Archive | November, 2008

Kenali Gaya: Baju Labuh Lepas Punggung Tutup Kelemahan

30 Nov



WARNA gelap bagi bahagian bawah badan sesuai untuk mengelakkan penonjolan bentuk paha dan pinggul.

Material berkilau, lembut tak sesuai jika berbadan gempal

Soalan:Saya gadis remaja bertudung berusia 19 tahun. Saya berbadan gempal tetapi masalahnya ialah kegemukan di pinggang ke kaki (gemuk bawah seperti di paha, pinggul). Apa fesyen sesuai boleh saya gayakan untuk menutup dan menampakkan bahagian bawah badan saya tampak kecil? Ema Hussin.

Jawapan:Bagi mereka yang berbadan agak gempal saya sarankan anda memakai pakaian yang tidak terlalu ketat di bahagian atas. Tujuannya untuk melindungi bentuk tubuh supaya tidak terlalu jelas.

Pemilihan kain pula sebaiknya jenis material yang tidak berkilau dan terlalu lembut kerana ia akan menonjolkan lagi bentuk badan anda.

Pilihan warna lembut atau pastel bahagian atas (baju) sesuai untuk anda kenakan jika ingin keluar beriadah atau ketika menghadiri majlis kasual.

Manakala pilihan warna ceria sebaik-baiknya dipakai untuk ke majlis lebih formal dan padanan untuk kedua-dua pilihan baju berkenaan adalah sebaik-baiknya di dalam warna gelap seperti hitam dan coklat tua.


Jovian Mandagie

Tujuan pemilihan warna gelap untuk bahagian bawah badan adalah untuk mengelakkan bahagian bawah paha dan pinggul kelihatan nyata.

Ada taktik lain yang boleh dilakukan untuk menutup paha dan pinggul anda yang besar, caranya dengan mengenakan pakaian (baju) yang lebih panjang dan labuh menutupi paras pinggul. Cuba dan lihat kelainan gaya, pasti anda tampil lebih bergaya.

PROFIL: Jovian Mandagie

Usia : 22 tahun

Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, Universiti Lim Kok Wing

Pereka muda ini sering menjadi bualan kerana cetusan ilhamnya yang segar berinspirasikan gaya Malindo. Dia juga sering terbabit menghasilkan persalinan untuk selebriti terkenal antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Linda Onn, Misha Omar, Amber Chia, Kris Dayanti dan Rossa.

Sebarang pertanyaan, hubungi Jovian di Jovian Mandagie, 95, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur atau 03-22844095.

INFOJika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

Tarikan Awan Dania

30 Nov

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN
akmar@hmetro.com.my

Rap

CANTIK, lincah dan bergaya adalah ungkapan tepat bagi menjelaskan personaliti tiga pelakon ini, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 24, atau mahu dikenali sebagai Scha Al-Yahya, Irma Hasmie Ibrahim, 26 dan Farah Alya As’ri, 24.

Mereka bertiga dipertemukan dalam drama Awan Dania yang kini sedang bersiaran di Astro Ria, setiap Isnin, jam 9 malam. Drama 13 episod itu masih menjalani penggambaran di Akademi Air Asia, Sepang. Terikat dengan komitmen pada drama itu, Scha, Irma dan Fara setiap hari menghabiskan masa di akademi itu.

Pelakon lain drama itu, Mohd Zalimie Ishak atau mesra dengan nama Remy Ishak, 26 dan Nasha Aziz, 37. Tiga lagi watak utamanya, Hans Isaac, Zizan Nin dan Umie Nazeera. Namun mereka tidak menyertai sesi fotografi itu kerana tiada terbabit dalam penggambaran pada hari itu.

Mengenakan sut tiga lapis rona merah darah, sekali pandang mereka adalah sebahagian daripada kakitangan tetap syarikat penerbangan tambang murah terulung itu. Berbeza dengan Scha yang pernah berkhidmat selama setahun dengan Air Asia, semestinya dia tidak kekok pegang watak utama sebagai pramugari bernama Dania. Tetapi ia kejutan buat Irma dan Farah kerana selama ini mereka menyangka pekerjaan di langit biru itu senang.

SUSAH JADI PRAMUGARI

Sorong troli makanan dan melayan penumpang. Itulah gambaran Irma dan Farah mengenai pekerjaan yang dipandang glamor itu sebelum mereka berlakon drama itu. Awan Dania memberikan gambaran sebenar kerjaya itu dan kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan itu.

Kata Irma, bukan senang seperti yang difikirkannya sebelum ini. Ia bermula dengan proses temuduga dan selepas berjaya mereka terpaksa menghadiri pelbagai kelas termasuk kelas penampilan diri, etika berpakaian, belajar mengenai pesawat dan sistem yang ada di dalamnya, aspek keselamatan serta berenang.

“Untuk menjadi pramugari ia memerlukan disiplin tinggi dan ketahanan mental serta fizikal. Kerap diadakan ujian untuk mengetahui tahap kecekapan dan kemahiran pelatih. Sangat menarik dan membuka minda saya terhadap kerjaya ini,” katanya yang pegang watak ‘budak baik’ bernama Fifi.

Berlakon drama berepisod seperti Awan Dania banyak mencuri masanya sehingga dia terpaksa menolak beberapa tawaran projek lain. Pun begitu, Irma yang sudah empat tahun melayari hidup sebagai anak seni semakin bijak mewarnai karektor.

“Dulu saya tidak tahu apa-apa mengenai lakonan kerana tidak terfikir pun hendak jadi pelakon. Selepas menang pertandingan Gadis Jelita, David Teo (Penerbit MIG) terus ambil saya menjadi artisnya berlakon dalam filem Cinta Fotokopi. Saya hanya fikir selepas menang hendak jadi model sambilan dan bekerja sebagai juruteknik berdasarkan pengkhususan yang diikuti di UTM (Universiti Teknologi Malaysia), Jalan Semarak.

“Namun cita-cita dan takdir hidup saya berbeza. Jadi saya berlakon saja dengan mengikut arahan pengarah. Hendak tanya apa pun saya tak tahu. Saya bukan dilahirkan untuk menjadi orang seni dan tidak minat berlakon.

“Tetapi pengalaman menukar pandangan saya terhadap bidang lakonan. Selepas tiga tahun minat berlakon datang kerana sudah tahu apa itu lakonan. Apabila dah minat saya rajin bertanya pengarah. Dulu paling susah berlakon watak menangis. Pengarah pernah ketuk kepala saya dengan skrip kerana tak boleh menangis.

“Lama kelamaan barulah tahu saya kena ‘masuk’ dalam watak itu baru kita boleh menghayati kesedihan watak itu. Perasaan malu juga menyebabkan lakonan saya terbatas. Gaya rambut dan baju pun tidak pernah berubah. Sekarang saya tahu, setiap watak yang diberikan berbeza personaliti,” katanya.

DARI SUKA-SUKA TERUS MINAT

Scha pula berkata, bukan cita-citanya menjadi pramugari. Saja mencuba nasib langsung berjaya. Tetapi selepas setahun bekerja, kerjaya itu tidak sesuai dengannya. Lalu dia berhenti dan menyertai pertandingan Dewi Remaja 2006/2007. Kemenangan itu membuka hala tuju baru dalam hidupnya apabila terjebak’ dalam persada seni.

“Setiap yang berlaku dalam hidup saya tanpa dirancang. Saya ingat jadi pelakon pun tak lama. Tetapi apabila dah banyak kali berlakon dan tahu selok belok dalam bidang in, saya rasa suka pula. Lagipun sampai bila saya asyik hendak mencuba kerja baru. Usia kian bertambah.

“Jadi inilah kerjaya saya sekarang. Sepanjang dua tahun berlakon, saya nampak bidang ini menjanjikan masa depan cerah jika rajin berusaha.

“Saya tahu bukan senang jadi anak seni. Oleh itu saya bulatkan hati mahu nama saya bersih tanpa gosip panas. Misalnya sekarang saya agak rapat dengan Fahrin. Saya mengaku berkawan dengannya tetapi sejauh mana hubungan kami biar Allah tentukan.

“Jika benar ada sesuatu di antara kami kami berdua, saya akan mengaku pada masyarakat. Saya tidak mahu hidup dalam kepura-puraan. Saya juga tidak mahu terlalu ‘expose’ diri kerana itu membuatkan orang mudah menabur segala bentuk fitnah. Lepas habis kerja balik rumah.

“Saya sudah melalui zaman remaja yang menggembirakan jadi sekarang tumpuan untuk masa depan. Pernah juga rasa ‘give-up’ berlakon kerana gagal puaskan hati penonton. Mereka komplen lakonan saya ‘keras’. Saya memang begini dan memang susah hendak berlagak seperti ‘wanita Melayu terakhir’. Watak Dania yang ala tomboi dalam drama ini memang secocok benar dengan jiwa saya,” katanya.

FARAH PUAS WATAK JAHAT

Farah pula bermula sebagai penulis skrip dengan Astro. Awal tahun ini dia berhenti dan bergerak sendiri. Mengenali ‘orang dalam’ stesen satelit itu dia ditawarkan berlakon drama Renjis 1, Lu Fikirlah Sendiri (program Nabil Raja Lawak), telefilem berjudul Popular serta muncul dalam drama Front Page dan filem Otai.

Dengan raut wajah yang sombong, Farah ditawarkan pegang watak Puteri dalam Awan Dania. Jelasnya, Puteri bukanlah jahat sangat. Dia cuma suka berlagak dan tidak mahu ‘kalah’ dengan kawan-kawan sebab itu orang nampak dia jahat. Hati dia tidak busuk mana pun.

“Puas bawa watak jahat dan tidak kisah jika pengarah terus menawarkan watak itu. Biarlah orang kata ia stereotaip tetapi saya suka. Tidak pernah bosan jadi jahat kerana kejahatan manusia dalam dunia ini pelbagai.

“Setakat ini Awan Dania platform terbaik saya memperkenalkan diri kepada masyarakat,” kata bekas graduan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

REMY TAK SOMBONG

Remy antara pelakon yang sedang meningkat naik, dilabel sebagai sombong dan mula lupa diri kerana jarang melayani permintaan wartawan mengadakan sesi fotografi dan temubual dengannya.

Menangkis tohmahan itu, jelas Remy dia masih baru dan masih dalam fasa menyesuaikan diri.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon banyak. Ada juga penggambaran drama yang tiada jadual khusus. Seperti saya berlakon dalam Awan Dania ini, tumpuan sepenuhnya kepada produksi ini. Boleh dikatakan saya selalu berada dalam keadaan ‘on call’. Bila-bila masa orang panggil untuk penggambaran.

“Sebagai pelakon baru saya sedar diri. Saya belum ada keberanian minta pengarah menetapkan jadual saya. Nanti saya dikatakan dah mula ‘besar kepala’ dan sebagainya. Oleh itu saya tidak berani berjanji dengan wartawan bila boleh bertemu mereka. Takut gagal memenuhi janji.

“Saya juga tidak berani minta wartawan datang ke lokasi tanpa kebenaran pengarah. Saya memang ada dengar orang kata saya sombong tetapi saya tak sangka pula perkara sekecil itu boleh jadi isu. Saya tahu saya masih bertatih dalam industri.

“Untuk menjernihkan semula keadaan, selepas habis penggambaran Awan Dania, saya akan bercuti dua minggu dan menghubungi wartawan. Waktu itu bolehlah saya memperuntukkan masa untuk apa juga sesi fotografi,” katanya.

NASHA PUJI PELAKON BARU

Nasha Aziz yang berlakon sebagai jurulatih pramugari, tiada masalah bekerja dengan Irma, Scha dan Farah.

“Bekerja dengan mereka menggembirakan saya. Di bilik solek seronok dengar mereka berbual. Mendengar celoteh mereka membuatkan saya teringat masa sebaya mereka dulu. Saya juga buat mereka rasa senang dengan kehadiran saya. Sebagai pelakon baru, lakonan mereka bagus dan mereka cepat belajar.

“Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri dan mereka laksanakan arahan pengarah dengan baik. Dalam cerita ini fokus utama kepada Dania dengan dibantu watak Puteri, Fifi dan Iman (Umie Nazeera). Kru produksi pun bagus dan saling menghormati. Tidak pernah saya dengar mereka mengumpat sesama sendiri,” katanya yang akan berangkat ke Hong Kong dan Shanghai untuk tugas peragaan seusai penggambaran drama itu tamat.

Mewakili Irma dan Farah, Scha berkata, mereka juga suka bekerja dengan Nasha yang sangat mesra.

“Nasha tak sombong. Dia yang banyak mengajar kami cara hendak membawa karektor masing-masing. Tak adalah dia membiarkan kami terkontang-kanting. Mulanya segan juga tetapi dengan caranya yang begitu ringkas kami senang dengan kehadirannya,” katanya.

Harian Metro

Finalis Etnik Kreatif AJL23 Sudah Ditemui

29 Nov

Teks oleh Razif Rosdi

Lagu Persoalan Cinta nyanyian penyanyi hitam manis, Farawahida kini menempah tempat ke final Juara Lagu Ke-23 (AJL23) apabila melepasi saingan separuh akhir kategori Etnik Kreatif malam tadi.

Lagu ciptaan Julfekar dan Ku Seman Ku Hussein itu berjaya seringan dengan 2 lagi lagu iaitu Doa Dalam Lagu (Mawi & Heliza / Ajai /Loloq) serta Dusta Berkalang (Aiman/ Hafidz Hamidun/ Ahmad Fedtri Yahya). 

Saingan separuh akhir Muzik Muzik itu berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral dan dihoskan oleh Cheryl Samad dan Faizal Ismail.

Selain 3 lagu itu, 7 lagi karya ciptaan tempatan dipertandingkan. Namun penyanyi asal lagu Songo, Amy Search tidak dapat hadir dan dia digantikan dengan Mok.

Dua lagi kategori yang akan dipertandingkan selepas ini adalah Balada pada 5 Disember dan Pop Rock (12 Disember). Ia menyaksikan lebih banyak lagu dan penyanyi popular seperti Ziana Zain, Faizal Tahir, Mila, Meet Uncle Hussein dan Anuar Zain bertanding.

Senarai calon separuh akhir Muzik-Muzik dipilih melalui undian yang dibuat pada setiap minggu, berdasarkan tempoh kedudukan sesebuah lagu dalam carta.

Sebanyak 104 lagu daripada 3 kategori ini dicalonkan untuk bertanding namun hanya 34 lagu sahaja berjaya ke pusingan separuh akhir sebelum mara ke final untuk layak digelar juara AJL23.

Senarai calon Etnik Kreatif

1.  Doa Dalam Lagu : Mawi & Heliza
2.  Jarak Rindu : Azfar
3.  Puteri Tarian Kasih : Anis Aneesa
4.  Pujangga Merindu : Syura
5.  Songo : Amy Search
6.  Persoalan Cinta : Farawahida
7.  Panas : Ifa Raziah
8.  Dusta Berkalang : Aiman
9.  Mengharap Sinar : Dior
10. Lambaian : Fazli Zainal

 

Murai

Karaoke Hujung Minggu

29 Nov

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

TIDAK selamat, tersorok, kotor, dipenuhi kaki minum dan dikelilingi GRO. Persekitarannya yang suram turut dikaitkan dengan kemungkinan ia menjadi lokasi pengedaran dadah.

Itulah stigma atau sebahagian pandangan negatif masyarakat terhadap pusat hiburan karaoke sedekad yang lalu.

Hari ini, dengan penjenamaan semula, telah mengangkat taraf premis hiburan yang menjadi kegemaran sebahagian besar muda-mudi kota.

Red Box, News KTV dan Green Box antara pusat-pusat karaoke yang menyediakan pelbagai kemudahan, dekorasi dan gajet keselamatan. Malah, kini ia menjadi destinasi bersantai seisi keluarga.

Menurut laman web ensiklopedia, Wikipedia, karaoke berasal dari bahasa Jepun kara (kosong) manakala oke-sutora (orkestra). Ia merupakan sejenis hiburan yang membolehkan individu atau kumpulan menyanyikan lagu terpilih dengan iringan muzik yang sedia terakam dalam alat audio visual.

Menyelami budaya di Asia, bilik bersaiz kecil atau bersederhana sering menjadi tumpuan berbanding berkaraoke di khalayak ramai. Di dalam bilik tersebut pengunjung bebas menyanyi tanpa rasa malu dengan bayaran tertentu.

Jika tiada sebarang aktiviti pada hujung minggu, Shara Fedayu Sarif, 24, mengisi masa lapangnya berkaraoke bersama rakan atau adik-beradiknya.


NINI RUZANNA (kiri) dan Shara Fedayu berpendapat aktiviti karaoke dapat menghilangkan tekanan.

Kepada akauntan muda ini, daripada terjebak dengan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral atau jenayah, lebih elok bersantai dengan teman-teman di premis karaoke.

“Plot drama tempatan atau antarabangsa yang selalu menampilkan aksi ‘panas’, kaki mabuk, maksiat, lelaki gatal dan perempuan GRO di pusat karaoke, antara faktor yang membuatkan orang ramai kurang senang dengan kewujudan pusat-pusat karaoke. Sedangkan semua itu tidak berlaku sepanjang saya berhibur di pusat karaoke ini.

“Namun, kita juga perlu bijak memilih pusat karaoke yang betul,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur yang merujuk pada pusat karaoke kegemarannya, Red Box Ria di pusat beli-belah Sogo dan Red Box; di The Gardens dan The Curve.

Shara yang mula aktif berkaraoke sejak usia sembilan tahun menjelaskan, sebelum diperkenalkan keistimewaan di Red Box, biasanya dia hanya menyanyi di rumah dengan set kelengkapan karaoke yang dibelinya.

Namun semuanya berubah selepas mengikut rakannya berkaraoke di Green Box, Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Seterusnya, dia mencuba pula di beberapa cawangan Red Box yang lain. Ternyata Red Box jauh daripada gambaran buruk di kaca TV atau filem.


SELAIN menyanyi, pengunjung berpeluang menjamu selera dengan hidangan yang disajikan secara bufet.

Shara yang gemar menyanyikan lagu bernada tinggi berpendapat, Red Box antara sudut lepak gaya baru di kalangan muda-mudi. Sambil menyanyi, pengunjung juga berpeluang menjamu selera dengan pelbagai sajian bufet, menganjurkan parti hari jadi atau majlis istimewa bersama teman.

Selebriti tempatan seperti Awal Shaari, Elyana, Kru, Adam AF2, Nita (Malaysia Idol 2) dan Sheila Abdul juga memilih pusat karaoke untuk menganjurkan sidang media, pelancaran album, majlis bertemu peminat dan majlis hari jadi.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan tatkala mengunjungi pusat karaoke ini. Sistem keselamatan di sini dikawal rapi apabila setiap lorong dan sudut disimbahi dengan cahaya lampu yang terang dan diletakkan kamera litar tertutup (CCTV), bagi mengelakkan risiko jenayah.

“Lagipun suasana Red Box tidak seperti pusat karaoke lama yang kelihatan suram dan gelap,” ujarnya. Red Box menyuntik suasana ceria dan gembira apabila menampilkan elemen dekorasi dan hiasan dalaman menarik. Lebih istimewa, kebanyakan cawangan Red Box beroperasi dalam pusat beli-belah bagi memudahkan pengunjung terutamanya mereka yang berkeluarga,” ujar peminat setia selebriti Erra Fazira dan Ziana Zain ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, Red Box Ria yang berpangkalan di Sogo, Kuala Lumpur, sentiasa menerima pengunjung daripada kelompok sederhana. Nini Ruzanna Hassan, 24, antara pengunjung setia yang melakukan aktiviti karaoke bersama suami dan dua permata hatinya. Persekitaran dan ruang bilik yang selesa dan selamat membuatkan hatinya terpikat untuk menjadikan Red Box sebagai destinasi aktiviti karaoke bersama keluarga pada hujung minggu.


RED Box menyuntik elemen ceria.

“Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur saya dan suami gemar berkaraoke di salah sebuah pusat karaoke di Sarawak. Tapi, set kelengkapan dan mesin yang digunakan tidaklah sehebat di Kuala Lumpur.

“Di Red Box, segala-galanya menggunakan aplikasi komputer yang canggih. Kita hanya perlu menekan alat kawalan jauh dan mengikut arahan yang tertera pada skrin tanpa perlu menunggu lama. Set sofa yang disediakan juga empuk dan sentiasa kelihatan baru serta bersih,” kata Nini yang gemar berduet bersama suaminya.

Nini yang bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan juga mempunyai memori manis bersama Red Box. Pelawaan suaminya untuk karaoke telah dikejutkan dengan meraikan majlis hari lahirnya.

Menurutnya, mereka bebas menyanyikan atau menari tanpa mengganggu pengunjung lain. Ini kerana bilik yang ditawarkan kedap udara dan mempunyai pintu.

“Anak-anak pun seronok ke sini kerana sambil ibu bapa mereka menyanyi dan sesekali menjadi penyanyi latar. Red Box juga menghimpunkan koleksi lagu yang sesuai untuk kanak-kanak.

“Selain itu, saya juga kerap membawa adik-beradik dan bapa untuk menyanyi,” tambahnya.

Kosmo

Angelina Jolie Vs Jennifer Aniston – Dua Wanita, Satu Cinta

27 Nov


“SELAMAT tinggal Jen, aku kini sedang bahagia dengan Angel,” mungkin ini yang dikatakan oleh Brad Pitt kepada jandanya, Jennifer Aniston.

ANGELINA JOLIE pernah memberitahu bahawa dia mudah jatuh cinta dengan aktor yang digandingkan bersamanya dalam filem.

Buktinya, Angelina berkahwin dengan Jonny Lee Miller pada tahun 1996 ketika bertemu dalam filem Hackers (1995). Mereka kemudian bercerai pada tahun 1999.

Aktres seksi ini kemudiannya berkahwin dengan aktor Billy Bob Thornton yang ditemuinya pada set penggambaran filem Pushing Tin (1999). Pasangan ini berkahwin pada 5 Mei 2000 dan bercerai pada 27 Mei 2003.

Selain dua suami ini, Angelina juga pernah mengejutkan dunia pada tahun 2003 apabila memberitahu dia adalah biseksual dan pernah jatuh cinta dengan aktres Jenny Shimizu. Mereka berdua bertemu ketika berkerjasama dalam filem Foxfire (1996).

Maka, apabila dia dikaitkan dengan Brad Pitt ketika mereka berdua berlakon dalam filem Mr. & Mrs. Smith (2005), ramai yang tidak terkejut. Dia ketika itu dilemparkan kritikan pedas sebagai orang ketiga yang menyebabkan rumah tangga Brad dan Jennifer Aniston musnah.

Dia bagaimanapun berkali-kali menafikan menjadi punca penceraian Brad. Dalam satu temu bual pada tahun 2005, dia menjelaskan, “Bukan senang untuk intim dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin. Semasa ayah saya menipu ibu saya, ia bukan sesuatu yang boleh dimaafkan.

“Saya tidak dapat bayangkan diri saya melakukan sebegini. Saya tidak akan tertarik dengan lelaki yang menipu isterinya.”

Apabila Angelina dan Brad tidak memberi komen secara umum mengenai status hubungan mereka, spekulasi terus menular sepanjang tahun 2005.

Rakaman intim pertama pasangan ini diterbitkan pada April 2005, sebulan selepas Jennifer memfailkan penceraian. Gambar itu menunjukkan Brad, Angelina dan anak angkatnya, Maddox sedang bermain pantai di Kenya.

Mereka kemudian sering kali dilihat bersama dan dilabelkan sebagai pasangan oleh media hiburan seluruh dunia. Hanya pada 11 Januari 2006, Angelina mengesahkan kepada majalah People bahawa dia sedang mengandungkan anak Brad. Ini sekali gus mengesahkan hubungan mereka secara umum buat kali pertama.

Dilabelkan sebagai aktres paling berpengaruh dunia oleh Guinness World Records edisi 2009, Angelina akhirnya membuat pengakuan pada Oktober lalu bahawa dia adalah punca kepada penceraian Brad dan Jennifer.

Angelina, 33, mengaku bahawa dia dan Brad, 44, telah jatuh cinta semasa berganding dalam filem Mr. and Mrs. Smith ketika aktor ini masih suami kepada Jennifer, 39.

Apa yang memeranjatkan ramai adalah Angelina sebelum ini menegaskan bahawa mereka jatuh cinta selepas perpisahan Brad dengan Jennifer.

Tidak pasti secara sengaja atau tidak, Angelina membuat pengakuan tersebut semasa memberitahu dia gembira ketika anak-anaknya melihat ibu bapa mereka dalam filem Mr. and Mrs. Smith apabila ditemu bual oleh sebuah akhbar.

“Tidak ramai yang akan berpeluang menyaksikan filem yang memaparkan bagaimana ibu bapa mereka jatuh cinta,” katanya.


SETELAH perkahwinan mereka gagal, Jennifer masih mencari cinta sejati daripada seorang lelaki.

Pengakuan berani dia itu telah dibalas dengan kenyataan daripada Jennifer. Seolah-olah masih berdendam, Jennifer telah mengeluarkan kata-kata pedas terhadap Angelina ketika ditemu bual oleh majalah Vogue.

“Apa yang dilakukan oleh Angelina itu tidak ‘indah’,” kata Jennifer.

Komen itu adalah yang pertama dibuat Jennifer mengenai hubungan Angelina dan Brad selepas Angelina membuat pengakuan itu. Kritikan berani Jennifer telah membuktikan Jennifer sudah berani dan melupakan peristiwa hitam dalam hidupnya.

“Saya tidak lagi menanggung perasaan kesal terhadap Brad dan Angelina. Wartawan Vogue itu bertanya soalan kepada saya dan saya hanya menjawab secara jujur.”

Pada Februari lalu, Jennifer dilaporkan sangat kecewa dan berang apabila mengetahui Angelina mengandung lagi hasil hubungan dengan Brad.

Jennifer yang bercerai dengan Pitt pada Oktober 2005 selepas lima tahun berkahwin dikatakan sedih dengan berita Angelina dilaporkan hamil anak kembar.

“Jennifer mungkin kelihatan seperti tidak mempunyai sebarang reaksi dengan berita itu tetapi sebenarnya sangat sedih. Dia amat terperanjat melihat kehidupan Brad yang berkembang dan memiliki anak berbanding dirinya yang bujang.

“Dia seolah-olah terkilan kerana tidak berjaya melahirkan anak buat Brad. Jennifer asyik terfikir apa yang akan terjadi jika dia melahirkan anak untuk Brad. Mungkin perkahwinan mereka dapat diselamatkan,” kata satu sumber kepada majalah Star.

Mungkin ramai yang sudah menerima hubungan pasangan Angelina dan Brad tetapi tidak kurang yang sedang memerhati dan menanti bila mereka akan berpisah. Dan kontroversi mula merebak terutamanya selepas Angelina melahirkan anak kembarnya, Knox Léon dan Vivienne Marcheline pada 12 Julai 2008.

Sejak itu Angelina jarang muncul di khalayak umum dan Brad pula sentiasa keseorangan apabila menghadiri acara karpet merah. Ini yang membuat orang ramai beranggapan hubungan mereka telah berakhir dan Angelina didakwa sedang gila meroyan.

“Saya mencintai Pitt dan hidup saya tidak lengkap tanpanya,” kata Angelina ketika mempromosikan filem terbarunya, The Chageling arahan Clint Eastwood baru-baru ini.

Kenyataan itu membuktikan bahawa hubungan antara Angelina dan Brad masih berada dalam keadaan baik. Malah berita terbaru, Angelina juga mahu meninggalkan dunia lakonan untuk meluangkan masa bersama keluarganya.

“Saya tidak bercadang untuk berlakon untuk jangkamasa yang panjang. Selepas ini mungkin hanya sebuah filem setahun. Kemudian sebuah filem setiap tiga tahun dan sebuah filem setiap enam tahun. Kemudian saya akan menghilang dan menunggu untuk menjadi nenek suatu hari nanti. Itu adalah perancangan saya.”

Angelina dan Brad kini mempunyai tiga orang anak angkat, Maddox, 7, Pax, 5 dan Zahara, 3 dan tiga orang anak kandung, Shiloh, 2, serta kembar Knox dan Vivienne, empat bulan. Dan Angelina memberitahu bahawa dia menyimpan hasrat untuk mengambil anak angkat baru selepas keenam-enam orang anak mereka selesa bersama.

Kosmo

Jangan Pandang Belakang Congkak

24 Nov

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ANTARA barisan pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak.

Barisan pelakon tidak sabar untuk beraksi dalam filem yang gabungkan cerita seram dan komedi

DIAKUI filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak terbitan syarikat MIG Production Sdn Bhd berjaya sebagai filem bergenre seram yang mengutip kutipan tertinggi setakat ini.

Kedua-dua filem seram yang sering diperkatakan kerana keberanian memaparkan unsur ketakutan yang tersendiri menarik minat kepada syarikat penerbitan lain untuk kembali menerbitkan filem sepertinya.

Kini semakin hari semakin banyak genre seram dikeluarkan termasuklah drama bersiri yang boleh disaksikan setiap hari di televisyen.

Justeru, MIG Production seakan-akan tidak puas untuk menerbitkan filem seram tetapi berhasrat untuk meneruskannya dengan memperkenalkan konsep yang berlainan menerusi Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC).

Bakal memulakan penggambaran pada 25 November ini, JPBC gabungan kedua tajuk ini menjadi filem ke 31 terbitannya yang bakal menerapkan menggabungkan unsur seram komedi.Bagi mereka yang pernah menonton kedua filem itu tentu masih lagi dapat membayangkan babak mendebarkan, namun bagi pelakon yang pertama kali diberi peluang untuk melakonkan filem ini sudah pasti begitu teruja kerana diberi peluang membawa genre baru.

Bagi pelakon komedi, Mazlan Pet-Pet berkata, memandangkan Jangan Pandang Belakang dan Congkak berjaya sebagai filem seram yang mengutip kutipan tertinggi, menjadi tanggungjawab baginya untuk memastikan filem JPBC lebih baik dari filem sebelum ini.

“Saya akui banyak filem MIG Production sebelum ini berjaya termasuklah Jangan Pandang Belakang dan Congkak, namun apabila mendapat tawaran untuk terbabit sama dalam filem terbarunya JPBC saya ingin buktikan untuk yang terbaik.

“Memandangkan semua pelakon termasuk saya masih baru menerima skrip jadi saya masih belum melakukan apa-apa persediaan untuk menilai skripnya.

“Biasanya saya akan melakukan persediaan dengan membaca skrip berulang-ulang kali dan mencari watak. Daripada pengalaman sebelum ini saya akan memandang kepada perwatakan dari karektor asal saya,” katanya.

Menurutnya, daripada 10 filem yang pernah dibintangi, semuanya mempunyai perwatakan yang berbeza dan dia yang akan memastikan ia juga berlaku dalam filem terbarunya kali ini.

“Saya sangat mengharapkan filem ini akan berjaya menandingi filem Jangan Pandang Belakang dan filem Congkak,” katanya yang kali kedua berlakon untuk MIG Production selepas Senario The Movie..Episod 1.

Seorang lagi anggota Senario, Azlee berkata, pertama kali menerima genre seram komedi menjadi tanggungjawab besar baginya untuk memastikan filem JPBC diterima sebagai genre baru.

“Apa yang saya faham filem ini menggabungkan dua unsur iaitu seram dan komedi. Jadi ia tidak semestinya saya akan membawanya dalam bentuk komedi. Saya diberi peranan sebagai bomoh dan ini memerlukan karektor saya serius.

“Walaupun orang yang akan menilai saya sebagai pelakon komedi ia masih lagi mampu diubah dengan bantuan kostum dan solek. Saya juga akan memastikan karektor saya kali ini berlainan dari lakonan saya sebelum ini,” katanya.

Selepas menonton Jangan Pandang Belakang dan Congkak beberapa kali, pelakon dan penyanyi, Zarina Zainudin menjadikan filem JPBC bukan saja sebagai filem terbaik tetapi juga dapat memberi peluang untuk meningkatkan persembahan lakonannya juga.

“Ini adalah peluang dan landasan kepada saya untuk mengukuhkan lagi bakat saya dalam bidang lakonan, melalui filem JPBC. Harapan saya terhadap filem ini memang tinggi. Saya akan memastikan tiada sebarang komitmen yang menghalang daripada saya menyudahkan filem ini.

“Semua orang tahu filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak begitu memberi kesan kepada semua orang yang menontonnya, jadi saya harus melakukan dengan lebih baik agar filem ini dapat menyaingi filem terbaik sebelum ini,” katanya.

Tambah Zarina, walaupun wataknya tidak besar tetapi menjadi tanggungjawab bagi dirinya untuk membuat yang terbaik, tambahan pula karektor komedi yang tidak pernah lakukan sebelum ini.

“Persediaan sekarang saya harus banyak membuat kajian dan berjumpa dengan pelakon komedi untuk menimba ilmu daripada mereka,” katanya.

Selain mereka, pelakon lain yang turut terbabit dalam filem ini termasuklah Cat Farish, Pierre Andre, Piee, Lisa Suriani, Den Wahab, Belalang, Dina, Mas Muharni dan ramai lagi.

Info Jangan Pandang Belakang Congkak

Kos Penerbitan: RM1.8 juta

Filem ke-31 daripada MIG Productions

Filem MIG Production keenam diarahkan oleh Ahmad Idham selepas Tentang Bulan, Remp-It, Jangan Pandang Belakang, Brainscan dan Congkak.

Sinopsis:

Di sebuah kampung tinggal seorang tua bernama Pak Sudir, yang sangat kaya dan dikatakan memelihara saka. Sering dilihat Pak Sudir di beberapa tempat dalam satu masa. Melihat pada raut wajahnya, tiada siapa menyangka usianya sudah mencecah hampir 125 tahun. Pak Sudir tinggal dengan seorang pembantu iaitu Mustika. Di saat kematian Pak Sudir, pelbagai kejadian aneh berlaku menggemparkan penduduk kampung. Dikatakan Pak Sudir sudah lama meninggal dunia dan terlantar sakit adalah sakanya. Seorang bomoh terkenal, Pak Moh dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu.

Berita Harian

Bertuah Dengan Si Dia

24 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Diana Rafar sentiasa mengharap hubungannya bersama Zamarul Hisyam berakhir dengan kebahagiaan berkekalan

KISAH cinta antara Diana Rafar dengan Zamarul Hisyam bukanlah perkara rahsia lagi. Cerita itu juga bukanlah baru, tetapi sudah berputik sejak enam tahun lalu.

Pada tahun 2006, hubungan Diana, 26 dan Zamarul bergoncang seketika apabila dia dikaitkan dengan Bintang Paling Popular, Mawi.

Gosip antara Diana dan Mawi pada waktu itu memang memberi kesan dan hampir menggugat hubungannya dengan Zamarul.

Zamarul ketika menerima trofi Pelakon Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2008 sempat mengucapkan terima kasih kepada ‘si dia’ yang kemudian menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak.

Ketika majlis meraikan tetamu selepas selesainya Anugerah Skrin 2008, Zamarul ditanya Hip, siapakah ‘si dia’ yang dimaksudkannya. Sambil tersenyum, dia berpaling ke arah Diana sebagai tanda ‘jawapan’ siapakah si dia itu. Hakikatnya, di majlis itu, Zamarul datang tidak keseorangan. ‘Si dia’ inilah yang menemaninya selain Linda Rafar dan suaminya, Syed Aiman.

Dalam pertemuan dengan Hip, Diana mengakui, dia dan Zamarul memang pernah merancang untuk berkahwin pada penghujung tahun 2006, namun gosip liar yang menghambat dirinya pada tahun yang sama sudah membantutkan niat mereka.

Justeru, pada saat ini baik Diana mahupun Zamarul, mereka hanya berserah dan berharap impian untuk hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri menjadi kenyataan.

Menurut Diana, sejak mengenai Zamarul pada tahun 2002, dia sudah lali diajukan pertanyaan mengenai perkahwinannya dengan pelakon itu.

Bahkan, ada juga yang mengandaikan hubungan mereka sudah terputus di tengah jalan sedangkan hakikatnya cinta mereka masih lancar.


Diana dan Zamarul.

Buktinya, Zamarul sendiri sendiri muncul sewaktu sesi fotografi ini dijalankan.

“Semuanya saya serahkan kepada soal jodoh dan takdir. Insya-Allah, kalau sampai jodoh kami berdua, kami pasti kahwin. Bukan apa takut pula kalau merancang, bimbang tak menjadi pula. Kami sudah melalui fasa bercinta dalam tempoh yang agak lama dan ada kalanya kesibukan masing-masing membuatkan kami tidak berjumpa.

“Tengoklah sendiri tadi, kalau kami berjumpa depan mata sekalipun, tidak sempat berborak.

“Tapi selalunya masa terluang kami termasuk ahli keluarga saya yang lain banyak dihabiskan di sini (Shah Alam). Tapi saya bertuah kerana dia (Zamarul) seorang yang sangat mengambil berat,” kata Diana yang terbabit mengikat kontrak hingga tahun depan sebagai model iklan produk syampu bersama Fouziah Gous.

Kata Diana, kalau Zamarul ada masa terluang, dia memang akan singgah ke premis pusat kecantikan D’Lugano miliknya di Seksyen 13, Shah Alam

Menariknya, bukan Diana saja menjalankan perniagaannya di situ, anak saudaranya membuka butik The Closet, manakala kakaknya, Linda berniaga di Jom Lepak Cafe menjadikan hampir sederet rumah kedai ini seperti ‘ditakluki’ keluarga Rafar.

Dan, bagi Diana sendiri, rezeki datang tanpa diduga apabila dia kini mengikat kontrak untuk menjadi duta produk kesihatan Al Jabbar bersama Zamarul.

Menunggu tawaran berlakon filem

Mula berlakon sejak di usia lima tahun, Diana juga pernah mencatat profil seninya sebagai penyanyi dengan menubuhkan kumpulan GIM (Girls In Music) pada 1999 dan kemudiannya melahirkan album duet bersama Linda.

Ketika itu Linda dan Diana meledak dengan lagu Hak Milik Kekal. Aktif berlakon drama tetapi Susuk adalah filem pertama yang dibintanginya sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan.

Kemunculan Diana Rafar sebagai antara pelakon utama dalam filem Susuk yang ditayangkan pada 7 Ogos lalu, mendapat pujian ramai.

Malahan selepas filem itu, dia disebut-sebut sebagai antara pelakon yang mempunyai potensi besar untuk melebarkan bakatnya di layar perak. Bahkan, Diana juga mengaku beraksi untuk filem memberi kepuasan tidak terkira berbanding dengan aksinya dalam drama.

“Sejak berlakon filem, baru saya faham erti sebenar dunia lakonan. Melalui filem itu, saya mendapat pendedahan yang sangat besar mengenai pelbagai aspek seni. Bayangkan untuk berlakon filem, sesi latihannya mengambil masa yang berbulan-bulan. Untuk watak saya saja, saya turut diajar cara pergerakan berjalan.

“Saya ada menerima tawaran berlakon filem sebelum Aidilfitri lalu, tapi disebabkan sibuk membuat persiapan raya dan pihak yang terbabit itu diam, akhirnya tawaran itu hilang begitu saja. Saya harap andai ada rezeki untuk berlakon filem lagi pada masa mendatang, biarlah filem itu lebih baik daripada Susuk dan bukan hanya ala kadar saja,” kata Diana yang baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Kasihnya Yang Kian Pudar bersama produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.

Tidak lagi mengharap 100 peratus kepada bidang lakonan, Diana kini sudah bergelar usahawan berjaya menguruskan spa D’Lugano yang sudah beroperasi sejak 10 bulan lalu. Impiannya kini untuk membuka cawangan D’Lugano dan ingin terus komited meneruskan perniagaan yang diminatinya ini.

Paling istimewa, segala susunan dan hiasan dalaman di premisnya ini diilhamkan sendiri oleh Zamarul.

Menurut Diana, sebelum Zamarul berlakon, dia pernah menjadi pereka hiasan dalaman dan bakat yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencantikkan spa Diana. Seperkara yang membanggakan Diana kerana dia mempunyai rangkaian produk sendiri seperti minyak lulur, minyak aroma terapi dan jamu Mak Dara yang mendapat sambutan di kalangan selebriti.

“Alhamdulillah maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Tambahan pula, di sebelah spa saya terdapat sebuah kedai yang menjual peralatan sukan golf dan secara tidak langsung, pelanggan yang ke situ akan singgah ke spa saya, termasuklah mereka daripada kalangan VIP. Pembabitan saya ini antara satu jaminan pada masa depan yang tidak boleh bergantung sangat kepada industri seni yang tidak menentu, turun naiknya.

“Lihat saja contoh terdekat, ada di antara pelakon veteran di negara kita yang tidak dihargai di saat usia mereka semakin lanjut. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur masih ada tuah dan tidak pernah dipinggirkan di dalam industri. Namun, sebagai persediaan tumpuan saya kini juga beralih kepada perniagaan ini dan berharap supaya rezeki itu akan terus berpanjangan,” katanya.

Sepintas Diana Rafar

Spa: Ramai rakan artis yang datang ke spanya seperti Dynas, Raja Azura, Fazura, Mila, Ziana Zain, Fouziah Gous dan ramai lagi. Menurut Diana, dia sangat menghargai sokongan mereka.

Zamarul: Seorang lelaki yang terlalu mengambil berat mengenai dirinya hingga kadang-kadang boleh merimaskan dirinya. Menurut Diana, Zamarul selalu menasihati dirinya berkaitan soal kehidupan, suka dan duka. Dia pandai mengambil hati dan selalu memberikan hadiah kepada Diana. Tambah Diana lagi, ada kalanya orang mula salah sangka dan syok sendiri dengan sikap peramah Zamarul.

Minyak aromaterapi: Dijual dengan harga RM16.90 dan mempunyai dua bauan. Yang pertama, bauan untuk menenangkan suasana dan bauan kedua bagi mengatasi masalah kekeluargaan dan hubungan intim.

Gosip: Ia secara tidak langsung akan mempopularkan seorang artis itu dan ada kalanya mampu menjatuhkan nama artis itu. Terpulang kepada bagaimana pendekatan gosip itu diterima.

Dunia lakonan: Ibarat jiwa dan cintanya tapi kini lakonan sangat mematangkan dirinya.

Nyanyian: Bidang yang menarik dan senang dapat duit dalam waktu yang singkat membuat persembahan dan tidak panjang durasi masanya seperti berlakon.

Profil

NAMA PENUH: Adiana Abd Rafar

NAMA KOMERSIAL: Diana Rafar

TARIKH LAHIR: 9 Mei 1982

ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur

BINTANG: Taurus

HOBI: Mendengar muzik, memerap dalam bilik dan melakukan perawatan spa

DRAMA: Mencari Ibu (waktu itu usianya baru mencecah 5 tahun), Diari, Mimpi, Sempadan Kasih, Ezora

FILEM: Susuk

INFO

Pusat kecantikan D’Lugano

Idea menamakan perniagaan spanya sebagai D’Lugano terbit ketika mendapat cadangan daripada seorang pakar motivasi. Ia diambil bersempena dengan nama sebuah tasik di Switzerland yang sangat cantik dan tenang. Sebagai simbolik kepada hal itu, Diana menjelmakan ia kepada perniagaan yang diusahakannya kini.

Solekan: E’Sham (012-2869864)

Tajaan Busana: The Closet, No 76, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, 40100 Shah Alam (016-2269404) atau (03-55199989)

Berita Harian