Archive | June, 2008

Gita Terbang Ke Tanah Suci

30 Jun

Oleh AQMAR ALLADAD

LENGGOK dan fizikalnya bagaikan seorang anak kecil yang sungguh comel. Namun tidak terduga, di sebalik sifat yang jelas sekali pada pandangan visual, kotak fikirannya cukup bijak serta tutur katanya juga membayangkan dirinya seorang yang cukup berpengalaman.

Gita Gutawa baru berusia 15 tahun, tetapi tidak pemikirannya.

Kebijaksanaannya menyusun ayat saat memberikan jawapan terhadap semua persoalan yang diajukan buatnya terserlah, malah cukup mengagumkan apabila jawapan yang diberikannya dengan penuh yakin.

Begitu teguh terhadap pendiriannya selama ini.

Inilah keistimewaan anak gadis remaja karyawan muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa. Tuah sentiasa mendatangi dirinya selepas menceburkan diri dalam dunia seni.

Hasil kerja kerasnya juga perlu dijadikan contoh kepada anak muda zaman kini kerana Gita akan terbang ke Tanah Suci, Mekah untuk mengerjakan umrah menjelang 2 Julai ini ditemani oleh neneknya serta rombongan peserta yang lain.

Biar usianya masih remaja, dia sudah mampu menggunakan pendapatannya sendiri untuk mengerjakan umrah.

Gita menjelaskan, dia sudah bersedia untuk ke Mekah, malah persiapan turut telah lengkap dari segi pakaian yang ingin dibawa mahupun doa-doa ketika menunaikan ibadat itu.

“Saya memang tidak sabar untuk ke Mekah bersama nenek. Tujuannya bukan apa tetapi ingin bersyukur ke hadrat Ilahi kerana perjuangan saya selama ini berjaya.

“Kita tidak boleh leka dengan apa yang dicapai dalam kehidupan selama ini, perlu diucap syukur kepada Maha Esa,” tegasnya.

Ditebak persoalan adakah dia sudah mempelajari serba sedikit tentang apa yang penting bagi menunaikan umrah, Gita menegaskan, disebabkan dirinya telah mendapat pendidikan di sekolah agama iaitu Sekolah Al-Izhar Pondok Labu, justeru membuatkan dirinya tiada masalah dari segi bacaan doa dan sebagainya.

“Saya belajar di sekolah agama, jadi pendedahan agama sudah sebati dalam diri ini tambah pula walaupun minat saya dan keluarga dalam muzik memang mendalam tetapi mereka juga tidak sesekali melupakan kepentingan ajaran agama buat diri saya,” jelasnya sambil tersenyum manis.

Dalam pada itu ibu Gita, Lulu Gutawa,44, yang amat berbangga dengan tahap pencapaian anak sulungnya itu mencelah, “Gita yang mengajak neneknya menunaikan umrah, jadi neneknya tidak menolak pelawaan dan niat baik Gita itu.”

Menyentuh pula mengenai posisi dirinya sebagai seorang penyanyi, Gita ternyata serba boleh dan langsung tidak memilih genre lagu yang akan dipersembahkan olehnya.


ALBUM kedua Gita bakal menyuntik karya seni Erwin Gutawa.

Ini kerana Gita pernah mempunyai album lagu single nasyid sempena bulan Ramadan tahun lalu.

Katanya, tidak salah bagi dirinya untuk mencuba pelbagai jenis lagu dan langsung tidak malu dengan pembaharuan yang dilakukan.

“Bagi menghasilkan album lagu single nasyid itu, saya suka sekali dan tidak peduli apa orang cakap, yang pentingnya saya dapat pelbagai pengalaman istimewa. Ia tidak terhad terhadap satu konsep sahaja,” ungkapnya.

Meletakkan pelajaran sebagai apa yang paling utama, sejak peringkat awal persekolahan lagi, Gita seringkali mendapat anugerah Juara Terbaik Ujian Nasional atau di Malaysia, ia boleh diibaratkan sebagai anugerah pelajar terbaik.

Beritahunya yang mempunyai berat badan sebanyak 45 kilogram, tumpuan dalam kelas amat penting selain membuat ulang kaji di rumah.

Walaupun jadual seninya amat ketat tetapi Gita memastikan pelajaran di sekolah perlu didahului.

“Ibu akan menghantar saya memasuki kelas tambahan dua bulan sebelum menjalani ujian di sekolah. Itulah salah satu faktor kejayaan saya sehingga ini,” jelasnya.

Terima bunga setiap minggu Bakat terpendam Gita mula jelas terserlah sejak berusia lapan tahun lagi setelah dihantar ke kelas muzik dan vokal.

Ia diakui sendiri oleh ibunya. Dan mungkin juga pendedahan muzik dalam diri Gita juga disebabkan oleh ayahnya.

“Gita suka menyanyi, jemput sahaja dia selepas kelas vokal sudah pasti dia akan masuk dalam kereta dan terus menyanyi sehingga tiba di rumah,” ujar Lulu sambil tergelak mengingatkan kembali zaman kecil anaknya itu.

Dalam pada itu, Gita mengakui yang dia juga gemar menyanyi di dalam bilik air.

“Enak sekali bunyinya menyanyi dalam bilik air,” katanya dengan ketawa kecil.

Sementara sudah bergelar penyanyi popular, sudah tentu Gita mempunyai ramai peminat yang pelbagai ragam.

Jelas Gita, memang kadang-kadang dia ada menerima jambangan bunga yang dihantar ke rumahnya oleh pada setiap minggu oleh seorang peminat misteri.


GITA belum bersedia untuk jatuh cinta.

Menurut Gita, dia menerima apa sahaja yang dihadiahkan oleh para peminatnya, termasuk surat semata-mata atas hubungan seorang penyanyi dan peminatnya.

Menyentuh pula soal cinta, Gita yang mempunyai pendiriannya tersendiri langsung tidak memikirkan mahu mempunyai hubungan istimewa dengan seseorang.

Beritahunya lagi, dia belum bersedia lagi untuk jatuh cinta kerana umurnya masih terlalu muda, serta banyak lagi perkara yang perlu diberikan tumpuan khususnya pendidikan dan kerjaya muzik yang sudah sekian lama diminatinya itu.

“Oh! Tidak mungkin untuk bercinta semuanya itu tiada masa hanya kawan-kawan biasa sahaja dan mereka baik dengan saya malah sentiasa memberi sokongan,” tambahnya.

Muncul dengan album kedua Kemunculan Gita dengan album debutnya yang mengunakan judul namanya sendiri, Gita Gutawa ternyata membuahkan hasil.

Hadir dengan konsep pop klasik, Gita terus sahaja meraih populariti luar biasa. Mungkin konsep yang dibawa Gita lain daripada yang lain dan paling menarik perhatian ramai, vokalnya yang bernada cukup tinggi.

Tambahan pula, Gita jarang dikaitkan dengan gosip yang boleh menjatuhkan maruah dirinya.

Disebabkan kejayaannya menerusi album tersebut dengan jualan di pasaran di Indonesia mencecah 400,000 unit, maka Gita tidak sabar untuk menghasilkan album keduanya pula.

Anak sulung dari dua beradik ini memberitahu, album keduanya masih dalam proses perbincangan dan banyak lagi yang perlu dirancang untuk memastikan albumnya kali ini berjaya diterima seperti album pertama.

“Kita masih mencari material album kedua dan bapa saya juga akan terlibat dalam pembikinannya,” ujar Gita yang datang ke Malaysia untuk beberapa hari sahaja.

Kehadirannya kali ini bagi konsert Cornetto Love Sparks bersama Dafi, Mawi dan Mila yang bertujuan untuk menghargai cinta, muzik dan persahabatan yang berlangsung di Padang Merbok, pada Sabtu lepas.

Kosmo

Advertisements

Jelitawan Hitam Manis

30 Jun

Oleh SUBASHINI RAJANDRA subashini.rajandra@kosmo.com.my

Less is more mungkin bersesuaian dengan pendirian jurusolek profesional, Vanita yang berasa kagum dengan kejelitaan warna kulit gelap.

PERNAH dengar ungkapan Benjamin Banneker yang berbunyi The colour of the skin is in no way connected with strength of the mind or intellectual powers. Ia sebenarnya membawa maksud bahawa warna kulit tidak mempunyai perkaitan langsung dengan kekuatan minda atau kebijaksanaan seseorang.

Pemilik ungkapan emas itu adalah seorang warga Afrika Amerika yang tersohor dengan kepintarannya dalam bidang matematik, astronomi dan penerbitan. Namun, bukan dia yang didedahkan kali ini. Sebaliknya, kata-kata yang dipetik tadi menjelaskan kebenaran bahawa kadangkala manusia tercicir dari dunia realiti.

Sedar atau tidak, ramai yang menggangap dirinya tidak cantik hanya kerana warna kulit yang gelap. Ia bagaikan keistimewaan yang terlindung dek kerana stereotaip itu.

Kita semua tahu pada zaman sekarang, pentas peragaan antarabangsa dikuasai oleh model dan peragawati berkulit hitam seperti supermodel Naomi Campbell, Alek Wek, Iman dan ramai lagi. Tidak kurang hebat juga kewibawaan yang ditampilkan oleh calon Presiden Amerika Syarikat dari parti Demokrat, Barack Obama yang bijak dan mempunyai kacukan orang kulit hitam di sebelah bapa.

“Ramai wanita, tidak kira agama dan bangsa, sering merungut kerana berkulit hitam. Mereka tidak menyedari bahawa jenis kulit itu sukar untuk diperolehi walaupun berjemur berhari-hari di bawah matahari seperti orang putih.”

“Dalam kebanyakan sesi penggambaran dan peragaan fesyen saya, saya teruja menggunakan model yang berkulit gelap dalam dan luar negara kerana peralihan diri ke atas mereka dari segi mekap dan seleksi busana nampak lebih kuat dan penuh glamor,” jelas Vanita Krishnamurthy dengan ghairah sewaktu melakukan transformasi ke atas tiga orang gadis biasa.

Setiap seorang model ini dikenali secara tidak sengaja dan melalui pengalaman ‘hitam’ disebabkan oleh warna kulit kecuali Diana Priya Sankar, 27, seorang pensyarah dan guru tuisyen serta hamil dua bulan. Dua yang lain ialah Helen Doreena Varunamegam, 23, seorang penghibur, penyanyi dan pelakon teater serta Kamini Rajendran, 21, pelajar kolej.

Hanya kerana berkulit gelap, Helen yang mempunyai senyuman yang menawan dilayan secara tidak adil semasa menyertai sebuah pertandingan ratu cantik pada tahun 2005. “Saya berasa kecil hati disingkir bukan kerana dinilai berdasarkan kepada kepintaran minda atau bakat tetapi diskriminasi terhadap warna kulit gelap,” ujarnya jengkel.

Seleksi berus dan warna yang sesuai mampu menyerlahkan kecantikan wajah semula jadi.

Kamini pula masih muda dan mentah tetapi tidak ketinggalan merasai dirinya menjadi bahan jenaka di kalangan rakan sekolah dahulu. “Tapi apabila saya diperkenalkan kepada Malaysia Institute of Arts oleh seorang kawan, mereka menghargai warna kulit saya. Tidak berapa lama kemudian, saya terpilih untuk menjadi model Piala Seri Endon 2005,” kata gadis ini.

Vanita yang merupakan seorang jurusolek profesional dan Pengarah Artist Space Professional sejak tahun 2003, percaya bahawa setiap gadis adalah cantik dalam warna kulit asli. Cuma mereka perlu menambahkan ‘seri’ di bahagian tertentu dalam amaun mekap secukupnya. Tidak perlu melakukan rawatan pencerahan atau mengaplikasikan banyak krim asas muka seperti ‘hantu putih’.

“Semua orang mahu jadi cerah! Mereka gagal menghargai kecantikan kurniaan Tuhan. Dengan seleksi berus dan warna yang sesuai, saya mampu menyerlahkan kecantikan wajah semula jadi,” ungkap Vanita yang menyangkal tanggapan mitos bahawa mereka yang berkulit gelap tidak boleh memakai warna terang seperti hijau, biru, merah dan kuning.

VANITA (tengah) bersama gadis-gadis biasa yang diubah menjadi model profesional dengan keajaiban teknik mekap.

Kalau sebut hijau sahaja, ada berpuluh-puluh jenis ton hijau yang digunakan dalam dunia solekan, jelas Vanita lagi. “Pertama, kenali dulu kumpulan warna sama ada yang suam atau sejuk. Kalau pakai baju warna sejuk seperti biru, kita kena selaraskan dengan gincu almost pink, pemerah pipi almost pink. Sudah tentu nampak seperti badut jika dioles gincu merah.”

Dengan pengalaman menyolek diri sejak berusia tujuh tahun memandangkan Vanita adalah seorang penari Bharatha Natyam, Odissi dan kontemporari selain tarian asli Melayu serta Mak Yong, dia menyarankan wanita supaya menyimpan kit mekap asas.

Kit mekap ini harus seimbang dengan warna-warna semula jadi, rona suam dan sejuk. Kecuali untuk sesi penggambaran fashion statement, warna asas ini banyak membantu dalam solekan seharian. Seperkara lagi ialah mereka harus melabur sekali dalam seumur hidup dengan pembelian berus muka yang sesuai.

Berus yang betul akan memberi ‘hasil’ yang dikehendaki. “Ia tidak merugikan kerana anda dapat menjimat amaun mekap yang digunakan pada setiap pengaplikasian. Umpamanya, untuk krim, saya syor gunakan berus sintetik manakala berus bulu untuk sapuan jenis serbuk,” ujarnya yang mempunyai kira-kira 100 jenis berus khas di bawah labelnya.

Vanita belajar di Cosmoprof International Singapore, sebelum memperoleh gelaran Master-Make Up Artist dari Studio Make Up Academy Hollywood dan Fashion Stylists Fred Segal Beauty Los Angeles di Amerika Syarikat pada tahun 2005.

Selama enam bulan, dia melanjutkan jurusan kosmetik dan mekap di Make Up Academy in Sunset Gower Studios, Hollywood serta menimba latihan dan pengalaman yang tidak ternilai dalam bidang mekap prostetik, kesan khas, mekap berkala, karakter serta rekaan fesyen.

Pendirian tegas Vanita terhadap keunikan warna kulit turut disokong oleh pemenang Oscar Gwyneth Paltrow yang pernah menyatakan: “Kecantikan, bagi saya ialah keselesaan yang dirasai pada kulit sendiri῅”

Diana amat bertuah, ujar Vanita yang memuji warna kulitnya yang bersamaan dengan lebah madu. Malah, Diana yang belajar di Australia, kerap menerima pujian sebegitu dan tidak pernah disindir seperti dua model yang lain.

Helen yang merupakan jurucakap rasmi bagi Artist Space Professional dan juga produk jenama mekap La Femme yang pertama kali berada di Malaysia menerusi Vanita, memiliki wajah eksotik dengan warna rambut keperang-perangan. Jika anda melayari laman web rasmi Vanita, pasti muka Helen menghiasi laman dari pelbagai sudut kamera.

RUPA sebelum wajah-wajah ini dihiasi solekan Artist Space Professional. Dari kiri: Helen, Kamini dan Diana.

“Kamini pula masih muda lagi dan sebab itu dia ada jerawat. Tapi lepas sembur krim asas muka dengan air brush, ia tidak kelihatan dengan jelas. Saya juga gunakan rona krim asas yang hampir sama warna dengan kulitnya,” ujar Vanita yang tidak bersetuju dengan peraturan jurusolek lain iaitu menggunakan krim asas muka yang cerah satu rona daripada warna kulit.

Vanita yang dilatih oleh pakar kecantikan seperti Eve Pearl, Joanne Gair, Billy B dan Nally dari Los Angeles and New York, kerap dijemput untuk membuat mekap bagi filem, komersial atau iklan TV dan majalah, pertandingan ratu cantik dan majlis perkahwinan. Sebelum ini, khidmatnya pernah digunakan oleh penyanyi rock terkenal tanah air, Amy Search dan Fasha Sandha untuk drama Kehangatan Lantana.

Jika anda teringin menghadiri kelas anjuran Artist Space Professional atau menempah khidmat solekannya, sila layari laman web http://www.artistspace.com.my untuk maklumat lanjut atau hubungi Vanita di 019-250 7856.

Kosmo

Cinema: Wonder-Fool Action

30 Jun

Jolie plays a sexy assasin who is capable of anything.

Jolie plays a sexy assasin who is capable of anything.

WANTED directed by Timur Bekmambetov
Starring James McAvoy, Morgan Freeman, Terence Stamp, Angelina Jolie and Thomas Kretscschmann.

BASED on a comic book series by Mark Millar and JG Jones, Wanted is about a group of assassins known as The Fraternity who are charged with killing individuals for the greater good.

It zooms in on one seemingly insignificant person’s transformation into a “heroic” figure.

Main character Wesley Gibson (James Avoy, Atonement) is bored with his life – a living hell with a tormenting boss and promiscuous girlfriend.

Enter hot Fox (Angelina Jolie) who tells Gibson that his long-lost father was recently killed and the assassin is out to kill him too.

Although the real story revolves around Gibson, Fox seems to take over and is more dominating.

Fox and Gibson are featured in most scenes. However, it is hard not to focus more on her, especially in the fighting and action-packed scenes.

At one point, in a high-speed car chase, Fox climbs out of the driving seat only to lie down on the car, looking every bit the sexy bombshell that she is, as she tries to get rid of the chaser.

She also hops atop a subway train with feline grace and drives like a maniac!

She looks great from almost any angle so much so that at times I thought I was watching a TV commercial. Thankfully, Jolie does have some talent in acting and her sexy image goes well with the character she’s playing.

Action and stunt work are aplenty with lots of CGI effects. Watch cars vault through space, shooters bend their bullets’ trajectories and trains falling into gorges with a crunch.

But haven’t we had enough with the slow motion?

The movie’s strength lies in its techniques. Defying all the known rules of physics, biology, psychology and society, it’s absurd in a very clever sense.

Although humans can’t fly, in this flick they can do anything.

Some scenes are ridiculous and don’t make much sense. Then again, this is filmdom where everything is possible.

 

New Straits Times

Zainal Abidin Amalkan Suplemen Dan Vitamin

29 Jun


Zainal Abidin bersama sebahagian kanak-kanak sindrom down pada satu majlis di ibu kota.

PADA usia mencecah 50 tahun November ini, penyanyi popular, Zainal Abidin mengakui amat mementingkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Apalagi sehingga kini dia masih aktif dalam kerjaya seninya selain melakukan kerja-kerja amal serta gemarkan aktiviti berdarmawisata (outing) bersama keluarga.

Justeru, kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Hijau itu dia amat menjaga soal pemakanan namun tidak pula mengehadkan dirinya untuk menikmati apa juga hidangan yang diingini.

“Saya tidak berpantang. Saya boleh makan apa sahaja, kambing, ayam dan daging namun tidak berlebihan. Perlu dihadkan dan seimbang,” kata Zainal.

Malah kata penyanyi yang terkenal dengan senyuman manisnya ini, dia juga amat menitikberatkan soal pengambilan makanan tambahan (suplemen) dan vitamin.

“Cuma saya agak kurang bersenam kecuali melakukan jogging di treadmill sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

“Tetapi saya sangat aktif dengan aktiviti luar. Selain masih sibuk menyanyi di majlis-majlis, saya juga aktif melakukan kerja-kerja amal.

“Antaranya menghibur dan mengutip dana bagi kanak-kanak sindrom down, saya juga melakukan kerja amal bersama Zang Toi untuk mengutip dana penyakit kanser.

“Selain itu saya juga seorang sukarelawan di Zoo Negara. Di zoo biasanya saya bukan sahaja memberi ceramah tapi melakukan pelbagai kerja lain termasuk mencuci kandang.

“Saya juga suka outing misalnya bercuti ke kawasan pantai. Dulu saya juga minat masuk hutan. Tapi sejak ada anak kecil, aktiviti camping terpaksa dikurangkan.” kata bapa kepada empat anak ini, dua daripada perkahwinan terdahulu dan dua daripada perkahwinannya dengan Angelina Asmawi iaitu Isaac Iman, 9 dan Zara Iman, 1.

Mengakui bahawa konsep keluarganya seimbang daripada segi pemakanan, percutian dan kerjaya, Zainal juga bertuah kerana sebagai penyanyi, dia sentiasa boleh bersama keluarga pada setiap masa.

“Mungkin saya sentiasa sibuk tetapi ada kelebihan bekerja dalam dunia hiburan kerana saya boleh membawa keluarga bersama-sama jika bekerja di luar kota.

berkualiti

“Faktor ini dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kerana walaupun saya bekerja tetapi saya masih dapat meluangkan masa berkualiti bersama mereka.

“Melalui kerja-kerja amal juga saya boleh membawa anak-anak saya dan masa berkualiti sebegini akan terus berlarutan,” kata Zainal.

Selain menjadikan isterinya, Angelina sebagai pengurus, rahsia penjagaan kesihatan Zainal juga adalah kerana mementingkan rehat yang cukup.

“Tidur yang cukup sangat penting. Kalau boleh masuk tidur selewat-lewatnya pukul 12 malam. Dengan itu kita mudah untuk bangun pagi dan boleh melakukan banyak kerja,” ujarnya.

Zainal juga mengakui perhubungan keluarga yang erat juga menjadi antara resipi kebahagiaan kehidupan sebagai seorang berkerjaya dan ketua keluarga.

Mengambil isterinya sebagai pengurus, kata Zainal, ia bukan semata-mata memudahkan kerjanya dan menghindarkan diri daripada fitnah malah ia juga bertujuan untuk menguruskan kewangan.

Ini kerana bagi penyanyi itu, pengurusan sistem kewangan yang betul dan tersusun rapi menjanjikan kesenangan di kemudian hari. Dia juga menasihati artis muda agar menabung supaya hidup lebih terancang dan tidak terumbang ambing pada masa depan.

Pernah dianugerahkan Anugerah Cinta Planet Muzik pada Anugerah Planet Muzik 2007 kerana sumbangannya kepada masyarakat menerusi seni, Zainal memulakan kerjayanya dalam bidang nyanyian bersama kumpulan Headwind.

Menyanyi di kelab-kelab selain merakamkan album dengan kumpulan tersebut, Zainal kemudiannya bergerak secara solo dan menghasilkan album Zainal Abidin (1991), Ikhlas (1992), Orak Arek (1993), Gamal (1994) Terang…Sang (1995) serta yang terakhir Puteri (2004).

Utusan Malaysia

Suka Duka Perjalanan Puteri Pop, Britney Spears

29 Jun

BRITNEY Jean Spears merupakan puteri pasangan Jamie dan Lynn Spears. Lahir pada 2 Disember 1982 di Kenwood, Louisiana. Britney memulai karier sebagai penghibur ketika berumur sepuluh tahun. Waktu itu, Britney mengikuti program Mickey Mouse Club.

* Menjuarai carta lagu

Beliau melancarkan album single, Baby One More Time pada Februari 1999. Lagu tersebut berjaya menduduki tempat pertama carta lagu di seluruh dunia. Diikuti penghasilan lagu Sometimes pada bulan Jun pada tahun yang sama, yang turut berjaya seperti single pertamanya. Kemudian, pada bulan Julai, Britney memulakan jelajah konsertnya.

* Cinta pertama

Pada September 2000, Britney untuk pertama kalinya muncul di khalayak ramai dengan kekasihnya, Justin Timberlake (kumpulan N’Sync). Pasangan baru ini menghadiri majlis MTV VMA di New York bersama-sama. N’Sync meraih dua penghargaan malam itu, tapi seluruh perhatian lebih tertumpu dengan kenyataan Britney di mana dia mengatakan tak mahu melakukan hubungan seks sebelum berkahwin.

Sayangnya hubungan cinta mereka tidak lama. Pasangan muda ini berpisah pada Mei 2002. Akhir tahun itu pula Timberlake mengeluarkan single solo, Cry Me A River, dengan video klip kontroversi di mana ia dilakonkan oleh seorang model seiras Britney.

* Jualan patung

Hingga tahun 2001, Britney sudah menjadi bintang terkenal. Albumnya dapat dijual hingga mencecah jutaan angka dan tiket konsertnya sentiasa habis dijual. Namanya juga digunakan untuk mempromosikan pelbagai barangan dan paling mahal ialah patung yang serupa dengan dirinya.

* Meriahkan acara olahraga AS

Pada bulan Januari 2001 Britney diberi kesempatan memeriahkan pertunjukan olahraga Superbowl Amerika Syarikat (AS). Kali ini, dia bergabung dengan legenda rock Aerosmith di samping artis lain seperti Nelly, Mary J Blige, dan band kekasihnya, N’Sync. Brit berganding dengan Aerosmith untuk membawakan lagu hits kumpulan ini Walk This Way.

* Berubah seksi

Pada akhir tahun 2001, Britney membuat perubahan imej yang kelihatan lebih seksi. Untuk album ketiganya, BRITNEY, ia merakam single bertajuk I’am A Slave 4 U dengan bantuan penerbit terkenal, Neptunes.

Lagu ini awalnya ditawar kepada Janet Jackson tetapi ditolak kerana dia merasakan Britney telah menyanyikan lagu ini pada majlis penghargaan MTV.

* Pada tahun 2003, Britney tampil di acara MTV Awards dan mencetuskan kontroversi. Dia yang berduet dengan Madonna dan Christina Aguilera. Ketika di penghujung lagu, mereka bercium dengan Madonna sebagai penutup lagu Like A Virgin.

* Puteri pop

Pada tahun 2003, bukan hanya album Britney yang terjual laris, tapi apa pun yang menggunakan namanya pasti mendapat sambutan. Pendek kata para pengiklan berlumba-lumba untuk mengambilnya dan pada bulan September dia bergabung dengan dua rakannya, Pink serta Beyonce untuk tampil dalam iklan Pepsi. Mereka tampil dengan menyanyikan lagu We Will Rock You. Dikatakan iklan ini paling mahal ketika itu.

* Perkahwinan pertama

Segalanya berubah menjadi ngeri buat Britney ketika dia menjadi pujaan ramai dan ramai terkejut dengan berita perkahwinannya dengan teman sekolah, Jason Alexander. Kedua-dua remaja ini berkahwin pada 3 Januari 2004 di Little White Chapel, Las Vegas. Namun perkahwinan itu tidak lama – hanya bertahan selama 52 jam. Kononnya, ibu Britney, Lynn meminta pasukan peguam berpengaruh untuk membatalkan pernikahan tersebut secepat mungkin.

* Suami kedua

Hanya selang sembilan bulan perkahwinan pertamanya, Britney menikah lagi dengan penari latarnya, Kevin Federline pada 18 September 2004. Dan perkahwinan itu dikatakan tidak mempunyai prestij dan paling teruk di kalangan selebriti. Para tetamu wanita diminta mengenakan seluar berwarna pink dengan tulisan ‘Maids’ di bahagian belakang dan lelaki mengenakan baju putih dengan tulisan ‘Pimps’. Malah, tetamu hanya dihidangkan ayam goreng dan burger. Brit menari sepanjang malam dan rakan serta keluarga harus membayar minuman mereka sendiri. Akhirnya pasangan ini dikurniakan dua anak, Sean Preston (lahir 14 September 2005) dan Jayden James (lahir 12 September 2006).

* Berubah buruk

Pada tahun 2006, Britney menjadi lebih dikenali kerana imej buruknya dan bukan kariernya. Bintang muda yang cemerlang ini jatuh dengan gosip dan skandal. Pada bulan Ogos, Britney mencetuskan kontroversi di Jepun apabila gambar bogel ketika hamil menjadi muka depan majalah Harper’s Bazaar, yang akhirnya dilarang dijual di negara itu.

* Britney botak

Setelah dua tahun berkahwin, Britney mengirim SMS kepada suaminya untuk meminta cerai. Selepas peristiwa ini, perangai Britney dikatakan semakin teruk.

Pada 17 Februari 2007, dia mengejutkan dunia dengan membotakkan kepala sebagai tunjuk perasaan kepada dunia betapa dia sakit secara emosional.

* Kekecohan di MTV

Britney memang pernah menjadi ratu untuk acara MTV Awards, tetapi pada 9 September 2007 dalam acara yang sama, dia menutup mulutnya kerana terlupa lirik untuk lagu Gimme More. Penampilan pertamanya ini bukannya membuatkan penonton kagum tetapi terkejut dengan tindakannya.

* Kehilangan anak-anaknya

Setelah berjuang dalam perebutan hak anak dengan Kevin Federline, mahkamah Los Angeles memutuskan demi keselamatan anak-anak ini, mereka tidak diizinkan tinggal lama bersama Britney.

* Masuk hospital

Setelah berbulan-bulan bertingkah laku pelik, Britney akhirnya ditahan di hospital. Pada 3 Januari 2008 penyanyi ini membuat kecoh dengan polis. Britney berkelakuan pelik akibat meminum ubat. Akhirnya, polis membawanya ke pusat perubatan terbaik, Cedars Sinai Medical . Britney diberi rawatan psikologi dan kini dia telah dibenarkan pulang.

* Kisah cinta dengan paparazi

Beberapa hari setelah Britney diizinkan keluar dari hospital, dia kembali membuat kejutan dengan membuat hubungan bersama salah seorang paparazi yang mengikuti ke mana pun dia pergi.

Sejak kedua pasangan ini bersama, ada berita yang mengatakan mereka telah berkahwin di Mexico dan sedang hamil.

* Kembali ke pangkal jalan

Dalam pengawasan kedua orang tuanya, perlahan-lahan Britney kembali pulih. Dia jarang ke kelab malam dan berkelakuan pelik dan dikatakan dia kini kembali fokus pada kariernya. Pada bulan Mac 2008, dia mendapat tawaran berlakon dalam sitcom As How I Met Your Mother. Penampilannya dalam satu episod sitcom ini berjaya mendapat sambutan penonton.

Tingkah laku Britney yang kembali normal dan tidak lagi liar, menyebabkan dia diterima peminat semula. Malah, pada 6 Mei tahun ini, mahkamah membenarkan Britney mengunjungi anaknya untuk tiga hari seminggu. Berita ini cukup menggembirakan Britney dan keluarganya.

Utusan Malaysia

Juara Pasti Tak Sesia

28 Jun

Syarikat rakaman atur strategi pastikan album berjaya di pasaran

OlehHanim Mohd Saleh

KALAU Aliff Aziz mengharum namanya di negara jiran hasil kontrak rakaman dengan syarikat Sony-BMG Music di Malaysia, apakah kejayaan serupa boleh diulangi jika kontrak itu dimenangi sebuah kumpulan band dari pertandingan realiti TV?

Seperti Aliff, juara Anugerah Band 2008 juga bakal ditawarkan kontrak rakaman, tetapi dengan syarikat berbeza – Universal Music Malaysia, dengan kerjasama Rumpun Records dan EZS Music Production.

Universal merupakan label antarabangsa yang pernah mengedarkan album artis Barat seperti Mariah Carey, Bon Jovi dan Maroon 5, di samping artis serantau seperti Anuar Zain, Pop Shuvit, Spider dan Agnes Monica.

Juara pertandingan juga akan diikat kontrak bersama Unit Pengurusan Artis (AMU) Mediacorp TV12 selama empat tahun, selain menerima trofi dan wang tunai $20,000. Secara keseluruhannya, nilai hadiah yang dimenangi juara mencecah $250,000.

Wakil Universal Music yang juga seorang penerbit, Syed Azlan Abu Baker, yang lebih popular dengan panggilan Arab, ketika ditemui berkata pihaknya telah mengikuti perkembangan muzik di Singapura dan yakin banyak bakat terpendam di sini yang berpotensi diketengahkan secara agresif di Malaysia.

‘Sejak dulu saya yakin Singapura mempunyai bakat besar. Bahkan saya dewasa dengan lagu-lagu band Singapura seperti Sweet Charity dan Black Dog Bone.

‘Tetapi dalam menjalankan kerjasama kontrak ini dengan pihak Suria, kami sama-sama bersetuju siapa pun pemenangnya, ia haruslah band terbaik dan kami tidak boleh bertolak ansur dalam memastikan kejayaan album yang bakal dipasarkan nanti.

‘Ini bermakna kami harus bersikap teliti dalam pemilihan lagu dan mengatur strategi untuk memastikan produk itu nanti benar-benar berjaya,’ kata Arab.

Sebagai mengenalkan pemenang kepada pasaran Malaysia, tambah Arab, pihaknya merancang mengeluarkan single terlebih dulu, diikuti dengan EP dan album penuh. Single pertama dijangka diterbitkan pada akhir Julai.

Apabila ditanya Berita Harian sama ada juara band itu nanti berpeluang mengetengahkan lagu- lagu ciptaan mereka sendiri, sesuai dengan konsep band yang diperjuangkan, dan tidak terikat pada sumbangan penggubah Malaysia saja seperti mana yang berlaku pada album Aliff, Arab menjelaskan latar belakang dan asal usul penggubah tidak menjadi keutamaan dalam pemilihan lagu.

‘Kami tidak mengehadkan dari mana lagu itu datang, tidak kira dari Malaysia atau Singapura atau mungkin negara jiran yang lain.

‘Yang penting, lagu itu sedap dan sesuai dengan band itu sendiri. Tetapi kalau band sendiri boleh mencipta lagu dengan baik, ia merupakan satu bonus,’ tambah Arab.

Ketua AMU, Noor Azlan Salim, pula menjelaskan dalam perjanjian menerbitkan album sulung Aliff di bawah syarikat Sony-BMG, sebenarnya tidak ada sekatan terhadap sumbangan lagu daripada penggubah Singapura.

‘Sebenarnya kami ada meminta dua penggubah tempatan menyumbangkan karya mereka tetapi penggubah itu sendiri merasakan lagu ciptaan mereka tidak sesuai dengan suara dan imej Aliff. Soal masa juga menjadi penghalang,’ kata Noor Azlan.

Apabila diungkit tentang kontrak empat tahun – tempoh yang agak lama bagi pemenang band ‘diikat’ AMU Suria, Noor Azlan menjelaskan kontrak itu sebenarnya dibuka untuk perbincangan setiap tahun.

‘Selepas setahun, kami akan membuat penilaian dan merangka rancangan seterusnya,’ ujar beliau.

Empat finalis lain juga dijangka ditawarkan kontrak AMU Suria tetapi yang pasti, kata Naib Presiden Kanan Suria, Suhaimi Jais, ‘mereka akan diketengahkan dalam rancangan-rancangan hiburan TV kami’.

Enam kumpulan yang bersaing dalam peringkat separuh akhir pada Selasa lalu – Cucu Datuk Merah, Rancour, Trabo, Putra, Fatskunks dan X-Tech – akan mengetahui nasib mereka, sama ada berjaya mara ke peringkat akhir, apabila keputusan diumumkan Selasa ini.

Keputusan adalah berdasarkan 50 peratus undian penonton menerusi SMS dan 50 peratus penilaian juri.

Selain hadiah juara, turut disediakan ialah Anugerah Pemuzik Terbaik, Vokalis Terbaik, Anugerah Band Paling Bergaya dan Band Kesayangan Media.

Cyberita

Mila, Dafi Semakin Mengerti

27 Jun

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

ACAPKALI bintang-bintang yang dicungkil bakat menerusi program realiti televisyen dipandang sepi.

Bahkan, ada juga yang akan mempertikaikan mutu dan kualiti bintang-bintang tersebut.

Akademi Fantasia (AF) sahaja merupakan contoh terdekat yang melahirkan begitu ramai bakat baru.

Meskipun di awal program tersebut bintang-bintang kelahirannya dikritik dan dipersoalkan kredibiliti mereka, namun hari demi hari kerdipan bintang yang ada pada diri mereka semakin bersinar.

Dafi dan Mila sumber rujukan terbaik bintang kelahiran AF yang tidak boleh diperlekehkan.

Kedua-duanya semakin berani dalam mengharungi perjalanan seni meskipun sudah mula dilambakkan dengan cerita-cerita sinis yang kadang kala memeritkan telinga empunya diri, namun mereka yakin berkat kesabaran yang tinggi antara resipi terbaik bagi kejayaan masa depan.

Mengakui kadang kala serik dan berkecil hati dengan apa yang dialami di sekeliling, namun gadis kecil molek yang juga merupakan juara AF5, Mila sudah mula boleh menerima situasi sedemikian.

Masakan tidak, selepas insiden kisah cintanya yang kecundang hangat dihebahkan, kini kemenangannya di Bulgaria pula dipertikaikan.

Jika hendak dihitung air mata yang menitik, sudah tidak mampu diperkatakan lagi.

“Siapa yang tak sedih dengan apa yang berlaku. Saya selalu juga baca blog-blog di Internet. Dulu kisah peribadi saya diperkatakan sehingga mereka mengaitkan nama ibu bapa saya.

“Kini mereka mempertikaikan pula kemenangan saya pula. Mereka tak mengiktiraf kemenangan saya. Dan pelbagai lagi cerita yang kurang enak dibincangkan. Hati mana yang tak tersentuh dan sedih,” kata Mila pada satu pertemuan bersama Hits baru-baru ini.

Sambung Mila, sewaktu mula-mula berdepan dengan situasi itu air mata sering menjadi teman setia.

“Mula-mula saja kecewa tapi lama kelamaan saya malas nak layan. Sebab utama saya sering membuka blog-blog tersebut adalah untuk mengetahui apa yang disukai dan yang tak disukai masyarakat pada saya. Sekurang-kurangnya saya dapat membaiki kesilapan dan belajar apa yang baik,” jelas gadis berusia 21 tahun ini.

Biar apa sekalipun yang dipertikai mengenainya, rezeki masih lagi melimpahi anak kelahiran Pulau Mutiara ini.

Perkhabaran terbaru mengenai kerjaya seninya besar kemungkinan pemilik nama sebenar Noorsyarmilla Jirin ini akan mencuba bidang lakonan pula.

“Insya-Allah saya akan berlakon dalam sebuah telemovie bersama-sama Dafi. Tapi semua itu masih dalam perbincangan. Saya tak ada masalah untuk mengembangkan cabang seni saya kerana bagi saya nyanyian dan lakonan kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.

Enggan dibayangi bapa

Di awal kemunculan, jejaka berusia 20 tahun ini dalam AF pelbagai usikan dan ejekan diterima.

Walau apa label diberikan kepadanya sekalipun, pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri ini tidak pula leka.

Menyedari akan fenomena tersebut, anak kepada Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Ismail Sabri ini, menerima keadaan tersebut dengan tenang.

Mengakui terdetik sedikit perasaan berkecil hati namun dia sentiasa menganggap perkara tersebut sesuatu yang kurang serius.

“Masa mula-mula memanglah saya kecil hati tapi bila fikir-fikir balik siapalah saya untuk menghalang semua itu. Bagi saya berdiam diri lebih baik dan memberi tumpuan pada kerjaya saya lebih penting. Hasilnya kini sikap berdiam diri saya itu lebih baik daripada saya bersuara,” jelas peminat setia kumpulan KRU ini lagi.

Akui Dafi selepas senyap senario tersebut, muncul pula cerita baru kononnya dia menggunakan pengaruh bapanya untuk kerjaya seninya.

“Saya bermula dari bawah dan langkah terbaik saya untuk menjadi penyanyi ialah dengan memasuki AF.

“Menerusi AF saya kumpul peminat dan saya bekerja keras untuk memastikan diri saya diterima peminat. Saya tak boleh nak menafikan apa yang mereka nak kata tapi yang boleh saya jelaskan saya bekerja keras untuk semua ini,” jelas anak kedua daripada empat beradik ini lagi.

Tidak menganggap semua itu luka yang semakin merebak, kini Dafi sedang sibuk menyiapkan album solo sulungnya.

“Tinggal sebuah lagu belum dirakamkan iaitu lagu ciptaan komposer Indonesia. Sembilan lagu lain sudah siap semuanya.

“Album ini akan memuatkan lagu ciptaan komposer tempatan dan seberang. Sudah tentu strategi utama ialah untuk memasarkan album ini ke negara itu,” jelas Dafi yang baru sahaja pulang dari Indonesia bagi menjayakan showcase anjuran pengeluar ais krim Wall’s.

Kata Dafi, dia sudah pun beberapa kali berulang alik ke seberang untuk menjayakan sesi fotografi serta promosi.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah kerana menerusi produk Wall’s, saya sudah mula dikenali di seberang. Jadi saya rasa apabila album saya keluar kelak bukanlah satu masalah untuk saya mencuba nasib di sana,” kata jejaka berbintang Sagitarius ini lagi.

Sementara itu, Dafi dan Mila kini sedang sibuk berlatih untuk konsert Cornetto Love Sparks yang akan diadakan esok di Padang Merbuk, Kuala Lumpur.

Kedua-dua bintang muda ini akan berganding bahu dengan bintang cilik dari seberang, Gita Gutawa serta bintang-bintang AF lain seperti Mawi, Mila, Stacy dan tentunya kumpulan Estranged.

Kepada peminat-peminat Dafi dan Mila, pastikan anda berkunjung ke Padang Merbuk, Kuala Lumpur esok untuk memeriahkan konsert Cornetto Love Sparks.

Utusan Malaysia