Archive | Robert De Niro RSS feed for this section

Pujian Rosyam Lambung Aaron

28 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


WAJAH dan penampilan pelakon lelaki sejati yang memiliki pakej lengkap untuk bergelar hero Melayu.

BUKAN menjadi perkara biasa apabila aktor terkenal, Rosyam Nor memuji lelaki sejati yang kacak. Lucu dan kedengaran abnormal barangkali apabila Rosyam ‘memuja’ seseorang yang sama jantina dengan dirinya. Individu bertuah yang dimaksudkan Rosyam ialah Aaron Aziz.

Kenyataan itu diluahkan sendiri oleh Rosyam semasa berucap bagi melancarkan drama bersiri terbaru produksi miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., iaitu Rahsia Hati di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Hulu Klang Selasa lalu.

“Aaron bakal menjadi pelakon lelaki pelapis yang berjaya suatu hari nanti di negara ini,” demikian ulas Rosyam hingga membuatkan Aaron yang berada di hadapannya bertukar wajah, menjadi malu dan terkesima.

Aaron yang ditemui pada majlis sama bagaimanapun cukup terharu dengan pujian tinggi melangit daripada Rosyam, yang merupakan senior dalam gelanggang seni lakon tanah air.

“Saya terkejut apabila Rosyam memberitahu tentang perkara ini di depan hadirin semasa berucap dalam majlis ini.

“Secara tiba-tiba, saya terus rasa macam satu tanggungjawab yang amat berat untuk saya pikul selepas ini,” ringkas sahaja jawab Aaron yang masih terpinga-pinga dengan kenyataan Rosyam.

Dalam pada itu, Rosyam turut menamakan beberapa pelakon yang dianggapnya boleh terus mencipta kejayaan sebagai pelakon lelaki sejati.

Tiga pelakon terbabit ialah Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak. Pelakon-pelakon itu benar-benar mempunyai kualiti sebagai hero Melayu ditambah dengan kejantanan mereka yang terserlah.


AARON dan Rosyam (tiga dari kanan) bersama karyawan telefilem, Rahsia Hati.

MESRA di samping isteri, Diyana Halik.

Menganggap pujian yang diberikan sebagai berita menggembirakan untuk dirinya, namun Aaron tidak sesekali terbuai dengan pujian yang dilayangkan kepadanya. Itu tekad Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz. Serius kata-katanya.

“Ia menggalakkan saya untuk bekerja lebih kuat dan melakukan yang terbaik pada setiap masa dan keadaan.

“Lantaran itu, saya berikrar untuk tidak mengecewakan harapan Rosyam yang menaruh sepenuh kepercayaan terhadap saya.

“Insya-Allah, jika semua perjalanan seni saya berjalan dengan baik dan bebas daripada sebarang kontroversi, saya rasa tidak mustahil untuk saya mencapai kejayaan kelak,” azam bapa kepada dua orang cahaya mata itu cuba meyakinkan diri.

Jauhi kontroversi memualkan

Ditanya bagaimana jejaka yang berusia 33 tahun itu mampu bertahan dalam dunia seni yang penuh gelora, tanpa menghadapi cerita-cerita sensasi, lekas sahaja balas Aaron.

“Saya tetap dengan cara sendiri dalam melayari karier seni bermula daripada dulu hingga sekarang.

“Saya ada isteri dan anak-anak. Setiap perkara yang ingin saya lakukan terlebih dahulu, saya akan terus fikir dan teringat kepada mereka yang berada di rumah.

“Faktor inilah yang menjauhkan saya daripada terlibat dengan situasi yang meletakkan saya dalam kontroversi,” terang suami kepada Diyana Halik serta bapa kepada Danish Anaqi, 5 dan Dwi Ariana, 3.


AARON memberikan impak lakonan yang tiadatandingannya dalam telefilem, Rahsia Hati.

Lantaran itu, setiap pelawaan lakonan sama ada yang menawarkan bajet tinggi mahupun rendah, tetap diterima oleh Aaron dengan hati terbuka. Alasannya, dia mempunyai perbelanjaan yang harus dilunaskan setiap bulan.

“Banyak bil yang saya kena bayar di Malaysia dan Singapura.

“Oleh itu, saya harus bekerja lebih kuat untuk menyara keluarga,” tambahnya yang dilantik menjadi duta produk kecantikan untuk lelaki oleh L’oreal Paris.

Dalam keadaan bintang Aaron yang semakin bersinar cerah di Malaysia, ia pantas membuatkan teman-teman pelakon di negara kelahirannya punya keinginan untuk mencuba nasib di negara ini.

“Mereka cakap saya sudah terkenal di sini dan ada di antara mereka yang mahu berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan sayap lakonan.

“Saya menyokong niat murni mereka, cuma saya sempat memberikan nasihat agar mereka harus ada niat yang positif terlebih dahulu sebelum memulakan satu-satu perkara.

“Kalau setakat mahu glamor dan meraih kemewahan, maka lebih baik mereka lupakan sahaja angan-angan ini. Ia tidak akan tercapai dengan mudah.

“Saya datang ke sini dengan tujuan untuk memperbaiki mutu lakonan. Popular dan kemasyhuran bukan menjadi agenda utama kepada saya.

“Hakikatnya, saya mahu memberikan kesenangan kepada isteri dan anak-anak saya kerana bidang lakonan merupakan periuk nasi saya,” jawab Aaron yang masih belajar untuk bercakap tanpa ada kedengaran telor bahasa Singapura.

Enggan berlakon teater

Bagi sesetengah pelakon yang bermula di tabir drama atau filem, mereka ada keinginan untuk melibatkan diri pula di pentas teater.

Lain pula hal dengan Aaron yang mengakui belum ada suara hati untuk berlakon dengan produksi teater.

Bukan sombong atau memilih, sebaliknya jiwa Aaron tidak bersesuaian dengan dunia teater yang sifatnya berbeza dengan lakonan dalam drama atau filem.

“Biasanya latihan untuk menjayakan teater mengambil masa yang panjang dan tidak menentu. Terus-terang, saya hanya mampu berikan 10 peratus untuk komitmen latihan yang harus dijalani oleh semua pelakon.

“Saya jenis pelakon yang akan terus menzahirkan perasaan dan watak yang diberikan apabila kamera dipacakkan di lokasi penggambaran.

“Bukan bermakna saya tidak berdisiplin, sebaliknya jika pengarah mula merakamkan babak yang diingini, saya akan berikan seratus-peratus komitmen.

“Saya jenis individu yang tidak suka berlatih secara berulang-ulang kali. Saya lebih suka meluahkan jiwa untuk babak yang sebenar.

“Biarpun begitu, saya tidak boleh cakap sesuka hati kerana mana tahu, mungkin suatu hari nanti saya tergerak hati pula untuk membabitkan diri dalam dunia teater,” sahut Aaron serius.

Sambung kontrak dengan Astro

Bulan Mac lalu, kontrak Aaron sebagai artis residen atau wajah eksklusif di saluran TV berbayar, Astro sudah tamat. Dia mengikat kontrak selama setahun dengan aktres jelita, Erra Fazira.

Tuah nampaknya terus menyebelahi Aaron apabila dia ‘dicintai’ sepenuh hati oleh pihak Astro yang menyambung semula kontraknya hingga tahun depan.

Tersenyum dalam riak penuh kesyukuran. Itu yang dapat diperhatikan apabila perkara tentang penyambungan kontrak dibicarakan kepada Aaron.

Menurutnya, dia bersyukur apabila perjanjian yang memperuntukkan dirinya untuk menghabiskan masa selama 72 jam untuk drama manakala tiga buah telefilem, berjaya disudahkan dengan jayanya.

“Tahun lalu sahaja, saya menghabiskan masa selama sembilan bulan di lokasi penggambaran untuk drama Cinta Gila dan Rahsia Hati.

“Saya risau juga sebab tidak muncul di kaca TV dalam waktu yang panjang, tetapi saya tetap bersyukur kerana dapat menghabiskan tempoh 72 jam untuk drama.

“Saya rasa berbaloi dapat mengikat kontrak dengan Astro. Kini jadual saya lebih bersistematik. Saya tidak perlu lagi lari ke sana ke mari seperti sebelum ini.

“Secara tidak langsung, saya dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap karier lakonan drama atau filem,” akui Aaron gembira.

Dalam pada itu, Aaron sempat meluahkan impiannya untuk berlakon dalam karya yang cukup dinanti-nantikan selama ini.

“Saya tidak kisah ditawarkan watak gelap, tetapi saya tetap mahukan watak yang menyerupai diri sebenar seseorang individu.

“Contohnya watak Robert De Niro sebagai Al Capone. Ia lebih terarah kepada karya berbentuk autobiografi.

“Sudah sekian lama saya inginkan watak sebagai tokoh-tokoh terkenal dan tertentu,” akhiri Aaron yang sedikit terkilan kerana wajahnya dilihat tuan pengarah tidak ‘menyerupai’ rupa orang kampung dan purba sekali gus menjadi halangan untuk Aaron mencipta variasi dalam dunia lakonan.

Kosmo

Advertisements