Archive | Salih Yaacob RSS feed for this section

Ogy & Salih Tetap Menghiburkan

14 Apr

Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Ogy dan Salih ialah pasangan serasi yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat mereka.

PASTI ramai yang tahu tentang kolaborasi antara Salih Yaacob dan Fauziah Ahmad Daud yang sering membuatkan penonton ketawa tidak kering gusi.

Ada sahaja lawak jenaka spontan hadir kala mereka bersama. Ini tidak dapat dinafikan semasa menyaksikan rakaman musim kedua rancangan Ogy & Salih untuk TV1 RTM yang dirakamkan di Studio Green Cow di Damansara baru-baru ini.

Bukan hanya penonton ketawa. Tetamu undangan dan mereka berdua sendiri bagaikan hendak pecah perut ketawa dek aksi masing-masing.

“Saya memang sudah lama bercadang nak buat talk show yang menggabungkan bakat seperti menari, menyanyi dan berlakon. Lagipun saya nak buat rancangan talk show yang lain daripada yang lain.

“Anda boleh menilai sendiri perbezaan talk show ini berbanding yang lain. Segmen-segmen yang diketengahkan berlainan dan menarik,” kata Fauziah yang lebih popular dengan panggilan Ogy.

Dia yang bertindak selaku penerbit dan juga pengacara rancangan tersebut berkata, cetusan idea pembikinan talk show tersebut merupakan kesinambungan daripada rancangan yang pernah dikendalikan oleh arwah ayahnya, Ahmad Daud Show.

“Dalam rancangan itu, allahyarham menggabungkan artis-artis veteran dan sketsa dalam satu rancangan.

“Malah beliau sendiri pernah berpesan pada saya supaya jangan lupakan artis lama,” katanya yang kelihatan semakin kurus dan jelita.

Pada musim pertama, terdapat tiga segmen dalam rancangan Ogy & Salih yang disiarkan setiap Isnin 10 malam di TV1.

Segmen pertama memberi tumpuan pada pekerjaan atau kerjaya seseorang dan diselitkan sketsa dan adegan komedi. Segmen kedua adalah segmen 30 saat iaitu kuiz ringkas untuk penonton di studio.

Segmen ketiga merupakan segmen yang dinantikan iaitu Dia Datang yang memfokuskan kepada artis-artis veteran.

Ogy & Salih juga menampilkan persembahan secara langsung daripada Ogy dan Salih yang menyanyikan sebuah lagu.

Tiada banyak perbezaan yang ditampilkan pada musim kedua program itu. Kedua-dua hos itu berlumba-lumba cuba kecohkan lagi keadaan agar suasananya lebih menarik dan tidak membosankan penonton.

Sambil tersenyum, Ogy berkata, “Jangan anggap Ogy & Salih ini sebuah rancangan untuk orang tua semata-mata kerana kami tampilkan artis lama. Rancangan ini untuk tontonan semua golongan umur.

“Lagipun topik yang kami tampilkan bersifat umum. Bukan tertumpu pada satu golongan saja. Saya rasa banyak perkara baru yang dipaparkan.

“Alhamdulillah tanpa publisiti yang meluas, feed back yang kami dapat amat memberangsangkan. Kini rancangan ini disambung ke musim kedua.”

Mengenai pemilihan Salih sebagai pasangan hosnya, jelas Ogy, mereka ada keserasian. “Bersama Salih, saya tak perlu risau kerana saya akan sentiasa ceria.”

Bagi musim kedua ini rakaman Ogy & Salih telah dijalankan bermula 26 sehingga 30 Mac lalu. Ia menampilkan 13 episod.

Sementara itu, Salih Yaacob tidak menyangka rancangan tersebut memberi kesan kepada penonton terutama peminat-peminat artis lama.

“Bila mereka menonton rancangan tersebut, secara tidak langsung ia mengembalikan nostalgia.

“Sudah banyak rancangan ketengahkan artis baru dan muda. Tak salah kalau kita ketengahkan artis lama kerana kemunculan mereka juga dinanti-nantikan,” katanya.

Dalam nada selamba Salih berkata, “Lagipun saya nak tengok penerimaan orang sama ada mereka dapat menerima saya lagi atau tidak. Sebab sudah lama saya tidak muncul dalam program TV.

“Berlawak ini kena ikut suasana. Biarpun ada skrip tapi itu hanyalah sebagai panduan untuk kita. Sebab komedi ini ikut gaya kita.”

Ditanya mengenai kolaborasinya bersama Ogy, Salih berkata gabungan tersebut berjaya kerana kedua-duanya saling memahami.

“Kami sudah biasa bekerjasama dan kami tahu apa yang penonton mahu. Paling penting dia menghormati saya dan kami ada keserasian,” katanya.

Tambah Salih, lawak merupakan satu kehidupan dan manusia memang sukakan keseronokan tetapi ia tidak boleh keterlaluan.

Utusan Malaysia