Archive | September, 2006

Saya Dah Habis Fikir – Arni Nazira

17 Sep

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

ARNI bersama anaknya.

ENAM tahun lalu Arni Nazira seumpama sebutir bintang baru yang gemerlapan dengan lagu Cinta Antara Benua. Kejelitaan dan populariti kemudian membawa dia ke dunia lakonan. Dia antara bintang baru yang bersaing dengan Siti Nurhaliza di peringkat awalnya.

Tetapi selepas melangsungkan perkahwinan dengan artis popular Awie pada Disember 1998, Arni tiba-tiba senyap dan lenyap. Walaupun ada yang menganggap bakatnya masih perlu digilap, Arni memilih untuk menumpukan kepada rumah tangganya. Ini satu keputusan terbaik dan pengorbanan tidak ternilai oleh seorang wanita pada usia yang masih terlalu muda. Ya, ketika itu Arni baru saja awal 20 tahun sedang Awie sudah menjangkau 30 tahun.

Tidak banyak wanita yang mampu melakukan perkara sama seperti Arni. Siapa yang mahu ‘menggadaikan’ nama yang cukup terkenal sehingga tersenarai dalam barisan artis popular dan jelita, tetapi Arni melakukannya.

Saya dan seorang kawan, Kuzie juga agak rapat dengan Arni pada zaman remajanya. Kebetulan kami sama-sama orang Terengganu, jadi senang berkongsi macam-macam cerita ikut slanga orang kampung kami saja.

Tetapi selepas dia berkahwin dan semakin menyepi, Arni jarang mengekori suami ke mana-mana majlis, hubungan kami menjadi renggang tiba-tiba.

Waktu yang berjarak menjadikan kami tidak lagi semesra dulu. Namun titip doa selalu saya hadiahkan agar Arni meraih kebahagiaan. Sesuai dengan pengorbanan yang pernah dilakukannya saya fikir Arni berhak mendapat kasih sayang terbaik dan bahagia yang mutlak.

Nampaknya itu semua hanyalah tinggal harapan.

Tersebarnya gambar ‘perkahwinan baru’ Awie dengan seorang model (yang sehingga ke hari ini belum disahkan benar atau palsu oleh empunya diri), saya tertanya-tanya bagaimana perasaan Arni?

Hancur luluhkah hatinya, atau dia hanya menerima segalanya sebagai satu mainan orang-orang dalam industri yang tidak lari dari prasangka dan dengki?

Dalam saya dan rakan-rakan berteka-teki, Awie berdiam diri dan Arni tidak dapat dijejaki, tersiar berita yang Arni sudah membawa kisah perkahwinannya ke mahkamah di Kuantan. Di ibu negeri Pahang itu juga mereka diijabkabulkan dulu.

Biarpun belum jelas apa yang dituntut dan apa yang membawa mereka sehingga ke kamar bicara, saya pasti ada sesuatu yang tidak kena sudah berlaku antara mereka.

Apabila terhidu kisah kelabu rumah tangganya saya cuba mendapatkan Arni, tetapi dia memilih untuk berahsia. Mungkin belum masanya untuk dia bercerita.Nantilah.

Rabu lalu kami sekali lagi berbicara dan Arni seperti sebelumnya memberitahu saya yang dia tidak mahu bicara tentang soal rumah tangganya buat masa sekarang. Retak menanti belah, atau sudah berakhir segala episod cinta, biarlah saja masa yang menentukan.

“Kalau hendak tanya hal-hal biasa bolehlah. Hal-hal yang lain Arni tak hendak komen ya,’’katanya.

Dan minta maaflah, hanya ini yang dapat saya tulis pengakuan Arni tentang isu rumah tangganya untuk minggu ini.

Arni di mana sekarang?

Ada di Kuala Lumpur. Tak pergi mana-manapun.

Sihat ke?

Alhamdulillah. Sihat. Macam biasa-biasa saja.

Apa bisnes Arni buat sekarang?

Alah, bisnes kecil-kecil saja. Sekarang adalah buat jual beg tangan, itupun ambil dari kawan-kawan dekat. Puasa ni pun Arni ada juga tolong kawan-kawan lain jual biskut raya. Saja suka-suka, dari duduk saja-saja ada juga aktiviti hendak buat.

Anak-anak dengan siapa?

Anak-anak dengan saya,di Cheras, Kuala Lumpur.

Apa yang menyebabkan Arni ambil tindakan pergi mahkamah?

(Diam) Itu tak mahu cakaplah Kak. Biar dululah.

Betul ke Arni buat permohonan untuk bercerai?

Tak hendak cakap apa-apa fasal ni. Tunggu sajalah keputusannya nanti.

Apakah selepas ini Arni akan kembali aktif dalam dunia seni?

Tak payahlah kot buat masa sekarang ni. Tapi masa akan datang saya tak tahu. Arni bukannya apa. Malas lah hal-hal tentang Arni keluar di akhbar lagi. Arni tak hendak. Sudah biasa low profile biar macam ni sajalah.

Kenapa selama ini, selepas kahwin Arni lebih banyak diam saja tanpa sebarang publisiti?

Mungkin fasal mahu beri tumpuan sepenuhnya pada anak- anak (hasil perkahwinan mereka dikurnia dua anak perempuan Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa) Bukan tak minat dengan dunia hiburan lagi. Minat tu ada dan tak pernah padam. Selalu juga nyanyi di rumah. Cuma memang Arni pilih tak mahu aktif macam dulu lagi. Iyalah, bila sudah kahwin, ada anak keadaan dah tak sama macam kita zaman solo dulu. Banyak benda kena jaga.

Dalam majlis-majlis hiburan pun jarang sangat nampak Arni, kenapa?

Banyaknya soalan (ketawa). Kita ada anak-anak yang perlu dijaga. Saya jaga anak-anak saya sendiri, tak ada pembantu. Jadi pergerakan saya agak terbatas. Dah ada anak ni kita kena fikir hal anak-anak dululah. Macam itu saja saya fikir masa tu. Dah ada tanggungjawab takkan saya hendak tumpu masa pada hal-hal lain lagi, ya tak?

Sampai bila hendak berdiam diri dari bercakap soal ‘apa sebenarnya’ yang berlaku antara Arni dan Awie?

Entahlah saya tak tahu. Yang saya tahu saya tak hendak cerita hal rumahtangga saya pada orang lain. Biarlah apa- apa hal saya yang tanggung sendiri. Orang lain tak perlu tahu apa yang terjadi. Itu saja yang saya boleh cakap. Yang lain-lain tak hendak komen.

Tidakkah sikap diam diri akan membuka banyak lagi cakap-cakap? Orang hendak tahu apa kebenarannya?

Susah juga hendak cakap. Nanti kalau komen lebih-lebih, orang tak akan berhenti bercakap. Yang kecil jadi makin besar. Kita ni kena jaga hati banyak orang. Kalau saya cakap banyak, nanti jadi hal lain pula, saya tak hendak. Sebab itu saya tak mahu ulas fasal itu dulu. Jadi lebih baik jangan sentuh hal rumah tangga saya. Tunggu saja keputusannya nanti ya.

Agaknya macam mana kehidupan Arni selepas ini?

Itu? Ikhlas cakap, saya tak fikir lagi benda-benda tu semua. Belum ada rancangan apa-apa. Masa akan menentukan. Yang penting saya jaga anak- anak baik-baik. Yang lebih penting lagi saya banyakkan sabar. Itu saja yang boleh saya buat.

Apa sekalipun tindakan Arni, apakah Arni sudah pertimbangkan dengan sehabis baik?

(Ketawa beberapa saat tetapi kemudian dengan tegas berkata). Ya! Rasanya saya sudah habis fikir. Dan habis fikirlah ni.

Apa benda benda utama yang ditimbangkan dalam membuat apa juga keputusan?

Tak ada apa-apa. Saya pun malaslah hendak fikir berat-berat lagi. Dalam keadaan sekarang ni, kadang-kadang Arni pun tak tahu hendak cakap apa lagi dah. Kepala pun berserabut.

Powered by Utusan Malaysia