Archive | July, 2011

Mereka Nampak Naif!

31 Jul

Baru-baru ini, penyanyi Kim Hyunjoong telah mendedahkan artis berkumpulan manakah yang menjadi kegemarannya.

Tanpa segan, menurut Hyunjoong, dia sangat sukakan kumpulan baru, A Pink dan mengaku sering mendengar lagu-lagu dendangan mereka tanpa jemu.

‘Saya pernah melihat mereka membuat persembahan dalam sebuah acara sebelum ini. Ketika itu mereka berpakaian ala uniform.

‘Nak tahu apa yang terlintas di fikiran saya ketika itu? Saya rasa mereka ni naif walaupun nampak comel,’ katanya ketawa.

Dalam pada itu, kata si kacak ini lagi, dia juga meminati lagu berjudul I Am The Best nyanyian kumpulan 2NE1.

‘Mereka ini cukup bertenaga ketika menyajikan persembahan di atas pentas, saya memang tabik pada mereka!’ katanya.

Sementara itu, menurut laporan, penyanyi ini juga telah bersedia untuk menjalankan konsert jelajah Asia bermula Ogos ini yang akan mengambil sempena promosi album mininya yang berjudul Break Down.

Jepun akan dipilih sebagai lokasi pertama untuk konsert berlangsung.

Utusan

Tak Seteruk Mana

31 Jul

BARU-baru ini saya berkesempatan menonton filem Tolong! Awek Aku Pontianak yang dibintangi oleh Zahiril Adzim, Liyana Jasmay, Sazzy Falak dan ramai lagi. Mungkin tanggapan saya salah semasa hendak menonton filem ini.

Bukan apa kebanyakan cerita kita cukup klise dan kadangkala ia lagi teruk daripada apa yang dijangka. Tapi bila duduk di dalam panggung, filem ini tidak seteruk mana. Malah ia cukup menghiburkan hati saya yang menonton bersama keluarga.

Pujian harus diberikan kepada Zahril yang cukup berkesan membawakan watak lelaki yang lurus bendul. Cukup hebat dia menghidupkan watak seperti ini sehinggakan kami menyangka dia memang lurus bendul.

Cuma apa yang saya terkilan kerana dapat tahu yang filem ini tidak mendapat kutipan yang hebat. Tidak mengapa, walau tidak mengumpul RM10 juta sekalipun saya tahu filem ini memang satu filem yang bagus. Kadang kala kepuasan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Ayie Matakaji,

Ampang, Selangor.

Utusan

Merai Hari Kemerdekaan

31 Jul

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto MOHD NAIM AZIZ


AZAM Pit (kiri sekali) bersama Enot dan Syed Ali menghiburkan pelajar Sekolah Kebangsaan Setapak Indah minggu lalu.

ANTARA sedar atau tidak, hampir 54 tahun negara Malaysia yang tercinta mencapai kemerdekaan. Dalam usia yang cukup matang ini, kita tidak pernah lupa pada jasa dan pengorbanan yang telah ditabur oleh orang terdahulu.

Tidak pernah melupakan apa yang telah dikorbankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu, sambutan Bulan Kemerdekaan sudah bermula di pelbagai peringkat termasuklah di sekolah.

Pada 23 Julai yang lalu Pancaindera berkesempatan singgah ke Sekolah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur bagi meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Pengisian program bukan sekadar berkisar pada sambutan kemerdekaan semata-mata tetapi dalam masa yang sama turut diadakan Karnival Keusahawanan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mengumpul lebih seribu tetamu pada hari tersebut.

Pelbagai aktiviti yang telah diatur oleh pihak sekolah untuk menyemarakkan lagi rasa cinta pada negara di samping menghargai keamanan dan kedamaian yang dikecapi oleh kita selama ini.

Tidak terhenti daripada terus menyubur rasa bersyukur atas nikmat dan kurniaan daripada-Nya, rata-rata pelajar sekolah itu cukup teruja dengan sambutan yang diadakan.

Untuk golongan artis pula, ini merupakan peluang terbaik untuk turut sama menyemarakkan lagi rasa berkobar-kobar itu. Setidak-tidaknya mereka akan menjadi pencetus semangat untuk terus menjunjung megah apa yang sudah ada.

Pagi itu perkarangan sekolah penuh sesak dengan kehadiran para pelajar dan ibu bapa. Selain acara gerai pameran dan jualan oleh pelajar dan ibu bapa terselit juga pentas kecil yang digunakan oleh artis kita untuk membuat persembahan.

Ternyata kehadiran beberapa artis popular tanah air seperti Zain Saidin, Enot Abdullah, Syed Ali, Azam Pit, Munir, Mohd Mentor dan Hairi Safwan Aznan sudah cukup untuk membuat pelajar-pelajar sekolah teruja dengan kunjungan mereka ini.

Bukan seperti acara konsert mahupun persembahan besar yang lain, barisan artis ini cukup santai menghiburkan peminat dengan sisi yang berbeza.

Kelibat Enot dan Syed Ali yang bertindak selaku pengacara sudah cukup untuk membuatkan dataran sekolah itu riuh dengan gelak tawa yang tak henti-henti. Ada sahaja usikan mereka terhadap kelompok pelajar sekolah yang memenuhi sekeliling pentas.

Bagi Mohd pula, ini merupakan kunjungan kali pertama dia ke sekolah untuk membuat persembahan dan sudah pasti dia cukup teruja kerana berpeluang turun padang bersama artis lain.

‘Ini bukan sekadar acara nyanyian dan acara suka-suka. Memang ini peluang yang jarang saya dapat sebenarnya. Dapat duduk dan bermesra dengan pelajar sekolah memberikan satu pengalaman baru pada saya.

‘Lagipun ini merupakan permulaan bagi sambutan Bulan Kemerdekaan yang akan disambut tak lama lagi. Jadi selain berhibur artis yang hadir juga boleh sama-sama meniup semangat pada pelajar,’ jelas pelakon ini lagi.

Munir yang cukup popular dengan kumpulan Phyne Ballerz satu ketika dahulu cukup seronok melayan keletah kanak-kanak yang begitu meminati dirinya apatah lagi dapat menyumbangkan sebuah lagu baru untuk peminat kecilnya.

‘Ini merupakan pengorbanan kecil saya. Kalau nak dibanding dengan pejuang yang dahulu mungkin macam langit dengan bumi bezanya. Kalau tidak dapat berjuang macam orang dahulu, cukuplah saya dapat tiup semangat untuk semua pelajar sekolah.

‘Paling tidak acara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan antara saya dan anak-anak sekolah di samping dapat meraikan bulan Kemerdekaan ini,’ katanya.

Utusan

Harry Potter: Penamat Yang Dinanti

31 Jul

Oleh MOHD. RASDAN AHMAD

SIRI terakhir filem Harry Potter and The Deathly Hallows: Part 2 (HPDH2) telah memberikan kesan yang begitu mendalam ke setiap sanubari penggemar filem adaptasi dari novel terkenal itu.

Siri kelapan pengembaraan Harry Potter lakonan Daniel Radcliffe dan rakan-rakannya sejak beberapa tahun yang lalu dilihat berjaya memberi mood penamat yang dinantikan oleh peminatnya. Filem arahan David Yates diberi pengikhtirafan lima bintang.

Dalam erti kata lain, filem terakhir ini membanggakan kerana berjaya menawarkan episod pengakhiran yang memuaskan untuk terus dikenang.

Jika dibentangkan perjalanan kekuatan filem ini, jelas sekali HPDH2 lengkap dengan plot, aksi, emosi dan persembahan visual yang baik.

Bercampur dengan arahan yang baik dan penulis skrip yang berkaliber, Steve Kloves telah berjaya memaparkan sebuah filem yang kaya elemen hiburan, gandingan ini tidak terlepas untuk mengukuhkan lagi filem ini dengan babak-babak penting termasuk imbasan semula latar belakang Harry Potter dan beberapa plot yang menjadi nadi sejarah remaja ajaib ini.

Jadi bagi setiap penonton yang tidak pernah mengikuti atau sekadar mengetahuinya secara kasar sahaja filem ini, masih lagi boleh sekurang-kurangnya memahami dan mendapat gambaran tentang Harry Potter.

Aplikasi teknikal dan teknologi yang merangkumi syot, imej janaan berkomputer (CGI), kesan bunyi, transisi babak dan pewarnaan yang dicurahkan memang cukup mengagumkan.

Pendek kata, penelitian produksi HPDH2 berhasil menerbitkan sebuah filem yang bermutu jika dibandingkan dengan jenama Hollywood yang lain.

Lakonan yang mantap

Menyentuh berkenaan lakonan, persembahan bintang-bintang besar yang membarisi filem ini ternyata meyakinkan dan berkesan.

Selain aksi menawan tiga teraju utama pelakon terkenal British, Ralph Fiennes terus berjaya memegang watak sebagai Lord Voldermont yang cukup terkenal dengan keganasannya itu.

Begitu juga aksi Alan Rickman yang memegang watak sebagai Professor Severus Snape yang menyimpan sejarah hitam pada keluarga Potter.

Watak Potter sendiri misalnya jika diukur dari segi usia, wataknya digambarkan sebagai seorang remaja, namun kecekalan anak muda itu dalam menghadapi musuh tradisi serta kematangannya berdepan situasi yang cukup mencengkam membuatkan penonton turut sama merasakannya.

Begitupun, amat sukar untuk dinafikan, di samping kekuatan ceritanya sendiri, elemen paling menarik mengenai filem ini tentu sekali visualnya.

Babak pertarungan yang dipersembahkan filem ini sungguh mengagumkan. Lihat sahaja kepada babak si pahlawan melarikan diri dari ruang bawah tanah Bank Gringgots bersama seekor naga, yang membuktikan teknik janaan komputer yang paling menarik dipaparkan oleh pengarahnya.

Dalam pada itu penonton juga akan terpukau menyaksikan babak membabitkan Profesor Snape lakonan Alan Rickman ketika dia berdialog dengan Potter.

Menerusi memori Snape, dia bertemu dengan ibunya, Lil dan juga bapanya, dalam perbualan itulah, segala rahsia yang selama ini mempunyai kaitannya dengan Potter akhirnya terbongkar.

Segala persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya di kalangan peminat, sudah terjawab semuanya.

Penamat siri francais yang boleh dikatakan sebagai salah satu yang terbaik dan pasti menjadi ingatan kepada peminat-peminat filem ini.

Utusan

Mila Rebut Peluang Pasaran UK

31 Jul

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto KOLEKSI MILA JIRIN


Mila

IMPIAN untuk bergelar artis bertaraf antarabangsa bakal direalisasi tidak lama lagi. Apatah lagi setelah terlibat sepenuhnya dalam proses rakaman album Inggeris pertama miliknya kini sudah memasuki frasa terakhir.

Rasa cukup bersemangat untuk menghabiskan segera baki kerjanya di London. Seterusnya pulang ke pangkuan keluarga setelah menjadi anak rantau kira-kira enam minggu lamanya.

‘Insya Allah, saya akan pulang ke tanah air esok (1 Ogos), sedikit awal dari tarikh yang dijadualkan. Sempat berpuasa sekejap di sini (London) sebelum pulang,’ cerita Mila Jirin sewaktu menghubunginya melalui e-mel baru-baru ini.

Pemilik nama Norsyarmilla Jirin terbang ke kota metropolitan itu pada 19 Jun lalu membawa misi besar dalam catatan hidupnya. Kali ini dalam usaha untuk melebarkan lagi sayapnya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa.

Dia mahu menyelesaikan pembikinan album Inggeris tajaan sepenuhnya oleh pihak BGM Music dan MJ Panacea Records yang berpusat di sana.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini turut mengkhabarkan kunjungannya ke negara itu buat kali keempat cukup istimewa. Apabila mempelajari banyak perkara sepanjang menghasilkan album Inggerisnya itu.

Cabaran paling utama melibatkan kredibiliti vokalnya. Mila diminta menyanyi pelbagai jenis genre lagu di hadapan penerbit album yang terdiri daripada Laurence Hobbs, Jamie Seller dan Danis G. Mereka yang berasal dari United Kingdom (UK) dan Scotland ini bertindak sebagai pengkaji kelebihan suara Mila.

Proses itu juga bertujuan bagi membolehkan mereka mengetahui lebih lanjut jenis genre lagu yang sesuai. Sebab kesemua lagu yang dihasilkan adalah lagu yang dicipta khas buat diri penyanyi Persis Mutiara itu.

‘Saya sangat seronok bekerjasama dengan mereka. Di samping menambah kenalan baru, saya diberi peluang melihat cara mereka bekerja.

‘Teruja bila akhirnya mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk sama-sama mencipta lagu bersama,’ sambungnya lagi.

Ditanya bagaimana cara untuk mendapatkan kata sepakat dengan penerbit dalam menghasilkan satu lagu itu, katanya pengalaman merakam lagu di Malaysia banyak membantu dirinya.

Juara program realiti Akademi Fantasi (AF) kelima ini memberitahu bahawa tiada perbezaan mengenai cara kerja penerbit tanah air malah di Eropah.

Bagaimanapun, ada satu perkara yang cukup merisaukan dirinya iaitu cara sebutan.

‘Pihak penerbit yang menyedari kelemahan saya itu kemudiannya menyediakan seorang guru vokal untuk memperbetulkan sebutan saya.

‘Kalau nak tahu, saya pernah duduk seharian di studio. Dari pagi mulakan sesi rakaman sehingga jam 3 petang. Lepas itu sambung sesi menulis lagu bersama komposer terlibat sejam kemudian.

‘Saya pula jenis komited dalam urusan ini sampai ada satu minggu itu, saya terkena demam selesema. Disebabkan teruk, saya diberi cuti seminggu,’ dedah wanita bertubuh kecil ini.

Mengulas tentang keistimewaan album Inggeris Mila, anak sulung dari tiga beradik ini memberitahu ia terletak kepada penampilan genre berentak pop dance. Satu lagi taruhan baru buat Mila yang selama ini lebih menjiwai pop rock.

‘Saya sangat berharap agar album Inggeris kali ini supaya memberi saya lebih banyak ruang. Paling penting dapat memikat hati peminat muzik dari semua lapisan bangsa di Malaysia.

‘Saya dan pihak pengurusan juga berdoa agar album dapat menembusi pasaran baru terutama di UK. Pasaran ini yang paling sukar untuk ditembusi,’ ceritanya.

Penyanyi berusia 24 tahun ini juga teruja saat mengulas klip video untuk single pertamanya berjudul BreakDown yang sudah siap penggambaran. Antara lokasi yang dirakam di sekitar kawasan Camden Town, London. Kunjungan Mila bersama pengurusnya, A. Ailis M. Mustapha di bumi Eropah pada di musim panas menjadikan hasil proses rakaman cukup memberangsangkan.

‘Saya tak pernah rasa tertekan sepanjang bekerja untuk album kali ini. Jiwa Mila semakin dekat dengan genre pop dance. Tambahan pula, single pertama BreakDown akan dilancarkan di Malaysia dan Itunes untuk pasaran UK dan Eropah tak lama lagi,’ katanya lagi.

Selain lagu BreakDown, Mila turut merakamkan 14 buah lagu termasuk Kiss Kiss Kiss, B.O.O.M, Mysterious, Zombie’s, Movie Love dan Cry Yourself. Bagaimanapun, hanya 10 lagu terbaik yang akan dimuatkan dalam albumnya nanti.

Mila yang aktif mencatatkan diari kehidupan di laman sosial Facebook, boleh diikuti menerusi http://www.facebook.com/milajirinmusic atau di http://www.twitter.com/mila_jirin.

Utusan

Hanafi Disangka Suami Artis

31 Jul

Oleh ROSLI MANAH (rosli.manah@utusankarya.com.my)
Foto JEFFRI IRAN


Hanafi

APRIL lalu Hanafi Hariffin pernah berhijrah ke Kedah untuk menempuh alam pekerjaan di sebuah hotel di sana. Setelah tamat persekolahan, dia mahu rasa alam pekerjaan terlebih dahulu.

Kebetulan abangnya bekerja di sana dan dapatlah dia tinggal bersama abang. Tapi belum sempat menerima gaji pertama, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga bapanya yang jatuh sakit di kampungnya di Dungun, Terengganu.

Sehingga sekarang Hanafi masih tinggal bersama keluarga di kampung. Dia belum bekerja sebaliknya mahu kembali menyambung pengajian hujung tahun ini. Sekarang dia berkorban untuk kesenangan keluarga.

“Saya terpaksa melupakan hasrat bekerja sebab tiba-tiba bapa saja jatuh sakit. Saya sempat bekerja selama dua minggu sahaja. Selama sebulan lebih saya menjaga bapa berulang alik mendapat rawatan di hospital.

“Sekarang ini alhamdulillah bapa sudah sihat dan kembali bekerja. Tapi sebab bulan puasa dah nak masuk ini, saya tidak mahu ke mana-mana dulu. Biarlah saya tinggal saja di kampung.

“Pada masa ini hanya saya yang tak bekerja, jadi sayalah yang dipertanggungjawabkan melihat keadaan keluarga. Adik bongsu saya masih bersekolah dan tinggal di asrama,” kata Hanafi yang memiliki wajah persis pemain bola posisi pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang juga suami aktres popular, Rita Rudaini.

Bagaimanapun jika diamati, susuk tubuhnya sedikit kurus berbanding pemain bola sepak yang juga kembar kepada Zakuan Adha itu.

“Memang ramai yang kata wajah saya ada iras Aidil. Ada juga yang kata macam penyanyi Tomok. Saya pun tak tahu di mana persamaan itu, sebab saya lihat wajah saya biasa-biasa sahaja.

“Pernah sekali semasa saya menggunjungi Jom Heboh di Terengganu, ada sekumpulan remaja wanita yang pandang-pandang ke arah saya. Saya juga ada dengar mereka berteka-teki sesama sendiri sama ada saya ini Aidil atau orang lain.

“Agaknya setelah mengamati wajah saya betul-betul, mereka pasti saya bukanlah pemain bola sepak itu, mereka terus berlalu,” imbau Hanafi pasal kejadian beberapa bulan lalu itu.

Sementara itu Hanafi juga menyimpan hasrat untuk mencuba bidang seni. Dia ingin mencuba bidang lakonan kerana mempunyai minat dalam bidang itu. Tapi memandangkan dia tinggal di kampung, hasrat itu tidak akan diusahakannya dahulu.

“Kalau menyambung pengajian di Kuala Lumpur nanti, boleh juga saya mencuba berlakon pada masa luang. Saya harap dapat merealisasikan hasrat itu suatu hari nanti,” katanya lagi.

Hanafi juga meminati fotografi dan grafik. Dia mahu mencari kolej yang menyediakan kursus tersebut apabila menyambung pengajiannya. Malah sekarang pun dia menjinak-jinakkan diri membuat kerja seni grafik menggunakan gambar yang dirakam sendiri.

“Saya tidak pernah belajar grafik dan fotografi, tapi sebab minat punya pasal, saya boleh membuat seni grafik yang ringkas. Kalau tak ada kerja saya menghadap komputer dan membuat kerja grafik secara suka-suka,” akuinya.

Esok atau lusa umat Islam akan mula berpuasa. Hanafi juga teruja kerana mahu merasai keseronokan berpuasa. Apatah lagi dia tinggal bersama keluarga di kampung.

“Kalau masuk bulan puasa, saya seronok sebab dapat berterawih dan juga bersahur. Saya memang tak akan terlepas makan sahur,” katanya.

Apatah lagi rumahnya dekat dengan tapak Pasar Ramadan di pekan Dungun, Terengganu. Dia akan mencari kuih berbuka yang hanya dijual pada bulan Ramadan seperti kuih nekbat dan kuih qasidah.

Utusan

Malaysia Kekal Prestasi Di Hollywood

31 Jul

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Foto Creative Line (Terimakasih Romli Bidin)


Pasukan Malaysia dengan pakaian seragam 1Malaysia dalam acara majlis perasmian Worldstars Championship ke- 15 di Nokia Theatre, Los Angeles.

SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, jalan menuju ke Hollywood bukan mudah. Ia berliku dan penuh dengan cabaran tidak dijangka.

Meskipun berbagai usaha telah dilakukan dengan persiapan awal bermula semenjak tahun 2010, saat-saat peserta World Championship of Performing Arts (Worldstars Championship) ke-15 mahu berlepas, halangan mendatang jua.

Pun atas semangat besar tidak mengenal kalah, akhirnya langkah bertapak dan Worlstars Championship 2011 terus digegarkan dengan cabaran daripada bakat-bakat seni muda dalam negara kita.

Walaupun, pasukan negara tahun ini tidak sebesar tahun yang sebelumnya dengan penampilan hanya lapan peserta, tetapi semangat dan perjuangan mereka tetap membara dan meningkat demi maruah bangsa dan negara.

Worldstars Championship merupakan pertandingan setaraf Olimpik bagi dunia seni persembahan.

Bermula pada tahun 1997, pertandingan ini dianjurkan setiap tahun oleh para penggiat seni dari Hollywood, New York dan Nashville, Amerika Syarikat. Sudah memasuki edisi ke 15, acara ini telah berlangsung pada 15 hingga 24 Julai di tengah pusat hiburan terkemuka dunia itu.

Menurut Ketua Delagasi Malaysia, Romli Bidin, seperti juga tahun-tahun lalu, ramai penerbit di Hollywood amat teruja dengan persembahan Malaysia terutamanya dalam segmen tarian.

‘Kategori tarian merupakan bidang yang amat diminati dan dihormati oleh para juri di sini apabila bercakap tentang kumpulan Malaysia.

‘Pasukan Malaysia juga mendapat banyak liputan media selama seminggu berada di Los Angeles. Umpamanya, majalah Hollywood Weekly memaparkan gambar-gambar peserta negara di muka hadapan mereka dengan beberapa muka surat penuh di bahagian dalam.

‘Beberapa bahan cetakan untuk mempromosikan Worldstar Championship 2011 juga memaparkan gambar-gambar penari Malaysia.

‘Mengikut penerbit di sini mereka suka dengan cara kita memasukkan ciri-ciri tradisi dan kebudayaan dalam tarian kontemporari kita,’ katanya.

Jika tahun lalu hampir 50 negara menyertai Worldstars Championship, tahun ini hanya 35 negara sahaja yang bertanding. Ini ekoran daripada masalah kesukaran dan sekatan ketat oleh pihak kerajaan bagi mendapatkan visa ke Amerika Syarikat.

Malah Pengasas dan Pengerusi Worldstars Championship, Griff O’Neil, turut mengakui bahawa isu mendapatkan visa merupakan halangan yang terbesar setiap tahun untuk menjayakan pertandingan Worldstars Championship ini.

2011 prestasi terhebat

Pasukan Malaysia tahun ini diwakili oleh lapan peserta sahaja terdiri daripada kategori vokal, tarian, muzik, lakonan dan model ucapan. Meski kecil penyertaan, Malaysia memperolehi 17 pingat emas, 7 perak dan 3 gangsa, satu pencapaian yang perlu dibanggakan.

Peserta solo vokal diwakili oleh Putri Norizah yang merupakan anak kepada penyanyi 80-an bersuara jantan, Ibnor Riza. Puteri berjaya mengharum nama negara apabila memenangi enam pingat emas dan mencatat rekod peribadi.

Sementara pasukan tarian Tekatari dari Universiti Teknologi MARA mengulangi kecemerlangan negara dengan memenangi hadiah paling berprestij dalam kategori tarian.

Menurut Romli lagi, imej tarian yang dibawakan oleh peserta negara yang bijaksana mengadun unsur moden dan tradisional dalam karakter di pentas, menjadikan kemenangan mutlak berpihak kepada negara sekali lagi.

‘Pasukan Tekatari juga telah berpeluang untuk belajar menari bersama Donyelle Denise Jones dan Kenya Clay dari Millennium Dance Complex di Hollywood.

‘Mereka juga mendapat tunjuk ajar bagaimana untuk menjalani sesi uji-bakat muzik video.

‘Tekatari ternyata berjaya mengulangi kecemerlangan yang sebelum ini dihadiahkan oleh grup Aswara dan Istana Budaya pada dua tahun sebelum ini,’ katanya.

Utusan