Archive | Watie Elite RSS feed for this section

Tidak Pernah Ku Sesali Drama Baru Di RTM1

28 Sep

Kisah pergolakan keluarga dan perebutan harta menjadi taruhan terbaru Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk para penonton RTM1 kali ini. Bermula hari ini, sebuah drama bersiri Tidak Pernah Ku Sesali menyerikan slot Sutera, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menggantikan drama Bicara Aur Dengan Tebing yang tamat siarannya semalam.

Konflik keluarga Datuk Mahmud dan Datin Sharifah memuncak sekembalinya anak lelaki sulung mereka, Prof. Helmi dan isterinya, Hanim yang dinikahi di Amerika. Ini kerana kepulangan Prof. Helmi tidak disenangi adik-adiknya terutama Asmadi dan Rahimi kerana Prof. Helmi dilantik oleh ayah mereka untuk mengambil alih perniagaan keluarga. Malah Junaidah dan Anita, kedua-dua menantu Datuk Mahmud dan Datin Sharifah cemburukan Hanim yang ternyata lebih disayangi oleh mertuanya kerana dia berkeperibadian mulia.

Prof. Helmi bukannya mahu membolot kekayaan ayahnya sebaliknya dia mahukan adik-beradiknya bekerjasama memajukan syarikat, hasil titik peluh ayah mereka selama ini. Namun, Prof. Helmi kecewa apabila mendapati banyak penyelewengan berlaku ketika syarikat diurus oleh Asmadi dan Rahimi ketika ayah mereka sakit akibat serangan jantung. Hanya Asraf, adiknya yang seorang lagi sahaja yang boleh diharapkan yang selama ini menegur tindak tanduk tidak betul Rahimi dan Asmadi. Namun, Asraf lebih berminat mengendalikan perniagaan sendiri dalam industri pertanian.

Saman

Paling mengecewakan Prof. Helmi apabila syarikat menerima surat saman daripada pelanggan kerana kegagalan syarikat perkapalan Datuk Mahmud menepati jadual membawa barang masuk ke Malaysia seperti dijadualkan. Prof. Helmi meminta bantuan Rahimi dan Asmadi untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka mengambil sikap sambil lewa.

Keengganan mereka melakukan penyiasatan kerana mereka sebenarnya berkomplot dengan pelanggan tersebut menaikkan tuntutan saman daripada RM3 juta kepada RM5 juta di mana mereka berdua akan mengambil RM1 juta seorang. Prof. Helmi tidak membuat laporan polis memandangkan mereka adalah darah daging sendiri dan meminta mereka memulangkan wang tersebut kepada syarikat. Tetapi, masing-masing sudah membelanjakan wang tersebut.

Sementara itu, Datuk Mahmud membuat kejutan untuk membahagikan harta dan saham syarikat kepada anak-anak dan menantunya. Anita, Junaidah dan anak perempuan Datuk Mahmud, Malina mempersoalkan saham Hanim yang lebih.

Anita juga menyebarkan cerita bahawa Prof. Helmi dan Hanim akan bercerai kerana kononnya Prof. Helmi menghadapi masalah kelelakian. Untuk menutup mulut daripada perkara itu sampai ke pengetahuan Datuk Mahmud, Anita meminta Prof. Helmi sebanyak RM3 juta. Ugutan Anita itu gagal kerana Datuk Mahmud sudah mengetahui perkara itu.

Dalam pada itu, Prof. Helmi dan Hanim terpaksa membuka cerita sebenar bahawa mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri akibat kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kereta mereka terhumban ke dalam sungai di Amerika. Prof. Helmi dan Hanim sebenarnya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Prof. Helmi berkahwin dengan Khalidah dan Hanim dengan Dr. Farid dan pasangan mereka hilang tanpa dapat dikesan pada hari kemalangan itu. Prof. Helmi meminta Hanim menjadi isterinya untuk memenuhi harapan keluarga melihatnya pulang membawa isteri.

Apakah yang bakal berlaku kepada hubungan Prof. Helmi dan Hanim apabila Dr. Farid dan Khalidah yang disangka mati selama ini muncul kembali menagih cinta? Pastikan anda menonton Tidak Pernah Ku Sesali, drama bersiri sebanyak 30 episod yang penuh dengan konflik, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi di RTM1 bermula 28 September ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Faisal Ishak dan dibintangi oleh Arni Nazira (Hanim), Fauziah Nawi (nenek), Khairil Anuar (Datuk Mahmud), Khaty Azean (Datin Sharifah), Amyza Adnan (Anita), Watie Elite (Junaidah), Zed Zaidi (Asmadi), Zarina Zainuddin (Rita), Ashraf Sinclair (Dr. Farid) dan Zaefrul Nadzarine Nordin (Prof. Helmi).

Powered by Utusan Malaysia

Kelab Kadet TJP 38 Adakan Sambutan Jubli Perak

26 Apr

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

KELAB Kadet TJP 38 merupakan sebuah kelab yang disertai bekas pegawai tentera daripada Pengambilan Ke-38 Tauliah Jangka Pendek Sekolah Pegawai Kadet (SPK) Kem Sebatang Karah, Port Dickson.

Walaupun dua puluh lima tahun sudah berlalu, hubungan sesama mereka tidak pernah terputus.

Satu majlis makan malam sempena jubli perak pengambilan TJP 38 diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Seramai 232 bekas jurulatih, pegawai dan bekas pegawai termasuk isteri masing-masing hadir.

Majlis diserikan dengan celoteh pelakon terkenal Jalaluddin Hassan yang menjadi pengacara majlis dan persembahan hebat oleh penyanyi Azza dan Watie Elite.

Nostalgia terungkap sebaik melihat persembahan ‘slide’ yang memaparkan klip video upacara pentauliahan mereka 25 tahun lalu.

Persembahan ‘slide’ turut memaparkan gambar-gambar sejak dari awal pembabitan Kelab TJP 38 bermula dari tahun 1981 sehinggalah kepada perkembangan terkini.

Persembahan nyanyian lagu patriotik ‘Barisan Kita’ oleh semua skot dan bekas jurulatih menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

Bekas Komandan SPK, Kolonel (B) Mohd. Zain Daud menjadi tetamu kehormat majlis tersebut.

Beliau dianggap ‘sifu’ bagi Kelab Kadet TJP 38.

Mohd. Zain turut melancarkan Buku Memori I 38.

Di samping itu, laman web Kelab TJP 38, http://www.intake38.net, turut dilancarkan pada majlis itu yang mengandungi galeri gambar keluarga serta aktiviti terkini kelab.

Antara acara yang turut diadakan adalah penyerahan sumbangan dan tajaan oleh eSHARKScuba Sdn.Bhd., Istitulen Sdn. Bhd., Pesaka Trading Sdn. Bhd. dan beberapa syarikat lain.

Menurut Timbalan Presiden Kelab Kadet TJP 38, Kapten (B) Mohd. Nor Bon, idea majlis pertemuan semula itu tercetus hasil pertemuannya dengan Bekas Setiausaha I kelab berkenaan sebelum ini, Mejar Mohd. Amin Mohamed pada 10 April 2001.

Mohd. Nor yang ketika itu merupakan Presiden Bekas Pegawai Sebatang Karah secara tiba-tiba teringat akan hari pentauliahan TJP 38 pada 10 April 1981 dan bercadang untuk mengadakan pertemuan semula bekas kadet TJP 38.

Hasilnya, seramai 30 orang dapat dikumpulkan pada majlis makan malam pertama yang diadakan di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bermula dari situ, perbincangan lanjut mengenai penubuhan Kelab Kadet TJP 38 dan rancangan pertemuan semula diadakan.

Presiden Kelab TJP 38, Kolonel (B) Mohd. Ramli Jaafar pula berkata, setiap individu skot harus berasa bangga dengan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh mereka selama ini.

“Kepada skot-skot yang masih berkhidmat, saya menyeru agar mereka meningkatkan mutu kerja dan kepada skot yang telah meninggalkan perkhidmatan, diucapkan semoga berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia