Archive | Ashlee Simpson RSS feed for this section

Kurus Terlampau

18 Sep


OBSES dengan bentuk badan yang kurus sudah diketahui umum sebagai satu perkara yang sinonim dengan golongan selebriti Hollywood. Mereka sering memikirkan pelbagai cara untuk menguruskan badan.

Ada yang menggunakan cara sihat seperti bersenam tetapi ada juga mengamalkan diet cara melampau supaya dapat tampil kurus selalu.

Tidak kira apa caranya, minggu ini mari kita melihat cerita diet Eva Mendes, Mariah Carey, Ashlee Simpson dan David serta Victoria Beckham yang mahu mengekalkan bentuk badan mereka yang dikatakan terlalu kritikal.

Pertarungan gim Eva Mendes

Selalu tampil seksi, Eva Mendes memberitahu bahawa dia sebenarnya sentiasa bergelut untuk mengekalkan bentuk badannya.

Aktres Ghost Rider ini mengaku bahawa dia tidak menyukai apabila aktres lain memberitahu bahawa mereka tidak perlu memikirkan mengenai apa yang mereka makan kerana dia perlu banyak berusaha untuk mengekalkan berat badannya.


EVA MENDES

“Ada seketika saya memberikan alasan kepada diri saya supaya tidak pergi ke gim dan ia bagaikan satu pertarungan. Apabila saya mendengar ada aktres yang menyatakan mereka tidak perlu menjaga pemakanan, saya ingin menerkam mereka kerana saya selalu bergelut dengan isu ini.

“Ia adalah satu masalah yang selalu menganggu saya. Maka saya perlu sentiasa memastikan makan sayur-sayuran serta buah-buahan dan bersenam,” katanya.

Eva juga mendedahkan bahawa dia berasa tertekan untuk mengurangkan berat badan tetapi tekad untuk tidak terkongkong dengan pandangan orang ramai mengenai bentuk badannya.

“Saya bukannya seperti kebanyakan gadis di luar sana. Saya orang Cuba. Jadi saya mempunyai pinggul dan punggung yang agak menonjol. Dan saya juga ingin kekal dengan bentuk badan seksi,” tambah Eva

Hamil hancurkan bentuk badan – Mariah

Penyanyi seksi, Mariah Carey bertegas untuk tidak mengandung kerana dia tidak mahu berat badannya meningkat. Dia yang baru muncul dengan album baru, E=MC² juga sering menunjukkan bentuk badannya yang kurus dalam pakaian ketat baru-baru ini.

Mariah yang berasa yakin dengan bentuk badan baru ini dilaporkan tidak bergegas untuk menambah ahli keluarga dengan suaminya, Nick Canon kerana bimbang beratnya akan meningkat dan usahanya menguruskan badan akan disia-siakan.


MARIAH CAREY

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Mariah sentiasa diusik mengenai bila dia akan mengandung. Namun, dia hanya akan membalas dengan pandangan yang menjengkelkan dan memberitahu mengenai bentuk badan barunya dan betapa susahnya dia perlu bekerja keras untuk menguruskan badannya.

“Maka dia tidak mahu mengandung dan menghancurkan bentuk badannya. Dia kini sedang menikmati hidupnya dan tidak mahu mengubahnya atas sebarang alasan.

“Dia akan menjalankan konsert selama sebulan untuk membantu kanak-kanak yang kebuluran di seluruh dunia tetapi memiliki anak sendiri bukan impiannya.”

Motivasi jean Ashlee Simpson

Isteri kepada Pete Wentz, Ashlee Simpson telah membeli enam pasang jean bersaiz kosong sebagai motivasi kepada dirinya untuk menguruskan badan.

Dia yang sedang mengandungkan anak pertama dilaporkan berasa risau kerana berat badannya yang semakin meningkat dan membeli jean bersaiz kecil itu supaya dia boleh kekal fokus.


ASHLEE SIMPSON

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Ashlee menangis semasa bertemu dengan doktor awal Ogos lalu apabila berat badannya dilihat meningkat lagi.

“Dia kemudian terus menuju ke kedai Planet Blue untuk membeli enam pasang jean bersaiz kosong. Dia tidak dapat memakainya sekarang tetapi berharap jean itu mampu membuatkan dia berjaga-jaga dengan pemakanannya.”

Bukan sahaja membeli jean sebagai motivasi diri, Ashlee juga telah melakukan rejim senaman yang ketat supaya beratnya badannya tidak meningkat secara mendadak.

Berat badannya yang sudah meningkat sebanyak 20 paun (sembilan kilogram) amat membimbangkan dia dan Ashlee telah mengupah jurulatih, Mike Alexander untuk membantunya.

Tambah sumber itu, “Dia masih berharap supaya dia boleh membataskan berat badannya daripada meningkat melebihi 35 paun (15.8 kilogram). Jadi dia melakukan senaman berisiko rendah seperti Pilates.”

Pasangan Beckham musnahkan diri?

Sungguhpun pemain bola sepak terkemuka dunia, David Beckham mempunyai bentuk badan yang ideal, dia juga mempunyai perasaan takut dirinya akan bertukar menjadi gemuk, botak dan tua.

David yang mempunyai tiga orang anak bersama Victoria terlalu bimbang dia akan kehilangan penampilannya dan sedang melakukan apa sahaja untuk mengekalkan rupa parasnya seperti sekarang.

“David telah menjadi ‘gila’ kerana berasa tidak yakin. Dia kerap memberitahu Victoria bahawa dia takut akan menjadi gemuk dan tua. Maka dia telah pergi ke gim setiap hari untuk beberapa jam. Dia tidak boleh tahan apabila memikirkan dirinya akan menjadi gemuk dan tua,” kata satu sumber.

Namun, isterinya tidak begitu risau dengan suaminya yang semakin tua. Malah dia mendapati suaminya itu terlalu paranoid. Akan tetapi Victoria sendiri juga melakukan diet ketat untuk mengekalkan berat badannya yang kurus itu.

Apabila Victoria memberitahu bahawa dia mengidam makanan, pembantunya memahami maksud bekas anggota kumpulan Spice Girls ini yang hanya mahu memakan makanan dalam kuantiti kecil.


PASANGAN David Beckham dan Victoria.

Mereka menempah sebuah restoran mewah dan memesan beberapa hidangan dalam jumlah sedikit yang semuanya dimasak tanpa minyak, sos, mentega atau garam.

Senarai hidangan pelik itu hanya mengandungi 302 kalori, jauh lebih rendah berbanding 1,000 kalori yang disyorkan untuk seorang ibu dengan tiga anak seperti Posh.

Ketika berada di restoran berkenaan, wanita itu tidak menjamah ikan tuna yang dihidangkan sebagai pembuka selera dan udang untuk hidangan utama. Tetapi dia meminum empat gelas champagne yang sudah diketahui umum mengandungi 523 kalori.

“Dia telah melakukan diet yang melampau dan saya tidak akan mengesyorkan diet seperti itu kepada sesiapa pun. Ia terlalu cerewet dan obsesi dan bertambah buruk dengan pengambilan alkohol,” kata seorang pakar pemakanan, Dr. Ian Campbell ketika diminta mengulas mengenai tabiat makan Posh.

Malah bagi memastikan semua makanan mematuhi syarat, semua makan diperiksa sebelum dijamah. Itulah obses Victoria yang dilihat sedang memusnahkan dirinya yang semakin kurus.

Kosmo

Artis Gila Bedah

6 Mar

MERUBAH wajah menjadi cantik melalui pembedahan plastik. Trend ini sebenarnya sudah sangat popular di negara luar terutamanya Korea dan Jepun.

Percaya atau tidak, golongan ibu bapa remaja Jepun mahupun Korea malah sehingga sanggup menghadiahkan wang untuk anak-anak mereka melakukan pembedahan kosmetik sebagai hadiah hari jadi.

Dan di Hollywood senario ini begitu berleluasa walaupun ada yang menyokong tindakan ini dan ramai juga yang membangkangnya.

Tidak kira untuk mengubah wajah atau mengekalkan rupa paras muda, pembedahan plastik bagaikan sudah menjadi budaya hidup terutamanya kepada golongan selebriti walaupun menyedari risikonya.

Kini, pembedahan plastik bukan lagi perkara yang dirahsiakan atau memalukan. Michael Jackson dan penyanyi yang sudah bergelar nenek, Cher, adalah dua contoh popular yang ‘menghalalkan’nya menerusi pengaruh mega mereka.

Bukan sahaja artis, tetapi mereka yang berkait dengan artis juga turut kemaruk dengan pembedahan plastik.

Ibu penyanyi Kanye West, Donda West sebagai contohnya, membuat kejutan apabila meninggal dunia November tahun lalu akibat pembedahan plastik.

Minggu ini, disingkap beberapa kisah menarik artis Hollywood yang pernah menjalani pembedahan kosmetik dan suntikan botox serta kolagen untuk tujuan kecantikan.

Hidung baru Ashlee Simpson

ADIK Jessica Simpson, Ashlee Simpson memberikan pelbagai alasan apabila dilihat ‘memiliki’ hidung baru pada Mei, 2006.

Pembedahan itu sangat ketara tetapi dia hanya membisu tanpa sebarang kenyataan media, sehinggalah membuat pengakuan dalam majalah Harper Bazaar.

ASHLEE SIMPSON

Bijak bermain kata-kata, Ashlee menegaskan, “Ia (pembedahan plastik) adalah pilihan peribadi. Saya percaya jika seseorang itu memilih untuk melakukan pembedahan, ia adalah untuk dirinya sendiri dan bukan untuk orang lain.”

Rahsia kulit Teri Hatcher

PADA usia 43 tahun, aktres yang popular menerusi drama bersiri, Desperate Housewives ini masih kelihatan menawan.

Hatcher sebenarnya tampak muda 10 tahun daripada usia sebenarnya.

“TERI HATCHER

Gambarnya selalu menunjukkan kulitnya yang berseri-seri tanpa sebarang kedutan. Apakah rahsia kepada kecantikan kulit Hatcher?

Pada tahun 2006, dalam satu temu bual bersama majalah Glamour, Hatcher mengaku dia mendapatkan bantuan daripada doktor.

“Sebelum ini saya pernah menggunakan botox serta kolagen tetapi telah berhenti selama setahun. Kini saya berpendapat adalah biasa untuk hidup dengan muka berkedut dan tidak cuba untuk kelihatan seperti berusia 25 tahun,” jelasnya.

Secara umum, penggunaan botox hanya mampu bertahan selama tiga bulan. Selepas itu, garisan dan kedut akan muncul semula. Namun, apa menjadi tanda tanya ialah bagaimana Hatcher mengekalkan kecantikan wajahnya sekarang ini sedangkan dia mendakwa sudah berhenti menggunakan botox selama setahun.

Pengakuan telus Cindy

RAMAI yang hairan bagaimana supermodel Cindy Crawford mampu menjaga dan mengekalkan kecantikan pada usia 42 tahun. Mungkin artis seperti Ashlee Simpson dan Teri Hatcher menafikan mereka melakukan pembedahan kosmetik, tetapi Cindy bagaimanapun mengaku pernah mendapatkan bantuan pakar.

CINDY CRAWFORD

Ibu kepada dua anak ini memberitahu majalah Gala bahawa ubat dan losyen tidak lagi boleh membantu. “Saya tidak mahu menipu diri sendiri.

“Pada sesetengah usia, krim muka mungkin boleh membantu tetapi bagi mengekalkan kualiti elastik, saya perlukan suntikan vitamin, botox dan kolagen. Saya terhutang budi kepada pakar kosmetik yang membantu saya.”

Rose McGowan hilang watak

AKTRES jelita, Rose McGowan gagal dalam uji bakat filem Speed Racer pada September lalu kerana pihak penerbit khuatir peminat aktres jelita ini tidak dapat mengenalinya selepas dia menjalani pembedahan kosmetik.

“Pihak studio berpendapat Rose agak sukar untuk dikenali dan risau apabila filem ini mula ditayangkan, peminat mungkin tidak lagi mengenalinya,” lapor akhbar Daily News.

Namun, McGowan memberitahu bahawa dia perlu menjalani pembedahan plastik pada matanya itu kerana tercedera semasa kemalangan jalan raya awal tahun lalu.

Sisi ‘feminin’ Simon Cowell

ADAKAH juri American Idol, Simon Cowell pernah menjalankan pembedahan plastik dan botox?

Sebelum ini banyak gosip yang menyatakan dia pernah menjalankan proses menegangkan otot dadanya yang mengendur supaya tegap tetapi dia telah menafikan berita itu.


DADA Simon Cowell yang kelihatan tegap (foto kiri) dikatakan hasil pembedahan kosmetik berbanding dadanya yang mengendur sebelum pembedahan (foto kanan).

“Tidak. Semua itu tidak benar. Saya tidak pernah menjalani pembedahan. Tetapi saya pernah menyuntik botox tetapi dengan kadar sederhana. Lagipun setiap lelaki yang saya kenali di bandar ini menggunakan botox,” tegas Cowell.

Aniston bedah dua kali

MENURUT laporan Us Weekly, Jennifer Aniston telah menjalani pembedahan hidung sekali lagi. Dia mengunjungi Dr. Raj Kanodia dan menyatakan pembedahan itu adalah untuk membetulkan hidungnya.

JENNIFER ANISTON

Aniston sebelum ini pernah menjalani pembedahan 12 tahun lalu dan tidak puas hati dengan dengan keputusannya. Dan ada laporan yang menyatakan Aniston juga berkemungkinan besar menjalankan pembedahan payu dara.

Apa yang akan dilakukan olehnya selepas ini? Mungkin suntikan kolagen untuk mendapatkan bibir seksi seperti Angelina Jolie?

Sebenarnya, aktres jelita seperti ini tidak memerlukan pembedahan. Namun, itulah lumrah manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.

Pembedahan Tara Reid gagal

KETIKA berjalan di atas karpet merah sebelum menghadiri parti P. Diddy pada tahun 2004, dres Tara Reid secara tiba-tiba terjatuh dan mendedahkan payu daranya.

“Saya cuma sempat senyum dan kamera tidak berhenti merakamkan insiden tersebut. Apabila saya sedar, saya menangis dan merayu kepada jurugambar supaya tidak menyiarkan gambar itu tetapi tidak berjaya,” imbas Reid yang pernah popular dengan filem American Pie.

Bukannya ‘kemalangan’ sebegini tidak pernah berlaku tetapi Reid sebenarnya baru sahaja menjalani pembedahan plastik yang malangnya gagal.


POTONGAN badan Tara Reid yang sedia ada sudah sempurna (foto berbaju merah) berbanding keadaan badannya menjadi haru-biru (gambar kecil).

Gambar payu dara saya yang ‘rosak’ tersebar di internet dan hidup saya telah musnah kerana dilabelkan sebagai pemilik payu dara terburuk di dunia.

“Saya berjumpa dengan pakar bedah pada tahun 2004 untuk mendapatkan payu dara saiz B dan dia ‘memberikan’ saya saiz C. Saya tidak mahu saiz itu,” jelas Reid.

Selepas pembedahan, Reid kemudian sedar bahawa sebahagian payu daranya telah rosak. “Selepas enam bulan, semuanya telah beransur pulih. Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki aset sebegini,” tambah Reid.

Selain pembedahan payu dara, Reid juga pernah menjalani proses kontor (untuk mengembalikan bentuk badan) di klinik yang sama dan tidak gembira dengan keputusannya.

“Perut saya menjadi ‘beralun’ dan kembung. Saya juga menghidap hernia (bonggol besar di sebelah pusat). Disebabkan itu, saya tidak boleh memakai bikini dan kehilangan banyak peluang kerja,” jelas Reid.

Beberapa bulan kemudian, selepas menjalankan penyelidikan, Reid menjalani pembedahan lagi untuk membetulkan kegagalan sebelum ini.

Kosmo