Archive | Bienda RSS feed for this section

Kenali Gaya: Raja Sehari Anggun Bertudung Labuh

21 Dec

Bakal pengantin jangan jadikan jubah dan bertudung labuh sebagai batasan untuk bergaya pada hari bahagia

Soalan

SAYA akan melangsungkan perkahwinan pada Februari depan. Masalahnya, saya adalah seorang wanita yang sentiasa mengenakan jubah dan bertudung labuh. Bagaimanapun, pada hari istimewa saya nanti, saya teringin untuk kelihatan cantik walaupun dalam persalinan jubah dan tudung labuh. Untuk rujukan, tinggi saya 159 sentimeter (sm) dan berat 48 kilogram (kg).

Shafizawati Nazirrudin, melalui emel.

Jawapan

WALAUPUN berjubah dan bertudung labuh, bakal pengantin tidak seharusnya menjadikan ia sebagai batasan untuk bergaya pada majlis bahagia mereka.


Ismail Abdul Rahman

Kini, butik pengantin muslimah sudah banyak terdapat di serata tempat bertujuan memenuhi kehendak wanita bertudung. Oleh itu kebijaksanaan memilih pereka fesyen tentunya menjamin anda tampil anggun bak raja sehari tanpa perlu menukar gaya tudung.

Biasanya untuk pengantin muslimah, saya akan lakarkan jubah labuh fesyen berpotongan longgar tanpa jahitan ‘dart’ yang boleh memperlihatkan bentuk tubuh mereka.

Kelainan jubah hanya ditekankan di bahagian lain misalnya potongan lengan yang dibuat berlapis menggunakan renda Perancis berlapikkan sutera sifon. Sebagai pilihan, anda boleh pilih untuk mengenakan renda Perancis atau sutera sifon sebagai bahan asas jubah itu nanti.

Bezanya renda Perancis tentunya akan membuatkan gaya tampak mewah tapi pilihan sutera sifon berkualiti juga tidak kurang menarik malah ia tentu tampak cantik pada tubuh anda yang berukuran normal.

Jubah dibuat terbuka di depan seperti potongan kebaya tapi dipotong labuh sehingga menutupi kaki. Di bahagian dalam jubah, padanan kain kembang berpotongan A-line menyerlahkan keindahan busana.

Untuk kelainan, kain kembang payung boleh dipotong tiga keping di bahagian belakang. Kesannya boleh terlihat dramatik persis puteri.

Teliti lakaran di mana ia kelihatan sarat namun perhatikan penggunaan kain renda Perancis hanya di bahagian lengan dan dalam baju membuatkan gaya terlihat seimbang. Bahagian lain dibuat menggunakan sutera sifon dan dijahit perincian manik bagi menampak kemewahan rekaan.

Ikatan tudung sangat penting untuk wanita muslimah kerana mereka pastinya tidak selesa jika merubah gaya bertudung lain daripada kebiasaan mereka. Di Butik Syahirah, kami boleh menggayakan ikatan tudung untuk pengantin bertudung labuh tanpa perlu menanggalkan tudung mereka.

Pemakaian anak tudung sepadan tatahan manik pada baju juga boleh membiaskan pesona pengantin. Jangan lupa lengkapkan persalinan dengan pemakaian layah labuh berpotongan A-line.

PROFIL

Ismail Abdul Rahman

Usia: 39 tahun

Asal: Teluk Intan, Perak

Pendidikan: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

Profesyen: Pereka fesyen dan pemilik Butik Pengantin Syahirah

Antara selebriti yang pernah mendapatkan khidmat butik pengantin milik Ismail ialah Erra Fazira, Ina Naim, personaliti televisyen, Fenda; Bienda dan Waheeda.

Untuk mendapatkan khidmat Ismail, boleh berkunjung ke No 5, Jalan Bunga Kertas 1B/2, Bukit Sentosa, Rawang atau hubungi 013-3707945 atau 03-60215946.

INFO

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

Aidiladha Raihan Di RTM

6 Dec

Rap
JIKA ada pendapat yang menyatakan hiburan itu sesuatu yang menjurus ke arah kelalaian dan mendidik hati jauh daripada jalan kebenaran semata-mata, telahan itu kini nyata hanya omongan kosong.

Meskipun meniti landasan atas nama hiburan, masyarakat kini lebih terbuka menerima pembaharuan termasuk irama nasyid yang suatu ketika dahulu pernah menguasai pasaran industri muzik tanah air seperti kumpulan Raihan yang menampilkan lagu berunsur nasihat dan mesej positif.

Justeru, sempena kehadiran Hari Raya Korban ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton sama-sama berhibur menerusi Sirah Mu Di AidilAdha, sebuah rancangan hiburan yang menampilkan kumpulan nasyid terkenal Raihan dan juga rakan artisnya yang lain pada Isnin, 8 Disember, jam 12.05 tengah hari menerusi RTM1.

Sirah Mu Di AidilAdha mengetengahkan pengertian Aidiladha di mana kumpulan Raihan akan bercerita mengenai beberapa topik seperti pengertian korban, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, sejarah serta fadilat menunaikan haji.

Setiap anggota Raihan akan bercerita sambil menjawab persoalan yang dikemukakan oleh beberapa kanak-kanak yang turut sama menjayakan rancangan ini.

Cerita ini akan disusuli dengan paparan visual yang berkaitan kisah pengajaran yang disampaikan.

Raihan juga mengundang beberapa artis lain untuk membuat persembahan dalam bentuk klip video yang dirakamkan semula seperti Bienda dengan lagu popularnya Penantian, Hafiz Hamidun menerusi lagu Bilakan Damai dan Akbar dengan lagu Kemarau.

Istimewanya, Raihan juga akan menyampaikan empat lagu yang pernah dipopularkan mereka iaitu Haji Menuju Allah dan 25 Rasul dan dua lagu daripada album terbaru mereka.

Harian Metro

Padah Berdiam Diri

25 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI mfaizal@kosmo.com.my

BAGAIKAN pesalah yang melakukan jenayah besar, sejak kebelakangan ini Bienda menerima banyak panggilan telefon dan mesej yang rata-ratanya menghambur rasa kurang puas hati dengan kenyataan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Penantian itu di Kosmo! baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, tohmahan terhadapnya itu terus tersebar ke laman-laman web di internet oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Dikenali kerana bakat dan fesyen tudung unik, Bienda tidak mengetahui tentang perkara ini pada awalnya.

Apatah lagi, dia tidak berkesempatan melihat keratan akhbar yang tertulis tentang dirinya dan kereta kesayangannya, Combi Junior.

“Ada rakan wartawan menghubungi Bienda dan tanya kebenaran mengenai hal itu. Dia juga cakap ada peminat yang tak puas hati dengan kenyataan saya (dalam Kosmo!) itu.

“Waktu itu saya tak ambil peduli, malah tak rasa pun ia jadi isu serius yang perlu diperjelaskan.

“Lama-kelamaan, kawan-kawan kerap bertanya perkara sama. Sedikit sebanyak ia mula menganggu saya lebih-lebih lagi cerita ini dah tersebar luas,” ujarnya.

KANAN: BIENDA bersama Combi Junior yang mencetuskan kontroversi.

Niat di hati ingin berkata benar, malah tidak bermaksud pun hendak menunjuk-nunjuk. Malangnya butir kebenaran yang terlahir dari bibir Bienda atau nama sebenarnya Norrazlinda Razli disalah erti sesetengah pihak.

Mengikut firasat salah khalayak, Bienda menggunakan wang yang diperoleh menerusi sumbangan orang ramai itu untuk mencantikkan mobilnya.

Hakikatnya, seperti yang dipapar Kosmo!, Bienda membeli alat ganti keretanya itu sedikit demi sedikit sejak dua tahun lalu.

Kalau dihitung sepanjang tempoh berkenaan, dia sudah menghabiskan kira-kira RM15,000 untuk keseluruhan pengubahsuaian Combi Junior termasuklah membeli rim, menggantikan sofa dan sistem audio kereta.

Barangkali ada yang tersilap menginterpretasi kenyataan tersebut. Tanpa usul periksa, Bienda terus dihukum gara-gara keterbukaan memberitahu peminat kecenderungannya mengubah suai kenderaan sejak dari dulu.

Bagaimanapun, gadis manis berlesung pipit ini tidak sesekali melatah, apatah lagi melenting dengan segala nista yang dipalit pada wajahnya.

Sudah menjadi asam garam dan lumrah dunia seni yang harus ditempuhinya.

TABAH. Bienda bersama ibunya, Sheeda.

Baru hendak menghayun langkah menuju jalan depannya setelah pulih menjalani pembedahan menampal jantung berlubang Januari lalu, hidup gadis berusia 23 tahun ini terus diganggu dan langkahnya mula sumbang dek cerita itu.

Ada kesahihannya peribahasa ini. Mulut tempayan memang boleh ditutup, tapi mana mungkin mulut manusia’. Itulah yang dilalui anak dara kesayangan penyanyi dangdut, Sheeda ini.

Bangkit pertahankan diri

Bienda yang pernah melahirkan album Unik pada tahun 2003 tegar menegaskan, sikap berdiam dirinya menjadi parah hinggakan dia mengambil keputusan tampil menjelaskan perkara sebenar.

“Tiada salahnya nak cerita tentang minat saya ubahsuai kereta. Lagipun saya buat itu semua guna duit sendiri. Sebagai penyanyi dan pelakon, saya ada pendapatan sendiri.

“Dan sudah tentu saya mampu nak mencantikkan kenderaan itu sedikit demi sedikit sepanjang dua tahun lalu.

“Tak tahulah nak terangkan apa lagi kepada umum. Sebagai anak seni kita tidak lepas dibenci orang. Tak mudah rasanya nak puaskan perasaan semua orang.

“Bienda buat penjelasan ini bukannya nak sedapkan hati masyarakat, sebaliknya mahu pertahankan pendirian supaya tiada lagi cakap-cakap belakang saya gunakan duit derma pembedahan tempoh hari untuk ubah suai kereta,” ujarnya tegas.

Hentikan sikap dengki

Usai sudah menghabiskan penggambaran drama bersiri 13 episod terbitan Pujangga Kreatif Sdn. Bhd. berjudul Sebumbung, Bienda menasihati individu yang gemar menyebar fitnah agar menghentikan tabiat itu.

“Apa faedahnya anda buat semua ini? Saya harap komen jahat ini dihentikan segera oleh insan penuh hasad dengki yang tak boleh lihat saya bangkit semula.

“Biasanya mereka yang jahat mulut ini tak ada kerja. Saya tak nak ulas lebih-lebih. Ingatlah Tuhan kerana mengutuk sesama manusia dosanya lebih berat.

MENERUSKAN langkah dalam karier seninya, biar apa pun yang melanda.

“Melainkan anda ada bukti, sila tunjukkan kepada saya. Malas nak buat bising dalam soal remeh-temeh macam ini,” tutur anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini.

Bienda yang sibuk memenuhi undangan nyanyian setelah pulih daripada penyakit yang dialaminya itu kira-kira dua bulan lalu, berharap agar penjelasannya ini dapat meredakan tanggapan negatif itu.

“Saya dah pulih seperti sedia kala. Kini saya hanya nak teruskan karier macam dulu. Saya gembira dengan kehidupan sekarang.

“Kalau ada sesiapa yang masih tak senang lihat Bienda terus libatkan diri dalam bidang seni, saya redha saja. Apa yang penting saya mahu cari rezeki.

“Saya sedia terima segala kritikan membina, cuma suara-suara berniat buruk memang saya tak ambil peduli,” jelas Bienda optimis lalu mengakhiri bicaranya.

Powered by Kosmo

Pengisian Rohani Di Astro Oasis

19 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

PERALIHAN hidup Ikon Astro Oasis Indonesia, Inneke Koesherawaty dari bintang filem panas kepada imej bertudung dalam program khas, Maulidur Rasul di Oasis adalah antara pengisian menarik Astro Oasis sempena sambutan Maulidur Rasul bermula hari ini hingga 23 Mac nanti.

Inneke bukan saja berkongsi cerita mengenai kisah hidupnya, malah peranan besarnya sebagai Ikon Astro Oasis Indonesia.

Program khas terbitan Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan menampilkan Rusylda Ismail sebagai pengacara ini turut menemu bual beberapa personaliti Astro Oasis seperti Wardina Safiyyah, Farah AF, Nash, Datuk Dr Fadzillah Kamsah dan rakan media mengenai pandangan mereka mengenai saluran Astro Oasis yang baru beroperasi lima bulan lalu.

Pengisian menarik lain ialah program bual bicara Bersama Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz – Sunnah Rasul (jam 9.30 malam, 19 Mac), Bersama Datuk Dr Fadzillah Kamsah – Empat Sifat Terpuji Nabi Muhammad s.a.w (9.30 malam, 20 Mac), Bersama Ustazah Nik Salida – Wanita-Wanita Agung Di Sisi Rasulullah (2.30 petang, 21 Mac).

Selain itu, Bersama Datuk Dr Fatma El Zahraa – Wasiat Nabi Muhammad s.a.w kepada kaum wanita (9.30 malam, 21 Mac), Bersama Ustaz Akhil Hayy – Membentuk Khalifah Generasi baru (9.30 malam, 22 Mac) dan Bersama Ary Ginanjar Agustian – Detik-detik kewafatan Nabi Muhammad s.a.w (11 malam, 23 Mac).

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pengisian program berbentuk kerohanian itu bagi menghayati keputeraan Nabi Muhammad.

“Tidak sempurna iman kita sebagai umat Nabi Muhamad jika tidak memberi pengiktirafan kepadanya.

“Justeru, Astro Oasis mengambil inisiatif buat pertama kalinya menyediakan program paling komprehensif dalam sejarah penyiaran tanah air mengenai rasul junjungan kita. “Astro Oasis juga menyajikan penonton dengan pelbagai program istimewa selama empat hari berturut-turut dengan jumlah 36 jam program terbaru,” katanya.

Izelan berkata, demi menghangatkan sambutan Maulidur Rasul, pihaknya turut memaparkan program muzikal lagu ketuhanan dan kemanusiaan seperti Mawi Di Bumi Anbia (2 petang, 22 Mac) dan Konsert Menebus Batas 2 (2 petang, 23 Mac).

“Program lain, Sebutan Syariah (9.30 malam, 23 Mac) dan Iktibar Dari Tanah Suci (9 malam, 23 Mac) dan jemputan umrah yang menemui penonton setiap Ahad.

“Sepanjang lima hari sambutan Maulidur Rasul di Astro Oasis, saluran Inspirasi Sanubari turut menyiarkan alunan zikir, selawat dan renungan rohani menerusi Citra Cinta (11.30 pagi, 20 Mac) dan Sekilas Oasis (19 -23 Mac) menerusi slot indahnya Iman,” katanya.

Izelan berkata, Astro Oasis juga menayangkan telefilem dan dokumentari yang diterbitkan khas, sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

“Telefilem itu ialah Link Kedua (11 pagi, 21 Mac), Cucu Tok Wan (11 pagi, 22 Mac), Binafsha (11 pagi, 23 Mac).

“Dokumentari pula ialah Cerita Dari Mindanao 1 (10 pagi, 22 Mac) dan Cerita Dari Mindanao 2 (10 pagi, 23 Mac),” katanya.

Tidak ketinggalan, Astro Oasis memaparkan lima filem terbaik dari Iran lima malam berturut-turut sepanjang sambutan Maulidur Rasul seperti The Sacred Footsteps, Paradise is Somewhere Else, Seven Night, The Redness Of Unripe Apple dan Behind The Curtain Of Fog.

Izelan ditemui sempena sambutan Maulidur Rasul di saluran Inspirasi Sanubari, Astro Oasis di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis meriah bertemakan Nabi Muhammad Satu Pengiktirafan Agung ini diserikan dengan persembahan selawat oleh pendakwah bebas, Ustaz Dinie yang mendeklamasikan sajak mengagungkan Rasulullah sambil membuat tulisan khat.

Selain itu, selawat dialunkan ahli kumpulan Fareast, Azuan dan dua anggota Hijjaz, Munif dan Faizal.

Pada majlis itu, Astro Oasis turut menampilkan Inneke Koesherawaty sebagai Ikon Astro Oasis Indonesia. Pihak Astro Oasis juga memperkenalkan barisan personaliti program yang semuanya tampil dengan busana putih bersih seperti Wan Kamaruddin, Tuah, Rafidah, Razak Ahmad, Bienda, Nabil, Wardina Saffiyah, Tengku Iezahdiyana Nurhani Tengku Alaudin, Wan Ashahilly, Fifi, Ustaz Asri Rabbani, Nazrey, Munif Ahmad dan Shafnie.

Selain menyampaikan penghargaan pada penaja jemputan, Tabung Haji dan Den Wahab Industries, Izelan turut menyampaikan jemputan menunaikan umrah buat wakil media terpilih iaitu Harian Metro dan Utusan Malaysia.

Majlis yang cukup bermakna itu diakhiri dengan doa penutup dan bacaan selawat oleh Akhil Hayy.

Hadir sama, Ketua Program Melayu Astro, Harris Ismail.

Sementara itu, Izelan berkata, pihaknya bersyukur dengan sambutan yang menggalakkan dari penonton terutama orang Melayu terhadap saluran Astro Oasis.

“Alhamdulillah, sambutan yang cukup mengagumkan dari semua lapisan masyarakat semakin membuatkan kami, warga kerja Astro Oasis teruja, lebih peka dan lebih kreatif dalam mengisi kehendak penonton saluran ini.

“Astro Oasis kini genap berusia lima bulan.Ia dilancarkan 13 September lalu dan beroperasi sepenuhnya 24 jam bermula 13 Oktober tahun lalu.

“Kini, kami seperti bayi yang comel yang mendapat perhatian semua yang menonton,” katanya.

Selain itu, program baru yang akan menemui penonton saluran Astro Oasis nanti ialah Kalam Suci, Rasa Halal Orient di Jepun, Thailand dan Vietnam yang menampilkan Farah AF sebagai pengacara, Anjung Khat serta Kafe Akhil Hayy.

Powered by Harian Metro

Bienda Takut Dibedah

5 Jan


BIENDA (kiri) bersama ibunya, Shida berdoa agar pembedahannya nanti selamat.

KUALA LUMPUR ῖ ΐMacam-macam terlintas di fikiran saya ketika ini. Saya mungkin takut tetapi saya juga tak sabar menghadapi hari pembedahan nanti.῔

Demikian reaksi Bienda, 22, atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli yang sedang menghitung hari menunggu hari pembedahan untuk merawati penyakit jantung berlubang yang dihidapinya.

Beliau dijangka masuk wad di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) 8 Januari ini berkata, biarpun macam-macam perkara terlintas di fikirannya tetapi tetap mengharapkan doa agar dia selamat dibedah nanti.

ΐKetika ini, semangat dan keyakinan saya untuk melawan penyakit ini bertambah kuat dan semuanya berkat sokongan anggota keluarga, rakan-rakan artis, peminat dan orang ramai,῔ kata bekas penyanyi kumpulan nasyid Solehah itu.

Bienda yang ditemui di rumahnya di sini semalam, kelihatan cukup tabah dalam menghadapi kehidupan mendatang dan masih mampu tersenyum malah ketawa.

Menurutnya, dia terharu dengan sokongan dan sumbangan wang diberikan oleh pelbagai pihak yang prihatin terhadap penderitaan penyakit dihadapinya sejak pertengahan bulan lalu.

Terbaru, Bienda menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 dari Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita).

ΐSaya ingin menyatakan rasa syukur dan terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang sudi menghulurkan sumbangan kepada saya. Cukuplah dengan sumbangan yang telah saya terima sebelum ini,῔ katanya.

Menurut Bienda, tarikh pembedahannya yang dianggarkan menelan belanja RM18,000 hingga RM25,000 itu hanya diketahui selepas 8 Januari ini iaitu setelah segala pemeriksaan terperinci dilakukan oleh pihak doktor.

Merujuk kepada sumbangan wang yang diterima termasuk daripada rakan artis, Rosyam Nor sebanyak RM1,000 dan RM25,000 dari Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO sebelum ini, Bienda menyatakan jumlah sumbangan tersebut sudah mencukupi bagi menampung kos pembedahan dan rawatannya nanti.

ΐSaya mahu berjuang demi ibu tersayang. Apa yang lebih penting bagi saya kini adalah persediaan mental dan fizikal untuk menempuh hari pembedahan itu kelak,῔ ujarnya penuh semangat.

Mengenai karier seninya selepas ini, Bienda mahu dirinya terus aktif semula sebaik sahaja sembuh nanti dan tidak mahu penyakit yang dihadapi sebagai satu halangan dalam mencapai cita-citanya.

ΐKarier seni saya akan tetap diteruskan. Saya mahu menyiapkan album kedua dan menjayakan penggambaran drama berjudul Pria selepas ini,῔ tambahnya.

Powered by Kosmo

Intisari Rancangan TV9

22 Dec

Sabtu 22 Disember 2007

Pagi:

6.00 Nasyid Di 9

6.55 Takbir Aidiladha 2007

7.00 Halaqah

8.00 TV Pendidikan (Motivasi Murid)

8.30 TV Pendidikan (Bahasa Melayu)

9.00 TV Pendidikan (Sains Tingkatan 3)

9.30 TV Pendidikan (Matematik)

10.00 TV Pendidikan (Sivik)

11.00 TV Pendidikan (Lensa TV Pendidikan)

11.30 TV Pendidikan (Pendidikan Moral)

12.00 Cinta Medik

12.55 Takbir Aidiladha 2007

Petang:

1.00 Ole Ole Chef Wan

2.00 Duckula

2.30 Adik Di 9

2.32 Nick Di 9 (Go Diego Go)

3.00 Nick Di 9 (Blue’s Clues)

3.30 Nick Di 9 (The X’s)

4.00 Nick Di 9 (My Life As A Teenage Robot)

4.30 Nick Di 9 (The Adventures Of Jimmy Neutron)

5.00 Nick Di 9 (Spongebob Squarepants)

5.30 Mutiara Hati

6.30 Mari Mengaji

Malam:

7.00 Anak Anak Sidek

7.30 Adik di 9

7.32 Beyblade

8.00 Berita Di 9

8.30 Charlie Chaplin

9.00 Malam Ini…Zahid & Bienda

10.00 The Unit

11.00 WWE International Bottomline

12.30 Ole Ole Chef Wan

1.00 Latido

2.00 Penutup

Powered by Utusan Malaysia

Ummi Nazeera Sesuai Watak Gadis Kampung

7 Nov

Ummi Nazeera berlakon dalam drama bersiri Dinasti Bilut yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pada pukul 8.30 malam di RTM1.

Bakat lakonan Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abedin, 17, mula menyerlah sewaktu berlakon drama Pesona Bintang yang pernah disiarkan di RTM.

Ummi yang diperkenalkan oleh pengarah Erma Fatima itu kemudiannya dilamar oleh Rosyam Nor untuk drama bersiri Takdir Yang Terindah dan telemovie Takdir Sedang Berbisik.

Kini lakonan remaja yang berasal dari Kuala Lumpur itu dapat ditonton dalam drama bersiri Dinasti Bilut yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pada pukul 8.30 malam di RTM1.

Menerusi drama arahan Badarudidn Azmi atau Bade itu, Ummi membawa watak Zaleha, rakan kepada Shidah, lakonan Bienda.

Jelas Ummi, Zaleha adalah seorang gadis kampung yang banyak cakap dan watak yang dibawanya itu berbeza dengan wataknya sebelum ini.

“Sebelum ini saya sering dapat watak sedih dan kurang bercakap. Kali ini memang berbeza kerana Zaleha adalah gadis periang dan lagak kasar sikit berbanding Shidah. Saya suka dengan watak ini dan antara saya dengan Bienda ada keserasian,” jelasnya yang sering diberi watak gadis kampung.

Selain watak gadis kampung, Ummi juga sering membawa watak yang lebih dewasa daripada usianya.

Pembawaan watak dewasa tidak menjadi masalah kepada Ummi kerana selama ini pun dia berkawan dengan orang dewasa.

“Sebenarnya saya tidak begitu arif tentang perangai remaja kerana sejak tingkatan tiga saya tidak pergi sekolah biasa.

“Sampai sekarang saya belajar di rumah. Hari-hari ada guru yang datang mengajar. Biarpun belajar di rumah, keputusan peperiksaan saya baik. Abang saya pun belajar di rumah,” jelasnya yang belajar mengikut kelapangan waktu.

Ummi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada 12 November ini terus terang berkata: “Setakat ini bila pengarah tengok wajah saya, mereka kata sesuai watak kampung. Walaupun saya orang kota tapi tidak ada masalah untuk berlakon sebagai orang kampung sebab saya kerap juga balik ke Terengganu, kampung sebelah ayah,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut peminat Ellie Suriaty itu, jika ada peluang dia ingin mencuba pelbagai watak bagi menguji kemampuan diri.

Utusan Malaysia