Archive | Farah Dhiya RSS feed for this section

Buah Hati Baru Hattan?

22 Aug

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


JIWA rock dan kehidupan sosial bergelar artis tidak menjadi alasan buat Hattan menyahut seruan mengerjakan haji ketika tubuhnya masih berkudrat.

DUDA popular bernama Hattan ini tidak mampu mengelak apabila tampil bersama seorang gadis tinggi lampai pada majlis kesyukuran dan doa selamat penggambaran telemovie terbaru lakonannya, Hanya Aku di Rumah Pengasih, baru-baru ini.

Lirik matanya nakal saat dikerling para wartawan. Yang nyata, lelaki berusia 43 tahun ini arif benar dengan mata-mata yang memerhatikannya, terutama tatkala ada wanita cantik menemaninya ketika berpergian.

Sebelum bersama gadis yang dikatakan berasal dari daerah kelahirannya ini, Hattan pernah dikaitkan dengan beberapa nama popular seperti Farah Dhiya, Kat Mentor dan Siti Elizad.

Mengenali Hattan, dia bukan jenis yang gemar memberi jawapan no comment. Dengan selamba gadis yang tampil ayu berkebaya dan berkain batik ini diperkenalkannya sebagai Wawa.

“Kalau dalam ayat yang klise, kami sedang mengenali hati-budi masing,” beritahu penyanyi judul Memburu Rindu ini berseloroh.

Seperti biasa, dia tidak mahu terburu-buru bercerita lebih jauh atau apa sahaja berhubung soal hati dan perasaan. Kata Hattan, cukuplah sekadar dia bersikap terbuka dan mengakui bahawa gadis berusia 25 tahun yang baru dikenali sejak beberapa bulan itu sedang bertakhta sebagai ‘kawan’ di hatinya.

“Saya nak kenal dia lebih dalam lagi, sebab itulah saya ikhlas bawa dia bersama. Saja nak kenalkan dia dengan apa yang saya buat sekarang, tentang Rumah Pengasih, kami berkawan-kawan jelah bukannya bercinta-cinta,” ujar Hattan bertegas.

Sepanjang perbualan, anak lelakinya, Adam Iman tidak mahu berganjak dan sesekali mencelah tidak selesa ayahnya berkali-kali diasak persoalan yang serupa berulang-kali.

Faham benar keletah anak tunggalnya itu, Hattan menjelaskan, Wawa seorang gadis berpendidikan dan jika hubungan mereka bisa berpanjangan, Wawa boleh membantunya merealisasikan impian untuk membuka sebuah taska, satu hari kelak.

Tentang hubungan ini, tidak banyak yang boleh dikongsi bersama kerana apa yang bermula masih lagi terlalu awal untuk direncanakan.

Bakal bergelar Haji

Di sebalik kisah terbaru ini, Hattan sebenarnya ada perkhabaran manis yang pastinya menggembirakan semua.

Jika diizinkan Tuhan, hajat besar Hattan mahu mengerjakan haji ke Tanah Suci Mekah akan termakbul hujung tahun nanti.

“Buat masa ini saya masih menunggu jawapan rasmi. Saya difahamkan keputusan kuota haji akan dikeluarkan pihak Tabung Haji sekitar minggu ini atau minggu depan.

“Insya-Allah, kalau segala-galanya berjalan lancar, saya dan Adam akan berangkat ke Mekah pada 29 November nanti,” luah Hattan yang sebelum ini pernah sekali menunaikan umrah juga bersama anaknya, Adam sekitar pertengahan tahun, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai lakonannya sebagai Jamil menerusi telemovie Hanya Aku yang turut dibintangi oleh Que Haidar dan Sheila Rusly itu, Hattan mengakui, walaupun lakonan bukan fokus seninya, inilah kali pertama dia menikmati istilah puas terhadap apa yang telah dilakukan menerusi drama itu.

Jelas Hattan, sebelum ini perasaan yang sama pernah dirasainya menerusi filem Selubung, berbelas tahun lalu.

“Karakter Jamil beri banyak ruang untuk saya luahkan emosi yang selama ini tak ada dalam watak-watak yang pernah saya jayakan.

“Terus-terang saya katakan, saya terima tawaran berlakon drama ini bukan kerana duit tetapi kerana watak yang ditawarkan. Bekerja dengan JS Pictures juga satu pengalaman yang seronok dan saya sukakan cara mereka bekerja,” beritahu Hattan memuji produksi milik Azman Yahya atau Jinggo dan isterinya, Sheila Rusly.

Hanya Aku sebuah drama yang mengisahkan kehidupan para penagih yang tinggal di Rumah Pengasih meletakkan Hattan sebagai Jamil, penagih dadah yang sudah beristeri, lakonan Wan Norazlin.


ANAK dan wanita sememangnya dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam diari peribadi Hattan.

Sambil mengagumi keberkesanan lakonan Wan Norazlin yang lama menyepi dari bidang lakonan, Hattan menyifatkan keterlibatannya menerusi drama ini sebagai satu sumbangan totalnya terhadap masyarakat dalam usaha memerangi dadah secara habis-habisan.

“Kalau tak banyakpun, saya harap penonton akan dapat iktibar menerusi lakonan kami semua,” beritahu Hattan yang sebenarnya tidak sabar menanti kemunculan Hanya Aku yang dijadualkan ke udara di saluran Astro menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Kosmo

Advertisements

Norman Hakim – Abby Abadi Semoga Kasih Bertaut Kembali

14 May

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Belum pun reda krisis perceraian penyanyi Noraniza Idris dan Fareez, dunia hiburan dikejutkan pula dengan berita perceraian pasangan artis Norman Hakim Zaidon, 30, dan Abby Abadi Abd. Manan, 27.

Semua orang terkejut dan tidak menyangka mahligai bahagia yang dibina pasangan itu sejak empat tahun itu bergelora juga. Ini kerana selama ini mereka dilihat sebagai pasangan bahagia dan tidak ada desas-desus tentang rumah tangga mereka.

Norman dikatakan melafazkan talak satu terhadap Abby Abadi sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri Gerak Khas pada 5 Mei lalu. Lafaz itu dibuat Norman dalam keadaan yang cukup berat selepas krisis rumah tangga mereka gagal ditangani dan semakin meruncing.

Perpisahan itu dipercayai berpunca selepas Abby dikatakan terbaca SMS kiriman seorang penyanyi baru, Farah Dhiya Mohamed, 28, yang dihantar kepada Norman.

Bagaimanapun Norman membayangkan hubungannya dengan Abby dapat disambung semula kerana dia masih lagi menyayangi Abby. Sebab itulah Norman pengsan selepas melafazkan talak itu.

Cuma pada masa ini mereka membuat keputusan untuk tinggal berasingan bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai satu kata putus terhadap apa juga keputusan yang bakal diambil.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata, Mohd. Danish Hakim, 3, dan Marisa Dania Hakim yang berusia 10 bulan.

Saya masih mengingati detik pertemuan pertama sebelum terjalinnya bibit cinta pasangan itu sehingga membawa mereka ke jenjang pelamin.

Pertemuan pertama mereka ketika saya mengadakan sesi fotografi untuk keluaran khas hari raya dengan majalah Mangga pada tahun 2001.

Ketika itu saya memberitahu Abby untuk menggandingkannya dengan Norman dan meminta beliau datang ke rumah pelakon kacak itu di Taman Putra Sulaiman, Ampang bagi menjayakan sesi fotografi tersebut.

Kemesraan mereka dapat dilihat apabila jurufoto Rashid Mahfof pada waktu itu meminta mereka memberi aksi yang menarik. Selepas sesi fotografi itu tamat, saya menerima panggilan telefon daripada Abby yang bertanyakan mengenai Norman.

“Norman Hakim tu okey ke tak? Dia sudah ada makwe ke?” tanya Abby kepada saya waktu itu.

Peristiwa itu menyebabkan saya merasakan Abby mungkin mempunyai perasaan untuk mengenali Norman dengan lebih mendalam. Tekaan itu benar apabila beberapa bulan selepas itu mereka mengesahkan bercinta.

Norman pula pada waktu dilanda kekecewaan dalam hidup selepas dikatakan putus cinta dengan pelakon Erra Fazira. Detik hangat hubungan Norman dengan Abby semakin diperkatakan apabila Norman mengambil keputusan membawa Abby pulang ke Kuantan, Pahang untuk diperkenalkan dengan ahli keluarganya.

“Ahli keluarga saya merestui hubungan saya dengan Abby,” pengakuan Norman ketika sedang hangat bercinta dengan bekas anggota kumpulan Elite itu kepada saya lima tahun lalu.

Selepas detik itu, mereka membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 8 Januari 2002.

Majlis pertunangan diadakan di rumah keluarga Abby di AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 petang. Bagaimanapun berlaku kontroversi apabila pasangan itu cuba menyembunyikan perkahwinan mereka daripada pengetahuan media yang dilangsungkan tujuh jam selepas majlis pertunangan itu.

Norman dan Abby dinikahkan di rumah salah seorang ahli keluarga mereka di Bukit Persekutuan Bangsar.

Pada malam pernikahan itu, saya bersama teman wartawan Kumpulan Utusan – Saharudin Mustafha, Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Rosli Manah cuba menghidu majlis pernikahan itu dengan mengunjungi semula rumah keluarga Abby tetapi gagal.

Akibat tindakan itu, kedua-dua mereka telah dikecam dengan hebat kerana bertindak menyembunyikan perkara yang baik.

Berikutan itu, Norman dan Abby membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap wartawan dan semua peminatnya dengan alasan majlis itu dibuat secara tergesa-gesa.

Majlis persandingan mereka diadakan secara besar-besaran di Dewan Perdana Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2002.

Masalah rumah tangga yang dihadapi Norman dan Abby sebenarnya masih baru dan berjaya disembunyi dengan baik.

Apatah lagi Abby baru sahaja melahirkan anak kedua mereka, Marissa Dania Hakim di dalam kereta ketika dibawa ke klinik bersalin di Taman Melawati.

Perjalanan kisah hidup pasangan itu ketika zaman percintaan sehinggalah pada hari pertunangan, pernikahan dan alam rumah tangga penuh dengan kontroversi.

Namun, masih mempunyai ruang untuk mereka rujuk kembali sekiranya ada jalan untuk menjernihkan masalah yang berlaku demi anak-anak tercinta.

Semoga Abby dan Norman tabah mengharungi dugaan yang dihadapi dan membuat keputusan terbaik untuk kepentingan hidup masing-masing.

Sekiranya kehidupan suami-isteri itu di sambung, janganlah diulangi peristiwa itu lagi.

Saya teringat kata-kata hikmat Allahyarham Hamka, “Perkahwinan itu mempertemukan dua jiwa dengan seribu perbezaan.” Harap kedua-dua mereka realistik tentang hakikat jiwa insan yang ada cemburu dan sayang sekali gus.

Utusan Malaysia