Oleh HARYATI KARIM haryati.karim@kosmo.com.my
MENYAMBUT usia 24 tahun, pelakon Fasha Sanda secara berterus terang menyatakan kesediaan bergelar isteri orang.
Kata pelakon jelita ini, sudah sampai masanya untuk dia bergelar isteri dan ibu kepada anak-anak yang comel.
Malah dalam benaknya juga Fasha merasakan mampu untuk memikul segala tanggungjawab itu jika jodohnya sudah sampai di depan mata.
ΐIya, saya sudah bersedia untuk itu, demikian yang ditegaskan oleh pelakon jelita yang baru saja menyambut ulang tahun ke-24, Jumaat lalu.
Seperti banyak wanita lain di luar sana, usia yang semakin menginjak mengingatkan Fasha betapa ruginya melalui episod kehidupan sebagai wanita yang belum mempunyai keluarga sendiri.
ΐBiasalah usia begini kita akan ingat soal tanggungjawab dan perkahwinan. Memang saya sudah bersedia untuk bergelar isteri orang, cuma calonnya saja yang belum jumpa lagi, kata Fasha sambil ketawa besar.
Meskipun calon untuk mendampingi dirinya belum ketemu, bukan sesuatu yang salah untuk Fasha bercakap soal perkahwinan.
Malah dia mempunyai impian dan cita-cita tersendiri bila berbicara tentang hal yang satu itu.
Soal itu di kongsi Fasha kepada Kosmo! dan sejujurnya kata pelakon ini, dia selalu mempunyai angan-angan untuk menjadi ibu muda yang berjaya dalam hidup dan karier.
ΐSaya ambil contoh seperti Sofia Jane. Dia ibu muda yang cantik, berjaya dalam karier dan keluarganya juga bahagia.
ΐItulah juga yang jadi idaman saya, Insya-Allah, katanya yang merancang untuk menamatkan zaman solo sebelum usia 30 tahun.
Majlis hari jadi yang ditaja
Bagai berada dalam filem Bollywood, itulah yang dapat diperkatakan apabila hadir ke majlis ulang tahun Fasha Sandha tanggal 28 Mac lalu.
MAJLIS sambutan ulang tahun ke-24, Fasha bersedia menemui cinta baru.
Tema hijau putih menguasai Grand Ballroom, Hotel Concorde Kuala Lumpur dan Fasha kelihatan ayu dalam persalinan persis puteri dari India.
Katanya inginkan kelainan dalam majlis ulang tahunnya kali ini, tema ala-ala Bollywood menjadi pilihan dia dan tetamu yang hadir.
Majlis yang di rancang sejak sebulan yang lalu telah diuruskan oleh pihak pengurusannya dan keluarga Fasha sendiri. Ia nampaknya membuahkan hasil apabila majlis tersebut berlangsung dengan begitu meriah sekali.
Sambutan ulang tahun ini diadakan bukan sahaja untuk menyambut hari lahirnya tetapi juga untuk mengumpulkan kaum keluarga yang jarang berjumpa terutamanya dari Perlis serta peminat yang tidak berhenti menyokong perjalanan kariernya.
ΐKesibukan membataskan waktu saya untuk bersama dengan keluarga. Jadi dengan cara ini kami semua dapat berkumpul bersama, malah peminat dan rakan artis juga berkumpul bersama. Saya ingin berkongsi kegembiraan bersama semua orang, ujarnya.
Belum sempat bertanyakan soalan, Fasha bagaikan mengerti lalu memberitahu majlis ini bukanlah atas ihsan ataupun tajaan pihak-pihak tertentu.
Semuanya diuruskan serta dibiayai sendiri keluarga dan pihak pengurusan Fasha buat dirinya.
IBUNYA, Hatijah (enam dari kiri) dan ahli keluarga lain sentiasa memahami dan menjadi pengkritik setia Fasha.
Dalam majlis itu, seluruh keluarganya termasuk Fasha serta rakan-rakan artis turut mempersembahkan tarian sambil diiringi lagu daripada filem Bollywood.
Lucu juga melihat gelagat mereka di atas pentas.
Acara ini juga secara tidak langsung menolak desas desus kurang elok mengenai Fasha dan ahli keluarganya.
Orang cemburukan anak saya – ibu
Menariknya, sambutan ulang tahun ke-24 tahun ini juga menjadi medan yang amat jelas menunjukkan keakraban keluarga pelakon popular ini, tidak seperti gosip yang pernah dikhabar sedikit masa dulu di mana Fasha sudah besar kepala dan tidak mendengar kata keluarganya lagi.
ΐSebagai ibu saya lebih memahami anak saya daripada orang lain. Memanglah ada kalanya gosip yang tidak benar itu akan membuatkan saya dan dia sedih tetapi kami sekeluarga lebih tahu kebenarannya. Jadi kami tidak kisah apa yang orang nak perkatakan tentang anak saya.
ΐMungkin sebab dia popular, ramai orang yang cemburukan Fasha, sebab itu timbul cerita-cerita yang kurang enak. Mereka seperti mahu menjatuhkan anak saya, jelas ibu Fasha, Hatijah Teh Mah.
Ibunya yang berusia 45 tahun ini turut menggambarkan anak gadis kesayangannya ini seorang yang amat mementingkan keluarga.
Tentunya sebagai ibu yang mengandung dan melahirkan si jelita ini, Hatijah merasakan segala jerih perihnya selama ini berbayar sudah dengan kejayaan Fasha dalam bidang seni.
ΐDia seorang yang bertanggungjawab dan dia juga anak yang baik, sentiasa utamakan keluarga. Apa-apa hal dia akan dahulukan keluarga. Keluar cerita kurang elok tentang dia pun, kami akan diberitahu dulu. Itu sudah cukup untuk kami menyokongnya, kata Hatijah lagi.
Ditanya apakah hadiah yang diberikan kepada Fasha, ibunya menjawab: ΐSaya tidaklah beli hadiah yang mahal tetapi ia sungguh istimewa untuknya. Apa yang penting kasih sayang kami anak-beranak, jelasnya.
Elak gosip dan kontroversi?
Usia 24 tahun, barangkali Fasha akan tampil lebih matang.
Bukan saja daripada segi usia, tetapi dalam segala tindak dan fikirnya juga. Apakah Fasha punya azam baru untuk menggelakkan diri daripada sebarang kontroversi?
Bagaikan badi yang tidak habis-habis melekat, Fasha banyak diduga dengan kes-kes yang negatif sepanjang tahun 2007 dan awal 2008 ini.
Seiring dengan populariti yang makin memuncak, demikian juga ujian yang terpaksa di terima olehnya. Sementelah dirinya boleh digolongkan dalam kategori artis yang tidak pernah suram dengan kontroversi, Fasha enggan mengulas tentang hal berkenaan.
ΐMaaf, saya tak mahu ulas mengenai isu-isu kontroversi yang kurang membina lagi. Biarlah semua itu berlalu, lagipun saya sudah berusia 24 tahun, saya lebih matang dan gembira dengan hidup sekarang.
ΐSaya tidak pernah kesal akan gosip yang melanda saya. Saya sedar selagi duduk dalam bidang seni, selagi itulah gosip akan terus ada. Jadi saya hanya bersedia dan cuba bertahan selagi termampu, ujarnya dengan penuh nekad.
KAWAN-KAWAN artis turut meraikan hari penting Fasha Sanda.
Fasha juga sempat bercerita mengenai azam peribadinya seiring dengan penambahan usianya itu. Sudah tentu yang diinginkan kejayaan lebih besar dan sukses yang berpanjangan buat dirinya dan keluarga.
ΐKalau boleh saya mahu lebih berjaya dalam karier, dan ingin menjadi lebih baik dalam apa jua yang saya lakukan. katanya.
Powered by Kosmo