Archive | March, 2007

Suara Emas Bintang RTM 2007 – Mampukah Menyengat?

29 Mar

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

TIDAK dapat dinafikan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah banyak melahirkan bintang-bintang ternama negara menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh badan penyiaran itu.

Misalnya, Datuk Siti Nurhaliza mula meniti populariti dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang HMI pada 1995. Begitu juga dengan penyanyi bersuara lantang, Adibah Noor yang pernah menjuarai pertandingan Suara 90an. Semuanya mencipta nama bermula di RTM.

Sudah tentu, pertandingan nyanyian yang cukup sinonim dengan RTM adalah Bintang RTM yang telah banyak melahirkan nama-nama besar antaranya Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Rohana Jalil dan Azharina Azhar.

Mencungkil

Kini, pertandingan mencungkil bakat baru itu muncul kembali dengan nama baru iaitu Suara Emas Bintang RTM 2007 selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

Bukan dengan penjenamaan baru itu sahaja, malah formatnya juga turut diubah selaras dengan matlamat RTM yang mahu melahirkan penghibur yang berbakat dan berilmu.

Perubahannya ialah 14 peserta yang layak ke peringkat separuh akhir dan lapan orang yang ke peringkat akhir akan diuji minda mereka dengan soalan pengetahuan umum yang merangkumi 20 peratus daripada jumlah pemarkahan.

Apa yang pasti, untuk pertandingan akhir yang dijangka akan berlangsung pada 1 Julai depan tidak akan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi akan menggunakan kuasa mutlak juri yang terdiri daripada pegawai RTM sendiri dan mereka yang arif lagi bijaksana dalam industri hiburan.

Kuasa SMS hanya akan menjelma apabila penonton diberi peluang memilih peserta kegemaran mereka yang gagal di peringkat suku dan separuh akhir. Malah, penglibatan SMS juga akan digunakan bagi menobatkan seorang peserta bagi merangkul kategori Bintang Paling Popular Suara Emas Bintang RTM 2007.

Untuk mencari 30 peserta berbakat yang layak ke peringkat suku akhir pertandingan, RTM telah menjalankan sesi uji bakat di enam zon yang berbeza iaitu zon timur, zon utara, zon selatan, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur yang bermula pada 12 Januari lalu dengan jumlah penyertaan sebanyak 1,255 orang.

Pada sidang media yang diadakan di RTM baru-baru ini, 30 orang yang terpilih itu berpeluang menunjukkan bakat mereka kepada hadirin dan tidak dinafikan mereka sememangnya berbakat besar dan berpotensi untuk menjadi seorang bintang jika digilap sebaiknya.

Kehangatan Suara Emas Bintang RTM 2007 akan bermula apabila peringkat suku akhir pertama berlangsung pada 14 April depan bermula 10.30 malam di RTM 2. Pelakon baru, Raja Farah Raja Aziz dan Sheikh Bolkiah Sheikh Ahmad atau lebih dikenali sebagai Abol telah diberi mandat sebagai pengacara kali ini.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

M. Daud Kilau Jahit Labuci Sendiri

7 Mar

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

LETAKLAH sepuluh barisan penyanyi baru, namun bila keluar sahaja Datuk M. Daud Kilau, 69, semua penyanyi baru yang jelita dan kacak itu akan tenggelam!

Ini kerana M.Daud ada keistimewaan yang tidak dimiliki oleh penyanyi lain iaitu mampu menari gelek selain daripada mempunyai vokal yang mantap.

Gelekan M.Daud tidak nampak seghairah goyang gerudi Inul Daratista atau gelek 45 darjah gaya Mas Idayu. Namun tarian geleknya yang lemah lembut dan tampak sopan itu tetap menarik perhatian umum.

Lantaran kelebihannya itulah, M.Daud atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau yang dilahirkan di Sungai Ular, Bagan Datoh, pada 10 Julai 1938 itu digelar Raja Gelek Malaysia.

Kata M.Daud, dia tidak pernah belajar menari daripada mana-mana koreografer kerana kebolehannya itu kurniaan Allah.

“Entah… saya sendiri tidak tahu dari mana saya ada bakat menari. Semuanya bermula bila saya sedang menjalani rakaman di studio untuk lagu Sireh Pinang.

“Waktu itu penerbit lagu Yusaini Amir yang nampak saya bergoyang beritahu saya, di Indonesia penyanyi yang menyanyi sambil bergelek ialah Rhoma Irama. Bermula dari situlah, bila menyanyi saya automatik akan menari,” katanya terus terang.

Meskipun suka menonton filem-filem Hindi, namun M.Daud tidak begitu gemar dengan tarian gelek artis dari Bollywood kerana gerakan mereka keras.

Sebaliknya, dia lebih senang melihat gaya tarian pelakon-pelakon dari filem Arab yang pada pandangannya lebih berseni dan lemah gemalai.

Kelebihan M.Daud bukan sekadar pada tarian, malah penampilannya dengan pakaian yang berwarna-warni juga amat memukau.

Kata M.Daud, disebabkan ingin kelainan dia lebih selesa mengenakan pakaian berwarna-warni yang disulami dengan labuci dan manik.

Dia yang pernah digelar The Wiggle King itu cukup terkenal dengan fesyen flamboyan dan kebanyakan pakaian persembahan pentasnya ditempah khas.

Antara jenis fabrik yang menjadi pakaian rasmi M.Daud ialah jojet, lace, velvet, satin dan broket yang disulami labuci dan manik.

“Saya suka tengok fesyen Michael Jackson yang penuh labuci itu dan sedikit sebanyak ia mempengaruhi saya.

“Saya ada tukang jahit sendiri. Selepas baju siap dijahit, saya akan jahit labuci atau manik mengikut cita rasa saya. Sekarang ini tidak boleh lagi menjahit kerana penglihatan tidak seterang dulu,” katanya sambil ketawa.

Dia yang merupakan anak bongsu daripada sepuluh beradik itu mula mengasah bakat nyanyian sejak di sekolah rendah.

Katanya, dua kali seminggu gurunya akan memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang minat menyanyi mengadakan persembahan di dalam kelas sebelum sesi pembelajaran tamat.

Bermula dari menyanyi di hadapan rakan-rakan kelas, akhirnya M.Daud menyertai kumpulan pancaragam Kampung Sungai Nipah Baroh yang sering mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan sekitar kampungnya.

“Saya bermula dari sekolah, kampung, persatuan dan seterusnya menyertai Bintang Radio di Pulau Pinang, kemudian barulah ke pertandingan Bintang Radio kawasan tengah. Pada tahun 1968, saya muncul sebagai juara menerusi lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis,” katanya mengimbau semula pembabitan awalnya dalam bidang seni suara.

Selepas itu, dia telah dilamar untuk menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan lagu berkonsep langgam, asli dan dangdut. Kemudian pada 1985, beliau menjuarai pula pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori Nyanyian Asli.

Sehingga kini dia telah menghasilkan 29 buah album. Sementara lagu-lagu dendangannya yang masih malar segar sehingga kini ialah Anak Pertama, Sireh Pinang, Anak Derhaka, Cek Mek Molek, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Gila Judi.

Sampai ke hari ini pun, aura M.Daud belum pudar kerana dia masih mampu digandingkan dengan artis baru seperti Syura dan Ezlynn.

Dia yang masih aktif mengadakan persembahan sehingga kini pernah dianugerah gelaran Penyanyi Lelaki Popular oleh Persatuan Penyanyi Tanah Air (Papita) pada 1979.

Bagi menghargai jasanya dalam dunia seni, bekas artis rakaman IMI itu dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1991 yang membawa gelaran Datuk.

Pada tahun yang sama juga, dia menerima dugaan hebat daripada Yang Maha Esa apabila anak bongsunya, Norhayati meninggal dunia selepas diserang demam panas.

Terdahulu, isteri pertama M.Daud, Allahyarham Asmah Md. Noor, kembali ke rahmatullah pada 1980. Dia yang mempunyai tujuh orang cucu itu kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Rohani Awang Ngah (Datin) pada 1982 dan kehidupan mereka bahagia hingga ke hari ini.

Powered by Utusan Malaysia