Archive | David Arumugam RSS feed for this section

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

David Arumugam Terima Pingat JSM

19 Dec

DIHARGAI...David menunjukkan pingat JSM kepada isterinya, Sabrina<br> Clyde, semalam.
DIHARGAI…David menunjukkan pingat JSM kepada isterinya, Sabrina
Clyde, semalam.

KUALA LUMPUR: Artis veteran, Thiagarajan KR Arumugam, yang lebih dikenali David Arumugam, daripada kumpulan Alleycats antara 285 orang yang menerima darjah dan bintang kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara, semalam.

David, yang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), vokalis utama kumpulan muzik tempatan terkemuka, Alleycats, ditubuhkan pada 1969 dan memperoleh kemasyhuran serta populariti pada 1970-an.

Empat menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Mereka ialah Datuk Musa Sheikh Fadzir, anggota panel pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri dari Johor Datuk Ali Mohamed dan Timbalan Presiden St John Ambulans Kawasan Barat Daya Pulau Pinang, Datuk Jamilah Wahab.

Senator Osman Bungsu menerima Johan Mangku Negara (JMN) bersama enam lagi penerima. – Bernama

Harian Metro

Mas Idayu Terus Berahsia

6 Jul

Oleh NIEZAM ABDULLAH Solekan E’SHAM (012-2869864)

Mas Idayu

DI Indonesia penyanyi dangdut yang pernah melakar kontroversi iaitu Inul Daratista pernah dikecam gara-gara geleknya yang boleh ‘mengancam’ jiwa raga rakyat negara itu.

Ini kerana aksi gelek Inul yang dipanggil goyang gerudi dianggap sebagai keterlaluan dan berunsur lucah.

Malah penyanyi itu pernah diharamkan untuk muncul di pentas persembahan di Bandung tidak lama dulu gara-gara penampilannya yang dianggap berahi.

Di Malaysia, Mas Idayu salah satu contoh penyanyi dangdut yang berani.

Goyangnya walaupun tidak sehebat Inul ‘menggerudi’ mata penonton-penontonnya tetapi kemunculan Mas Idayu tentu akan mendapat perhatian.

Malah dia berjaya membawa trade mark tersendiri dengan teknik memegang ‘microphone’ keatas yang jarang dilakukan artis lain. Itulah kelainan Mas Idayu.

Lama tidak muncul, tiba-tiba tuan punya nama Masidayu Mesnin ini mencipta kisah panas.

Bukan panas aksi geleknya di pentas tetapi kemunculannya dengan Ella dan David Arumugam dalam konsert sempena kejohanan bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam yang dijadual malam ini mendapat bantahan.

Melihat tindakan itu agak keterlaluan tetapi beliau menerima ujian tersebut dengan pemikiran positif.

Cuma Ayu mengharapkan masyarakat tidak mudah melabelkan artis hanya membawa masalah dan keruntuhan moral.

Sebaliknya golongan itu turut berperanan membantu dalam melakukan kerja-kerja amal serta menyampaikan mesej yang baik kepada golongan belia.

Lama menghilang sesekali muncul penuh dengan kontroversi. Tetapi bukan itu yang dimahukan Ayu sebaliknya sakit hati melihat pandangan sesetengah pihak yang gemar memandang serong terhadap golongan artis.

Dan hari ini kemunculan semula Ayu bukan untuk suka-suka sebaliknya mempunyai matlamat mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan albumnya.

Sudah bersedia Ayu boleh dianggap seorang artis yang banyak menyimpan rahsia diri. Beliau tidak mudah untuk menceritakan apa-apa perkara yang dianggap sensitif.

Koreklah macam-macam sekali pun kalau beliau berkata tidak, maka jawapannya tetap tidak.

Selama ini umum sudah mengetahui Ayu sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka. Berita itu sudah lama orang perkatakan tetapi sukar untuk mendengar penjelasan daripada mulut Ayu sendiri.

Susah sangatkah nak beritahu kahwin? Susah sangatkah nak cakap sudah ada anak?

Itulah cakap-cakap orang apabila penyanyi dan pelakon ini bertindak tidak mahu komen mengenai kisah peribadinya.

Tetapi selama mana ia boleh menyimpan rahsia itu? Sehinggalah apabila Ayu dan Aman berpisah, barulah dia dilihat mula bersedia untuk menceritakan status dirinya sendiri.

Selama ini bukan mahu berselindung tetapi wanita berusia 36 tahun ini mempunyai alasannya tersendiri kenapa berita perkahwinannya lebih 10 tahun itu terpaksa disimpan.

“Saya mahu menghormati pihak-pihak tertentu yang tidak membenarkan kami mendedahkan perkahwinan kami. Sebab itulah saya tidak banyak mengulas mengenai status diri saya tak lama dulu,” katanya.

Dan hari ini kata Ayu, tanyalah apa saja mengenai status dirinya dan pasti dia akan mengaku dan sudah bersedia menjawab apa juga perkara yang menjadi tanda tanya peminat-peminatnya.

Kisah-kisah dulu ada sebabnya. Kahwin adalah satu perkara yang dituntut dan berita itu perlulah dikongsi bersama.

Cuma alasan dan sebab-sebab yang perlu dipatuhi membataskan beliau untuk bercerita secara terus terang.

“Kami berkahwin dulu pun buat diam-diam, bila bercerai takkan kita nak hebohkan satu dunia. Kalau orang tanya, saya akan bercakap secara jujurlah,” jelasnya

Tetap berkawan baik Tanpa mahu menyebut bila, Ayu mengaku dia dengan Aman sudah berpisah.

Menganggap sudah tiada jodoh, akui wanita ini hubungannya dengan bekas suami tetap baik apatah lagi mereka mempunyai seorang anak perempuan iaitu Dayini yang kini berusia 10 tahun.

Sedih dengan perpisahan yang berlaku, sebagai orang yang sudah membina mahligai bahagia, tentu sahaja mengharapkan agar hubungan itu kekal berpanjangan.

Tetapi apakan daya kerana sudah ditakdirkan jodoh itu tiada, jalan terbaik adalah memutuskan hubungan tanpa ada sebarang permusuhan.

“Walaupun saya dan Aman bukan suami-isteri lagi tetapi saya gembira kerana kami tetap berkawan baik apatah lagi kami berkongsi kasih sayang yang sama iaitu anak,” katanya.

Mengakui selepas sekian lama hidup sebagai suami isteri, ada kalanya terasa sunyi apabila tiada seseorang di sisi.

Sebagai wanita yang pernah menjadikan lelaki bernama suami sebagai tempat bergantung kata Ayu sesekali datang perasaan sedih apabila mengimbas indahnya hidup berumah tangga.

Perpisahan itu mungkin ada hikmahnya tersendiri ujar Ayu, takkan dia mahu menanggung kesedihan itu setiap hari sebaliknya perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Ditanya adakah kemungkinan dia dan Aman akan berbaik semula, menurut wanita ini segala-galanya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa.

Jika itu yang ditakdirkan, tentu saja Ayu akan menerimanya kerana mereka mempunyai anak yang perlu diberi kasih sayang sepenuhnya.

“Kalau Allah menemukan semula jodoh kami, kita tidak boleh menolaknya. Apa yang penting hubungan kami sebagai kawan itu tetap baik kerana Dayini,” jelas beliau.

Kisah-kisah panas Ayu dikenali seorang yang bercakap lepas. Tetapi itulah dirinya. Dia menjadi dirinya sendiri.

Sudah lama orang bercakap Ayu gemar mengambil seorang lelaki menjadi pengurusnya.

Sejak hampir enam tahun lalu, Uzae merupakan pengurus yang setia dengannya.

Ada yang berkata entah-entah Ayu bercinta dengan pengurusnya sendiri.

Ketawa dan menafikan dakwaan itu, ujar beliau sebagai perempuan, dia lebih suka bekerja dengan lelaki.

Bukan ada tujuan lain sebaliknya lelaki dianggap Ayu seorang yang lebih mudah berurusan berbanding jika dia menggajikan kaum sejenisnya untuk bekerjasama.

“Ambil manager lelaki lebih mudah. Kalau orang perempuan ni, dia tengok kita bersolek nak cantik, dia pun akan buat benda yang sama untuk lebih cantik daripada kita.

“Begitu juga kalau kita ada kerja-kerja di luar, apa akan jadi kalau kereta rosak tengah malam? Kalau pengurus lelaki mesti dia ada kekuatan untuk menjaga keselamatan kita berbanding perempuan,” katanya.

Kekal 1001 Kali terakhir Mas Idayu muncul dengan albumnya pada tahun 2002 dengan lagu Hasrat Perindu. Selepas itu beliau terus senyap tetapi bukan bererti beliau mahu mengundurkan diri dalam dunia seni.

Hari ini Ayu membuktikan bahawa dia masih diminati dan lagu-lagu dangdutnya sebelum ini mempunyai kekuatan untuk kembali mengangkat namanya.

Album kompilasi Kekal 1001 memperlihatkan kesungguhan Ayu untuk terus membuktikan dangdut yang menjadi ‘makanannya’ selama ini masih mempunyai pengaruh.

Mempertaruhkan dua lagu baru iaitu Dengar Dengarkan dan Goda-Godaan, Kekal 1001 yang keseluruhannya menampilkan 16 buah lagi hits beliau selama ini membawa kelainan dari segi vokalnya.

Berbeza dengan suaranya sebelum ini, ujar Ayu kematangannya selama ini tidak merakamkan album cuba diterjemah di dalam album tersebut.

Kenapa Kekal 1001? 1001 adalah gabungan tarikh lahirnya iaitu 10 Januari dan tentu saja Mas Idayu hanya ada satu dalam seribu.

”Saya menganggap setakat ini Mas Idayu hanya ada saya seorang sahaja. Sebab itulah saya memberikan tajuk album ini 1001,” katanya.

Menampilkan muzik yang dianggap lebih moden, album edaran Warner Muzik ini dihasilkan atas bajet menggunakan wang titik peluhnya yang disimpannya selama ini.

Bertuah kerana memiliki studio rakaman sendiri iaitu Suara Production Mas Idayu, kos merakamkan dua single tersebut walaupun tidak menelan belanja yang besar sebaliknya ia berkualiti.

Utusan Malaysia

Saya Tak Menolak Berlakon Estet – Jac

30 Dec

Bersama: NIEZAM
Belum pun memulakan penggambaran, filem Estet arahan Mamat Khalid membawa angin panas apabila penyanyi Jaclyn Victor dikatakan menarik diri untuk berlakon filem itu.Alasan yang diberikan Mamat mungkin Jaclyn atau dipanggil Jac merasakan tidak sesuai menyertai produksi beliau kerana status Jac sebagai penyanyi popular.

Jika Jac bersetuju menerima tawaran itu, bermakna dia akan bergandingan dengan penyanyi Alleycats, David Arumugam sebagai suami isteri.

Dalam masa yang sama ada yang menganggap, tindakan Jac itu mungkin Jac merasakan seolah-olah diperlekehkan kerana berlakon watak wanita India di estet.

Bagaimanapun bagi Mamat, Estet bukan menghina masyarakat India kerana orang Melayu dan Cina juga ada yang tinggal di estet. Judul dan filem itu sekadar mengambil mood filem Tamil. Dek kerana tindakan itu, Mamat terpaksa merombak skrip dan mencari Pushpa Narayan sebagai pengganti.

Benarkah Jac malu berlakon watak sebagai wanita estet? Saya mendapatkannya untuk dia tolong jawab persoalan tersebut.

Apa perkembangan Jac sekarang?

Saya baru balik dari Moscow, semalam (24 Disember 2007) kerana ada persembahan amal untuk pelajar jurusan perubatan di sana.

Jauhnya buat kerja amal? Sesetengah artis tak sanggup.

Di mana-mana sekalipun, kerja amal amat perlu. Kita kena ingat, kita sudah dapat sesuatu daripada orang (peminat), tiba masanya kita perlu bagi semula kepada dia orang. Saya memang suka buat kerja amal kerana dengan cara itu hati saya lebih tenang. Kalau saya tak buat kerja kebajikan, saya akan rasa bersalah. Banyak kebajikan yang saya buat tetapi orang tak tahu.

Mengenai filem Estet, kenapa Jac tolak tawaran Mamat Khalid untuk membintangi filem itu?

Saya sebenarnya tak tahu apa-apa. Saya tahu berita mengatakan saya tolak pun melalui akhbar. Terkejut juga apabila timbul cerita itu sedangkan saya tak ada bagi apa-apa kata putus sama ada saya nak berlakon filem itu atau tidak.

Macam mana boleh timbul cerita Jac menolak tawaran tersebut?

Entahlah. Saya baru balik dari Moscow, tiba-tiba dapat berita itu. Biasanya jika ada apa-apa tawaran tak kira sama ada persembahan dan sebagainya, saya akan minta mereka menghubungi pihak pengurusan saya iaitu 8 Unit untuk berbincang.

Mungkin 8 Unit menolak tanpa pengetahuan Jac?

Itu saya tak tahu pula kerana saya tidak dimaklumkan apa-apa

Bagaimana timbul cerita Jac pada mulanya pernah menerima tawaran Estet itu?

Abang Mamat Khalid pernah menghubungi saya dan beritahu nak buat filem Estet. Dia bagi tahu watak saya iaitu isteri kepada David Arumugam. Saya beritahu dia cerita itu macam menarik cuma saya tak bagi keputusan sama ada nak terima ataupun tidak. Semasa dia bercerita dengan saya, kami ketawa kerana cerita itu kelakar. Dan selepas itu saya tak tahu apa-apa lagi.

Ada yang mengatakan Jac rasa terhina berlakon sebagai gadis India di estet. Apa komen Jac?

Saya tak rasa terhina pun. Semasa saya dengar Abang Mamat Khalid bagi tahu jalan cerita filem ini, saya ketawa. Malah saya diberitahu filem ini bukan nak menghina sesiapa cuma nak tunjukkan kesepakatan mereka yang tinggal di estet. Itu saja. Soal rasa terhina tu pada saya tak timbul langsung.

Akibat dakwaan mengatakan Jac menarik diri, beberapa rombakan perlu di lakukan terhadap skrip. Ia seperti menyusahkan.

Pada mulanya saya diberitahu watak saya dalam filem itu sikit sahaja. Tak banyak pun. Saya rasa tak perlu sampai nak buat rombakan skrip. Lagipun saya tak ada bagi kata putus untuk berlakon filem itu ataupun tidak.

Secara jujurnya Jac minat berlakon?

Saya seorang yang tak pandai berlakon dan tak boleh menari. Semasa dapat tawaran itu saya terkejut juga dan saya merasakan tidak dapat untuk menjadi seorang pelakon. Saya rasa bakat saya lebih dalam bidang nyanyian. Lagipun lebih elok saya tumpukan terhadap satu bidang dulu.

Apabila timbul kononnya Jac menarik diri, kenapa tak hubungi Mamat Khalid menjelaskan keadaan sebenar?

Saya kena rujuk dengan pihak pengurusan saya terlebih dahulu. Buat masa ini tak ada peluang lagi. Mungkin dia (Mamat) ada menghubungi mereka. Tengok macam mana nanti dan saya akan hubungi dia juga tapi tak tahu pula bila? Sebab saya agak sibuk sekarang ini.

Jac akan berlakon juga suatu macam nanti?

Buat masa ini saya belum bersedia tetapi untuk masa akan datang saya belum pasti. Kerana kalau nak berlakon saya kena belajar banyak benda dan cari pengalaman lain.

Saya bersimpati dengan kegagalan Jac dalam Asian Idol di Indonesia baru-baru ini. Apa pengajaran Jac di atas kekalahan itu?

Senang saja. Kekalahan itu kerana orang tak nak mengundi kita (melalui khidmat pesanan ringkas). Kepada saya, walaupun kita buat yang terbaik tetapi jangan harap kita akan mendapat peluang yang terbaik. Terus terang saya langsung tak kecil hati kerana saya sudah boleh mengagak benda itu akan terjadi. Cuma saya gembira selepas pertandingan itu, ramai yang menyokong saya. Walaupun tewas saya merasakan seperti seorang yang menang. Mungkin selepas ini saya lebih berjaya kerana rancangan itu ditonton oleh enam negara Asia.

Powered by Utusan Malaysia