Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my
WAJAHNYA seiras aktor popular Hollywood, Orlando Bloom. Dan dengan memiliki wajah yang mencairkan setiap hati wanita yang memandangnya Ananda atau nama sebenarnya Ananda Matthew Everingham kini antara pelakon paling hangat di Thailand.
Buktinya, sejak Mei lalu sehingga hujung tahun ini, hampir setiap bulan pasti ada saja wajahnya muncul dalam filem baru di panggung.
Peminat tidak pernah jemu melihat aksinya, dan kerana itulah dia sentiasa menjadi pilihan pengarah filem di Thailand.
Ananda Everingham, demikian nama komersialnya. Jejaka kacak ini lahir pada 31 Mei 1982 di Thailand dan merupakan anak kacukan di mana darah Inggeris diwarisi daripada bapanya, seorang jurugambar popular.
Sebagai aktor dan model popular Thailand, dia bermula dengan filem Shutter pada tahun 2004 selain 303 Fear Faith Revenge (1998) dan Ghost Delivery pada tahun 2003.
Tahun 2007 merupakan tahun bertuah kepada aktor ini yang bukan sahaja sibuk dengan filem seperti Me… Myself, Ploy dan Bangkok Time, tetapi juga memulakan langkah emasnya di negara jiran, Singapura melalui filem Leap of Love dan Pleasure Factory.
Meskipun popular dan digilai ramai, jangan terkejut jika Ananda pernah menolak apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah filem Hollywood.
Mungkin kepada pelakon lain, ia umpama peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan tetapi tidak bagi Ananda, yang mempunyai prinsip tersendiri.
“Berlakon dalam filem terbitan atau arahan karyawan Hollywood memang satu perkara yang bagus kerana ia satu penjenamaan untuk filem dan diri sendiri sebagai seorang pelakon.
“Tetapi bagi saya tidak kiralah filem itu asalnya dari mana sekalipun, kalau ia sebuah filem yang berkualiti ia tetap berkualiti walaupun berasal dari Asia,” ujarnya ketika hadir ke sidang media di Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem terbaru lakonannya, The Coffin.
Katanya lagi, untuk berhijrah ke Hollywood bukanlah satu daripada cita-cita besarnya kerana baginya apa yang paling penting kualiti orang yang bekerja dengannya.
“Bukan saya tidak mahu, tetapi itu bukan satu daripada cita-cita saya. Bagi saya memadai orang-orang yang bekerja dengan saya merupakan orang yang cukup disenangi dan mempunyai kualiti kerja,” bicaranya lagi.
Hati sudah berpunya
Jika peminat wanita yang mengimpikan Ananda, lupakan saja, kerana hati jejaka berusia 26 tahun ini sudah pun dimiliki oleh seorang super model Thailand.
Malah, dia tanpa segan silu mengakui hubungannya dengan kekasihnya itu sudah telah berlanjutan selama tiga tahun dan menyifatkan wanita pilihannya seorang yang cukup matang.
“Walaupun kami berdua bekerja dalam bidang yang menjadikan kami popular tetapi dalam percintaan, kami adalah manusia biasa.
“Saya mahupun dia tidak pernah membawa glamor ataupun populariti masing-masing dalam perhubungan. Kami menjadi diri kami sendiri dan itu yang mengukuhkan hubungan ini,” ujarnya.
Apabila ditanya pendapatnya tentang wanita pilihannya itu, Ananda lantas tersenyum dan berkata: “Dia seorang yang mudah didampingi, memahami dan seorang wanita yang ideal untuk saya.”
Dunia gelap Ananda
Apabila beralih ke bidang kerjanya iaitu lakonan, Ananda dilihat cukup sebati dengan persekitaran seperti rumah kosong, mayat hidup, roh dan hantu.
BERADA dalam keranda, Ananda menganggap ia satu pengalaman yang menguji kebolehannya sebagai pelakon.
Dia bukannya sami ataupun penghalau hantu profesional tetapi dia merupakan seorang pelakon terkenal yang diberi jolokan ‘Raja Filem Seram Thailand’ dek kekerapannya berlakon dalam filem bergenre seram.
Selepas filem seram misteri, 303 Fear Faith Revenge, jejaka ini terus menarik perhatian khalayak menerusi filem seram yang berjaya melonjakkan namanya iaitu Shutter.
Dan terbaru dia bergandingan dengan pelakon terkenal Hong Kong, Karen Mok dalam filem seram, The Coffin yang diangkat daripada ritual sebenar dalam masyarakat Thailand yang dipercayai mampu membuang nasib malang dan berupaya memanjangkan umur.
Dalam filem ini, Ananda memegang watak sebagai Chris seorang arkitek yang tekad melakukan ritual ini dengan berbaring dalam keranda bersama ratusan manusia lain. Ini dilakukan demi menyelamatkan nyawa tunangnya yang koma kerana barah.
Demi menjayakan filem ini, Ananda perlu berbaring dalam keranda dan berada di kuil yang berusia ratusan tahun.
Namun, dia tidak langsung merasa takut, bahkan seronok dengan pengalaman baru yang dikutipnya sepanjang melakukan penggambaran filem ini.
“Berbaring dalam keranda saya okey saja, ia adalah tuntutan lakonan. Saya bukan jenis orang yang mempercayai perkara-perkara mistik kerana saya lebih mempercayai logik akal dan sains.
“Walaupun begitu, saya tetap menghormati mereka yang mempercayai perkara mistik sebegini kerana ia telah menjadi amalan sejak ratusan tahun dulu,” ujarnya .
Sungguhpun begitu, perkara paling dikenang sepanjang menjalani penggambaran filem ini adalah ketika adegan yang memerlukannya berbaring dalam gelas kaca yang menyerupai bentuk keranda dan ia dipenuhi dengan air merah umpama darah.
“Bayangkan anda berbaring dalam air berwarna, pasti ia akan masuk ke hidung, mulut, telinga. Saya mengambil masa berhari-hari membuang pewarna merah itu daripada badan. Itu antara babak yang menakutkan dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya sambil ketawa ceria.
Jelasnya lagi, keberkesanan lakonannya dalam filem seram mungkin kerana ketika kecil dia pernah ditinggalkan bapanya dalam kegelapan untuk menguji keberaniannya.
“Masa itu saya masih kanak-kanak. Waktu tengah malam bapa saya bawa saya ke kawasan gelap dan tinggalkan saya di situ. Sejak itu saya tiada rasa takut pada kegelapan,” luahnya lagi.
PELAKON utama The Coffin, Anand (kanan) dan pengarah filem ini, Ekachai, sewaktu hadir mempromosikan filem berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Apa kata pengarah
Pengarah filem ini Ekachai Uekrongtham yang turut hadir bersama Ananda menjelaskan, dia memilih ritual sebenar untuk difilemkan kerana merasakan ia lebih dekat dengan jiwa penonton.
“Saya sendiri tidak pernah berada dalam keranda, dan ia sesuatu yang menakutkan kerana umpama kematian bagi yang hidup.
“Dan amalan ini masih diamalkan, kerana itu ia lebih dekat dengan penonton serta tidak secara langsung mempromosikan amalan masyarakat Thailand ke negara luar,” jelasnya.
ANANDA sering tampil dalam filem seram yang menjadi pilihan utama penonton wayang di Thailand.
Tambahnya lagi pemilihan dua pelakon utamanya iaitu Ananda dan Karen dianggap tepat berdasarkan prestasi baik yang ditonjolkan mereka berdua.
“Saya memang terfikirkan dia ketika merancang filem ini kerana tiada pelakon lain yang boleh membawa watak ini sebaik Ananda.
“Melihat kepada lakonan hebatnya dalam Shutter, saya rasa dia boleh lakukan dan pilihan saya memang tepat, begitu juga dengan Karen,” katanya.
Tutur pengarah filem yang menggunakan 80 peratus Bahasa Inggeris ini, dia tidak menolak jika pihak produksi dari Hollywood ingin merakam semula filemnya seperti yang dilakukan terhadap beberapa filem seram Thailand.
“Saya tidak kisah, tetapi pengarah yang dipilih harus berkualiti serta jalan cerita jangan diubah terlalu banyak. Jika tidak akan jadi seperti filem The Shutter yang mana saya rasa filem asalnya lebih bagus daripada filem terbitan Hollywood,” tegas Ekachai.
Filem The Coffin sudahpun berada di pawagam bermula semalam.
Kosmo