SLOT Cerekapilihan menyiarkan lima drama yang menjanjikan kepuasan kepada penonton setia TV3 iaitu Good Morning Cikgu, Good Afternoon Cikgu, Selimut Putih, Maafkan Aku Mama dan Kalam Cinta Rabiah. Slot itu disiarkan pada hari Jumaat jam 1 tengah hari.
Sinopsis
Good Morning Cikgu (2 Mei 2008)
Akibat kegawatan ekonomi yang berlaku sewaktu Alice pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian luar negara, sukar untuk Alice mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya. Akhirnya, Alice memohon untuk menjadi seorang guru dan permohonannya mendapat maklum balas positif. Alice mengalami kejutan budaya setelah dihantar bertugas ke kawasan pedalaman di kawasan utara. Namun Alice terpaksa juga menghadapi kerenah anak-anak muridnya yang tidak tahu menggunakan bahasa Inggeris. Sikap orang kampung juga kadang kala memeningkan kepala Alice. Dia mula menyukai pengembala lembu di kampung itu bernama Budin yang kerap berada di samping lembunya yang digelar Rahul.
Pelakon : Zizie Ezzette, Sheila Rusly, Radhi Khalid, Hamidah Wahab, Zaidi Omar
Good Afternoon Cikgu (9 Mei 2008)
Cikgu Alice selamat melahirkan anak perempuan. Semasa di dalam pantang, Cikgu Alice tinggal bersama keluarganya di bandar. Cikgu Tipah masih belum berkahwin dan apabila melihatkan keadaannya, Mami merasa kasihan. Dia mengajak Cikgu Tipah bertemu bomoh supaya cepat mendapatkan jodoh. Semasa sedang mandi bunga, bomoh memberikan satu syarat, dia harus menerima lamaran orang pertama yang masuk meminangnya dan Cikgu Tipah setuju dengan syaratnya itu. Suatu hari, Shah Rukh (lembu Muis) berkeliaran di sekitar rumah Cikgu Tipah. Muis terus jatuh cinta apabila melihat kelibat Cikgu Tipah.
Pelakon : Sheila Rusly, Kartina Aziz , Radhi Khalid, Jalil Hamid, Zaidi Omar, Hamidah Wahab
Selimut Putih (16 Mei 2008)
Drama ini mengisahkan penderitaan seorang ibu yang diabaikan anaknya kerana hasutan menantu. Mak Teh tinggal di belakang rumah anaknya, Najib dan hubungannya bersama menantunya, Mona tidak baik. Najib dan Mona berjanji hendak membawa Mak Teh tinggal sebumbung dengannya sebelum mendapat tanah arwah bapanya, tetapi mereka telah memungkiri janji itu. Manakala Mak Nona juga mengalami nasib yang sama dengan Mak Teh yang dihalau dari rumah anak perempuannya, Minah.
Pelakon : Norlia Ghani, Rusdi Ramli, Rita Rudaini, Noor Khiriah, Roslan Salleh, Zaidi Mohd Nor
Maafkan Aku Mama (23 Mei 2008)
Mengisahkan penyesalan seorang anak yang tidak dapat meminta maaf buat kali terakhir terhadap perbuatannya sebelum ibunya meninggal dunia. Aiman kehilangan bapanya semasa dia masih lagi kecil. Sue, ibu kepada Aiman berkahwin dengan Zarul setelah kematian suaminya, Malik. Perkahwinan itu bukanlah atas kehendak Sue tetapi di atas kehendak bapa mentuanya yang tidak mahu Aiman kehilangan rasa kasih sayang seorang ayah. Tetapi perkahwinan itu tidak direstui Aiman. Sejak kejadian itu, Aiman merajuk dengan perbuatan ibunya dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.
Pelakon : Hairie Othman, Azizah Mahzan, Jalil Hamid, Sabrina Ali
Kalam Cinta Rabiah (30 Mei 2008)
Datuk Johari masih mengharapkan supaya Rabiah berhenti sebagai jururawat dan menerima tawarannya bekerja di Nilam Holding sebagai Pengarah Projek. Namun, Rabiah tidak berganjak dari keputusannya. Rabiah berjaya memujuk Julia yang mempunyai anak luar nikah untuk terus belajar demi masa depannya. Datuk Johari yang kecewa dengan Rabiah sanggup menggugurkan nama Rabiah sebagai penerima harta warisannya. Di tempat kerjanya, Rabiah berkawan rapat dengan Zakuan. Zakuan mencadangkan Rabiah terima saja permintaan ayahnya.
Pelakon: Wardina Saffiyah, Zamarul Hisham, Benji, Faizal Hussein, Dian P Ramlee, Hafizzuddi , Fiza.
Powered by Berita Harian