Archive | Harian Metro RSS feed for this section

Resipi Ikut Sunah

4 Aug

SERING kali stesen TV menyiarkan program masakan yang sememangnya menyelerakan. Namun tiada kajian yang bersungguh-sungguh dibuat bagi menunjukkan makanan ini memberikan kebaikan kepada tubuh badan.

Bagaimanapun, kelainan dilakukan menerusi program Resepi Sunnah apabila pengisiannya memaparkan mengenai pemakanan sihat dan resipi istimewa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Program 13 episod terbitan Little Penguin Productions Sdn Bhd dan Penerbit Bersekutu HFaridhine Holdings Sdn Bhd ini mula menemui peminat menerusi stesen TV9 sejak 20 Julai lalu dan disiarkan setiap Jumaat, jam 6.30 petang.

Dihoskan Haizi Rani dan Zuee Zulaikha, program berkonsep santai dan interaktif yang ditaja Fareeda ini memaparkan 26 resipi terdiri daripada beraneka bahan yang menarik.


Menurut Haizi yang juga bekas penyanyi dan pembaca berita Buletin Pagi dan Buletin Tengahari TV3, program ini diterbitkan bertujuan menyedarkan penonton bahawa 90 peratus penyakit berpunca daripada perut.


“Penjagaan perut amat penting dengan cara mengenali setiap makanan yang diambil. Kami juga berkongsi jenis dan bahan masakan yang menjadi sunah Rasulullah seperti Tsarid (bubur daging), susu, kurma, madu, air zam zam, minyak zaitun dan lain-lain lagi.

“Pendedahan kepada penonton juga dibuat mengenai khasiat yang kita peroleh dalam setiap bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan,” katanya pada majlis pelancaran program ini di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Ia turut dihadiri tetamu terhormat iaitu Tan Sri Rafidah Aziz; Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom dan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Television Media Prima, Ahmad Izham Omar.

Dalam program ini, Haizi selaku penerbit Resepi Sunnah menerusi Little Penguin Productions Sdn Bhd, bergandingan dengan chef profesional, Chef Andri Hadi dalam penyediaan bahan masakan.

“Dia yang pakar dalam bidang pemakanan akan berkongsi maklumat mengenai piramid makanan dan saya akan mengaitkannya dengan sunah Rasulullah. Kami juga berkongsi maklumat mengenai adab sunah dalam penyediaan makanan.

“Zuee Zulaikha pula akan menemu bual Ustaz Sharhan Shafie dan juga Tuan Haji Adam bagi mengulas menu yang disediakan setiap minggu mengikut perspektif Islam.

“Saya mengakui sejak bergelar hos Resepi Sunnah, banyak fakta mengenai pemakanan sihat yang saya peroleh. Ia dapat menambah pengalaman baru dalam karier saya,” katanya mengenai program arahan Rina Khan ini.

Beralih kepada perkembangan terbarunya, Haizi, 33, yang sudah lapan tahun mengendalikan kedai dobi, berehat panjang daripada bidang seni kerana menumpukan perhatian terhadap rumah tangga dan mahu memiliki anak.

Selepas anak sulungnya, Luth Iskandar Ahmad Fazlan sudah mencecah usia setahun lebih, dia berhasrat kembali aktif baik dalam pengacaraan mahupun nyanyian.

“Saya nak meneroka lebih jauh lagi dalam pengacaraan dan bercadang buat program travelog selepas ini. Ia kini masih dalam perbincangan lanjut. Selain itu, saya juga ditawarkan berlakon dalam sebuah drama.

“Watak yang diberikan itu pula agak bersesuaian dan saya teringin nak mencuba.

Saya turut bercadang kembali menyanyi kerana sangat merindui bidang nyanyian.

Walaupun dah beralih ke cabang kerjaya lain, saya tetap nak rasa pegang mikrofon.

“Banyak perkara yang saya inginkan dah tercapai dalam hidup saya. Apatah lagi suami tak menghalang bahkan turut memberi kebenaran. Kini, saya dalam perancangan menghasilkan single terbaru buat peminat.

“Saya sudah bertemu Edry Abdul Halim dan Adi Sixth Sense untuk mendapatkan lagu mereka. Mungkin ada setengah pihak tak kenal saya kerana hampir 10 tahun tak hasilkan album. Tapi saya jenis tak ambil peduli dengan apa juga pandangan orang.

“Saya sentiasa fikir positif kerana yakin kepada rezeki. Apa yang saya nak buat, pasti saya akan lakukan,” katanya yang pernah muncul menerusi album Puteri Sinaran bersama Ambang Klasik dan album Terus Melangkah bersama NAR Records pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Soseh Soseh: Artis Cari Rezeki Di Bazar Ramadan

4 Aug

RAMADAN bukan saja bulan untuk menambah amal ibadah, malah dapat menambahkan rezeki serta melahirkan ramai usahawan bermusim. Dua minggu sebelum Ramadan, pelbagai pihak sibuk mempromosikan tapak bazar Ramadan yang SS difahamkan satu tapak ada yang disewa pada harga RM2,000 hingga RM3,000.

Kepada yang bernasib baik, keuntungan yang mereka dapat sepanjang Ramadan ini memang lumayan dan selepas hari raya boleh berehat panjang, tetapi ada juga tapak berniaga yang lesu dan sendu.

Apabila bercakap mengenai bazar Ramadan ini, khabarnya tahun ini ramai artis yang mahu berniaga kerana biasanya show dan tawaran berlakon pun kurang.

Sebulan sebelum Ramadan lagi ada yang memulakan misi mencari tapak berniaga.

Bagaimanapun, biasalah dalam ramai-ramai ada yang berjaya mendapat tapak di lokasi yang sangat bagus dan ada juga yang terpaksa makan hati. Faham-faham sajalah ye!

Rakan SS yang juga pelakon terkenal ini dah mula berniaga sejak awal Ramadan lagi, tetapi katanya belum masuk jam 8 malam, tapak niaganya dah sunyi. Tak ada siapa yang datang dan dengan berat hati terpaksalah dia mencari tapak niaga lain. Suka atau tidak, dia terpaksalah keluarkan duit lagi untuk menyewa tapak baru, tetapi kerana semangat niaganya yang kental, dia telan saja cabaran yang datang.

Menceritakan pengalamannya berniaga di tempat lama, katanya, boleh dikatakan

setiap malam dia terpaksa sedekahkan makanan dan minuman yang dijualnya kepada peniaga lain kerana banyak yang tak habis. Dia tidak kisah pasal sedekah ini, tetapi kalau setiap hari terpaksa buat begitu, dia khuatir lama-kelamaan niat nak bersedekahnya itu bertukar jadi lain.

Apa pun SS pandang tinggi kepada artis yang sanggup mencuba kerana ada kala untung rugi terletak pada rezeki juga. Siapa tahu, tahun ini rugi sikit tetapi tahun depan membawa pulangan yang bagus kerana sudah ada pengalaman berniaga.

Bagaimanapun kepada pengusaha tapak, janganlah berjanji bulan dan bintang kerana kalau gagal melaksanakannya ramai yang akan gigit jari. Siapa nak ganti balik modal yang sudah dikeluarkan.

SS: Artis sering dipergunakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Soseh Soseh: Pelawak Berangan

4 Aug

KALAU SS sebutkan nama seorang pelawak popular ini, rasanya memang ramai yang bersetuju dengan apa yang ingin SS sampaikan kerana sebelum ini banyak pihak sudah mengadu akan sikapnya.

Terbaru, SS disampaikan pula oleh seorang tenaga produksi kepada sebuah program jenaka tayangan stesen televisyen swasta ini yang turut meletakkan pelawak tadi sebagai teraju utamanya.

Mulanya seperti biasa, pengacara tadi hanya meminta agar bayarannya lebih berbanding pelawak lain dan beberapa kriteria yang perlu dipenuhi pihak produksi. Kiranya profesional dan semua itu masih dianggap biasa saja.

Tapi yang membuatkan banyak pihak berasap dan penerbit program garu kepala apabila pelawak tadi mula lambat tiba di sesi rakaman hingga menyusahkan banyak pihak lain terutamanya barisan pelakon yang terpaksa menunggunya.


Apabila datang bersama pengurusnya yang memang ramai sudah mengadu sikap berlagak dan perasan bagus itu, pelawak tadi buat muka selamba dan seolah-olah tiada apa yang berlaku walaupun ada pelawak lain yang hingga tertidur sebab menunggunya di lokasi.


Bukan itu saja, pelawak yang tidak berdisiplin itu turut mengelak untuk menghadirkan diri ke sesi latihan dan kononnya sudah cukup bagus dan tidak perlukan latihan terlebih dulu.

Tapi apabila rakaman, teruk sungguh persembahannya dan ada saja yang tidak kena. Mana tidaknya, keserasian dengan pelakon lain tiada dan skripnya juga ke laut. Melalut saja dari awal hingga ke akhir dan apa yang dibuatnya hanya ketawa yang sangat menyakitkan hati.

SS sendiri tidak pasti sampai bila agaknya pelawak tadi akan berubah kerana sejak dulu lagi dia memang terkenal dengan sikap keras kepala dan akan menjawab semula teguran pihak media kerana padanya, dia sudah bagus dan tidak perlu teguran sesiapa.

SS hanya diam dan tunggu saja sampai bila dia mampu pergi dalam industri ini. Jika tiada disiplin, SS percaya bakat dan kemampuan hebat itu lama-lama akan hilang kerana tiada kejujuran dalam bekerja.

SS: Artis yang teruk perangainya sebelum ini sudah mula berubah dan pandai menghormati orang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Artis Turut Berbakti

4 Aug

PROGRAM berbentuk aktiviti sosial, Titipan Kasih Harian Metro berlangsung saban tahun setiap kali tibanya Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Golongan sasaran yang dibantu adalah orang kelainan upaya (OKU), keluarga miskin, ibu tunggal dan anak yatim di lokasi yang dikenal pasti.

Titipan Kasih anjuran akhbar nombor satu negara yang mendapat kerjasama ramai penaja ini sudah memasuki tahun kelima. Sebagai pembuka tirai, program ini memilih mengadakannya di Masjid As Saadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan yang berlangsung pada 28 Julai lalu dan turut disertai Rahmat Ekamatra dan pengamal perubatan Islam, Ustaz Sharhan Shafie.

Pada program ini, 100 anak yatim dibawa membeli pakaian raya serta menerima pelbagai sumbangan lain. Seramai 40 ibu tunggal dan 20 keluarga miskin juga menerima pelbagai bantuan termasuk wang tunai RM100 setiap seorang dan diraikan pada majlis berbuka puasa di Masjid As Saadah.

Semua mereka menerima sumbangan daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad.


Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail; Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat dan Ketua Kampung Bahagia, Tajol Hasnan.


Majlis turut diimarahkan lebih 200 penduduk kampung termasuk ahli jawatankuasa masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang memberikan sokongan padu terhadap program yang julung kali diadakan di kampung mereka.

Program yang berlangsung sehari suntuk itu dimulakan dengan majlis penyembelihan lembu yang dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung dan sukarelawan Harian Metro untuk dijadikan hidangan majlis berbuka puasa.

Aktiviti bermanfaat lain turut diadakan iaitu pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, gubahan bunga dan bengkel solekan.

Rahmat yang berimej baru dibawakan khas bertemu peminat menerusi sesi sumbangan ‘goodie bag’ berisi akhbar Harian Metro dan kurma untuk pengunjung pasar Ramadan. Ustaz Sharhan pula membuka pusat rawatan perubatan Islam mini yang diadakan secara percuma yang menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk di situ.

Melihat wajah kegembiraan dan kesyukuran penerima sumbangan, jelas menjadi satu pengalaman yang menginsafkan buat Rahmat dan Ustaz Sharhan Shafie yang mengikuti program ini.

Menurut Rahmat, ajakan Harian Metro untuknya terbabit dalam Titipan Kasih sememangnya ditunggu-tunggu kerana inilah peluang untuk bertemu peminat.

Tambahan lagi, dia kini sedang mempromosi album keduanya berjudul Semarak Cinta Rasulullah 2.

“Saya memang nak promosikan album ini secara meluas kepada peminat kerana nak mengajak mereka supaya mencintai Rasulullah. Alhamdulillah peluang ini hadir apabila diajak ke sini untuk bersama-sama dalam Titipan Kasih. Ternyata peminat juga tak kekok mendekati saya dan bertanyakan perkembangan terkini.

“Pada masa sama, saya terharu melihat golongan yang kurang bernasib baik ini gembira apabila menerima sumbangan. Ia suatu usaha baik dilakukan Harian Metro.

Saya berharap program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Ustaz Sharhan yang dikenali menerusi program Tanyalah Ustaz di TV9 dan Al Kuliyyah di TV3 pula berkata, dia berbangga apabila diajak terbabit dalam Titipan Kasih. Apatah lagi, ia dianjurkan akhbar berpengaruh seperti Harian Metro.

“Ini peluang untuk saya bertemu masyarakat kampung dan menjalinkan mahabbah dengan mereka menerusi bantuan kepada yang memerlukan. Ada sesetengah penyakit tak dapat dikesan doktor secara saintifik, namun memang ada pada tubuh badan seseorang itu dan boleh diubati dengan menggunakan kelebihan yang ada dalam al-Quran.

“Apabila bersama Titipan Kasih, masyarakat kampung yang sering nampak saya dalam TV boleh mendekati saya dan dapat bertanya pelbagai persoalan. Di sini, mereka juga boleh mendapatkan ayat yang sering saya berikan setiap kali tampil di kaca TV. Titipan Kasih sememangnya buat mereka yang perlukan bantuan dan saya dapat lihat ada yang menangis apabila menerima sumbangan.

“Saya memahami mereka terharu kerana ada yang prihatin dan inilah yang saya lakukan apabila buat rawatan secara percuma. Ia adalah satu amalan yang sering saya buat kerana tahu kebanyakan mereka yang hadir adalah golongan susah.

Kerana Titipan Kasih, saya sanggup lupakan projek lain yang mendatangkan wang kerana yang penting ialah sumbangan kepada masyarakat.

“Saya sanggup turun padang bantu orang susah kerana ia pelaburan akhirat.

Dalam konsep ini, saya berpegang kepada hadis nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang meleraikan masalah seseorang, Tuhan akan menyelesaikan masalahnya di akhirat dengan jayanya.” Alhamdulillah dengan izin Allah, ramai yang mendapatkan rawatan dengan saya semakin beransur pulih.

“Berubat dengan al-Quran banyak mukjizatnya. Saya juga lihat rawatan begini

sesuai dibuat di masjid kerana fungsi masjid meluas sebagai tempat untuk bersolat, akad nikah, berniaga, bermesyuarat dan melakukan aktiviti kemasyarakatan. Ia satu lokasi yang tepat untuk satukan semua,” katanya yang merawat pesakit di pusat rawatannya di no 69B, USJ 21/ 11, Subang Jaya pada setiap Sabtu.

Hari ini, Ustaz Sharhan akan berada di Masjid Muhibuddin, Kampung Sungai Pasir, Sungai Petani untuk melakukan rawatan perubatan Islam dalam Titipan Kasih yang berlangsung dari tengah hari sehingga malam.

Turut serta, Ustaz Radzi bekas penyanyi kumpulan Melissa yang akan menyampaikan tazkirah dan menyanyikan lagu berkonsep dakwah. Destinasi Titipan Kasih seterusnya adalah Tanjung Karang, Selangor dan Kesang, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Kawal Nafsu Ketika Beli Juadah

4 Aug

KEMERIAHAN bazar Ramadan pastinya dinantikan semua umat Islam yang berpuasa, di sinilah pelbagai jenis makanan, kuih-muih dan minuman yang jarang sekali ditemui dapat dibeli.

Pastinya warna-warni yang terdapat pada setiap gerai di bazar berkenaan boleh menggugat hati seseorang dan jika tidak dikawal ia boleh melekakan kita sehingga tersasar membeli makanan yang tidak sepatutnya.

Meskipun harus bersesak dengan ramai orang, keinginan untuk mendapatkan makanan kegemaran tetap diteruskan dengan singgah dari satu gerai ke gerai yang lain.

Situasi itu juga turut dirasai empat pelakon MIG – Fyza Kader, Siti Adibah Yunus, Zalif Sidek dan Kamal Faridz apabila dibawa berjalan-jalan membeli makanan di bazar Taman Medan, Petaling Jaya, di sini, baru-baru ini.


Walaupun masing-masing kelihatan ghairah melihat menu yang dijual, mereka masih mampu mengawal perasaan dan nafsu untuk membeli makanan yang tidak perlu terus diabaikan.


Gadis tinggi lampai, Fyza berkata, berjalan ke bazar Ramadan bukanlah peluang untuknya membazir membeli makanan yang tidak perlu sebaliknya dia lebih selesa berbuka dengan makanan yang ringan seperti kuih-muih.

“Biasanya apabila berjalan ke bazar, saya suka melihat jenis kuih yang dijual kerana saya seorang yang suka berbuka dengan kuih-muih, selain itu ayam percik adalah menu wajib yang perlu ada di atas meja.

“Saya jarang sekali makan nasi pada waktu berbuka dan biasanya saya akan jamah nasi pada jam 9 atau 10 malam, itu pun jika lapar, kalau tidak saya lebih suka makan roti canai, roti nan dan spagheti.

“Walaupun banyak jenis air dijual di bazar, saya lebih memilih air buah seperti nanas dan tembikai. Bazar yang sering menjadi pilihan saya ialah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Damansara yang selain dekat dengan tempat tinggal, di situ tersedia pelbagai jenis makanan yang saya inginkan,” katanya.

Selain sibuk dengan aktiviti pada bulan Ramadan Fyza juga sedang berdebar menanti filem lakonannya, Seram Sejuk yang bakal ditayangkan Aidilfitri ini.

Bagi jejaka berbadan sasa, Kamal disebabkan tinggal bersama keluarga dia lebih selesa makan apa yang dimasak ibunya.

Namun begitu, berjalan-jalan di bazar adalah aktiviti wajib setiap kali tibanya Ramadan kerana selain dapat melihat ragam manusia, dia juga dapat membeli makanan yang jarang dijual pada hari biasa seperti murtabak, ayam percik dan nasi kerabu.

“Mungkin makanan ini sudah popular tetapi jarang kita temui pada hari biasa dan sepanjang Ramadan inilah peluang untuk saya menikmati sepuas-puasnya, apatah lagi makanan berkenaan mudah diperoleh di mana-mana saja bazar Ramadan yang ada.

“Bazar kegemaran saya ialah di Seksyen 13 dan TTDI Jaya, Shah Alam. Selain dapat membeli makanan kegemaran, kadang kala saya membantu rakan menjual kuih tepung pelita.

“Jika tidak ke bazar dan ibu tidak masak, saya akan masak sendiri dan masakan kegemaran saya ialah ayam masak merah dan daging kicap,” kata pelakon Cinta Buat Emelda ini.

Sementara itu, Siti Adibah Mohd Yunus berkata, berjauhan dengan keluarga yang berada di Negeri Sembilan ada ketika membuatnya leka membeli di bazar jika pergi tanpa ditemani.

“Saya seorang yang sangat gila dengan kuih-muih dan peluang berjalan di bazar Ramadan selalunya saya gunakan untuk melihat jenis dan bentuk kuih yang jarang-jarang saya jumpa pada hari biasa.

“Seperti kuih dari negeri Kelantan macam-macam jenis dapat kita lihat dengan warna yang pelbagai pastinya memikat dan kerana itulah saya pernah membeli kuih sehingga RM30 disebabkan terlalu geram dengan bentuknya yang menarik.

“Disebabkan sikap itu saya kurang ke bazar Ramadan dan lebih memilih memasak sendiri di rumah dan kegemaran saya adalah ayam merah. Bagi juadah lain, laksa dan putu piring menu wajib setiap kali berbuka,” kata pelakon drama Takdir Qismah ini yang kini sedang hangat ditayangkan di slot Azalea di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

‘Saya Tiada Kaitan’

4 Aug

MESKIPUN sudah tiada kaitan sejak hubungan cinta berakhir, nama pelakon muda, Zulkifli Ariffin atau lebih mesra disapa Zul akan terus terikat dengan bekas kekasihnya juga pelakon popular, Abby Abadi.

Berilah pelbagai alasan mahupun hakikat kononnya tiada apa lagi yang harus dikaitkan, realitinya, namanya akan terus dikaitkan suka atau tidak.

Terbaru, pelakon kacak ini tiba-tiba menjadi buruan media pada majlis berbuka puasa anjuran Astro Shaw di ibu kota kerana ingin mendapatkan kenyataan dan komennya mengenai sikap bekas kekasihnya yang menimbulkan kontroversi.

Entah apa puncanya, Abby Abadi bagai dikecam banyak pihak sepanjang minggu lalu selepas mengeluarkan pelbagai kenyataan menerusi laman sosial twitter miliknya hingga mengundang banyak reaksi termasuk beberapa selebriti terkenal sendiri.


Abby yang kini berhijrah dengan imej bertudung, terang-terangan mengakui yang dirinya kini sudah menyertai satu parti dan kerana itu juga, pelakon siri Gerak Khas itu bagai menjadikan ruangan twitternya sebagai platform meluahkan rasa tidak puas hati terhadap industri seni dan sesetengah pihak.


Lantas kehadiran Zul yang tiga tahun menjalin hubungan cinta dengan Abby sebelum ini pastinya menjadi perhatian bagi mendengar sendiri komennya pula.

Bagaimanapun, ketika pelakon yang baru saja membintangi filem Penanggal ini ditanya mengenai isu itu, hanya senyuman yang diberikan.

“Jujurnya saya sendiri baru tahu mengenai perkara ini, dia (Abby) dikatakan lantang bersuara menerusi twitter hingga membuatkan banyak pihak memberikan reaksi negatif kepadanya. Ini kerana saya tidak langsung mengikuti twitter atau mana-mana ruangan sosialnya. Malah sejak kami berpisah, saya tidak langsung berhubung dengannya.

“Itulah yang berlaku antara kami sejak tiada apa-apa hubungan. Masing-masing membawa haluan sendiri dan saya pula sibuk dengan jadual kerja yang begitu banyak. Saya memang tidak fikir langsung mengenai perkara itu kerana pada saya, apa yang berlaku adalah ketentuan dan semuanya tinggal sejarah dan pengalaman saja buat saya.

“Namun saya tahu akan penghijrahannya yang kini bertudung dan saya gembira dengan perubahan itu. Alhamdulillah dan syukur kerana dia berubah untuk kebaikan. Tapi mengenai fahaman politik dan segala macam pendapatnya mengenai arah politik itu, saya langsung tidak tahu dan baru sekarang saya sibuk ingin melihatnya sendiri.

“Jika benar apa yang disampaikan kepada saya mengenai status twitternya yang mengundang pelbagai reaksi negatif, saya sendiri ingin melihatnya kerana isu politik atau agama adalah sensitif dan tidak sepatutnya dijadikan bahan secara umum,” katanya yang diberitahu seorang teman mengenai twitter Abby sejurus sebelum tiba pada majlis ini.

Bukan saja statusnya mengenai agama, perjuangannya dalam menegakkan kebenaran, malah pelakon beranak tiga hasil perkahwinan terdahulu bersama Norman Hakim itu turut mempersoalkan sistem pemerintahan dan mempertikaikan nasib anak seni yang sudah berhijrah sepertinya.

Ada pula sesetengah pihak yang menyelar kononnya perubahan drastik Abby itu disebabkan putus cinta dengannya dan tekanan yang ada membuatkan pelakon yang juga bekas anggota kumpulan Elite itu bagai berhijrah kerana terlalu kecewa.

Bagaimanapun ketika ditanya, Zul menafikannya dan menyifatkan apa yang berlaku ketika ini adalah pilihan Abby sendiri.

“Abby berubah sendiri dan tiada kena-mengena dengan saya atau tekanan selepas putus cinta. Dia sudah cukup dewasa dan pandai membuat keputusan sendiri.

Lagipun sejak awal kami mengambil keputusan untuk berpisah, ia secara profesional dan saya terima dengan hati terbuka. Pastinya Abby sendiri terima dengan baik.

“Justeru, jangan pula ada pihak mengaitkan saya lagi dengan isu ini kerana saya sudah tiada apa-apa lagi dengannya,” katanya.

Terlanjur bertemunya yang kini sudah kembali ‘single’ tanpa wanita yang dikaitkan, Zul tidak terlepas daripada persoalan penggantinya.

Mengakui terbuka mengenali ramai teman wanita ketika ini, namun untuk seorang yang intim atau serasi, pelakon bertubuh sasa ini menafikannya.

“Kalau kata ada kekasih baru, memang belum lagi sebab saya memang sibuk sekarang dengan jadual kerja. Selepas berbulan-bulan fokus pada filem Penanggal, saya terus terbabit dalam beberapa penggambaran drama dengan RTM hingga kini. Lantas memang tiada masa untuk bercinta dan memulakan hubungan yang baru.

“Namun sekadar kawan, memang ramai. Ada juga yang rapat dan masih dalam proses mengenali hati budi lagi.

Belum lagi ke tahap bercinta kerana semuanya sekadar teman biasa. Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan perkenalkan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Keroncong Tetap Hidup

4 Aug

RAMAI mengenali muzik jazz, tetapi tidak tahu bagaimana uniknya apabila penyanyi genre itu mengalunkan irama keroncong pula. Bagi ‘orang lama’, Datin Paduka Julie Sudiro, menyanyikan lagu keroncong ibarat warna tidak pernah pudar dalam diri.

Buat anak kelahiran Segamat, Johor ini, penghormatan diterima menyanyikan lagu keroncong di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada jam 8.30 malam pada 31 Ogos depan membuatkan dirinya terharu.

Persembahan bertema Keroncong Merdeka itu bakal menyaksikan duet beliau bersama seorang lagi penyanyi, Datuk Yusni Hamid yang menjadi penyanyi kesukaan kerabat diraja Pahang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Keroncong memberi banyak pengalaman kepada saya. Ramai peminat mengalirkan air mata mendengar keroncong kerana alunan lembut yang begitu mengusik jiwa.


“Saya menantikan prospek menjayakan persembahan bersama kali pertama di DFP bersama Yusni dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia dibimbing konduktor muda berbakat besar, Ahmad Muriz Che Rose.


“Apapun, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai seorang diva dan minat untuk menyanyi tetap sama dari dulu hingga sekarang,” katanya dalam satu temu ramah di Traders Hotel, KLCC, baru-baru ini.

Lebih menarik, beliau sempat menyanyikan beberapa baris rangkap lirik lagu keroncong Sapu Tangan sambil tangan kanannya meliuk-liuk sewaktu diajukan soalan apakah definisi keroncong itu. Keroncong Sapu Tangan dinyanyikan, kata beliau adalah sebuah lagu memiliki lirik menarik dan memberi kelembutan kepada jiwa.

Julie atau nama sebenar, Radin Juariah Radin Sudiro, adalah penyanyi berdarah Jawa, menyanyi sejak zaman sekolah. Malah, Julie muncul penyanyi kanak-kanak bersama kumpulan opera bapanya pada usia 5 tahun.

Bakat dan populariti muzik sebagai penyanyi keroncong beliau mula mendapat tumpuan sewaktu menjayakan persembahan bersama Keroncong Orkestra Irama Baru dan muncul artis pertama ke udara secara langsung dalam Radio Malaya Singapura.

Pada 1964 ketika berumur 19, beliau menyanyi untuk stesen radio, televisyen dan kelab malam popular di sekitar Kuala Lumpur.

Sebagai rekod, status penyanyi jazz membawa beliau menjelajah ke Hong Kong, Australia, Amerika Selatan, Eropah dan sekitar Asia Tenggara. Dua persembahan jazz paling diingati sewaktu menyanyi pada North Sea Jazz Festival di Rotterdam, Belanda dan Cultural Festivals di De Hague.

Persembahan besar terakhir beliau sebelum ini adalah pada Keroncong

Gala Concert di The Esplanade, Singapura.

Sekalipun masih tidak lagi aktif menyanyi sejak 1999, Julie masih mendapat jemputan membuat persembahan. Buat masa ini, beliau mengisi masa lapang mengajar al-Quran. Selain itu, beliau melakukan kerja amal menerusi jawatan dipegang sebagai Setiausaha Agung badan bukan kerajaan, Karyawan yang memperjuangkan kebajikan artis.

“Mendapat penghormatan berada di MPO diiringi orkestra menandakan keroncong masih mempunyai ramai peminat, cuma jarang dipersembahkan sekarang dan tidak ramai penyanyi membawakan lagu keroncong.

“Berada di venue besar membawa keroncong adalah peluang bagus memperkenalkan muzik ini kepada orang luar. Bahkan, semangat patriotik pasti berkobar-kobar apabila banyak lagu dibawakan bertema Merdeka seperti Sayang Di Sayang, Selamat Tinggal Bungaku, Kenang Daku Dalam Doamu, Uda & Dara, Kucupan Azimat dan Putera Puteri.

Julie berkata, idola beliau adalah penyanyi keroncong Indonesia, Ribut Rawit dan M Yusuf yang popular dengan lagu Mawarku.

“Bagi generasi baru yang berminat belajar keroncong, saya alu-alukan. Apabila sudah mendapat keseronokan dan ‘feel’ keroncong, saya yakin ada daripada kalangan mereka mampu menyanyi dengan baik seperti dibuktikan remaja 17 tahun, Jamilah Abu Bakar yang mendapat bimbingan vokal bagus daripada pakar keroncong seperti Abdul Rahim Anuar, Wawang Wijaya, Abdullah Safri dan Mahzan Manan. Dia akan menyanyi dan berduet bersama saya dan Yusni di DFP, ” kata Julie dalam nada ceria.

Datuk Ramli MS yang turut berada bersama beliau sewaktu temu ramah berkata:

“Nota keroncong bukan mudah dimainkan kerana berbeza dengan notasi muzik klasikal Barat. Posisi ‘key’ berlainan ini menjadi satu cabaran kepada pemuzik mengalunkan muzik keroncong.”

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Izzue Kagumi Dr M

4 Aug

MELIHAT pencapaiannya dalam memajukan negara sehingga menjadikan Malaysia negara yang begitu moden baik dari segi pembangunan dan ekonomi, tidak mustahil bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad digelar Bapa Pemodenan.

Satu demi satu kejayaan dikecapi negara menjadikan beliau idola rakyat Malaysia biarpun sudah bersara.

Bagi pelakon dan penyanyi yang semakin meningkat naik, Muhammad Izzul Islam Mazlan atau Izzue Islam, 22, tetap menjadikan Tun Dr Mahathir idolanya sehingga bila-bila.

Pertama kali bertemu Dr Mahathir ketika majlis rumah terbuka anjuran KRU di Cyberjaya tahun lalu, dirinya tergamam dan hanya senyuman mampu diberikan di samping bertanya khabar meskipun pelbagai pertanyaan bermain di fikiran yang ingin diutarakan.


Baginya, menemui idola adalah perkara biasa pada orang lain, tetapi pada Izzue, ia satu pengalaman cukup indah apabila dapat berdiri dan berbual bersama lelaki yang pernah menjadi seorang yang disegani satu ketika dulu.


“Setiap orang punya idola masing-masing, bercakap soal idola, saya sangat mengagumi Dr Mahathir kerana sepanjang pembabitannya bergelar Perdana Menteri Malaysia, banyak perubahan dilakukannya.

“Mungkin bagi orang lain ia perkara biasa dan tanggungjawab seorang pemimpin dalam memajukan negara, namun pada saya Dr Mahathir mempunyai pemikiran luar biasa yang tidak mampu dimiliki semua orang.

“Jika diberi peluang, saya ingin mempunyai cita-cita dan semangat seperti beliau, justeru saya berharap dapat menjadi seorang yang dikenali dan disanjungi seperti Dr Mahathir satu hari nanti,” katanya.

“Alhamdulillah sejak menetap di Kuala Lumpur, saya dapat lihat pelbagai perubahan dari segi kehidupan dan pembangunan yang semakin maju membuatkan saya gembira dapat menetap di Malaysia.

“Selain itu, kemakmuran yang dinikmati rakyat Malaysia diharap akan berkekalan dan menjadikan negara ini lebih harmoni pada masa akan datang di samping menjadi negara yang menjadi sebutan di seluruh dunia,” katanya.

Sempena kempen #MYsyg (My Sayang) yang dianjurkan Media Prima Berhad, orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web http://www.mysyg.com.my sebelum 15 Ogos ini.

Untuk penyertaan video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Komen Perihal Botoks, Kecantikan

4 Aug

Kate Beckinsale

Kate Beckinsale

KEJELITAAN dan limpahan populariti sudah lama menjadi milik Kate Beckinsale.
Tergolong dalam kelompok antara wanita tercantik ketika ini, Beckinsale, 39, nyata dikurniakan keanggunan semula jadi dalam suatu pakej lengkap bersama bakat lakonan yang semakin menggugat.

Sebelum ini, beberapa majalah terkenal seperti Esquire dan People beberapa kali menyenaraikan Beckinsale sebagai antara wanita tercantik dan paling seksi di dunia.

Lantaran peluang penulis bertemu sendiri dengan Beckinsale dalam rangka promosi filem Total Recall di pantai peranginan terkemuka, Cancun, di Mexico, April lalu digunakan untuk melontarkan soalan bukan saja mengenai kecantikan beliau, malah juga pengalaman membintangi Total Recall arahan suaminya sendiri, Len Wiseman.

Menariknya, walaupun dia sering dianggap jelita, penulis cuba bertanya Beckinsale siapa pula selebriti wanita terkenal yang dirasakan paling menawan.

“Secara peribadi saya rasakan Natalie Portman selebriti wanita yang cukup jelita. Saya juga suka lihat wajah Adele kerana bagi saya, Adele sangat cantik selain mempunyai suara yang hebat. Selain itu, Kate Boswoth juga ada wajah yang unik,” katanya yang bercakap dalam loghat British yang pekat.

Bagaimanakah pula Becksinsale menjaga kesihatan dan kecantikan dirinya?

“Saya suka yoga kerana ia memberikan kelegaan kepada fizikal dan minda saya.
Ia membawa saya ke satu ruang ketenangan selepas penat bekerja tapi kita perlu mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mencapai kemahiran beryoga. Saya juga aktiviti seperti memanjat bukit, namun memang susah kalau hendak mengajak suami saya, Len, berjalan kaki di luar rumah. Dia memang tidak suka.

“Dari segi pemakanan, saya minum banyak air, kurang mengambil alkohol dan menjauhi sebarang dadah. Saya bukan seorang vegetarian tapi saya tetap berhati-hati dengan pemakanan dan tidak mengambil terlalu banyak daging,” jelasnya yang suka membaca novel dan membeli-belah terutama barangan berupa hadiah untuk rakan-rakan.

Menjawab soalan yang lebih sensasi, Beckinsale berkata, dia sedih apabila semakin ramai manusia hari ini tidak kira lelaki mahupun wanita bergantung kepada suntikan botoks serta pembedahan kosmetik untuk kekal cantik.

“Bagi saya, itu hak peribadi masing-masing. Saya bukan hendak mengecam sesiapa, namun fenomena ini menyedihkan kerana manusia seharusnya mengikuti proses kehidupan ini secara semula jadi – daripada tahap kita kanak-kanak, baligh, hamil (bagi wanita) dan seterusnya menjadi tua.

“Hari ini pula kita ada internet, facebook dan twitter, jadi ia membolehkan orang lain bercakap atau mengkritik apa saja mengenai wajah orang lain kalau mereka lihat sesuatu yang tidak kena dengan wajah itu. Jadi ia menambahkan lagi kesan tidak baik daripada perbuatan ini (suntikan botoks).

“Saya tidak tahu apa akan terjadi pada masa depan, namun buat masa sekarang sangat bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada saya dan berharap dapat jadi seperti ibu saya sendiri yang tidak pernah melakukan apa-apa perubahan pada wajahnya,” kata Beckinsale yang menganggap kecantikan itu perkara subjektif.

Usah bandingkan dengan Sharon Stone

MENGULAS mengenai Total Recall yang menggandingkannya dengan Colin Farrell dan Jessica Biel, Beckinsale akui cukup berbangga kerana suaminya, Len Wiseman, sudi memberikan watak antagonis kepadanya buat julung kali.

“Saya tidak pernah campur urusan kerja Len kerana dia lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap filemnya. Apabila melihat dia sibuk bergelumang dengan tugasnya untuk sesebuah filem, saya sekadar memerhati dan tidak suka mengganggunya.

“Namun saya sangat terharu apabila satu hari, Len memberitahu saya dia mahu saya melakonkan satu watak yang berbeza dalam Total Recall. Saya terus jadi teruja kerana inilah kali pertama saya diberikan watak hitam atau antagonis.

“Untuk menjayakan peranan itu, saya membuat persiapan selama empat bulan kerana filem ini banyak babak aksi dan pertarungan. Walaupun saya kerap melakonkan watak ganas dan lasak, di luar filem inilah diri saya yang sebenarnya.

“Bagi saya Colin seorang aktor yang sangat hebat, bijak dan sentiasa fokus dengan kerjayanya. Saya puas dengan gandingan kami dalam Total Recall,” katanya yang menganggap Alien (lakonan Sigourney Weaver) adalah filem sci-fi klasik paling hebat.

“Saya rasa walaupun Alien tidak terlalu grafik, filem itu tetap menakutkan dan dihasilkan dengan cara yang bijak,” jelasnya.

Beckinsale atau nama sebenarnya, Kathrin Romary Beckinsale dilahirkan di Finsbury Park, London pada 26 Julai 1973. Awalnya dia muncul pada 1991 dalam beberapa produksi TV di Britain, namun titik tolak dunia perfilemannya bermula pada 1993 apabila membintangi filem Much Ado About Nothing arahan Kenneth Branagh. Ketika itu, Beckinsale masih lagi menjadi mahasiswi di Oxford University.

Seterusnya dia terus menimba pengalaman dalam dalam beberapa drama British termasuk Prince of Jutland, Cold Comfort Farm, Emma dan The Golden Bowl yang mendapat pujian pengkritik di sana.

Kemudian Beckinsale berhijrah ke Amerika Syarikat pada penghujung 1990-an dan pada mulanya mendapat peluang berlakon dalam drama The Last Days of Disco and Brokedown Palace.

Dari situ, bintangnya kian bersinar terang. Dia akhirnya mendapat tawaran besar untuk berlakon dalam filem perang dan epik cinta terkenal, Pearl Harbor pada 2001 selain karya komedi romantik, Serendipity. Tidak terhenti di situ, Beckinsale tampil pula dalam filem The Aviator dan Click.

Populariti Beckinsale terus menjulang apabila membintangi banyak lagi filem pecah panggung terutamanya Underworld pada 2003, Van Helsing (2004), Underworld: Evolution (2006), Whiteout (2009), Contraband (2012) dan Underworld: Awakening (2012).

Nyata bakat lakonan satu warisan apabila aktres ini menyambung bakat lakonan ayah dan ibunya, Richard Beckinsale dan Judy Loe. Sebelum berkahwin dengan Len pada 2004, Beckinsale pernah menjalinkan hubungan selama lapan tahun dengan aktor terkenal, Michael Sheen bermula 1995 dan mereka mempunyai seorang anak perempuan.

Demi membina empayar lakonan yang lebih kukuh, Beckinsale dan Len kini menetap di Brentwood, Los Angeles. Selain berlakon, wajah menawan Beckinsale juga dipinjam menghiasi iklan komersial seperti Gap, Diet Coke dan Lux.

Mengulas pula mengenai versi lama Total Recall yang dulu dilakonkan Sharon Stone, pelakon ramah ini berkata, memang ada perbezaan dari segi lakonan dan terjemahan wataknya sebagai Lori, isteri Douglas Quaid lakonan Colin Farrell yang berpaling tadah.

“Tentunya antara saya dan Sharon berbeza. Walaupun Total Recall pernah dihasilkan sebelum ini, saya tidak pernah berasa tertekan untuk berlakon kerana ia bukan sesuatu yang asing bagi industri perfileman.

“Ini disebabkan ketika saya membesar di London sehingga umur 20 tahun, saya pernah melihat lebih kurang sembilan versi kisah Hamlet dan lima versi Cinderella dihasilkan. Jadi saya tidak rasa tertekan apabila membintangi filem ini dan melakonkan watak yang pernah dipegang aktres lain sebelum saya,” katanya yang tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pembaca Harian Metro yang menyokong Total Recall.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Wasiat Kerbau Bunting

3 Aug

ADA orang yang sayangkan binatang peliharaan sehingga tidak sanggup untuk meninggalkannya. Hubungan yang akrab antara manusia dan binatang itu menerbitkan rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Itulah cerita yang dipaparkan dalam drama terbitan Orange Tree Production, arahan Nazir Jamaludin berjudul Bila Kerbau Bunting Berkubang.

Drama itu akan disiarkan pada 29 Ogos ini, jam 10 malam di Astro Ria.

Penggambaran drama itu dilakukan di Rembau, Negeri Sembilan yang mana penduduk di sana gemar membela kerbau.

Bila Kerbau Bunting Berkubang dilakonkan oleh Siti Saleha sebagai Wilma, Sharnaaz (Zamir), Amyza Aznan (Mak Som), Fiffy Natasha (Sofie), Balkish (Laili), Amran Tompel (Pak Idir), Kamal Bakar (Pak Abu) dan Fathil Dani (YB).


Ia mengisahkan Wilma yang berkelulusan tinggi, tetapi dia tidak akan sesekali melepaskan sepasang kerbau, Ola (jantan) dan Oli (betina) yang diwasiatkan oleh arwah bapanya. Menurut wasiat, dia kena pastikan kedua-dua ekor kerbau itu beranak dalam masa setahun lagi, kalau tidak ia akan ditukar milik kepada ibu tirinya, Mak Som.


Seorang Pegawai Pertanian bernama Zamir, kerap datang memantau untuk mengajar Wilma cara membela kerbau. Wilma yang tangkas bekerja sering tinggalkan Zamir bercakap seorang diri. Tetapi Zamir jatuh hati padanya dan untuk mengambil hati Wilma, dia kata yang dia boleh bercakap dengan kerbau itu dan siap hantar SMS lagi.

Sebagai anak tiri, Wilma turut melakukan semua kerja rumah. Mak Som pula cuba mematahkan semangat Wilma dan dia mahu Wilma menjual Ola dan Oli untuk membeli rumah baru. Wilma selalu meluahkan rasa hatinya pada Pak Idir yang dianggap seperti bapanya sendiri. Pak Idir banyak membantu, memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada Wilma cara menjaga kerbau dan juga kehidupan harian Wilma.

Pak Idir juga sering jadikan Wilma sebagai contoh kepada anaknya, Laili.

Sementara itu, adik tirinya, Sofi, hanya tahu melaram dan berangan dapat suami kacak dan kaya lalu Sofi cuba menggoda Zamir.

Ketika YB datang melawat kandang kerbau Wilma, dia amat bangga dengan pencapaian Wilma dan berjanji untuk membantunya. Zamir pula ditugaskan untuk menyediakan segala keperluan kerbau Wilma. Dalam pada itu, Wilma hairan kenapa tiba-tiba Mak Som dan Sofi begitu baik dengannya. Rupanya YB sedang cari calon isteri baru dan Wilma pun dapat idea mengatakan YB suka usahawan wanita.

YB akan bantu dan ajar Mak Som serta Sofi cara untuk membela dan menjaga kerbau. Secara tak langsung, Mak Som dan Sofi jadi pekerja Wilma. Perkara baik diharapkan berlaku, tetapi keadaan menjadi kacau bilau satu kampung kecoh apabila kerbau Wilma merosakkan tanaman mereka yang berkeliaran kerana Mak Som dan Sofi ‘curi tulang’.

Bukan itu saja, Laili yang berpura-pura baik dengan Wilma sebenarnya sakit hati dengan gadis itu dan dialah yang melepaskan kerbau dari kandang. Laili juga mencetuskan perang dingin antara Wilma dan Zamir. Untuk mengetahui apakah kesudahan kisah Wilma, Zamir, Mak Som, Sofi dan Laili serta apakah Oli akan mengandung, jangan lupa menonton drama ini nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Harian Metro