Archive | Siti Nordiana RSS feed for this section

“Tragedi Cinta Bukan Kisah Kami”

12 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


ACHIK dan Nana kembali berduet dalam Tragedi Cinta.

Achik, Nana berduet atas permintaan peminat

MASING-masing kini sudah berkeluarga dan mempunyai fokus di dalam hidup biarpun umum sedia maklum Siti Nordiana (Nana), 24, dan Achik, 26, pernah menjalinkan hubungan cinta. Yang jelas, kisah percintaan mereka pernah dibukukan beberapa tahun lalu, namun jodoh kini memisahkan mereka dengan pilihan masing-masing.

Biarpun pernah mengalami fasa kehilangan besar anak pertama, Allahyarham Putri Rania, Achik kini semakin bahagia bersama isterinya HM Rosezaitul Suriani (Tasha) dengan kehadiran anak kedua mereka bernama Putri Nursafiyya berusia 10 bulan. Demikian juga Nana dan suami, Faizal Yusof yang dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie berumur tujuh bulan.

Mengakui zaman kegemilangan mereka tidak lagi semeriah seperti dulu, sebelum membuat keputusan berumah tangga, Achik dan Nana pernah dianggap antara pasangan duet yang menjadi kegilaan ramai. Lagu Paling Comel menjadi penanda aras betapa hebat dan sukses penerimaan peminat terhadap mereka. Lagu itu dipetik daripada album Istimewa Untukmu pada 2003. Kemudian pada 2005, mereka berduet sekali lagi dalam album tradisional, Benang Emas.

Atas permintaan yang masih ada, tiada masalah untuk duo kelahiran Negeri Sembilan ini bekerjasama dalam album duet seterusnya. Terbaru mereka kembali berduet mendendangkan lagu bonus berjudul Tragedi Cinta yang dimuatkan dalam album Terbaik Eddie Hamid, Rindu…Nya sejak Oktober lalu.

Menganggap strategi duet mereka masih lagi relevan, syarikat rakaman FMC Music tidak mahu ketinggalan untuk terus mengangkat nama Achik dan Nana buat ke sekian kalinya. Menurut Nana yang sudah sembilan tahun berada di persada seni, dia dan Achik masih mempunyai peminat yang tersendiri. Bagi Nana, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Achik kerana ia berbalik kepada soal profesionalisme.

“Lagu Tragedi Cinta itu sememangnya tiada kaitan dengan kisah kami dulu. Setahu Nana, lagu itu berkait rapat dengan komposer Eddie Hamid sendiri. Selepas lagu single ini, kami sedang merancang untuk menghasilkan album duet penuh pula. Nana yakin kolaborasi kami masih relevan kerana kelompok peminat kami masih ada terutamanya di kawasan luar bandar termasuk di Sabah, Sarawak dan juga Singapura.

“Soal kahwin atau tidak, ia bersifat subjektif. Kalau dulu mungkin kami berpeluang berada di kulit depan majalah tapi kini wajah baru yang menjadi pilihan. Ia berlaku seperti putaran yang menjadi lumrah alam. Nana pun masih muda dan jauh lagi perjalanan ini. Kalau boleh, Nana nak bertahan lama di dalam industri kerana banyak perkara yang Nana ingin kecapi dan capai.

“Sejak dulu memang Nana dan Achik berkawan baik. Biarpun masing-masing sudah berkahwin, kami tetap kepala gila-gila dan Nana boleh serasi dengannya,” kata Nana yang sudah habis kontrak dengan FMC dan soal untuk menyambungnya atau tidak, masih dalam perbincangan.

Bersyukur mendapat suami yang memahami, Nana mengakui kehadiran Rayyan menjadi penyeri kehidupan rumah tangganya. Ditanya tidakkah dirinya berminat untuk kembali berlakon seperti dulu, Nana mempunyai alasan yang tersendiri.

“Alhamdulillah kehidupan kami sangat membahagiakan. Jika Faizal tidak ada penggambaran di Kuala Lumpur, dia akan balik ke Seremban. Sejak setahun lalu, Nana sudah tinggal di Seremban dengan keluarga, tambahan pula sejak melahirkan Rayyan, Nana memerlukan bantuan emak untuk menjaga anak. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, Nana akan membeli rumah di Kuala Lumpur.

“Setakat ini biarlah Nana memberi tumpuan kepada bidang nyanyian. Faizal pun tidak izinkan Nana berlakon sebab dia selalu pesan, kalau nak berlakon biarlah mempunyai asas yang kukuh dulu dalam hal itu,” kata Nana yang boleh dihubungi melalui e-mel sitinordianalias@yahoo.com.

Achik semakin ligat berniaga

BERSETUJU dengan pendapat Nana, Achik juga melihat duet mereka masih mendapat maklum balas positif. Ia diperoleh Achik menerusi e-mel dan laman web Friendster yang dilawati peminatnya yang masih berkehendakkan mereka untuk terus berduet. Seperti Nana, kehidupan peribadi Achik juga begitu indah dan kini Achik sudah menetap di Seremban.

“Sejak Mei lalu saya sudah habis kontrak dengan FMC bagaimanapun syarikat ini masih berhutang empat buah album dengan saya. Tak sangka juga kami masih ada peminat yang teringin untuk melihat kami terus berduet. Sekarang ini pun, kami tengah merancang untuk menghasilkan album duet dan Insya-Allah tahun depan, mungkin diikuti album penuh solo saya pula.

“Selain menyanyi, saya juga kini sudah membabitkan diri dengan perniagaan dan ia sebagai jaminan serta sandaran hidup pada masa mendatang. Saya kini mengendalikan dua syarikat iaitu Spirespin Industries Sdn Bhd (di Johor Bahru) dan Nak Enterprise (Seremban). Alhamdulillah perniagaan saya ini mendapat sambutan yang baik dan berkat menjadi artis, ia menjadi batu loncatan untuk saya mudah mendapat peluang mendapat kenalan bisnes dan pelanggan,” kata Achik serius.

Bercakap lanjut mengenai perniagaannya, Achik juga menanam hasrat untuk membantu orang dari segi perubatan dan kesihatan. Achik kini sedang mencari mana-mana pakar atau individu yang mampu merealisasikan hasratnya dengan menggunakan formula yang diusahakannya.

Melalui syarikatnya juga, Achik berniaga ubat darah tinggi, kencing manis dan kanser diberi nama Burak. Begitu juga di bawah label yang sama turut terdapat kopi dan teh pemberi tenaga.

“Saya juga menjual air RO (Reverse Osmosis atau Osmosis Songsang) yang diberi nama air Warisan Tradisional di Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, saya juga mengendalikan kerja pembinaan secara kecil-kecilan seperti membuat projek jalan dan longkang.

“Formula ubat herba ini dijamin 100 peratus dengan jaminan pulangan kewangan. Tidak semua ramuan ini boleh didapati di Malaysia, ada juga yang saya dapatkan di Hong Kong. Produk ini saya mahu realisasikan demi membantu secara percuma kepada mana-mana orang yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Mengenai kumpulan Spin yang pernah meledakkan namanya, Achik memberitahu kumpulan ini bakal membuat come back dengan mengekalkan anggota yang lama.

“Insya-Allah, selepas album duet selesai, saya akan mula memikirkan niat untuk memastikan kumpulan Spin kembali memeriahkan persada seni,” katanya yang pernah membikin empat album bersama Spin.

INFO: Nana dan Achik

Kedua-duanya berasal dari tempat yang sama, Felda Sendayan Negeri Sembilan.

Nana bergelar artis rakaman sejak berusia 15 tahun.

Achik menyerlah bersama kumpulan Spin mulai 1999 bersama album Roda Roda Rindu.

Nama sebenar Achik ialah Abdillah Murad Md Shari dan nama sebenar Nana ialah Siti Nordiana Mohd Alias,

Kisah percintaan dan suka duka mereka diabadikan dalam autobiografi Pelangi Jiwa yang pernah diterbitkan beberapa tahun lalu.

Lagu Paling Comel menaikkan nama dua penyanyi remaja ini.

Achik adalah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi Diari Romeo.

Nana pernah berlakon drama Helah, 3 Dara Pingitan dan Wad 04.

Berita Harian

Dengarnya… Nana, Achik Kembali Berduet

27 Aug

Oleh Normah Becok

DULU memang ramai orang tahu yang dua artis naungan FMC Music, Siti Nordiana (Nana) dan Achik Spin pernah bercinta, namun jodoh untuk mereka bersama tiada. Tapi Cik Normah tak naklah sebut barang yang lepas.

Yang berlalu tu biarlah terpahat dalam lipatan sejarah. Tambahan pula masing-masing sudah membina keluarga bahagia. Nana dah kahwin dengan pelakon Faizal Yusof, manakala Achik dengan isterinya, Tasha.

Nana dan Achik dilihat serasi hinggakan lagu duet mereka, Paling Comel menerusi album duet berjudul Istimewa Untukmu pada tahun 2003. Kemudian pada tahun 2005, mereka berduet sekali lagi dalam album tradisional, Benang Emas.

Sekali lagi pada tahun ini, mereka kembali berduet mendendangkan sebuah lagu bonus yang bakal dimuatkan dalam album Terbaik Eddie Hamid, Rindu…Nya, yang dijangka berada di pasaran menjelang raya nanti dalam bentuk kaset, cakera padat dan VCD karaoke edaran FMC. Lagu itu berjudul Tragedi Cinta dan dirakamkan pada tahun lalu. Cik Normah dapat tahu, lagu itu tak dinafikan memang ada kaitan dengan kisah mereka pada waktu dulu.

Sebelum menghasilkan album duet, Achik dan Nana pernah berduet dalam album Spin, antaranya lagu Gurauan Berkasih dan Memori Berkasih. Cakap fasal FMC, Cik Normah nak bagi tahu sekali lagi, album kumpulan Hujan hanya edaran saja. Maksud Cik Normah kumpulan Hujan disambar FMC hanya untuk tujuan pengedaran bukan menjadi artis naungan syarikat itu sekali gus.

Berita Harian

Kisah Dua Bapa Selebriti

10 Jun

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Apakah keterujaan dua bapa selebriti, Mohd Faisal Yusup dan Mohd Faizal Ismail, tatkala mengimbas kenangan kali pertama menjadi bapa?

“KALAU beginilah seronoknya bergelar suami, tamat sahaja persekolahan saya sudah ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Sukar gambarkan perasaan saya pada ketika ini, apatah lagi selepas dua bulan bergelar bapa. Ia suatu perasaan yang begitu menyeronokkan.

“Kehadiran Rayyan sememangnya memberikan kenangan manis dan sekali gus menyerikan rumah tangga saya dan isteri. Jika orang katakan kelahiran anak saya merupakan hadiah sempena hari bapa, tapi bagi saya dia adalah harta yang paling bernilai di dunia,” luah pelakon dan model iklan, Mohd Faisal Yusup, 30, sambil mengusap dan mencium pipi putera sulungnya.

Suami kepada penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali dengan panggilan Nana, 24, putera sulungnya yang diberi nama Muhammad Rayyan Nakhaie telah memberi sinar baru dalam kehidupannya kini. Sebaik dilahirkan pada 21 Mac 2008, Faisal terus mengendong erat Rayyan, lantas melaungkan azan di telinganya.

MOHD FAISAL mengakui kelahiran Muhammad Rayyan Nakhaie memberi makna yang cukup besar kepada dirinya.

Pada detik itulah, air mata kegembiraan Faisal tumpah. Pada masa yang sama wajah bapanya mula menerjah dalam kotak fikirannya.

“Setiap kali melihat wajah Rayyan, saya sentiasa memikirkan mampukah saya menjadi seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab seperti bapa saya. Kini saya mula mengerti inilah perasaan golongan bapa yang selalu berusaha dan sanggup melakukan apa sahaja, demi kebahagiaan anak-anak,” ujarnya yang sempat mengucapkan terima kasih dan Hari Bapa kepada bapanya, Mohd Yusup Abdul Rahman, 57.

Mengimbas kembali saat isterinya hamil, Faisal yang pernah membintangi drama Neon, Zarul vs Zarina, Surat untuk Bulan dan telenovela Manjalara, melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta tidak mengalami sebarang alahan yang teruk apatah lagi mengidamkan makanan yang pelik-pelik.

KELUARGA bahagia Mohd Faizal Ismail (kiri), Nurkhairina Iman dan isteri, Norazlina Ahmad Din.

Kebanyakan makanan yang diidamkan mudah untuk didapati dan disediakan. Tambahnya: “Pernah juga, selesai saja penggambaran, Nana menghubungi bahawa dia teringin benar mengunyah donat dan minta saya membelinya. Tapi, dia hanya mahukan donat J. Co di Pavilion.

“Maka, terpaksalah saya beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan donat. Tidak mengapa asalkan Nana gembira. Namun, saya rasa sedikit kecewa kerana tidak dapat membeli biskut kegemarannya, Famous Amous, pada waktu itu.

Bukan itu sahaja, Faisal memberitahu, ketika kandungan Nana berusia tiga bulan, dia turut mengalami masalah mengidam. Setiap hari dia ingin menikmati buah durian, sedangkan, Faisal bukanlah penggemar raja buah itu.

Sementelah wajah Nana disolek, Faisal yang mengambil tugas menjaga dan melayan Rayyan. Cukup terserlah ciri-ciri seorang bapa dalam dirinya. Tatkala bayi comel seberat 6.9 kilogram itu menangis, Faisal langsung tidak menunjukkan reaksi kelam kabut atau memerlukan bantuan Nana, sebaliknya dengan pantas memberikan anaknya susu.

Dia juga menukarkan lampin dan baju, sebelum mendodoikan Rayyan yang tertidur dalam kereta sorong. Jelas penggemar sukan takraw ini, dia tidak pernah mengalami sebarang kesukaran menjaga anaknya. Lagipun anaknya tidak banyak meragam dan menangis kecuali ketika lapar dan hendak tidur.

Faisal memberitahu, meskipun sibuk dengan penggambaran drama, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Ketika Nana sarat hamil, Faisal turut membantu menggemas rumah, menyapu sampah, memasak dan membeli keperluan bayi.

“Tapi, biasalah bab memilih pakaian dan perkakas bayi, si ibulah yang paling teruja. Nana banyak membeli pakaian bayi berona ceria seperti biru, putih dan kuning kerana ia sesuai digayakan oleh bayi lelaki. Namun begitu sewaktu sibuk membeli saya menyarankan supaya tidak membeli baju yang berjenama dan mahal harganya.

KELETIHAN Mohd Faizal Ismail bekerja seharian di konti hilang sebaik bertemu ‘buah hati’nya, Nurkhairina Iman.

“Ini kerana saiz badan bayi cepat membesar, membazir sahaja. Lagipun, tak nak biasakan Rayyan dengan pakaian yang mahal,” ujarnya yang lebih mementingkan soal kualiti dan keselesaan.

Sementara itu, penyampai radio Hot. FM, Mohd Faizal Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan FBI, 32, bersama puteri tunggalnya, turut berkongsi saat-saat manis dan pahit tatkala pertama kali bergelar bapa.

Pertemuan yang diaturkan di rumahnya di Bandar Sri Damansara, sentiasa riuh dengan gelak ketawa. Mengapa? Mengusik orang bukan sahaja ada pada diri FBI, malah isteri dan anaknya.

“Beginilah kehidupan saya sebagai seorang bapa dan suami. Meskipun penat dengan tugasan harian di konti radio mahupun pengacara, tapi penat itu akan hilang sebaik sahaja pulang ke rumah. Ini kerana saya akan digembirakan oleh anak saya, Nurkhairina Iman, 6 tahun.

“Saya dan isteri memanggilnya Kayna. Terus-terang saya katakan, Kayna adalah segala-galanya buat diri saya. Terlalu banyak perkara yang perlu saya tempuhi sebelum melihatnya lahir,” jelas FBI yang turut menjadi pengacara rancangan Muzik-Muzik di TV3.

Jelas Faizal, perasaannya bukan sekadar teruja malah diselubungi rasa gementar sebelum bergelar bapa. Sepanjang mengandungkan Kayna, isterinya, Norazlina Ahmad Din, 32, mengalami masalah alahan yang teruk, sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital sebanyak empat kali.

Lebih membimbangkan, saat Norazlina melahirkan Kayna. Doktor menyarankan Norazlina bersalin melalui pembedahan kerana tali pusat Kayna sudah terbelit di leher. Demi menyelamatkan dua nyawa, FBI akur dengan arahan doktor.

WALAUPUN pertama kali bergelar bapa, Faisal tidak kekok melayan kerenah anak sulungnya, Muhammad Rayyan Nakhaie.

“Masa mengisi borang untuk pembedahan, hanya Tuhan sahaja yang mengerti perasaan saya. Menggigil memegang pen. Saya turut berada di samping isteri di bilik pembedahan dan isteri juga dalam keadaan separuh sedar. Syukur, semuanya selamat.

“Perasaan gementar untuk bergelar bapa buat kali kedua, sekali lagi menerpa. Jika anak pertama kami, isteri terpaksa masuk wad sebanyak empat kali, tapi kali ini Norazlina terpaksa masuk sembilan kali untuk kelahiran yang kedua,” luah Faizal mengenai arwah anak lelakinya, Adam Haikal Iman yang hanya sempat bersama selama 12 hari sahaja.

Tambah Faizal, Adam bukan sahaja lahir tidak cukup bulan, malah berat badannya juga hanya 2.17 kilogram. Sekali lagi, FBI perlu mengisi borang pembedahan kerana bayi perlu dilahirkan lebih awal memandangkan isterinya mengalami hipertensi.

Pada hari kesembilan kelahiran Adam, bayi itu terpaksa dihantar ke hospital kerana mengalami demam kuning selama dua hari. Belum pun sempat menarik nafas lega, Faizal dikejutkan pula dengan berita yang anak lelakinya ada masalah ritma jantung laju.

“Takdir menentukan Adam meninggalkan kami pada 29 April 2008. Meskipun sedih dengan pemergian zuriat yang dinanti-nantikan selama lima tahun, saya dan isteri reda. Kehidupan perlu diteruskan,” jelas anak kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Kosmo

Faizal Botak Kerana Nana

22 Oct

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

MELIHAT pada penampilan Faizal Yusop yang berambut pendek (hampir botak) itu, pasti ramai yang sangka dia sedang berlakon drama bercorak kepolisian.

Sebenarnya Faizal membotakkan kepala bukan kerana kesinambungan watak tapi disebabkan nazar.

Kata Faizal, dia bernazar untuk membotakkan kepala jika isterinya, penyanyi Siti Nordiana atau Nana hamil. Kini Nana hamil hampir empat bulan.

“Saya pernah terfikir untuk membotakkan kepala jika Nana hamil. Jadi bila Nana sah hamil, saya pun tunaikan hajat itu sebab rasa gembira kerana kami bakal menimang cahaya mata,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa tidak lama dulu.

Faizal yang merupakan antara pelakon lelaki terlaris masa kini, baru sahaja selesai berlakon drama Tuhan Pun Tahu. Kini dia mendapat kepercayaan untuk memegang watak utama dalam drama Coklat.

Menerusi drama arahan Zulkifli M.Osman itu Faizal memegang watak Jufry yang menghidap HIV.

Katanya, untuk menjiwai watak tersebut dia banyak membuat kajian dan menonton filem.

“Saya terima tawaran untuk berlakon Coklat kerana saya tertarik dengan watak Jufry yang menghidap HIV. Saya harap drama ini dapat memberi persepsi baru kepada penonton kelak,” katanya penuh harapan.

Faizal yang berpasangan dengan Zarina AF2 itu berkata, dia lebih senang meneliti watak sebelum memberi kata putus untuk berlakon.

Pelakon itu juga berharap di masa akan datang berpeluang bergandingan dengan Noorkhiriah.

“Setiap kali berjumpa Noorkhiriah, saya mesti puji lakonan dia. Saya berkata yang benar. Disebabkan lakonannya itu, saya berharap dapat berlakon dengan dia,” jelas Faizal yang pernah muncul dalam filem Gong.

*Emleda Rosmila belum bersedia

Sementara Emelda Rosmila, 27, yang sering dipanggil Manja oleh peminat-peminat kerana wataknya dalam drama bersiri Manjalara itu berkata, dia belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Emleda yang sudah dua tahun mengenali pelakon Adlin Aman Ramlie dan menjalin hubungan cinta itu memberitahu sekarang ini tumpuan utamanya adalah karier.

“Saya sendiri tidak tahu dari mana pihak itu dapat sumber yang mengatakan saya akan berkahwin dalam waktu terdekat ini. Memanglah saya dan Adlin ada merancang ke arah itu tapi bukan dalam waktu terdekat ini.

“Sekarang ini kami sibuk dengan karier. Soal jodoh ini kita tidak boleh nak tentukan tarikh. Saya sendiri pun tidak mahu melengahkan perkara baik tapi setakat ini saya hanya boleh berkata waktu itu belum tiba lagi,” katanya sambil tersenyum.

Pelakon yang pertama kali diperkenalkan menerusi drama Aishah, terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2003 telah berlakon lebih 40 buah drama. Antara drama lakonannya ialah Marikas dan Natasha. Sementara filem pertama lakonan Emelda ialah Cinta Terakhir arahan Adam Hamid.

Powered by Utusan Malaysia

Siapa Juara Bintang Klasik Nasional 2007?

3 Aug
FINALIS Bintang Klasik Nasional 2007. Barisan depan dari kiri: Mohd. Zaidi Zen, Muhaizam Ahmad, Muhaimin Azzahan, Mohamad Hasnul Hassan, Rahayudean Rahmat dan Fazrul Misran.Belakang dari kiri: Nadia Adha Mohd. Abid, Eliana Marfika Mokhtarudin, Fify Emelia Shazlin Murshaidi, Anis Salwa Alaluddin, Dayangku Nurul Fattihah Umi Qalthum Pengiran Zainal Abidin dan Nurliza Usup.

SERAMAI 12 peserta akan bertanding bagi merebut gelaran juara Bintang Klasik Nasional 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pukul 8.30 malam ini.

Pertandingan akhir yang disertai enam peserta lelaki dan enam peserta wanita dari zon timur, tengah, selatan, utara, Sarawak dan Sabah itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan Radio Klasik Nasional.

Pemenang bagi kategori lelaki dan wanita akan menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Naib johan akan mendapat RM5,000, trofi dan sijil, tempat ketiga menerima RM3,000, trofi dan sijil sementara enam pemenang saguhati masing-masing akan mendapat RM1,000, trofi dan sijil.

Kesemua peserta akan mendendangkan lagu malar segar yang ditentukan oleh pihak RTM dengan iringan Orkestra RTM.

Sementara itu markah akan dinilai oleh juri profesional berdasarkan mutu suara (50 peratus), pengawalan suara (25 peratus) dan penghayatan (25 peratus).

Selain bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam nyanyian lagu-lagu lama, Bintang Klasik Nasional 2007 juga bertujuan untuk memberi pendekatan kepada rakyat tempatan agar menghargai khazanah lagu-lagu Melayu lama agar tidak pupus ditelan zaman.

Menariknya, juara lelaki dan wanita Bintang Klasik Nasional akan mewakili negara ke pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 yang melibatkan penyertaan juara dari Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 akan diadakan pada 7 September depan di PWTC pukul 8.30 malam.

Pada malam ini juga beberapa penyanyi undangan akan tampil memeriahkan pertandingan akhir Bintang Klasik Nasional 2007. Mereka ialah Ramli Sarip, Kopratasa, Sofaz, Achik Spin, Siti Nordiana, Siti Sarah, Haziq, Bob dan Velvet.

Powered by Utusan Malaysia

Siti Nordiana – Faizal Aman Bahagia

10 Jun

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

SITI Nordiana menepis gosip keretakan rumah tangganya dengan Faizal.

SETAHUN dua bulan usia perkahwinan mereka tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Malangnya di saat masih lagi ‘berbulan madu’ itu pelbagai tohmahan mengenai rumah tangga mereka sedang hebat diperkatakan.

Itulah asam garam menjadi orang popular apatah lagi perkahwinan sesama artis.

Siti Nordiana Alias, 23, dan Mohd. Faizal Yusop, 29, menjalin ikatan sebagai suami isteri pada 28 April tahun lalu.

Tempoh setahun jagung usia perkahwinan sudah diuji dengan pelbagai ujian yang kadangkala membuat mereka hampir- hampir tewas.

Antara perkara yang diperkatakan orang, seperti rumah tangga mereka sudah bergoyang, ada campur tangan orang ketiga dan macam-macam lagi.

Siti Nordiana atau Nana menyedari hakikat cakap-cakap orang itu tetapi dia menafikan sekeras-kerasnya rumah tangga yang mereka bina itu sedang dilanda badai.

Sebaiknya dia mengakui kehidupannya dengan Faizal dalam keadaan bahagia. Cuma pada masa ini Allah belum membuka rezeki mereka untuk menerima cahaya mata.

‘‘Nana sememangnya mengimpikan zuriat jauh sekali hendak merancang. Mungkin Tuhan belum mahu memberi rezeki kepada kami lagi pada masa ini.

“Tetapi terus terang Nana katakan, rumah tangga kami berada di dalam keadaan aman dan bahagia. Nana dan Faizal tidak mempunyai masalah dan apa yang diperkatakan orang kononnya rumah tangga kami bergolak itu tidak benar sama sekali,’’ ujar Nana menepis cakap-cakap orang itu.

Timbulnya isu berkenaan menurut Nana apabila ramai yang melihat dia dan Faizal masih lagi belum menimang cahaya mata selain mereka jarang keluar bersama.

Ini kerana Faizal sibuk dengan dunia lakonannya sementara Nana juga dengan undangan pertunjukan pentas dan rakaman album baru.

Mengakui masalah dalam rumah tangga sememangnya berlaku kata Nana, itu semua adalah lumrah dalam kehidupan mereka yang bergelar suami isteri.

Apa yang peting dia bersyukur mendapat suami yang memahami dirinya dan mampu berkomunikasi dalam mengharungi rintangan selepas berkahwin.

Ketika ini Nana juga sibuk mempromosikan album kompilasi terbaru yang memuatkan lagu-lagu popularnya suatu ketika dahulu iaitu Cahaya Kekasih.

Album edaran FMC yang memuatkan 20 buah lagu itu turut mempunyai tiga buah lagu baru iaitu Aku Pun Rela, Senyap Selamanya dan Cinta Yang Berbisa.

“Album ini adalah hadiah terbaru Nana untuk peminat yang selama ini menanti kemunculan Nana. Yang istimewanya album ini memuatkan lagu-lagu yang pernah mempopularkan Nana dahulu seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Selamanya Cinta dan Perlukanmu.

“Insya-Allah dengan adanya tambahan tiga lagu baru, Nana yakin dapat mengembalikan rindu untuk peminat selama ini,’’ katanya.

Dalam masa yang sama Nana sempat berpesan supaya para peminat yang mendengar khabar angin mengenai dirinya dan Faizal supaya tidak mempercayainya.

Jelas Nana, ia adalah fitnah orang yang ingin melihat kehidupan rumah tangganya agar tidak bahagia.

Powered by Utusan Malaysia

Program Avon Khas Untuk Mak Andam

17 Jul

Oleh WANDA IDRIS

KEJAYAAN penganjuran program Selebriti Bersama Avon memberi semangat kepada penganjurnya, syarikat jualan langsung Avon Cosmetics Sdn. Bhd. (Avon), untuk meneruskan program realiti tersebut.

Bagaimanapun, konsepnya akan diubah dengan membuka penyertaan kepada umum berbanding musim pertamanya yang menumpukan kepada kolaborasi antara artis dengan jurusolek pilihan mereka.

Menurut Presiden Avon Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia, Mansoor Wan Abdullah, perubahan itu akan memberikan khalayak lebih peluang untuk menyertai program tersebut.

“Mungkin kita akan buat satu pertandingan bermula daripada peringkat daerah, negeri dan kemudian kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai episod akhir program Selebriti Bersama Avon di ibu kota baru-baru ini.

Majlis yang merupakan kemuncak program realiti kecantikan itu menyaksikan Raja Farah yang disolek oleh Fifi diumumkan sebagai Selebriti Make-Over Terbaik.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Liza AF1 yang disolek oleh Zakiah Eloma dan Edlin AF2 yang dirias oleh Ismept.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Penyiaran (Rancangan) RTM, Adilah Chek Omar.

Mansoor berkata, untuk musim kedua program tersebut, pihaknya berhasrat untuk menjemput mak andam dari seluruh negara menyertainya memandangkan kerjaya itu semakin popular sejak kebelakangan ini.

“Konsepnya masih sama iaitu tentang solekan dan dandanan malah kita juga akan mengajar mereka tentang teknik asas solekan yang betul.

“Cuma pendekatannya mungkin berbeza. Maksudnya, jika tahun ini tema kita selebriti dengan jurusolek artis pilihan mereka, tahun depan mungkin lain. Kita memikirkan untuk mengadakan pertandingan mak andam pula,” jelasnya.

Mansoor memberitahu, program seumpama itu memberikan satu wadah dalam membantu memberikan ilmu dan idea kepada wanita untuk meningkatkan kejelitaan dan perapian diri melalui solekan yang betul daripada pakar-pakar.

“Penglibatan selebriti adalah bonus memandangkan kebanyakan mereka merupakan ikon masyarakat,” tambah Mansoor.

Menyentuh mengenai program pertama Selebriti Bersama Avon yang berkolaborasi dengan RTM sebagai penyiar rasmi, kata Mansoor, ia dimulakan sejak April lalu. Program itu merupakan sebuah rancangan realiti kecantikan bersama selebriti yang julung kali diadakan.

Melibatkan 10 artis bersama jurosolek masing-masing, program itu disiarkan sebanyak 13 episod di RTM1 pada setiap Ahad pukul 12 tengah hari.

Menggunakan kreativiti tersendiri daripada koleksi warna solekan Avon untuk satu make-over, mereka bersaing untuk sampai ke peringkat akhir.

Sebanyak 10 orang selebriti tempatan menyertai pertandingan itu iaitu Siti Nordiana, Lisdawati, Zehra Zambri, Liza AF1, Edlin AF2, Sharifah Zarina, Zarina AF2, Nadia Mustafa, Faradhiya dan Raja Farah.

Namun hanya tujuh terpilih untuk ke final iaitu Siti Nordiana bersama jurusoleknya Midah Khan, Zarina AF2 (Faizal Izwan), Raja Farah (Fifi), Edlin AF2 (Ismept) dan Lisdawati (Royu) yang dipilih pada episod ke-11 sementara Zehra Zambri (Mohd. Zali) dan Liza AF1 (Zakiah Eloma) dipilih masuk hasil undian semula pada episod ke-12.

Kesemua mereka dipilih seratus peratus menerusi undian pesanan khidmat ringkas (SMS) peminat.

Kemuncak program tersebut ialah finale yang menyaksikan Raja Farah dan jurusoleknya Fifi bergelar juara.

Kemenangan itu membolehkan Raja Farah membawa pulang rantai leher berlian dan mutiara Tahiti bernilai RM2,000, wang tunai RM3,000 dan hamper barangan Avon bernilai RM500.

Sementara Fifi pula menerima rantai leher berlian dan mutiara bernilai RM2,000 tajaan Habib Jewels, wang tunai RM500 dan hamper barangan Avon bernilai RM500.

Tempat kedua dan ketiga yang masing-masing dimenangi oleh Liza AF1 dan Edlin AF2 pula memenangi wang tunai berjumlah RM2,000 dan RM1,000, hamper barangan Avon bernilai RM500.

Jurusoleknya pula, Zakiah Eloma dan Ismept masing-masing memenangi wang tunai RM500 serta hamper barangan Avon berjumlah RM500.

Majlis kemuncak yang dihoskan oleh Nita dan Hani Mohsein turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Ferhad dan Dia Fadila.

Powered by Utusan Malaysia