Archive | Ayu Raudhah RSS feed for this section

Calon Bintang Popular?

10 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my


SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.

Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.

Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.

Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.

Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.


SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.

Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.

Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?

Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.

Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.

“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.

“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.

“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.

Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.

“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.

Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.

Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.

Peluang Saerah untuk menyerlah

SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.

“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.

“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.

Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.

“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.

Berita Harian

Impak Pereka Fesyen Malaysia!

4 Apr

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tampil istimewa, XY – Ikon Lelaki minggu ini menghimpunkan 10 pereka fesyen lelaki yang bakal menyemarakkan Fiesta Fesyen Berita Harian. Inspirasi rekaan mereka – songket dan tenun turut digayakan bintang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) kelak. Raikan aura fesyen mereka!

BUKAN mudah menghimpunkan 10 pereka fesyen tanah air dalam satu sesi fotografi kerana masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan perincian terakhir rekaan bagi dua acara besar anjuran Berita Harian bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian yang bakal mewarnai pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, lusa, serta majlis gala di Hotel One World, keesokannya, disusuli kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April ini cukup memadatkan diari kumpulan pereka muda ini.

Namun, 10 pereka ini masih sempat meluangkan masa menjalani sesi fotografi eksklusif bersama XY – Ikon Lelaki. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menyokong acara berprestij yang bakal disertai selebriti dan pereka fesyen tanah air.

Riuh studio fotografi di Balai Berita dengan kehadiran insan kreatif ini. Malah, suasananya persis kesibukan di pertunjukan fesyen. Namun, kali ini merekalah menjadi bintangnya!

Daripada topik harian hinggalah keresahan mengejar deadline – semua pereka berkongsi keseronokan menanti dua acara besar ini. Seharusnya, masing-masing mahu rekaan yang ditampilkan sempurna dan mencuri tumpuan tatkala digayakan di pentas catwalk.

Hatta Dolmat; Rizman Ruzaini; Calvin Thoo; Nazreen Idris; Hazwani Osman; Amir Luqman; Shegar; Nik Erwan Rosdi dan Zery Zamri – masing-masing berkongsi inspirasi rekaan dengan identiti fesyen Malaysia.

Inspirasi Hatta Dolmat

TERKENAL dengan rekaan penuh perincian, pereka fesyen berbakat besar, Hatta Dolmat tidak ketinggalan memeriahkan Fiesta Fesyen Berita Harian serta malam kemuncak ABPBH 2008. Kali ini, pereka fesyen kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini akan mereka pakaian Nurul Huda Abdul Wahab, Siti Sarah, Sheila OIAM dan Iz.

“Tema songket bukanlah halangan bagi saya kerana sebelum ini pernah menerapkan tema sama di sebuah majlis anugerah hiburan. Menjadi kebanggaan pereka fesyen kerana mampu menerapkan tema tradisi dalam menzahirkan rekaan pakaian,” kata Hatta yang sudah empat tahun terbabit dalam ABPBH selepas pertama kali mereka pakaian untuk Jacklyn Victor dan Fasha Sandha pada ABPBH 2005.

Kata Hatta, ABPBH adalah platform terbaik untuk pereka baru tanah air dalam mengembangkan bakat, seterusnya berorientasi dengan idea baru rekaan.

“Sepanjang terbabit dalam majlis anugerah ini, saya dapat melihat perkembangan positif penganjur yang tidak saja memberikan publisiti buat artis, pada masa yang sama turut memartabatkan industri fesyen tanah air.

“Ini dapat dilihat menerusi pembabitan artis dengan pereka fesyen termasuk Anugerah Best Dress yang diperkenalkan tahun lalu dan tahun ini pula dengan Fiesta Fesyen Berita Harian,” kata teruja.

Profil

Nama: Muhammad Hatta Dolmat

Umur: 27 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mata (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian:

Juara Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003.

Juara pertandingan akhir Trofi Pesona Pengantin 04/05.

Juara Anugerah Jarum Berlian 2005.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006: rekaan pakaian terbaik digayakan oleh Erra Fazira.

Anugerah Rekaan Pakaian Terbaik sempena Anugerah Bintang Popular 2007.

Juara kategori Ethnic Chic di Singapore Fashion Designer Competition 2007.

Naib juara Project Runway Malaysia 2007.

Gandingan duo Rizman Ruzaini

NAMA Rizman Ruzaini antara yang paling menonjol di kalangan pereka fesyen angkatan baru. Memilih konsep less is more menjadi antara trademark pereka fesyen muda ini. Lebih menarik, jika kebanyakan pereka fesyen bergerak solo, label Rizman Ruzaini menampilkan koloborasi dua pereka fesyen ini.

Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang bekerjasama menubuhkan label Rizman Ruzaini sejak lebih dua tahun lalu menggalas cabaran besar untuk ABPBH kali ini apabila mereka pakaian untuk penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Siti Nurhaliza, pereka fesyen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga akan berfantasi dengan rekaan untuk pelakon Fasha Sandha, Sari Yanti dan Siti Saerah.

“Secara peribadi, saya melihat adalah satu usaha baik ABPBH memilih tema songket yang mana mampu mengangkat martabat khazanah songket yang menjadi identiti negara.

“Menjadi tugas pereka fesyen mencipta sesuatu yang berbeza melalui tema begini. Apatah lagi songket adalah 100 peratus identiti Malaysia berbanding batik yang juga popular di Indonesia,” kata Rizman Nordin.

Wan Ruzaini turut memuji usaha membantu pereka fesyen tempatan mengetengahkan bakat pada majlis berprestij.

Profil

Rizman Ruzaini

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin, 24; dan Wan Ruzaini Wan Jamil, 24.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian:

Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall.

Peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003.

Penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura

Terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Aura Calvin Thoo

SEJAK beberapa tahun lalu, ABPBH cukup sinonim dengan pereka fesyen tempatan, Calvin Thoo. Masakan tidak, pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi pilihan ramai selebriti popular tanah air. Pengalaman selama 13 tahun dalam industri fesyen meletakkan Calvin Thoo antara pereka fesyen disegani ramai.

Tahun ini, Calvin dipertanggungjawab mereka gaun malam bertemakan songket dan tenun untuk pelakon cantik Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Marsha. Pentas ABPBH 2008 bakal menyaksikan kreativiti Calvin dalam memberi variasi pada songket dengan nafas baru.

Ditanya cabaran mengetengahkan songket dalam majlis anugerah berprestij seperti ABPBH, Calvin berpendapat, menjadi tanggungjawab pereka fesyen berfantasi dengan lakaran sebelum memberi impak besar melalui rekaan.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah mengetengahkan songket. Sebelum ini, ramai pelanggan dari kalangan kenamaan dan kerabat diraja memilih elemen songket dan tenun dalam persalinan. Saya juga menerapkan kain songket ketika majlis persandingan Lisdawati sebelum ini,” katanya.

Profil

Calvin Thoo

Umur: 37 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) RMIT Australia.

Pencapaian:

Menimba pengalaman dalam bidang fesyen selama lebih 10 tahun di luar negara.

Memulakan label Calvin Thoo pada 2003.

Peserta peringkat akhir Piala Seri Endon Batik 2004.

Membuka butik Calvin Thoo pada 2005 di gedung beli-belah Lot 10, Bintang Walk, Kuala Lumpur.

Hasil rekaan Calvin diperagakan pada acara antaranya Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia dan Festival Fesyen Islam KL.

Seksi cara Nazreen

TERKENAL dengan rekaan seksi, pereka fesyen yang makin dikenali, Nazreen Idris mengakui agak sukar menerapkan identiti rekaan bertemakan songket dan tenun. Baginya, menjadi tanggungjawab pereka fesyen meletakkan prinsip dalam setiap rekaan.

“Meskipun kita cenderung mengetengahkan elemen feminin dan seksi dalam rekaan, unsur sebegitu tidak boleh diterapkan apabila menggunakan kain songket.

“Menjadi tanggungjawab seorang pereka fesyen meletakkan martabat tinggi songket yang menjadi identiti Malaysia,” kata Nazreen yang akan menyiapkan persalinan Linda Onn, Siti Saida dan Intan Ladyana di malam kemuncak ABPBH 2008.

Ditanya pendapat dirinya mengenai kain songket, secara peribadi pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui penerimaan masyarakat makin meluas dalam mengangkat martabat songket sebagai budaya dan identiti Malaysia.

“Ketika menuntut dulu, saya memilih melakukan kajian mengenai kain songket. Sebab itu, saya cukup berhati-hati menggunakan kain songket untuk sebahagian daripada hasil rekaan kerana ingin memastikan martabat songket terpelihara,” katanya.

Profil

Nazreen Idris

Pendidikan: Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Terbabit menyediakan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, pemenang tempat ketiga Animax Fashion Ability 2007.

Antara artis yang pernah mendapat sentuhan Nazreen: Datuk Khatijah Ibrahim, Anne Ngasri, Diana Danille, Linda Onn, Intan Ladyana, Siti Saida dan Faezah Elai.

Warna Zery Zamry

JIKA ramai pereka fesyen memilih perincian yang melengkapi rekaan pakaian, Zery Zamry pula sebaliknya. Pereka muda kelahiran Kelana Jaya, Selangor ini memilih warna sebagai tarikan rekaan. Seperti sebelumnya, pereka yang memiliki label butik Zery Zamry Couture ini akan menyiapkan adi busana penyanyi Elyana dan pelakon Norish Karman.

Mengetengahkan konsep minimalis, Zery berusaha memodenkan songket melalui rekaan.

“Sebagai pereka muda, menjadi tanggungjawab kami berusaha sebaik mungkin memastikan songket menjadi pilihan ramai. Apabila digayakan artis, ia setidak-tidaknya menjadi ikutan dan dilihat ramai orang. Apatah lagi, ABPBH cukup membantu pereka fesyen membina nama di Malaysia,” katanya.

Tiga tahun terbabit serius sebagai pereka untuk artis yang bertanding di ABPBH, Zery mengakui sambutan dan publisiti cukup membantu memeriahkan industri fesyen tanah air.

“Ya lah, artis dan pereka fesyen saling memerlukan dan secara tidak langsung ABPBH dilihat sebagai jambatan merancakkan lagi industri fesyen di Malaysia,” kata pereka berusia 25 tahun ini.

Profil

Zery Zamry

Pendidikan: Universiti Teknologi Mara (UiTM) pengkhususan Fesyen.

Pencapaian:

Anugerah Jarum Berlian 2006.

Finalis Project Runaway Malaysia.

Tranformasi Shegar

BERPENGALAMAN 12 tahun dalam bidang hiasan dalaman, Shegar Chandra Sekaran atau lebih dikenali sebagai Shegar kini menyahut cabaran dengan ‘terjun’ ke bidang rekaan pakaian. Tiga tahun dalam dunia fesyen, usaha itu tidak sia-sia apabila rekaannya mula diperkata umum.

Malah sempena ABPBH 2008, Shegar dipertanggungjawabkan mereka pakaian Cheryl Samad. Bukan kali pertama, koloborasi Shegar sudah cukup sinonim bersama pengacara terkenal itu.

Kata pereka berbakat berusia 36 tahun ini, beliau cukup teruja mengetengahkan tema songket lalu mengangkat martabat khazanah negara itu.

Baginya, songket jika disesuaikan dengan bentuk rekaan dan padanan fabrik lain mampu menterjemah hasil rekaan menarik dan bertaraf antarabangsa.

“Saya cenderung dengan rekaan potongan clean cut dan menggemari sesuatu yang simple. Justeru itu, saya akan memastikan rekaan Cheryl nanti dipengaruhi elemen begini,” kata Shegar.

Profil

Shegar Chandra Sekaran

Pendidikan: Ijazah dalam Hiasan Dalaman daripada Saito Akademi, Kuala Lumpur.

Pencapaian:

Beliau berkecimpung dalam dunia hiasan dalaman lebih 12 tahun tetapi mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen sejak tiga tahun lalu.

Mulai tahun ini tekadnya untuk menyertai lebih banyak acara fesyen seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Festival Fesyen Islam KL.

Terpilih sebagai pereka pakaian Anugerah Juara Lagu 2008 disifatkan antara pencapaian tertingginya dalam kerjaya sebagai pereka fesyen.

Sentuhan Nik Erwan

SESUATU yang istimewa cuba disampaikan pereka fesyen kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Mengakui bakal menerapkan hingga 40 peratus kain songket dalam busana ciptaannya, Nik Erwan Roseli teruja kerana terbabit dalam dua acara besar bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian dan ABPBH 2008 menjadi medan terbaru buat Nik Erwan berfantasi dengan gaya dan hasil ciptaan cemerlang. Untuk acara berprestij ABPBH 2008, Nik Erwan mereka pakaian untuk pelakon Dynas, Mila Tini Hot FM dan kumpulan Fabulous Cats.

“Menambah lagi pesona rekaan, saya memilih warna terang yang akan digabungkan dengan warna songket. Begitupun, rekaan tidak harus terlalu menonjol dan sarat, sebaiknya biarlah lebih sederhana supaya nampak lebih anggun dan menawan.

“Majlis begini adalah platform terbaik buat pereka fesyen tanah air membina nama dan dikenali ramai. Pengalaman terbabit dalam ABPBH beberapa tahun kebelakangan ini nyata memberi impak besar untuk saya melebarkan bakat,” katanya yang bercadang untuk memasarkan pakaian ready to wear pada masa akan datang.

Profil

Nik Erwan Roseli

Kelulusan: Diploma dalam Jurusan Grafik; Ijazah dalam Jurusan Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pencapaian:

Memenangi Anugerah Koleksi Terbaik pada Persembahan Akhir Peringkat Ijazah pada 2008.

Menyertai persembahan MIFA pada 2008.

Terbabit dalam Royal Of Art di One World Hotel 2008.

Menghasilkan pakaian untuk ramai selebriti termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Mendua Reality Television Gangstarz dan Sharifah Aleya.

Cabaran tersendiri Hazwani

BUKAN sekadar berfantasi rekaan gaun pengantin, Hazwani Osman juga boleh mereka pakaian lelaki, Justeru itu, ABPBH dan Fiesta Fesyen Berita Harian menguji bakat dalam menghasilkan rekaan untuk lelaki dan wanita.

Malah, Hazwani akan mencipta sesuatu yang berbeza buat Faizal Tahir dan Jamal Abdillah.

“Bukan senang untuk mencipta kelainan dalam pakaian lelaki. Tidak seperti wanita, rekaan lelaki harus disesuaikan dengan keadaan dan material yang digunakan termasuk jenis kain.

“Jika tidak kena dengan gaya, tema songket hanya akan menampakkan rekaan untuk lelaki seakan-akan pakaian rasmi pelayan di hotel,” akui Hazwani jujur.

Sambil memuji usaha mengetengahkan tema songket, Hazwani berkata menjadi tanggungjawab pereka fesyen tempatan dalam mengetengahkan nilai tradisi tempatan.

Profil

Hazwani Osman

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam dan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Finalis top 20 Mifa 2006.

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005.

Finalis Jusco Young Designer 2003.

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Sensasi rekaan Amir Luqman

AURA gaya pereka fesyen ini cukup terserlah. Itulah kelebihan pereka fesyen, Amir Luqman sehingga terpilih menjadi penata gaya rakaman televisyen bagi Miss Universe 2008, Dayana Mendoza. Di acara kemuncak ABPBH 2008, Amir akan merealisasikan sentuhan rekaan untuk calon Artis Baru Wanita Popular, Scha.

Kata Amir, dia gemarkan sesuatu yang berbeza di samping konsep seni dalam setiap rekaan. Meskipun itu, dia juga memastikan nilai kemelayuan diterapkan dalam rekaan pakaian.

“Tema songket adalah langkah permulaan dan usaha yang baik untuk memartabatkan khazanah negara. Diharapkan dengan usaha sebegini sekurang-kurangnya mampu mengetengahkan songket di peringkat antarabangsa.

“Apatah lagi, selebriti dan fesyen cukup sinonim dan menjadi kerjasama terbaik dalam mencipta kelainan. ABPBH dilihat landasan yang baik dalam kerjasama pereka fesyen tempatan dengan selebriti tanah air,” kata Amir yang juga pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004.

Profil

Amir Luqman

Pencapaian:

Peserta akhir Piala Seri Endon 2005

Pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004

Peserta akhir Star KL Fashion Week Designer Award 2005

KL Fashion Week 2006 – Berjaya Times Square

Stylo Fashion Festival 2008 – Pavilion Kuala Lumpur

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA)

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra (BDA)

Isetan Young Designer Promo 2006

Penata gaya Miss Universe 2008 Dayana Mendoza untuk rakaman televisyen.

Berita Harian

Tegar Menelan Kritikan

13 Nov

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

KRITIKAN yang diterima bukan menjadikan dirinya seorang yang kalah. Dia sebaliknya bangkit menelan kritikan yang sering dilontarkan terhadapnya.

Dia seorang yang cantik, berbakat dan sanggup bekerja keras. Itu antara faktor yang berjaya melonjakkan dirinya muncul sebagai salah seorang pelakon drama yang dikenali ramai sekarang ini.

Mula muncul dengan drama berjudul Dilema Wanita pada tahun 2005, selangkah demi selangkah Ayu Raudhah Che Wan mula mengasah bakatnya melalui drama-drama tempatan sehingga membuatkan dia kini menjadi buruan penerbit mahupun pengarah.

Apatah lagi bila watak gadis lemah-lembut dan baik terlalu sinonim dengan dirinya di layar kaca, Ayu tampak kukuh dengan identiti tersendiri.

Sudah suratan dirinya apabila menceburi bidang yang juga diterokai kakaknya, Rozita Che Wan yang tidak dinafikan kejelitaannya, dan kelebihan Rozita ialah dia terlebih dahulu menempa populariti berbanding Ayu.

Namun, Ayu tidak menjadikan kritikan tersebut sebagai suatu elemen negatif yang mampu melemahkan semangatnya dalam dunia lakonan.

Sebaliknya, Ayu menjadikan kritikan itu sebagai suatu kekuatan buat membina dan mengembangkan lagi karier lakonannya.

Dan kerana kritikan itu jugalah timbul semangat dalam dirinya untuk menolak segala kritikan tersebut untuk menceburi dunia sama dengan Rozita.


MIOR HASHIM MANAP

Inilah medan yang boleh dijadikan peminat mereka untuk menilai sendiri perbezaan bakat lakonan yang ada pada dirinya dan Rozita.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Ayu sengaja mahu menunjuk-nunjuk perbezaan sebenar antaranya dan Rozita.

Cuma, dia sebenarnya begitu teringin mendapatkan watak adik-beradik bersama Rozita. Dengan itu, Ayu dapat merasakan kerjanya pasti seronok bila sentiasa didampingi oleh kakak tersayang yang dipanggil dengan nama ringkas, Kak Ita.

Mengulas mengenai perkara itu, beritahu Ayu, “Memang orang sering membandingkan bakat saya dan Kak Ita. Itu tidak salah. Cuma saya bersyukur Kak Ita sering menjadi pembimbing dalam membina kerjaya saya.


DARI MATA ARISA sarat dengan kisah cinta, keluarga dan kasih sayang.

“Walau apa pun saya selalu berangan-angan yang suatu hari nanti kami dapat berlakon bersama sebagai adik dan kakak. Mesti seronok kalau impian itu jadi kenyataan. Maklumlah, bila dah adik-beradik berjumpa, perangai gila-gila mulalah keluar.

“Dan saya rasa, inilah masanya untuk kami lebih bermesra. Biasalah kalau dah masing-masing sibuk, susah kami nak berjumpa walaupun sekejap,” katanya meluahkan keinginan tersendiri.

Berlakon dengan diri sendiri

Namun peluang untuk Ayu bergandingan dengan Rozita nampaknya belum menjelma. Biarpun begitu Ayu berpeluang berlakon dengan dirinya sendiri menerusi drama rantaian arahan Mior Hashim Manap dalam produksi terbaru terbitan Bright Network Sdn. Bhd., Dari Mata Arisa.

Tidak melihatnya sekadar suatu tawaran lakonan biasa, ia ternyata memberi sedikit cabaran kepadanya, apatah lagi apabila terpaksa menghayati dua watak yang berbeza.Satu pendedahan baru buatnya kerana inilah saat dan ketika buat Ayu bagi membuktikan bakat yang dimilikinya.

“Pada mulanya, agak sukar untuk saya membawakan dua watak yang berlainan kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan penghayatan yang berbeza.


PELAKON-pelakon yang mendapat kepercayaan Raja Alawiyah dan Mior bagi menjayakan drama rantaian ini.

“Namun, dengan bantuan pelakon-pelakon lain serta pengarahnya, abang Mior, saya dapat membawakan watak ini seperti yang dikehendakinya.

“Elok juga belajar dari dia. Banyak ilmu boleh dapat. Ditambah pula dengan pengalamannya sepanjang berada di bidang ini, banyak yang diajar olehnya,” ujarnya.

Persepsi skeptikal masyarakat

Menyelami Dari Mata Arisa yang diadaptasi daripada novel karya Bikash Nur Idris, Kau Sayangku, ia mempunyai mesej tersendiri dalam mengubah persepsi skeptikal segelintir masyarakat tentang wanita yang sering diperlekehkan.

Drama 40 episod yang telah pun ke udara setiap Isnin, pukul 9 malam di RTM1 sejak 3 November lalu bagaimanapun masih kelihatan klise kerana mengangkat elemen yang telah biasa ditonjolkan sebelum ini.

“Saya tahu drama-drama saya kebanyakannya cerita yang ditonjolkan lebih kurang sama sahaja iaitu mengangkat martabat wanita,” akui penerbit Dari Mata Arisa, Raja Alawiyah Raja Lop Idris.


RAJA ALAWIYAH penerbit wanita prolifik yang berhati waja.

Namun dia mempunya hujah tersendiri kenapa dan mengapa sering menjadikan wanita sebagai medium bercerita dalam karya terbitannya.

“Cuba fikirkan, jika saya sebagai penerbit wanita tidak buat cerita macam ini, siapa yang akan buat? Menerusi drama ini saya lebih tonjolkan watak Arisa sebagai wanita sopan santun yang tahu membawa diri dan tidak mudah dikaburi dengan kekayaan lelaki yang cuba mengejar cintanya.

“Apa yang diperlukannya bukanlah harta, tetapi sebuah cinta sejati yang mampu memberi kebahagiaan kepadanya hingga akhir hayat,” beritahu penerbit yang sememangnya cukup terkenal dalam melahirkan drama berunsur feminisme ini.

Apa yang menarik, karya ini mengembalikan semula Mior Hashim Manap sebagai pengarah drama selepas sekian lama mendiamkan diri.

Selain Ayu, Dari Mata Arisa mempertaruhkan nama-nama yang sudah dikenali seperti Ashraf Muslim yang melakonkan watak Eddy, Syed Aiman (Akif), Maizurah Hamzah (Maliah), Kenchana Devi (Shamala) dan Mahmud Ali Basha (Muhammad).

Mengulas soal tanggungjawab, menurut Mior dia terpaksa menyesuaikan diri dengan konsep dan gaya pengarahan terkini drama tempatan kerana hampir tiga tahun dia tidak mengarah.


AYU RAUDHAH kepingin berlakon bersama kakaknya, Rozita Che Wan.

“Saya merasakan ia lebih sofistikated. Sekarang ini, cara penyampaian drama perlu lebih cepat seperti mana kita menghasilkan klip video muzik. Itu satu cabaran yang perlu saya hadapi.

“Bagaimanapun, istilah puas hati tidak pernah ada dalam diri saya kerana saya tahu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Tapi untuk drama rantaian ini, saya sudah melakukan yang terbaik dan saya harap penonton puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

Kosmo

Jaga Pantang

31 Aug

Oleh ZULIATY ZULKIFFLI
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Kejelitaan model serta dramatis terkenal, Rozita Che Wan, sering diperkatakan dan perhatian terhadapnya semakin bertambah apabila empat adik beradik perempuannya berkongsi rupa paras menawan kakak mereka.

Justeru, ramai ingin tahu rahsia kecantikan lima beradik itu dan cabaran dihadapi ibu mereka, Bedah Saad, 55, dalam membesarkan lima anak gadis jelita bersendirian selepas kematian suami 19 tahun lalu.

“Tak ada apa-apa rahsia… itu semua anugerah Allah,” kata Bedah ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Taman Mawar, di sini.

Nyata, ibu tunggal itu cukup berahsia dan keberatan berkongsi kisah hidupnya kerana baginya, cukuplah cerita Rozita dan adiknya, Ayu Raudhah yang juga dramatis, tersiar di media, sedangkan dia hanya wanita biasa yang tiada keistimewaan.

Selain Rozita, 34, dan Ayu Raudhah, 24, tiga lagi anak perempuan Bedah yang turut memiliki rupa paras menawan ialah Rahaiza, 26, Robithoh, 31, serta Rahimah, 35.

Robithoh baru saja melangsungkan perkahwinan dengan anggota kumpulan lawak Senario, Lan Pet Pet minggu lalu, Rahimah tidak berminat menceburi dunia hiburan manakala Rahaiza aktif sebagai peragawati.

Selain lima anak perempuan, Bedah dikurniakan dua anak lelaki masing-masing berusia 20 dan 29 tahun. Mereka bekerja sendiri dan tidak berminat mengikut jejak langkah kakak dan adik mereka sebagai pelakon.

“Robhitoh memang tidak minat jadi pelakon, tetapi tak sangka pula dia bertemu jodoh dengan artis,” kata Bedah.

Di sebalik sikapnya yang berahsia, Bedah bagaimanapun mendedahkan, ketika muda dia sebenar turut berminat menjadi pelakon, namun hasratnya tidak kesampaian kerana sifatnya yang terlalu pemalu.

“Ketika itu saya hanya gadis kampung, nak jadi artis hanya angan-angan kerana malu dan tak tahu nak pergi uji bakat dan sebagainya,” katanya.

Menurut Bedah, sebab itu apabila Ayu Raudhah meminta izin dan menyatakan minatnya untuk bergiat aktif sebagai peragawati serta menjadi pelakon drama, dia tidak membantah, sebaliknya memberi galakan supaya Ayu berjaya dalam bidang seni.

Tidak lama kemudian Rozita pula mengikut jejak adiknya menjadi pelakon drama selepas berhenti kerja sebagai pramugari dan mula menceburi bidang lakonan sekitar 2005.

“Biar mereka saja yang menjadi pelakon dan makcik hanya memberi sokongan serta galakan supaya berjaya dalam kehidupan, asalkan mereka tidak lupa asal usul serta pandai menjaga maruah diri.

“Pernah juga Rozita membawa makcik untuk menjalani uji bakat, tetapi disebabkan malu makcik bertukar fikiran kerana segan bila duduk di depan kamera,” katanya ketawa.

Ketika ditanya mengenai cabarannya yang terpaksa bersendirian dalam membesarkan tujuh anak, termasuk lima anak perempuan yang jelita, Bedah cuma berkata, sebagaimana ibu tunggal lain, segala kepayahan terpaksa diharungi dengan tabah.

“Suami meninggal dunia akibat penyakit barah ketika saya berusia 35 tahun. Pada masa itu anak masih kecil dan belasan tahun. Untuk membesarkan mereka, saya mengambil upah menjahit baju kurung dengan upah RM15 sepasang.

“Waktu itu memang sukar menjalani kehidupan sebagai ibu dan ayah mereka, tetapi untuk memastikan mereka berjaya, saya gagahkan diri untuk mencari wang dengan hasil titik peluh seorang diri,” katanya.

Malah, kata Bedah, sampai sekarang dia masih menjahit baju kurung anaknya setiap kali Aidilfitri dan adakalanya anaknya membeli baju kurung kerana tidak mahu menyusahkannya.

“Saya senang tengok anak berjaya kerana mereka ada bakat dan sanggup berusaha gigih demi untuk mencari wang hasil titik peluh sendiri. Mereka pernah suruh saya berhenti buat kerja kerana mahu sara hidup saya, tetapi sekarang saya menjahit baju secara sambilan saja dan bukan macam dulu,” katanya.

Ditanya adakah dia dan anaknya mengamalkan petua untuk menjaga kecantikan, nenek empat cucu berusia lapan bulan hingga 12 tahun itu berkata, dia sangat mengambil berat soal pemakanan.

“Setiap kali bersalin pula, saya berpantang dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan bentuk tubuh langsing. Saya tidak makan apa-apa jamu tapi jaga pemakanan harian dan banyak minum air suam, selain bangun awal setiap hari,” katanya.

Harian Metro

Bulan Madu Di Mekah – Pelayaran Cinta Mazlan, Robithoh

23 Aug

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

TANAH Suci Mekah merupakan lokasi yang begitu bermakna buat pelawak terkenal Lan Pet Pet. Ini kerana di sanalah lokasi bulan madu Lan Pet Pet bersama isteri yang dikahwininya, Robithoh Abu Bakar@ Che Wan.

Rupa-rupanya inilah sebabnya apabila ditanya mengenai perancangan berbulan madu, anak jati Kedah itu bercadang untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan nanti bersama isteri tersayang.

“Kami hanya rancang nak ke Mekah, ke tempat lain tidak fikir lagi kerana saya sibuk dengan promosi filem terbaru nanti,” tutur Lan.

Apa yang pasti, Mekah jugalah menjadi pencetus buat pemilik nama Mazlan Ahmad ini terbuka hatinya untuk menamatkan zaman bujang yang telah diharunginya selama ini.


AKIBAT terlalu gemuruh Lan terpaksa melafazkan akad nikah sebanyak empat kali.

Ia kerana selepas berkunjung ke sana, tiba-tiba sahaja Lan merasakan suatu keperluan buatnya untuk segera mendirikan rumah tangga.

“Selepas balik umrah pada tahun 2006, saya bagi tahu mak untuk kahwin, mak cakap kahwinlah cepat-cepat, umur saya pun dah banyak,” beritahu Lan pada majlis persandingannya di Jalan Langgar, Alor Star Rabu lepas.

Menurutnya lagi, ketika mengerjakan umrah bersama bapanya itu dia seolah-olah mendapat petunjuk dan bayangan dengan siapa dirinya akan berkahwin ketika berdoa di Tanah Suci.

“Bayangan ketika itu jelas dan saya nampak wajah itu ketika berdoa, selepas itu barulah saya ambil keputusan untuk bagi tahu mak untuk kahwin,” jelasnya.

Wajah bertuah yang menjelma di kalbu dan nurani Lan tidak lain dan tidak bukan, gadis manis yang dikenalinya sejak 14 tahun lalu, Robithoh atau panggilan manjanya, Rubi.


HEBAT. Cincin pemberian Lan Pet Pet buat isteri tersayang.

Selalu usik RubiMengimbas kembali mengenai perkenalannya dengan Rubi, menurut Lan dia mengenali Rubi sejak di bangku sekolah lagi iaitu ketika aktif dalam sukan berbasikal.

Rubi ketika itu berumur 17 tahun belajar di Sekolah Menengah Tun Sharifah Rodziah, Jalan Kuala Kedah, manakala Lan menuntut di Sekolah Menengah Darul Aman, Alor Star, Kedah.

“Saya selalu jumpa dia di sekolah, selalu usik-usik dia dan Rubi senyum saja, orang kata usikan bawa bahagia.

“Selepas itu saya jumpa dia balik selepas jadi artis, saya usik dia lagi sehinggalah sekarang,” ujarnya anak bongsu ini.

Lan,39, dan Rubi,31, yang masing-masing berasal dari Alor Star, Kedah itu menjelaskan, hubungan mereka kembali serius pada tahun lepas dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.


SUDAH berkenalan selama 14 tahun hubungan Lan dan Rubi mulai serius pada tahun lepas.

Rahsia untuk kejutanPada majlis akad nikah dan perkahwinannya itu, Lan mengotakan janjinya untuk mendedahkan segalanya mengenai perkahwinannya bersama adik pelakon terkenal Rozita Che Wan itu.

Ia berikutan sebelum ini, hal tersebut menjadi kontroversi apabila Lan dikatakan cuba merahsiakannya dari pengetahuan pihak media dan rakan-rakan termasuk rakan baiknya dalam Senario, Azlee dan Wahid.

Namun, usai majlis akad nikahnya di Masjid Al-Bukhary Rabu lepas, Lan menuturkan memang menjadi niatnya untuk menyembunyikan majlis perkahwinannya bagi memberikan kejutan kepada semua pihak.

“Apabila ia terdedah awal di media, semua kawan-kawan, adik-beradik ‘bergaduh’ dan masing-masing terkeliru dan bertanya saya, betul ke saya nak kahwin 20 Ogos ni.


LAN sengaja merahsiakan mengenai perkahwinannya daripada semua pihak untuk membuat kejutan.

“Memang saya nak buat semua orang keliru dan biarlah berita kahwin ini mengejutkan semua orang memandangkan hubungan kami memang tiada gosip sebelum ni,” ujarnya.

Badi nombor lapan?Selain kontroversi merahsiakan perkahwinannya, ada sesuatu yang agak unik sempena pernikahan dan majlis persandingan Lan dan Rubi, apalagi kalau tidak nombor lapan.

Lan mengakui begitu gemarkan nombor lapan sebab itu dia memilih untuk berkahwin pada Rabu lepas yang bersamaan dengan 18 Syaaban, yang mana Syaaban merupakan bulan ke lapan dalam kalendar Islam

Pada majlis akad nikah, mas kahwinnya bernilai RM888 dan hantaran kahwin pula RM8,000.

Cuma yang menimbulkan tumpuan ialah apabila Lan agak gugup ketika majlis akad nikah, sehingga terpaksa berkali-kali melafazkan akad nikah.

Nasib baik dia tidak terkena badi nombor lapan kerana dia tidaklah sehingga melafazkan akad nikah sehingga lapan kali, tetapi cuma empat kali sahaja sehingga terpaksa ditenteramkan oleh abang-abang dan ayahnya.

“Memang gementar dan gugup. Inilah seumur hidup saya rasa gementar macam ini.

“Walaupun saya telah hafal akad sebelum ini, keadaannya tidak sama seperti hafal skrip berlakon. Berada di depan iman adalah keadaan yang sukar digambarkan,” ucapnya.


KELUARGA artis. Lan kini menjadi ipar Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah.

Keistimewaan RubiApabila ditanya mengenai keistimewaan Rubi pada matanya, Lan tanpa teragak-agak menceritakan isterinya itu seorang yang beriman.

“Dia juga tahan dengan perangai saya yang ‘gila-gila’. Saya cintakan Rubi bukan kerana rupa paras tetapi kerana hatinya.

Rubi pula menyatakan, dia jatuh cinta dengan pelakon dan pelawak itu kerana sikap Lan yang bertanggungjawab dalam menjaga ibu bapanya sendiri.

“Dia jenis boleh harap, kalau kita perlukannya bila-bila masa sahaja dia mesti datang untuk bantu.

“Lagi satu, sudah tentu saya sukakan Lan sebab dia kelakar dan selalu buat lawak,” tuturnya yang juga merupakan kakak kepada pelakon jelita, Ayu Raudhah.

Pada majlis persandingan itu, Rubi yang bekerja sebagai perunding pelaburan di sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur itu turut menerima tujuh dulang hantaran dari pihak lelaki dan membalas hantaran dengan sembilan dulang.

Kosmo

Rubytah Tidak Menoleh Ke Belakang Lagi

5 Aug

Oleh: TAJAIYAH IHSAN (E-mel wanitamingguan@utusan.com)


RUBYTAH.

HANYA selepas dua tahun terlibat dalam bidang pelaburan dan saham amanah, wanita tidak lokek dengan senyuman ini telah mengukir kejayaan sebagai penyelia agensi pelaburan saham amanah.

Walaupun jangka masa dua tahun dianggap sangat pendek tetapi dengan kesungguhan serta minat dalam bidang pelaburan, semuanya tidak mustahil untuk dicapai.

Rubytah yang berusia 30 tahun ini berkata, beliau tidak mempunyai rahsia tertentu untuk berjaya.

Baginya, sekiranya pencapaian ini dianggap satu kejayaan, beliau tetap menganggap masih banyak usaha lagi yang mesti dilakukan untuk menggenggam kejayaan yang lebih besar.

Bagaimanapun kata Rubytah, beliau meletakkan sasaran dalam misi untuk mencapai matlamat kerjayanya dalam tempoh tertentu.

“Selepas itu Ruby perlu bekerja keras, mengadakan jaringan baru dan yang penting menjadi rakan baik kepada pelabur,” katanya lagi.

Menurut Rubytah lagi, beliau sentiasa meluangkan waktu untuk para pelabur yang inginkan maklumat dan pengetahuan mengenai pelaburan unit amanah ini.

Katanya, “Kepentingan pelaburan dan pengetahuan yang lengkap mengenainya akan membuat pelabur lebih terbuka untuk melabur.”

Rubytah menambah, sejak terbabit dalam bidang ini, beliau mula berasa teruja kerana kerjaya yang mencabar dalam erti kata kuat bekerja besarlah imbuhannya.

Ibu tunggal kepada Mikhael yang berusia lapan tahun ini berkata, bagaimanapun beliau sentiasa memastikan kerjayanya hanyalah mengikut waktu pejabat atau bermula pukul 9 pagi hingga 6.30 petang.

”Ruby ada tanggungjawab sendiri dan sibuk macam mana sekalipun Ruby mesti berada di rumah selepas waktu itu untuk bersama anak. Barangkali sebab itulah, lebih suka duduk di rumah sekiranya ada masa terluang,” ujar Rubytah lagi.

Sebelum menceburi bidang ini, Rubytah terlebih dahulu terbabit dalam perniagaan pengurusan acara.

Katanya, selepas menjadi ibu tunggal, beliau bercadang untuk berniaga seperti arwah bapanya, seorang ahli perniagaan di Kedah.

“Walaupun Ruby tidak berkelulusan tinggi Ruby tetap percaya boleh melakukannya sekiranya ada kemahuan dan minat,” ujarnya.

Semasa berkahwin dulu, Rubytah adalah suri rumah sepenuh masa. Tetapi selepas bersendirian barulah beliau berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

Katanya, beliau kemudiannya ditawarkan menjadi rakan kongsi perniagaan pengurusan acara. Dari situlah sempat belajar selok-belok berniaga dan menimba pengalaman. Selepas lebih lima tahun, tercetus pula keinginan menceburi bidang baru.

”Alhamdulillah, kerjaya baru ini juga memberi pulangan yang baik malah mempunyai daya tarikannya sendiri,” jelas Rubytah lagi.

Walaupun rumah tangganya hanya bertahan selama dua tahun, Rubytah tidak mengunci hatinya daripada lelaki.

Perpisahan yang terjadi itu mungkin disebabkan kedua-dua pihak kurang sabar kerana berkahwin dalam usia yang begitu muda. Jika lebih bersabar barangkali perkahwinan masih boleh diselamatkan.

Pun begitu, Rubytah menganggap itu sudah ditakdirkan beliau menjadi ibu tunggal dalam usia muda.

Katanya, semuanya sudah berlalu dan kini beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Matlamat dan prinsipnya lebih kepada kebahagiaan anaknya daripada memikirkan diri sendiri.

Biarpun Rubytah adalah adik kepada pelakon dan model Rosita Che Wan dan kakak kepada pendatang baru Ayu Raudhah Che Wan (watak Farah dalam Manja Lara) namun sehingga ini belum terlintas lagi untuk berlakon.

”Ruby tidak ada bakat sebaik mereka yang boleh berlakon mahupun menjadi model. Ruby lebih minat berniaga macam arwah ayah,” jelasnya.

Sungguhpun begitu ujar Rubytah, beliau tertarik dengan dunia fesyen dan mengikuti aliran fesyen masa kini serta gemar dengan pakaian tradisional.

Sehinggakan dalam diam-diam, rupa-rupanya Rubytah juga pandai menjahit dan menyulam manik. Andai tertarik dengan sesuatu rekaan baju itu dan mahu nampak cantik, beliau sanggup menyulam manik sendiri biarpun mengambil masa yang cukup lama.

Beliau berkata, “Pertama kerana minat, kedua memberi kepuasan dan ketiga menjimatkan kos. Bakat menjahit diwarisi daripada mama Ruby. Malah mama serta anak merupakan sumber inspirasi selain sokongan keluarga.”

Utusan Malaysia