Archive | Ashraf Sinclair RSS feed for this section

Gigih Mengejar Wawasan

30 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Sazzy Falak (kiri) dan Aishah Sinclair.

Sazzy Falak, Aishah dan Ashraf Sinclair tidak lepaskan peluang ketika usia masih muda

USAHA dan wawasan Sinclair Falak Sdn Bhd yang dimiliki tiga selebriti Sazzy Falak dan dua pasangan adik beradik, Aishah dan Ashraf Sinclair sejak setahun lalu wajar dipuji. Dalam rancangan jangka panjang, lima tahun lagi syarikat mereka sedang merencana pelan besar-besaran dan terus memperluaskan cabang lain seperti pengurusan artis dan bakat.

Memang cita-cita mereka itu bukan calang-calang dan tidak juga hanya angan-angan kosong, sebaliknya ia satu arah tujuan yang pasti ingin digapai.

Selama setahun ini, sudah lima bengkel yang dipanggil Acting Saved My Life diadakan mereka membabitkan golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak. Mereka pernah mengendalikan bengkel untuk Miss India Global pada Julai lalu. Ini adalah sumbangan mereka demi terus menjana dunia seni supaya terus berkembang dengan kehadiran generasi pelapis.

Dari sudut lain pula, Sazzy, Ashraf dan Aishah cuba membuktikan bahawa kerjaya lakonan mampu memberi pulangan yang setimpal jika ada perancangan bijak. Idea melaksanakan bengkel ini tercetus daripada seorang pelatih perniagaan bernama Jeevan Sahadevan.

Atas galakannya, mereka mula memikirkan secara serius untuk memberi kembali apa juga pengalaman yang ditimba kepada arena seni demi manfaat bersama. Menerusi pengetahuan, pengalaman yang ada termasuk melayari internet sebagai rujukan mencari modul dan kaedah pengajaran yang terbaik, lalu terhasillah bengkel ini.


NAZRIL berkongsi tips untuk terbabit dalam iklan komersial.

Hip berkesempatan melihat bengkel ini yang pertama kali dibuat untuk golongan remaja di sebuah hotel berhampiran pusat membeli belah terkenal di ibu negara. Hanya Aishah dan Sazzy saja yang mengendalikan program ini, manakala Ashraf masih dalam mood berbulan madu dengan isterinya, Bunga Citra Lestari (BCL) di Indonesia. Dilakukan dengan pembabitan kelompok kecil di kalangan remaja, ia turut disertai selebriti seperti Cheryl Samad, Nazril Idrus dan Douglas Lim berkongsi kepakaran masing-masing.

Menurut Sazzy, Ashraf juga kini sedang membangunkan syarikat mereka di Indonesia dengan kerjasama pengurusan BCL. Apa yang cuba dilakukan mereka selama ini dengan satu niat untuk menaikkan dan membangunkan piawaian dunia seni ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Mengenakan yuran ratusan ringgit untuk menyertai bengkel ini, Sazzy melihat modal yang dibayar itu sebagai pelaburan masa depan.

“Bukan soal harga yang perlu dibangkitkan, tapi ia sebagai satu pertaruhan untuk mendapatkan sesuatu yang berfaedah. Ia bukan sekadar elemen lakonan saja yang ingin disampaikan, kerana bergelar pelakon seperti manusia biasa juga memerlukan pelbagai aspek seperti disiplin, kesungguhan, persediaan menyeluruh dan macam-macam lagi. Sebagai pelajar, bukan soal akademi saja yang penting, ia perlu diseimbangkan dengan sisi kreatif yang ada.

“Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Kami gabungkan pengalaman dan ilmu yang ada untuk memberi serba sedikit pendidikan dan bimbingan kepada peserta. Selepas ini kami mungkin mengendalikan bukan saja menjadikan lakonan, sebaliknya pengacaraan dan apa juga yang relevan untuk mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan khidmat kami,” kata Sazzy yang bakal muncul dengan filem Notti pada 2009.


GAYA dua isteri yang aktif menganjurkan bengkel.

Bukan saja cuba mendidik bakat baru di bawah landasan sewajarnya, Sinclair Falak juga cuba mengembangkan muka baru yang berpotensi untuk syarikat produksi seperti Red Communications dan Popiah Pictures. Tidak mustahil satu masa nanti, usaha mereka boleh dikelaskan sebagai tanggungjawab sosial, menunjuk jalan kepada mereka yang berminat membabitkan diri dalam dunia seni.

“Ini langkah pertama kami memberi ruang kepada mereka yang mungkin jarang mendapat peluang dan pendedahan. Kami pun masih dalam peringkat belajar dan belum cukup sempurna, sambil mengajar (untuk bengkel) kami juga boleh mengingatkan diri untuk sentiasa belajar.

“Ia umpama satu proses kehidupan, setiap hari adalah hari untuk belajar menjadi lebih baik daripada semalam. Mungkin satu hari nanti, kami boleh anjurkan bengkel ini secara subsidiari dengan bantuan penajaan,” kata Aishah yang mengacarakan program web TV, Double Exposure yang boleh ditonton dengan melayari http://www.amc.com

Belum ada rezeki menerima zuriat

Selain bergelar selebriti dan mengadakan bengkel ini, Aishah dan Sazzy juga bahagian mengecapi bahtera perkahwinan walaupun belum dikurniakan cahaya mata.

Jika perkahwinan Aishah dan suaminya, Shaikh Shahnaz Karim seorang ahli perniagaan sudah mencecah tiga tahun, alam rumah tangga Sazzy dan suaminya, Nazril Idrus pula sudah masuk lebih dua tahun.

Mereka tidak pernah merancang untuk mendapatkan zuriat, sebaliknya mengambil peluang ini untuk terus mengumpul harta dan rezeki. Bersemangat mengambil dan mengejar peluang yang ada di depan mata, mereka ingin terus memperkukuhkan syarikat itu.

“Soal anak itu biarlah ia menjadi kejutan buat diri kami dan orang lain. Jangan risau kalau kami sudah mengandung, berita itu pastinya akan dikhabarkan kepada rakan wartawan.

“Dengan adanya staf syarikat kami nanti, tidaklah kami risau untuk melepas tangan kepada mereka mengendalikan tugas yang kami lakukan kini,” kata Sazzy sambil memerhati Aishah yang hanya tersenyum.

INFO: Sinclair Falak

Henry Golding (hos 8tv Quickie) juga antara pengacara yang pernah mengikuti bengkel anjuran syarikat ini.

Blog: actingsavedmylife.blogspot.com

Laman web yang masih dalam pembinaan: http://www.sinclairfalak.com dan http://www.ilovesinclairfalak.com

Facebook: Taip saja Sinclair Falak

PROFIL: Sazzy Falak

Nama sebenar: Sazlini Falak

Tarikh lahir: 10 Mac 1980

Asal: Kuala Lumpur

Keluarga: Anak sulung daripada tiga beradik

Status: Berkahwin

Suami: Nazril Idrus

Kerjaya: Pengacara dan pelakon

Program: Beat TV dan Ria Sentral

Pembabitan seni: Sejak 1999

PROFIL: Aishah Sinclair

Nama Sebenar: Aishah Jennifer Mohamed Sinclair

Tarikh Lahir: 27 Oktober 1980

Tempat Lahir: London

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Kerjaya: Model, pengacara dan pelakon

Status: Berkahwin

Suami: Shanaz

Iklan: Pepsi, Fair and Lovely, Twisties, Padini Authentic, Cadbury dan Dutch Lady

Drama/Filem: Bujang Senang, Gol & Gincu dan Realiti Pengalaman

Hos: Pilates (Astro), Life Traits (RTM), Voice Your Choice (8TV), The 8TV Quickie (8TV), Rock Unite Concert (ntv7), So You Think You Can Dance (SYTYCD) musim kedua

Pembabitan seni: Sejak 1998

Berita Harian

Advertisements

Cinta Dirancang Keluarga

13 Aug

Oleh FERIDE HIKMET ATAK feride.hikmet@kosmo.com.my

MENDENGAR sahaja kisah ‘perkahwinan yang dirancang keluarga’, pasti pelbagai reaksi wajah yang diberi tatkala soalan sebegini diajukan.

Ada yang sangat tidak bersetuju dan ada juga tidak kisah jika calon pasangan mereka diaturkan keluarga.

Lain pula pandangan bagi empat pelakon remaja yang popular dengan drama bersiri Renjis, Sherry, Elyana, Ashraf Muslim dan Syed Ali. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu ini.

Apalagi, dalam Renjis, Elyana turut berpeluang merasa dilema kerana cinta yang dirancang keluarga. Justeru tiba-tiba saja kecoh seketika lokasi di bilik persalinan apabila masing-masing berebut-rebut untuk mengulas mengenai hal yang cukup menggembirakan untuk diperkatakan ini.

Tidak disangkakan pula walaupun mereka sudah menjadi teman ‘sekepala’ sejak dipertemukan dalam drama bersiri itu, pendirian mereka tetap berlainan.

Menerusi Renjis, Elyana yang melakonkan watak Kirana, sebelum ini pernah ditinggalkan kekasih dan takut untuk membuka lembaran cinta barunya semula.

Apabila ibunya (Liza Abdullah) mendapat tahu akan ketakutannya dalam percintaan, mulalah ibunya sibuk mencari calon menantu yang sesuai untuk Kirana.

“Dalam Renjis, memang ibu Kirana seboleh-bolehnya nak dapatkan calon suami yang sesuai untuk anaknya.

“Tetapi itu bukan dalam realiti hidup saya. Benda-benda begini semuanya terpulang pada keluarga. Pada saya, lebih elok jika saya yang membuat keputusan dalam hal hubungan cinta, lagi senang,” ujarnya berterus terang.

Lain pula cerita Sherry yang lebih gemarkan cabaran dalam mencari teman sehidup semati.

“Sebenarnya, saya tidak mempercayai perhubungan yang dirancang keluarga.

“Lebih bermakna lagi jika cinta itu datang dengan sendirinya dan cabarannya pasti berbeza berbanding dengan pilihan keluarga yang sedia ada,” jelasnya penuh yakin.

Beza pula dengan Syed Ali dan Ashraf, mereka lebih senang jika keluarga yang menguruskan sendiri tentang hal perkahwinan jika sudah sampai seru untuk mendirikan rumah tangga.

Meskipun lelaki biasanya berjiwa berdikari, mereka percaya pilihan ibu bapa adalah yang terbaik. Malah tidak kisah andainya wanita yang bakal menjadi isterinya itu hasil pilihan ibu bapa.

“Ibu bapa saya tak kisah jika saya sudah mempunyai pilihan hati sendiri. Begitu juga dengan saya, jika dijodohkan dengan wanita pilihan ibu bapa, saya juga tidak mempunyai masalah. Malah mungkin lebih senang.

“Apa yang penting wanita itu baik dan sedap mata memandang. Tapi kadang-kala, takut juga kalau tak serasi,” seloroh Syed Ali.

Tidak sukar bergaul

Mempunyai latar belakang yang berbeza, tidak bermakna mereka sukar bergaul bersama.

Malah seakan sudah lama mengenali antara satu sama lain, mereka bagaikan isi dengan kuku. Dan kisah tentang keakraban mereka ini seronok untuk dikongsi dengan pembaca Kosmo!.

“Sejak berlakon bersama, kami memang akrab. Tapi, tak adalah sampai 24 jam telefon sesama sendiri saja.

“Apa yang menyeronokkan, sepanjang kami di set penggambaran, kami langsung tak pernah rasa yang sebenarnya kami sedang bekerja. Tiada tekanan langsung. Saya rasa kumpulan krew kami paling memahami. Walaupun penggambaran dibuat dari pagi hinggalah ke malam, tak rasa penat pun,” ujar Elyana.

Disampuk pula oleh Sherry “Paling seronok sekali bila pengarah memberi kebebasan idea dalam apa saja yang ingin kami tambah dalam lakonan kami.

“Sampaikan, dialog yang kami lakonkan secara spontan tanpa perlu mengikut skrip. Siap boleh tambah ayat sendiri lagi.”

Bertegang urat? Langsung tiada dalam buku persahabatan pelakon-pelakon Renjis ini. Malah, kata Ashraf, mereka diibaratkan seperti adik beradik dalam lokasi.

“Kami saling bantu-membantu. Walaupun hari-hari penggambaran, kami masih gembira bersama, rasa seperti adik beradik dan masing-masing menjaga kebajikan antara satu sama lain,” ujar Ashraf pula.

Begitu teruja mereka menceritakan memori saat-saat kisah lucu mereka pada hari penggambaran drama bersiri itu. Keserasian mereka berempat ternyata kelihatan jelas sehingga sangat jelas kelihatan melalui hasil lakonan mereka yang nampak bukan dibuat-buat.

Renjis 2 kembali?

Pasti ramai peminat-peminat Renjis akan tersenyum gembira kerana dengar cerita, berkemungkinan besar drama bersiri ini mungkin akan disambungkan untuk musim kedua.


ELYANA merasai sendiri pengalaman bagaimana jodoh ditentukan keluarga dalam Renjis.

Semua ini kerana ia berjaya muncul antara program paling diminati ramai dalam saluran Astro Ria.

Bagaimana empat sahabat ini tidak berani untuk mengesahkan perkara ini kerana mereka juga tidak pasti sama ada ia bakal disambungkan mahupun tidak

“Kami harap ia dapat disambungkan. Dan yang penting, jika betul siri ini akan diteruskan, mungkin kami akan duduk sekali bersama pengarah dan berbincang bersama mengenai jalan cerita Renjis 2.

“Bolehlah saya kongsi idea sama kerana sebelum ini saya tak dapat turut serta dalam perbincangan mereka kerana mempunyai sedikit masalah,” jelas Syed Ali.

Tayangan Renjis berakhir pada malam ini (13 Ogos) pukul 9.30 malam dan pada episod ini, peminat bakal mengetahui siapakah lelaki pilihan Kirana. Adakah Rafiq (Syed Ali) ataupun Dean (Ashraf Sinclair) bakal menjadi teman hidupnya? Atau mungkin, orang lain pula yang melekat di hati Kirana?

Kosmo

Fizow, Syed Ali Semakin ‘Digilai’

17 Jul

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
dan AMIRUL ANNUAR ABIDIN


CUKUP mengagumi, Fizow (kanan) dan Syed Ali punyai bakat besar untuk maju dalam dunia lakonan.

MEMILIKI wajah menarik, aktif serta berbakat, dua pelakon kacak bergaya ini mula menempa nama di persada hiburan tempatan dan semakin dikenali ramai biarpun masih bergelar ‘pucuk muda.’

Menyimpan impian untuk menggantikan tempat ‘Hero Malaya’ seperti Rosyam Nor, apa yang pasti, mereka sudah pun punyai peminat tersendiri dan digilai khususnya si gadis remaja.

Lahir pada tahun yang sama iaitu 1985 dan kini berusia 23 tahun, kedua-duanya sudah saling mengenali tatkala sama-sama menyertai sebuah pertandingan pencarian hero remaja bagi sesi 2007/2008 yang lepas.

Semenjak itu, empunya diri bernama Wan Hafizol Wan Omar atau Fizow dan pelakon yang kini popular menerusi drama bersiri Renjis di saluran Ria (saluran 104, Astro), Syed Ali Tar Mohd. mula mengharungi dunia penuh glamor serta menceburi bidang lakonan.

Melihatkan kesungguhan yang ada pada diri, mereka sebenarnya adalah pelapis yang bakal meneruskan perjuangan pelakon-pelakon senior ketika ini.

Melewati garisan dunia glamor, sebagai orang baru, sudah tentu ada sahaja cerita suka duka yang dilalui mereka sepanjang memilih karier sebagai anak seni.

Pernah dimaki hamun, dikutuk dan diejek, itu semua asam garam kehidupannya sebagai seorang pelakon.

Sungguhpun begitu, Fizow dan Syed Ali yang ditemui Hits pada sesi fotografi baru-baru ini enggan berdendam, sebaliknya, menjadikan segala pengalaman sebagai pengajaran dalam mematangkan lakonan masing-masing.

Fizow tinggalkan bola demi lakonan
Mengambil keputusan menggantung but bola, Fizow nekad untuk tidak memandang ke belakang bagi memenuhi minatnya yang mendalam terhadap lakonan.

Pernah beraksi dengan pasukan Kelantan, Perlis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Fizow menerima seadanya segala ejekan daripada rakan-rakan seperjuangan atas segala keputusan yang diambilnya.

”Pertamanya saya minat berlakon. Saya kena membuat pilihan. Justeru, saya pilih berlakon yang turut mendapat sokongan ahli keluarga.

”Mula-mula dulu teruk kena kutuk dengan rakan-rakan bola tetapi saya tidak ambil peduli dan mahu buktikan yang saya mampu berjaya,” katanya.

Ujar Fizow, bermula dengan drama bersiri Elite, rezekinya makin bertambah apabila membintangi drama Gaia, Biawak Pasir, Kau Curi Cintaku dan terbaru, Dendam.

”Drama bersiri Kau Curi Cintaku merupakan drama pertama yang melibatkan saya sebagai watak utama.

”Ia masih belum ditayangkan. Sebagai pelakon utama, sudah tentu saya banyak kena marah dengan pengarah. Kadang-kadang rasa kecewa tetapi memikirkan sebagai orang baru, saya kena tabah,” jelasnya.

Menurut Fizow, dalam usahanya untuk berlakon filem, dia akan menimba seberapa banyak pengalaman dan memantapkan lakonannya dalam drama terlebih dahulu.

Dilabel gay?
Sibuk bicara tentang lakonan dan masa depan, Fizow diajak memberikan komen tentang cakap-cakap yang melabelkan dirinya sebagai gay gara-gara pemakaian dan penampilannya yang up-to-date dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Tenang menjawab dakwaan itu, Fizow memberitahu, apa yang didakwa tidak sama dengan realiti peribadinya.

”Orang boleh cakap apa sahaja dan saya tidak ambil kisah sangat.

”Apa yang penting, saya tahu apa yang saya lakukan dan tahu tentang siapa diri saya sebenarnya,” katanya yang mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada karier dan perniagaan sebelum serius dalam percintaan.

Dikatakan bersikap ‘pilih bulu’
Tidak cukup dilabel gay, Fizow seterusnya dikatakan sebagai seorang pelakon yang bersikap memilih media sekiranya diminta terlibat dalam sesi fotografi.

Agak terkejut ketika dikatakan tentang perkara tersebut, Fizow bagaimanapun menafikan, dia mempunyai sikap pilih bulu.

”Saya tidak pernah memilih mana satu media yang saya suka. Bagi saya, apa sahaja tawaran yang hadir, saya akan terima.

”Cubalah panggil (sesi fotografi), saya pasti akan hadir jika tidak sibuk,” jelasnya.

Dugaan Syed Ali
Sementara itu, bagi Syed Ali pula, lakonannya sebagai peguam menerusi drama bersiri Renjis bersama-sama Ashraf Sinclair dan Elyana sememangnya cukup mantap dan bersahaja.

Berperwatakan gila-gila, anak jati Kuala Kangsar, Perak ini bagaimanapun, mempunyai kisah duka yang berselindung di sebalik tawa riangnya.

Ketika Hits menemu bualnya petang Isnin lalu, hatinya bagai tidak menentu kerana teringatkan adiknya, Syed Yahya, 22, yang kini terlantar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana terlibat dalam satu kemalangan.

”Saya sangat bimbang tentang keadaan dia sekarang. Dia kemalangan ketika saya sedang menjalani penggambaran Renjis.

”Sebab itu saya tidak dapat fokus sepenuhnya terhadap lakonan dalam drama itu. Fikiran saya berserabut,” katanya sambil mengeluh panjang.

Jelas Syed Ali, dugaan Allah datang kepadanya bertimpa-timpa dalam masa terdekat ini.

”Bermula dengan adik saya meninggal, selepas itu, ibu kesayangan, Siti Lakyah Abdul Rashid dan diikuti kakak, Sharifah Tar Mohd.

”Kehilangan ibu paling terasa namun saya sempat meminta restunya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur tahun 2002 lalu bagi mencari rezeki dalam dunia lakonan,” jelasnya.

Menurutnya, setiba di Kuala Lumpur, dia telah bekerja di pelbagai tempat termasuk di rangkaian pawagam GSC di IOI Mall, Puchong ketika ini sebelum menceburi dunia lakonan.

”Sebenarnya, sebelum ini, saya banyak menjadi pelakon tambahan sahaja. Masa di tingkatan lima, saya pernah melakonkan watak kecil dalam filem Paloh.

”Itupun kebetulan ketika krew filem tersebut datang ke kampung untuk penggambaran. Dari situ saya timbul minat untuk berlakon,” katanya yang kini sedang hangat bercinta dengan penyelia di tempat kerjanya.

Ujar Syed Ali, drama pertama yang mengangkat dirinya sebagai pelakon utama adalah Bouganvilla Di Anjung Mahligai pada 2005.

Menerusi drama itu, katanya, dia berpeluang berlakon bersama Khatijah Tan, Rusdi Ramli dan beberapa lagi pelakon ternama.

”Selepas itu, saya membintangi stikom Kopi Kaw, Gaia dan terbaru adalah Renjis.

”Impian saya mahu hebat seperti Rosyam Nor dan berlakon dalam filem,” tambahnya yang turut terlibat dalam iklan produk kopi Radix.

Utusan Malaysia

Ashraf Sedia Pikul Cabaran

3 Jun

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SELEPAS berlakon drama, Ashraf kini menceburi seni teater dalam usaha mengembangkan bakatnya.

PERNAH membawakan watak sebagai seorang pelajar universiti, watak anak muda yang penuh hasad dengki, ustaz serta lelaki lembut, nama Ashraf Muslim kini semakin dikenali ramai.Mula berjinak dalam dunia lakonan menerusi drama bersiri interaktif pertama di Malaysia iaitu Impian Ilyana, bakat yang dimiliki Ashraf, 27, membuatkan dirinya sentiasa menjadi ‘buruan’ sang produser.

Maka tidak hairanlah, meski baru berusia dua tahun bergelar insan seni, dia telah banyak menerima tawaran berlakon.

Apa yang pasti, jejaka tinggi lampai ini tidak pernah mengecewakan apabila apa jua watak yang diberikan, dia berjaya membuktikan kemampuan untuk melakonkan watak berkenaan dengan baik.

Lihat sahaja bagaimana Ashraf yang sebelum ini dilabel sebagai ‘budak U’ kerana lakonannya dalam Impian Ilyana, bertukar menjadi lelaki yang pendendam serta pemarah menerusi drama Manjalara.

Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya melakonkan watak seorang anak muda yang penuh hasad dengki dalam drama Impak Maksima The Series sebelum bertukar baik apabila melakonkan watak ustaz (drama Depan Rumah Sebelah Kedai).

Justeru, dengan bakat yang dimiliki Ashraf ketika ini, tidak keterlaluan jika dikatakan dia sememangnya aset dunia lakonan tempatan bagi mewarisi pelakon-pelakon terdahulu.

Baru-baru ini, Ashraf diberi kepercayaan menceburi seni teater dan memegang watak mak nyah dalam teater muzikal Patung Kertas yang baru sahaja selesai dipentaskan di Dewan Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Patung Kertas arahan Lokman Ghani memperlihatkan Ashraf sebagai seorang lelaki lembut bernama Adik Chu yang sejak dari kecil cenderung bercampur dengan kanak-kanak perempuan hingga merubah perwatakannya.

Tidak kisah bawa watak mak nyahKetika ditemui baru-baru ini, Ashraf memberitahu dia tidak kisah dengan apa pandangan masyarakat terhadap tindakannya menerima dan membawakan watak mak nyah.

Bagi Ashraf, melakonkan watak mak nyah, ia hanyalah sekadar lakonan dan tidak menggambarkan dirinya yang sebenar.

“Oleh yang demikian, buat apa saya hendak takut kerana itu cuma lakonan sahaja. Saya menerima tawaran untuk membawakan watak mak nyah kerana itu merupakan satu cabaran terhadap diri saya.

“Sebagai pelakon, kita perlu sentiasa membawa perubahan dalam mengembangkan bakat,” jawab Ashraf yang mengimpikan watak orang gila dan cacat.

Bagaimana menghayati watak mak nyah?Sementara itu, Ashraf ketika ditanya mengenai caranya mendapatkan mood untuk membawakan watak lelaki lembut dalam pementasan tersebut memberitahu, semuanya itu diperoleh menerusi pemerhatian dan kajiannya.

“Sebelum dapat menghayati watak berkenaan, saya pergi membuat kajian dan pemerhatian termasuk bercampur-gaul dengan golongan berkenaan. Dari situ, saya perhatikan setiap perkataan dan pembawaan diri mereka,” jelasnya.

Kepuasan antara teater dan dramaBerlakon dalam teater dan drama, ia sememangnya cukup berbeza. Justeru, antara kedua-dua elemen seni itu, Ashraf mengakui teater lebih memberikannya kepuasan dalam lakonan.

“Dalam teater, kita akan menampilkan satu persembahan secara live di hadapan penonton.

“Ia cukup mencabar dan memberikan tekanan. Namun, hati akan lebih puas andai melihat penonton berpuas hati dengan apa yang kita tampilkan dalam teater,” katanya.

Justeru, menurut Ashraf, jika diberikan peluang untuk berlakon dalam teater pada masa akan datang, dia akan menerima tawaran tersebut bagi membolehkannya mengaut pelbagai pengalaman.

Astro megadramaAshraf juga turut berlakon dalam drama bersiri Renjis yang ditayangkan di Astro Ria pada setiap Rabu bermula sejak 21 Mei pukul 6.30 petang.

“Saya memegang watak sebagai Kelana. Kelana seorang anak yang manja dengan keluarganya tetapi berfikiran kabur. Selain saya, pelakon-pelakon lain adalah penyanyi Elyana, Ashraf Sinclair dan Riz Izudin,” tambahnya.

Powered by Utusan Malaysia

Ashraf Pilih Bulan Jun

10 Feb

Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari

HUBUNGAN cinta Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari sepertinya sudah mendapat restu semua pihak. Sejarah hitam lampau yang pernah dipalitkan dalam industri seni seketika berakhir dengan ketulusan Ashraf memohon maaf.

Diva dengar cerita pasangan yang secocok ini memilih bulan Jun ini untuk meningkatkan lagi hubungan mereka. Khabarnya pihak keluarga Ashraf sedang membuat persiapan kahwin pelakon dan model muda tersebut.

Khabarnya, Aishah Sinclair juga kini sedang sibuk membantu persiapan abangnya. Maklumlah, Aishah dah melalui detik-detik manis raja sehari. Mesti banyak tip yang boleh dikongsi bersama, kan? Aishah juga antara orang yang paling gembira dengan keputusan abang kesayangannya itu.

Diva dapat bayangkan yang majlis perkahwinan itu bakal meriah dengan gabungan dua budaya dari negara berbeza. Dapat jugalah tengok artis terkenal dua negara disandingkan, sama cantik sama padan.

Pasti cantik Bunga berpakaian songket dan Ashraf segak bertanjak. Kalau Ashraf jemput Diva, Diva memang pergi.

Diva: Teringin nak buat majlis sanding macam Cindy Crawford dulu, tepi pantai tak pakai kasut.

Powered by Kosmo

EEE…Hantu Komedi Seram Untuk 2008

14 Dec

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

ANTARA pelakon Eee…Hantu, Ashraf Sinclair (duduk), Yasmin Isa (dari kiri), Syella dan Raja Farah.

Lepas satu persatu filem genre seram sama ada filem tempatan atau dari luar negara menerjah pawagam tempatan, dapat kita simpulkan sememangnya masyarakat kita sukakan filem-filem sedemikian.

Disebabkan penerimaan peminat terhadap filem berbentuk begitu, terbaru sebuah lagi filem seram berjudul EEE…Hantu terbitan MRE Networks Alliance (M) Sdn. Bhd., bakal berada di pawagam tahun depan.

Filem yang disutradara oleh Majed Saleh itu dibarisi pelakon-pelakon muda seperti Ashraf Sinclair, Erry Putra, Yasmin Isa dan Raja Farah.

Dua pelakon dari seberang juga turut diberi peluang menjadi penyeri dalam filem tersebut iaitu Dea Lestari dan Tessa Mariska. Menurut Majed, filem EEE..Hantu berbeza daripada filem hantu yang sedia ada.

“Gaya penyampaiannya disampaikan menerusi penceritaan. Saya gunakan teknik dalam filem-filem seperti zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kita tampilkan pencerita dalam filem ini yang menceritakan tentang kewujudan hantu tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat filem itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem EEE… Hantu menceritakan tentang lima sekawan yang mengikuti ekspedisi memanjat Gunung Ledang. Dalam perjalanan tersebut mereka tersesat dan terjumpa sebuah rumah tumpangan. Di rumah tumpangan tersebutlah berlaku segala-galanya cerita berkaitan hantu.

Ditanya kepadanya mengapa perlu dibawa dua pelakon seberang, kata Majed: “Ini antara strategi pemasaran kami, kerana kami mahu memasarkan filem tersebut di sana. Jadi kita perlu menampilkan artis dari sana.”

Tambahnya, mungkin juga vokalis kumpulan Peterpan, Ariel akan diundang sebagai pelakon undangan.

Filem dengan kos RM1.5 juta itu telah memulakan penggambarannya pada 2 Disember lalu.

Powered by Utusan Malaysia

Tidak Pernah Ku Sesali Drama Baru Di RTM1

28 Sep

Kisah pergolakan keluarga dan perebutan harta menjadi taruhan terbaru Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk para penonton RTM1 kali ini. Bermula hari ini, sebuah drama bersiri Tidak Pernah Ku Sesali menyerikan slot Sutera, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menggantikan drama Bicara Aur Dengan Tebing yang tamat siarannya semalam.

Konflik keluarga Datuk Mahmud dan Datin Sharifah memuncak sekembalinya anak lelaki sulung mereka, Prof. Helmi dan isterinya, Hanim yang dinikahi di Amerika. Ini kerana kepulangan Prof. Helmi tidak disenangi adik-adiknya terutama Asmadi dan Rahimi kerana Prof. Helmi dilantik oleh ayah mereka untuk mengambil alih perniagaan keluarga. Malah Junaidah dan Anita, kedua-dua menantu Datuk Mahmud dan Datin Sharifah cemburukan Hanim yang ternyata lebih disayangi oleh mertuanya kerana dia berkeperibadian mulia.

Prof. Helmi bukannya mahu membolot kekayaan ayahnya sebaliknya dia mahukan adik-beradiknya bekerjasama memajukan syarikat, hasil titik peluh ayah mereka selama ini. Namun, Prof. Helmi kecewa apabila mendapati banyak penyelewengan berlaku ketika syarikat diurus oleh Asmadi dan Rahimi ketika ayah mereka sakit akibat serangan jantung. Hanya Asraf, adiknya yang seorang lagi sahaja yang boleh diharapkan yang selama ini menegur tindak tanduk tidak betul Rahimi dan Asmadi. Namun, Asraf lebih berminat mengendalikan perniagaan sendiri dalam industri pertanian.

Saman

Paling mengecewakan Prof. Helmi apabila syarikat menerima surat saman daripada pelanggan kerana kegagalan syarikat perkapalan Datuk Mahmud menepati jadual membawa barang masuk ke Malaysia seperti dijadualkan. Prof. Helmi meminta bantuan Rahimi dan Asmadi untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka mengambil sikap sambil lewa.

Keengganan mereka melakukan penyiasatan kerana mereka sebenarnya berkomplot dengan pelanggan tersebut menaikkan tuntutan saman daripada RM3 juta kepada RM5 juta di mana mereka berdua akan mengambil RM1 juta seorang. Prof. Helmi tidak membuat laporan polis memandangkan mereka adalah darah daging sendiri dan meminta mereka memulangkan wang tersebut kepada syarikat. Tetapi, masing-masing sudah membelanjakan wang tersebut.

Sementara itu, Datuk Mahmud membuat kejutan untuk membahagikan harta dan saham syarikat kepada anak-anak dan menantunya. Anita, Junaidah dan anak perempuan Datuk Mahmud, Malina mempersoalkan saham Hanim yang lebih.

Anita juga menyebarkan cerita bahawa Prof. Helmi dan Hanim akan bercerai kerana kononnya Prof. Helmi menghadapi masalah kelelakian. Untuk menutup mulut daripada perkara itu sampai ke pengetahuan Datuk Mahmud, Anita meminta Prof. Helmi sebanyak RM3 juta. Ugutan Anita itu gagal kerana Datuk Mahmud sudah mengetahui perkara itu.

Dalam pada itu, Prof. Helmi dan Hanim terpaksa membuka cerita sebenar bahawa mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri akibat kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kereta mereka terhumban ke dalam sungai di Amerika. Prof. Helmi dan Hanim sebenarnya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Prof. Helmi berkahwin dengan Khalidah dan Hanim dengan Dr. Farid dan pasangan mereka hilang tanpa dapat dikesan pada hari kemalangan itu. Prof. Helmi meminta Hanim menjadi isterinya untuk memenuhi harapan keluarga melihatnya pulang membawa isteri.

Apakah yang bakal berlaku kepada hubungan Prof. Helmi dan Hanim apabila Dr. Farid dan Khalidah yang disangka mati selama ini muncul kembali menagih cinta? Pastikan anda menonton Tidak Pernah Ku Sesali, drama bersiri sebanyak 30 episod yang penuh dengan konflik, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi di RTM1 bermula 28 September ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Faisal Ishak dan dibintangi oleh Arni Nazira (Hanim), Fauziah Nawi (nenek), Khairil Anuar (Datuk Mahmud), Khaty Azean (Datin Sharifah), Amyza Adnan (Anita), Watie Elite (Junaidah), Zed Zaidi (Asmadi), Zarina Zainuddin (Rita), Ashraf Sinclair (Dr. Farid) dan Zaefrul Nadzarine Nordin (Prof. Helmi).

Powered by Utusan Malaysia