirik Arab di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

– Sebarang maklumat tentang Ibtisam, boleh layari laman web http://www.bettyba nafe.com.

Powered by Utusan Malaysia

Album Pop Yeh-Yeh Di Pasaran

5 Nov

Suatu ketika dahulu irama pop yeh-yeh begitu menjadi kegilaan ramai. Bukan sahaja lagu yang digilai malah cara berpakaian artis pada zaman tersebut turut menjadi ikutan peminat.

Bagaimanapun selepas munculnya lagu-lagu pop serta rock, irama berkenaan seolah-olah kian dilupakan.

Malah nama-nama seperti Allahyarham S. Jibeng, A. Rahman Hassan, Jefferidin dan Sanisah Huri yang berjaya mewarnai era muzik ketika itu semakin hilang di ingatan generasi muda pada masa kini.

Selain itu stesen-stesen radio juga yang tidak begitu galak untuk memutarkan lagu-lagu artis tersebut turut menyumbang terhakisnya irama berkenaan sedikit demi sedikit.

Bagi memastikan zaman pop yeh-yeh itu terus segar di telinga pendengar, komposer Eddie Hamid mengambil inisiatif menerbitkan album kompilasi Pujaan Pop Yeh-Yeh 60-an Volume 2 yang mula dipasarkan minggu lalu.

Menurut Eddie, apa yang istimewa menerusi album itu penyanyi A. Rahman Onn yang pernah popular dengan lagu Si Cincin Emas tidak lama dulu diundang untuk menyanyikan sebuah lagu baru berjudul Semua Jadi Kenangan.

“Ia merupakan penghargaan saya kepada Rahman yang mampu mengekalkan kelunakan suaranya walaupun pada hakikatnya nama beliau seperti mula dilupakan,’’ kata Eddie.

Selain lagu tersebut, lagu-lagu lain yang pernah popular di zaman itu turut dimuatkan nyanyian seperti penyanyi Jeffridin, A. Ramlie, Hasnah Haron, Sanisah Huri, A. Romli dan J. Kamisah.

Antara lagu-lagu tersebut seperti Seruling Anak Gembala, Hidup Bersama, Oh Teruna, Inai Di Jari, Zunika, Jauh Pandangan, La Obe dan Bersedih.

Album edaran Nova Music itu dijangka mendapat sambutan hangat berdasarkan penjualan menggalakkan album Pop Yeh-Yeh Volume 1 tidak lama dulu.

Powered by Utusan Malaysia